Pages

Tuesday, May 05, 2015

Kesetiaan

Oleh Misran Tokimin

"WAH! Kerja kuat nampaknya. Tak pergi makan? Sekarang waktu rehat!" Tegur Ramlan dari muka pintu bilik pejabat Firdaus. Tanpa dipelawa dia terus masuk. Firdaus yang sibuk menulis mempersilakan Ramlan duduk di kerusi di hadapan mejanya.

"Aku masih kenyang. Lagipun aku rasa kurang berselera nak makan." Firdaus cuba berdalih.

"Ah! Jangan pura-pura Firdaus. Sejak kebelakangan ini engkau dah tak lagi pergi makan bersama-sama group biasa kita, Ragu, Jamal, Julita dan Nora sering bertanya hal kau. Biasanya bila sampai waktu makan tengah hari engkaulah yang cepat mempelawa. Apa banyak sangatkah tugas kau tu?"

Fidaus tunduk. Jari-jarinya terus menggerakkan mata pena menulis sesuatu di atas kertas kosong.

"Tolong tutup pintu tu!" Pinta Firdaus pada Ramlan.

"Wah! Ini tentu ada rahsia penting yang nak kau beri tau!" Ramlan bergegas bangun, lalu menutup pintu bilik pejabat Firdaus. Kemudian dia duduk semula.

"Aku rasa selesa kalau berbual tanpa didengari orang lain." Firdaus terhenti sejenak daripada berkata-kata. Tangannya berhenti menulis. Dia menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Dia menggeliat kecil lalu menghembus nafasnya penuh lega. Ada sesuatu yang berat ingin diperkatakan. "Tapi kalau siswi datang berbincang mengenai pelajaran, pintu bilik itu aku buka."

"Ah! Antara pensyarah dengan siswinya apa salahnya." Ramlan mencelah.

"Fitnah Ramlan. Macam-macam cara kalau orang nak buat fitnah." Firdaus menjawab selamba. "Eee! Kau perasan tak, sejak akhir-akhir ni aku lihat Nora tu bukan main rapat dengan Azhar, pensyarah baru tu!" Firdaus mengalihkan tajuk perbualan. Suara Firdaus agak perlahan seperti orang berbisik.

"Apa kau cemburu? Apa salahnya, mereka sama-sama bujang." Ramlan menempelak.

Bagai buku lima hinggap di dahi Firdaus. Firdaus rasa geram mendengar jawapan selamba Ramlan. Dia langsung tidak memberi pembelaan.

"Dah beberapa kali aku lihat Azhar datang ke rumah Nora. Sampai lewat malam. Biasanya Nora tak akan menerima tetamu sampai larut malam."

"Mana kau tau?"

"Aku kan jiran Nora." Firdaus bersunguh-sungguh meyakinkan Ramlan.

"Ah! Jangan prasangka yang bukan-bukan. Mungkin mereka berbincang mengenai tugas. Jangan suka buat fitnah. Berdosa!"

"Aku pernah terserempak mereka pergi shoping bersama di Supermarket. Wah! mereka berpegang-pegangan tangan." Firdaus seperti tidak mendengar apa yang diucapkan Ramlan sebentar tadi.

"Please Firdaus! Be realistic. Walau apa pun yang mereka lakukan nampak manis. Sebab mereka bujang, tidak ada kaitan. Lainlah kalau Nora tu jalan berdua-duaan dengan engkau atau dengan aku. Lain pula ceritanya nanti."

Firdaus memusing kerusi eksekutifnya. Matanya dilayangkan ke luar menerusi jendela kaca. Di kaki bukit yang terletak di luar pagar kampus, dia mengamati satu-satu rumah kotak yang berpuluh-puluh jumlahnya. Berbanding sewaktu dia baru sampai di kampus itu dua tahun lalu, hanya sebuah dua saja yang baru didirikan.

"Aku ni bukan apa Ramlan. Aku kesiankan Nora tu. Aku faham perasaannya. Sebagai gadis yang sudah lanjut usia dia perlukan teman hidup, berumahtangga, mendapat anak dan menjalani kehidupan berkeluarga yang bahagia. Tapi janganlah sampai asalkan nama lelaki terus diterima."

"Apa yang tak kena dengan Azhar tu. Dia kacak. Sama-sama pensyarah. Nampak jujur. Apa yang kau risaukan. Nora tentu bahagia!" Ramlan memintas kata-kata Firdaus yang bercakap seperti tidak mahu berhenti.

"Azhar bukan calonnya untuk Nora, Ramlan. Kita sudah lama mengenalinya. Kita sudah seperti bersaudara. Nora tu gadis baik. Kuat beribadat. Lemah lembut. Bertimbang rasa. Ah! Semua yang baik-baik ada pada Nora. Aku tak dapat bayangkan gadis sebaik itu boleh hidup bersama Azhar."

"Ah! Fikiran kau ni terlalu jauh ke hadapan. Memikirkan yang bukan-bukan. Yang tak tentu jadinya. Yang tak kena-mengena dengan kau." Ramlan cuba mengikis prasangka buruk yang menghantui fikiran Firdaus.

"Aku tahu siapa Azhar tu!"

"Sejak bila?" Tanya Ramlan ringkas.

"Sejak dia bertugas di sini."

"Baru lapan bulan kau dah tau seluruh kehidupan peribadinya? Apa yang kau tahu?"

"Macam-macam. Dia duda beranak tiga. Tahi perempuan. Perce raian yang berlaku itu pun akibat isterinya tak tahan dengan perangainya. Sembahyang uh, jauh sekali."

"Mana kau tau dia tak sembahyang?" Ramlan tidak henti-henti bertanya seperti peguam dalam perbicaraan.

"Setiap hari Jumaat ada kau nampak dia ke masjid? Kawan-kawan lain semua ada."

"Mungkin dia sembahyang di masjid lain. Engkau ingat kampus ini saja ada masjid?"

"Ah! Keretanya ada di tempat letak kereta."

"Engkau ni seperti pegawai penyiasat." Sindir Ramlan. Kemudian dia terdiam seperti ada sesuatu yang tersimpan dalam kotak fikirannya. Suasana bilik itu begitu sunyi.

"Apa kena-mengena semua sifat Azhar tu dengan perkahwinan. Bila kedua-duanya dah suka sama suka, teruskan. Mungkin dengan perkahwinan nanti Azhar akan berubah. Nora dapat membentuknya menjadi manusia baik. Biasanya kalau seseorang itu sudah menyintai seseorang, dia akan mendambakan seluruh jiwa raganya kepada orang yang dicintai. Lagi pun sifat manusia ni kan boleh berubah!" Ramlan terus berhujah. Ketokohannya sebagai pensyarah pendidikan terserlah. Ternyata dia berhujah berdasarkan teori yang dipelajarinya.

"Kalau boleh begitu baguslah. Aku takut terjadi sebaliknya. Kerana daripada pengamatanku, nampaknya Nora tu yang beriya-iya benar." Firdaus terus tegas dengan pendiriannya. "Entahlah. Aku ni terlalu simpati dengan wanita. Ada semacam ketidakadilan antara lelaki dengan wanita dalam soal memilih pasangan. Kenapa lelaki diberi panduan bagaimana hendak memilih calon isteri. Bukankah ada hadis yang menyebut, ada empat perkara apabila hendak memilih calon isteri. Agamanya, hartanya, keturunannya dan kecantikkannya. Wanita juga harus diberi hak memilih calon suami yang juga mempunyai ciri-ciri seperti itu!"

"Engkau ni seperti nak menyanggah ketentuan agama. Aku cuma nak ingatkan kau. Dalam hal ini siapa memilih siapa? Adakah lelaki yang mencari wanita untuk dijadikan isteri atau wanita yang mencari lelaki untuk dijadikan suami? Wanita Melayu ni Firdaus pemalu. Takkanlah mereka hendak dikata seperti perigi mencari timba. Mereka ada maruah."

Firdaus terdiam mendengar hujah Ramlan. Ada kebenarannya kata-kata temannya itu. Kemudian dengan suara tersekat-sekat Firdaus berkata seperti mengalah:  "Aku tidaklah sampai berniat hendak menafikan tuntutan agama. Wanita juga wajar diberi hak mencari bakal suami yang mempunyai sifat-sifat seperti yang disebutkan dalam hadis tu. Takkanlah lelaki saja berhak memilih."

Firdaus berhenti sejenak. Matanya memandang tajam ke wajah Ramlan. Namun Ramlan tidak menunjukkan reaksi apa-apa. Malah dia seperti berpuas hati dengan hujahnya hingga menyebabkan nada ucapan Firdaus menurun.

"Aku cuma kesiankan Nora tu. Dia tu wanita baik. Seharusnya mendapat suami baik."

"Kau ni Firdaus tak habis-habis memikirkan soal Nora. Dia sudah dewasa. Tahulah dia mengatur hidupnya sendiri. Dan kalau dia terus mencari suami seperti yang tersurat dalam hadis tu, alamat tak kahwin-kahwinlah dia. Apa kau lebih senang melihat Nora terus bersendirian sampai ke tua?"

"Aku tidaklah bermaksud begitu. Aku cuma mahu Nora tu mendapat yang selayaknya. Dia wanita baik. Wajarlah Tuhan mengurniakan seorang yang baik untuknya."

"Nasib manusia ni tak sama Firdaus. Itu semua kerja Tuhan. Dia yang mengatur segala-galanya. Walau bagaimana baik sekalipun rancangan kita, kalau Tuhan tidak mengizinkan ia tak akan berlaku."

"Aku faham. Tapi dalam hal ini janganlah ia berlaku ke atas Nora. Aku..."

Belum sempat Firdaus menghabiskan bicaranya Ramlan menyampuk: "Kalau engkau sayangkan sangat Nora tu, engkau sajalah yang menyuntingnya! Bukankah Tuhan membenarkan lelaki berkahwin sampai empat selagi dia mampu."

Wajah Firdaus menjadi merah padam serta-merta. Dia tidak menyangka Ramlan sanggup meluahkan kata sindiran yang begitu tajam dan pedih. Seolah-olah dia tahu apa yang tersirat dalam kalbunya ketika itu. Firdaus menggenggam penumbuknya.

Ring! Ring! Ring!

Firdaus tersentak dari lamunannya apabila terdengar telefon berdering. Segala perdebatannya dengan Ramlan di pejabat tengah hari tadi yang memenuhi ruang fikirannya ketika itu terus lenyap. Dia yang sedang berbaring di atas katil sementara menunggu masuk waktu Maghrib bingkas bangun dari katilnya. Songkok putih yang hampir terjatuh, ditekannya kuat-kuat. Firdaus berlari-lari anak menuju ke telefon yang terletak di ruang tamu. Dia mengangkat gaggang telefon lalu menjawab:

"Hallo!"

"Ayah! Sayang bercakap ni."

"Oh Sayang! Sayang apa khabar?"

"Sayang baik ayah."

"Mengapa Sayang telefon ayah? Selalu mama yang telefon!"

"Sayang rindu ayah."

"Ayah pun rindukan Sayang."

"Mama tengah buat apa?"

"Mama tengah masak. Ayaaah! Tadi pagi tau mama cubit Sayang."

Suara sedu manja anak tunggalnya, Melor berumur lapan tahun, sayup-sayup kedengaran menerusi gagang telefon. Dada Firdaus terasa sebak. Ingin rasanya dia terbang malam itu juga untuk memeluk anaknya. Firdaus menahan sebak di dadanya lalu menyambung perbualan: "Mengapa mama cubit Sayang. Sayang degil kut! Atau Sayang tak mau pergi sekolah. Tentu mama marah!"

"Tak ayah!"

"OK lah. Sayang jangan degil dan nakal tau. Kalau Sayang baik tentu mama tak marah. Sayang anak baik kan? I love you!"

"I love you dad!"

"Tolong panggil mama. Ayah nak bercakap dengan mama."

"Mamaaa!" Sayup-sayup kedengaran suara manja Melor memanggil ibunya yang sedang di dapur. Tidak berapa lama kedengaran suara isterinya menjawab:

"Hallo bang!"

"Sayang mengadu katanya dia kena cubit pagi tadi?"

"Ala sikit aje. Tak berbekas pun. Dia tak mahu pergi sekolah. Macam-macam helahnya. Sakit perutlah! Cikgu nak dendalah!"

"Pujuklah dia. Mungkin ada yang tak kena."

"Dah habis pujuk tu bang. Apa lagi ketam pun menyepitlah," jawab isterinya dengan ketawa.

"OK lah. Tolong jaga anak kita baik-baik ya!"

"Abang jangan risau. Saya tahu bagaimana menghadapi kerenahnya. Cuma doakan kami selamat dan sihat-sihat selalu."

"Ya! Ya! Abang selalu berdoa setiap kali lepas sembahyang. Take  care! Bye!"

"Bye and good night!" Balas isterinya.

Firdaus meletakkan gagang telefon. Semua perdebatan mengenai Nora dengan Ramlan di pejabat siang tadi sudah berlalu ditelan senja. Fikirannya betul-betul lapang setelah dapat berbual dengan anak dan isterinya menerusi telefon. Alat itulah sebagai penghubung kasih yang sering digunakan untuk melepaskan rindu.

Kini fikirannya berlegar pula mengenai kehidupannya sendiri. Firdaus benar-benar merasa kesunyian. Tinggal sendirian di negeri di Bawah Bayu dipisahkan oleh Luat China Selatan.

Tanpa disedari sudah hampir dua tahun Firdaus menjalani hidup sendirian sejak dia ditukarkan. Sementara anak dan isterinya menetap di Semenanjung kerana memelihara ibunya yang uzur. Firdaus merelakannya demi berbakti kepada orang tua. Firdaus cuma berkesempatan menjenguk mereka setiap dua bulan. Dalam waktu seminggu bercuti itulah Firdaus dapat melepaskan rindunya pada anak dan isteri.

Selain itu hari-hari yang dilaluinya terasa begitu kosong. Tambahan pula bila sampai hari minggu. Terasa panjang dan membosankan. Kalau hari bekerja dapatlah dia melepaskan rasa sunyi bersama teman-teman. Atau sering berdebat dengan pelajarnya dalam bilik kuliah.

Sakit dan pedihnya untuk menghabiskan waktu yang kosong itu hanya Tuhan yang maha tahu. Detik-detik begitu terasa amat memedihkan. Ada waktu-waktunya Firdaus mahu saja berhenti kerja dan pulang ke Semenanjung. Tetapi setiap kali surat notis hendak ditulis jari-jemarinya menjadi kaku kerana di hadapannya ada beberapa nyawa yang perlu dihidupkan.

Apa yang ditakutinya, menjalani hidup di ruang kosong ketika sendirian. Kesepian begitu sering diganggu pelbagai ilusi yang tidak menjangkau. Bisikan syaitan yang ingin menyesatkan terus datang dan pergi. Dan setiap kali lambaian neraka menggamit, wajah anak dan isterinya bermain di depan matanya.

"Ah! Aku tidak akan mengkhinati kesetiaan mereka." Sumpah Firdaus dalam hati.

Di penjuru ruang tamu, azan berkumandang dari transistor kecil hadiah isterinya sebelum berlepas merentasi ruang udara Laut China Selatan. Firdaus tersentak daripada lamunannya. Dia kembali sedar daripada dihanyuti lebih jauh oleh arus khayalan yang tidak menentu. Firdaus menanggalkan songkok putih yang tertenggek di kepalanya lalu meletakkannya di atas meja. Dia menyinsing kain pelikat yang dipakainya paras lutut. Kemudian melangkah longlai menuju ke bilik mandi sambil beristighafar dalam hati.

No comments: