Pages

Monday, April 13, 2015

Jalan pulang

AKU bukanlah seorang pencerita yang baik. Tapi aku rasa untuk kebaikan semua, tak salah sekiranya cerita yang menarik ini, dapat dikongsi bersama. Aku sebenarnya sudah bosan dengan cerita cinta yang sering diutarakan. Jadi aku berasa ini adalah masa yang sangat sesuai untuk aku menulis mengenai sebuah cerita benar berunsur ketuhanan.

Cerita ini bermula dengan seorang kakak ini yang sangat sedih dan merindui arwah ayahnya yang baru meninggal dunia. Tahap kerinduan kakak itu sangat kritikal sehinggakan dia berhasrat untuk mengikut ayahnya ke alam barzakh.

Pada suatu malam yang sederhana sejuk; ketika suaminya keluar kerana outstation, dia terlena selepas menunaikan solat isyak. Tidak lama selepas itu dia terasa dirinya dalam keadaan terapung-apung di awangan di sebuah tempat yang gelap gelita. Maka bermulalah episod seterusnya.

Dalam perjalanan yang gelap gelita itu, dia terdengar satu jeritan dan diekori oleh satu tangisan yang sangat menghibakan, mengerikan dan menakutkan pada sesiapa yang mendengarnya. Hidungnya pula ditusuk aroma yang sangat busuk dan hanyir hinggakan hendak termuntah dibuatnya. Tiba-tiba dia ternampak seorang wanita yang sedang memotong daging babi lalu dicecahnya ke dalam air darah babi itu tadi lalu dimakannya dengan lahap. Dia pun bertanya kenapa? Wanita itu menjawab yang dia selalu melakukan maksiat dan menggugurkan kandungan.

Selepas itu beliau meneruskan perjalanan yang gelap gelita itu sehingga beliau terjumpa seorang wanita yang sedang dipatuk kepalanya hingga berlubang. Apabila ditanya kenapa, jawapannya ialah dia tidak menutup kepala ketika hidupnya dulu. Kakak itu kemudiannya terpaku melihat satu lagi kejadian yang sangat mengerikan. Dia melihat seorang lelaki yang sedang menggunting lidahnya hingga putus kemudian disambung lagi dan disambung lagi dan begitulah seterusnya. Pada fikiran kakak itu, perbuatan itu mungkin kerana dosa mulutnya.

Kakak itu kemudian meneruskan lagi perjalanannya sehingga ke satu padang yang luas. Di situ ada ramai yang sedang berjalan di atas bara. Salah seorang daripada manusia itu ialah ayahnya sendiri. Dia berisytifar panjang dan merasa terlampau sebak. Apabila ditanya kenapa? Ayahnya menjawab ketika hidupnya dulu dia banyak melawat tempattempat yang menyeronokkan, tapi bukan ke surau atau masjid tetapi ke tempat-tempat maksiat.

Mungkin ke disko, kelab malam atau cakap mudahnya ke tempat-tempat yang malaikat tak masuk. Selepas mengalami peristiwa yang mengerikan tersebut, kakak itu pun memberitahu keluarganya akan keadaan ayahnya, dan pada tiap-tiap malam kakak itu pun menghadiahkan fatihah agar arwah ayahnya tidak diseksa dengan teruk lagi.

Sememangnya cerita-cerita sebegini bukanlah baru untuk kita kan? Dalam peristiwa Israk dan Mikraj pun, Rasulullah S.A.W. ada melihatnya. Aku percaya kejadian ini mungkin pernah berlaku kepada sesiapa, tapi mungkin mereka malu untuk menceritakan kejadian seperti ini bak kata pepatah, "bagai membuka pekung di dada." Sekarang kehidupan kakak itu dipenuhi dengan cahaya keislaman.

Setiap perkara yang dilarang oleh Allah tidak akan dilakukan dan perkara yang tidak mendatangkan dosa selalu dilaksanakan. Semua ini dilakukan kerana takut kehidupannya akan diakhiri dengan kejadian yang mengerikan seperti yang berlaku dalam mimpinya. Dia selalu berpesan kepada umat Islam yang lain supaya "bertaubatlah semasa pintu taubat masih terbuka."

Mujurlah Allah S.W.T memberikan petunjuk kepada kakak itu tetapi bagaimana pula dengan umat Islam yang tidak diberi petunjuk atau hidayah dan bagaimana pula sekiranya mereka mati sebelum bertaubat. Bak kata Nabil Raja Lawak, "lu fikirlah sendiri!"

Sesungguhnya ini adalah masa yang sangat sesuai untuk meluahkan perasaan marah aku terhadap umat Islam kini yang hanya bernamakan Islam tetapi melanggar pelbagai peraturan agama yang suci ini. Aku harap dengan catatan ringkas ini dapat membuka mata yang selama ini tertutup kerana kejahilan kita sendiri.

MOHD SAID MOHD RADZI

SMK Seri Ampangan

(END)

No comments: