Pages

Wednesday, April 29, 2015

Pada dinihari itu

Oleh Noorjaya

AKU menyelesaikan salam akhir untuk solat Tahajjut pada dinihari yang dingin dan sepi dengan doa pada Maha Esa memohon kesejahteraan dan kedamaian hidup aku, keluargaku, kedua-dua ayah dan ibuku, sanak-saudara dan seluruh umat Islam di dunia, Amin!

Tiba-tiba pintu kamar diketuk dari luar. Aku berpaling dengan sedikit aneh. Siapakah di luar itu, datangnya pada waktu yang luar biasa. Sekarang jam 2.30 pagi ketika orang lain nyenyak tidur seperti rakan sekamarku Zain yang memadatkan ruang kamar kami yang sempit dengan dengkurannya yang keras.

Barangkali Osman Ayob, atau Ismail Restu atau Jamaluddin D, rakan Asasi yang tinggal di kamar bersebelahan. Pastilah mereka. Aku bangun ke pintu dan membuka dengan yakin.

Aku menjadi gugup.

- Assalamualaikum!

- Waalaikumusalam!

- Assalamualaikum Pakcik! Serentak lima mulut kecil memberi salam kepadaku dengan gema yang syahdu menguak kesepian bangunan hotel sembilan tingkat itu.

- Waalaikumusalam!

Aku ternampak orang dewasa yang bertudung kain panjang ialah wanita separuh umur. Pastilah ibu kepada lima anak-anak yang hampir sebaya. Wanita itu memandang ke kiri dan ke kanan dengan sedikit gusar dan tanda-tanda ketakutan.

- Siapa dan apa hal? Tanyaku ingin kepastian kepada tetamu yang tak diundang itu. Dia tidak menjawab pertanyaanku.

- Izinkan kami masuk, tuan!

Ketakutan semakin jelas. Orang pelariankah mereka. Aku menjadi kacau dengan kunjungan yang aneh itu. Zain masih dengan dengkuran yang keras. Aku mahu bangunkan dia supaya dia ikut menyaksikan keanehan itu. Tetapi hasrat itu terganggu.

- Tuan, benarkan kami masuk. Wanita itu mendesak. Dia memaut bahu anak-anaknya.

- Tolong kami Pakcik! Suara salah seorang daripada anak-anak itu sudah cukup menekan.

Kemanusiaan mengatasi keadaan tidak menentu itu. Aku mengangguk kepala sebagai memberi izin. Wanita dan anak-anak tergesa-gesa masuk. Aku menutup kembali pintu. Kembali bersama tetamu di tengah ruang kamar.

Wanita itu duduk bersimpuh atas lantai beralaskan karpet merah tua di kelilingi lima anak bersesak menjadi satu kelompok. Dia memaut tubuh anak-anaknya. Tanpa anak-anak itu kehadiran wanita dalam kamar ini menjadi janggal dan salah. Aku mahu bangunkan Zain. Lagi-lagi niat itu terhalang.

- Maafkan kami tuan! Kali ini suara wanita itu cukup menyakinkan. Dan dia mahu berkata sesuatu dengan terus-terang.

- Siapa puan dan anak-anak ini?

Dia seorang isteri yang setia untuk seorang suami yang baik. Kasih sayang terbina atas dasar kesetiaan dan hubungan sejarah bangsa yang berdaulat. Apalagi kehadiran lapan anak semakin memperkukuhkan kasih sayang bangsa yang berpengaruh di bumi selatan. Kekayaan hasil buminya dengan emas. Pemilik budaya bangsa yang bertamadun.

Bumi selatan bagaikan gadis cantik menjadi idaman ramai orang, terutama orang utara yang rakus nafsunya. Sudah puas berjinak-jinak hendak memikat gadis cantik itu tidak berhasil, mereka gunakan tipu-helah; tetapi tidak juga berjaya kerana antara dua selatan dan utara memiliki perbezaan yang unik, terutama batas agama.

Dan bibit permusuhan tersemi yang akhirnya utara mengisytiharkan perang dengan selatan.

- Esok kanda ke medan perang! Kata ayah ketika berserapan bersama keluarga. Nada ayah memang cukup yakin. Memang begitu sifat ayah apalagi persoalan itu menghubungi hak dan maruah.

- Pergilah demi mempertahankan hak dan maruah bangsa. Suara ibu berselerak dalam kerongkong. Ternyata jawapan itu ditekan oleh kesedihan yang mendalam. Tetapi seorang isteri yang baik, apapun sentiasa merangsang semangat suami ke medan perang. Perhatian tertumpu kepada deretan anak yang ikut mengunyah nasi dengan lahap. Mereka tidak mengerti persoalan pokok yang meniti bibir dan hati kedua-dua orang tua mereka.

Ibu cukup faham. Pemergian ayah belum tentu akan balik. Perang adalah pembunuhan dan kematian. Jika ayah ikut terjadi demikian, lapan anak ini menjadi yatim. Tiba-tiba saja ibu membuat tanggapan demikian buruk. Ah gambaran itu pun bukan kehendak hati ibu, tetapi, ia datang ketika ibu memandang muka ayah dan ayah pula menyambut renungan itu dengan aneh.

Kiranya gambaran itu bertaut, ayah sendiri sudah membuat keputusan; jika demikian jadinya, perjuanganku mestilah disambung oleh anak-anakku.

Kesimpulan itupun berdenyut dalam diri ayah. Pandangan yang menggembirakan meniti pada setiap muka anak-anak yang kekenyangan. Baik ayah, baik ibu, inilah saat gembira bila melihat anak-anak dalam kekenyangan. Mereka tetap bersila rapat menghadapi pinggan kosong. Biasanya sebentar lagi ibu akan memberi kebenaran untuk mereka beredar menjalankan hal kebiasaan harian.

Esok, lusa, tulat dan seterusnya khabar peperangan yang hebat bermula di Segenting Kera. Ibu seperti ibu-ibu lain, anak seperti anak-anak lain menanti khabar dengan hati berdebar, kerana peperangan adalah pembunuhan, adalah kematian. Siapa menjadi janda, anak siapa menjadi yatim adalah kesan dari peperangan.

- Suami puan ikut terkorban? Bagaimana aku menjadi tidak sabar untuk bertanya keputusan peperangan, aku sendiri tidak tau. Tetapi itulah kenyataan, orang ingin mendengar keputusan. Aku menyesal. Dia menjadi terlalu sedih dengan pertanyaan itu. Dia menjawab dengan sebuah anggukkan yang lemah.

Dinihari terus mengesot jauh menimbulkan banyak keinginanku untuk mencungkil rahsia sejarah yang terpendam. Keinginan itu terisi bersama dengkuran keras Zain, teman sekamar yang sama sekali tidak tahu hal yang terjadi dalam kamar, melainkan mimpi demi mimpinya.

Ibu pun menjadi balu dan peperangan itu ikut meyatimkan anak-anak kecil. Pihak yang menang menguasai segala hak pihak yang kalah. Selatan yang terkenal sebagai Suwanna Phum (bumi emas) pun dijajahi dan ibu secara paksa menjadi milik utara. Dan ibu pun ternoda. Kuasa itu menukar sedikit demi sedikit warna kehidupan yang asli pada sebuah kehidupan baru, kecuali yang mereka tidak terdaya mengubahnya, khususnya kepercayaan dan pegangan ibu pada Islam.

Sejak itu ibu sentiasa dirundung malang dan yang paling mengesan tiga daripada lapan anak ibu meninggal dunia. Memanglah kematian itu sudah ditakdirkan; tetapi ada sesuatu yang amat menyayat perasaan ibu bahawa sebab dan akibat juga ada kaitan dengan kesengsaraan di bawah cengkeman orang.

Kesengsaraan itu ialah kemiskinan. Bumi selatan penuh dengan emas itu digali orang dan di bawa ke utara. Ibu dan anak-anak kelaparan. Kesengsaraan inilah yang meragut nyawa ketiga-tiga anak ibu.

Sendu wanita itu berserak dalam balutan tudung kepala. Dia menyeka air mata dengan hujung kain sambil tunduk seperti hendak menyembunyikan kesedihan itu. Tetapi aku tahu dia terlalu sedih. Wanita itu menanggung penderitaan yang panjang. Seorang ibu seperti dia adalah gambaran benar yang sering menjadi bahan akhbar kesan kekejaman manusia di dunia ini.

Aku biarkan wanita itu meluahkan segala gelodak kesedihan habis-habisan. Apakah penderitaan itu dapat diselesaikan di sini.

Dan aku pun mencari tujuan undangan orang wilayah untuk sebuah pertemuan budaya. Kata mereka, mereka mahu saling bertukar fikiran yang bakal mewujudkan kesefahaman budaya sempadan supaya rakyat hidup bahagia dan memberi sumbangan pada pembangunan.

Apakah penderitaan itu dapat diselesaikan di sini? Lagi-lagi persoalan itu bermain dalam kotak fikiranku. Satu demi satu wajah teman dari seberang sempadan datang dalam ingatanku. Nama-nama mereka ternampak dalam senarai peserta di kaunter penyambut tamu ketika aku mendaftar nama sejurus tiba di Hotel Yala Rama petang tadi.

Rasa mahu aku berlari keluar mengetuk pintu kamar mereka. Akan kuajak mereka datang ke kamarku berbicara dengan wanita ini, dengan anak-anak ini yang sedang nyenyak tidur bergelimpangan di lantai.

- Esok tuan dan rakan-rakan akan bermesyuarat? Wanita itu melontarkan pertanyaan.

- Ya, kami diundang untuk bermusyuarat. Aku mnejawab pertanyaannya, tetapi aku hairan, dia tahu segala-galanya.

- Tuan akan bermesyuarat mengenai kehidupan kami.

- Benar. Aku semakin hairan.

- Kalau begitu tuan boleh tolong kami.

- Pertolongan bagaimana?

- Kembalikan pada kehidupan kami yang hak.

Lidahku menjadi kelu bagaikan ada kuasa ghaib yang merentap kemampuanku untuk berhujah dengan wanita ini. Ini satu permintaan yang berat, luar biasa dan aku dengan rakan-rakan dari seberang sempadan tidak mungkin boleh bertindak demikian. Aku panik, lalu terpinga-pinga keseorangan.

- Tolonglah, sekurang-kurangnya untuk masa depan lima anak ini. Wanita itu merayu, suaranya serak sambil memandang ke arahku. Ada air mengalir di pipinya. Aku ditimpa keresahan yang berat.

Atas nama cendikiawan negara, kami diundang untuk bertukar idea dan berbincang bagi mencari kesefahaman ke arah kebahagiaan rakyat. Ini tanggungjawab besar, terutama bagi menjaga hubungan serta kerjasama dua negara Asean yang sudah dijalin dengan baik sejak dulu. Ah aku beralasan kepada diri sendiri. Wanita ini tidak tahu dasar itu.

- Tuan sebangsa dan seagama dengan kami.

Kata-kata itu terus menekan dan mencabar.

- Benar. Aku mengakui kenyataan itu.

Sejarah tidak boleh diubah. Aku tahu dulu tidak ada batas sempadan. Sekarang bukan lagi dulu. Lagi-lagi kau bercakap kepada diriku, mengapa tidak terus terang saja kepada wanita ini.

- Jadi bagaimana? Dia mahukan kepastian.

- Kami sekadar boleh menyuarakan hasrat bahawa kegiatan kehidupan yang menjadi milik rakyat mestilah diberi kebebasan dengan sokongan padu dan ikhlas.

- Termasuk agama.

- Ya, agama Islam.

- Itu sudah cukup, terima kasih tuan.

Kali pertama wanita itu mendedahkan sedikit wajahnya. Dia seorang wanita yang cantik. Terbayang sedikit kepuasan dalam wajahnya. Segera dia kejut anak-anaknya yang sedang nyenyak. Mereka lantas bangun walaupun kebingungan. Lalu dia menyuruh anak-anaknya bersalam dengan aku sambil menyebut nama sebagai Patain, Sanora, Atun, Jala dan Nara.

- Asalamualaikum!

- Walaikumusalam!

Wanita itu bersama anak-anaknya melangkah ke pintu. Mereka berpusu-pusu keluar. Aku tercegat berdiri melihat gelagat mereka. Pintu kamar tertutup semula. Aku sedar sesudah terpukau seketika. Aku pula tergesa-gesa melangkah ke pintu. Kubuka pintu itu, menjengah ke luar. Tetapi wanita dan anak-anaknya tidak kelihatan lagi.

Aku berlari ke lif. Di situ menunjukkan lif tidak berfungsi. Barangkali mereka turun ikut tangga. Aku berlari turun melalui tangga ke tingkat bawah hingga ke kaunter penyambut tetamu dan bertanya kepada pekerja di situ.

- Ada nampak seorang perempuan bersama anak-anaknya turun ikut tangga itu?

- Perempuan? Anak? Pekerja itu hairan dan menggiling kepala. Dia memandang aku ke atas dan ke bawah. Aku melihat diriku hanya berkain sarung, baju kurung dan berketayap putih.

- Maafkan saya. Kataku lalu beredar dari situ.

Dinihari pun semakin lanjut.

Aku belum dapat memejamkan mata.

Tetapi ternyata aku tidak bermimpi.

No comments: