Pages

Saturday, May 16, 2015

Bukan titik terakhir

Oleh Siti Husna Rumdan

BUNYI kocakan air di sungai, harumnya cempaka cina dan semilir angin malam berbaur membentuk rentak irama alam yang unik.

Suara unggas di rimba, diselang-selikan suara katak memanggil hujan yang beragam membelah sepi. Suram malam disimbah remang cahaya bulan. Kemilau air di sungai pula meliuk-lintuk, seolah-olah gerakan tarian, beralun mengikut rentak irama dan lagu alam.

Dengan tenang dia melangkah menuruni denai kecil. Sesekali tangannya menguis semak-samun yang tumbuh meliar di sepanjang denai itu. Sorotan matanya melangkaui segenap ruang pandangan.

Pertemuan ini sesungguhnya tidak terungkap oleh kata. Berlangsung penuh rela, tulus dan pasrah. Hanya dia dan alam. Bagaikan satu keajaiban dan nikmat Tuhan yang tidak terbanding.

Di sini dan ketika ini, dengan mata hati dia menyaksikan sendiri, menyentuh dan merasai nikmat belaian alam kelahirannya suatu ketika dulu. Untuk kesekian kali, hatinya diruntun rasa bahagia dan lerai sebuah rindu yang lara.

Tergaris senyuman di bibir gersang, melukis rasa takjub dan syukur ke hadrat keagungan Ilahi. Ada titisan jernih mengalir di hujung daun lalu jatuh meninggalkan basah di kelopak mata.

Dia sampai di rumah petang semalam. Warna merah senja di kaki langit bagaikan darah, menyambut kepulanganya. Tidak ada sesiapa pun untuk diajak bersapa.

Rumah itu masih utuh berdiri, tetapi kelihatan terlalu uzur, penuh semak-samun dan tidak terurus. Pintu pagar berkeriut apabila dibuka, kerana karat bersama waktu. Sampai di kaki tangga, sayup suara azan berkumandang, memecah semula pintu kenangan silam.

Nenek menyambut kepulangannya penuh tangisan gembira dan rasa syukur yang amat. Nenek peluk dan cium semahu-mahunya. Dia bagaikan budak kecil, terpinga-pinga dan merelakan.

Nenek semakin uzur. Wajah nenek yang cengkung dengan kedut seribu, air mata yang luruh dan sebuah senyuman tersungging di bibir, bagaikan gambaran luka tersayat, kian lara dibawa waktu, menagih simpati dan harapan yang tidak ada sudahnya dalam sisa hayatnya yang masih ada.

Tiba-tiba dia teringatkan sesuatu. Dari ekor matanya dia cuba mencari, tetapi tidak ada kelibat atau bayangan yang lalu. Kerusi goyang atuk masih kekal berada di tempat asal, tidak terusik. Tetapi mana baju atuk yang biasanya tergantung di tepi dinding? Nenek bagaikan mengerti apa yang dia cari.

"Atuk meninggal dunia hampir setahun yang lalu," bergetar suara nenek menahan pilu dan sebak di dada.

Dia terkedu dalam gerak bibir tanpa suara. Sepi seketika. Hanya degup jantung dan getar di dada berlaga, hanyut dibawa rasa merentas waktu dan kenangan.

Pagi-pagi lagi ketika matahari terbit, atuk dengan seluar guni tepung gandum dan baju basahan berlengan pendek membawa cangkul, parang dan raga berisi bekal makanan dan minuman menuju ke sawah.

Dia, Zam dan Najib akan mengikut atuk. Adik Una bersama nenek di rumah. Kadang-kadang nenek ikut sama. Emak dan abah dengan kereta buruk, sejak awal pagi lagi telah bertolak ke bandar J, kerana mengajar di sana.

Waktu itu jalan atuk masih gagah lagi. Atuk hayun cangkul tinggi-tinggi. Dua tiga kali atuk cangkul kemudian berhenti. Atuk pegang pinggang dengan keduadua belah tangan dan betulkan sendi-sendi di badannya. Atuk senyum tetapi kerut di muka membayangkan atuk sakit pinggang.

Ketika tidak menyangkul, atuk tebas rumput dengan menggunakan parang panjang. Dia paling takut dengan parang panjang atuk. Tajam dan berkilat sebab atuk mengasahnya selalu. Dan yang paling menyeronokkan dapat mengharung lumpur di sawah, mengejar ciak dan memburu belalang. Zam dan Najib terkedek-kedek mengikut sama.

Setiap seorang atuk bekalkan plastik untuk diisi belalang. Apabila dapat banyak belalang yang terkumpul di dalam plastik, dia, Zam dan Najib akan berniaga, kononnya dengan menggunakan duit daun kering. Penat bermain dan berlaku salah faham, Najib selalu menjadi mangsa dan menangis. Dia dan Zam berkejaran lari di batas sawah.

Pernah sekali dia minta tolong atuk buatkan unggun api. Apabila atuk tanya hendak buat apa, dia, Zam dan Najib pakat-pakat senyum dan pandang muka atuk dengan muka sayu minta dikasihani. Akhirnya atuk tidak sampai hati dan buatkan unggun api.

Apabila atuk dah pergi jauh ke tengah sawah, dia dan Zam samasama cucukkan belalang pada lidi kelapa dan bakar dalam unggun api, macam bakar udang galah. Najib cuma tengok. Terkebil-kebil biji mata Najib.

Atuk, di tengah sawah seperti tercium bau sesuatu yang terbakar, semerbak dibawa angin dan mencucuk hidungnya. Atuk kelihatan mencampakkan parang panjang dan berlari terhegeh-hegeh. Atuk cekak pinggang dan biji mata atuk bulat merah macam mahu menelan, tetapi kemudian atuk ketawa mengekeh. Atuk geleng kepala dan tidak terkata apa.

Dia, Zam dan Najib sengihsengih pandang atuk. Atuk masih termengah- mengah. Kesian atuk!

Sekali abah betul-betul marah. Marah sebab dia lastik ayam jantan atuk terkena mata sampai buta. Abah pulas telinganya sampai merah. Tidak cukup lagi emak tolong tambahkan. Emak cubit pehanya hingga berbekas.

Dia mengaduh kesakitan. Zam dan Najib tutup mulut...senyum. Dia tahu. Dia kerling dengan mata penuh dendam.

Petang itu dia keseorangan di batas sawah, kuis-kuis tanah dan campakkan ke tengah sawah. Sampai matahari terbenam dia masih di batas sawah. Dalam kesamaran senja dia nampak atuk. Dia tahu, atuk pasti datang. Atuk tidak sampai hati. Atuk bawakan ais krim. Dia makan sikit-sikit.

Sampai di rumah, dia tayang pada Zam dan Najib. Kali ini juga emak pegang rotan. Emak hambat keliling rumah. Penat, tetapi puas. Dia tidur lena malam itu.

Kepulangan tanpa sambutan. Biarpun tidak meminta, tetapi di hati kecil tetap mengharap. Kenapa begitu sunyi? Cuma atuk dan nenek menunggu setia. Mana emak, abah, Zam, Najib dan Una? Tidak ada seorang pun. Getaran di dada kian kencang.

Dia teringat pada mimpi ngeri yang dialami dulu dan dua pucuk surat terakhir sebelum balik ke tanah air yang tidak terbalas. Tidak mungkin...hatinya berbisik penuh doa dan pengharapan.

Bumi dipijak serasa tidak jejak, berpinar pandangan. Tidak ada kata dan tidak ada air mata yang gugur. Dia pandang atuk...pandang nenek...gelap. Terasa kosong segala. Dia tidak dapat menahan dan di situ juga dia terjelepok.

Tuk...nek. Dia ingat menjerit, tetapi tiada suara. Kelu dan longlai. Nenek peluk penuh kasih. Atuk genggam tangannya kejap dan kuat. Atuk dan nenek sama-sama bisikan kalimah Allah di kanankiri cuping telinganya. Dia dengar, jauh dan sayup bagaikan takbir hari raya.

Ada kabus tebal. Dia nampak emak, abah, Zam, Najib dan Una. Semuanya berpakaian putih. Dia beri salam, tetapi tidak bersambut. Emak dan abah senyum. Zam, Najib dan Una lambai tangan dan kemudian semuanya berpaling ke belakang. Kian hilang dalam kabus tebal.

Dia terkapai-kapai keseorangan. Tidak dapat bergerak dan bersua ra. Dia dibelenggu rasa binggung dalam suasana yang bercelaru. Seperti dalam dunia yang terasing, dia keseorangan teresak-esak menangis.

Dia buka mata. Terasa basah di pipi dengan air mata. Atuk pandang penuh hiba. Dia cuba senyum. Pahit dan getir. Atuk masih pandang. Jauh pandangan atuk melewati batas usia sendiri. Hanya atuk yang tahu.

Segulung ijazah dan sebuah kehancuran. Sekelip mata dia kehilangan semua yang disayangi. Tiada kata dan tiada pesan yang ditinggalkan. Bumi kelahiran seperti menyingkirnya jauh dan terasing. Tiada siapa sudi memberitahu.

"Kematian Yang Tragis - Sebuah keluarga lima beranak maut dalam kemalangan jalanraya."

Dengan sisa kudrat yang masih ada, dia cuba menerima hakikat yang telah tersurat. Pun betapa payahnya. Hanya Tuhan yang lebih mengetahui. Seringkali tidurnya tersintak. Akan terdengar becok suara emak, tegas suara abah, gelak nakal Zam dan Najib, dan senyuman Una tersipu malu dengan lesung pipit di pipi.

Dia merasai kehadiran mereka dan semuanya bagaikan dulu. Dirantai kemelut perjuangan dalam diri, dia semakin keliru dalam doa yang kian bercelaru melewati harihari berikutnya. Dia seperti kapas yang terbuang, ke mana saja ditiup angin.

Berbelas tahun dalam perantauan. Dia cuba mencari hakikat kejadian diri dan reda dengan takdir Tuhan. Namun masa dan persekitaran merubah sikap dan pendirian. Dia hanyut dibawa rasa dan cabar goda dunia.

Perjalanan hidup yang tidak menentu, seringkali menuntut korban budi dan maruah diri. Rela melakukan dan diperlakukan. Hidup penuh kepuraan tanpa pertimbangan iman dan akal budi.

Sesungguhnya dialah manusia yang telah tewas. Tewas dalam kemelut perjuangan diri.

Mekar sekuntum kenanga di celah daunnya. Sesekali gemertap bunyi atap zink di rempuh angin seperti meraikan kedatanganya. Bagaikan tetamu asing, melangkah saja ke dalam rumah. Ada mata-mata kecil yang menjengah dan kemudian bertempiran lari. Bau hapak dan tengik memenuhi ruang.

Sejak atuk meninggal dunia dan sejak hampir setahun yang lalu, nenek tidak lagi menjejakkan kakinya di sini. Dia mengerti, hati nenek luka dan remuk dibayangi kenangan. Setiap ruang di dalam rumah dijengah satu persatu. Tidak ada apa yang tinggal. Sepi dan kosong.

Barang-barang yang ada sebahagian besarnya nenek sedekahkan pada jiran terdekat. Sekeping potret berwajah keluarga masih tergantung di dinding mencerna kembali ingatan lalu. Masih ada rasa pilu yang tidak terbendung menyentak ke dada. Barangkali nenek terlupa menyimpannya. Dia berkira-kira sendiri.

Untuk seketika dia mundar-mandir tidak tahu dari arah mana harus dimulakan. Dia teringat parang atuk yang tertinggal di halaman rumah dan pohon kenanga emak yang kurus luka dililit pohon semalu.

Hatinya berdetik riang. Merenung ke dada langit. Terbertik harapan dalam gemilang sinar mentari pagi, sehingga rembang petang dia masih di halaman, bersatu dalam dingin keringat yang mengalir, membelah semak belukar yang liar menjalar.

Ketika nenek datang menjengah diri dan membawa bekal makanan, dia sudah mampu tersenyum puas. Terasa bangga di hati melihat rumah usang peninggalan arwah emak dan abah kembali ceria. Nenek di sisi sama berdiri tegak memberi tabik hormat.

Kiranya itulah yang dikatakan kehendak dan ketentuan Tuhan. Kenal seketika cuma. Di persimpangan jalan berliku, waktu selut noda menghambat diri, waktu usia dicengkam mimpi pura duniawi, dan waktu itu dia bukan dia.

Dia cuma cebisan kapas yang hanyut terbuang tanpa haluan. Dia ingat pada segalanya dan dia terlalu menghargai detik-detik itu.

Tenang seraut wajah, jernih pandangan mata dan lembut ungkapan kata mentarbiah, membuka semula ruang hatinya mengenal kewujudan diri, Tuhan yang satu dan segala kejadiannya.

Musim berikutnya ketika panas terik bulan Zulhijah, dalam berduyun lautan manusia dan dalam laungan kebesaran puji dan tahmid ke hadrat Ilahi, dia adalah setitik dari mereka. Tenggalam dalam sesal dan air mata taubat yang tidak berkesudahan. Redup payung Ilahi memayungi, membawa sejuta rasa tenang dan bahagia.

"Di sini bukan titik berakhir. Masih ada perjuangan dan pengorbanan yang perlu ditempuh dan perlu dilakukan. Kita manusia dan kita juga hamba. Letakkan rasa kemanusiaan dan keimanan yang kukuh di hatimu. Amalkan segala suruhan dan jauhi segala larangan. Yakin dan bertawakal sepenuhnya pada Ilahi." Dia mengangguk, sebu menahan sebak.

Dua pasang mata bertaut dalam pelukan kasih dan lerai bersama doa yang berpanjangan.

"Surat dari siapa?" Nenek duduk di sisi. Sama-sama mengadap jendela menerawang ke seluruh penjuru alam. Sawah dan gunung terbentang, air sungai, pohon-pohon riang bergoyang, burung-burung berterbangan ciak menciak dan segalanya milik Tuhan.

Suatu penghidupan dan penghayatan. Dia kini adalah sebahagiannya. Dia pegang tangan nenek, merenung jauh ke dalam redup mata tua nenek. Nenek agak tergamam dan kebingungan.

"Nek, saya mengenali dia cuma seketika. Dia adalah manusia dan juga hamba. Dialah teman sepanjang jalan nek." Nenek mengangguk, masih kebingungan.

"Nek, saya yakin dan reda dengan kehidupan ini." Nenek angguk lagi. Dia peluk nenek kejap dan kuat. Pelukan kasih sayang cucu.

No comments: