Pages

Thursday, May 14, 2015

Warisan

Oleh Ismail Hashim

NEKMAN menghitung usianya. Sudah pun menjangkau 45 tahun. Masih belum lagi berumah tangga. Nekman faham dirinya adalah lelaki tulen. Keinginan itu tetap membara. Hanya satu yang kurang. Duit simpanan satu sen pun tak ada. Desis hati kecilnya.

Kalau tak ada duit simpan, macam mana nak kahwin? Macam mana nak jadikan wang hantaran dan perbelanjaan perkahwinannya?

Nekman tahu, persekolahannya tak setinggi macam adik-adiknya. Tidak seperti Yusri yang sampai ke universiti. Tidak seperti Dollah, yang berjaya ke maktab perguruan. Nekman hanya berkelulusan sekolah rendah. Itu pun persekolahannya tidak khatam.

Pak Taha memberhentikan persekolahannya semasa Nekman dalam darjah tiga. Alasannya, Nekman tidak cepat menangkap apa yang diajarkan guru. Buang masa! Akhirnya, Nekman diberhentikan sekolah.

Adik-adiknya bersinar otaknya. Pak Taha sanggup mengorbankan wang membiayai mereka berdua dari peringkat rendah sampai menengah dan universiti. Tapi dia? Mewarisi pekerjaan Pak Taha, ayahnya. Nekman bagaikan mempertikaikan ketidakadilan ayahnya selama ini.

"Kau bantu aku di kebun, Nekman...sama-sama dengan ayah menanggung keluarga dan adik-adik kau yang bersekolah itu," kalimat Pak Taha itu masih terngiangngiang di celuping telinganya.

Nekman patuh tugas hariannya itu. Ke ladang mencari kayu api. Ke sawah meracun rumput. Oleh kerana Nekman boleh diharap, segala kerja kampung terletak di bahu Nekman.

Pak Taha tersenyum lega kerana kerja-kerjanya menjadi bertambah ringan semenjak adanya Nekman membantunya di ladang.

"Aku dah daftarkan nama awak di Lembaga Urusan dan Tabung Haji...tahun depan kita sama-sama pergi haji," kata Pak Taha pada Mak Limah.

Kenduri diadakan dan orang kampung dipanggil meraikan majlis itu. Yusri balik bersama anak-anaknya. Dollah memberikan alasan, tarikh yang ditetapkan oleh Pak Taha itu tidak kena. Dia ada seminar di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur. Nekman mendoakan Pak Taha dan Mak Limah selamat pergi dan balik. Namun hatinya berkata juga. Banyaknya duit ayah, dapat pergi haji dengan mak. Tapi aku ni? Pertanyaan itu diajukan kepada dirinya sendiri. Sampai bila aku nak jadi begini?

Nekman menghitung usianya yang lanjut, tapi belum lagi menikah. Yusri bernikah ketika usianya 25 tahun dan kini mendapat lima orang anak. Dollah juga menikah dengan kerani sekolah tempat dia mengajar.

"Awak ni...masuk tahun ini...dah empat kali pergi haji...cuba fikirkan anak kita tu, Nekman. Sampai bila dia tak kahwin-kahwin," Mak Limah bersuara ketika Pak Taha berhasrat menunaikan haji tahun ini lagi.

"Aku pergi haji dengan duit titik peluh aku," balas Pak Taha.

"Bukan duit awak saja...duit Nekman pun ada bahagiannya. Sebab Nekman pun tolong awak sama."

"Mampukah Nekman sara bininya kalau dia bernikah?" jerit Pak Taha dan meninggalkan Mak Limah keseorangan. Mak Limah membuang pandangan ke luar jendela. Air matanya luruh membasahi pipinya.

Kesian dia pada Nekman. Bertungkus lumus membantu suaminya selama ini. Hendak kahwin anak sendiri pun payah. Mak Limah mulai menghitung. Kalau duit Nekman disimpan RM50 sebulan, jadilah, sudah lama Nekman boleh kahwin. Mak Limah kesal sikap suaminya itu kerana tidak membuka akaun di Bank Simpanan Nasional untuk anaknya, Nekman. Mentang-mentanglah Nekman tak tahu membaca dan menulis! Getus hati Mak Limah.

"Mak nangis?" tanya Nekman. Khayalan Mak Limah terbang entah ke mana. Mak Limah cepat-cepat mengesat air matanya dengan hujung lengan baju kurungnya yang lusuh - cuba menyorokkan kesedihannya.

"Apa yang ayah cakapkan betul mak...Nekman tak ada duit...macam mana nak kahwin ...Yusri dan Dollah ada duit...bolehlah mereka kahwin."

"Kau dengar apa yang ayah kau cakapkan tadi?" Nekman mengangguk.

Petang Sabtu itu, Yusri pulang bersama lima orang anaknya. Yang tua sudah pun bersekolah menengah dan yang bongsunya berusia tiga tahun. Yusri memang pulang tiga bulan sekali.

Kalau Yusri pulang, Dollah pula tidak pulang. Nekman dapat merasakan ada perselisihan faham antara Yusri dan Dollah. Tapi, Pak Taha tidak ambil pusing.

"Mereka ada pelajaran...sudah dewasa...biarlah mereka selesaikan sendiri," jawap Pak Taha ketika Nekman membangkitkan perkara itu suatu ketika dulu.

"Apa yang mak cakapkan ni?"

"Memang betul....kau ni...sama saja dengan Dollah, pentingkan pucuk masing-masing...Nasib baik aku ni masih hidup...Kalau aku dah mati...entah macam mana kau buat abang sulung kau tu," suara Mak Limah meninggi cuba menegur sikap Yusri.

"Ayah tak ada duit ke? Cakap pada ayah, jangan asyik pergi haji saja...ada duit kahwinkan abang Nekman tu. Lagi pun Tuhan mewajibkan kita pergi haji sekali dalam hidup kita!", Yusri bagaikan berkutbah pada Mak Limah.

"Kenapa kau sendiri tak cakap pada ayah kau tu...Kenapa kau suruh aku?" Sergah Mak Limah yang merasa bosan dengan sikap keras kepala suaminya itu.

"Kau dengan ayah kau sama saja. Pentingkan diri!" rungut Mak Limah lagi. Yusri menggeleng-gelengkan kepalanya. Tak guna berbalah dengan ibunya yang sudah tua itu. Lagi pun mana nak cerkau duit untuk membantu Nekman? Bisik hati kecilnya.

"Ada ke gadis yang nak abang Nekman tu?" Yusri mengubah persoalan dan cuba menenangkan ketegangan ibunya.

"Itu kau jangan gaduh, aku dah ada calun untuk Nekman," balas Mak Limah.

Yusri menuju ke keretanya di laman rumah. Dia berjanji membincangkan perkara itu dengan isterinya Zaleha.

Dalam kehidupan berumahtangga, dia kena mengambil buah fikiran Zaleha dan soal duit agak sensitif dibincangkan. Walau bagaimanapun, Mak Limah tetap mengharap.

"Eh, Yus....ni pisang dan cempedak...bawaklah balik," Nekman memecah suara di laman rumah sambil memikul setandan pisang di bahunya. Bungkusan berisi buah cempedak dijinjingnya.

"Agh....susah-susah aje abang ni...Bila nak ke bandar?" tanya Yusri sambil membuka bonet keretanya. Setelah bersalaman, Yusri menghidupkan injin, dan keretanya bergerak menuju ke jalan besar.

Mak Limah mengiring pemergian Yusri dengan persoalan yang masih bermain dalam benaknya.

Dari sehari ke sehari, Mak Limah menunggu kepulangan Dollah. Untuk menyatakan sesuatu yang terbuku selama ini. Mak Limah mau Nekman mengecap kehidupan berumahtangga. Mak Limah insaf, betapa memulaskan tenaga anak berbelas-belas tahun tanpa ganjaran apa pun. Kalau Pak Taha, tidak mahu sedar, itu suaminya punya pasal.

"Betul ke awak tak mau ikut saya kali ini?" Pak Taha inginkan kepastian.

"Pergilah awak sorang," Mak Limah bernada tegas. Mak Limah tidak mahu hatinya resah meninggalkan Nekman. Kalau Pak Taha hanya tahu memeras tenaga Nekman, kalau Yusri dan Dollah tidak memperdulikan abangnya, siapa lagi yang boleh membela nasib Nekman?

Bayangan Nekman datang depan matanya. Dilihatnya di bawah mata Nekman sudah ada kesan kedutan.

Hujung minggu itu, Dollah muncul dengan tiba-tiba. Dari raut muka anaknya itu, Dollah berada dalam kesulitan. Hati seorang ibu, masakan tidak dapat menerka susah-senang anaknya? Hati Mak Limah berdesis satu macam.

"Ayah mana, mak?" tanya Dollah sebaik sahaja keluar dari keretanya. Mata Mak Limah liar mencari sesuatu.

"Mana anak bini kau? Kenapa mereka tak pulang sama?" sergah Mak Limah. Dollah terpinga-pinga.

"Dah ajak...tapi malu nak pulang?"

Mak Limah mengerutkan keningnya. Bagaikan dapat bau sesuatu yang kurang enak terjadi pada anaknya itu.

"Mana ayah, mak?" ulang Dollah.

"Ke kebun dengan Nekman," Mak Limah berlalu ke dapur. Dollah duduk di luar rumah, menunggu kepulangan Pak Taha. Amat berat masalah yang ditanggungnya. Hayati, isterinya dituduh menggelapkan wang RM5000 dan ketua jabatannya sedang berbincang dengan pihak audit untuk kompromi, jangan sampai ke pihak Badan Pencegah Rasuah. Nasib baik, pengetua sekolahnya ingin menyelesaikan kes itu. Kalau tidak, alamat Hayati dibuang kerja!

Kalau jadi apa-apa, matilah. Macam mana nak bayar hutang rumah, macam mana nak bayar ansuran kereta, belanja anak-anak sekolah? Fikiran Dollah menjadi semakin kacau.

"Ayah, kalau ada tu....pinjamkan Dollah. Nanti Dollah ganti," dia bersungguh-sungguh berjanji - sebaik saja selesai menceritakan masalahnya pada Pak Taha.

"Duit yang aku ada tu nak tunai haji, Dollah."

"Tapi, ini lagi mustahak ayah, Haryati mungkin dibuang kerja kalau tidak dapat memulangkan wang sebanyak itu lusa. Tolonglah Dollah ayah," rayu Dollah.

Mak Limah termenung memanjang. Air teh yang dihidangkan tidak disentuh oleh anaknya. Dollah mahu jawapan pasti untuk menyelamatkan maruah isterinya!

Harapan untuk membincangkan masalah Nekman hilang begitu saja. Ada masalah baru yang muncul. Masalah Dollah. Nekman memicit-micit jidatnya yang hitam kerana dibakar cahaya mentari.

Akhirnya wang RM5000 berpindah tangan. Mak Limah sempat menjeling. Nekman mengurut dadanya bagaikan menahan perasaan. Begitu lembut ayahnya mendengar pujuk rayu seorang penjenayah. Walaupun bukan Dollah yang melakukan jenayah itu, selaku ketua keluarga Dollah sudah pasti dapat mengatasinya di peringkat awal-awal lagi.

Dolah mengucup tangan Pak Taha berkali-kali dan berjanji akan menggantikannya secepat mungkin.

Tidak ada jawapan Yusri, sama ada sanggup membantu Mak Limah mengahwinkan Nekman. Pak Taha juga termenung memanjang kerana hasratnya hendak menunaikan haji tergendala tahun ini. Dollah pula, tidak nampak muka hidung setelah pulang meminjam duit Pak Taha tempuh hari.

"Kau nak ke mana Nekman dengan beg besar ni?" Mak Limah penuh kehairanan pagi itu.

"Nekman nak ke bandar mak, kerja kilang, jadi buruh angkat sampah pun tak apa."

Mak Limah terdiam. Air matanya mengalir dengan deras secara tiba-tiba. Dia tahu Nekman merajuk.

"Mak tak dapat berikan kau apa-apa, Nekman. Hanya ini tiga ratus ringgit untuk belanja kau. Mak doakan kau berjaya, nak," Mak Limah bernada hiba.

Dalam perjalanan bas ke bandar itu, Nekman dapat melihat berpuluh kedai milik bangsa Cina diusahakan oleh anak-anak mereka sendiri. Tentulah ada sesuatu yang menarik hati mereka, menyebabkan mereka bekerja dengan bapa mereka sendiri?

Berniaga adalah warisan mereka. Dari bapak turun ke anak. Mereka kemudiannya berkahwin dan beranak pinak.

Ekonomi mereka terus berkembang. Tapi aku? Nekman mengesat air matanya dengan hujung lengan bajunya.

No comments: