Pages

Monday, May 18, 2015

Campak

Oleh Abdul Halim R

MIMI dengan berpakaian lusuh keluar berselimutkan tuala. Wajahnya pucat. Badannya yang selama ini tegap, begitu lemah tidak bermaya. Dikutipnya buahbuah kelapa yang bertaburan di tepi basikal buruk Pak Ya. Dia terketar-ketar dan dibawanya ke dapur.

Ketika Mimi mengambil buah kelapa yang terakhir, Pak Ya menahannya. Tangan gadis yang meningkat remaja itu dipegangnya.

"Panas!....ada bintik-bintik pula di muka. Ini tentu campak... Dah turun ke kaki?" tanya Pak Ya.

"Belum ...."

"Elok minum air kelapa muda, biar semua campak tu keluar. Petang karang aku bawakan." katanya sebelum beredar.

Sepatutnya Mimi berehat. Mimi tahu. Tuk Olah juga tahu. Tetapi Mimi terpaksa juga membatu. Tuk Olah tidak terbuat kerja seorang diri. Hendak harap Salma, petang baru pulang. Hendak meminta bantuan Nazri, cucunya pun belum pulang dari sekolah. Begitu juga Syima. Jadi, Mimi terpaksa dikerah membuat kerja, membuka daun palas untuk dibuat ketupat. Kemudian terpaksa pula mengeluar, mengelap dan menyusun pinggan mangkuk untuk kenduri kurban esoknya.

Dari jauh terdengar suara Nazri dan Syima sedang menyanyi Selamat Hari Raya. Tuk Olah sedang memasak di dapur tersenyum. Giginya memutih manggis. Hasil subsidi anaknya Gani setahun lalu. Gigi asalnya mampu bertahan ketika usianya enam puluh. Selama dua tahun dia terpaksa mengunyah dengan beberapa batang gigi yang rosak. Ketika itu Mimi terpaksa memasak nasi dua periuk. Satunya lembik untuk Tuk Olah. Ulamnya juga mesti ditumbuk lumat- lumat oleh Mimi. Kalau tidak Tuk Olah terkial-kial mengunyah macam unta membaham daun.

"Mana baju Nazri Tuk?"

"Itu ha, atas almari buku," senyum Tuk Olah meleret lagi. Tidak sabar- sabar lagi Nazri melondeh seluarnya lalu menyarung pakaian baru. Dia menggaya-gayakan badannya yang kurus renjong itu. Kulitnya yang hitam itu dipadankan dengan pakaian warna putih. Betul-betul macam tentera laut. Mimi turut tersenyum melihat adik angkatnya yang 12 tahun itu.

Mimi beredar ke dapur memasang langsir. Salma membelinya untuk hari raya puasa yang lalu. Jenis murahan, tidak seperti langsir di jendela depan, semuanya jenis mahal. Mimi merasa sebak. Air jernih tergenang di kolam matanya. Dia teringatkan jenis kain pakaiannya hari raya puasa dulu itu serupa dengan kain langsir di dapur, cuma warnanya yang berbeza.

"Ewahhh...tingkap pun boleh berjalan, hi-hi-hi," usik Zauyah anak Pak Long Gani, setahun lebih tua daripadanya.

Dia tidak menjawab, tidak juga menunjukkan muka masam. Tetapi hatinya hancur, bagaikan ketulan tanah digelek steamroll. Hatinya sedih ditindih kepedihan apabila melihatkan anak-anak Pak Long Ghaninya, Rizal dan Rose turut ketawa geli dengan gurauan adik mereka Zauyah.

"Aku tingkap? Kalau aku tingkap, Rose pun tingkap, Zauyah juga tingkap, kerana kain pakaian mereka boleh juga dibuat langsir. Meskipun mahal, tentu boleh dijadikan kain langsir di rumah menteri atau di istana raja! Perasaannya itu hanya bertenggek di dalam hatinya saja. Dia masih sedar, dirinya siapa untuk berhujah dengan anak-anak Pak Long Gani.

Kenangan hari raya yang lalu ternoktah apabila Tuk Olah menyergah,

"Heh, jangan termenung. Sudahkan kerja kau tu. Lepas tu pergi bersihkan halaman depan."

Mimi tidak membantah apa saja yang diperintah. Tidak juga merungut apa jua yang disuruh. Dia tetap meladeni apa yang dikehendaki Tuk Olah, Karim, Salma mahupun adik-adiknya Nazri dan Syima. Begitulah, dalam menganggotai keluarga lima orang itu, hanya dia saja yang disuruh. Tambah lengkap pula khidmatnya apabila keluarga Pak Long Ganinya berkunjung. Dia jugalah yang menjadi sasaran menerima arahan.

Rizal, lulusan negara Kangero itu apabila datang Mimilah yang disuruhnya mengait kelapa muda untuk diminumnya. Rose yang pendiam dan masih bujang seperti abangnya, juga selalu menyuruhnya menumbuk garam belancan buat cicah buah-buahan muda. Begitu juga Pak Long Gani dan isteri. Mereka seolah-olah mengidam hendak makan masakan Mimi. Mereka sekadar membawa bahan masakan. Kemudian diserahkan kepada `tukang masak' restoran rumah papan dua tingkat itu. Mereka semua senang-senang berbual di hadapan rumah.

Dengan berwajah `Monalisa' Mimi berkhidmat seikhlas hati. Tetapi ketenangan itu selalu dirobekkan oleh Zauyah, anak bongsu Pak Long Gani yang masih di tingkatan lima. Setiap kali Zauyah datang, Mimi selalu cemas, bagaikan dirinya terkurung bersama seekor beruk ganas.

Zauyah membenci Mimi, kerana semasa sekolah rendah dulu dia tinggal bersama neneknya Tuk Olah. Umur mereka hampir sebaya itu begitu rakus merebut kasih sayang seorang nenek. Meskikpun Tok Olah lebih menyayangi Zauyah, tetapi cucunya itu tidak berpuas hati. Dia fikir Tuk Olah lebih menyayangi Mimi, kerana Mimi selalu disuruh buat kerja.

Kebencian itu berakar tunjang hingga mereka meningkat remaja. Redapan benci api di bawah sekam itu kian menjalar bila Zauyah sering `ditewaskan' oleh Mimi dalam hal kerajinan dan kepandaian. Mak Long dan Pak Long Gani mengambil perbandingan itu bila meleteri Zauyah.

Ketika Mimi sedang membersihkan halaman depan, datang Dodoi berligar- ligar di kakinya. Kucing melarat yang entah dari mana datangnya, kini turut menumpang di rumah papan dua tingkat itu. Sama juga dengan nasibnya, seolah-olah dicampak bapanya ke rumah orang. Rumah papan dua tingkat itu menjadi dunianya kini.

Betapa perceraian ibu bapanya menyebabkan dia terpisah dari tujuh orang adik-beradiknya. Ibunya kini entah ke mana. Abang, kakak dan dan adik- beradiknya juga entah di mana. Kekeluargaan mereka terputus. Hilang tanpa punca. Masingmasing bagaikan burung terbang dari sangkar, membawa haluan sendiri-sendiri.

Dia tahu bapanya miskin. Mengambil upah kerja kampung. Kemiskinan itulah yang menghakis kasih sayang ibu dan bapanya. Kepapaan itu mencantas kesabaran. Pertengkaran ibu dan bapanya adalah makanan harian yang disumbat ke telinga mereka.  Akhirnya berlaku perceraian. Bukan saja menggegarkan tiang  arasy, malah menghancurkan seluruh keluarga. Adik- adiknya tersadai ke rumah orang yang memerlukan. Dia sendiri tercampak ke rumah papan dua tingkat itu. Dia diserahkan kepada Tok Olah dan Salma yang memerlukan pembantu rumah. Mimi yang muda itu hendak diasuh menjadi pembantu yang sempurna, sekaligus dianggap anggota keluarga.

Mula-mula tinggal bersama keluarga Tuk Olah, bapanya sering datang melihatnya Mimi tahu, kunjungan itu bukan untuk menjengahnya, tetapi berkehendakkan duit yang bernama `hutang'. Salma dan suaminya Karim tahu, bukan hutang sebenarnya tetapi wang sogokan.

Tuk Olah tidak senang dengan keadaan begitu. Dia mahu Mimi merasakan sebagai keluarga sendiri. Bapa Mimi tidak datang. Kedatangan bapa Mimi kali terakhir, di mintanya wang dan pakaian terpakai.

Karim menantu Tuk Olah telah memberi kata pemutus. Mimi diserahkan kembali atau bapanya jangan datang-datang lagi. Dengan sedikit rasa kesal, bapanya yang lebih mementingkan wang. Dan itulah kali terakhir Mimi bersua bapanya. Peristiwa pahit itu menghantui fikirannya sejak sepuluh tahun lalu, ketika usianya enam tahun.

"Mimi..!... hujannn! Masuk ke rumah!" jerit Tuk Olah.

"Hujan rintik-rintik saja Tuk!" Mimi menjawab selamba sambil menyapu sampah.

"Rintik-rintik pun hujan juga, nanti berparut campak di muka kau tu," Mimi terus masuk ke dalam rumah. Badannya terasa seram sejuk dan gatal- gatal.

"Makan nasi tu, karang masuk angin, susah." perintah Tuk Olah.

Mimi beredar ke meja makan. Juadahnya bersepah-sepah bekas dimakan Tuk Olah tiga bercucu. Sewaktu dia membersihkan halaman depan, mereka bertiga makan bersama. Dia tidak diajak kerana sudah lumrahnya begitu.

Ketika Nazri masih bayi, dia terpaksa menjaga budak itu ketika orang lain enak-enak menjamu selera. Dia sempat mengisi perut ketika orang lain bersendawa kekenyangan. Apa yang tinggal itulah habuannya. Itulah juga makanan kucing-kucing di rumah itu.

Sehingga Nazri dan Syima besar, dia tidak lagi mengawasi anak-anak itu. Tetapi dia tetap makan kemudian. Dia seolah-olah diatur untuk melayan orang lain ketika makan. Pernah dia disuruh makan dahulu selepas selesai memasak, tetapi tidak tergamak pula menjamah sebelum seluruh keluarga angkatnya itu makan.

Sesekali mengalir juga air matanya.Terkenangkan ibu bapa? Ibu bapanya sendiri yang mencampaknya ke rumah orang. Teringatkan adik-beradiknya? Pun tidak diketahui di mana mereka berada. Termenungkan nasib malang tanpa tempat bermanja? Tanpa teman berbicara dan tanpa mengenal alam persekolahan? Dia merasakan kehilangan. Tiada destinasi yang pasti. Semuanya terkumpul menjadi segumpal kekesalan yang padat dalam kotak hatinya.

Namun dia rasa bertuah dapat bertahan dengan rasa gigih dan sabar. Itulah harta bernilai yang dimilikinya. Dengan gigih dan sabar dia menumpang belajar melalui adik-adik angkatnya. Dia tidak lagi buta huruf. Dia tidak buta agama, kerana beberapa kali seminggu dia berkesempatan belajar di surau dekat rumahnya. Dia amat tekun belajar ilmu agama sambil merebut peluang mengamalkannya. `Kalau di dunia aku kecewa, di akhirat biarlah bahagia' begitu kukuh azamnya.

Selepas makan tengah hari, dia terus ke kamar usangnya. Direbahkan diri untuk berehat. Syima masuk ke kamarnya dengan membawa Dodoi kucing kesayangan mereka. Dodoi begitu manja. Nasib Dodoi lebih cerah daripada nasibnya sendiri. Dodoi dimanjakan manakala dia dipersiakan-persiakan.

"Syima..." Salma memanggil dan Syima berlari keluar kamar.

"Jangan main-main di situ, nanti jangkit!" Suara Salma separuh berbisik tetapi dapat jua didengar Mimi. Hatinya bagai dihiris. Semangatnya terbang ke langit. Kenapa kalau orang lain sakit, dia yang mesti membantu? Bila dia sakit, orang lain mesti menghindar diri?

Air matanya meleleh di pipi yang berkulit kuning langsat itu. Rambut yang panjang melepasi bahunya dikuak-kuak ke belakang. Dia tidak jadi tidur. Lebih selesa duduk dengan memeluk lututnya.

Dirinya tidak begitu dihargai. Khidmatnya selama ini bagaikan air cucuran atap terbuang ke parit. Tetapi hatinya yang remuk itu dapat juga dicantum semula dengan kesabaran dan syukur. Dia merasa beruntung pula, meskipun diperlakukan seperti `hamba-pecacai'. Dia mendapat banyak pengalaman dalam kerja-kerja rumah. Dia sudah mahir dalam soal masak- memasak dan jahit-menjahit. Semuanya kerana ketaatannya menurut perintah keluarga Tuk Olah.

Kalau dipinang orang, dia tidak gugup menjadi suri rumah dan mampu mewarnai suasana rumah tangga yang harmonis. Biar miskin harta tapi kaya pengalaman.

Petang itu, sewaktu Pak Ya datang, Rizal sedang meratah sayur keladi.

"Gatal!" rungutnya.

"Kalau Mimi yang masak, tentu tak gatal. Eh, siapa ada coklat?" tanyanya. Rose membuka tasnya, dikeluarkan sebutir.

"Hai, nanti dulu. Coklat apa tu? Kalau bergas, jangan!" Pak Ya yang sedang memegang buah kelapa muda itu menyergah. "Kalau makan sayur keladi, jangan makan coklat yang ada gas. Boleh matiii tau!" ujarnya lagi.

"Orang kata, tembikai dengan susu pun tak boleh, betulkah Pak Ya?". Rose pula bertanya.

"Benar. Banyak makanan kita boleh jadi racun kalau salah makan. Ha, kalau makan durian, tak boleh makan ubat. Merbahaya!"

"Lagi?" Rizal mencelah.

"Manggis dengan susu, gula...ah, banyak lagi yang mesti kita berhati- hati. Hmm, mana Mimi? Ini ha, ada kubawa kelapa muda. Minum airnya, biar segera keluar campaknya," kata Pak Ya sambil mencari-cari Mimi.

Pagi raya menjelang tiba. Sejak subuh lagi Pak Long Gani, Mak Long dan Zauyah sudah tiba. Selepas bersarapan, mereka semua ke belakang rumah. Seekor kambing jantan mengembek-ngembek, diruntun-runtun tali yang dipegang Zauyah. Pak Long Gani dengan Rizal merebahkan kambing yang kian meronta itu. Pak Ya sebagai tukang sembelih bersiap sedia dengan sebilah pisau tajam di tangannya.

Mimi masih berselimut di dalam kamar. Campak tumbuh merata badannya sudah menjalar sampai ke kaki. Terasa rimas, gatal dan gelisah tidak menentu. Sesekali dia terbatuk-batuk. Dia mendengar keriuhan dan hilai ketawa anak-anak Pak Long Gani dan kebisingan Nazri dan Syima. Sesekali terdengar juga suara Tuk Olah, Karim dan Salma.

Apabila hari kian meninggi, orang ramai pulang dari surau dan masjid. Mimi masih juga berselimut di pembaringan. Dia mendengar bunyi tumis- menumis, kudisnya terasa menyucuk-nyucuk.

"Mimi...boleh tolong sekejap, kami nak bergambar. Kau tolong tengok gulai di kawah tu," Salma mengejutkan Mimi dan gadis itu terus mengumpul tenaga. Digagahnya bangun lalu terus ke kawah kari kambing di luar rumah. Diambilnya penyodok lalu dikacau-kacaunya. Keluar asap berkepul-kepul menyerkup mukanya.

"Hei! Jangan! Jangan di situ! Masuk cepat ke dalam!" jerit Pak Ya yang kebetulan datang. Orang tua itu berleter panjang kepada semua yang ada.

"Pantang datuk nenek kalau campak bertemu daging kambing." gerutunya.

Memang benar, sejak hari raya itu campak di muka Mimi kian membesar. Seluruh badannya lembap dengan air bisa. Kudisnya kian merebak. Hilang wajahnya yang ayu, bertukar menjadi buruk dan menjijikkan. Dia mengerang kesakitan dan kelesuan, menyebabkan beberapa kali jatuh pengsan.

Salma terasa berdosa. Tuk Olah merasa bersalah. Di hati kecil Salma terserap perasaan hiba. Ada sesuatu yang mencengkam rasa kemanusiaannya. Dia selama ini tidak pernah memikirkan kebajikan anak angkatnya itu. Mimi disuruh kerja siang malam. Berkhidmat tanpa upahan. Tiada emas buat ganjaran, tiada ringgit untuk simpanan. Andai berpergian ke mana-mana, Mimi tidak dibawa bersama. Mimi terpaksa menjadi penjaga rumah papan dua tingkat itu. Sesekali kalau Mimi dibawa bersama keluarganya, mesti diberi tugasan tertentu.

Sejak Mimi sakit, entah mengapa perasaan Salma begitu terharu. Diambilnya beberapa hari cuti untuk merawat Mimi. Semasa dia berbaring- baring di kamar Mimi, putaran kenangan datang menggoda. Betapa anak angkatnya itu dipersiasiakan. Pengagihan kasih tidak seimbang. Kalau hari jarang diladeni serupa itu.

Keadilannya tercabar lagi. Untuk anak-anaknya disediakan wang tabungan, tetapi buat Mimi langsung tidak ada. Tidak pernah terlintas di kepalanya, atau di kepala Karim, pun tidak pernah terbayang di kepala Tuk Olah, betapa Mimi juga perlu mendapat hak sewajarnya.

Andainya Mimi diberi upah, sudah pasti beribu ringgit menjadi miliknya sejak bertugas selama sepuluh tahun. Salma berfikir lagi. Selama Mimi terlantar sakit, sarapan pagi di rumah itu tidak lagi teratur. Pakaian mereka tidak berdobi. Rumah tidak terurus. Barulah disedarinya, betapa bernilainya seorang insan yang bernama Mimi.

Mata Salma digenangi air. Pemandangannya menjadi kabur ... telinganya terdengar-dengar "Mimi sudah tiada..". Salma meraung meratapai pemergian Mimi. Dia meraung tanpa suara. Dia merintih tanpa kata. Baginya kehilangan Mimi amat sukar dicari ganti. Dia menyesal amat, kerana gagal menjadi ibu angkat yang baik. Atau sekurang-kurangnya menjadi majikan berhati perut. Dia hanyut dalam kekesalan. Dia lemas dalam penyesalan.

"Maaaak..." terdengar suara lesu di pembaringan. Salma membuka matanya. Kiranya dia terlelap diserkup igauan.

No comments: