Pages

Wednesday, May 20, 2015

Konvensi

Oleh Mawar Shafei

MATA bulatnya kini terbelalak. Aku kembali tunduk. Memainkan penyedut minuman pada coke yang masih setengah gelas hingga berbuih kuning. Kadang- kadang buihnya mencecah 50 peratus daripada kandungan coke yang masih ada.

Pernah aku digelarnya `pengacau' berikutan tabiatku itu. Aku senyum sendiri. Sibuk sel-sel otakku menguis, mencari sinonim frasa yang disebutnya itu.

"Ah! Tindakan kau benar-benar mengecewakanku, Wid." Akhirnya dia menuturkan ayat. Dagunya yang runcing digaru. Itulah kelaziman apabila keraguan mula membungkus perasaannya.

Aku tahu benar. Aku menghela nafas panjang. Bukan itu tujuanku. Tidak terlintas aku meremuk hatinya. Seorang sahabat.

"Okay, mungkin aku silap. Aku mengacau ketenteraman hubungan kami. Tetapi tolong Nal, aku masih bergelar manusia, berdarah dan berdaging serta bernafsu. Aku bebas mengutarakan prinsipku. Berkata tidak pada sesuatu yang bukan jadi pegangan, jatidiri juga satu pilihan!"

Suaraku agak nyaring dalam keriuhan kafeteria sewaktu perut minta diisi begini. Hilang seleraku terhadap kentang goreng yang baru dipesan. Keluar dari makmal komputer sejam tadi, aku ingin duduk sambil membasahkan tekak seminit dua. Kemudian menyambung kerja menghadap Multisync kembali.

Namun kemunculan Nal yang tiba-tiba itu merencatkan segala-galanya. Kemunculannya membuat aku turut memanaskan bangku kafeteria. Turut menghangatkan perasaan dan fikiran. Kentang goreng yang dipesan, masih tidak terusik. Ia terlentang di atas piring kertas putih di hadapan kami.

"Kau seharusnya peka terhadap Environmental Sensitivity Index di kawasan yang mengalami kemungkinan tumpahan minyak yang tinggi, seperti di Kuching Basin atau di barat laut Borneo itu. Kau tahu, di bawah Seksyen 34A Kualiti Alam Sekitar, pihak yang ingin menjalankan sesuatu aktiviti mestilah menjalankan kajian terlebih dahulu bagi menentukan kesan alam sekitar yang mungkin timbul daripada projek berkenaan, di samping langkah- langkah pencegahannya."

"Hei! Sejak bila ada stesen radio alam sekitar di kampus ini, hah? Aku tak tahu perkembangan terbaru nilah!" Halkumnya turun naik. Kumis halusnya bergerak selari dengan gelak. Aku mual tiba-tiba. Benci aku mendengar dan melihat. Menyakitkan. Ruang makmal komputer yang sunyi ketika itu menyebabkan gelak bodohnya terus hinggap hampir pada setiap telinga, termasuk aku.

"Aku serius, Dan."

"Aku juga, Wid." Memek mukanya sengaja diubah kepada sediakala. Aku kembali memfokuskan ke arah monitor Multisync. Hanya kisuran dari PS/1, model terbaru IBM dengan 486 cip, sesekali mencuri masuk ke ruang kesunyian yang mutlak. Mataku masih begitu, merayap pada skrin monitor. Aku mencelah lambat-lambat.

"Aku tidak pernah mengatakan sistem EIA itu lembab. Tapi hakikatnya begitulah. Cuba kaufikir laporan akhbar semalam, adanya segelintir pemaju yang sengaja mengurangkan keluasan kawasan projek mereka kepada 49.9 hektar untuk tidak menyediakan laporan EIA. Malah ada juga pemaju yang memecah kawasan projek hingga had minima 50 hektar, semata-mata untuk mengelak bebanan - anggapan mereka."

"Malah peruntukan EIA terhadap pembinaan kondominium di sepanjang lereng bukit contohnya, di luar sedar telah mencuri kawasan secara vertikal. Kau sedar tak, hah?"

"UNCED juga tidak berguna! Usianya hampir sama dengan abahku, tidak pernah menjanjikan kematangan. Sebarang kematangan, walaupun seratus kepala ketua kerajaan, sakit tekak melaungkan itu ini di Rio. Oh ... Dan, kita bukannya menghadiri persidangan pengkebumian, sebaliknya kita hendak cari resolusi. Resolusi krisis planet bumi."

"Proses demokratik? Demokratik karut! Di Stockholm dulu, apa yang kita dapat? Gila! UNCED mungkin berjaya menjana kuasa sana sini, tapi kita perlu merenung kembali matlamat primernya - ingin menghapuskan kesenjangan pada neraca struktur, yang mengepalai pengkategorian persekitaran. Tapi harus kau ingat, kita sekarang sedang menuju abad canggih ke-21."

Aku terkedu mengingatkan segala-galanya itu. Aku kembali di sini, di hadapan Nal. Kulihat dia mula mengunyah kentang goreng yang kufikir kian kurang sedap, setelah terbiar agak lama. Wajah Dan kulihat mencuri jenguk antara kepingan kentang goreng Nal. Aku terkedu untuk sekian kali. Peristiwa di makmal komputer dua petang lalu benar-benar mengecewakan.

"Nal, percayalah aku sendiri turut kecewa dengan sikap Dan. Aku rela kehilangan dia daripada menghenyak diri dan fikiran dengan revolusi karutnya. Pembangunan tanpa kesedaran terhadap pemuliharaan planet ini, tidak ke mana. Bumi hancur dan dia pun...mampus!"

"Wid!"

"Terpulang Nal. Aku memang environmentalis gila, kepala batu, sanggup kehilangan seseorang semata-mata mahu menegakkan nilai diri. Aku fikir otak Dan kalau boleh dilakukan sinar-x, pasti saja penuh dengan kod-kod CO. He's been polluted! Mmm...dalam duniaku yang penuh deretan jargon sains, rasa-rasanya aku masih mampu menjenguk ke dunia yang satu lagi: Formaliti. Ya tidak?"

"Tapi Wid ..."

"Aku sebolehnya ingin berfungsi seperti sistem Mycin yang bukan saja dapat melakukan diagnosa mengenai infeksi darah, tetapi lebih darpada itu dapat menyenaraikan penawarnya. Konsep Mycin yang bekerja atas dasar kaedah empiris diagnosa diajukan kepada seorang pakar berdasarkan fakta. Apabila pakar tidak selari dengan dignosa tadi, Mycin dikehendaki menghulur alur pemikiran yang dilakukan sedikit demi sedikit, sehingga pakar dapat menemui kesahihan dalam salah satu kaedah yang digunakan. Bagi kaedah yang terkeluar daripada trek prosedur, diganti dengan yang baru dan selanjutnya rundingan diulang sehingga pakar bersetuju dengan diagnosa yang diberi oleh sistem itu."

Aku menoleh sekilas ke kiri kanan. Tiada bayang Dan. Di mana dia?

"Hendak jadi MP mestilah tidak boleh duduk diam. Pergi sana sini. Periksa projek. Jenguk rakyat. Seminar. Seminar alam sekitar ?" Dia gelak besar sambil menjangkaukan jelingan ke arah beberapa biji buku yang baru kupinjam dari perpustakaan. Begitu aku berdehem, dia mencapai Ecological System and the Environment oleh Theodore Foin.

"Husserl pernah berkata, alam dan fenomena di sekitar perlu dipelajari dan dihampiri. Manakala realiti wajar dianggap sebagai satu fenomena tulen dalam pemikiran. Data yang diperolehi perlu digunakan sebagai titik tolak pengetahuan seterusnya mengenai kejadian alam secara terinci. Kau harus ingat Dan: Back to the thing themselves." Aku mengusik fikirnya.

"Mengapa S&T, seolah-olah kau anggap satu paradoks? Wid, S&T, ilmu pengetahuan dan semuanya tidak salah. Yang salah, yang silap, yang tolol kita, cara kita sebagai makhluk Allah yang berakal memanipulasinya. Tragedi kondominium runtuh, tanah runtuh, sekolah runtuh, malah akhlak dan nilai diri manusia yang kian bobrok, tidak akan berlaku jika manusia tidak bongkak dengan had kemampuan mereka terhadap alam semulajadi. Perancangan yang teliti dan pemuliharaan yang dijaga boleh menjamin alam sekitar. Alam sekitarmu. Tapi Wid, hindsight is always 2020.

"Aku tidak terkecuali dalam permasalahan ini. Sebagai bakal perancang modenisasi komuniti, aku fikir dalam dunia yang semakin rencam, kita sememangnya tidak dapat lari daripada bersikap gali kubur sendiri - segala tindakan dan kesan ditanggung sediri secara individu. Itu maksudku. Aku tidak sekali-kali ingin melanggar prinsipmu kukira."

"Tapi dengan modenisasi melulu itu, kau tidak seharusnya menambah lagi kuantiti yang sedia ada - 71 peratus CO 2, 10 peratus CFC, 9 peratus metana, 3 peratus nitrus oksida, dan apa-apa lagi yang menokok-hangat kesan rumah hijau sehingga ke peringkat maksimum. Sekurang-kurangnya melalui perancangan dan pemuliharaan modenisasimu, kau harus mengisihkiar bagi tujuan mengurangkan atau paling tidak menyederhanakan keadaan. Seharusnya begitu bukan, Dan?"

"Atau kau mahu cipta alternatif petempatan lain. Mungkin Marikh yang jarak 80 ribu kilo meter dari bumi, memerlukan 687 hari bagi melengkapkan orbit mengelilingi suria. Marikh cukup dengan kawah akibat ledakan meteoribt dan gunung berapi. Kau boleh bina rumah di sana, Dan. Cerapan yang dibuat oleh Viking pada 1976 mendapati atmosfera Marikh dibungkus padat oleh CO. Kau fikir boleh hidup di luar lingkungan 0(2) lebih-lebih lagi - dengan suhu kurang lebih - 86 darjah begitu? Mampus!"

"Mungkin apa yang dapat aku syorkan kepada bakal perancang seperti kau ialah tolong praktikkan akronim 5R," aku berdeham. "Atau mungkin saja memenuhi tuntutan gagasan NGOs di Rochina mengenai pembangunan mapan alias pembangunan berterusan. Itu satu resolusi. Intipatinya saja mencakupi ruang iklim, pola penggunaan yang memajukan aspek ekonomi, kemudahan persekitaran, pengeksportan residual toksid, pembalakan, senjata nuklear, bioteknologi dan perdagangan."

"Terima kasih, terima kasih. Saya akan timbangkan usul saudara!" Dan ketawa meleret. Aku sekadar mampu menggigit bibir, menahan sabar dengan gelaknya yang kian menjadi-jadi. Aku risi sebenarnya. Segala-galanya sekadar rayanan dan tinggal harapan. Rasanya aku senasib dengan Risah dalam The Morning Post! Sayang, hubungan yang kufikir dapat kuulang sambut untuk tahun kelima, Februari depan, tidak begitu rencahnya.

"Justeru maling fikir kemahasiswaanmu harus saja kaubuka luas-luas untuk mencambah tumbuh lalu dipergunakan. Jangan biar ia dirayah oleh keangkuhan gelar saja. Tidak ada makna cendikiamu berbanding orang lain yang tidak bergelar, tanpa kauisih kesederhanaan dalam diri. Isih sel-sel dirimu dengan setiap mahmudah sebagai hamba Tuhan yang sumurung."

Aku terus duduk di kerusi meja komputer. Aku terlongo. Mataku sungguh- sungguh memerhatikan lajur yang dibentuk oleh heksagon bersaiz sederhana - kurang lebih 1/30 daripada luar permukaan skrin. Heksagon itu seakan terkelip-kelip. Sebentar terang, sebentar redup. Kupetia ia akan bergerak ke kiri dan ke kanan dalam jarak 1 hingga 2 mili meter jika `bersuara'.

"Si ... siapa kau?"

Preeettt!

Aku hampir terloncat. Bunyi itu tidak pernah kudengar sejak aku memiliki model terbaru Apple, Macintosh Performa 550 yang memuatkan pemacu CD-ROM dan monitor Sony Trinitron, hadiah mama dan abah hampir setahun yang lalu. Aku bertambah ragu apabila tertera pula frasa yang tertulis: SOALAN TIDAK RELEVAN.

Apa ini? Aku menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Sempat kukancing butang baju tidur yang mendedahkan sebahagian kawasan dada. Aku beristighfar apabila mengingatkan waktu itu tengah malam Jumaat. Aku berselawat.

Mataku tersengkang luas. Pada dada monitor komputer ada lajur yang entah bagaimana tiba-tiba boleh bercahaya, malah ada suara. Apa yang pasti selesai menaip program TPXX 27 Prof Zak, aku telah memadamkan semua suis. Ya, aku pasti benar.

"Wid."

Dia tahu nama aku? Bulu romaku berdiri. Aku miruk sekali.

"Wid, kau harus sentiasa menyimpan kemas-kemas etika kemahasiswaanmu itu."

"Mmm...aku tidak pernah menyimpan angkuh bahawa aku seorang mahasiswa. Apa ada pada gelar itu? Aku fikir ia tidak pernah membawa sebarang konotasi, kecuali konsep seseorang yang menjadi pengembara ilmu. Aku tidak pernah ingin menyimpan rasa atau lebih dalam apa-apa, malah aku fikir hari demi hari betapa etos kemahasiswaan itu wajar diisih-tambah dengan ilmu lain yang mungkin dipunyai tukang sapu sampah di fakulti."

"Bagus sekiranya itu satu pengakuan jujurmu."

Sepi tiba-tiba membungkusku erat. Sama eratnya dengan dingin malam yang kian menggigit diri. Pantas aku menyarung baju tebal yang tersidai di kaki ranjang.

"Tapi bagaimana dengan Dan? Pendapatmu mengenai ekologi itu kedengaran ikhtilafnya sungguh mencapah." Dan? Dia turut tahu mengenai Dan?

Aku tarik nafas dalam-dalam. Cermin mata yang masih terlekat, kutanggalkan sebentar. Sony Trinitron nampak ilam-ilam, tetapi wajah iras Cina Dan jelas di layar fikirku. Cermin mata bingkai emas itu kuletakkan ke telinga kembali.

"Bagiku itu bukan satu keangkuhan. Malah kalau boleh aku mengklasifisikannya sebagai sebahagian bumbu dalam perhubungan kami."

"Atau itu satu alasan dari seorang yang kazab?"

"Kazab? Itu satu tuduhan berat. Mulut jangan cabul!"

"Aku menerima segala-galanya seadanya. Itu yang aku fikir, bukan yang aku rasa."

"Kau ternyata keras."

"Mungkin ya, mungkin tidak. Dalam hidup tidak mungkin sentiasa keras. Pasti ada lembutnya di sana sini. Mungkin kami berbeza sedikit. Aku fikir itu sebahagian kiarku sebagai penghuni planet ini dan penyelamat perhubungan kami. Aku pun sebenarnya enggan mencipta sebarang frasa yang sinonim dengan perpisahan. Kukira kau faham."

Aku tiba-tiba tergelak seorang. Namun cepat-cepat aku menutup mulut apabila heksagon itu terus diam. Aku gelak seorang rupanya. Heksagon itu kepetiakan betul-betul. Kedudukan lajurnya berubah sedikit, seakan ingin membentuk sesuatu yang belum jelas. Ilam. Jemariku pula memainkan mouse yang tertiarap. Sesekali dada papan kunci kutekan-tekan. Heksagon masih membatu. Aku menyelak anakanak rambut yang jatuh ke dahi, hampir menutup sebahagian kaca mataku. Sempat kucecah peluh dingin yang tumbuh merenik di pangkal dahi. Aku tersandar.

Tiba-tiba Minolta SP1000 laser printer mengganggu mataku yang melekat lama pada replika Menara Wawasan rekaan Dan - yang kerap kusinonimkan dengan wajah Dan. Pemberian Dan itu masih aku simpan - lambang keakuranku pada prinsip rethink, reduce, reuse, repair dan recycle. Aku pasti. Nal terbahak-bahak apabila mendengar alasan itu.

"Kau betul-betul dahsyatlah, Wid. Kalah Gurmit Singh."

Pantas aku bangkit mencapai kertas yang tertinta dari mesin pencetak. Ada debar yang kuat menghentam dada lantas merunas ketenteramanku. Aku terkesima. Nafasku terasa usak. Nafasku usak apabila ayat itu kuulang baca. Nafasku kian usak apabila ayat itu memaksaku pantas melukis wajah Dan dengan tiba-tiba.

Dan nafasku terasa semakin usak apabila heksagon-heksagon tadi seakan cuba membentuk huruf berselerak; namun apabila kukumpul cantum, dapat

D-E-L-ET-E:

E-K-O-L-O-G-I: D-A-N

????????????????????????????


No comments: