Pages

Monday, April 27, 2015

Mangsa

Oleh Pena Mutiara

SEPERTI yang telah dijanjikan, lepas waktu pejabat hari itu aku pergi menemui Rubiah di Restoran Impian di Tingkat Bawah Bangunan Sri Mas. Aku tiba tepat seperti yang dijanjikan, namun Rubiah datang lebih awal dari itu. Dari jauh lagi Rubiah sudah senyum padaku. Dia memakai baju kurung warna merah jambu berbunga-bunga kecil.

"Dah lama kakak tunggu?" Aku bertanya sebaik saja berdiri di hadapan Rubiah. Pada waktu yang sama aku menarik perlahan-lahan sebuah kerusi.

"Kakak pun baru sampai. Rasanya belum panas lagi kerusi ni kakak duduk," beritahu Rubiah. "Kakak ingat Mat lupa janji," usik Rubiah kemudian.

"Saya tak pernah lupa kalau berjanji," balasku cepat.

Rubiah tersenyum mendengar kata-kataku itu.

Sewaktu membetulkan dudukku untuk lebih selesa, pelayan restoran datang. Aku memesan kopi dan Rubiah meminta nescafe. Pelayan dalam usia dua puluhan itu meninggal kami dengan senyum.

Aku memandang sekeliling. Suasana agak tenang. Pengunjung tidak ramai. Selain aku dan Rubiah, aku dapati hanya ada empat pelanggan lain. Mereka duduk semeja. Seorang daripada mereka adalah perempuan dalam usia tiga puluhan. Yang lain lelaki dalam usia dua puluhan ke bawah. Barangkali mereka satu keluarga, fikirku.

"Rajin nampaknya Mad menulis. Banyak cerpen Mad kakak dalam majalah dan akhbar," puji Rubiah ketika pelayan restoran datang membawa minuman. Sesaat kemudian pelayan restoran berambut mencecah bahu itu berlalu.

Aku hanya tersengih.

"Ada novel baru?" Tanya Rubiah bila lihat aku diam.

"Ada, tapi belum tulis," jawabku ringkas.

"Bila nak tulis?" Soal Rubiah ingin tahu.

"Belum ada masa, kak," terangku jujur. "Kerja pejabat sekarang terlalu banyak. Balik rumah badan dah letih. Tak dapat nak tulis kalau badan letih, kak," tambahku selamba.

Rubiah meneguk nescafenya sedikit.

"Apa cerita novel Mad kali ini?" Tanya Rubiah sebaik saja dia meletak semula cawan nescafe di atas meja. Mata Rubiah tajam memandangku.

"Kali ini saya menulis cerita Orang Asli, kak. Dua minggu saya menyelidik dan mengumpul bahan. Kemudian dengan pertolongan seorang kawan, saya pergi ke perkampungan Orang Asli dekat Tanjung Rambutan di Perak. Saya tidur semalam bersama mereka," terangku sungguh-sungguh.

Aku rasa gembira memberitahu hal itu kepada Rubiah. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin disebabkan Rubiah adalah seorang daripada sekian banyak peminatku yang setia mengikuti perkembangan dunia penulisanku sejak aku mengenalinya dua tahun lalu.

"Tentu seronok ceritanya. Kakak rasa tak sabar hendak membacanya," ujar Rubiah kemudian.

Aku diam. Senyum.

Sepi seketika.

"Kakak jumpa Mad ni nak minta tolong Mad sikit," kata Rubiah setelah diam seketika.

Aku melihat janda berusia tiga puluh lima tahun itu tidak berkelip-kelip.

"Tolong yang macam mana kakak?" Aku bertanya dengan sedikit berdebar.

Rubiah tidak segera menjawab. Dia membetulkan rambutnya di bahagian belakang sebelum bersandar kemas.

"Kakak nak minta tolong Mad tulis cerita mengenai diri kakak," terang Rubiah dengan tenang. "Kakak tak senang duduk selagi cerita kakak ni tak didedahkan. Kakak percaya Mad boleh menulisnya," sambung Rubiah.

Aku membisu. Aku tegok sedikit kopiku.

"Kakak harap Mad tidak hampakan permintaan kakak ini. Kakak mau cerita kakak ini dijadikan teladan oleh kaum sejenis kakak yang belum kahwin," ujar Rubiah lagi.

Aku tersenyum kecil.

Permintaan Rubiah itu tidaklah terlalu membebankan aku. Dan ini bukanlah kali pertama aku diminta menulis cerita peribadi seseorang. Rubiah adalah orang kedua yang minta pertolonganku.

Dua tahun dulu aku diminta oleh seorang gadis menulis mengenai dirinya. Gadis itu bernama Lili. Cantik orangnya. Kulitnya putih kuning. Tubuhnya berisi. Matanya bulat memukau. Lili cukup mempersonakan mata lelaki.

Sayangnya nasib Lili tidak secantik wajahnya. Dia menjadi mangsa lelaki kota.

Cerita Lili sungguh mengharukan. Justeru itu tidak sampai hati aku menghampakan permintaan Lili. Seminggu setelah bertemu Lili, aku tulis sebuah cerpen berdasarkan apa yang diceritakan oleh Lili kepadaku.

Aku olah cerita Lili dengan sebaik-baiknya. Cerpen itu tersiar dalam akhbar mingguan dua bulan kemudian. Tiada siapa tahu bahawa cerpen berjudul Tak Seindah Mimpi  Rindu itu adalah cerita benar.

Lili datang dari sebuah kampung di Johor. Adik beradiknya ramai. Ada lapan orang semuanya. Dia anak yang ketiga dalam keluarga. Ibunya meninggal sewaktu umurnya tiga belas tahun. Tidak lama kemudian bapanya kahwin lagi.

Sejak itu Lili dan adik-adiknya hidup dalam keadaan yang terbiar. Mereka tidak begitu dipedulikan oleh bapa sendiri. Abangnyalah yang mengambil berat hal mereka.

Setelah menerima keputusan SRP, Lili berhijrah ke Kuala Lumpur. Ini berlaku empat tahun dulu. Pada mulanya Lili enggan meninggalkan kampung, tetapi apabila dipujuk berkali-kali oleh Anisah, akhirnya Lili pergi juga. Dia pergi dengan harapan mendapat pekerjaan untuk membantu persekolahan adik beradiknya.

Nasib Lili agak baik. Lima minggu setelah menjadi wargakota, dia diterima bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah sebagai penyambut tetamu. Dari tarikh itu bermulalah era baru dalam hidup Lili. Dia dikelilingi oleh lelaki dari pelbagai peringkat dan kedudukan. Lili jadi perhatian ramai lelaki kerana kecantikannya.

Dalam sekelip mata, Lili mempunyai ramai kenalan lelaki. Antara yang ramai itu, secara diam-diam Lili memilih Jasni sebagai lelaki istimewa. Orangnya tinggi, tegap dan kacak. Dia anak seorang ahli perniagaan yang berjaya.

"Kami hidup macam suami isteri di sebuah appartment di Ampang," cerita Lili terus terang. "Orang keliling tak pernah ambil peduli pergerakan kami. Kami juga tak kisahkan mereka. Hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur benar-benar bebas macam burung," sambung Lili.

Aku diam.

"Setahun kami tinggal bersama. Sepanjang bersama Jasni, saya begitu yakin dia akan mengambil saya sebagai isteri. Jasni cukup mengambil berat diri saya, baik dalam soal kesihatan mahu pun kewangan," cerita Lili lebih lanjut.

Sepi sejurus.

"Sangkaan saya rupanya tidak benar. Barulah saya tahu yang saya ini rupanya masih mentah untuk menilai watak lelaki di Kuala Lumpur," kata Lili macam kesal. "Saya ditipu. Jasni lari meninggalkan saya dan berkahwin dengan gadis lain. Jasni hanya berlakon dengan saya. Saya menjadi mangsa lelaki kota."

Lili berhenti. Aku tahu hatinya pedih dan luka. Dia tunduk, seolah-olah cuba mencari ketenangan dan kekuatan dalam dirinya untuk terus bercerita. Aku menanti cerita selanjutnya dari Lili.

"Berminggu-minggu saya menangis dan jadi orang yang tak keruan. Tidur tak pernah lena. Mujur saja saya tak gila. Saya anggap diri saya sudah tak ada harga satu sen pun. Nilai diri saya macam tahi hidung kering. Segalanya sudah hilang dan musnah. Satu-satunya mahkota yang ada pada diri seorang gadis sudah pecah. Yang saya miliki hari ini adalah pecahan-pecahan mahkota yang sudah tak ada harga lagi," cerita Lili dengan panjang lebar. Nada suaranya begitu lirih.   Aku tahu dia cukup kecewa. Barangkali juga menyesal yang amat sangat.

Terharu aku mendengar cerita Lili.

"Segala-galanya sudah berlaku. Tak ada makna untuk dikesalkan lagi. Nasi sudah menjadi bubur," kataku menyabarkan. "Kesilapan ini kesilapan Lili sendiri. Lili terlalu cepat memberi kepercayaan kepada lelaki yang kacak dan ada kedudukan, akhirnya Lili sendiri menjadi mangsa."

Lili membisu. Tunduk.

"Saya harap Lili tabah dan cekal meniti hari-hari mendatang. Lupakan peristiwa hitam itu dari ingatan. Apa yang perlu Lili ingat, Lili tidak mengulangi kesilapan itu lagi," aku memberi nasihat kepada Lili.

Aku yakin Lili masih mempunyai hari depan yang indah. Lili tidak harus patah semangat.

"Kakak mau Mad tulis cerita kakak dari A hingga Z," tiba-tiba suara Rubiah masuk ke cupingku. Aku sedikit tersentak. Kenangan kepada Lili putus secara spontan. Cepat-cepat aku pandang Rubiah.

Rubiah menatapku sungguh-sungguh.

"Boleh Mad tulis?" Tanya Rubiah mencari kepastian.

"Saya akan cuba," ucapku bersahaja.

Pengakuanku itu nampak begitu menggembirakan Rubiah. Wajahnya berseri-seri. Rubiah menegok nescafenya sedikit.

Sejurus kemudian Rubiah pun mula bercerita. Aku mendengar dengan tenang.

Panjang cerita Rubiah. Dia meluahkan segala-galanya kepadaku. Hampir satu jam dia bercerita. Tidak jemu aku mendengarnya.

"Kakak tak teringin hendak kahwin lagi?" Tanyaku menduga sebaik saja Rubiah menamatkan ceritanya. Aku sekadar mahu tahu apa jawabnya.

Rubiah tersenyum pahit.

"Kakak serik nak kahwin lagi," ujar Rubiah di hujung senyumnya. "Biarlah kakak jadi janda sampai mati. Kakak tak mau hati kakak luka untuk kali kedua. Cukuplah sekali hati kakak dilukakan lelaki. Dan cukuplah sekali kakak jadi mangsa," sambung Rubiah serius.

Setelah menarik nafas panjang, Rubiah berkata: "Kakak tahu hidup janda penuh cabaran dan dikelilingi fitnah, namun adalah lebih baik begini daripada mempunyai suami yang lidah bercabang dan tidak bertanggungjawab."

Senyap.

"Kakak sudah tak percaya lagi lelaki yang ada di Kuala Lumpur ini," kata Rubiah tegas setelah diam sejenak.

"Marah sangat kakak pada lelaki," aku mengusik secara berseloroh.

"Marah dan geram!" Balas Rubiah cepat. Suaranya serius.

"Tak semua lelaki di Kuala Lumpur buruk perangainya, kak," aku cuba mempertahankan kaum sejenisku. "Banyak yang baik dan bertimbang rasa," tambahku tenang.

"Nampak saja macam orang baik-baik, tapi bila dah rapat dan bergaul lama, Tuhan saja yang tahu perangainya. Contohnya bekas suami kakak," ujar Rubiah sinis.

Aku diam. Perlahan-lahan aku mengangkat cawan dan menghirup sedikit air kopiku.

"Bekas suami kakak dulu bukan main baik orangnya sebelum kahwin dengan kakak. Dia pandai ambil hati kakak. Dia jaga kakak seperti menatang minyak yang penuh. Apa masalah kakak dia ambil berat. Waktu kakak sakit dan duduk di wad seminggu, dia datang tengok kakak setiap hari. Di samping bawa buah-buahan, dia juga belikan buku-buku agama untuk kakak baca," terang Rubiah panjang lebar. Dia membetulkan duduknya sedikit.

"Lepas kahwin enam bulan baru kakak dapat tahu dia rupanya dah beristeri dan ada dua anak. Nak pitam kakak dibuatnya. Menangis air mata darah pun tak guna lagi. Perkara dah berlaku," kata Rubiah. "Paling kakak benci hidup bermadu, walaupun kakak jadi isteri muda. Biarlah kakak hidup menjanda daripada bermadu."

Diam.

"Mujur waktu berpisah kakak belum ada anak," kata Rubiah lagi setelah meneguk nescafenya.

"Tak sunyi ke hidup kakak hari ini tanpa suami dan anak?" Soalku tiba-tiba. Aku rasa tidak wajar mengemukakan soalan itu kepada Rubiah. Aku kira soalan itu amat sensitif bagi orang perempuan.

Rubiah tersengih.

"Sesekali kakak rasa juga. Tapi bila teringat peristiwa lama, kakak fikir lebih baik kakak solo begini," kata Rubiah kemudian.

Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Cepat-cepat aku menghabiskan kopiku.

"Malam ini surau dekat rumah saya ada majlis sambutan Maulidur Rasul," terangku bila Rubiah bertanya ingin tahu.

"Jangan lupa tulis cerita kakak tadi," pesan Rubiah sebelum aku beredar.

Aku mengangguk.

Kami berpisah kurang tiga minit ke pukul tujuh. Aku tak tahu ke mana Rubiah pergi selepas itu.

No comments: