Oleh Daniel Jebon Janaun
GEGARAN panjang yang berlarian di dada Lina, memang bukan ciptaan mimpinya. Bukan pula permainan halusinasinya. Jauh sekali daripada niat akal sedarnya.
Tetapi gegaran pantas yang menyelinap setiap urat nadinya itu sudah cukup mengundang selaksa pengertian, yang wajar saja ditafsir dengan mulut bisu, tapi justeru minda harus terus terbuka.
Gegaran itu mulai bangkit dalam hidupnya, lama sebelum ia mengenal erti kehidupan sebenar di bumi nestapa ini.
Tidak pun difahaminya mengapa dunia ini harus dihuni manusia yang hilang kemanusiaan - yang bahkan dirasuk naluri kebinatangan.
Segala-galanya tidak mampu dimengerti oleh akal sedarnya, tidak pula akal bawah sedarnya.
Lantaran itu, hidupnya sentiasa saja diburu ketakutan, lalu menjalarlah ketakutan itu membentuk lingkaran misteri yang menjadi taufan kekal dalam hidupnya.
Taufan itulah yang membuat dadanya terus dilanda gegaran demi gegaran, yang diam-diam memadam kecekalan hati dan keteguhan imannya. Benih ketakutan itu tertanam dalam hidupnya sewaktu ia mula menyaksikan perpisahan.
Dia terpaksa berpisah dengan ibu kandungnya yang meninggal dunia akibat penyakit barah hati beberapa tahun lalu. Perpisahan baru ini lanjutan daripada episod lama yang masih berdenyut dalam setiap inci pertumbuhan biologinya.
Perpisahan dengan ibu tersayang, satu-satunya kenyataan yang sukar diterimanya, kerana dia masih belum mampu membasuh saki baki keperitan hidupnya selepas perpisahan kedua-dua ibu bapanya.
Kini dia melalui dua episod perpisahan yang sedikit demi sedikit menghakis ketahanan mentalnya.
Episod perpisahan pertama berlaku ketika ayahnya menguji kemampuannya untuk berlaku adil jika mempunyai dua isteri.
Kedua ibu bapanya itu, terpaksa bercerai, kerana ayahnya mengambil keputusan menambah isteri dan ibu kandungnya pula tidak mahu menerima keputusan yang dibuat di luar pengetahuannya.
Lina mengasihi kedua-dua ibu bapanya. Tetapi justeru ibu adalah orang yang paling dekat dengannya, dia mengambil keputusan untuk bersama ibunya itu, ke mana pun ibunya berada.
Ibunya kemudian bertemu dengan lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan. Kini hadirlah orang baru dalam hidup Lina menggantikan ayah kandungnya itu.
Entah takdir atau bukan, kehadiran orang baru itulah yang rupa-rupanya memulakan sejarah hitam dalam hidupnya.
Malam sudah hadir dan malam itu terus menggelapkan hidupnya tatkala orang yang selama ini menjadi pelindungnya sudah mabuk oleh nafsu, ketika dia dirangsang oleh air yang memabukkan.
Amat menyedihkan kerana sepeninggalan ibunya, ayah tirinya itulah yang diharapkan menjaganya. Ternyata, nafsu binatang tidak memilih kedudukan, status atau pun pertalian.
Kegadisannya musnah sewaktu umurnya menjangkau 15 tahun. Sampai saat ini, ia masih tidak mengerti, mengapa ayah tirinya sanggup melakukan perbuatan terkutuk itu? Mahu saja dia membunuh diri, tetapi masih punya akal untuk memikirkan salah silapnya semua itu. Akhirnya dengan diam-diam dia berdoa semoga celakalah bapa tirinya.
Gegaran di dadanya itu tidak tamat di situ saja. Bahkan gelora besar melanda pula sesudah dia meninggalkan rumah kongsi, tempat dia ditiduri ayah tirinya itu.
Hal ini berlaku kerana teman-teman lelakinya di kota raya juga bersaing menunjukkan sifat kebinatangan. Dan sebagai wanita, dia kalah terus menerus. Dirinya menjadi bahan ujian. Semua itu mulai membakar hidupnya.
Dia tahu hidupnya perlu dibina. Dia tidak mahu bergelumang dalam kesalahan dan dosa berpanjangan.
Lalu dengan diam-diam keinsafan menjelma dengan kukuh, dan terbukalah pintu hatinya untuk memasuki satu dunia rohani yang murni.
Lina mengambil keputusan memasuki sekolah agama. Hajat di hati untuk menjadi guru agama yang sejati. Dia mahu membina hidupnya dari puing masa silam yang menyakitkan. Kini Lina bergelar ustazah.
Tak lama lagi dia akan mengajar di salah sebuah sekolah di utara.
Namun peristiwa masa silam kembali menggugat hidupnya, sewaktu berkenalan dengan Cikgu Murad, yang kebetulan mengambil KPLI di salah sebuah kolej berhampiran dengan sekolah dia mengaji.
Cikgu Murad meluahkan isi hatinya. Dan itulah yang amat menakutkan Lina beberapa waktu. Wajahnya murung. Jiwanya bergelora.
Lina terbayang-bayang lintasan peristiwa yang menakutkan itu. Kerana itulah sewaktu Cikgu Murad mempelawanya pergi ke sebuah pulau peranginan, dadanya berombak.
Sukar baginya membincangkan soal yang menyangkut perasaan. Hati Lina berperang sendirian.
Tetapi untuk tidak mengecewakan Cikgu Murad yang baik itu, akhirnya Lina mengaku kalah, dan dia bersedia menerima pelawaan lelaki itu.
Kini mereka berada di sebuah pulau peranginan. Di depan pantai yang bersih, mereka duduk di sebuah bangku santai. Sore bersinar memahatkan cahaya di permukaan laut yang berombak kecil.
"Maafkan aku, Lina," suara Cikgu Murad lembut. Dia memahami gejolak di dada wanita itu. Terasa benar dia bersalah mempelawa gadis itu. Tahu dia bahawa hukumnya haram bersama wanita bukan muhrim. Kalau kedapatan, pasti saja mereka dituduh berkhalwat.
Tiba-tiba saja bulu romanya meremang tatkala mengingatkan semua itu. Diam-diam dia berdoa, kiranya tidak ada musibah akan berlaku dalam hidupnya.
Niatnya suci. Sesungguhnya kerana harapannya ingin meluahkan sesuatu yang amat berharga dalam hidupnya.
"Aku tahu. Memang salah aku membawa Lina di sini. Tetapi, ah, rasanya kita masing-masing mempunyai tujuan yang baik. Sekali lagi, maafkan aku, Lina," ucapnya perlahan.
Murad mengerling malu-malu ke arah Lina yang berwajah ayu itu. Lina melemparkan mata panjangnya ke sisi pantai putih, menangkis pandangan Murad yang tajam. Lina diam.
Murad juga diam. Dia tidak tahu apa lagi yang harus diungkapkannya sesudah memberikan isyarat yang tidak memerlukan refleksi akal yang panjang. Mulutnya kaku untuk mengungkapkan sesuatu.
Sebagai balasannya Lina menghembuskan nafas berat. Dia mulai bicara, tetapi lebih kepada dirinya sendiri.
"Aku takut, aku takut ..." Hanya bibir Lina saja yang kumat-kamit. Akhirnya dia membuka mulutnya yang hampir kaku itu, sedang jiwanya bergetar tidak menentu.
Murad dapat membacanya. Dia mulai resah dipukul rasa bersalah. Tetapi sebagai lelaki yang bertanggungjawab, dia bersedia menerima prahara yang mungkin melanda ruang pertemuan itu.
"Kenapa?" Tukasnya perlahan. "Takut kerana membawa kamu ke mari?" Lina memahami getar nada suara Murad yang menandakan rasa bersalah yang bukan direka-reka.
"Bukan begitu, Rad." Lina ikhlas. Murad berusaha menyelami perasaan wanita itu sesudah mendapat maklum balas yang hangat.
"Kau takutkan sesuatu, sesuatu yang berupa bayang-bayangkan?" Murad berusaha menyelam ke dasar jiwa wanita itu.
Lina memandang Murad. Rupa-rupanya Murad berjaya menterjemah raut lesu di wajahnya. Memikirkan hal itu, Lina mulai dibasahi keringat dingin.
"Apakah engkau tahu sejarah hidupku?" Dia ingin berkata tetapi ungkapan itu tersangkut keras di kerongkongnya. Maka luruhlah hasratnya untuk menceritakan rangkap hitam pengalaman hidupnya.
Lina menggeleng.
"Jadi kalau begitu, kenapa?" Murad membetul-betulkan anak rambutnya yang jatuh di dahi. Dan mulai jinaklah perasaan Murad ketika itu.
Direnungnya wajah Lina yang bersih. Dia begitu gembira dipertemukan dengan gadis ayu yang bukan saja jelita tetapi kaya ilmu agamanya.
"Apakah kemurungan itu kerana engkau berasa rendah diri?" Bisiknya dalam hati. Dengan segera ditepisnya lintasan buruk sangka yang mula nakal bermain di pelantar akalnya.
Dia kepingin menghantarkan kekuatan dirinya, untuk membantu memperkukuhkan peribadi Lina yang hampir-hampir tumbang oleh kewalahan masalah peribadinya itu.
"Kenapa?" Murad menagih pengertian.
Lina tidak segera merincikan peristiwa yang menakutkan itu. Tetapi dengan cepat pula mata akalnya terlihat kilasan wajah Najamuddin, yang tiba-tiba muncul mengisyaratkan dengan senjata ancaman, agar dia wajar menutup mulutnya.
Lina terngiang-ngiang kata-kata Najamuddin yang garang mengancam: "Ingat, jangan bagi tau sesiapa pun. Jangan buka mulutmu. Jika tidak mahu belati ini tembus terus ke jantungmu!"
Ketika itu dia tahu betapa rakus dan kasarnya Najamuddin mengembalikan ikatan bajunya sesudah berjaya merampas mahkota wanitanya.
Lina terketar lagi. Gegaran ancaman itu amat kuat menggugah peribadinya. Wajah lelaki yang mengancam itu mematikan niat Lina untuk membuka mulut.
Wajahnya pucat serta-merta selepas mengetahui bahaya yang berekor-ekor di belakang hidupnya. Wajah ayah tirinya itu tentu tidak akan pudar di matanya, kini dan selama-lamanya.
"Kenapa, Lina?"
Murad melihat perubahan mendadak wajah wanita itu. tetapi Lina diam. Dipandangnya Murad dengan rasa bersalah. Tetapi wajah Murad itu pun dilihatnya bukan milik Murad yang sebenar, seolah-olah ditempel wajah Rabe Chandra.
Rabe Chandra tersengih dan terus tersengih bagai halilintar membelah langit. Sungguh memukau Lina dan matanya tidak lagi berdaya menyaksikan segala permainan itu.
Kini tak mampu lagi dia menatap sejujurnya wajah mulus Murad, kerana di situ tercalit perbuatan Rabe Chandra merenggut kesuciannya sewaktu senja terbenam.
Kini senja mulai terbenam. Maka hangat betullah kenangannya yang perit diperlakukan Rabe Chandra itu, walaupun lelaki itu mengaku dengan sejuta janji akan mengambilnya sebagai teman hidup.
Lina menggigil. Murad kaget serta merta, kerana dia berjaya membaca perubahan air muka Lina saat itu.
"Kenapa, Lina?" digoncang-goncang bahu wanita itu kerana ingin membenihkan harapan agar tidak diperdaya perasaan takut.
Lina terkejut dan menangis tiba-tiba. Murad tambah tidak mengerti kerana tangisan itu tidak difahaminya sedikit pun. Apakah puncanya? Murad tertanya-tanya sendirian.
Gegaran yang melanda diri Lina itu begitu parah, kerana setiap kali dia merenung wajah lelaki, yang tergambar di kepalanya wajah lelaki yang pernah menunjukkan kejantanan secara mesum ke atasnya.
"Katakan padaku, Lina, apa yang menghantui fikiranmu?"
Tetapi Lina tidak menjawab. Dia tidak termakan pujuk, jauh sekali terpedaya oleh nada sayu seorang lelaki. Baginya lelaki itu sama; perosak kehidupannya.
Kerana itu Lina tidak dapat bertahan lagi berdiri di hadapan lelaki. Dengan ketakutan, dia terus berlari seperti ingin melepaskan diri dari belenggu kegelapan, kerana ingin mengejar setompok cahaya untuk menyuluh jalan pulangnya.
Sesungguhnya Lina terfikir betapa dia tidak mungkin lagi dapat membersihkan dirinya daripada segala kekotoran yang dipalitkan orang terhadapnya.
Dirinya kotor. Kekotoran itu menghitamkan hidupnya dan masa depannya.
Tuhan saja yang mampu membasuhnya. Kerana itu Tuhanlah yang akan ditemuinya. Bukan lelaki. Bukan. Bukan sesiapa.
Dan kerana keputusan itu, Lina sudah lama menyematkan sesuatu yang murni di hatinya.
Dia akan memperhambakan diri sepenuhnya kepada Khaliknya.
Lina tidak mahu memberikan sesuatu yang kotor untuk Murad, kerana Murad terlalu suci untuk menerima kehadirannya.
Tepatnya, Lina tidak mahu Murad yang bersih itu turut dipaliti warna hitam dalam hidupnya.
Dengan kesedaran itulah, dia berlari sekuat-kuatnya meninggalkan harapan yang sebenarnya mulai diletakkannya kepada Murad.
Lina tidak mampu bertahan lagi. Kesabarannya sudah melebur. Lalu dia terus berlari meninggalkan lelaki jujur di hadapannya itu.
Begitu kelakuan Lina berubah, Murad tentunya dilanda perasaan serba salah dan sejenak kemudian, dia sempat berfikir, kalau-kalau patut atau tidak, layak atau sebaliknya, dia menyalahkan dirinya sesudah itu.
Murad kini berdepan dengan kenyataan yang terlalu sukar difahaminya. Kerana kenyataan itu seolah-olah menjadi selaput najis yang menyelubungi pemikiran rasionalnya.
Dalam suasana peperangan emosi yang parah itu, Murad tidak kepingin membiarkan Lina meninggalkannya. Lalu dengan sekuat tenaga pecut lelaki yang dimilikinya, Murad berlari mengejar. Mengejar Lina dan ditangkapnya tangan Lina.
Lina terkejut. Dia menjerit seperti dirasuk roh halus.
"Jangan, jangan, Murad! Pergi, pergi kau dari sini!" Lina menjerit dan meronta-ronta minta dilepaskan.
Murad bertambah bingung. Beberapa pasang mata yang hadir di pulau itu melihat ke arah mereka.
"Bertenang, Lina. Bertenang. Katakan apa yang mengganggu fikiranmu," katanya memujuk dan serentak itu melepaskan tangan Lina yang dipegangnya.
"Jangan dekati aku, Murad. Pergi kau dari sini!" Suara Lina keras sekeras-kerasnya. Murad terkasima. Dia terus tidak mengerti.
"Bila-bila masa aku boleh pergi daripadamu, Lina. Tapi, biarlah aku tahu, kenapa kau berubah seperti ini."
Selepas menuturkan kata-kata itu, maka berperanglah seribu satu macam suara yang mencengkam hati masing-masing. berkata, meminta kasihan, "Terus terang Lina ..."
Lina mengerti kata-kata sayu itu. Dia menjawab, "Apa lagi yang harus aku katakan, Rad?"
Murad mengaku dan kini baginya tidak ada masa lagi untuk bertangguh- tangguh.
Kerana itu dengan terus terang dia meluahkan isi hatinya.
"Apakah engkau tidak dapat membacanya, Lina. Mustahil. Mustahil engkau tidak membaca hasratku."
"Aku mengerti, Rad. Aku mengerti perasaan dan hajat hatimu yang suci. Maka kerana aku tahulah, aku tidak sanggup berdepan denganmu."
"Tapi kenapa?"
"Aku tidak sanggup mengongsinya. Tak sanggup, Rad."
"Kenapa?"
"Jangan desak aku, Rad. Carilah perempuan lain yang lebih layak untuk menjadi pasangan hidupmu."
"Apakah maksud semua itu?" Bisiknya berulang-ulang kali. Tahu-tahu dalam diamnya itu, kelopak matanya sudah dipenuhi air mata.
Lina begitu nekad meninggalkan Murad. Kerana ketidaksanggupan itulah, Lina terus berlari meninggalkan Murad.
Murad semakin tidak mengerti.
Tetapi walau apa pun yang terjadi, Murad mengambil keputusan muktamad untuk menjadikan Lina sebagai isteri sejati.
Dan Murad pun membenarkan kepergian Lina ketika itu dengan pandangan yang penuh teka-teki.
BIODATA PENULIS
Nama: Jebon Janaun
Tarikh Lahir: 25 Ogos 1967
Asal: Kota Marudu, Sabah
Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Awam dengan kepujian, UUM.
Mula menulis: 1980-an
Antara kejayaan yang dicapai:
1995: Menang hadiah pertama dan kedua Peraduan Menulis esei anjuran DBP, cawangan Sabah. 1994:
1.Menang hadiah kedua dan sagu hati Peraduan Menulis Esei (kategori awam), anjuran DBP, cawangan Sabah.
2. Menang hadiah pertama dan dua hadiah penghargaan Peraduan Menulis Cerpen Hadiah Cerpen Maybank-DBP 1993 (kategori A).
1992: Menang hadiah kedua Peraduan Menulis Esei (kategori Awam) anjuran DBP, cawangan Sabah.

No comments:
Post a Comment