Pages

Monday, July 13, 2015

Melawan arus (Sebuah fragman novel yang akan terbit)

Oleh Khadijah Hashim

KEGAGALAN merebut jawatan ketua bahagian itu benar-benar membuatkan Sakinah berfikir panjang mencari sebab dan cacat diri. Barangkali aku terlalu gopoh untuk cepat naik ke atas. Jawatan tidak penting. Malah itulah kayu ukur menilai popular tidaknya seseorang tokoh. Barangkali ada baiknya aku memikirkan semula nasihat emak dan permintaan Adlan. Agaknya aku kena buktikan boleh menguruskan rumah tangga, sebuah masyarakat kecil, kemudian baru melangkah ke kelompok yang lebih besar, lebih luas. Di kala itu Atan dan Salbiah tidak berpeluang lagi mengumpat aku sebagai anak dara tidak laku. Kalau berdampingan dengan ketua pemuda pun orang tidak salah sangka konon hendak mengorat suami orang! Ah, banyak sungguh pantang larang sebelum orang dapat menerimaku sebagai pemimpin.

Sudah bulatkah hatiku memilih Adlan? Soalnya berkali-kali seperti tidak yakin dengan pilihan sendiri. Lama dia tertegun memikirkan pemuda yang sudah dikenalinya sejak kecil itu. Kalau tidak dia, siapa lagi? Bisiknya kemudian. Peminatku ramai, tetapi semuanya tidak tahu latar belakangku. Entahkan suami orang, tunang orang. Semuanya berlagak bujang lepas laku. Badarudin yang rapat denganku pun tidak tahu asal-usulku. Masing-masing tidak pernah berbual fasal keluarga.

Kalau tidak Adlan siapalah lagi! Detiknya. Teman-teman sekuliah dulu seorang pun tiada yang rapat. Masing-masing seolah-olah merasa rendah diri hendak berkawan sebab aku personaliti televisyen. Siapa lagi yang lebih rapat dengan aku selain Adlan yang sabar melayan keletahku. Adlan yang kuajak berbincang akhirnya bertengkar! Kalau begitulah gayanya boleh kekalkah jodohku? Rasa tidak yakin pula jadinya. Adlan sudah lama menunggu, aku saja yang berdalih itu ini. Sekarang apa lagi alasan aku? Adlan mencari yang lain baru putih mata!

Sesuaikah Adlan dengan aku? Lama dia termenung di sofa yang menghala ke taman kecil di petang yang tenang itu. Marina yang dianggap seperti emak angkat itu belum pulang dari pejabat. Rumah besar itu semakin sunyi setelah Tania pindah di rumah sendiri di Subang Jaya. Bahagialah Tania bersama Azrul. Aku saja yang masih tidak tentu arah.

Sakinah melihat sekeliling. Rumah itu benar-benar sunyi. Tiada siapa yang boleh dilawan berbual. Siti dengan kerjanya di luar, mungkin menjirus bunga. Marina menegah Tania pindah, tetapi adat orang sudah berkeluarga lebih suka berumah sendiri.

"Mahu teh atau oren, Neng?" tanya Siti, tiba-tiba muncul di sisi dengan senyum hormat dan nampak sedia berkhidmat.

"Teh, Siti," sahut Sakinah. Sebentar kemudian secawan teh panas dengan kuih lapis sudah terhidang di meja kecil dekat Sakinah. Ini yang seronok tinggal bersama Marina. Soal makan minum jadi mudah, segalanya terurus. Tetapi sampai bila aku hendak berkampung di rumah Marina?

"Tunggu apa lagi? Apa kurangnya Adlan? Kita dah kenal mak ayahnya. emak dan ayah berkenan sangat dengan Adlan," kata Mak Long Asiah terus-terang. Budak degil macam Sakinah tidak boleh berkias-ibarat. Biar dia tahu kehendak kata fikirnya.

Sakinah tersenyum sumbing teringatkan leteran ibunya. Apa kurangnya Adlan? Soalnya sendiri. Adlan berpelajaran dan berdikari. Mampu menyara hidupku. Tetapi entahlah setiap kali bertemu banyak bergaduh daripada berbincang apalagi hendak bermesra. Rasanya Adlan sudah tidak asing dalam hidupnya, terlalu dekat, tetapi kenapa tidak sebulu? Ada-ada saja yang ditengkarnya apabila berjumpa. Lelaki macam dia itu boleh serasikah dengan aku? Atau aku yang ego? Aku yang cerewet?

"Engkau ada pilihan lain? Cakaplah, jangan buat orang tertunggu-tunggu," tanya Mak Long Asiah seperti memberi kata dua.

"Tak ada," sahut Sakinah pantas. Arfah adiknya yang sedang menuntut di maktab perguruan pun sudah bertunang dengan rakan sekuliah dan akan bernikah selepas tamat kursus.

"Aku tak mahu Arfah melangkah bendul," kata Mak Long Asiah.

"Apa salahnya melangkah bendul? Bukannya berdosa!" jawab Sakinah selamba.

Sakinah tersenyum sendiri mengingatkan leteran emaknya. Arfah anak yang baik. mengikut kata emak dan ayah. Biarlah dia menikah dulu, apa salahnya. Arfah sudah buat keputusan yang bijak. Cuma aku saja yang tidak tentu arah. Apa kurangnya Adlan? Entah. Dia pemuda yang ada rupa juga walaupun tidak sekacak Badarudin yang pandai bergaya dan sentiasa melaram dengan baju dan tali leher berjenama. Kadang-kadang jadi peragawan jemputan menggayakan baju fesyen baru dari jenama terkenal. Pendeknya dia lelaki serba boleh.

Adlan sebenarnya tidaklah selekeh sangat. Selalu berpakaian kemas, tetapi tidak mengikut perkembangan fesyen seperti Badarudin. Soal berpakaian perkara remeh. kalau ada duit apa pun boleh digayakan. Paling penting ialah serasikah aku dengan Adlan? Lama tidak jumpa terasa rindu menghiris hati. Rasa sepi dan ternampak-nampak Adlan di depan mata. Tetapi anehnya, apabila berjumpa banyak bertengkar daripada berbincang.

Petang semakin larut. Sakinah masih tersandar di sofa. Rasa letih untuk ke majlis makan malam anjuran sebuah syarikat Amerika. Tetapi kerana sudah berjanji dengan Badarudin dia terpaksa pergi. Bukan untuk bersuka-suka tetapi kerana bayaran yang lumayan. Baju untuk dipakai pada malam itu pun sudah dipinjamkan oleh pihak penaja dari sebuah butik terkenal. Sakinah akan pergi dengan jeans dan kemeja-T saja. Sampai di hotel baru dia bersalin pakaian dan bermake-up.

Sakinah memandang jam di tangan. Sudah pukul enam suku. Marina belum pulang. Biasanya hampir senja baru sampai ke rumah. Kadang-kadang dia terus ke rumah Tania. Begitulah selalunya. Sakinah juga sibuk. Kalau kena membaca Berita, dia berehat sebentar sebelum membuat semakan berita dan masuk ke bilik solek.

Lepas rancangan Berita jam lapan, dari pejabat dia akan terus ke studio. Di sana dia akan berehat sebentar sebelum menyemak berita dan masuk ke bilik solek. Lepas berita baru pulang ke rumah. Tetapi malam itu dia akan jadi pengacara majlis makan malam di hotel P. Jam tujuh setengah malam mesti ada di sana.

Sampai bila aku hendak hidup macam ini? Ikut saja nasihat orang tua, mungkin berkat doa orang tua hidupku lebih selamat. Ekonomi Adlan sudah stabil. Kalau aku hendak terus bekerja, Adlan tidak menghalang. Tania sudah bahagia di samping Azrul. Sabariah pula dengarnya sudah bertunang dengan guru di Seremban. Guru itu cuma lulusan Maktab Perguruan saja. Ah, kalau hati sudah suka, darjat dan pangkat tidak atau diambil kira.

Aku bagaimana? Biarkan Arfah menikah dulu?

Teman-teman di bank selalu menggiat dia dengan Badarudin. Pasangan yang ideal kata mereka. Itu kata mereka. Itu kata mereka sedangkan Badarudin tidak pernah pun menyebut soal cinta. Dia lelaki yang pandai menyimpan rahsia. Siapa pun tidak tahu siapa kekasihnya yang sebenar. Ramai wanita di kalangan berdarjat menjadi teman ke majlis-majlis sosial, tetapi kerap bertukar ganti. Ada kala orang terpandang dia dengan datin ini, puan seri itu di majlis-majlis tidak formal. Ramai sangat wanita yang mendampinginya.

Sakinah sedar di mana duduknya diri. Badarudin hanya menaruh minat kepadanya sebab petah bercakap, boleh jadi pasangan pengacara yang sesuai. Lain daripada itu Badarudin tidak pandang sebelah mata pun.

Aku pun bukannya cantik sangat. Dahi jendul. Lainlah Sabariah yang cantik molek, putih bersih. Itupun memilih seorang guru maktab saja. Apa lagi aku yang tidak secantik Sabariah atau Nik Nariah yang selalu bergandingan dengan Badarudin membaca Berita di TV8 itu.

Nik Mariah yang kononnya cuba dipikat telah memilih kerabat di-Raja sebagai kekasihnya. Begitulah manusia, lain yang dikejar lain yang datang! Aku mengejar siapa sebenarnya?

Barangkali memang sudah jodohku dengan Adlan. Berkorbanlah sedikit untuk menggembirakan hati dua keluarga. Kerana mereka aku mesti berkorban? Betulkah begitu? Atau cubalah dulu!. Mana boleh cuba-cuba apabila sampai ke soal nikah. Berumah tangga bukan untuk setahun dua macam memilih tempat kerja.

Kalau boleh biar sampai ke akhir hayat. Boleh bahagiakah bertahun-tahun hidup sebumbung? Semakin difikirkan semakin ragu pula jadinya. Hati! Tetapkan hati bahawa Adlan itu pilihan yang paling baik untukku. Habis cerita. Bukankah cinta dan kasih sayang akan timbul setelah berumah tangga? Nikah dulu baru bercinta itu yang lebih selamat. Ikut cara orang tua-tua, detiknya meyakinkan diri.

"Telefon, Neng," kata Siti. Sakinah tersentak. Apa kena dengan aku ni? Jauh aku mengelamun.

"Terima kasih Siti, "Sakinah menyambut gagang telefon dari Siti.

"Hello! Tak pergi ke tv ke?" Tanya Adlan.

"Tak. Jadi MC malam ni," sahut Sakinah. Kemudian tertawa kecil.

"Kenapa suka sangat ni?"

"Panjang umur, Lan. Kita tengah ingatkan dia..."

"Baguslah tu," Adlan tertawa sama.

"Lan macam mana? Sihat?"

"Sihat."

"Lama tak nampak muka."

"Rindu ke? Lan pun rindu..." Adlan terus mengusik.

"Kalau rindu, tengok Kinah baca Berita malam esok."

"Tiap malam tengok."

Sakinah tertawa. Ada sesuatu yang bermain di kepala tetapi berat mulut hendak mengucapkannya. Egokah aku?

"Lan..."

"Mmmm..."

"Projek Lan macam mana?"

"Projek? Projek yang mana?"

"Projek kita le..." Sakinah tertawa. Entahlah, kadang-kadang hal-hal serius seperti itu pun dia boleh geli hati.

"Mmmm. Tunggu lampu hijau Kinah aje..."

Sakinah terdiam. Berat mulut hendak menyatakan perasaan sebenar. Dia cepat-cepat minta diri dengan alasan hendak bersiap-siap ke majlis makan malam.

Majlis bermula jam lapan malam, tetapi Sakinah mesti berada di sana lebih awal. Sembahyang maghrib di surau hotel, kemudian bermake-up dan bersalin baju tajaan. Setelah beberapa tahun bersama Badarudin dia sudah biasa menghadapi apa jua keadaan walaupun berhadapan dengan pihak penganjur yang kecoh tidak tentu fasal. Sampai masa tamu kehormat tiba dia akan mengumumkan ketibaan tamu kehormat. Selepas itu ikut saja aturcara pihak majlis. Tetamu makan, kita pun makan. Orang menyanyi kita berhibur. Semuanya seperti sudah dapat dibayangkan dari awal majlis hingga ke akhirnya. Paling penting titik peluhnya dibayar.

Petang itu dia terpaksa ke kedai dengan seorang wanita. Mereka berpimpin tangan dan nampaknya begitu mesra. Sakinah cuba mengelak tetapi Azrul sudah tidak dapat melarikan diri. Betul-betul bertembung batang hidung. Mahu tidak mahu Azrul menegur Sakinah.

"Heh, apa buat sini?"

"Jadi MC..."

"MC? MC di sini?"

"Ya."

"Ahh, hebat you!" puji Azrul tersipu-sipu. Wanita di sebelahnya cuma tersenyum saja dan tidak pula diperkenalkan.

"Apa khabar Tania?"

"Baik."

"Datanglah ke rumah,"

wanita cantik yang dikepit Azrul itu? Rakan busines atau kekasih? Hatinya berat mengatakan kekasih. Cara wanita itu memaut lengan Azrul sudah menunjukkan mereka sepasang kekasih.

Sakinah membiarkan kepalanya disyempu, kemudian dibilas dengan air bersih yang dingin tetapi hatinya hangat, otaknya ligat memikirkan nasib Tania.

Baru dua tahun berumah tangga sudah mula buat perangai. Dulu waktu bercinta sanggup bertunggu tangga di pejabat, di rumah Tania. Kini sudah ada orang lain. Mudahnya orang berubah hati. Apa kurangnya Tania? Apa cacatnya Tania? Dia sahabatku. Aku mesti membela nasibnya. Aku tidak mahu dia teraniaya. Dasar lelaki hidung belang, sudah beristeri masih main cinta. Perlukah aku memberitahu Tania? Aduh! Sakitnya hati mengingatkan perangai Azrul. Malam itu dia rasa buat kerja macam terpaksa saja. Tidak ceria sedikit pun. Badarudin buat kelakar, dia sedikit pun tidak ketawa. Badarudin menegur pun ditengkingnya.

"Kenapa ni? Laparkah?" tanya Badarudin campur menyindir.

"Kalau lapar makan nasi, bukan makan orang!" perlinya. Sakinah segera minta maaf. Dia sedar akan kesilapannya. Geramkan Azrul terbawa-bawa pula ke majlis orang. Belum lagi Adlan yang berlaku curang. Kalau terjumpa Adlan yang mengheret perempuan lain, tahulah aku mengajarnya. Bengkak rasa hati mengingatkan nasib Tania.

Sampai hati Azrul buat begitu pada Tania. Apa kurangnya Tania? Dia cantik? Dia bijak. Adakah aku pun akan menerima nasib serupa nanti? Benar- benarkah Adlan cintakan aku, sayangkan aku? Macam ayah sayangkan emak. Kekal jodohnya hingga ke hari tua. timbul lagi rasa bimbang dan kurang yakin dengan kesungguhan Adla. Masa belum dapat kata orang begitulah, dah berkahwin nanti banyaklah salah silapnya.

Waktu bersarapan pagi itu ringan saja mulut Sakinah hendak bercerita fasal terjumpa Azrul dengan seorang wanita cantik. Rupanya seperti kacukan Melayu-Inggeris. Memang wanita itu cantik tetapi manis lagi Tania

"Lama tak jumpa Tania. Apa khabar dia?" tanya Sakinah.

"Auntie baru ke rumah dia petang semalam," sahut Marina.

"Dia sihat?"

"Sihat. Dia kirim salam. Auntie makan di sana semalam. Dia masak sambal tumis udang. Azrul pula bawa balik ikan bakar. Apa lagi berseleralah. Kalah lauk di hotel," kata Marina riang. Sakinah tersenyum. Azrul pulang bawa ikan bakar dan makan bersama di rumah? Bagus sekali. Tapi siapa wanita itu? Tania tahukah hubungan mereka? Hisy! Kenapa aku yang buruk sangka. Tania tidak apa-apa, aku saja yang kecoh. Jangan nak menjaga tepi kain orang! Usah risaukan soal orang, masalah sendiri tidak selesai! Benar. Benar sekali.

Apa yang kulihat hari ini lakonan drama atau benar-benar wujud sebuah rumah tangga yang bahagia? Sakinah macam tidak percaya apabila melihat gelak ketawa dan usik-mengusik antara Tania dan Azrul. Sakinah diundang khas untuk makan tengah hari di rumah Tania hari minggu itu. Itulah peluang aku melihat keadaan sebenar.

Dalam fikirannya sebelum bertolak ke rumah Tania, tentunya Azrul malu alah melihatnya datang. Tetapi sangkaannya meleset. Azrul riang menyambut Sakinah seperti tidak ada apa-apa yang dimalukan.

Wau! Dia memang pandai berlakon. Bagus sekali kalau diperkenalkan kepada pengarah filem. Kasihan Tania! Tentu Tania tidak tahu Azrul main kayu tiga. Lembut licin macam belut hingga tidak ketara belangnya. Bijak melayan isteri. Pandai mengambil hati Tania. Cakap di luar, cakap di dalam!

Azrul sama sibuk membakar ikan terubuk di dapur. Sama lincah menyiapkan meja makan. Sesungguhnya dialah suami ideal. Suami penyayang, ringan tulang membantu isteri. Gelak tawanya memeriahkan suasana makan tengah hari itu.

"Tambah lagi, Kinah. Ikan bakar istimewa ni..." pelawa Tania.

"Rasalah air asamnya. Sedap tak?" tanya Azrul riang mesra.

"Makan, Kinah. Ini ayam masak kicap kegemaran Kinah sejak di asrama dulu!" kata Tania, kemudian tertawa kecil. "Sedap gulai nangka Tania," puji Azrul. Kemudian menjeling manja ke isteri di samping.

"Tania memang pandai masak, kalah masakan di coffee house hotel P," kata Sakinah sambil merenung tajam ke muka Azrul di hadapannya. Azrul pura-pura tidak hirau. Dia sibuk melayan Tania. "Macam mana Azrul, sedap masalah isteri atau hidangan di hotel?" tanya Sakinah lagi. Saja mahu melihat reaksi Azrul.

"Sedaplah di rumah..." sahutnya kemudian terkekeh-kekeh ketawa. Matanya bulat tajam menentang Sakinah seperti memberi amaran. Menyirap rasa darah melihatkan telatah Azrul. Dia benar-benar berlakon. Kasihan Tania. Bagaimana aku hendak memberitahu Tania?

Selesai makan, Sakinah dijamu pula dengan aiskrim dengan tapai ubi. Kemudian minum kopi. Kemudian sama-sama berkemas sambil berbual disulam gelak ketawa.

Sambil itu Sakinah masih mencari ruang dan masa untuk menyampaikan berita buruk itu. Kalau tidak sekarang, bila lagi? Lagi lama dipendam lagi sakit hatiku melihat telatah Azrul. Tetapi apabila melihatkan gurau-senda Azrul dan gelak tawa Tania yang begitu mesra dengan suaminya tidak tergamak pula dia hendak menceritakan apa yang memeram di hatinya itu. Tania sungguh bahagia di samping Azrul.

Kalau aku ceritakan kisah Azrul dengan wanita itu entahkan dia percaya entahkan tidak. Entahkan cuma-cuma saja aku menyakitkan hatinya. Atau jadi punca mereka berkelahi. Tidak. Aku tidak mahu meruntuhkan rumah tangga orang. Tetapi aku tidak suka Azrul berlaku curang pada Tania. Dia sahabatku. Menyakitkan hati Tania bererti menyakitkan hatiku. Tania tidak bersalah. Dia isteri yang jujur dan penyayang. Hingga ke saat Sakinah minta diri untuk pulang dia masih tidak berdaya hendak membuka mulut. Kasihan dia! Biarlah dia terus bahagia dalam keadaan tidak tahu.

Barangkali itu yang sebaik-baiknya demi keutuhan sebuah rumah tangga. Tania usah diusik. Azrul yang perlu diingatkan. Azrul yang perlu dinasihatkan. Tetapi bagaimana ya?

Sunday, July 12, 2015

Kematian

Oleh Nora

DUNIA itu hanya tiga hari -/kelmarin yang telah lewat/maka tidak ada lagi di tanganmu kesempatan sedikitpun hari itu./Esok yang kamu tidak ketahui bisa menemuimu atau tidak./Dan hari ini di waktu mana kamu berada di dalamnya/maka manfaatkanlah ia sebaik-baiknya.

Dan duniapun tiga saat juga -/satu, saat yang sudah lewat/dua, saat yang kamu tidak ketahui bisa menemuimu lagi atau tidak/dan tiga, saat yang kamu berada di dalamnya./Jadi pergunakan ia sebaik-baiknya/kerana sesungguhnya kamu tidak memiliki kecuali hanya satu saat saja./Sebab mati itu dari satu saat ke saat yang lain.

Dan umur dunia pun tiga nafas -/nafas yang sudah lewat yang engkau telah menyelesaikan pekerjaan di dalamnya/nafas yang kamu tidak ketahui bisa menemuimu atau tidak/dan nafas yang kamu berada di dalamnya./Maka kamu tidak memiliki kecuali satu nafas saja, tidak satu hari dan tidak satu saat.

"Oleh kerana itu bersegeralah, wahai Alkaf dalam mempergunakan nafas yang satu ini untuk bertaat sebelum hilangnya kesempatanmu dan bertaubat sebelum engkau mati. Mudah-mudahan matimu berada di dalam nafas yang kedua ini. Dan seutama-utama awal adalah menjaga segala detik waktu bersama detik nafas. Sesungguhnya orang yang mensia-siakan waktunya bererti dia telah mensia-siakan umurnya."

Desing apakah ini? Dengung apakah ini?

Demikian, di antara desing dan dengung itu, Alkaf lalu terus meniti sebatang lorong sunyi yang melontarkannya ke masjid. Jubahnya putih. Bulu keningnya putih. Janggutnya putih. Dan kepalanya, kalau tidak dibotakkan, juga putih macam bukit gondol dibaluti salji.

Alkaf berjalan di bawah sinar matahari pagi Jumaat. Hujung tongkatnya meraba-raba kerikil-kerikil batu di lorong yang menghubungkan teratak buruknya dengan masjid. Di tangannya tercengkam seutas tasbih dan sebuah Quran. Goyangan badannya yang seperti pohon kering dan kurus, tergoyang- goyang, dan goyangan itu berpaut pada tongkat. Badannya dirasakan seperti kapas diterbang angin.

Demikian setiap Jumaat, di bawah sinar mentari, Alkaf menapak dan meniti lorong sepi ini yang dinaungi pepohon yang merimbun, dan menampilkan kehijauan dedaunnya.

Di hujung dahan dan juntaian ranting pokok yang lebat hijau daun itu, melambai-lambai, bergoyang-goyang seperti kepala lebai sedang berzikir, ditiup angin pagi, mencecah dan mencuit serbannya.

Pohon yang membarisi dan memagari lorong sepi itu, dengan burung bertasbih dan berzikir di bawah rembang mentari Jumaat.

"Aku dengar tasbihmu, wahai pohon. Aku dengar zikirmu wahai burung Jumaat," bisik hati Alkaf.

Demikian setiap sinar Jumaat, selagi sisa umurnya masih dipinjamkan oleh Allah walaupun sedetik, Alkaf begitu istiqamah dan tawaduk menapakkan kaki di lorong redup, sepi dan dingin itu.

Dan lorong digigit kesepian. Pohon daun hijau, pohon daun kering yang gugur, nyanyian dan siulan burung, dan mentari sudah menjadi sebahagian urat saraf Alkaf.

Dia menapak penuh tawaduk, menekurkan kepalanya ke bumi seolah-olah matanya membilang batu kerikil di bawah tapak kaki. Dan, entah macam mana terdetik hatinya hendak melihat mentari Jumaat di atas ubun-ubunnya.

Lalu Alkaf mendongakkan kepala ke langit lewat dahan pohon. Sinar mentari Jumaat menikam matanya. Mata tuanya tidak tabah menentang cahaya getir itu. Dan entah mengapa tiba-tiba hatinya bertanya. Tetapi, bertanya kepada siapa? Entah. Allah saja yang Maha Mengetahui denyut hatinya.

"Bila matahari digulung?"

"Bila bintang berguguran?"

"Bila langit dilipat-lipat?"

"Bila gunung berterbangan seperti debu?"

"Bila unta bunting dibiarkan?"

"Bila binatang buas dikumpulkan?"

"Bila lautan pecah?"

"Bila roh disatukan?"

"Bila anak-anak perempuan yang dikubur hidup-hidup, ditanya?"

"Bila kitab amalan didedahkan?"

"Bila langit dicabut?"

"Bila binatang dan planet tidak berada di tempatnya lagi?"

"Bila neraka dinyalakan?"

"Bila syurga dihampirkan?"

Dan akhir sekali Alkaf bertanya kepada dirinya: Bila aku akan mati?

Kakinya melangkah membawa kepalanya yang sarat dengan beban pemikiran tuanya: Mati. Alam Barzakh. Siksa kubur. Kiamat. Akhirat. Kebangkitan. Mahsyar. Mizan. Sirat. Syurga. Neraka.

"Pada hari yang mereka akan diseret atas muka mereka. Rasakanlah sentuhan saqar." Ayat 24 Surah al-Qamar sering berloncatan dilidahnya.

"Adakah aku akan kena seret di atas mukaku? Disentuh saqar? Ya Allah..." Alkaf bernafas berat, mengeluh insaf. Senafas dengan itu air matanya menitis.

Insan Alkaf bagaikan lalang direbah angin berjalan meniti lorong redup dan dingin. Tapak kakinya meratah dedaun kering yang bercempera di sepanjang jalur lorong. Kertap-kertup bagaikan gigi mengkacip kacang. Dari celah-celah lorong ini matanya melihat puncak menara masjid yang akan didatangi di pagi Jumaat yang kudus dan syahdu.

"Jumaat yang selamat," desis di hatinya. "Bila selamat hari Jumaat, selamatlah hari-hari yang lain," sanubari Alkaf terus berdetik.

"Dan selamatkanlah aku. Syukur, aku hidup lagi. Bernafas lagi. Bergerak lagi. Kakiku dapat melangkah lagi ke masjid. Syukur."

"Keetuk, keetuk, keetuk..." hujung tongkatnya mencecah batu-batu kerikil yang melata di jalur lorong. Alkaf terus berfikir dalam menelurusi jalanan ke masjid.

Sebaik-baik hari yang terbit padanya matahari, ialah Jumaat. Hari Jumaat dijadikan Adam. Pada hari Jumaat Adam dimasukkan ke dalam syurga. Pada hari Jumaat Adam diturunkan ke bumi. Pada hari Jumaat taubat Adam diterima Allah. Pada hari Jumaat Adam wafat dan pada hari Jumaat juga terjadinya kiamat.

"Matikah aku hari ini? Hari Jumaat?" Alkaf mengetuk pintu kamar dirinya sambil terus menapak.

Tiba-tiba segumpal angin mendesir dan pohon berayun-ayun meliang-liuk bagaikan kepala lebai berzikir. Daun, dahan dan ranting pengikat daun yang tidak kuat lagi mencengkamkan kukunya ke batang, dan daun gugur sehelai demi sehelai ke bumi. Bumi menatang dengan seribu kerelaan menerimanya.

Daun yang gugur pada pandangan kesufian Alkaf adalah seperti nyawa yang telah dicabut oleh Sakaratulmaut. Hari kematian daun kering sudah datang detiknya.

"Dan bilakah hari kematianku datang?" Hati Alkaf berbisik.

Setiap sinar mentari Jumaat, Alkaf bertemu dengan lorong sepi itu, bertemu dengan masjid, bertemu dengan pohon-pohon, bertemu dengan burung- burung yang bertasbih memuji-muji keagungan Allah dan alam maya ini, bertemu dengan tempat iktikafnya, bertemu dengan jemaah Jumaat, bertemu dan bersalaman dengan sahabat-sahabat yang duduk iktikaf di kiri kanannya di saf yang paling depan di belakang imam.

Kicauan burung, desir dan desing angin pagi Jumaat, daun yang berguguran dan mentari Jumaat adalah simbol kemuliaan dan keagungan Jumaat.

Burung dan haiwan bertemu satu sama lain pada hari Jumaat dengan saling mengucapkan: "Selamat, selamat hari yang mulia!"

Dan lorong berkerikil itu kian redup, dingin dinaungi pepohon yang menjadi payungnya. Dan desir angin Jumaat membisikkan sedenyut suara ke telinga Alkaf.

"Di syurga ada pohon yang luas naungannya untuk perjalanan 100 orang berkenderaan dan penghuni syurga bercakap-cakap di bawah naungannya itu dan sebahagian penghuninya membicarakan memoir di dunia. Lalu Allah mengirimkan angin syurga sehingga bergeraklah pohon syurga itu mengeluarkan bunyi yang lebih merdu dari muzik termerdu di dunia."

"Ya Allah betapa nikmatnya perjalanan di bawah naungan pepohon ini yang didendangkan oleh kicauan burung-burung dan dielus-elus oleh angin pagi Jumaat," Alkaf menghayati kenikmatan dan kesyahduan lorong itu.

"Wahai, manusia engkau lihat aku ini angin yang menerbangkan debu-debu." Angin seolah-olah menghembuskan bisikan ke telinga Alkaf.

"Wahai, manusia lihat aku megamega yang mengandungi air," kata mega- mega.

Pohon yang rimbun dan rendang itu seolah-olah berbicara pada Alkaf. Apa katanya?

"Orang-orang yang beriman dan bertakwa kerana yakin adanya hari pembalasan, mereka berbuat kebaikan dalam hidupnya. Bangkit di tengah malam minta ampun pada Allah segala dosanya."

Burung seolah-olah berbicara pula pada Alkaf: "Orang-orang yang beriman, dan mengerjakan kebaikan kami tidak akan sia-siakan ganjarannya bagi orang yang memperbaiki amalannya. Bagi mereka disediakan syurga yang kekal abadi, yang mengalir di bawahnya sungai."

Dan detik pengujian dari Allah pun datang. Tiba-tiba petir meledak di angkasa. Awan mendung menghitami wajah langit dan menutupi sinar mentari Jumaat. Dan titik-titik hujan pun berguguran dari langit.

"Hujan rahmat..." bisik hati Alkaf, terus melangkah di bawah titisan hujan.

Hujan pagi Jumaat kian lebat dan tebal. Dan sekelip mata saja, dengan kuasa Allah, lorong ke masjid dibanjiri dan dirayapi air. Pohon riang dimandikan air hujan. Burung berloncatan bersorak-sorai menikmati titik hujan yang gugur.

Dan sekelip mata saja lorong bertukar citra wajahnya menjadi lembah dan tasik. Tiba-tiba langkah Alkaf termati dan tertegun. Terbentang sebidang lembah. Jubah, serban dan janggut putihnya dibasahi air hujan. Air hujan membungkus sekujur tubuhnya.

"Melangkah terus merenangi lembah untuk ke masjid? Atau berpatah balik ke belakang?" Hati Alkaf berbicara.

Lorong sepi berkerikil ke masjid telah putus diputuskan oleh sebuah lembah dan danau. Lembah apakah ini? Danau apakah ini? Tasik apakah ini?

"Hai, manusia, jika kamu masih saja ragu-ragu tentang kebangkitan, maka fikirkanlah bahawa sesungguhnya kami telah ciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik mani, kemudian dari seketul darah, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya, kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu akan kekuasaan Kami, dan kami tempatkan dia di dalam rahim hingga satu masa tertentu menurut kehendak Kami, kemudian Kami keluarkan kamu sebagai bayi, kemudian Kami pelihara hingga kamu sampai tegap, teguh dan sesudah itu sebahagian dari kamu mati dan sebahagian mencapai serendah-rendah dan setinggi-tinggi umur sehingga tidak tahu apa- apa sesudah itu. Dan bila bumi itu kering, bila Kami turunkan air padanya, maka ia menjadi mekar dan lembut. Lalu Dia tumbuhkan tiap-tiap macam yang cantik-cantik."

Demikian bisikan demi bisikan ke telinga Alkaf. Dan tiba-tiba sekawan burung bangau turun dari langit dan terjun ke dalam lembah itu. Bangau yang berbulu putih polos pun bertemu dengan lembah yang subur. Sorak-sorai bangau dan tasbih katak pun bergema di lembah yang baru tercipta dan wujud itu. Dan lahirlah sebuah gema yang memanggil dan melambai-lambai khalayak manusia, khalayak burung dan khalayak haiwan bahawa di sini sudah wujud sebuah dunia baru yang adil, berperikemanusiaan, salin berkasih sayang, saling cinta mencintai di antara singa dengan serigala.

Demikian kehendak Allah, hujan yang selebat-lebatnya tadi hingga melahirkan sebuah wadi subur tibatiba berhenti. Senja pun datang mengembangkan sayapnya. Tabir malam pun melabuhkan dirinya ke permukaan bumi. Fajar Muharam pun menyising disusuli dengan terbitnya matahari Muharam. Khalyak bangau, khalayak katak, khalayak burung kecil, khalayak teratai, khalayak ikan bertasbih dan berzikir mengucapkan syukur kepada Allah.

Kekal abadikah wadi yang subur ini? Kekal abadikah penghuni khalayak bangau, kembang tertai, ikan dan burung kecil?

Demikian seluruh yang bernama baharu di dunia ini tidak kekal abadi. Tetapi, usia Alkaf dipanjangkan Allah untuk sejengkal lagi. Demikian dengan berbekalkan umur yang sejengkal itu, Alkaf menapak lagi lorong kecintaanya hari itu. Tetapi, lorong berkerikil dipenuhi lumpur dan selut cair becak bertibaran di mana-mana. Pohon kering dan mati, ranting kurus dan daun meranggas. Siulan burung lenyap entah ke mana ghaibnya, dan desir angin juga sudah mati.

"Oh, mana bangau? Ya, Allah apa sudah jadi ini?" Hati Alkaf menjerit sayu dan tiba-tiba air matanya menitis. "Malapetaka apakah ini?"

Tetapi, di mana lembah yang subur? Mana bangau? Mana katak? Mana ikan? Lembah sudah kering, gersang dan tandus. Bangau sudah berhijrah dari benua ke benua menyibarkan salam kehancuran dan kemusnahan lembah. Katak sudah berhijrah mencari lembah lain yang dianugerahkan oleh Allah lebih berbobot kesyuburan dan kemakmurannya.

Lembah yang kering. Bangau yang hijrah, katak yang mengongsi, ikan yang mengembara mencari lembah yang subur. Ah, satu keagungan yang berakhir begitu cepat. Dan Alkaf menyaksikan sejalur penderitaan dan kemusnahan yang hebat. Dosa siapakah ini? Awasilah perubahan masa dan suratan nasib.

Ah, sudah lama aku tidak melihat wajah-wajah cilik di Tadika Islam di Desa Keramat. Demikian terbetik di celah-celah lipatan hatinya. Dan Alkaf tiba-tiba tenggelam dalam naluri rindu bersama cinta yang menganyam bilah- bilah mindanya malam itu.

Demikian setiap kali Alkaf mengunjungi ke Tadika itu mata dan hatinya diusap bayu kesegaran dan kebugaran anugerah sebuah kenikmatan meniti wajah demi wajah cilik yang sedang bernasyid dalam posisi empat barisan berbaju hijau seragam. Cilik waladun bersongkok putih, cilik bintun bertudung putih.

Ah, wajah-wajah mongel. Wajah-wajah bocah yang syahdu, suci dan kudus seperti kain putih. Ah, anak-anak yang belum dipalit dosa. Wajah manusia cilik yang tercinta ganti berganti muncul dalam bayangannya. itu masuk ke kelas, baru Alkaf berangkat pulang membawa bijana hati yang penuh membuak-buak air kesyahduan dan kekudusan.

Bangau yang berhijrah. Ikan yang berkelana mencari lembah yang subur dan katak yang mengongsi ke ufuk Timur kerana makhluk ini sudah tercium bau wangi diterbangkan oleh angin Timur yang menyampaikan khabar gembira bahawa akan lahir seorang pemuda dari Timur.

Dan pondok Alkaf pun diguyur hujan malam itu. Kehilangan sekelompok mahkluk Allah ini membentuk jasad Alkaf kosong bolong dalam merangkaki detik-detik sepanjang malam basah dan lembab itu. Mana hendak dicari ganti di atas seluruh kehilangan-kehilangan ini?

Menjelang Subuh, derai kokok ayam berkeruyuk gamat. Saling lontar melontarkan kokok, dan saling sahut menyahut di antara desa. Ada tercetus keributan dan keriuhan menjelang Subuh. Zikir katak lembah, kicauan burung kecil dan derapan kaki didengari seluruh alam. Dan derapan kepak bangau dan suara halus gemersik bergalau berbaur dengan derapan kaki-kaki mongel.

Ah, apa ini? Alkaf terlonjak dalam pembaringannya. Kemudian suasana keributan dan keriuhan membucah-bucah. Dan Alkaf bangun menerkam ke jendela. Dan demi daun jendela terkopak apa yang disaksikan matanya? Di halaman pondoknya melimpah-ruah tamu-tamu cilik anak-anak Tadika Desa Keramat.

Burung bangau yang membawa rakannya burung gagak, ikan dan sebuah lembah sudah wujud di halaman rumahnya. Pohon yang memagari rumahnya bertenggeran ratusan burung gagak dengan penampilannya seribu keriuhan dan keributan jeritan dan laungannya.

"Masya Allah..." Alkaf mengucap, kegegaran.

"Assalamualaikum..." tamu cilik menghadiahkan salam kepada Alkaf.

Ya, Allah apa-apaan ini?

Saturday, July 11, 2015

Kembalinya seorang sutradara

Oleh Rozhan Zakaria

BULAN di langit bagai tak berdaya. Ia tiba-tiba diselubungi segugus awan hitam yang berat. Dan sewaktu sinarnya seakan tak bermaya menyimbah walau sedikit tupa bumi dan kelibat, tatkala itulah seorang sutradara termangu sendirian di pinggir meja. Matanya terlalu gentar, semacam takut ditentang. Bukan kerana mata itu merah menyala seperti biji saga, atau sinarnya tajam. Tetapi kerana mata itu terlalu jauh terperosok ke dalam tulang tengkoraknya. Malah di bawah kelopak matanya itu, warna hitam kebiruan cukup jelas sekali.

Segalanya itu seakan menyelit seribu satu rahsia tragis yang mengalir deras dalam saraf pengalamannya.

Seketika kemudian, pecah di langit guruh yang maha kuat. Berdentum menggertak angkasa raya dan bumi, hinggakan kamar kecil sutradara itu turut bergoncang dijerkah guruh. Dan jelas sekali merah bak kilat lidah halilintar bersilau menyambar bumi, hinggakan cermin di kamar sutradara itu melantun kembali arus merah yang menyilau buat seketika di kamar kecil yang dihuni sutradara kurus cengkung. Dan dalam kesamaran silau halalintar itulah kelibat sutradara itu menjadi bertambah ngeri untuk ditatap.

Di luar, hujan semakin menggila. Langit bagaikan meraung tatkala disebat halalintar bengis. Namun, sutradara yang masih termangu di pinggir meja itu, seakan tidak tergerak gentar, malah simpati terhadap tangis suara langit meratap kesakitan memohon simpati seorang insan yang paling perasa pada gerak sarwajagat. Apapun, fikirannya seakan dibiar mengembara ke dunia asing. Dia seolah-olah sedang bergelut dengan kederat mindanya yang berbaki, sambil menyelongkar almari rahsia untuk dipentaskan.

Tetapi, mengapa dia harus mengambil masa yang lama kalaupun untuk menyiapkan sebuah naskhah, sedangkan di tangannya sudah terbukti keupayaannya dan sedia mengalir mahir untuk mencipta sebuah kisah yang maha indah, punya nilai estetik dan segala-galanya segar-bugar belaka? Lagi pun, segalanya sudah pernah dia pentaskan. Baik kisah percintaan manusia, mahu pun putera yang tertewas di medan tempur tanpa sempat si ibu mengucup dahi lembutnya, atau kisah seorang nizami bercinta dengan kekasihnya, atau kebusukan hidup. Dan segala-galanya bukan tidak pernah dan asing lagi bagi sutradara sejak dia ditakdirkan seperti itu.

Dan semua orang tahu tentang sutradara itu walaupun dia masih muda berbanding sutradara lain yang bertungkus lumus di panggung. Pengalaman dan bacaannya begitu luas sekali hinggakan menjangkaui dunia yang tak terjangkau oleh sesiapa. Sekurang-kurangnya kerana itulah dia dihormati.

Haizan adalah satu-satunya sutradara yang tidak pernah jemu dengan dunianya. Dia tidak pernah gagal memikat ribuan penonton bertenggek di hadapan panggung setiap kali dia mementaskan hasil tangannya. Ruang audien sentiasa penuh, hingga ada yang sanggup berdiri dan berasak-asak di muka pintu berebut untuk masuk ke dewan bagi menyaksikan doktornya melakonkan kembali kemahuan dan kehendak yang berguling dan menggelepas di dalam tubuhnya.

Apapun sutradara itu tatkala ini kelihatan begitu lesu sekali. Dia seperti terlalu asing dengan dunia pentasnya. Jari-jemarinya kaku untuk mengetuk mesin taip yang tidak pernah berbohong untuk mencatat isi hatinya ke muka kertas yang putih. Matanya pula sedikitpun tidak terkejip, seakan buta dan bagaikan gagal untuk menyorot sebuah kisah segar. Otaknya beku, lumpuh. Fikirannya seakan keluar berlegar atau kembara, atau menjalani sebuah pelarian tanpa penghujung ke dunia yang belum pernah diketemuinya selama ini.

Sewaktu segala-galanya bisu dan diam bungkam. Haizan seakan terus terbang sendirian mencari sarang sebuah kebuntuan yang tercipta tak semena-mena. Apapun dia sedar sarang kebuntuan yang bersawang dalam dirinya bukanlah baru saja bernanah dan pecah membusuk, tetapi telah wujud sejak manusia tercipta di tangan ajaib-Nya. Cuma manusia tidak menyedari. Dia ada di dalam setiap benak manusia. Hanya manusia yang alpa dan lena dalam mimpi sendiri, ulang Haizan.

Tatkala itu, gertak guruh di langit meledak lagi. Semakin lama, semakin menjadi-jadi. Kehitaman alam yang sesekali menyala disambar petir menenggelamkan suram bulan. Serigala liar di hutan berdekatan tidak segalak selalu. Lolongannya bagai ditelan jerkah lintar yang zalim. Serigala kini kehilangan bulan di penjuru langit. Dan segala-galanya lenyap ditelan dentuman guruh yang menggila. Banjir pasti melanda, kuala pasti melimpah. Haizan mengingat bahtera Noh ketika banjir besar belayar ke garis memanjang ke langit. Nakhodanya Noh sendiri. Kelasinya pendengar puisinya yang paling setia. Haluannya ke pulau kencana. Yang tahu nikmat anggur, tahulah siapa Noh.

Apapun, banjir besar pasti melanda lagi. Itu yang pasti berlegar di fikiran Haizan. Biar semua orang hanyut. Biar semua orang menjadi mangsa banjir. Semua hanyut. Semua lemas. Biar semua maut di muka air. Biar mayat-mayat dan sampah sarap, dan bangkai dan najis diseret ke mulut muara. Kuala pasti tersumbat dan sendat tanpa dapat memuntahnya keluar ke laut lepas.

"Haizan!" Suara itu tiba-tiba muncul tanpa bayang.

Sutradara tersentak. Matanya berlegar ke segenap ruang kamar.

"Haizan! Aku tahu kau kecewa."

Segaris kerut terukir di dahi Haizan.

"Kerut di dahimu adalah segaris gelisah yang retak. Begitu bukan?"

"Siapa kau?" Haizan geram.

"Aku? Aku adalah dirimu sendiri!"

"Tapi, suaramu tidak terbit dari mulut aku."

"Benar, tidak terbit dari mulutmu. Tapi, cuba kau pejamkan mata. Pasti kau tahu suara itu datangnya dari mana."

Haizan memejamkan matanya.

"Dapat kau lihat dari mana datangnya suara itu?"

Haizan mengangguk.

Tapi sewaktu itu, kerut di dahinya semakin memanjang dan berlapis-lapis mengorak kegelisahan yang membusung di dada. Dia resah. Gelisah. Secara mendadak sutradara itu bangkit dari kelesuan. Dia seakan mendapat semangat Hang Jebat untuk menentang kebusukan hati. Dia tahu keadilan, tapi dia juga tahu bahawa manusia yang mencipta undang-undang itu sendiri yang melakukan ketidakadilan.

Di manakah kebenaran? Pertanyaan dan persoalan itu datang bertubi-tubi.

Dan sutradara yang berkaca mata dan berkening lebat itu rupanya lebih luar biasa daripada biasa sekarang. Mesin taip tanpa kata-kata di atas kertas putih. Secawan kopi pekat yang telah lama sejuk dan segala-galanya dikuis dari atas meja, dan dibiarkan bertaburan berselerak atas lantai.

"Haizan! Jangan kau fikir perjuanganmu sia-sia. Aku tahu kau kecewa kerana pengorbananmu tidak pernah dihargai. Tak ada manusia menghargainya."

"Ahhhhh! Segala-galanya jijik. Aku diketawakan. Aku disindir begitu sinis. Kekadang terlalu sarkastis." Haizan memaki.

Dia melihat kipas angin di siling berputar ligat. Beberapa helai kertas kajang berterbangan.

"Lihat saja!" Dia melontarkan matanya ke siling. Sesekali kamarnya cerah dijenguk petir. Kegelisahannya selama ini tertayang. Nostalgia itu terlalu tragis untuk dikenang.

Tapi Haizan masih ingat benar bagaimana pentasnya cuma menjadi tempat manusia berkepala ular dan berwajah seekor babi ketawa, dan berkepala biawak menghidu bangkai bernyawa, terbahak-bahak melihat kejayaan mereka menjahanamkan kehidupan manusia kecil.

Haizan menyempitkan matanya lagi. Jelas di kolam matanya bagaimana mereka akan tertawa menggila sambil menepuk-nepuk bahu rakan kongsi dan sambil menahan perut yang tegang membuncit melihat si kecil terpedaya.

"Tahniah! Tahniah!"

Dan banyak lagi ucapan maha manis, tapi berbaur bau alkohol perat.

"Haizan! Pementasan yang baik sekali."

"Realiti!"

"Ya! Realiti!"

Haizan ingat semua itu. Dia juga ingat setiap kali lampu di panggung malap perlahan-lahan lantas tangannya dicapai. Dia diberikan tahniah kerana kejayaannya mementaskan sebuah kisah benar, bergelodak dalam masyarakat. Tetapi manusia yang mengucapkan tahniah itu sebenarnya manusia berkepala raksasa dengan wajah hodoh dan menjijikkan. Mereka berkepala biawak. Mereka berkepala ular, lidah mereka bercabang.

Dia sedar bahawa manusia kerdil macam juga manuskripnya. Punya kata tapi tak upaya bersuara, seperti Philomela tanpa lidah, dihukum Tereus manusia bertopeng binatang. Cuma tenunan saja yang dapat membebaskannya daripada penjara manusia buas. Begitu juga aktor-aktornya saja yang berupaya melafazkan gelodak yang membuak di dadanya. Tapi perjuangannya tidak pernah diendah. Ia hancur lebur dan menjadi busuk. Terlalu perat baunya.

Aduh! Segala-galanya sudah tidak membenarkan lagi setiap perkataan yang terbit dari mulut manusia untuk dipercayai.

Haizan sutradara memalingkan muka. Jendela tiba-tiba ternganga macam mulut seekor buaya terdampar di pantai. Dan angin menyerbu masuk lalu menjamah dengan rakusnya setiap inci tubuhnya yang basah disimbah keringat dingin, tapi panas.

Dia bingung tentang perihal manusia. Dia sedar segala-galanya cuma lakonan. Kemanusiaan di jiwa luluh lantaran manusia sudah tidak lagi pandai bercinta. Kebusukan, aduh! Terlalu perat di hati manusia.

Begitulah kecewanya dia kerana perjuangannya disindir oleh ketawa yang menggila. Sorakan yang gamat memenuhi ruang panggungnya rupanya permainan biasa mereka yang berpenyakit. Dia tahu sorakan itu. Dia juga tahu senyuman di setiap dialog lucunya.

Mereka ketawa dan mereka sorak bukan kerana kritikannya pedas. Tetapi mereka ketawa kerana manusia kecil begitu mudah tertipu dengan perkara yang tidak benar.

"Haizan! Aku tak mahu kau putus asa dalam perjuangan. Perjuanganmu suci!"

"Suci? Ah, mengapa aku ditertawa?...aku disindir...perjuanganku sekadar menjadi panggung menyaksikan kembali pendusta terus berdusta. Itu saja!"

"Benar Haizan. Tapi, sekurang-kurangnya kau perlu akur dengan takdir- Nya, bahawa kau adalah manusia yang tercipta di tangan ajaib-Nya. Kau seorang daripada seribu satu insan yang paling perasa dengan ilham."

Ahhhhh! Dia melepaskan sebuah keluhan berat - seberat awan ketika mengindung hujan.

Penipuan menguasai saraf hingga menjadikan manusia tidak jujur!

Aduh! Segala-galanya tipu belaka.

Tiiiipppppuuuuuuu!

"Hei! Lihat dulu Haizan."

Semua manusia berkepala raksasa seolah memerhatinya penuh sinis.

"Tahniah! Kau sutradara muda punya bakat besar. Tahniah lagi kerana berjaya memaparkan kepintaran. Tahniah kerana berani!"

Mengingatkan kata-kata itu, Haizan hilang pertimbangan. Dengan geram dia capai senaskhah manuskrip. Naskhah itu dikoyak-koyaknya. Naskhah itu dilemparnya melewati jendela ternganga. Biar basah lusuh, dan hancur dimamah hujan. Atau terus saja hanyut di muara. Biar tersadai bersama bangkai. Bersama sampah-sarap. Bersama najis.

Dan ombak di gigi pantai berdekatan kamarnya terus memukul pantai. Segala-galanya berubah sekelip mata saja.

Haizan menundukkan kepala. Dia benar-benar sudah tak berdaya menentang ketidaktentuan dunia pentasnya. Benar, pengorbanan selama ini sia-sia belaka. Kesia-siaan ini bukan kerana buntu menghasilkan kisah baru yang lebih segar atau lebih bermakna, ada nilai kemanusiaan sejagat. Kesia- siaan itu muncul kerana ketidak sempurnaan manusia itu sendiri yang berlegar di sekelilingnya.

"Hurayyy! Kita telah berjaya membentuk manusia menyaksikan kepintaran kita berjanji dan memperbodohkan manusia kecil yang dungu."

Haizan tersentak. Kata manusia berkepala ular sambil lidahnya terjelir seolah-olah membenarkan lagi perjuangannya menjadi kesia-siaan yang tidak bergua. Segala-galanya adalah kesia-siaan yang bernanah, busuk dan hanyir, dan jijik.

Dia semakin sukar mencari suatu titik pertemuan yang hakiki. Perjuangannya ditertawakan. Dia kesal manusia tidak pernah ambil peduli. Jika adapun jumlahnya boleh dihitung. Kebenaran pada manusia yang ramai sekadar memaknakan kepalsuan dari suatu pembohongan. Tidak lagi kenyataan yang logik dan bersifat hakiki. Hakikat keindahan dan hakikat kebenaran sudah kian luntur di akhir zaman. Kerana kecewa dengan semuanya itu dia hilang upaya untuk kembali ke pentas lagi. Manusia sudah semakin lupa bahawa tanah yang diinjaki adalah tubuhnya sendiri. Berbohong dengan saudara. Bertikam dengan darah daging sendiri. Haizan kecewa.

Begitulah kebusukan hati manusia menjadikan pentasnya tempat para pemainnya yang paling hebat mengembalikan nostalgia mereka yang bertubuhkan manusia, tetapi berkepala raksasa yang hodoh dan jijik. Pentasnya bukan lagi penyampai makna cinta, tetapi candu yang menjadikan mereka semakin ketagih. Pentasnya menjadikan manusia berkepala raksasa lebih dari sang iblis yang merasuk Hawa memujuk Adam memakan epal terlarang kemudian terlontar dari syurga ke bumi.

Ahhh! Haizan meramas-ramas rambutnya hingga kusut masai. Kekacauan membuak-buak di dadanya. Matanya yang bundar tapi kelihatan tajam memandang sekeliling menatap ketidak keruan pentasnya. Manusia tidak siuman dan asing dengan kemanusiaan kerana pentasnya. Haizan menyalahkan dirinya. Dia menghentak-hentak kepalanya ke dinding hingga mengalir darah yang pekat membasahi muka dan dinding. Pengorbanannya selama ini rupanya melahirkan ketidak sempurnaan. Sia-sia belaka. Manusia yang tidak tahu menjadi pandai untuk menjadi pemain yang berbakat di tengah manusia.

Sutradara muda itu terduduk, lesu dengan kekecewaan yang melanda.

Haizan benci. Benci dengan kerjanya. Kerja rupanya sebuah lakonan sia- sia. Biarpun dia tekun dan bersengkang mata hingga ada tompokan hitam membulati kelopak matanya kerana kurang tidur semata-mata untuk memaparkan kebenaran yang hakiki supaya manusia berpedoman. Tetapi manusia lupa

"Haizan! Usah berputus asa dengan kerja pentasmu!"

Haizan panggung kepalanya. Perlahan.

"Basuhlah lukamu kerana lukamu itu merah. Kau perlu bangkit dari kekecewaan. Kau mahu tahu Haizan, aku adalah harapanmu yang ingin menyaksikan kau terus berjuang biarpun kau diketawakan. Perjuangan harus diteruskan biarpun seorang. Haizan kau punya keupayaan."

Kata-kata itu menyentaknya. Dia kaget.

"Haizan! Perjuanganmu menjadi lebih sia-sia jika kau terus bertekad untuk meninggalkan pentasmu!"

Dia kini berasa tercabar.

"Ahhhhhhhhhhhh! Jijik! Jijik! Aku kata!"

"Aku tahu ia jijik. Tapi kau harus sedar siapa lagi manusia yang tercipta seperti kau? Aku ulangi Haizan bahawa kau perlu akur dengan takdir-Nya. Kau seorang daripada insan yang terpilih dan ajaib. Jika kau sia-siakan bakat yang dianugerahkan untukmu, bermakna kau juga salah seorang daripada manusia berkepala raksasa itu."

Kata-kata itu membuatnya terus tersentak. Dia bangkit, cuba mengagahi untuk berdiri biarpun macam tak berdaya. Dia memandang tajam sekeliling. Tangannya tergapai-gapai memegang kepala yang berdarah. Darah itu ditatapnya lama-lama. Kemudian dia berlari keluar dari kamar.

Tubuhnya kini basah disimbah hujan. Dalam gelap dia berlari lagi dan terus lari dan lari menuju ke laut dan kemudian terjun ke dalamnya. Lama juga dia menyelam, dan muncul semula sambil menolak rambutnya ke belakang. Dia tarik nafas jauh ke dalam. Kemudian dilepaskannya perlahan-lahan. Dia sempitkan pintu matanya, menoleh sekeliling. Sinar bulan kembali menyerlah lewat hujan sambil serigala kembali melolong di hutan.

Memo sang kera

Oleh Azizi Abdullah

BAIK di puncak pokok, baik di tengah hutan, baik di kaki bukit, tiba-tiba seluruh kera warga Bukit Bendera dan Botanical Garden berteriak riang. Mega merah muda bagaikan berarak di balik bulan, kelap-kelipnya macam lampu neon deretan kereta berhias dalam satu Pesta Tanglong. Bulan pun sangat berseri. Kilau berolak-olak di air sungai yang bengkang-bengkuk di kawasan Botanical Garden. Pada padang rumput, gemerlap kehijau-hijauan seperti seekor rusa yang kagum melihat wajahnya menjadi indah berkaca dalam kilauan air.

Sejak munculnya purnama, seperti anggerik bulan merambat pelan, mereka berlompatan dari dahan ke dahan sampai luruh dan patah bunga-bunga hutan, bunga-bunga wisala dan gandasuli, sampai berterbangan unggas-unggas. Mereka tidak peduli lagi harum mengambar-ngambar. Seluruh warga Botanical Garden dan Bukit Bendera, baik kera, baik monyet, baik beruk, baik lotong seperti berpesta.

Di dahan pokok jejawi yang berluyut-luyut di tiup angin, Maliawan Kera Botani yang menjadi ketua segala warga jenis melompat di seluruh hutan Botanical Garden semakin dhaba dengan bara dukacita. Nyatalah seluruh warganya sudah hilang semangat kenegerian, sudah lenyap sifat kebumiputeraan dan tercabut, terbongkar sudah identiti kekeraan yang selama ini dipertahan.

"Bodoh!"

Maki caci bodoh itu tidak bersipongang pun di seluruh hutan Botanical Garden, apa lagi dengungnya sampai ke puncak Bukit Bendera. Angin malam itu tersangat malas, betapa pun malan bunga padma, purnama bersandar di puncak Komtar. Malam itu rasanya tidak lelap dalam malam. Kencana malam sedang bertetesan dalam duka embun dingin yang hinggap di hujung bunga tanjung, betapapun tetesnya bagai mata segar.

"Semua bahlol!"

Tetapi sebahlol-bahlol dan kegobolokan mereka yang berekor, yang berlompatan, yang berkreh-kreh di hujung dahan sudah semacam mengerti satu bentuk puisi yang menjadi santapan jiwa jenis manusia penyair. Maliawan Kera Botani bukan tidak tahu, puncanya dari sebuah puisi Memo Kepada MB Kedah. Sama ada bentuk puisi standard atau puisi picisan bukan soalnya. Yang nyata, sekumpulan warga sejagat raya Botanical Garden yang telah pun dihantar dengan beberapa van ke Botanical Garden, pokok hutan, rimba belukar tempat kelahiran mereka.

Dari Memo Untuk MB Kedah itu, sudah sah warga jenis melompat bergayut sepertinya mati-matian tidak mahu balik betapa pun mereka dihantar dengan kapal terbang, atau dengan trak atau ditembak sekalipun. Mereka seperti sudah mendapat negeri baru, hutan penerokaan yang penuh dengan wawasan rezeki dan aman damai dalam kehijauan rimbun teduh hutan Gunung Jerai.

"Memang mereka sudah tercabut akar umbi kebumiputeraan!" Bisik Maliawan Kera Botani. Dan mereka yang kini berkreh-kreh, berhinggutan, bergayutan suka, sama juga dengan sekumpulan mereka yang sudah ada di hutan Gunung Jerai.

Kalau tidak kerana susah menyeberangi laut Pulau Pinang, kalau tidak kerana tidak terdaya merentas Jambatan Pulau Pinang, Maliawan Kera Botani mahu juga ke hutan Gunung Jerai. Mahu berjumpa dengan suku sakat yang berekur itu. Mahu ajak mereka kembali ke Botanical Garden semula supaya tetap menjadi warga hutan Bukit Bendera yang moden, yang maju, yang tidak jakun dengan pembangunan.

Apa susahnya bermastautin terus di pinggir hutan Botanical Garden? Makanan jenuh setiap hari. Pelancong, baik dari luar dan dari dalam negeri, tidak pernah datang dengan tangan kosong. Mereka selalu bawa kacang rebus, kacang goreng. Mereka selalu lontar pisang, kuaci. Jika tidak orang tua, kanak-kanak pun tetap membawa segala jenis makanan. Kadang-kadang nasi kandar yang masih separuh di dalam bungkusan, sudah kenyang sampai ke malam.

Mana ada kera, monyet, lutung, beruk di hutan Gunung Jerai, atau hutan di Pendang, atau di hutan Jeneri, Padang Sera, Bukit Jenun atau Jeniang yang pernah minum air dalam tin. Mana ada dari mereka yang pernah mengetik kuaci Cap Helang?

Memang mereka bodoh! Maliawan Kera Botani menggetus geramnya lagi. Duduk terkangkangnya di celah dahan pokok jejawi tua sudah terasa lenguh. Dia menjuntai kaki dan mengodek-ngodek ekur pula.

Memo Kepada MB Kedah sangat memalukan. Mereka benar-benar pendatang haram yang tersengeh sungging mahu hidup dalam hutan negeri orang!

Apa alasan mereka? Maliawan Kera Botani seperti hendak menjerkah bininya, Dewi Tara Botani, bila bininya memberitahu, kera, lotong, monyet, beruk yang dihantar ke Kedah merayu tidak mahu balik lagi ke Botanical Garden melalui Memo Untuk MB Kedah.

Dalam memo itu, mereka kata mereka mencari peluang makan untuk menyambung hidup anak cucu mereka!

Mengapa? Di sini kurang makanan?

Mereka tidak sedar selama ini di Botanical Garden makanan tidak payah cari. Mereka tidak sedar yang mereka tidak lagi makan petai dan genuak, jering dan pucuk kayu yang konu tradisi itu?

Mereka kata, melalui memo itu, belantara tempat tinggal yang mereka pusakai kini sudah gondol dilanyak mesin berat dengan rakus dan sombong. Mereka kata balak sudah tumbang bergolek oleh kerakusan manusia usahawan, beritahu Dewi Tara Botani lagi.

"Itulah, mereka masih bodoh! Tak mahu kemajuan! Apakah mereka di sini tidak boleh lagi melompat, bergayut?" Jerkahnya.

"Bergayut di mana, kalau semua sudah gondol dan semua bertukar jadi hutan batu bata?" Bininya seperti terpengaruh dengan Memo Untuk MB Kedah.

"Kau pun sama!" Tukasnya lantang, sampai berguguran dua tiga helai daun tua. "Apa? Di Komtar tak boleh bergayut? Di hotel lima bintang tak boleh melompat? Di kondominium tak boleh panjat?"

Dewi Tara Botani terkerisin, terkenyih. Nyatalah lakinya sama saja dengan kucing Siam yang dibela. Untuk menamatkan pertelagahan dengan laki sendiri, maka Dewi Tara Botani pun berkreh-kreh melompat turun lalu melilau di pinggir jalan Botanical Garden, mencari lemparan pisang dan kacang dari pengunjung siang tadi.

Maliawan Kera Botani bukan tidak sedar kebenaran kata-kata bininya. Tetapi keegoaannya sebagai laki, sebagai ketua segala jenis yang melompat dan bergayut di hutan Botanical Garden dan seluruh hutan Bukit Bendera, menjadikan dia perlu mempertahankan rimba tempat tumpah darahnya. Ia seperti sikap orang Melayu Tanjung juga - biar hidung tersungkur di tanah, namun cakap mesti tinggi!

Maliawan Kera Botani bukan tidak sedar. Semarak dan pesta ria berlangsung tidak putus-putus, tetapi yang kenyang orang lain. Bukan dia tidak sedar, sehari-hari bila menikmati kegembiraan, adalah pesta boria yang bergemuruh dengan seni kata escapisme untuk menutup kelemahan bangsa. Dan dia sendiri sering mengajar kera berpesta.

Kadang-kadang dia mengajak suku sakatnya melihat burung berterbangan, merambat bukit yang gondol, memindah sarang mereka. Dia mengajak suku sakatnya melihat jendela langit di mana mega ingin jatuh melewati pancuran cahaya keemas-emasan di puncak Komtar. Diberitahu supaya melihat gagak yang tidak malu mencuri makan di gerai. Tetapi dia sendiri tahu semuanya itu hanyalah pujukan seperti seorang ibu memujuk supaya anak cepat tidur.

"Krehhh! Krehhhh! Krehhhh!"

Lamunan Maliawan Kera Botani terputus. Daun pokok hutan yang dimandikan cahaya bulan nampak bergoyang-goyang. Terdengar bunyi kocal hinggut ranting dan dahan. Ada sekumpulan kera yang sedang melompat bergayut ke arahnya.

Dan sahlah! Maliawan Kera Botani terkejut dan minggir ketika melihat ratusan Kera, lutung, beruk, monyet seperti dihambat orang. Di antara yang banyak itu ternampak pula Dewi Tara Botani.

"Heeee! Kenapa ni?" Tanyanya dengan suara garau dan benci.

Sekelian yang sampai, bergayutan di dahan ranting pokok jejawi tua itu. Di bawah, lampu neon Bandaraya Pulau Pinang macam butir-butir permata yang bertaburan.

"Kenapa?"

Bininya, Dewi Tara Botani seperti menjadi jurucakap. "Awak tahukah, tadi ketika ramai-ramai turun ke padang rumput di Botanical Garden untuk mencari pisang dan kacang, ada sekumpulan manusia sedang memasang perangkap. Dua ekor sudah mengena!"

Maliawan Kera Botani ketawa terbahak-bahak. Nyatalah jenis segala kera yang masih tinggal di sini sudah sedar dan tidak mahu ke Gunung Jerai.

"Baguslah kalau kamu semua tidak mau lagi ke sana!"

"Bukan kerana itu!" Bininya meningkah cepat.

"Habis?"

"Kumpulan manusia yang menahan perangkap itu kerana mau ambil kepala kita, otak kita untuk dihidang di hotel lima bintang!"

Betapapun halnya, itu satu-satunya yang boleh dibanggakan, kerana otak yang dianggap bodoh menjadi santapan termahal manusia. Tiba-tiba tidak semena-mena mata Maliawan Kera Botani jadi berbinau-binau. Ini satu kekejaman. Ini satu bentuk kezaliman.

Maka padamlah sinar bulan di puncak Komtar, lenyaplah bintang-bintang di dada langit. Dan air laut Barat Daya mendidih panas. Bukit Bendera dan Bukit Balik Pulau, Pulau Jerjak dan Bukit Pucat Muka bertabrakan. Ikan- ikan mati berkelempang. Di tingkat lima puluh lapan Komtar muncul seekor naga berkepala manusia, sisiknya kencana gemerlap, matanya merah bagai dua matahari kembar.

Maliawan Kera Botani kehilangan kata. Mata bulatnya yang dirimbuni bulu- bulu menjadi kuyu. Dia menggaru-garu ketiak, mengangkang luas sampai kemaluannya yang tersentot itu terdedah kepada semua. Rasanya hidup di Botanical Garden sudah tidak selamat lagi. Sudah tidak aman lagi.

Sungguh dia hairan, bagaimana kumpulan manusia itu boleh masuk ke kawasan Botanical Garden di waktu malam, sedangkan undang-undangnya tidak membolehkan berbuat begitu. Maka terfikir olehnya, betapa benarnya Memo Untuk MB Kedah yang dikirim oleh suku sakatnya yang sudah menetap di hutan Gunung Jerai. Rupa-rupanya hak hidup lebih daripada kemewahan makanan dan keindahan taman.

Manusia memang celaka. Pasti manusia yang bertaraf hebat yang mahu makan otak dari kepala jenisnya. Dan manusia itu jugalah yang tidak menyintai alam semula jadi, lalu bukit digondolkan untuk dijadikan padang golf. Pokok-pokok hijau yang menjadi tadahan air ditebang, disodok, dibungkah lalu didirikan kondominium, pangsapuri, hotel dan flat.

Manusia seperti itulah yang mengoyak dan mencungkil tanah, dan menghambat penghuni miskin di pesisiran pantai.

Apakah jenis bangsanya sudah tidak berguna lagi lalu menangkap untuk diambil otaknya? Sangkanya semakin ramai jenis bangsanya, akan menjadi kebanggaan, setidak-tidaknya menjadi tarikan pelancong. Melesetlah kebanggaannya tentang jenis bangsanya dijadikan maskot. Sahlah sudah, mereka tidak berguna lagi dan untuk berlindung di sebalik kemanusiaan, mereka pun dihantar ke negeri lain. Rupa-rupanya negeri lain juga tidak berkenan.

Maliawan Kera Botani seakanakan sudah membaca penghujung musibah itu. Jika mereka semakin ramai, mereka pasti akan ditembak. Dan jika di sana pula membiak, juga akan ditembak. Akhirnya, jika didapati jenis bangsanya akan pupus, maka pasti pula satu undang-undang memelihara binatang yang semakin terhapus akan dikuatkuasa.

"Mariii!" Tiba-tiba dia berkata dengan suara lantang.

"Ke mana?" Tanya Dewi Tara Botani? Dan yang lain juga seperti bertanya dengan bahasa mata mereka yang hairan.

"Kita tunjuk perasaan!"

"Di mana?" Tiba-tiba seekor monyet berbulu kekuningan bersuara.

"Di Komtar!"

"Nak mampus!" Bininya menyanggah. "Di Komtar itu ada pejabat, ada opes pegawai kerajaan negeri. Di sana tersimpan segala macam fail penting. Manusia akan membuat andaian cepat, kedatangan kita ke sana tentu ditohmah kerana hendak rosakkan harta benda mereka!" Kata Dewi Tara Botani dengan berani.

"Kita nak tunjuk perasaan secara aman!"

"Tapi itulah andaian mereka, tohmahan mereka!" Monyet berbulu kuning menyokong Dewi Tara Botani.

Langit bagaikan berdetak. Bintang meneteskan gerimis air mata. Malam yang dingin seperti mengajak bulan keluar dari lubuk cerahnya. Kesemua kera, lutung, monyet dan beruk bagaikan kumbang yang takut pada patukan paruh angsa. Tetapi di bawah sana, di kaki Bukit Botanical Garden, anak- anak sungai tersangat bening, airnya berderai menyimbah akar pokok yang menjulur di dalamnya. Gemerciknya bagai suara anak kera yang meminta kehangatan tubuh ibunya.

"Bagaimana pendapat kalian?" Tiba-tiba Maliawan Kera Botani bersuara dengan lembut. Itulah pertama kali dalam sidang, dia meminta pendapat. Otaknya benar-benar lemah.

"Saya ada satu cadangan," Tiba-tiba lotong berbulu hitam, yang terjungkir di hujung dahan, bersuara.

"Apa, cuba beritahu."

"Kita kirim memo macam kera di Gunung Jerai."

"Memo?" Maliawan Kera Botani membongkok badannya. Ia seperti meneguk segenggam air jernih di Telaga Tujuh Pulau Langkawi, lalu membasai tubuh.

"Pulanglah ke pokok masing-masing. Biar aku tulis memo malam ini," katanya perlahan, lemah.

Maka sekelian kera, beruk, lotong, monyet pun setuju. Mereka pun beredar.

Malam itu malam yang menghukum Maliawan Kera Botani sampai tidak tidur sepicing pun. Matanya seperti bianglala. Dari matanya memancar isi sehingga bulan menjadi putih tersungging dalam senyum ketika turun ke kaki langit perlahan-lahan.

MEMO UNTUK KM'

Adalah kami, warga segala kera monyet, lotong dan Beruk

Botanical Garden dan hutan Bukit Bendera

hutan kelahiran kami

betapapun kami sudah hilang umbi akar tradisi

tanpa masa depan bergayut di dahan

oleh hutan batu bata, puncak menara dan kondo

ia adalah tempat lahir kami sebelum Kapten Light.

Ini bukan pasrah kehidupan

ini adalah hak

walaupun makanan kami cuma dari pisang

yang dilontar oleh seorang pelancong

dan sebiji kacang dari seorang kanak-kanak

biarkanlah sebidang hutan

untuk kami melompat bergayut

jangan perangkap kami

lalu otak kami menjadi hidangan di hotel

kepada yang bernama ushawan.

Jangan hijrahkan kami atas nama kami semakin ramai

di sana muncung senapang sedang menghala

biarkan kami di sini menjadi kera tulin

sumpah, kami tak akan menggigit pelancong

dan tidak akan bergayut di puncak hutan batu bata.

Maka sehabis saja Maliawan Kera Botani menulis memo itu, dia pun menggigit tangannya sehingga berdarah, lalu ditekan ibu jarinya menjadi tanda tangan yang sebenar.

Thursday, July 09, 2015

Dunia terasing

Oleh Hasan Baseri Budiman

SEPERTI sekian kalinya, aku akan ke situ, meredah ombak kesabaran yang kian digeruni kehancuran. Seperti sekian kalinya juga, aku bertafakur di situ bersama keriuhan nyanyian camar yang tidak pernah memaklumi aku. Anak pelaut yang sudah hilang pedoman, yang kerap terpisah dengan daratan luas. Anak pelaut yang karam seperti aku ini memang sering dibungkus kebingunan.

Jemu. Dan, sungguh aku tidak tahu apa harus dilakukan pada detik sebegini. Seperti semalam, seperti semalam sebelumnya dan semalam-semalam sebelumnya, aku hanya berupaya membilang kepantasan angin menampar telingaku saja. Ah, sayunya.

Berapa lamakah aku harus terus bersendirian begini? Tidak ada siapa pernah bertanyakan kepiluan hati ini. Tiada siapa pernah bertanya betapa keharuan hati ini, keperitan hati ini. Tidak ada. Siapakah nanti yang akan mengembalikan aku ke keadaan asalku?

"Saudarakah?"

Lelaki India yang melewati tempat aku duduk itu tersenyum sumbing.

"Habis siapa?" Suaraku tiba-tiba kuat.

Aku tidak pasti ada orang lain melihat aku atau tidak. Tetapi aku tahu, ramai yang dengki dengan keistimewaan yang ada padaku. Mereka sering senyum sinis apabila melalui tembok tempat aku selalu mengutip ilham. Aku tahu.

Mentari kian malu walaupun aku masih mahu melihatnya. Kubuka buku catatan lusuh yang masih banyak ruang kosong. Kutuliskan rentak irama hatiku satu-satu ke dalamnya.

`Almanakku - kujengah lautan kemasyuran/penuh dugaan kasmaran.../menerpa kebatilan kesamaran...'

Fikiranku tiba-tiba buntu, walaupun keinginan melonjak-lonjak untuk terus menulis. Ilham yang sekecil hama itu hilang. Aku cuba ucapkannya lagi. Mana tahu kalau ilham itu datang semula! Kuhadapkan muka ke laut, kuhulurkan tangan, menggengamnya dan terus menggayakan suatu aksi tersendiri.

"Almanakku/kujengah lautan kemasyhuran/penuh dugaan kesamaran/menerpa kebatilan kesamaran..." Hatiku terasa diusik bunyi tepukan kecil. Kupandang sekeliling. Mataku tiba-tiba melekat ke sekumpulan anak muda bermotosikal. Aku tidak kisah. Semangatku kembali membara untuk membaca karyaku itu sekali lagi.

"Hebat la Mat ... Bravooooooooo!"

Aku tundukkan kepala ke arah mereka. Ketika aku mahu mengucapkan puisi untuk kedua kalinya, aku lihat sepasang anak muda Cina yang tadinya leka bercumbuan berhampiran tempat aku berdiri ini, bangun, sambil mengomel sesuatu dan terus beredar.

Semangatku tiba-tiba hilang.

Aku duduk kembali, merenung laut yang sesekali melambung ombak dan pecah di bibir pantai. Aku kagum dengan kuasa Allah yang menciptakan semua keindahan ini. Dan, aku juga kagum dengan nasibku begini. Aku suka pada puisi - mendeklamsikannya, menyanyikannya. Jauh dalam diriku tumbuh keinginan mahu terkenal seperti beberapa pemuisi tanah air.

"Ahh...amat hairan. Mengapa aku tidak berbakat macam mereka?"

Aku rasa mahu terus menulis. Tetapi fikiranku buntu. Aku cuba lonjakkan keinginan menulis sesuatu. Sebuah hasil tulisan penaku untuk tatapan umum. Kalau bukan cerpen, barangkali rencana. Kalau bukan rencana, mungkin catatan bebas. Kalau itu pun bukan juga, mungkin sajak!

"Dalam dunia seperti ini kita harus lebih tabah, Ina!" Tiba-tiba telingaku menangkap perbualan kecil.

"Tapi bang, Ina sudah hampir kecewa..."

Aku pusingkan badan ke arah perbualan itu. Suara yang melintasi tembok tempat aku bertapak. Memang kebiasaan anak muda di sekitar tempat ini datang memadu kasih di sini. Mereka seperti tidak hiraukan kehadiranku, penunggu setia tembok ini.

Malam kian larut. Seperti selalu, aku jarang dapat tidur selesa. Kuangkat bungkusan dan cuba bangun. Air sudah pasang. Kalau aku terus di sini, aku mungkin ditenggelami air laut.

Ketika berjalan aku terasa seperti melanggar sesuatu.

"Ooiiiii...buta ka?" Sebuah penampar singgah di pipiku. Perit.

"Jangan cuba menggatal. Dah gila tu buatlah cara gila. Nak pegang-pegang tu pasal apa?" Suara lelaki itu terus meninggi. Aku segera beredar dari situ.

Kupercepat langkah bagi menghindar daripada dicaci terus lelaki itu. Aku juga sedar puluhan biji mata memerhati ke arahku. Tetapi aku sudah biasa dengan semua itu. Sudah mangli.

Dalam perjalanan, tiba-tiba ilham itu datang semula. Meresap dalam kemarahan yang sedang membara. Langkahku terhenti. Tiba-tiba mulutku bersuara mengucapkan stanza yang menjengah.

`Kota yang kurang ajar/memburu manusianya yang leka dengan kekayaan/dan kehemahan kurang ajar.'

"Hooiiii apa yang memekak tengah malam ni?" Sebuah suara lemah, merentang garis tengah ilhamku. Aku mencari-cari. Sebatang tubuh terbaring dengan mukanya ditutup akhbar lama. Sisa kota yang menjadi tempias pembangunan pesat. Penghuni tangga batu. Sampah. Kutu rayau.

"Huhhhhhhh..!" Aku mencemuh dengan berani, dan segera berlalu dari situ.

"Woi! Mabuk ke? Kereta pun tarak nampak. Cit, gila!"

Aku teranjak mengelak diri. Tengah malam begini pun masih ada orang tidak tidur macam aku? Apa mereka buat? Mereka juga tidak berumah macam aku? Sekali lagi jalanku terganggu. Aku sedar, memang kesilapanku. Tetapi, mengapakah orang macam aku saja yang sering dicemuh?

"Amat! Sumua tarak mustahil, tau ka." Maniam kengkang tiba-tiba bersuara di belakang. Aku tahu, ramai sudah mengenaliku. Mat Torek. Sebut saja nama itu, ramai penduduk pekan Semangkuk kenal.

Maniam berkata sesuatu lagi yang sukar kufahami. Dan apabila aku menoleh ke arahnya dia sudah hilang entah ke mana. Aku berasa lega kerana tiada siapa lagi yang akan menggangguku.

Sampai di tangga bangunan PET, aku labuhkan punggungku di situ. Kuletakkan bungkusan kain lusuh di hujung kepalaku ketika mula berbaring. Namun, aku tidak dapat melelapkan mata walaupun aku cuba melakukannya beberapa kali. Aku bangun semula, menumpang daguku di kedua lutut.

Kurenung sinaran lampu sport yang menyuluh tepat ke dinding bangunan. Aku kagum dengan keindahan wawasan manusia. Tetapi aku akan jadi lebih kagum bila nanti sasterawan Mat Torek berjaya menerbitkan antologi puisi Sinaran.

Kukeluarkan buku catatan dari dalam bungkusan lusuh dan membukanya. Kubuka lagi dengan luas dan mula berfikir untuk menulis. Tetapi fikiranku terus buntu, tidak tahu apa yang harus kutulis.

Aku sedar sebuah karya harus kusiapkan juga. Kalau tidak malam ini, malam esok. Kalau tidak siap juga, malam lusa. Malam tulat dan seterusnya. "Tapi, kalau tidak siap juga, macam mana?"

Aku mahu namaku terkenal macam sasterawan terkenal lain. Aku akan disanjung, dipuja. Kalau tidak macam Shahnon, Samad Said atau Usman Awang, macam sasterawan terkenal yang lain itu pun tidak mengapalah. Pokoknya, aku dikenali. Sasterawan, pendukung sastera bangsa. Aku akan dijemput ke majlis sasatera. Ah, memang terkenal aku.

"Peranan sasterawan memang besar. Kita sebagai sasterawan bertanggungjawab menyerlahkan suasana selaras dengan besar dan pentingnya fungsi sastera itu sendiri dalam konteks pembangunan masyarakat dan bangsa!"

"Sudahlah Mat. Aku nak tidur ni! Esok aku kerja," Murat Kudung mengganggu rentak ucapanku. Tetapi aku tidak pernah ambil hati. Kami sudah saling kenal mengenali sejak sebulan dulu. Kerja Murat meminta sedekah.

"Ooii Murat! Aku boleh jadi sasterawan ke?"

"Sudahlah Mat. Tiap malam kita jumpa, itu saja yang kau tanya. Cubalah sesekali kau tanya yang lain. Betullah macam semua orang kata, kalau orang gila tu tak ada lain pada dia, melainkan yang gila-gila saja."

"Huhhhhh...tanya sikit pun tak boleh." Aku lepaskan geram. Murat memang baik. Setiap kali kalau dia dapat rezeki lebih, dia tidak lupa belikan makanan untuk aku. Sebab itu aku susah hendak marah padanya.

Aku anjak dudukku ke tepi dinding bangunan. Di situlah aku dan Murat Kudung bermalam. Kaki tangga bangunan PET itulah rumah kami. Cahaya lampu sport yang menyuluh dinding bangunan kutenung lagi. Kali ini agak lama. Terasa sakit mataku. Aku alih pandangan ke deretan lampu jalan yang riang menebarkan cahaya ke bumi. Beberapa ekor rerama terbang di kelilingnya.

"Hei rama-rama! Engkau fikir aku boleh jadi sasterawan?"

"Sasterawan? Sasterawan macam siapa Mat?"

"Ai! Engkau jawab pertanyaanku rama-rama?"

"Bukan rama-ramalah. Aku, akulah! Rama-rama mana boleh cakap. Kau pun satu! Betullah engkau ni gila Mat!"

"Sial!" Hatiku membentak. Kalau aku tahu Murat yang menjawab tadi, haram takkan kusuruh angin bawakan soalan itu kepada rama-rama. Aku renungi Murat yang terletang berselimutkan akhbar lama. Benciku tiba-tiba datang semula.

Aku bangun, pindah jauh sedikit daripada tempat Murat tidur. Hampir ke bawah tangga bangunan. Di sini lebih selesa. Tiada gangguan. Kuletakkan bungkus kain lusuhku. Buku catatan di tangan kubuka lagi.

Suatu waktu aku berjalan di suatu lorong pada waktu malam yang hampir- hampir serupa dengan malam ini. Aku terlihat sekuntum bunga indah, lalu lahirlah sebuah memori:

`Kucari cinta di tepi arus yang mengalir hening/di tepi ombak berdesir galak/membelah kehijauan lurah/yang memuncak di awan/lalu kubacakan ayat cintamu itu/ satu-satu dalam suara serba ragu/kerana aku tidak mampu mengetuk/pintu yang terluka dalam nafas yang pecah...'

"Yahooooooooo..." Aku berlari mendapatkan Murat yang barangkali sedang dibuai mimpi. "Hei Murat!" Aku separuh bertempek sambil menggoncang tubuh kurus melidi itu. Murat bangun, tergesa-gesa, terkejut.

"Ada apa Mat?"

"Aku dah dapat!"

"Dapat? Dapat apa?"

"Dapat karya baru. Engkau nak dengar?"

"Laaaaaa! Itu saja? Hoi Mat. Gila betul engkau. Jangan ganggu akulah. Aku nak tidur. Engkau faham tak, aku nak tidur!"

"Huhhh...Orang nak cerita pun tak mahu dengar!" Aku tinggalkan Murat semula dengan penuh rasa benci. Perlahan-lahan kupujuk hatiku supaya tidak bercerita apa pun kepada Muat.

Aku cuba baring semula. Otakku ligat memikirkan sesuatu yang aku sendiri tidak tahu. Tiba-tiba aku merasa sesuatu masuk melalui kaki seluarku yang sudah koyak. Kugoyangkan badanku kerana terasa sedikit geli. Benda itu makin menjalar sampai ke punggungku yang tidak pernah dialas seluar dalam. Aku bingkas bangun, terus masukkan tangan ke dalam seluar. Kutangkap benda itu. Seekor lipas!

"Hei lipas! Apa yang kau cari dalam seluar aku ha? Di sini bukan restoran, ada banyak makanan! Sial punya lipas," Kuhempuk lipas ke lantai. Serangga itu berpusing-pusing sebelum kaku.

"Kau memang kejam Mat."

"Aku, kau kata kejam? Engkau silap lipas."

"Kenapa kau mahu bunuh aku? Aku tak gigit engkau!"

"Bukan soal gigit. Ini soal maruah. Engkau cabul kehormatan aku. Itu satu kesalahan namanya, tau?"

"Tapi, aku tak sengaja!"

"Sengaja atau tidak, itu soal lain. Ini soal maruah."

"Maruah, maruah. Tak ada lain perkarakah yang kau nak bincang?"

"Hai, kau menghina aku nampaknya!"

"Engkau memang gilalah! Apa salahnya kenyataanku itu?"

"Celaka! Aku bunuh engkau. Aku bunuh, aku bunuh."

"Hai Mat! Apa lu bikin? Siapa lu mau kasi mati?" Satu suara tiba-tiba menyampuk. Aku yang masih membongkok menoleh ke arah lelaki itu.

"Aku mau bunuh lipas keparat yang hina aku!"

"Apa sudah jadi? Mau kasi mati lipas pun kasi bising satu dunia." Lelaki Sikh itu menggelengkan kepala sebelum berlalu dari situ. Aku terus mencari lipas yang menghina aku, tetapi gagal. Tubuhku mula terasa letih, dan sebentar kemudian aku sudah terlena di tangga bangunan.

"Wooii bangun! Sini bukan tempat tidur." Suara tinggi dan marah-marah mengejut aku. Sial. Ketika aku membuka kelopak mataku perlahan-lahan, beberapa pasang kaki sedang mengelilingiku. Aku bingkas bangun dan cuba bergerak, tetapi tubuhku segera dipegang oleh seorang daripada mereka yang memakai uniform kelabu.

"Lepaskan aku!" Aku cuba meronta. Lagi kuat aku meronta lagi kuat pula badan aku dipegang. Terasa sakit. Kemarahanku mula tercabar.

"Berapa kali lagi mesti aku beri amaran kau jangan tidur di sini hah? Dulu pun engkau dah ditangkap. Rupanya tak serik juga," Suara itu semakin tinggi. Garuk. "Hamid! Bawak dia ke Land Rover," perintah lelaki itu. Dia bertali leher dan kelihatan amat garang. Kemarahanku semakin tercabar.

Tubuhku ditolak ke dalam kereta berjaring di sekeliling tingkapnya. Terasa benar angkuhnya lelaki tadi. Tetapi apalah yang orang macam aku, macam Mamat, macam Maniam boleh buat? Di dalam kereta aku lihat beberapa rakan seperti aku sudah sedia ada. Muka masing-masing monyok.

Biasanya kalau kena tangkap kerana mengemis di bandar ini, tidak ada lainlah daripada muka kami! Kebanyakan kami memang sudah dua tiga kali ditangkap dan dihantar ke rumah kebajikan. Tetapi, tidak berapa lama selepas kami dibebaskan dari sana, kami pasti akan kembali semula ke tempat ini. Macam sudah terikat dengan satu perjanjian pula. Anih!

Aku tinjau lagi isi Land Rover. Tidak nampak pula Murat Kudung. Di mana pula agaknya dia menyorok. Aku tinjau pula keluar melalui celah dawai cermin yang memagari tingkap. Tidak nampak pun. Kenapa aku saja yang ditangkap? Kenapa Murat tiada bersama? Ada pilih kasih jugakah?

Sepanjang perjalanan aku tetap teringatkan Murat. Bagaimana dia boleh melepaskan diri. Aku harus belajar daripadanya bagaimana cara melepaskan diri daripada ditangkap. Tiba-tiba kereta berhenti. Pintu dibuka.

"Turun!" Kami diperintah seperti orang salah. Kami turun seorang demi berhampiran.

Di sebuah bilik sederhana luas di tengah bangunan itu, kami diarahkan duduk. Aku cukup tidak selesa dengan keadaan itu. Macam kena kongkong. Kuperhatikan sekeliling bilik. Semuanya tidak menarik. Rakan-rakanku juga tentu rasa begitu. Yang aku pelik, apa salah kami? Kerja kami tidak ganggu orang. Sekadar minta sedekah. Kalau orang sudi mereka beri. Kalau tidak, kami tidak pernah marah.

"Dengar sini semua! Ini amaran terakhir. Sepanjang minggu ini kempen kebersihan bandar diadakan. Pihak bandaran tidak mahu kamu semua terus jadi kutu rayau, kerana ini cacatkan keindahan bandar kita. Sesiapa yang engkar kita akan diambil tindakan, akan dikurung untuk beberapa ketika. Kenapa kamu semua masih menjadi kutu rayau, pada hal sebelum ini kamu semua diletakkan di rumah kebajikan? Apa lagi yang kamu semua mahu?"

Tiada siapa pun di antara kami mahu menjawabnya, sudah meluat dengan kerenah semua pegawai bandaran di sini. Mentang-mentanglah mereka sudah punya pekerjaan tetap, boleh berlagak dan macam-macam. Tetapi, cuba mereka bayangkan, kalau mereka jadi macam kami, apakah mereka sanggup buat apa yang kami buat sekarang?

"Kamu semua akan dihantar ke rumah kebajikan buat sementara untuk siasatan. Sementara itu, berehatlah dulu di sini." Pegawai itu meneruskan.

Tiba-tiba saja bunyi bising di kalangan kami sebaik pegawai itu pergi dan pintu bilik ditutup kuat. Ah sombongnya! Aku lihat Minah Kilat menangis. Dia memang begitu. Pantang digertak sedikit, maka menangislah dia.

"Hoi! Apa jerit-jerit ni hah?" Satu suara melenting sebaik saja pintu dibuka sebentar dan kemudian ditutup semula. Kuat. Kami diam. Lewat petang kami dipindahkan ke rumah kebajikan dua kilometer dari bandar. Dan dengan kali ini, sudah tiga kalilah aku dihantar ke sini. Kami dapat layanan baik, cumanya kebebasan kami dikurung. Inilah yang aku tidak suka. Dan mungkin kawan-kawan aku juga begitu. Itu sebabnya bila kami berpeluang keluar kami akan teruskan semula kerja kami. Di luar kami bebas biarpun kadang-kadang kami biasa tidak makan dua tiga hari. Tetapi kami tetap gembira dengan kerja kami.

Malam itu aku tidak dapat tidur. Aku tahu di sini bukan duniaku. Aku keluar berjalan meredah embun ke kerusi di bawah pohon ketapang dekat blok aku ditempatkan. Sinar lampu neon kuning menyinari sekitar tempat itu. Aku akur dengan keindahan yang sebegitu. Rama-rama malam tadi datang lagi mengelilingi cahaya yang separuh suram itu.

"Hei! Engkau datang untuk menemani aku wahai si rama-rama?"

"Tidak"

"Habis, kenapa engkau datang?"

"Untuk menikmati keindahan cahaya."

"Itu saja?"

"Ya."

"Engkau kenal siapa aku?"

"Tak."

"Pelik."

"Kenapa?"

"Sasterawan macam aku engkau tidak kenal?"

"Apa yang engkau dah buat?"

"Tulis buku, tulis rencana, tulis cerpen, tulis."

"Tulis angan-angan."

"Hei! Engkau jangan hina aku."

"Aku bukan hina, tapi kenyataan. Engkau gila!"

"Celaka punya rama-rama." Kucapai seketul batu lalu kutuju ke arah rama-rama yang terbang ke arah cahaya lampu.

Tuesday, July 07, 2015

Jambatan impian

Oleh A Ghani Abdullah

"KASANNNN! Kasan!"

"Baik-baik!"

"Kasannn! Kasan!"

"Pegang kuat-kuat."

"Kasan! Kasan!"

Tiba-tiba kayu tiang buruk yang dipegang Mamat rebah. Budak berusia lima belas tahun itu berdiri di atas sekeping papan yang masih terikat kuat pada dua dawai besi besar pengikat jambatan gantung yang kini sudah runtuh. Mamat menunjuk ke arah tiang yang sudah rebah di air.

Kasan, berbadan tegap dan bermuka lebar, memandang bulat ke dalam air, melihat tiang yang rebah itu. Nasib baik ketika itu arus tidak deras, airnya cetek. Mudah saja Kasan merabanya.

Jambatan gantung itu runtuh seminggu lalu apabila dua tiang batu sebesar dua pemeluk terbongkah dibedal banjir besar. Ketika itu paras air mencecah lantai jambatan, sama tinggi dengan tebing sungai.

Segala macam sampah sarap yang berlonggok dibawa arus merempoh jambatan, termasuk sebatang kayu balak. Balak itulah yang menghentak jambatan menyebabkan tanah, tiang dan tembok batu di tebing turut runtuh. Ketika itu hampir jam enam petang dan hujan masih lebat. Jambatan yang dibina empat puluh tahun lalu itu kini menjadi sejarah.

"Kasan! Kasan!" Jerit Razak, Ketua Kampung.

Ketika itu tiang tenggelam dekat kaki Kasan dalam sungai. Kasan meraba dalam air dan kemudian memikul tiang itu. Mamat ketawa terkekeh-kekeh apabila melihat telatah Kasan. Tiang itu tajam di hujung supaya mudah dihentak ke dalam sungai sebelum diikat dengan dawai besar yang terentang di antara dua tebing.

Dawai itu sekarang melendur, tidak lagi setinggi ketika mula diletakkan dulu. Asalnya dawai itu tegang atas paras tebing. Setelah jambatan runtuh, dua dawai yang merentang sungai itu melendur hampir mencecah air. Ini menyukarkan sesiapa saja menggunakannya, terutama ketika hujan.

Bukan setakat itu saja. Ketika hujan, segala macam sampah terkumpul dan berlonggok di situ. Sesetengahnya tercacak di air. Jambatan kelihatan macam ditimbus sampah sarap. Ini menyukarkan orang lalu lalang, walaupun ketika hujan sudah berhenti, atau ketika air sungai mengalir seperti biasa.

"Kasan! Kasan! Paku tak cukup!" Jerit orang di tebing.

"Kasan! Kasan! Papan lantai jambatan tak cukup!" Jerit suara dari atas jambatan.

"Kasan! Kasan! Kayu landas lantai jambatan tak ada!" Suara tinggi dari atas jambatan yang runtuh.

Semua suara itu menyedarkan Kasan perihal tugasnya. Dia bingkas meluru ke lori taukenya dan memandu laju mencari semua keperluan itu. Beberapa orang terus bertukang bagi menyiapkan jambatan kecil sementara - memadai untuk kegunaan lalu lalang.

Orang kampung perlukan jambatan itu walaupun secara takteh macam budak kecil, atau macam meniti tali rambut seperti yang dibayangkan dalam cerita neraka bagi balasan mereka yang berdosa. Jambatan itu sebenarnya adalah jalan pintas yang amat penting.

Pada hari persekolahan, tidak kurang daripada 200 murid menggunakannya. Jika mereka guna jalan tar kampung, mereka terpaksa berjalan jauh untuk sampai ke jalan besar. Di sana pula bukan senang dapat bas. Kalau guna jambatan, mereka cepat ke jalan besar dan boleh memilih dua tiga jenis bas untuk ke bandar.

Orang kampung berharap majlis daerah segera membina jambatan sementara. Sekurang-kurangnya mudahlah mereka ke kedai atau ke bandar.

Motosikal tidak boleh lalu di atas jambatan yang sedang mereka perbaiki secara bergotong-royong itu. Jambatan itu nanti hanya boleh untuk mereka yang berjalan saja.

"Kasan! Kasan! Macam mana tiang ini?" Razak macam tidak sabar di atas dawai jambatan yang masih berpapan untuk berdiri.

"Pegang dulu! Suruh Ibrahim hentak dengan tukul besi besar itu. Kita nak ikat dengan dawai rentang!" Kasan menjerit dari dalam air sambil memegang dawai yang jejarinya satu inci setengah. Tangannya sibuk membuang ranjau dan sampah sarap yang padat seperti disusun.

Kasan bukan kakitangan kerajaan. Dia kerja sebagai pemandu lori dengan sebuah syarikat milik tauke muda. Taukenya membenarkan dia menggunakan lori itu selepas bekerja untuk tujuan kebajikan orang kampung, seperti mengangkat kayu apabila ada kenduri-kendara, termasuk di surau atau di masjid.

Kadang-kadang dia kumpul kayu getah di belakang rumah untuk dijual. Harga kayu getah selori RM15. Harga itu tidak berpatutan, jika dikira dengan kayu getah selori besar itu. Tetapi itulah Kasan, tujuannya hanyalah untuk menolong orang kampung di samping mendapat sedikit upah.

"Kasan! Kasan! Paku dan papan tadi mana?" Ludin memandang Ibrahim yang sedang menghentak tiang dalam sungai. Dia bekas askar. Dia tahu arahan Kasan mengenai cara membina jambatan itu memang banyak persamaan dengan apa yang difikirkannya. Di surau, Ibrahim yang bermisai tebal dan berjanggut itu sering lakukan tugas bilal. Suaranya memang sedap.

"Alamak! Paku, papan ada dalam lori. Mamat! Panggil kawan-kawan engkau! Turunkan barang-barang dalam lori itu!" Kasan melompat dari lori ke tebing sebelah jalan raya ke pantai perkelahan itu. Mamat memberi isyarat kepada semua rakannya untuk naik ke atas lori.

Setiap tahun, sebelum menyambut puasa, penduduk kampung bergotong-royong membersihkan tanah perkuburan. Jadi dalam bulan puasa itu, mereka tidak perlu menebang tebas di kubur. Pada pagi raya, ramai yang ke kubur. Selepas sembahyang raya, orang tua akan membawa anak atau cucu mereka melawat kubur dan menghadiahkan Fatihah kepada kaum keluarga mereka yang telah meninggal dunia.

Dan Kasanlah orang yang pertama sekali sampai ke kubur jika ada kerja gotong-royong macam itu. Kasan akan bawa kapak, parang, cangkul, sabit dan batu asah.

Kasan juga tidak pernah lupa membawa kuih dan secerek teh untuk mereka yang datang bergotong-royong.

"Kasan! Kasan! Budak-budak tak boleh keluarkan sampah yang padat tu!" Teriak Pak Busu Kancah yang terkenal handal menangkap ikan sembilang di lubuk atau sungai.

Kasan segera mendekati beberapa belia yang turut membuang sampah sarap yang tersangkut di jambatan. Dia tarik satu persatu kayu besar dan ranting kayu dan buluh supaya sampah boleh hanyut.

Daun keladi dan isi keladi gatal banyak yang turut tersumbat. Beberapa ekor sembilang dan ikan `bandar raya' (ikan yang suka makan kotoran dan lumut) tersepit di celah sampah, sudah reput dan busuk.

Dengan tangannya yang tegap macam besi itu, Kasan segera membuang sampah dan menarik kayu yang sangkut. Dan orang ramai gembira dengan kejayaan Kasan berbuat demikian. Tidak ada lagi sampah sarap yang sangkut, dan air boleh lalu di tebing kanan arah jalan besar.

Baju yang melekat di tubuh Kasan compang-camping dan ada satu butang saja sampai nampak perutnya yang dilekati lumpur dan sampah. Seluarnya rabak pada bahagian lutut kerana tersangkut di paku lantai jambatan sebelumnya.

Ketua kampung tersenyum melihat Kasan yang comot dan sedang berdiri sambil memegang parang tajam di tangan kanannya. Dalam benak Razak, Kasan gagah macam seladang.

Sebenarnya, nama Kasan gah di empat penjuru kampung itu. Kalau sesiapa terjumpa ular sawa besar, carilah dia. Nescaya dia akan datang dan ditangkapnya ular itu, biar besar dan panjang mana pun haiwan itu.

Anak Kasan juga berani. Dia juga sanggup tangkap ular sawa macam bapanya. Beritahu saja di mana ular sawa itu - dalam kebun, tepi belukar, dalam hutan, dekat tanah kubur, dekat sawah, dalam ladang getah, atau di mana saja. Semuanya tidak ada masalah bagi Kasan anak beranak.

Dan ular yang ditangkap akan dikurung dalam reban ayam. Tujuan Kasan mengurung ular itu dalam reban ayam ialah supaya budak-budak dapat melihatnya dari dekat. Kemudian, ular itu akan dihantar ke zoo atau diberikan kepada tauke Cina yang memerlukannya bagi tujuan perubatan.

Pak Ngah Ludin juga tidak boleh lupa jasa Kasan. Baginya, sukar hendak dicari orang yang serba handal dan tidak berkira keringat macam Kasan. Dia masih ingat, ketika tayar keretanya terbenam di tepi paya dekat jalan kampung di seberang jalan kereta api, Kasanlah yang mengangkat kereta itu. Kasanlah yang berjaya mengalihkan kereta itu hanya dengan tangannya!

Ah, hebat sungguh manusia Kasan, fikir Pak Ngah Ludin apabila teringatkan Kasan. Hari itu, hari yang keretanya terbenam, beberapa lelaki sudah puas berhempas pulas mengangkatnya dengan melapekkan beberapa batang kayu di bawah roda kereta, tetapi semuanya gagal. Kereta tidak juga terangkat dan terus terbenam dalam lumpur, malah makin menyulitkan untuk diangkat.

Nasib Pak Ngah Ludin memang baik. Tiba-tiba saja Kasan dengan basikal tingginya lalu di situ. Dengan hanya berkain dan berbaju lengan pendek, Kasan sudah tahu ada masalah di situ yang memerlukannya. Dia segera mengangkat kereta itu dari belakang dan kemudian menyuruh Pak Ngah Ludin menghidupkan enjin, lalu kereta itu pun dapat diangkat.

Akhirnya jambatan sementara yang dibina secara bergotong-royong itu siap.

Orang kampung bersyukur. Murid sekolah tidak perlu keliling kampung atau ikut jalan kereta api untuk ke jalan besar. Jambatan itu dibina daripada asas jambatan yang telah roboh oleh banjir besar itu.

Orang kampung ingin supaya sebuah jambatan yang lebih baik dibina di situ, tetapi usaha itu tidak mampu dilaksanakan kerana sungai agak lebar, airnya juga dalam. Mustahil dengan bergotong-royong saja jambatan itu boleh dibina. Mustahil. Kerja itu amat menyulitkan.

Lagipun modal untuk membina jambatan seperti itu bukannya kecil. Tidak memadai dengan pendapatan `kais pagi makan pagi, kais petang makan petang' orang kampung. Membeli peralatan untuk tujuan itu bukan ratusan ringgit harganya.

Bagaimanapun, sekurang-kurangnya kepada Kasan, kampung itu mesti ada jambatan yang merentangi kedua-dua belah tebing. Mesti. Siang malam, pagi petang, jambatan itu sentiasa wujud dalam kepalanya. Percakapannya juga, baik di rumah, di kedai, dengan isteri, dengan kawan rakan, dengan Razak, atau sesiapa saja, perihal jambatan tetap akan disebutnya.

Suatu hari ketua kampung, Jawatan Kuasa Keselamatan Kampung dan Kasan juga turut serta merayu kepada pegawai daerah untuk mohon peruntukan membina jambatan baru. Tetapi rayuan mereka ditolak kerana tidak ada peruntukan bagi tujuan membina jambatan itu.

Secara kebetulan juga, tiga hari kemudian hujan lebat. Jambatan tidak boleh dilalui lagi, kerana segala macam kayu dan sampah sarap mudah terkumpul di situ. Dulu, ketika banjir besar jambatan itu tidak boleh dilalui. Kini, kalau hujan tidak seberapa pun, jambatan sudah ditenggelami air. Ini kerana jambatan asal itu tingginya sama paras dengan tebing sungai.

Tetapi jambatan sementara yang dibina itu tingginya hanya setengah bahagian daripada tinggi tebing sungai. Kedudukan ini menyulitkan Kasan dan penduduk kampung lainnya. Mahu tidak mahu selepas teduh hujan, mereka sekali lagi bergotong-royong membersih dan membaiki jambatan. Dua tiga hari lagi berulang lagi hal macam itu.

Dalam sebulan itu, sudah lima enam kali jambatan itu dinaiki air dan ditimbuni sampah sarap. Setiap kali selepas hujan, Kasan dan orang kampung akan bergotong-royong. Jambatan itu begitu penting dan istimewa bagi mereka. Mereka mahu jambatan itu sentiasa boleh digunakan.

Ketua kampung dan penghulu sudah tidak berhenti-henti berjumpa pegawai daerah dan wakil rakyat, merayu dibina semula jambatan baru. Tetapi masing-masing memberikan jawapan yang sama: Projek membina jambatan itu belum diluluskan oleh pihak Pusat.

Kadang-kadang Kasan dan beberapa penduduk di situ termangumangu apabila kakitangan di pejabat daerah memberitahu supaya mereka tidak bergantung kepada jambatan, tetapi menggunakan jalan raya kampung yang sedia ada. Kata kakitangan itu lagi, jauh bukanlah satu masalah!

Tetapi bagi orang kampung, saranan seperti itu hanyalah percakapan ABC yang amat mudah. Mudah macam mudahnya lidah berkata-kata. Apakah langkah pejabat daerah empat puluh atau tiga puluh tahun dulu yang membenarkan jambatan itu dibina bersikap membazir dan tidak berfaedah kepada orang kampung?

Sekarang, ada juga pegawai di pejabat daerah itu berkata tanpa silu-silu tergamak berkata: "Apakah ada hasil kampung yang mewajarkan mereka meminta supaya jambatan itu dibina?"

Ramai penduduk yang sudah tua, sedih mendengar kata-kata yang mereka anggap kurang sopan itu. Kasan juga geram apabila mendengarnya. Habis, kalau kampung tidak ada hasil, mengapa kerajaan sanggup bina jalan raya? Bukankah harga bina jalan raya itu lebih mahal daripada membina sebuah jambatan?

Bagi Kasan, apa pun kata orang, jambatan itu jika rosak atau tertimbus sampah sarap, dia tetap akan membersihkannya. Jambatan itu juga banyak jasanya terhadap dirinya. Ia menghubungkan kasih dengan isterinya yang ada sekarang. Sudah sepuluh anak mereka dan sudah sepuluh juga cucu mereka. Di atas jambatan itu, dia diarak orang semasa hari perkahwinannya. Dan bermacam kisah cintanya yang tidak dapat dilupakannya.

"Kasan! Kasan!"

"Kasan! Oh Kasan!"

Kini suara panggilan itu tidak ada lagi. Kasan sudah setahun meninggal dunia. Jambatan batu bernilai lima ratus ribu ringgit sudah hampir siap dibina bagi menggantikan jambatan gantung yang roboh oleh banjir besar dulu.

"Kasan! Kasan!"

Impiannya untuk melihat jambatan indah di kampung itu tidak tercapai. Kasan meninggal dunia kerana sakit jantung. Orang kampung tidak tahu selama ini Kasan yang berjiwa waja itu menghidap sakit jantung.

Pemergian Kasan sungguh menyedihkan mereka.

"Kasan! Kasan!"

Jambatan impianmu sudah ada. Menteri Besar mendengar cakapmu, Kasan.

"Jambatan kampung tanda kasih orang kampung. Tiada jambatan, tiadalah telinga penduduk kampung.

Apabila jambatan konkrit itu siap, Menteri Besar datang merasmikannya.

Dan, jambatan itu dinamakan `Jambatan Kasan' sebagai mengenang kegigihan Allahyarham yang banyak membuat kebajikan dan impiannya yang mahu melihat terbina sebuah jambatan konkrit yang indah dan teguh wujud di kampung itu.

"Kasan! Kasan!"

Namanya bergema terus dan hidup hingga sekarang.

Sunday, July 05, 2015

Dalam penantian

Oleh Ahmad J Husein

"AKU harap kau tidak lupa pada janji, Asri. Dah hampir sejam aku tunggu kau di sini, tapi bayang kau belum nampak. Adakah kau lupa yang petang ini mesti datang ke sini ambil aku?"

Begitu kata hatinya. Dia masih sabar menunggu. Lampu jalan dan lampu kedai telah menyala. Hatinya semakin dipagut resah. "Aku harap kau tidak lupa, Asri." Kata hatinya lagi. Matanya kian meliar memerhati pergerakan orang yang bersimpang siur di perhentian bas dan di atas aspal. Wajah temannya itu terbayang di depan matanya. "Kau tak mungkin mungkir janji," kata hatinya lagi.

Beg yang berisi beberapa helai pakaian dan kertas kerja yang akan dibentangkan pada bengkel penulisan kreatif, digalas hebat. Selain daripada pakaian dan kertas kerja, di dalam beg hitam itu juga ada sebuah buku bercorak ilmiah yang belum selesai dibacanya.

Dan dia masih sabar menunggu Asri di situ.

Matanya dilontar jauh-jauh melihat manusia dan kenderaan yang bersimpang siur di atas aspal yang sibuk. Di dalam parit besar berhampiran perhentian bas itu air semakin hitam dan mengalir malas menghanyutkan sampah-sarap kepunyaan penghuni Pulau Pinang.

Dia masih berdiri di situ. Menunggu dengan sabar. Mungkin sebentar lagi Asri datang, fikirnya sambil mengeluarkan sebuah buku dari beg yang sedang digalasnya.

Buku berkulit hitam, berjudul Arah Pemikiran Sastera Malaysia karya S Othman Kelantan itu dibuka lembar demi lembar, tetapi dia tidak membaca isinya. Dan sesekali matanya berlari ke atas aspal yang sibuk. Dia masih menunggu Asri. Hatinya resah kerana masa yang dijanji Asri tempoh hari telah berlalu, tetapi Asri belum muncul.

Adakah kau telah lupa untuk datang ambil aku Asri? Hatinya membebel lagi.

Buku Arah Pemikiran Sastera Malaysia masih dipegangnya. Di dalam keadaan seperti sekarang, dia tidak berminat untuk membacanya. Bagaimanapun, dia telah membacanya ketika di dalam bas dari Labu Besar tadi.

Wajah Asri tiba-tiba terpantul di dalam kepalanya. Dia teringat kata- kata Asri sebulan lalu: "Aku memang ingin menjemput kau untuk memberi ceramah dan bengkel puisi kepada budak-budak di sekolahku. Persatuan Bahasa dan Sastera sekolah aku memang berbesar hati kalau kau sudi hadir. Bila kau ada masa? Kalau kau ada masa ke sekolah kami, tolong beritahu melalui surat atau telefon saja ke rumah aku di Balik Pulau."

"Ya, aku akan beritahu kau bila aku tak sibuk nanti. Aku pun rasa terhutang budi kerana kau ingin menjemput aku ke sekolah kau, Asri."

"Aku tahu kau dah mencipta nama di dunia puisi di tanah air kita. Puisi kau pun ada yang telah berjaya memenangi Hadiah Sastera Malaysia kan?" Ujar Asri lagi, menatap wajah Zamani yang cengkung. Sesekali Asri merenung rambut Zamani yang panjang separas bahu itu.

"Sebenarnya aku cipta puisi bukan untuk merebut hadiah. Aku menulis kerana aku cinta kepada seni. Aku cinta kepada bahasa. Aku menulis untuk dihayati oleh masyarakat, Asri," kata Zamani lancar. Tetapi jauh di sudut hatinya dia berasa amat bangga kerana Asri menyebut puisinya juga ada yang telah berjaya memenangi Hadiah Sastera Malaysia. Baginya, kata-kata itu amat disenanginya kerana jarang penulis yang dapat meraih hadiah itu.

Dia sedar, ramai penulis puisi yang sedang terkial-kial menulis dan mencari nama dalam bidang puisi, tetapi cuma beberapa kerat saja yang dapat merangkul hadiah yang `berprestij' itu! Sampai sekarang dia berasa penat lelahnya menulis puisi demi puisi untuk akhbar dan majalah tidak sia-sia.

Bukankah apabila puisinya dipilih untuk menerima habuan dalam Hadiah Sastera Malaysia lima enam tahun yang lalu, itu menunjukkan dia mempunyai bakat dan masa depan yang baik dalam bidang penulisan puisi? Baginya, panel pemilih hadiah sastera tersebut telah membuat keputusan yang wajar kerana memilih puisinya bagi menerima hadiah itu lebih kurang dua tiga tahun yang lalu!

Asri yang dinantinya masih belum muncul. Dan Zamani masih sabar menunggu di situ. Jam tangannya menunjukkan tujuh malam. Sebentar lagi Maghrib akan tiba.

Kenderaan dan manusia masih berpusu-pusu di kaki lima kedai. Orang ramai menerpa ke pintu bas sebaik-baik saja bas warna kuning dan hijau berhenti di perhentian. Mereka hendak cepat sampai ke destinasi masing-masing. "Adakah kau lupa, Asri?" Begitu dia bertanya.

Dia memasukkan semula buku Arah Pemikiran Sastera Malaysia ke dalam beg hitam yang digalasnya. Dia tidak berminat membaca sekarang. Dia masih memikirkan Asri yang belum tiba menjemputnya.

Suara azan Maghrib menerpa cuping telinganya. Dia tahu, suara azan itu bergema dari musalla dekat situ. Dan tanpa berlengah dia terus mencari musalla di perhentian bas yang sibuk itu untuk menunaikan tanggungjawab kepada Allah. Dia harap Asri tidak datang dalam beberapa minit itu.

Esok hari Jumaat. Pejabat tutup. Dia tahu benar itu. Dan kerana esok hari Jumaatlah maka dia berjanji dengan Asri untuk memenuhi permintaannya.

"Aku tunggu kau di perhentian bas dekat jeti atau..."

"Ya, kau tunggu aku di situ jam enam petang. Insya-Allah aku sampai. Okey?"

"Okey. Tapi kalau aku lambat sikit, kau jangan ke mana-mana. Nanti susah aku cari kau."

"Yalah. Lagipun aku bukan tahu sangat jalan di Penang tu!"

"Okey, aku akan ambil kau jam enam petang hari Khamis. Bawalah apa yang patut!"

Dia letak gagang telefon sebaik saja menjawab salam daripada Asri, terus meluru ke pintu depan dan keluar merayau di kedai yang berhampiran pejabat tempat dia bertugas. Dan ketika merayau di kedai itulah dia nampak buku Arah Pemikiran Sastera Malaysia karya S Othman Kelantan, lalu membelinya.

Dari dulu lagi dia memang berminat terhadap buku yang membincangkan permasalahan sastera Malaysia. Dan dia tidak pernah lokek untuk mengeluarkan wang membeli buku yang memperkatakan permasalahan sastera. Sebagai penulis atau penyair yang sedang mencipta nama, dia mesti mengambil tahu persoalan sastera semasa. Begitu fikirnya.

Dunia sastera masa kini penuh dengan persoalan. Dia mesti mengambil berat mengenai hal itu sekiranya dia ingin maju di bidang itu. Dan sejak akhir-akhir ini pula ramai tokoh penulis sering berpolemik mengenai sastera Islam atau sastera berunsur Islam. Tetapi dia tidak ambil kisah hal itu. Dia ingin menjadi penulis atau penyair `tanpa berlabel' itu dan ini. Dia ingin menulis tanpa terikat pada sebarang nilai.

Dia memang dilahirkan sebagai penulis. Dia tidak pernah memikirkan nilai di dalam sastera. Seorang teman penulis menggelarnya sebagai penyair mazhab perasaan. Teman itu menggelarnya begitu kerana kebanyakan puisinya beraliran romantis, sarat dengan khayalan!

Ah, gelarlah apapun. Yang penting puisiku dihayati masyarakat, begitu fikirnya ketika mendengar gelaran itu dikatakan temannya itu tiga bulan lalu.

"Kau menulis untuk orang Islam, tapi aku menulis untuk manusia sejagat." Begitu katanya kepada teman itu, yang kini sedang meneruskan pengajiannya di Universiti Islam Antarabangsa.

"Jadi, kau akan terus menulis puisi `bermazhab perasaan' itu? Aku tak marah kau berbuat begitu, tapi kau mesti berfikir panjang mengenainya. Apa faedahnya kau menulis begitu terus-menerus? Untuk mengkhayalkan pembaca?"

"Aku akan terus menulis. Soal untuk apa aku menulis begitu bukan persoalan yang terlalu besar perlu difikirkan. Sebagai penulis aku mesti terus menulis. Itu saja!"

"Aku memang suka kalau kau terus menulis. Kau ada bakat untuk jadi penyair dan ada bakat untuk tulis skrip drama tv. Skrip kau sering diterima oleh pihak tv! Cumanya, kau perlu fikir untuk apa kegiatan itu kalau setakat untuk mengkhayalkan pembaca dan penonton? Kau perlu fikirkan ini, Zamani!"

Dia cuma tersenyum apabila teringat kepada kata-kata yang `menyengat' itu. Dan sekarang kata-kata itu bergema kembali di dalam pita ingatannya yang sentiasa berputar.

"Ya, Allah! Asri, mengapa kau belum datang? Kau lupa untuk menjemput aku? Dan hampir pukul lapan malam sekarang!" Gerutunya.

Kenderaan dan manusia masih bertali-tali di atas aspal yang sibuk. Wajah Asri yang berjanggut dan berjambang itu belum nampak bayangnya!

Tiba-tiba seorang tua berbaju kemeja putih, bersongkok hitam kumal menghampirinya. Orang tua itu senyum, dan senyuman yang terpancar daripada wajah usang itu dilihatnya berseri-seri dan berkaca-kaca.

"Assalamualaikum, nak! Kalau tak salah pakcik, anak ini sedang menanti seseorang?" Tegur orang tua itu sambil merelas sesuatu pada seluar warna hijau yang dipakaiknya.

"Waalaikummussalam! Benar, pak cik. Saya sedang menunggu seorang kawan. Tapi entah kenapa, sampai sekarang dia belum datang, pak cik," jawab Zamani, mesra. "Pak cik hendak ke mana?" Tanyanya pula sambil merenung wajah lelaki tua yang kini di hadapannya. Dari jarak dekat, dia melihat wajah itu begitu tenang, berseri dan berkaca-kaca dalam panahan cahaya lampu di dinding perhentian bas itu.

"Pak cik tak ke mana-mana. Cuma berjalan-jalan di sini. Maafkan pak cik, anak ini penulis kan? Penyair maksud pak cik," soal orang tua itu lagi sambil mempamerkan senyuman mesranya kepada Zamani yang dalam keresahan tidak berhujung.

"Bbbenar, pak cik. Saya...saya penulis. Nama saya Zamani Rahman. Dari mana pak cik tahu saya ni seorang penulis?" Dan soalan itu terbit begitu lancar dari mulut Zamani yang sedikit berat itu.

"Dari dulu lagi pak cik tahu, anak seorang penulis. Seorang penyair yang berbakat. Anak juga pernah mendapat penghargaan dari kerajaan kan?"

"Benar, pak cik. Empat sajak saya dipilih untuk menerima Hadiah Sastera Malaysia!" Kata Zamani dengan nada lembut, tetapi jauh di sudut hatinya dia berasa amat bangga kerana kejayaannya itu telah diketahui oleh orang tua itu. "Pak cik tahu kemenangan saya? Dari mana pak cik tahu?" Soal Zamani tiba-tiba sambil memacakkan matanya ke halaman wajah orang tua yang kelihatan tenang itu. Dan dia melihat orang tua itu tersenyum sinis.

"Anak memang penulis yang berbakat besar dalam bidang puisi. Anak tentulah bangga kerana puisi anak telah dipilih menerima hadiah yang berprestij tu, bukan?" Tiba-tiba soalan itu terperlus ke dalam gegendang telinganya. Zamani tersenyum megah. Bukankah dia mesti megah dengan kejayaan itu? Kejayaan itu adalah suatu kenangan yang amat indah dan manis.

"Ya, saya memang bangga dengan kejayaan itu. Lebih-lebih lagi berjaya dalam hadiah yang diidamkan oleh penulis seperti saya. Tak ramai penulis boleh berjaya dalam hadiah itu, pak cik!" Kata Zamani lagi dengan kebanggan sebesar bukit dan gunung.

"Sebenarnya pak cik memang sentiasa mengikuti perkembangan anak. Cuma ingin pak cik ingatkan anak, bakat yang diberi Allah kepada anak itu mestilah disyukuri bukan dimegahkan..." kata-kata itu terputus di situ. Zamani terperanjat sejenak mendengar kata-kata yang tidak diduga itu. Tetapi entah mengapa dia tidak berkata apa-apa setelah mendengar kata-kata yang penuh sindiran itu.

"Pak cik tahu, ramai orang seperti anak ini terlalu sombong kerana mempunyai bakat menulis. Mereka yang menulis puisi, drama dan cerpen adalah manusia yang ego dengan bakat yang diberi oleh Allah!"

Sekali lagi Zamani terpegun mendengar kata-kata itu. Namun mulutnya seperti terkunci untuk berhujah. Ya, Tuhan!

Hai, kau bercakap seakan-akan menyindir aku wahai orang tua berkedut seribu. Apa hak kau berkata begitu kepada aku? Gila! Dan suara-suara jengkel itu cuma bergema di dalam hatinya. Orang tua yang berdiri di hadapannya tidak mendengar suara hatinya itu.

"Pak cik kesal, ramai penulis menulis adalah untuk mengutuk orang, untuk hadiah beribu ringgit, untuk dikenali masyarakat dan yang lebih dahsyat mereka tidak berkarya untuk menyedarkan masyarakat atau mengembalikan masyarakat ke jalan kebenaran, ke jalan yang diredai Allah..."

"Tidak, pak cik. Saya menulis bukan untuk mengejar hadiah. Hadiah cuma suatu galakan untuk menulis. Hadiah juga untuk `menguji' sejauh mana karya saya itu bermutu. Saya menulis untuk masyarakat, pak cik!" Balas Zamani lancar. Orang tua itu tersenyum.

"Tapi ramai juga sekarang ini orang seperti anak menulis karya untuk mengelirukan pemikiran pembaca. Mereka itu menulis puisi dan cerpen dan drama, tetapi karya mereka tidak dapat dihayati oleh masyarakat. Dan mereka pula bermegah sesama sendiri kerana dapat mencipta sesuatu yang lain daripada yang lain. Dan mereka sebenarnya tidak bersyukur kepada Allah menganugerahi bakat kepada mereka.

"Islam menghargai segala keindahan tapi anak dan teman-teman penulis lain tidak menghargai bakat. Ramai yang hilang identiti kerana ingin mencari kesombongan dalam dunia seni penulisan ini."

Zamani mendengar `khutbah' orang tua dengan berhati-hati sekali. Dia diam, seakan-akan memberi masa kepada orang tua itu berkata-kata.

"Sebagai penulis anak sepatutnya sedar tanggungjawab anak di atas muka bumi ini. Anak juga tak perlu sombong kerana yang berhak sombong cuma Allah, kerana Allah sempurna segala-galanya. Apakah dalam usia anak, 48 tahun sekarang, anak masih gila dengan hal-hal yang remeh-temeh dalam penulisan?" Orang tua itu memacakkan matanya kepada Zamani. Dia merenung rambut Zamani yang panjang. Zamani tidak berkata apa-apa. Mulutnya seperti dikunci oleh suatu kuasa ghaib.

"Anak juga telah melanggar hukum Allah..."

"Haaa? Saya melanggar hukum Allah?"

"Lihatlah rambut anak. Panjang seperti rambut perempuan. Haram hukumnya anak menyimpan rambut sebegini panjang. Tahukah anak, lelaki menyerupai perempuan adalah berdosa? Pak cik hairan, mengapa ramai orang seperti anak dan lelaki zaman ini menyimpan rambut sedangkan perbuatan itu jelas bercanggah dengan hukum Islam?"

"Pak cik...saya adalah seniman. Seniman seperti saya mencari kebebasan dalam dunianya yang tersendiri, pak cik." Islam? Hah, sebenarnya itulah yang silap, anakku. Ramai orang seperti anak tidak mengamalkan cara hidup Islam. Mereka mencipta dan berbuat sesuatu menurut nafsu. Itu amat salah di sisi Islam, anakku!"

"Pak cik tidak wajar menyindir saya..."

"Tidak! Pak cik tidak menyindir anak. Bukankah anak mencari kebenaran dalam hidup ini?" Orang tua itu tersenyum dan senyumannya berseri-seri dan berkaca-kaca. Zamani diam.

"Kalau anak mencari kebenaran, inilah kebenaran yang perlu anak cari iaitu sentiasa insaf dan sedar terhadap diri dan tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah di bumi. Kerana anak mempunyai kemampuan, media sastera itu hendaklah digunakan sebagai saluran untuk berdakwah, dengan tujuan umat manusia kembali ke jalan yang diredai Allah. Bukan menghasilkan puisi, drama dan cerpen dan novel untuk mengelirukan pemikiran masyarakat, kemudian dengan hasil karya seperti itu anak sombong sesama manusia!" Ujar orang tua itu bersungguh-sungguh. Zamani masih membatu.

"Pak cik macam berkhutbah saja kepada saya!" Tiba-tiba Zamani bersuara lemah. Tetapi sesekali matanya berputar mencari Asri, kalau-kalau pemuda yang bertugas sebagai guru sastera itu tiba.

"Kalau anak anggap kata-kata pak cik suatu `khutbah', itu terpulanglah kepada anak. Tapi anak mesti sedar, dalam Islam khutbah memainkan peranan penting dalam usaha mengajak umat manusia kembali kepada kebenaran, terutama pada zaman Nabi Muhammad saw," ujar orang tua itu lagi dengan lancar. Dan suaranya yang tenang sejak tadi menjadikan Zamani sangat berminat untuk mendengar `khutbahnya'.

"Sesungguhnya anak perlu memainkan peranan yang positif, hasil daripada anugerah Allah yang melengkapkan diri dengan kebolehan bersastera. Anak harus meningkatkan keimanan manusia, bukan mencipta drama, puisi dan cerpen untuk mencari wang dan peminat. Ingatlah anak, Allah itu indah. Dia sangat suka kepada keindahan dan kecantikan. Mulai dari saat ini anak perlulah kembali kepada Islam dalam bersastera. Apa untungnya anak mencipta puisi yang terlalu sukar dihayati manusia? Apa faedahnya anak menulis novel `absurd' yang memeningkan kepala pembaca? Apa manfaatnya cerpen yang penuh dengan kekeliruan yang anak cipta itu bagi pembaca?"

Zamani diam. Orang tua itu masih terpacak di hadapannya. Orang yang lalu lalang di hadapan mereka tidak mengendahkan perbualan mereka yang rancak itu. Dan lalu lalang terus bertali-tali di atas aspal dan di kaki lima kedai. Zamani masih menunggu Asri. Dia akan menunggu Asri di situ sampai lelaki berusia tiga puluh tahun itu datang menjemputnya ke Balik Pulau. Bukankah esok dia mesti berceramah sastera di sekolah tempat Asri mengajar? Mahu tidak mahu dia mesti menunggu Asri di situ.

"Dari saat ini, anak perlu sedar tulisan anak harus tidak terpisah dari akidah Islam, harus mencapai tujuan yang mendorong manusia berbuat kebajikan dan diredai Allah dan nilai-nilai yang baik itu mestilah sentiasa berfungsi `amrun bil makruf wa nahyu anil munkar' atau menganjur kepada kebaikan dan menegah daripada sebarang kemungkaran, anakku..." orang tua itu tersenyum lagi setelah berkata-kata dengan lancar dan tenang. Zamani seperti kehilangan suara. Dia cuma mengangguk, membenarkan kata-kata orang tua yang serba tahu itu.

"Oh, maafkan pak cik kerana bercakap begitu panjang kepada anak tadi. Insya-Allah kita akan jumpa lagi. Sebentar lagi kawan anak itu sampai. Dia guru, tak mungkin dia mungkir janji...pak cik pergi dulu. Assalamualaikum! Dan tiba-tiba Zamani melihat orang tua itu berjalan tersiuk-siuk di celah- celah orang ramai yang masih meramaikan bandar raya Pulau Pinang. Dan tiba-tiba juga dia terhidu bau harum dan seingatnya keharuman itu belum pernah dihidunya seumur hidup!

Ya, Tuhan! Dia berseru di dalam hati. Siapakah orang tua yang berbaju kemeja dan bersongkok lusuh itu? Anehnya, orang tua itu pula serba tahu tentang dirinya. Zamani tiba-tiba bingung. Dia berasa ada `sesuatu' yang tidak kena sekarang. Tetapi apakah yang tidak kena itu?

"Zamani! Err...maafkan aku kerana begitu lambat sampai ke sini," tiba- tiba dia melihat wajah Asri muncul di depannya. Asri berdiri di tempat orang tua itu berdiri sebentar tadi.

"Mengapa kau begitu lambat, Asri?" Soalan itu terpantul dari mulut Zamani. Asri tersenyum, mesra.

"Tayar motosikal aku pancit di Bayan Lepas. Lepas Maghrib baru pak cik kedai basikal tu tampung. Maafkan aku kerana terlewat, Zamani!"