Pages

Wednesday, April 15, 2015

Confidente

Oleh A R Kamaludin

TAN Sri Alimansor letak tangan kanannya ke bahu kiri abah, seolah-olah melarangnya daripada bangun, tapi abah mengagah-agah juga bangun, sambil tersenyum.

"You rehatlah, Datuk," kata Tan Sri, lembut. Abah cuba lebarkan senyumannya.

Aku memerhatikan Puan Sri Khalila keluar dari ruang dalam bersama emak. Sesekali emak mengangguk apabila Puan Sri berkata sesuatu sambil mengepit tas tangan hitamnya buatan Peranchis. Abah melambai lemah ke arah Puan Sri yang berjalan menuju ke arah suaminya di muka pintu.

Ketika Mercedes 350 hitam membawa Tan Sri dan Puan Sri keluar meninggalkan pekarangan kediaman kami, sebuah Mercedes 350 merah masuk, diikuti sebuah lagi Mercedes 300 biru air laut.

Aku menerpa ke ruang dalam bila mendengar telefon berdering. Seperti ku duga, Sofia yang menelefon.

"Betul," kataku menjawab pertanyaan Sofia. "Tapi sekarang, shukurlah, dia dah okey. Abah pun tak apa-apa."

"High bloodnya tak apa-apa?"

"Nampak tak apa-apa. Cuma macam shocked, terkejut sikit."

"Tugas belum beres lagi. Subuh nanti ke Dublin, fasal daging lembu itulah," kata Sofia. Suaranya macam tidak bermaya. "Tak apa ke kalau Fia tak balik?"

"Tak apa. Nanti abang beritahu emak. Elok habiskan kerja dulu."

Sofia sebenarnya sebelum itu sudah bercakap dengan abah dan emak sebelum aku sampai. Kata emak, abah sudah beritahu dia jangan balik sehingga semua kerja selesai. Abah tidak mahu urusan di sana terganggu. Kata abah, kalau terganggu nanti susah. Kecoh. Abah tidak suka begitu. Nanti kepercayaan orang terjejas.

Emak juga sudah beritahu Sofia keadaan abah. Dia selamat dan tidak perlu tinggal di pusat rawatan. Di rumah saja memadai. Dr Fadzil kata, lebam di rusuk kiri abah akan hilang dalam masa tiga atau empat hari.

"Abang bagi tahulah adik beradik di kampung. Pak Uteh, Anjang, Ucu Doyah," Sofia mengingatkan.

"Okey, semuanya sudah," aku berbohong. Abah tidak mahu siapa pun tahu. Pesannya pada emak, jangan hebohkan hal itu. Nanti banyak soal pula mereka nanti. Bila ada masa nanti, beritahulah. Dari kampung sehari suntuk baru sampai. Lagi pun, tidak ada apa yang patut dihebohkan. Dia selamat.

"Kirim salam pada Dr Fadzil," kata Sofia mengakhiri bualan. Aku senyum.

Pada ketika-ketika begini timbul rasa belasku terhadap abah. Dia lelaki yang tidak pernah kenal erti kalah dalam apa juga cabaran walaupun usianya sudah menjangkau 72 tahun.

Aku sedar, abah tentunya masih amat tersinggung dengan sikapku dulu. Aku masih ingat, suaranya yang tinggi dan mengejutkan itu cukup jelas mencernakan kemarahannya. Dan ketika dia mencampakkan cermin matanya ke meja, aku sudah tahu dia cukup marah.

"Kalau you sudah tidak ada kerja, tak ada apa-apa lagi nak cakap, tak ada apa lagi nak buat di rumah ini, baliklah. Jangan ganggu abah." Suaranya tinggi.

Ketika berjalan meninggalkan aku sendirian di bilik studinya, abah sempat menyepak daun pintu almari kecil di situ yang ternganga. Kuat bunyinya. Dia menghilang entah ke mana kerana selepas itu aku tidak mahu mengambil tahu. Perasaanku juga sebenarnya sedang membungkam.

Mengingat semua itu aku perlahan-lahan meletakkan gagang telefon, sambil mendoakan adikku selamat di perantauan. Serentak itu suara kawan-kawan abah, kebanyakannya tokoh-tokoh korporat dan pemimpin-pemimpin pelapis yang semakin ramai di ruang depan.

Dari jauh aku melihat Datuk Bidin, Datuk Sobri, Datuk Seri Chua, Datuk Seri Wahab, Megat Anjang Dewa, Tan Sri Thilli, Puan Sri Bedah, Datin Hanizam, Dr Maznah, Dr Azizah dan beberapa lagi yang aku tidak kenal. Tan Sri Jalil bercekak pinggang sambil membetulkan talilehernya.

Mereka semua berdiri mengadap abah yang berkain pelikat dengan baju teluk belanga terhenyak di kerusi empuk. Abah sesekali menggeleng- gelengkan kepala.

Sebentar kemudian sebuah kereta ronda polis masuk ke pekarangan kediaman kami. Seorang pegawai tinggi polis keluar dan segera menapak perlahan ke arah anjung banglo kami. Sesekali dia melihat ke arah kereta-kereta mewah di halaman.

Di luar cuaca sudah mulai gelap. Tirai senja semakin cepat berlabuh manakala mulut malam mula terbuka. Dari banglo RM7 juta kami di atas Bukit Cemara ini aku melihat kegemerlapan lampu-lampu neon ibu kota rancak melukis keindahan Kuala Lumpur. Angin lembab hujung November yang bergerak malas turut membawa bersamanya debu-debu dan kelodak kimia. Suara kudus azan dari Masjid Negara dan surau berhampiran kawasan ini begitu mencuit peraasaan.

Dan aku tinggalkan perhatian terhadap abah serta rakan-rakannya untuk masuk ke bilik sembahyang yang lengkap dengan paip air untuk berwuduk.

Aku sebenarnya tidak menduga abah akan menghadapi nasib yang menimpanya pagi tadi. Abah dan emak pun, aku kira, tidak menduganya. Namun, aku tidak terkejut apabila emak menelefon aku memberitahu kejadian itu.

Bagiku, orang macam abah, pasti kena. Kalau tidak hari ini, esok. Kalau tidak di sini, mungkin di tempat lain - Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru atau di mana saja. Mungkin di tengah jalan.

Bukan mustahil juga dia kena di luar negara - London, New York, Tokyo, Seoul, Bangkok, Paris, Singapura, Jakarta, Washington dan di merata kota lain. Bukan mustahil. Dan abah mesti bersedia menerimanya. Demikian hakikatnya.

Betul, abah ada bodyguard. Tapi, kejadian pagi tadi membuktikan kehadiran pengawal peribadi, walau macam mana besar, kuat dan sasa sekalipun tubuhnya, tidak bermakna apa-apa.

Namun, Maniam yang sudah enam tahun bekerja sebagai bodyguard  abah teruk kena belasah - di pipi, pinggang, lengan, dahi dan kaki kirinya. Dia terpaksa dirawat di klinik swasta. Pakcik Botok, pemandu kereta yang abah naiki pagi itu, juga cedera dan dirawat di klinik yang sama.

Bagaimanapun, aku bersyukur kehadzrat Ilahi kerana abah selamat. Tuhan masih sayangkannya dan kami semua. Nasib abah cukup baik kerana ketika kejadian berhampiran jalan utama Subang-Sungai Buluh itu secara kebetulan trak tentera lalu. Ketika tiga lelaki itu bergelut dengan Maniam setelah salah seorang daripada mereka memukul kepala Pakcik Botok, abah yang dalam keadaan terkejut, gagah keluar dari kereta dan cuba lari.

Trak tentera berhenti ketika seorang daripada lelaki itu mengejar abah yang terus memekik sambil melambai-lambaikan tangan ke arah trak. Melihat keadaan itu ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Saga putih sebelum melepaskan sedas tembakan ke udara.

Menurut polis, ketiga-tiga lelaki itu mungkin bertujuan mencolek abah dan kemudian menuntut wang tebusan. Walaupun kali ini gagal, ini tidak bermakna mereka tidak akan berusaha lagi. Abah kena hati-hati.

Kata polis lagi, Proton  Saga yang diguna penjenayah-penjenayah itu dilaporkan dicuri di tempat letak kereta sebuah pasaraya mewah Bukit Bintang beberapa jam sebelum kejadian. Nombor platnya juga dipalsukan.

Seperkara yang membimbangkan aku ketika keluar dari bilik sembahyang maghrib itu ialah kemungkinan kejadian yang menimpa abah hari itu akan menjadi bahan utama akhbar, radio dan telivisyen esok, sedang abah sendiri tidak mahu perkara itu dihebohkan.

"Memang pihak akhbar sudah tahu. Radio tahu, talivisyen juga tahu. Mereka cepat tahu. Tapi, tak apa. Usah bimbang," kata DSP Roslan apabila aku menghampirinya, memperkenal diri dan bertanya kepadanya mengenai kemungkinan itu.

"Kami sudah minta kerjasama semua press supaya tidak menyiarkan perihal kejadian dengan alasan ia boleh menganggu operasi polis memburu penjenayah-penjenayah itu," sambungnya.

Aku berasa lega. Emak berasa lega. Dan abah apatah lagi.

Telefon terus juga berdering. Semuanya bertanyakan perihal abah. Dan sepupuku, Leha, yang bergegas datang sebaik emak memberitahunya, kini melayani setiap panggilan itu. Sesiapa yang dia tidak kenal dia akan panggil emak untuk menjawabnya.

Sehingga ketika itu pun sebenarnya aku masih takut untuk berbual dengan abah. Apatah lagi bertanya mengenai kejadian itu. Aku tahu apa yang berlaku hanyalah daripada perbualannya dengan kawan-kawannya yang aku dengar sejak aku sampai.

Aku masih gerun melihat wajah abah. Tapi abah tahu kehadiranku, dan sebentar tadi ada di sampingnya. Bagiku, itu pun sudah memadai.

Peristiwa dua minggu dulu itu memang tidak aku duga sama sekali. Ia meledak secara tiba-tiba saja. Dan abah sendiri semacam tidak dapat melawan perasaannya. Tapi aku tidak ada pilihan. Aku terpaksa mempertahankan diri. Aku berasa bertanggungjawab berbuat begitu. Tuhan tahu niat aku baik. Ikhlas. Abah saja yang mungkin berfikir sebaliknya.

"Tak guna jadi pandai. Rupa-rupanya bodoh," kata abah. Suaranya tinggi menengking aku. "Abah tak sangka you jadi begini."

"Abah jangan salah sangka. Sham cuma nak nasihatkan abah saja."

"Nasihat? Apa nasihat? Nonsense!"

"Cuba abah ingat sendiri. Abah jadi executive  chairman kepada sebelas syarikat besar - empat daripadanya macam milik abah sendiri. Abah juga jadi director kepada 24 syarikat lain. Sudahlah begitu, abah pegang jawatan managing director tujuh syarikat. Apa ni?" kataku.

"Habis, mengapa? You fikir aku tak layak. Tak boleh buat kerja?"

"Bukan begitu abah. Abah layak. Lebih daripada layak. Itu Sham tahu. Cuma umur abah saja. Abah bukan macam dulu. Kalau 60 tak apalah. Ini, abah seventy-two."

"Kalau seratus tahun pun, aku boleh kerja kerana aku sihat."

"Bukan itu saja abah. Kehadiran abah dalam semua syarikat itu menyekat peluang orang lain, orang yang lebih muda, lebih bertenaga..."

"Dengar sini Sham. You dengar sini. Abah jadi executive chairman pada tujuh syarikat besar yang pemerintah ada kepentingan di dalamnya bukan kehendak abah, tahu. Abah tidak mintak. Abah tidak merayu. Abah tidak menyembah. Dia orang yang bagi...those people up  there yang suruh abah. Ini amanah namanya..."

"Tapi...abah boleh tolak. Abah ada alasan untuk tolak. Jangan pakai terima saja. Lagi pun, people up there pun bukan orang yang sama," aku cuba memperli abah. Rupa-rupanya abah tahu.

"You are talking  nonsense," suara abah tinggi.

"Cuba abah fikir. Dengan tujuh syarikat yang abah jadi MD itu pun abah tidak cukup masa, sedangkan jawatan itu penting untuk pembangunan syarikat."

"Abah ada cukup pengurus. My managers  semuanya capable. Layak."

"Betul abah. Tapi Sham dah dengar, ada yang bersungut susah nak cari abah. Di sana tak ada di sini tak ada. Kalau abah attend meeting sebulan sekali saja pun untuk satu syarikat, kerja abah tak ada apa. Mesyuarat saja. Ini tak adil abah. Tak adil. Abah kena bagi tahu people up there."

"You... you sendiri bagi tahulah. Bukan jenis abah buat begitu. People up there percayakan abah. Lagi pun bukan sedikit ganjaran abah dapat. You pun tahu. Semua itu untuk siapa?"

"Betul, abah dapat banyak. Almost seratus duapuluh ribu ringgit sebulan memang cukup banyak abah. Tapi abah nak buat apa dengan duit banyak begitu abah. Abah sudah 72. Last month abah 72. Kalau jawatan yang abah pegang itu dapat pada orang lain, rezeki itu berbahagi abah."

Marah abah semakin ketara. Tapi aku tidak mahu mengalah. Peluru aku masih belum habis semuanya aku gunakan. Lagi pun, aku tahu, emak bersetuju dengan semua alasan aku. Sofia juga begitu. Mereka setuju aku cakapkan semuanya kepada abah.

"Kadang-kadang abah, ganjaran sebegitu besar, boleh jadi tidak berkat kalau pun tidak haram apabila tugas yang kita berikan tidak setimpal dengan upah, abah..."

"Diammmmmm!" Wajah singa abah semakin jelas. Matanya seperti mahu tersembul, menerjah cermin tebal di bingkai nipis diperbuat daripada emas saduran buatan Jerman.

Aku tidak mahu mengalah. "Betul cakap Sham abah. Abah ingat lagi tak ada dua kali, abah terlupa nak bagi tahu sekretari abah di sebelas syarikat yang abah ada appointment dengan Dr Fadzil. Sebelas Mercedes datang serentak ke rumah ini pagi itu. Abah ingat tak?"

Abah diam. Mukanya merah padam.

"Sham bangga dengan abah. You are a good and responsible father, you are a good and responsible  husband. Kami semua sayangkan abah. Abah tidak joli. Abah bukan kaki perempuan macam kawan-kawan abah yang Sham tahu. Abah malah tidak minum. Tidak merokok. Semuanya bagus abah. Tapi itu saja tidak cukup."

Abah terus membungkam. Aku tidak tahu sama ada dia mendengar kata-kata aku atau tidak. Matanya melekat ke dada akhbar ekonomi luar negara. Perhatiannya tertumpu ke ruangan saham.

"Abah sudah kumpul banyak duit. Banyak harta. Rumah di sana-sini, termasuk di London dan di Paris. Duit berjuta-juta dalam bank. Saham abah juga banyak. Dalam negeri, luar negeri. Sudah lebih daripada cukup..."

"Untuk siapa semua itu, you tahu tidak?" suara abah kendur sedikit, berbaur kemegahan. Matanya masih ke dada akhbar.

"Sham tahu abah. Semuanya itu untuk emak, untuk Sofia dan untuk Sham juga. Abah sudah bagi tahu semua ini dulu. Sham bangga. Tapi, that's  not the only point... macam Sham kata tadi. Abah patut give up. Sejak pencen jawatan pengarah di jabatan kerajaan dulu abah sudah okey. Sekarang sudah hampir 20 tahun. Sudah lama, abah. Bagilah peluang pada orang lain pula..."

"People up there. You go  and tell them, convince  them if you can...." abah bersahaja. Ada sedikit senyum mengejek pada bibirnya. Ini jelas. "You pun somebody sekarang. Sofia juga."

Geramku tiba-tiba membukit. Memang betul, aku dan adikku sekarang masing-masing jadi pengarah urusan di syarikat milik abah. Tetapi ini bukan maksudku. Yang menjadi persoalan sekarang tentang syarikat-syarikat besar lain, termasuk dua bank yang abah berkuasa besar, sedangkan abah tidak ada masa untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Bagi aku, amanah kepada abah cukup besar. Namun yang cukup jelas abah tidak mampu lakukannya. Abah mungkin kaya dengan idea. Tetapi, abah miskin Selain tidak cukup masa dalam negeri, abah malah tidak cukup masa untuk lakukannya di luar negara.

Selain itu, abah juga miskin dengan masa untuk menyembah Tuhan walaupun sudah tiga kali mengerjakan haji. Bilik sembahyang di banglo kami ini pun kadang-kadang seperti hiasan saja. Emak pun kadang-kadang takut dengan sikap abah sehingga dia juga kerap melupakan tanggungjawabnya terhadap Allah, terlalu jarang memanfaatkan bilik sembahayang itu. Balik kampung apatah lagi. Sudah lima tahun aku melihat semua ini.

Aku tersentak daripada mengelamun. Tanpa disedari aku berasa bahu kiriku dipegang. Aku menoleh. Mataku bertembung dengan mata abah. Emak di sisinya. Kami tidak berkata apa-apa. Ada perasaan sayu menjalar di segenap pembuluh darah di seluruh tubuhku. Jantungku juga. Ada air tergenang dalam kolam mata abah yang semakin mengecil.

Kami serentak berpeluk. Aku dakap abah erat-erat seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Jasa lelaki ini dalam hidupku sepanjang 30 tahun ini begitu besar. Dua abang dan tiga kakakku yang lebih dulu meninggalkan kami ketika masih kecil tidak sempat merasakan apa yang aku dan Sofia nikmati sekarang.

"Nanti kita bincang semula apa yang you cakap dulu pada abah. Kita atur elok-elok. Sekarang mari kita sembahyang Isyak dulu. Sham jadi imam pada abah, pada emak juga, okey!"

Aku bertambah sayu, tetapi jauh dalam hatiku, aku mengucap syukur kepada-Nya.

No comments: