Pages

Wednesday, April 29, 2015

Pada dinihari itu

Oleh Noorjaya

AKU menyelesaikan salam akhir untuk solat Tahajjut pada dinihari yang dingin dan sepi dengan doa pada Maha Esa memohon kesejahteraan dan kedamaian hidup aku, keluargaku, kedua-dua ayah dan ibuku, sanak-saudara dan seluruh umat Islam di dunia, Amin!

Tiba-tiba pintu kamar diketuk dari luar. Aku berpaling dengan sedikit aneh. Siapakah di luar itu, datangnya pada waktu yang luar biasa. Sekarang jam 2.30 pagi ketika orang lain nyenyak tidur seperti rakan sekamarku Zain yang memadatkan ruang kamar kami yang sempit dengan dengkurannya yang keras.

Barangkali Osman Ayob, atau Ismail Restu atau Jamaluddin D, rakan Asasi yang tinggal di kamar bersebelahan. Pastilah mereka. Aku bangun ke pintu dan membuka dengan yakin.

Aku menjadi gugup.

- Assalamualaikum!

- Waalaikumusalam!

- Assalamualaikum Pakcik! Serentak lima mulut kecil memberi salam kepadaku dengan gema yang syahdu menguak kesepian bangunan hotel sembilan tingkat itu.

- Waalaikumusalam!

Aku ternampak orang dewasa yang bertudung kain panjang ialah wanita separuh umur. Pastilah ibu kepada lima anak-anak yang hampir sebaya. Wanita itu memandang ke kiri dan ke kanan dengan sedikit gusar dan tanda-tanda ketakutan.

- Siapa dan apa hal? Tanyaku ingin kepastian kepada tetamu yang tak diundang itu. Dia tidak menjawab pertanyaanku.

- Izinkan kami masuk, tuan!

Ketakutan semakin jelas. Orang pelariankah mereka. Aku menjadi kacau dengan kunjungan yang aneh itu. Zain masih dengan dengkuran yang keras. Aku mahu bangunkan dia supaya dia ikut menyaksikan keanehan itu. Tetapi hasrat itu terganggu.

- Tuan, benarkan kami masuk. Wanita itu mendesak. Dia memaut bahu anak-anaknya.

- Tolong kami Pakcik! Suara salah seorang daripada anak-anak itu sudah cukup menekan.

Kemanusiaan mengatasi keadaan tidak menentu itu. Aku mengangguk kepala sebagai memberi izin. Wanita dan anak-anak tergesa-gesa masuk. Aku menutup kembali pintu. Kembali bersama tetamu di tengah ruang kamar.

Wanita itu duduk bersimpuh atas lantai beralaskan karpet merah tua di kelilingi lima anak bersesak menjadi satu kelompok. Dia memaut tubuh anak-anaknya. Tanpa anak-anak itu kehadiran wanita dalam kamar ini menjadi janggal dan salah. Aku mahu bangunkan Zain. Lagi-lagi niat itu terhalang.

- Maafkan kami tuan! Kali ini suara wanita itu cukup menyakinkan. Dan dia mahu berkata sesuatu dengan terus-terang.

- Siapa puan dan anak-anak ini?

Dia seorang isteri yang setia untuk seorang suami yang baik. Kasih sayang terbina atas dasar kesetiaan dan hubungan sejarah bangsa yang berdaulat. Apalagi kehadiran lapan anak semakin memperkukuhkan kasih sayang bangsa yang berpengaruh di bumi selatan. Kekayaan hasil buminya dengan emas. Pemilik budaya bangsa yang bertamadun.

Bumi selatan bagaikan gadis cantik menjadi idaman ramai orang, terutama orang utara yang rakus nafsunya. Sudah puas berjinak-jinak hendak memikat gadis cantik itu tidak berhasil, mereka gunakan tipu-helah; tetapi tidak juga berjaya kerana antara dua selatan dan utara memiliki perbezaan yang unik, terutama batas agama.

Dan bibit permusuhan tersemi yang akhirnya utara mengisytiharkan perang dengan selatan.

- Esok kanda ke medan perang! Kata ayah ketika berserapan bersama keluarga. Nada ayah memang cukup yakin. Memang begitu sifat ayah apalagi persoalan itu menghubungi hak dan maruah.

- Pergilah demi mempertahankan hak dan maruah bangsa. Suara ibu berselerak dalam kerongkong. Ternyata jawapan itu ditekan oleh kesedihan yang mendalam. Tetapi seorang isteri yang baik, apapun sentiasa merangsang semangat suami ke medan perang. Perhatian tertumpu kepada deretan anak yang ikut mengunyah nasi dengan lahap. Mereka tidak mengerti persoalan pokok yang meniti bibir dan hati kedua-dua orang tua mereka.

Ibu cukup faham. Pemergian ayah belum tentu akan balik. Perang adalah pembunuhan dan kematian. Jika ayah ikut terjadi demikian, lapan anak ini menjadi yatim. Tiba-tiba saja ibu membuat tanggapan demikian buruk. Ah gambaran itu pun bukan kehendak hati ibu, tetapi, ia datang ketika ibu memandang muka ayah dan ayah pula menyambut renungan itu dengan aneh.

Kiranya gambaran itu bertaut, ayah sendiri sudah membuat keputusan; jika demikian jadinya, perjuanganku mestilah disambung oleh anak-anakku.

Kesimpulan itupun berdenyut dalam diri ayah. Pandangan yang menggembirakan meniti pada setiap muka anak-anak yang kekenyangan. Baik ayah, baik ibu, inilah saat gembira bila melihat anak-anak dalam kekenyangan. Mereka tetap bersila rapat menghadapi pinggan kosong. Biasanya sebentar lagi ibu akan memberi kebenaran untuk mereka beredar menjalankan hal kebiasaan harian.

Esok, lusa, tulat dan seterusnya khabar peperangan yang hebat bermula di Segenting Kera. Ibu seperti ibu-ibu lain, anak seperti anak-anak lain menanti khabar dengan hati berdebar, kerana peperangan adalah pembunuhan, adalah kematian. Siapa menjadi janda, anak siapa menjadi yatim adalah kesan dari peperangan.

- Suami puan ikut terkorban? Bagaimana aku menjadi tidak sabar untuk bertanya keputusan peperangan, aku sendiri tidak tau. Tetapi itulah kenyataan, orang ingin mendengar keputusan. Aku menyesal. Dia menjadi terlalu sedih dengan pertanyaan itu. Dia menjawab dengan sebuah anggukkan yang lemah.

Dinihari terus mengesot jauh menimbulkan banyak keinginanku untuk mencungkil rahsia sejarah yang terpendam. Keinginan itu terisi bersama dengkuran keras Zain, teman sekamar yang sama sekali tidak tahu hal yang terjadi dalam kamar, melainkan mimpi demi mimpinya.

Ibu pun menjadi balu dan peperangan itu ikut meyatimkan anak-anak kecil. Pihak yang menang menguasai segala hak pihak yang kalah. Selatan yang terkenal sebagai Suwanna Phum (bumi emas) pun dijajahi dan ibu secara paksa menjadi milik utara. Dan ibu pun ternoda. Kuasa itu menukar sedikit demi sedikit warna kehidupan yang asli pada sebuah kehidupan baru, kecuali yang mereka tidak terdaya mengubahnya, khususnya kepercayaan dan pegangan ibu pada Islam.

Sejak itu ibu sentiasa dirundung malang dan yang paling mengesan tiga daripada lapan anak ibu meninggal dunia. Memanglah kematian itu sudah ditakdirkan; tetapi ada sesuatu yang amat menyayat perasaan ibu bahawa sebab dan akibat juga ada kaitan dengan kesengsaraan di bawah cengkeman orang.

Kesengsaraan itu ialah kemiskinan. Bumi selatan penuh dengan emas itu digali orang dan di bawa ke utara. Ibu dan anak-anak kelaparan. Kesengsaraan inilah yang meragut nyawa ketiga-tiga anak ibu.

Sendu wanita itu berserak dalam balutan tudung kepala. Dia menyeka air mata dengan hujung kain sambil tunduk seperti hendak menyembunyikan kesedihan itu. Tetapi aku tahu dia terlalu sedih. Wanita itu menanggung penderitaan yang panjang. Seorang ibu seperti dia adalah gambaran benar yang sering menjadi bahan akhbar kesan kekejaman manusia di dunia ini.

Aku biarkan wanita itu meluahkan segala gelodak kesedihan habis-habisan. Apakah penderitaan itu dapat diselesaikan di sini.

Dan aku pun mencari tujuan undangan orang wilayah untuk sebuah pertemuan budaya. Kata mereka, mereka mahu saling bertukar fikiran yang bakal mewujudkan kesefahaman budaya sempadan supaya rakyat hidup bahagia dan memberi sumbangan pada pembangunan.

Apakah penderitaan itu dapat diselesaikan di sini? Lagi-lagi persoalan itu bermain dalam kotak fikiranku. Satu demi satu wajah teman dari seberang sempadan datang dalam ingatanku. Nama-nama mereka ternampak dalam senarai peserta di kaunter penyambut tamu ketika aku mendaftar nama sejurus tiba di Hotel Yala Rama petang tadi.

Rasa mahu aku berlari keluar mengetuk pintu kamar mereka. Akan kuajak mereka datang ke kamarku berbicara dengan wanita ini, dengan anak-anak ini yang sedang nyenyak tidur bergelimpangan di lantai.

- Esok tuan dan rakan-rakan akan bermesyuarat? Wanita itu melontarkan pertanyaan.

- Ya, kami diundang untuk bermusyuarat. Aku mnejawab pertanyaannya, tetapi aku hairan, dia tahu segala-galanya.

- Tuan akan bermesyuarat mengenai kehidupan kami.

- Benar. Aku semakin hairan.

- Kalau begitu tuan boleh tolong kami.

- Pertolongan bagaimana?

- Kembalikan pada kehidupan kami yang hak.

Lidahku menjadi kelu bagaikan ada kuasa ghaib yang merentap kemampuanku untuk berhujah dengan wanita ini. Ini satu permintaan yang berat, luar biasa dan aku dengan rakan-rakan dari seberang sempadan tidak mungkin boleh bertindak demikian. Aku panik, lalu terpinga-pinga keseorangan.

- Tolonglah, sekurang-kurangnya untuk masa depan lima anak ini. Wanita itu merayu, suaranya serak sambil memandang ke arahku. Ada air mengalir di pipinya. Aku ditimpa keresahan yang berat.

Atas nama cendikiawan negara, kami diundang untuk bertukar idea dan berbincang bagi mencari kesefahaman ke arah kebahagiaan rakyat. Ini tanggungjawab besar, terutama bagi menjaga hubungan serta kerjasama dua negara Asean yang sudah dijalin dengan baik sejak dulu. Ah aku beralasan kepada diri sendiri. Wanita ini tidak tahu dasar itu.

- Tuan sebangsa dan seagama dengan kami.

Kata-kata itu terus menekan dan mencabar.

- Benar. Aku mengakui kenyataan itu.

Sejarah tidak boleh diubah. Aku tahu dulu tidak ada batas sempadan. Sekarang bukan lagi dulu. Lagi-lagi kau bercakap kepada diriku, mengapa tidak terus terang saja kepada wanita ini.

- Jadi bagaimana? Dia mahukan kepastian.

- Kami sekadar boleh menyuarakan hasrat bahawa kegiatan kehidupan yang menjadi milik rakyat mestilah diberi kebebasan dengan sokongan padu dan ikhlas.

- Termasuk agama.

- Ya, agama Islam.

- Itu sudah cukup, terima kasih tuan.

Kali pertama wanita itu mendedahkan sedikit wajahnya. Dia seorang wanita yang cantik. Terbayang sedikit kepuasan dalam wajahnya. Segera dia kejut anak-anaknya yang sedang nyenyak. Mereka lantas bangun walaupun kebingungan. Lalu dia menyuruh anak-anaknya bersalam dengan aku sambil menyebut nama sebagai Patain, Sanora, Atun, Jala dan Nara.

- Asalamualaikum!

- Walaikumusalam!

Wanita itu bersama anak-anaknya melangkah ke pintu. Mereka berpusu-pusu keluar. Aku tercegat berdiri melihat gelagat mereka. Pintu kamar tertutup semula. Aku sedar sesudah terpukau seketika. Aku pula tergesa-gesa melangkah ke pintu. Kubuka pintu itu, menjengah ke luar. Tetapi wanita dan anak-anaknya tidak kelihatan lagi.

Aku berlari ke lif. Di situ menunjukkan lif tidak berfungsi. Barangkali mereka turun ikut tangga. Aku berlari turun melalui tangga ke tingkat bawah hingga ke kaunter penyambut tetamu dan bertanya kepada pekerja di situ.

- Ada nampak seorang perempuan bersama anak-anaknya turun ikut tangga itu?

- Perempuan? Anak? Pekerja itu hairan dan menggiling kepala. Dia memandang aku ke atas dan ke bawah. Aku melihat diriku hanya berkain sarung, baju kurung dan berketayap putih.

- Maafkan saya. Kataku lalu beredar dari situ.

Dinihari pun semakin lanjut.

Aku belum dapat memejamkan mata.

Tetapi ternyata aku tidak bermimpi.

Monday, April 27, 2015

Mangsa

Oleh Pena Mutiara

SEPERTI yang telah dijanjikan, lepas waktu pejabat hari itu aku pergi menemui Rubiah di Restoran Impian di Tingkat Bawah Bangunan Sri Mas. Aku tiba tepat seperti yang dijanjikan, namun Rubiah datang lebih awal dari itu. Dari jauh lagi Rubiah sudah senyum padaku. Dia memakai baju kurung warna merah jambu berbunga-bunga kecil.

"Dah lama kakak tunggu?" Aku bertanya sebaik saja berdiri di hadapan Rubiah. Pada waktu yang sama aku menarik perlahan-lahan sebuah kerusi.

"Kakak pun baru sampai. Rasanya belum panas lagi kerusi ni kakak duduk," beritahu Rubiah. "Kakak ingat Mat lupa janji," usik Rubiah kemudian.

"Saya tak pernah lupa kalau berjanji," balasku cepat.

Rubiah tersenyum mendengar kata-kataku itu.

Sewaktu membetulkan dudukku untuk lebih selesa, pelayan restoran datang. Aku memesan kopi dan Rubiah meminta nescafe. Pelayan dalam usia dua puluhan itu meninggal kami dengan senyum.

Aku memandang sekeliling. Suasana agak tenang. Pengunjung tidak ramai. Selain aku dan Rubiah, aku dapati hanya ada empat pelanggan lain. Mereka duduk semeja. Seorang daripada mereka adalah perempuan dalam usia tiga puluhan. Yang lain lelaki dalam usia dua puluhan ke bawah. Barangkali mereka satu keluarga, fikirku.

"Rajin nampaknya Mad menulis. Banyak cerpen Mad kakak dalam majalah dan akhbar," puji Rubiah ketika pelayan restoran datang membawa minuman. Sesaat kemudian pelayan restoran berambut mencecah bahu itu berlalu.

Aku hanya tersengih.

"Ada novel baru?" Tanya Rubiah bila lihat aku diam.

"Ada, tapi belum tulis," jawabku ringkas.

"Bila nak tulis?" Soal Rubiah ingin tahu.

"Belum ada masa, kak," terangku jujur. "Kerja pejabat sekarang terlalu banyak. Balik rumah badan dah letih. Tak dapat nak tulis kalau badan letih, kak," tambahku selamba.

Rubiah meneguk nescafenya sedikit.

"Apa cerita novel Mad kali ini?" Tanya Rubiah sebaik saja dia meletak semula cawan nescafe di atas meja. Mata Rubiah tajam memandangku.

"Kali ini saya menulis cerita Orang Asli, kak. Dua minggu saya menyelidik dan mengumpul bahan. Kemudian dengan pertolongan seorang kawan, saya pergi ke perkampungan Orang Asli dekat Tanjung Rambutan di Perak. Saya tidur semalam bersama mereka," terangku sungguh-sungguh.

Aku rasa gembira memberitahu hal itu kepada Rubiah. Aku tidak tahu kenapa. Mungkin disebabkan Rubiah adalah seorang daripada sekian banyak peminatku yang setia mengikuti perkembangan dunia penulisanku sejak aku mengenalinya dua tahun lalu.

"Tentu seronok ceritanya. Kakak rasa tak sabar hendak membacanya," ujar Rubiah kemudian.

Aku diam. Senyum.

Sepi seketika.

"Kakak jumpa Mad ni nak minta tolong Mad sikit," kata Rubiah setelah diam seketika.

Aku melihat janda berusia tiga puluh lima tahun itu tidak berkelip-kelip.

"Tolong yang macam mana kakak?" Aku bertanya dengan sedikit berdebar.

Rubiah tidak segera menjawab. Dia membetulkan rambutnya di bahagian belakang sebelum bersandar kemas.

"Kakak nak minta tolong Mad tulis cerita mengenai diri kakak," terang Rubiah dengan tenang. "Kakak tak senang duduk selagi cerita kakak ni tak didedahkan. Kakak percaya Mad boleh menulisnya," sambung Rubiah.

Aku membisu. Aku tegok sedikit kopiku.

"Kakak harap Mad tidak hampakan permintaan kakak ini. Kakak mau cerita kakak ini dijadikan teladan oleh kaum sejenis kakak yang belum kahwin," ujar Rubiah lagi.

Aku tersenyum kecil.

Permintaan Rubiah itu tidaklah terlalu membebankan aku. Dan ini bukanlah kali pertama aku diminta menulis cerita peribadi seseorang. Rubiah adalah orang kedua yang minta pertolonganku.

Dua tahun dulu aku diminta oleh seorang gadis menulis mengenai dirinya. Gadis itu bernama Lili. Cantik orangnya. Kulitnya putih kuning. Tubuhnya berisi. Matanya bulat memukau. Lili cukup mempersonakan mata lelaki.

Sayangnya nasib Lili tidak secantik wajahnya. Dia menjadi mangsa lelaki kota.

Cerita Lili sungguh mengharukan. Justeru itu tidak sampai hati aku menghampakan permintaan Lili. Seminggu setelah bertemu Lili, aku tulis sebuah cerpen berdasarkan apa yang diceritakan oleh Lili kepadaku.

Aku olah cerita Lili dengan sebaik-baiknya. Cerpen itu tersiar dalam akhbar mingguan dua bulan kemudian. Tiada siapa tahu bahawa cerpen berjudul Tak Seindah Mimpi  Rindu itu adalah cerita benar.

Lili datang dari sebuah kampung di Johor. Adik beradiknya ramai. Ada lapan orang semuanya. Dia anak yang ketiga dalam keluarga. Ibunya meninggal sewaktu umurnya tiga belas tahun. Tidak lama kemudian bapanya kahwin lagi.

Sejak itu Lili dan adik-adiknya hidup dalam keadaan yang terbiar. Mereka tidak begitu dipedulikan oleh bapa sendiri. Abangnyalah yang mengambil berat hal mereka.

Setelah menerima keputusan SRP, Lili berhijrah ke Kuala Lumpur. Ini berlaku empat tahun dulu. Pada mulanya Lili enggan meninggalkan kampung, tetapi apabila dipujuk berkali-kali oleh Anisah, akhirnya Lili pergi juga. Dia pergi dengan harapan mendapat pekerjaan untuk membantu persekolahan adik beradiknya.

Nasib Lili agak baik. Lima minggu setelah menjadi wargakota, dia diterima bekerja di sebuah syarikat penerbitan majalah sebagai penyambut tetamu. Dari tarikh itu bermulalah era baru dalam hidup Lili. Dia dikelilingi oleh lelaki dari pelbagai peringkat dan kedudukan. Lili jadi perhatian ramai lelaki kerana kecantikannya.

Dalam sekelip mata, Lili mempunyai ramai kenalan lelaki. Antara yang ramai itu, secara diam-diam Lili memilih Jasni sebagai lelaki istimewa. Orangnya tinggi, tegap dan kacak. Dia anak seorang ahli perniagaan yang berjaya.

"Kami hidup macam suami isteri di sebuah appartment di Ampang," cerita Lili terus terang. "Orang keliling tak pernah ambil peduli pergerakan kami. Kami juga tak kisahkan mereka. Hidup di kota besar seperti Kuala Lumpur benar-benar bebas macam burung," sambung Lili.

Aku diam.

"Setahun kami tinggal bersama. Sepanjang bersama Jasni, saya begitu yakin dia akan mengambil saya sebagai isteri. Jasni cukup mengambil berat diri saya, baik dalam soal kesihatan mahu pun kewangan," cerita Lili lebih lanjut.

Sepi sejurus.

"Sangkaan saya rupanya tidak benar. Barulah saya tahu yang saya ini rupanya masih mentah untuk menilai watak lelaki di Kuala Lumpur," kata Lili macam kesal. "Saya ditipu. Jasni lari meninggalkan saya dan berkahwin dengan gadis lain. Jasni hanya berlakon dengan saya. Saya menjadi mangsa lelaki kota."

Lili berhenti. Aku tahu hatinya pedih dan luka. Dia tunduk, seolah-olah cuba mencari ketenangan dan kekuatan dalam dirinya untuk terus bercerita. Aku menanti cerita selanjutnya dari Lili.

"Berminggu-minggu saya menangis dan jadi orang yang tak keruan. Tidur tak pernah lena. Mujur saja saya tak gila. Saya anggap diri saya sudah tak ada harga satu sen pun. Nilai diri saya macam tahi hidung kering. Segalanya sudah hilang dan musnah. Satu-satunya mahkota yang ada pada diri seorang gadis sudah pecah. Yang saya miliki hari ini adalah pecahan-pecahan mahkota yang sudah tak ada harga lagi," cerita Lili dengan panjang lebar. Nada suaranya begitu lirih.   Aku tahu dia cukup kecewa. Barangkali juga menyesal yang amat sangat.

Terharu aku mendengar cerita Lili.

"Segala-galanya sudah berlaku. Tak ada makna untuk dikesalkan lagi. Nasi sudah menjadi bubur," kataku menyabarkan. "Kesilapan ini kesilapan Lili sendiri. Lili terlalu cepat memberi kepercayaan kepada lelaki yang kacak dan ada kedudukan, akhirnya Lili sendiri menjadi mangsa."

Lili membisu. Tunduk.

"Saya harap Lili tabah dan cekal meniti hari-hari mendatang. Lupakan peristiwa hitam itu dari ingatan. Apa yang perlu Lili ingat, Lili tidak mengulangi kesilapan itu lagi," aku memberi nasihat kepada Lili.

Aku yakin Lili masih mempunyai hari depan yang indah. Lili tidak harus patah semangat.

"Kakak mau Mad tulis cerita kakak dari A hingga Z," tiba-tiba suara Rubiah masuk ke cupingku. Aku sedikit tersentak. Kenangan kepada Lili putus secara spontan. Cepat-cepat aku pandang Rubiah.

Rubiah menatapku sungguh-sungguh.

"Boleh Mad tulis?" Tanya Rubiah mencari kepastian.

"Saya akan cuba," ucapku bersahaja.

Pengakuanku itu nampak begitu menggembirakan Rubiah. Wajahnya berseri-seri. Rubiah menegok nescafenya sedikit.

Sejurus kemudian Rubiah pun mula bercerita. Aku mendengar dengan tenang.

Panjang cerita Rubiah. Dia meluahkan segala-galanya kepadaku. Hampir satu jam dia bercerita. Tidak jemu aku mendengarnya.

"Kakak tak teringin hendak kahwin lagi?" Tanyaku menduga sebaik saja Rubiah menamatkan ceritanya. Aku sekadar mahu tahu apa jawabnya.

Rubiah tersenyum pahit.

"Kakak serik nak kahwin lagi," ujar Rubiah di hujung senyumnya. "Biarlah kakak jadi janda sampai mati. Kakak tak mau hati kakak luka untuk kali kedua. Cukuplah sekali hati kakak dilukakan lelaki. Dan cukuplah sekali kakak jadi mangsa," sambung Rubiah serius.

Setelah menarik nafas panjang, Rubiah berkata: "Kakak tahu hidup janda penuh cabaran dan dikelilingi fitnah, namun adalah lebih baik begini daripada mempunyai suami yang lidah bercabang dan tidak bertanggungjawab."

Senyap.

"Kakak sudah tak percaya lagi lelaki yang ada di Kuala Lumpur ini," kata Rubiah tegas setelah diam sejenak.

"Marah sangat kakak pada lelaki," aku mengusik secara berseloroh.

"Marah dan geram!" Balas Rubiah cepat. Suaranya serius.

"Tak semua lelaki di Kuala Lumpur buruk perangainya, kak," aku cuba mempertahankan kaum sejenisku. "Banyak yang baik dan bertimbang rasa," tambahku tenang.

"Nampak saja macam orang baik-baik, tapi bila dah rapat dan bergaul lama, Tuhan saja yang tahu perangainya. Contohnya bekas suami kakak," ujar Rubiah sinis.

Aku diam. Perlahan-lahan aku mengangkat cawan dan menghirup sedikit air kopiku.

"Bekas suami kakak dulu bukan main baik orangnya sebelum kahwin dengan kakak. Dia pandai ambil hati kakak. Dia jaga kakak seperti menatang minyak yang penuh. Apa masalah kakak dia ambil berat. Waktu kakak sakit dan duduk di wad seminggu, dia datang tengok kakak setiap hari. Di samping bawa buah-buahan, dia juga belikan buku-buku agama untuk kakak baca," terang Rubiah panjang lebar. Dia membetulkan duduknya sedikit.

"Lepas kahwin enam bulan baru kakak dapat tahu dia rupanya dah beristeri dan ada dua anak. Nak pitam kakak dibuatnya. Menangis air mata darah pun tak guna lagi. Perkara dah berlaku," kata Rubiah. "Paling kakak benci hidup bermadu, walaupun kakak jadi isteri muda. Biarlah kakak hidup menjanda daripada bermadu."

Diam.

"Mujur waktu berpisah kakak belum ada anak," kata Rubiah lagi setelah meneguk nescafenya.

"Tak sunyi ke hidup kakak hari ini tanpa suami dan anak?" Soalku tiba-tiba. Aku rasa tidak wajar mengemukakan soalan itu kepada Rubiah. Aku kira soalan itu amat sensitif bagi orang perempuan.

Rubiah tersengih.

"Sesekali kakak rasa juga. Tapi bila teringat peristiwa lama, kakak fikir lebih baik kakak solo begini," kata Rubiah kemudian.

Tiba-tiba aku teringat sesuatu. Cepat-cepat aku menghabiskan kopiku.

"Malam ini surau dekat rumah saya ada majlis sambutan Maulidur Rasul," terangku bila Rubiah bertanya ingin tahu.

"Jangan lupa tulis cerita kakak tadi," pesan Rubiah sebelum aku beredar.

Aku mengangguk.

Kami berpisah kurang tiga minit ke pukul tujuh. Aku tak tahu ke mana Rubiah pergi selepas itu.

Saturday, April 25, 2015

Deklamator loyo

Oleh Nora

SANG Manula deklamtor meraba-raba mencari titis-titis notfah dalam setiap jalur otot dan setiap benang pembuluh darahnya. Akhirnya Manula menemukan fenomena ini:

Dari aku setitis mani yang bernama notfah. Dari aku segumpal darah yang bernama alaqah. Dari aku segumpal daging yang bernama mudghah. Dikumpulkan ciptaan kami di dalam rahim ibu kemudian diutuskan malaikat kepadamu lalu ditiupkan roh ke dalam jasad.

"Wahai malaikat, tulis, tulis rezekinya, ajalnya dan amalannya."

Apakah hujung hayatnya mati husnul khatimah? Apakah hujung hayatnya mati suul khatimah? Sesungguhnya ambang syurga itu sehasta saja jaraknya daripada amalanmu yang baik. Sesungguhnya ambang neraka itu sehasta saja jaraknya daripada amalanmu yang keji.

"Tuhanku, aku tidak layak masuk syurga-Mu, tetapi aku tidak pula kuat menanggung seksa neraka-Mu. Dari itu kurniakanlah keampunan-Mu kepadaku. Ampunkan dosaku. Bahawasanya Engkaulah pengampun dosa besar."

Kemudian lahirlah bayi ini. Kemudian lahirlah makhluk ini. Kemudian lahirlah hamba Allah ini. Kemudian lahirlah aku makhluk Allah yang bernama manusia.

Tangisan bayi di bawah kelopak keheningan Subuh.

"Kenapa kau menangis wahai anak?"

Demikian setiap manusia dilahirkan tidak terlepas dari tusukan syaitan terkutuk. Demikian hari pertama manusia lahir bersama tangisan. Demikian manusia kembali kepada Allah bersama tangisan.

Setiap bayi yang dilahirkan suci bersih. Inilah fitrah manusia yang bernama manusia.

"Ibu, jangan jadikan aku Yahudi. Ayah, jangan jadikan aku Nasrani. Ibu, jangan jadikan aku Majusi."

Mujahid Islam telah lahir. Lahir bersama kebangkitan matahari dan bulan. Bersama desir angin dari Khurasan. Bersama gemersik air Sungai Nil dan Furat.

"Wahai, mujahid Islam, engkau adalah khalifah Allah di muka bumi."

Wahai makhluk Allah yang bernama manusia untuk apa umurmu dihabiskan? Untuk apa masa mudamu engkau sia-siakan? Untuk apa hartamu engkau curahkan? Untuk apa dan ke jalan apa ilmumu engkau sebarkan?

Wahai makhluk Allah yang bernama manusia. Wahai mujahid Islam, engkau adalah khalifah Allah di muka bumi ini. Peganglah al-Quran di tangan kananmu dan peganglah sunnah Rasulullah di tangan kirimu.

Tunggu apa lagi? Tunggu apa lagi? Tunggu apa lagi?

Bangun! Bangun! Bangun!

Sang pagi muncul suram dengan cahaya redup. Langit terbungkus tabir awan dengan loncatan angin mengendor jendela. Dan kepak jendela menyeruak di bawah terik matahari. Sang Manula deklamator mulai menyiapkan diri dan mengemaskan perbekalan untuk memulai satu perjalanan yang panjang dan sebuah tikad kebulatan kembara yang tidak punya noktah. Kapan berangkat? Ah, sekarang juga mahu berangkat. Berangkat ke mana? Ah, ke mana-mana saja. Bermusafir dari benua ke benua. Kembara dari masyrik ke maghrib. Mencari. Mencari apa? Mencari di bumi mana Manula deklamator akan menemukan ini. Di mana?

Wahai, Manula deklamator, engkau carilah raja-raja yang adil. Di mana? Engkau carilah pemimpin yang lurus lidahnya dan yang amanah, beriman dan bertaqwa. Di mana? Engkau carilah orang kaya yang kikir. Di mana? Engkau carilah saudagar yang jujur. Di mana? Engkau carilah ulama yang memperdagangkan agama. Di mana? Engkau carilah Mukmin dan bertaqwa. Di mana? Engkau carilah Muslimin yang tidak makan yang haram. Di mana? Engkau carilah orang Islam yang hulur sedekah dan derma dengan tangan kanan menghulur tetapi tangan kiri tidak nampak dan wajahnya tidak terdedah di dada akhbar. Di mana?

Siapa dan siapa? Di mana? Engkau carilah orang yang berbuat baik kepadamu. Di mana? Engkau carilah Mukmim yang membantu orang yang berhajat. Di mana? Engkau carilah ulama yang basah lidahnya dengan zikrullah. Di mana? Engkau carilah hamba Allah yang bangkit malam sembahyang tahjud. Di mana? Engkau carilah ibu-ibu Islam yang tidak dedahkan aurat. Di mana? Engkau cari seorang pejuang yang abid di waktu malam dan jadi singa di waktu siang. Di mana?

"Sudah kau cari? Wahai, Manula deklamator."

"Aku sedang mencari. Aku kembara, aku berkelana, aku bermusafir dari benua ke benua. Ini sebuah rentetan pencarian bermusafir dari benua ke benua. Ini sebuah rentetan pencarian yang sulit, gawat dan mencabar. Mencabar kesabaran dan kewibawaan seorang mujahid Islam yang beriman dan bertaqwa," perakuan Manula deklamator.

Manula deklamator mencatat setiap mimpinya. Demikian setiap bayangan mimpi bermisteri yang aneh dan manifestasinya begitu berbobot dan berdampak tinggi nilainya buat pola permenungan seorang deklamator.

Sebondong burung layang-layang bersarang di celah-celah mesin tulis tuanya dan kemudian terbang, cuma najis yang ditaburkan di meja tulisnya. Dia mahu berbicara pada alat tulisnya yang renta itu. Tetapi senja di AJ padam bersama padamnya lampu di jalanan. Dan dingin Subuh tadi - di kamar mandi - di bawah air hujan, tiba-tiba niat mandi junubnya berlidah kelu di hujung mentol elektrik yang mati kerana dia baru belajar niat mandi hadas besar.

Kemudian Manula deklamator melihat bola matahari gugur di tengah bendang Dataran Merdeka Kuala Lumpur dan teksi berpunggung besar bergentayangan ingin mengangkut biji mata yang tersangkut di belakangnya. Dan kemudian mengheret Manula deklamator jauh sekali di hujung malam yang mahu diisi piala hidup dengan anggur nafsu, syaitan dan duniawi.

Catatan mimpi Manula deklamator: Cuma sepotong malam tidurku di rumah tua ibuku. Sungai Mati adalah ranjangku dan kutemui ibu tidur bersama kucing putih polos di hujung kakinya. Dan al-Quran buruk berlumut debu bergeletakan di atas almari tua warisan abad penjajahan Jepun. Inilah al- Quranku. Kutinggalkan menemani ibu.

Air Sungai Kupang mengalir di depan rumah hati deklamator. Desa Sadek dan desa Sungai Mati adalah sebuah penantian seperti penantian yang mahu kulafazkan: "Aku cinta pada dua buah desa sepi ini."

Oh, lidah ini akan digunting di akhirat dan mulut ini akan dituang timah panas dan otak pun mendidih.

Quran buruk berlumut debu di atas almari zaman Jepun, kujunjung dan kubawa ke Kuala Lumpur dan kubaca setiap tirai Subuh.

Di bawah keremangan senja Manula deklamator bertengger di jendela senja menyaksikan sepasang mata, rama-rama dan bunga-bungaan. Setiap titisan senja gugur ke bumi, mata ini menyaksikan rama-rama dan bunga-bunga, setiap bulan putih penuh mengembang, mata ini menyaksikan burung dakwah pulang ke sarang. Dan dari jendela hatinya, mata ini menyaksikan cewok kota Kuala Lumpur diburu detik jantung waktu.

Kini sang mata ini tidak lagi melihat rama-rama dan bunga. Bulan putih tidak lagi melekat di bibir matanya. Burung senja tidak lagi menyapanya di jendela. Kini cewek kota memburu dunia dan ramarama dakwah hinggap di keningnya.

Kini Mukminah mendapat al-Quran (sesungguhnya al-Quran menjadi petunjuk bagi mereka yang bertakwa) dibacanya di keheningan malam bersama titisan air mata.

Wahai Manula deklamator, kau catat biodata hidupku? Begini dan begini ceritanya. Begitu dan begitu kisahnya. Begini asalnya. Begitu akhirnya. Eh, eh, bukankah aku ini seorang deklamator?

Sang otak mula mengingat perihal seseorang yang dia sanjungi. Kelantangan dan kegarangan suaranya masih terngiang di telinga. Ketika berpidato ribuan pendengar tidak terkira. Masya-Allah lidahnya bukan main tajam mencucuk dan menikam hati musuhnya. Di mana-mana kerjanya menghentam. Paling teruk kena, pemimpin negara.

"Kata hendak bela rakyat, kata hendak stabil ekonomi, kata hendak perimbangkan hidup. Tapi, rumah menteri bertamah besar. Kereta bertambah lagi. Gaji naik lagi. Selalu keluar negeri. Kehidupan rakyat ditakuk lama juga. Adil apakah ini?"

Dan bila sang wira dianugerahi bintang negara, dia bersalaman dengan wanita yang bukan muhrimnya. Eh, eh, isterinya sudah pandai berdansa di majlis rasmi. Dan Manula deklamator pusing kepala.

Malam bermunajat Manula deklamator diziarahi seorang insan berjanggut putih dan bermisai putih. Tap, tap, tap, tup, tup, tup, hujung tongkatnya mengetuk batu kerikil jalan yang melontarkan insan ke teratak Manula deklamator.

"Assalamulaikum!" Dia memberi salam di hujung tangga.

Keheningan dan kebeningan malam munajat deklamator terkocak dan tersobek. Manula deklamator terpengaruh. Lalu bangkit membuka pintu. "Ya?"

"Izinkan saya naik," insan di hujung tangga bersuara dalam bungkusan selimut.

"Apa hajat, bapak datang malam begini?" Tanya Manula kental dengan kemesraan lalu meneliti wajah tamu malamnya.

"Begini, nak. Anak seorang deklamator yang termasyhor ke serata Nusantara.  Hajat bapa sudi apalah kiranya anak membicarakan mengenai diri dan warna citra hidup bapak. Bapak seorang kakek. Tolong bicarakan mengenai sepinya seorang kakek," sang kakek menagih dan memohon belas ihsan Manula deklamator.

"Isnya-Allah, bapa..." angguk Manula deklamator.

Aku adalah seorang kakek. Kakek ini pernah mengenyam madu remaja. Betapa manisnya alam remaja. Tetapi detik masa dan waktu terus berkisar. Malam dan siang saling undang-mengundang. Dan sepanjang detik perjalanan masa, seorang Muslim tidak seharusnya lalai dari berfikir dan merenung diri untuk menimba pengajaran dari pertukaran malam dan siang.

Planet-planet terus berpusing memutari orbit ke orbit. Malam kian beransur tua. Siang kian merangkak ke senja. Bulan purnama penuh pun masuk tidur di ranjang peraduannya. Malam ini bulan tidak penuh lagi. Esok malam terbit bulan sabit. Dan setiap yang bernama remaja merangkak ke satu hari bernama senja.

Insan remaja pun terlonjak dari tidurnya dan menguak jendela malam. Lalu didongakkan kepalanya ke cakerwala. Oh, langit hitam zulmat. Oh, mana bulan purnama? Oh, mana bintang mengerdip? Oh, mana bintang timur? Oh, mana bintang barat? Oh, mana kemanisan alam malam? Oh, mana gendang bulan? Oh, mana tepukan bintang? Oh, mana nyanyian serangga malam? Mana nur? Mana nur? Mana nur?

Demikianlah insan yang melangkahkan kakinya ke ambang gerbang satu hari bernama tua. Demikian insan yang bernama kakek bergelut dengan usia adalah malam yang gelap pekat. Satu hari bernama kakek adalah penghijrahan dari detik muda ke detik tua renta dan bongkok tiga.

Satu hari bernama kakek adalah pencari nur. Satu hari bernama kakek adalah umur waktu Maghrib menjelang waktu Isyak. Satu hari bernama tua menaburkan uban di kepala. Satu hari bernama kakek mengaburkan mata. Satu hari bernama kakek memekakkan telinga. Satu hari bernama kakek adalah pengembara, adalah musafir dalam perjalanan ke kubur. Satu hari bernama kakek sebuah kelapangan sebelum datangnya kesibukan. Satu hari bernama kakek adalah seorang kaya sebelum jatuh miskin. Satu hari bernama kakek adalah hidup sebelum mati.

Satu hari bernama muda telah pupus. Satu hari bernama sihat telah berlalu. Satu hari berambut hitam telah pergi. Satu hari bermata cerah telah kabur. Satu hari bergigi kukuh telah gugur. Satu hari bernama muda, berdarah panas telah sejuk dan dingin. Satu hari bernama manusia ego telah berlalu.

Satu hari bernama kakek adalah seorang kembara di waktu sore. Jangan tunggu datangnya waktu pagi. Satu hari bernama kakek adalah seorang pengembara sebuah pagi. Lalu jangan tunggu datangnya senja.

Bukankah satu hari bernama kakek adalah seorang penunggang unta tua, seorang musafir di tengah gurun pasir yang panas. Tiba-tiba dipertemukan sebatang pohon lalu berteduh di bawah kerendangan dan keredupan pohon itu. Kemudian sang musafir berangkat lagi meneruskan pengembaraannya.

Berangkatlah penggembara tua. Berangkatlah perantau dunia. Berangkatlah musafir yang capek dan lelah. Esok engkau dan aku akan berangkat juga. Sudahkah engkau dan aku siapkan perbekalan dalam mengharung jalanan yang jauh dan panjang?

Kita adalah musafir di perjalanan dunia ini. Berangkatlah musafir yang capek dan lelah. Esok engkau dan aku akan berangkat juga. Sudahkah engkau dan aku siapkan perbekalan dalam mengharung perjalanan yang jauh dan panjang?

Kita adalah musafir di perjalanan dunia ini. Seorang musafir yang menumpang lalu. Ke mana arah perjalanan aku dan anda?

33 cucu dan cicit sang kakek mengetuk pintu kamar sepi kakek.

"Kakek ini sebuah cermin besar hadiah hari jadi ke-100 tahun usia kakek."

Dan dalam kamar sepi, kakek pun menyenyumi wajah senjanya. Mentertawakan dirinya di depan cermin. Eh, eh, kakek senyum lagi. Eh, eh, kakek ketawa lagi. Dan tiba-tiba sang kakek terjerit dalam tangisannya yang ngeri dan ngilu.

"Kenapa kakek menangis?"

"Oh, Tuhan ini bukan wajahku."

"Kakek, bermalam saja di gubuk usang saya ini. Kita sama-sama hayati minda bayu malam dari gunung. Kakek tidak keberatan bukan?" Kata Manula deklamator.

"Keberatan? Oh, tidak sekali."

"Kita menatap wajah dunia semakin hodoh di mamah derita perang, bencana alam dan kelaparan. Inilah kekejaman kuffar pencetus sangsara. Umat tersiksa di dalam gelita. Empayar temadun manusia kuffar bergoncang menanti tumbang. Pengaruhnya tidak lagi mencabar. Kelak akan berkubur tanpa ninsan."

Berita diterima setiap hari. Mereka bercakaran sesama sendiri. Inilah petanda dan inilah bayangan bukti Islam akan bangun sekali lagi di Timur.

Fajar Islam sudah terserlah. Kebangkitan Islam melalui dakwah. Sebelah Timur bumi bertuah. Membawa cahaya ummah Islamiah. Ibarat hari di hujung senja. Sinar matahari di ufuk Timur. Fajar subuh datang bernama sinar matahari.

"Kakek, malam ini sebuah kapal mengangkat sauhnya. Dan bahtera pun belayar di lautan hayat," Manula deklamator berbicara lagi. burung cemar. Selagi ada hayat gelombang. Selagi ada hayat matahari. Selagi ada hayat bulan. Selagi ada hayat seribu pulau. Selagi ada hayat dikandung badan, nakhodanya...

Tiba-tiba petir tengah hari meledak. Ratusan tangan besi menggapai dan mencakar, sang badai merobek, sang gelombang lambungmelambung dan hempasmeng hempas. Tenggelamkan bahtera ini. Timba dan timba lautan hayat ini. Keringkan airnya dan tuangkan ikan ke pukat sang nelayan. Sedut gelombang ini dan curahkan ke dalam bijana thoifah dan ummah. Genggam angin, hancur dan lumat lalu jadikan debu serbuk bedak dan langirkan ke wajah primadona dunia baru Islam. Kumpulkan pulau di lautan China Selatan, binakan jambatan untuk meniti ke Yunan dan ke Khurasan. Padamkan matahari. Hembuskan api sang bulan. Tembak burung camar.

Dingin Subuh mengusap wajah. Kembaralah bayu dari benua ke benua. Kutunggu bayu di jendela ini setiap senja. Esok engkau kembali membawa empayar dan ummah. Akulah perindu yang setia.

"Aduh, aduh! Masya Allah...engkau memang seorang deklamator yang hebat..." kakek berjingkrak gembira.

Ah, siapakah aku? Deklamator loyo.

Thursday, April 23, 2015

Cuti

Oleh Rahmat Md Zainal

LAIN. Lain sungguh. Pagi lain. Petang lain. Malam pun lain. Ahh semuanya lain. Dulu tidak seperti ini. Sungguh. Rimas. Aku rimas benar. Masakan tidak, selalu aku balik, tak seperti ini. Seronok sahaja. Gembira sahaja. Ini tidak, sampai-sampai sahaja, rumahku bagaikan terputus bekalan api. Muram sahaja. Rimas sungguh. Terasa ingin aku taruh balik pakaianku ke dalam beg, dan pulang sahaja ke kampus. Biarlah aku habiskan sahaja cuti di sana. Biarpun cuti ini panjang, aku tak peduli. Aku rimas. Tak rela rasanya aku terus berkeadaan begini. Aku tak rela. Tak sangka sungguh cutiku menjadi begini. Tak sangka sungguh. Seminggu aku tak dapat tidur kerana asyik membilang hari untuk pulang.

Aku masih ingat: Seminggu masaku habis dengan membina angan-angan apa yang aku nak buat sepanjang cuti panjangku ini. Seminggu lamanya aku merangka dan merancangkan kata-kata yang bakal kututurkan ketika ada saudara-mara atau jiran datang bertandang ke rumah. Ahh macam-macam lagilah! Tapi, apa sebabnya? Aku bukan pakar tilik untuk mentafsir segala yang berlaku. Aku hanya mampu tertanya-tanya sendiri.

Guru. Demikian manusia ayah. Ibu hanya orang rumah sahaja. Sudah hampir dua puluh lima tahun mereka berkahwin. Kata ibu, usianya baru menjangkau enam belas tahun ketika dia dinikahkan. Kadang-kadang kata ibu, dia bangga juga kerana dapat berlakikan seorang guru. Makcik-makcikku, tambah ibu, hanya dapat berlakikan penoreh getah, tukang kayu dan budak pejabat. Ibu masih ingat bagaimana jelingan iri kakak-kakaknya di hari persandingannya.

Sepanjang perkahwinan ayah dan ibu, mereka dikurniakan dengan tiga cahaya mata - aku, Ina dan Mira. Semuanya perempuan. Kata ibu lagi, mulanya dia risau juga kerana tidak dikurniakan dengan anak lelaki. Maklum sahajalah, ayah ketika mudanya pemain bolasepak yang agak handal. Di sekolahnya kini, dia jurulatih pasukan. Malah di taman perumahan kami ini pun, dia diangkat jurulatih juga. Menurut ibu, ketika dia mula mengandungkan aku, ayah sudah membelikan bola permainan untukku. Bola itu akhirnya disedekahkan kepada seorang anak jiran, setelah yang lahir bukan anak lelaki. Kata ibu lagi, ayah tidak mahu anak perempuannya bermain bola. Keadaan yang sama berulang ketika ibu mengandungkan Ina dan Mira. Ayah sememangnya begitu kepingin anak lelaki. Tapi ibu lega kerana ayah tidak pernah merungut.

"Kau sedar tak Ifah?"

"Sedar apa mak?"

"Ayah kau..."

"Ngapa dengan ayah?"

"Tahun ini genaplah umurnya lima puluh lima tahun!"

Aku mengangguk.

"Kau agak Ifah, apalah bendanya yang ayah kau nak beli dengan duit banyak nanti?" Begitu tanya ibu satu petang di awal tahun. Ketika itu kami sekeluarga kecuali ayah, sedang minum petang di anjung rumah. Ayah seperti biasa turun ke padang. Kadang-kadang aku kagum juga dengan ayah. Tenaganya tidak padan dengan usianya. Ayah sungguh kuat!.

"Agaknya apalah yang nak dibeli oleh orang tua tu Ifah?" Ibu bertanya lagi.

Aku tidak menjawab. Aku hanya memerhatikan cawan dari jenama yang tidak terkenal di depanku. Barangan buatan China. Masih ada sedikit lagi air kopi dalamnya. Sebenarnya aku sedang berfikir ketika itu. Barangkali sama dengan apa yang sedang difikirkan ibu. Sesekali aku hairan juga dengan sikap ibu. Ibu begitu gemar memikirkan apa yang akan dibuat ayah dengan duit banyaknya nanti. Kata ibu, kalau ayah mengajaknya pergi Makkah tahun depan pun, duitnya masih cukup untuk beli itu ini.

Sebenarnya ini bukan kali pertama ibu bersikap aneh begitu. Lima tahun lalu, keadaan yang hampir sama pernah berlaku. Kata ibu, ada kemungkinan ayah akan keluarkan satu pertiga wang carumannya daripada KWSP. Menurut ibu, ramai rakannya dapat gelang besar, rantai besar dan lain-lain lagi bila laki mereka `cukup umur'. Tidak kurang juga yang menukar kereta dengan model lebih baru, malah yang terbaru. Namun ibu kecewa apabila ayah mengambil keputusan tidak mengeluarkan carumannya. Kata ayah, tidak perlu. Tidak ada apa lagi yang tidak cukup dalam rumah. Semuanya ada. Baik yang baru mahu pun yang sudah agak lama. Ayah tak mahu membelanjakan wangnya tak tentu hala. Membazir, katanya.

Duit ayah pasti banyak. Tambahan pula kira-kira dua bulan lagi genaplah usia ayah lima puluh tahun. Agaknya mungkin itulah sebabnya ibu begitu menaruh harapan besar terhadap `wang banyak' yang bakal diterima ayah tidak lama lagi. Inilah peluang ibu.

"Buruk benar kereta ayah kau Ifah, mungkin juga dia akan tukarkan kali ini!" Ibu menyuarakan pendapatnya. Aku hanya menjawab dengan senyuman sahaja. Memang kereta ayah sudah terlalu buruk. Buruk benar. Sejak ayah membelinya atas tangan seorang rakannya, iaitu ketika aku masih di sekolah rendah, ayah tidak pernah menukarkannya lagi. Kata ayah, asal boleh naik, sudah cukup. Entahlah. Aku tak tahu sama ada ayah mahu tukar kali ini. Ahh, tunggu dan lihat sahaja. Dua bulan lagi. Kira-kiranya.

Memang begitu sikap ayah. Dalam banyak hal, ayah lebih suka berjimat sahaja. Kalau nak beli apapun, kena lihat dulu kepentingannya. Kalau tidak penting, jangan gatal beli. Oleh itu jika aku, Ina atau Mira mahu beli apa-apa, kami lebih senang memaklumkan kepada ibu. Ibu lebih senang diajak berunding. Kalau melalui ayah, mungkin lambat sedikit. Kadangkala lambat banyak.

"Perabot-perabot kita pun banyak dan usang!" kata ibu lagi. Memang sudah lama ibu mengidamkan set sofa seperti yang dilihatnya di rumah Makcik Besah, jiran sebelah rumah kami. Aku diam sahaja. Dalam hal ini aku setuju benar. Memang banyak perabot rumah kami sudah buruk, walaupun tidaklah terlalu buruk. Kadang-kadang aku segan juga bila ada rakan-rakan datang bertandang ke rumah. Aku pergi rumah mereka, elok sahaja semuanya. Tapi bila mereka datang ke rumahku, ahh, entahlah. Tebal empat jengkal mukaku. Mungkinkah ayah akan tukarkannya? Mungkin sahaja.

"Kalau dibawanya kita melancong, seronok juga!"

Wah, begitu melangit sekali pengharapan ibu terhadap ayah.

Mungkin juga ibu terpengaruh dengan Pak Long, abang iparnya. Pak Long telah membawa keluarganya ke Medan, setelah dia bersara dua tahun lepas. Pak Long memang tidak lokek. Ketika aku masih kecil, setiap kali dia datang ke rumah kami, pasti sekurang-kurangnya duit hijau `ditinggalkannya' padaku. Pak Long cukup pemurah. Rumahnya kalau hendak dibandingkan dengan rumah kami, pasti ketara benar. Rumah Pak Long telah mengalami dan melalui beberapa pengubahsuaian. Sedangkan rumah kami sejak mula diduduk dulu sampai sekarang, tidak sekalipun diubah bentuknya.

Dalam hal ini ayah tidak mahu kami anak beranak samakan dia dengan abangnya. Kata ayah, abangnya ada ramai anak. Yang kecil-kecil pun ramai. Kebanyakannya pula lelaki. Sebab itu rumahnya besar. Keluarga kami, kata ayah, hanya keluarga mini sahaja. Tak perlu rumah besar-besar, kukuh- kukuh. Tak perlu. Kata ayah lagi, dia hanya cikgu cabuk sahaja - duduk rumah sendiri tanpa perlu menyewa, sudah cukup baik pada ayah. Kata ayah, dia bukan wakil rakyat untuk duduk rumah yang bagus-bagus. Yang besar- besar. Ayah mahu kami bersyukur dengan segala apa yang ada. Ayah tak mahu kami kufur.

Ayah memang amat benci kepada pembaziran. Perkara itu bagi ayah memang tak patut berlaku. Tidak sama sekali. Pantang. Namun, kadangkala aku rasa sikap ayah keterlaluan pula. Ayah seolah-olah tidak mahu langsung fikirkan hal atau selera orang lain. Bagi ayah, seleranya sahaja yang tepat dan betul. Mungkin aku juga keterlaluan berkata begitu. Tapi inilah yang kurasakan sekarang. Aku yakin ibu lebih dasyat lagi rasa begitu. Tapi ini bukan bermakna aku setuju seratus peratus dengan sikap ibu. Ibu sering membanding-bandingkan apa yang ada pada kami dengan orang lain. Soal rumah, kereta dan bermacam lagi. Entahlah. Mungkin sekali lagi aku telah keterlaluan membuat sesuatu andaian. Aku binggung.

Lain benar cutiku kali ini. Lain. Ini benar-benar dapat kurasakan sekarang. Bagaikan ada sesuatu yang kurang pula. Persis air kopi tanpa gula. Suasana begitu hambar. Ini sememangnya merimaskan aku. Tambahan pula aku masih belum tahu hujung-pengkalnya. Sesekali fikir, menyesal juga aku balik kali ini. Kalau tak cuti pun, tak apa. Apa gunanya cuti jika cuti itu tidak membahagiakan aku.

Aku cuba juga bertanya pada Ina dan Mira, mana tahu mereka tahu sebab- sebabnya. Tapi aku hampa. Mereka juga sepertiku terkejut dengan segala perubahan yang berlaku. Kini, aku pula terpaksa menasihati mereka supaya jangan risau dengan segala perubahan itu. Bukan apa, aku takut pelajaran mereka terganggu pula. Aku cukup tidak rela cutiku dibeginikan. Tidak adil. Tidak adil sama sekali.

Ahh..., nampaknya aku seakan mahu memberontak pula. Dan jika aku berontak pun, rasanya tidak salah. Sememangnya boleh dan patut aku lakukannya. Berontak terhadap ayah, terhadap ibu. Memang begitu. Aku perlu lakukan sesuatu. Sangat perlu. Aku anak sulung. Anak sulung perlu tegas dan berani kerana ketegasan dan keberanian itu akan menjadi contoh kepada adik-adikku. Memang. Memang aku perlu lakukan sesuatu. Perlu. Ya Allah, berilah aku kekuatan. Amin.

Sungguh aku tidak sangka! Aku tak sangka bagaimana semua ini boleh berlaku dalam rumahku. Aku tidak pernah terfikir benda ini akan berlaku. Aku sungguh terkejut mendengar penjelasan ibu malam tadi. Patutlah ibu begitu lain sekali. Patutlah ibu begitu berbeza kini. Wajah ibu begitu sayu sekali kuperhatikan. Aku juga seorang perempuan seperti ibu. Dapat kurasakan betapa pilunya hati ibu ketika ini. Aku simpati sungguh terhadap ibu. Aku lihat mata ibu ketika itu mula bertasik. Tasik yang longgar tebingnya. Bila-bila masa boleh bah.

"Sebenarnya mak malu nak beritahu kau!"

"Mengapa pula?"

"Mak dah tua, kau pun dah besar!" Ibu memulakan perbualan setelah aku mendesaknya. Terpaksa aku desaknya untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Malam kian suram. Sengaja aku mencari waktu begini untuk mencungkil segalanya dari ibu. Aku rasa inilah caranya untuk aku mengetahui apa yang berlaku. Apa yang terjadi. Tiada ada cara lain lagi. Kalau ada, pasti aku tidak memilih cara ini. Aku tidak selesa. Aku tidak selesa sungguh dengan cara ini.

Ruang tamu rumah kami yang agak `klasik' ini, bukannya sebuah lokasi penggambaran untuk melihat dua anak-beranak menangis sambil berpelukan. Bukan. Ruang tamu rumah kami adalah tempat untuk kami sekeluarga menikmati suasana gembira dengan berbualbual, bergurau-senda atau tawa ria ketika menyaksikan program komedi di TV empat belas inci rumah kami. Walaupun ayah seorang pendiam, itu tidak menggugat keriuhan rumah kami bila kena suasana dan ketikanya. Kadangkala aku hairan juga kerana tidak seorang pun daripada kami tiga beradik terikut dengan sifat ayah yang pendiam. Semuanya mengikut ibu. Ibu petah berkata-kata! Mungkin kerana kami sejenis. Entahlah. Itu tidak penting lagi bagku.

"Ayah kau Ifah.."

"Ayah?"

"Ayah kau..." tebing-tebing tasik mata ibu nampaknya telah mulai roboh. Bunyi cicak kedengaran. Seolah-olah turut bersimpati terhadap ibu.

"Ya, ayah kau..." ibu mendongak ke jendela yang separuh terbuka sebelum meneruskan kata-kata. Sayu sekali. Tanpa kusedari tebing mataku yang juga telah bertasik dari awalnya, serta-merta menjadi longgar dan terus pecah. Bedak sejuk yang kupakai selepas mandi, telah membelah mukaku kepada tiga bahagian. Mujurlah hanya kami berdua sahaja yang berada di ruang tamu. Ayah telah masuk tidur walaupun jam sebelas. Selalunya waktu begini ayah belum tidur lagi. Mungkin ayah letih dengan latihan bolanya di siang hari. Ina dan Mira aku rasa belum tidur lagi. Bilik mereka masih terang. Mungkin sedang sibuk belajar agaknya. Mereka memang suka belajar di waktu-waktu begini.

Malam kian suram. Mungkin ayah sedang dibuai dengan mimpi-mimpi yang indah. Memang adalah lebih baik ayah tidak berada di ruang tamu ketika itu. Jika ada pun, tak sanggup rasanya aku menatap wajah ayah. Ayah kejam. Ayah begitu kejam terhadap ibu. Kasihan. Kasihan ibu. Pasti dia begitu kecewa.

Namun, jauh di lubuk hatiku, aku berasa tak sepatutnya ayah sahaja dipersalahkan. Tindakannya tidak menyalahi hukum. Memang dia ada hak untuk itu. Itu hak dia. Hak dia.

Tapi bagaimana pula dengan ibu?

Aku begitu sebak memikirkan mengenai ibu. Aku simpati sungguh terhadap ibu. Simpati sungguh. Aku pasti, ibu tidak akan lagi memikirkan mengenai apa yang akan dibeli ayah dengan wang banyaknya nanti. Mengenai kereta baru, perabot baru dan lain-lain lagi yang serba baru.

Apa yang mungkin atau sedang difikirkan oleh ibu ketika ini ialah bagaimana dia harus menerima kenyataan bahawa ayah akan memiliki seorang isteri baru tidak lama lagi. Kira-kira dua bulan lagi.

Aku melongo.

Tuesday, April 21, 2015

Telefon mudah alih

Oleh Azizi Abdullah

Cerita I: MATGAM kayuh basikal laju-laju, turun gon naik gon, melelong-lelong kemudian sampai kawasan tanah lapang yang ditambun tanah merah. Tanah itu rata tapi lembut. Dengar khabar satu bangunan akan didirikan tidak lama lagi.

Matgam melompat turun daripada basikal Choppernya. Telefon mudah alih secekak tangan dan sepanjang dua jengkal jarinya terconget-congek di poket seluar belakang. Celaka sungguh, kawan-kawan yang berjanji akan turun pukul empat petang main bolasepak, tak nampak muka hidung. Di langit nampak awan hitam berarak. Kalau lambat tentu hujan turun. Angin dari pantai Cenang berhembus deras. Ada sehelai dua kertas bungkus nasi para pekerja melayang-layang ditiup angin.

Matgam pun menarik aerial telefon. Bercekak pinggang memandang langit.

- Hallo Din! Hang kata nak main bola. Awat hang ta mai lagi?

Suara dalam telefon terdengar ketawa terkekeh-kekeh.

- Hang mai la ni, aku tunggu. Nanti aku call Mehat, Seman dan lain-lain. Kita lawan tujuh sebelah. Kalau kalah belanja mandi di kolam renang, okey?

Matgam menekan-nekan button. Bunyinya trut-tut-tut dua tiga kali. Kemudian Matgam menekan lagi enam kali. Enam kali pula bunyai trut-tut-tut dan Matgam menembab telefonnya ke telinga.

- Hoi, hangpa kata nak mai, tapi tak ada sapa pun. Mailah cepat. Cepatlah sikit. Nanti hujan tanah ni lecah!

Matgam menekan aerial telefon mudah alih. Dia menyerangguh menunggih di basikal Choppernya. Sebatang rokok Dunhill yang terlekat dalam saku bajunya di keluar. Di sedutnya panjang dan asap itu terbang hilang di bawa angin.

Setiap petang begitulah. Matgam tidak risau sedikitpun tentang pakat- pakat main bola. Kalau dulu memang kena pakat sebelum tengahari tapi kini sejak ada telefon mudah alih yang dibeli oleh bapanya, soal pakat tidak perlu lagi.

Sejak akhir-akhir ini Matgam dengan dua tiga kawan-kawan seronok sungguh. Balik dari sekolah, capai Chopper, masukkan telefon muda alih dalam poket seluar bela kang, dia akan merayau-rayau ke mana-mana. Kadang- kadang main acilut di balik semak samun kawasan yang belum di tebas, pakai telefon muda alih. Sembunyi kemudian lawan cari. Kadang-kadang main lumba basikal sampai ke Pantai Cenang. Siapa sampai dulu, telefon dan ketawa terkekeh-kekeh.

Baru sebulan bapanya beli telefon mudah alih.

"Hang mau apa Mat?" tanya bapanya satu malam.

Matgam hairan pertanyaan itu. Setahunya bapanya sangat liat hendak beri duit. Rumah pun bukan besar sangat, hidup seharihari pun bukan senang. Tiba-tiba itu yang ditanya, maka jadilah dia cukup hairan.

- Hang cakaplah apa yang hang mau?

Matgam yang ketika itu baru darjah enam sudah malas baca buku, tiba-tiba terpandang pada iklan di tv bagaimana mesra dan seronoknya satu keluarga yang dapat berkomunikasi dengan telefon mudah alih. Lalu dia pun tersenyum.

"Nak beli macam tu?" tanya bapanya.

Dia yang di bawah sedar kerana sakit mengangguk-ngangguk. Tiga hari selepas itu, malamnya bapanya pun membawa balik dua buah telefon mudah alih.

"Sampai dua"?, tanya emaknya kepada bapanya.

- Kalau satu tak ada maknalah. Macam mana aku nak hubungi hangpa kalau aku duduk jauh?

Betullah itu. Maka yang satu lagi Matgamlah yang punya, kerana dialah satu-satunya anak yang disayangi.

Tiba-tiba telefon di poket seluar belakang betrut-tut-tut dua tiga kali. Matgam segera cabut dan menarik aerialnya.

- Hallo!

- Hang ni man Mat? Hari nak ujan ni? Balik cepat!

- Alla, Cek nak main bola sat. Nanti petang Cek baliklah!

Mak ada di mana ni?

- Mak ada di rumah Makngah hang. Mak nak suruh buat karipap sikit nak makan pagi esok!

- Pak pi mana?

Tiba-tiba bunyinya tersentot. Panggilan terputus tiba-tiba. Maka dengan cepat Matgam pun menekan pula punatnya enam kali.

- Hallo mak, sorrylah. Putus tadi!

- Jaga telefon tu, jangan bagi kena hujan.

- Mak takut?" katanya dengan ketawa tekekeh-kekeh. Kalau hujan Mat bungkus dengan plastik. Gerenti tak basah!

- Sudahlah, mak nak balik ni.

_ Baiklah mak.

Tapi sebaik-baik saja percakapan tamat, tiba-tiba bunyi trut-tuttut muncul semula. Matgam segera menarik aerialnya. Dia menungging punggung di basikal Choppernya, merenung padang lapang tanah merah yang rata.

- Hoi, aku mai la ni. Hang jangan pi mana-mana!

- Sapa tu?

- Akulah...Seman!

- Hang dajai...awat lambat sangat?

- Okey, sepuluh minit.

- Jangan lupa call kawan-kawan yang lain!

Padang lapang yang masih bertanah merah lembut itu kepunyaan bapanya pada asalnya. Kini sudah dijual entah berapa puluh ribu. Dengar khabar tanah lapang ini hendak didirikan bangunan berpuluh tingkat. Bapanya seronok kerana tiba-tiba tanah terpelahang yang tidak mendatangkan hasil itu tiba-tiba laku sampai tak tahu nak kira duit. Paksu Lehnya berkelahi bukan main kerana bapanya mengambil keputusan menjaul tanah itu. Paksu Lehnya matimatian mempertahankan tanah itu kerana mau diusahakannya sendiri tapi bapanya memberi alasan yang lain. Kata bapanya, kita tidak perlu bersusah payah kerana harga tanah lebih dari usaha kita sendiri.

Dengar khabar bukan bapanya saja yang mengambil keputusan menjual tanah pesaka. Bapa Seman pun jual juga tanah mereka di tepi pantai. Seman pun ada telefon mudah alih. Ada telefon mudah alih, senanglah kalau nak bercakap apa pun, walaupun ada di mana-mana. Pernah satu kali ketika dia bertenggek di balik pokok mengkuang membuang air besar, Seman mengusiknya tentang najisnya berapa panjang dan kemudian dia ketawa melalui telefon mudah alihnya sampai najisnya tersentut.

Kira-kira sepuluh minit nampaklah Seman mengayuh basikal Choppernya. Sebelah tangan memegang hendal dan sebelah lagi memegang telefon mudah alih. Seman sedang bercakap entah dengan siapa.

"Sejak ada telefon mudah alih ni, kita cukup senang," katanya pada Seman yang baru melompat turun dari basikal.

- Senang apa?

- Hang tenguk, nak panggil kawan-kawan main bola, tak payah ikut depa. Kita call saja depa boleh mai.

Seman tersengih. Dimasukkan telefon mudah alih dua jengkal itu ke dalam saku seluarnya. Telefon itu tidak akan di letak di manamana bila main nanti. Kalau ada call, ketika bermain pun dia boleh jawab.

"Okey... Kita tunggu lima minit lagi, kalau depa tak mai juga, kita balik!" kata Seman.

Matgam menekan-nekan pua punat telefon mudah alihnya. Dia mau call pada tauke Chinhua, kedai runcit.

- Hallo tauke Chin. Ini Matgam cakaplah. Pukul enam tujuh nanti Lu hantar Root Beer sete ngah dozen ke rumah aku.... Duitnya masuk akaun bapa aku, okey?

Awan di langit berarak ke sanasini mau menghimpun jelaga hitamnya. Sebentar lagi mungkin hujan. Matgam dan Seman masih menunggu kawan-kawan untuk main bolasepak. Cerita II:

DI ATAS bot laju dari Kuala Perlis ke jeti Kuah. Laut tidak berapa tenang. Ombaknya melambung muncung bot turun naik. Sesekali kecipak air laut menyepak perut bot.

Ada kira-kira seratus orang penumpang, termasuk para pelancung. Kebanyakannya mendongak melihat tayangan video gambar gusti. Ada setengahnya pula terlena.

Gayah, bujang yang sudah lima belas tahun, yang punya tiga anak mengepit beg mengkuangnya. Badannya yang agak gempal tidak berapa selesa duduk di kerusi sempit itu. Di sisinya seorang pelancong bangsa Eropah dan di sebelahnya lagi seorang lelaki tua sedang asyik melihat video gusti.

Tiba-tiba di dalam beg mengkuangnya bunyi trut-tut-tut seperti keridik tua gila betina. Gayah cepat-cepat membuka tudung begnya. Telefon mudah alihnya pun dikeluarkan. Ditariknya aerial sampai sikunya hampir terkena muka pelancung Eropah.

"Hoi! Sapa tu?" jerkahnya melebihi suara gusti di tv.

- Hang ada di mana ni?

- Laaa, aku pi Padang Besak tadi. La ni dalam bot nak balik. Awatnya? Ada apa hai?

- Aku mai ghumah hang, anak hang kata depa tak tahu hang pi mana.

"Mohong la tu. Aku bagi tahu awai-awai lagi aku nak ke sebeghang, nak pi Padang Besak!" Gayah meninggikan suaranya melawan suara tv.

Beberapa orang yang terlentuk kepala hendak terlena terkejut dengan jerkahan gayah.

- Laaa, hang sughuh anak aku tenguk atas pagha tu. Balik tin Mello besak. Aku sughung di balik tin Mello....haaa? Laa, ada. Ada...! Ihh, anak aku tu buta peghut sungguh. Aku dah pesan, ada....ada..

Pelancong Eropah jadi gelisah bila suara Gayah menerjah lubang telinganya. Berkali-kali air liurnya tersembur. Lelaki tua di sisinya terbatuk-batuk memberi amaran. Tapi Gayah tidak sedar sedikit pun.

- Payah-payah hang tunggu aku baliklah. Haaa, sejam lagi aku sampailah. Kalau jumpa aku tonyoh kepala anak aku tu. Amboi, buta peghut sampai macam mana, benda terjergok macam tu tak jumpa!

Gayah mengeluh berat. Percakapan tadinya mati. Yang terdengar kini suara dengus dan meradang dari ahli gusti di tv. Di luar bunyi enjin bot berdengung-dengung. Kecipak air menyepak perut bot juga sangat jelas.

Gayah menarik aerial telefon mudah alihnya lagi.

- Hoi Miah, hang buat apa?

- Laa, Kak Gayah ke ni?

- Haaa, akaulah....siapa lagi. Aku la ni ada dalam bot. Tadi aku ke Padang Besak!

- Eheee, ini tentu boghong banyak.

- Taklah....buat apa baghang tak standad. Tak mainlah baghang Siam tu.

- Bulan ni bil kak Gayah kena beghapa?

- Apa hang kata? Aku tak dengaklah! Enjin bot dajai ni pun Gayah. Gayah membeliak mata.

- Hoi Miah, ada ulat bulu melata di siku aku, tau tak?

Miah ketawa kuk-kik kuk-kik.

- Dia buat apa?

- Dia cuit aku!

Miah ketawa kuk-kik kuk-kik lagi.

Sekali lagi pelancong berjanggut jambang itu mencuit lengan Gayah.

- Laa, dajai sungguh. Dia kerumit lengan aku pula.

"Please...please slowly."

- Haram jadah.... dia kata apa kat aku. Aku tak paham pun.

Miah ketawa kuk-kik kuk-kik lagi.

"Cik Puan, pelancong tu kata, janganlah cakap kuat-kuat sangat. Dia suruh cakap pelan-pelan sikit."

Gayah membeliak mata pada lelaki tua yang menterjemah cakap pelancong Eropah tadi dan kemudiannya dia menjegil pada pelancong itu. Ditekan aerial telefon mudah alihnya.

"Hang peduli apa aku nak cakap pelan ke, deras ke. Ini telefon aku, aku punya pasailah! Hang nak cemburu pasai apa aku cakap telefon. Kalau dah tak ada telefon, diam sudahlah!"

Pelancong Eropah itu terpingapinga kerana tidak faham percakapan perempuan gempal di sisinya. Dia menyandar badan dan mendongak mukanya sambil tersenyum. Manakala penumpang yang lain berpaling serentak melihat keberangan Gayah dan mereka juga tersenyum lucu.

Gayah menarik aerial telefonnya semula. Menekan punat enam kali.

- Hoi Miah, hang tau tak, Mat Salleh tepi aku ni cemburu pasai kita cakap telefon. Menyampah aku!

- Betullah kak Gayah. Awat depa ingat kita tak boleh pakai telefon agaknya.

- Laaa, hang cakap kuat sikit. Enjin bot ni memekak telinga aku....haaa....haaa, tak dengak....aku tak dengak! Ohooo tu ka? La ni, hang cakap kat dia, belacan tu kena jemur lama-lama, Kalau tidak dia busuk.

Pelancong Eropah yang berjambang berjanggut itu bangung, meminta laluan untuk keluar. Gayah menyinggiang kakinya dan pelancong itu pun menyipi badannya lalu keluar. Bot yang tersenget ke kiri, teroleng ke kanan menjadikan pelancung Eropah itu hampir-hampir terbabas.

Gayah yang masih bersiput babi dengan telefon mudah alihnya terus bercakap dengan lantang, melawan bunyi bising tv dengan enjin bot.

Tiba-tiba seorang petugas bot datang dan berdiri di sisinya.

"Minta maaf kak. Boleh kak cakap perlahan sikit. Kak cakap ni kuat sangat sampai ganggu orang lain."

Gayah dengan cepat menekan aerial telefonnya dan memasukkan ke dalam beg. Dia menarik muka masam.

"Kalau ada jambatan, aku tak ingin naik bot ni. Aku lebih senang bawa kereta aku!"

Para penumpang di depan, di belakang ketawa serentak.

Tidak lama bot pun sampai di jeti Kuah. Gayah awal-awal lagi melompat naik. Dia segera mengeluarkan telefonnya. Sambil dia bercakap, matanya

Mudah-mudahan antara yang ada tahu bahawa dialah salah seorang yang dikatakan jutawan baru kerana tiga bulan yang lalu tanahnya di pinggir bukit menjadi harga yang tidak pernah dimimpi dalam hidupnya. Dan telefon mudah alihnya adalah antara barangan yang paling murah di beli, maka kerana itu panggilannya pun bukanlah untuk sesuatu yang mustahak. Cerita III PAGI petang Junus mesti ada di jeti Kuah. Kalau lewat malam carilah Junus di Coffee House manamana hotel atau paling tidak di restoran called. Tapi selalunya di jeti Kuahlah kerana di situlah Junus akan dapat mengenali mukadimah manusia yang melompat dari bot.

Sekali bot berhenti, betapapun beberapa kali sehari, Junus cepatcepat mengeluarkan telefon mudah alih berjejal-jejal menuju ke teksi, Junus akan melangkah satu demi satu sehinggalah mendekati anak gadis itu dan kemudian Junus ketawa terkekeh-kekeh melalui telefon mudah alihnya.

Pagi itu jam sepuluh. Cahaya matahari belum lagi terik. Junus sudah ada di jeti. Dia memakai cermin mata hitam ala Magnum. Berseluar Jean dengan T-shirt belang merah jenama terkenal. Sebaikbaik saja bot pertama sampai, apabila penumpang berjejal-jejal naik ke jeti, Junus pun menarik aerial telefon mudah alihnya. Dia mendekati seorang lelaki yang berpakaian kemas, bertali leher. Di belakang lelaki itu dia pun bercakap melalui telefon mudah alihnya.

- You jangan bimbanglah. Semuanya I akan urus. Cakap saja berapa persen. Yang penting you  tenguk dulu gran tu, sahlah atau tidak. Kalau gran tu milik Bumiputera, senanglah kita berkira. Mereka tak banyak kisah. Sebut saja ratusan ribu, mereka tentu pening kepala. You jangan bimbang. Soal kelulusan kita ada orang dalam. Ini soal bisnes. Dalam bisnes tidak ada Melayu/Cina. Yang penting untung!

Lelaki berkaca mata hitam ala Magnum itu berpaling pada Junus lalu memberi senyum. Dia mengeluar sapu tangan dan mengesat peluh.

"Encik nak ke mana?"

"Tunggu kawan."

"Kereta?"

"Mau teksi special?"

Lelaki itu menarik lengan bajunya, melihat jam.

"Okey, boleh juga. Saya dah lewat."

Junus menekan button telefon mudah alihnya.

"Hallo teksi. Satu penumpang ke D' Lima. Segera!" laungnya dengan kuat seperti tidak bercakap melalui telefon.

Tidak sampai tiga minit sebuah teksi pun datang. Rupa-rupanya sekali keloi pun dengar tempat teksi itu. Lelaki itu hanya tersenyum.

Bila lelaki itu bergegas ke teksi. Junus segera mendapatkan lelaki itu. "Encik...encik menginap di sana?"

"Ya."

"Seorang?"

Lelaki itu tersenyum.

"Mau teman?"

Lelaki itu tersenyum. "Tak payah, saya takut dosa!" dan kemudian lelaki itu celapak masuk ke dalam teksi.

Junus terpinga-pinga. Kali pertama jawapan seperti itu didengarnya. Tapi keadaan tidak tamat di situ saja. Ketika ia terpinga-pinga itu, dua orang gadis yang berpakaian baju kurung, turun dari teksi dan mereka hendak ke tanah besar lagaknya. Dua anak gadis itu tidak segera masuk ke pelantar. Mereka terdiri di tepi pagar besi seperti menunggu kawan.

Junus pun melangkah satu-satu, sambil bersiul-siul. Sebatang rokok Malborro dinyalakan. Dua anak gadis yang berbaju kurung menyerangguh di jerjak besi, melihat air laut yang keruh berminyak. Kertas pembalut cokelat dilempar ke air.

Junus bersandar tidak jauh daripada dua anak gadis itu. Ekur matanya yang terlindung oleh cermin hitam, menjeling tajam. Dia mengeluar telefon mudah alihnya. Di tarik aerial dan menembab ke telinga.

- Hallo Ah Chong, kita punya BMW tu sudah siap? Apa, separt belum sampai? Aiyaaa....ini banyak susah kita mau pergi kerja. Lu bikinlah cepat sikit, o.k.?

Junus menekan button. Trut-tuttut tidak kedengaran pun. Dan kemudian Junus mengeluarkan kunkletor sebesar tapak tangan. Dia menekan-nekan mencari nombor telefon. Kemudiannya dia menekan pula button telefon mudah alihnya.

- Hallo...haaa, Junus di sini. Ehh, you tunggu I trip bot ini tau. Ya...I nak ke KL dengan flait pukul tiga. You boleh hantar I ke airport tak? Ala you....please....o.k....o.k....I naik bot ini juga. You mesti tunggu....bey!

Dua gadis yang menjenguk ke air memerhati Junus dan kebetulan waktu itu juga Junus melihat. Junus memberi senyuum dan entah tuah apa, dua gadis itu pun senyum.

"Nak ke mana?" tanya Junus sambil membuka kaca mata hitamnya.

"Ke seberang."

"Ohoooo, kebetulan. Saya pun nak ke seberang. Bolehlah kita bersama."

Anak gadis yang sedikit kurus memalingkan mukanya ke laut tapi yang seorang lagi mengorak senyum juga.

"Kerja di seberang?"

"Tak....nak ke rumah kakak."

"Dah ambil tiket?"

"Belum."

"Kenapa?"

Gadis itu tidak menjawab. Dia berpaling ke lain. Tiba-tiba kawannya membisik ke telinga.

Junus yakin bisikan itu meminta persetujuan untuk membenarkan ia dapat ikut bersama. Alangkah bertuahnya jika pelawaannya diterima.

Tiba-tiba yang sedikit kurus itu berkata, "Errr saudara, boleh pinjam telefon sekejap. Saya nak telefon kakak suruh tunggu di seberang!"

Junus jadi teragak-agak. Apakah ini satu dugaan atau satu penghinaan. Tidak pernah berlaku sebelum ini baik pagi atau petang. Dan ketika ia teragak-agak hendak memberi telefon mudah alih kesayangannya itu, dan ketika yang meminta itu hampir memegang, tiba-tiba kawannya menepis kuat tangannya.

Telefon mudah alih terpelanting dan jatuh ke dalam air. Yang me minta jadi pucat masai. Gugup dan takut. Manakala Junus tergamam.

"Heee, Minah! Cuba tenguk telefon tu, kenapa timbul dan hampong. Macam plastik nampaknya!" kata yang menepis tadi.

Dan ketika mereka berpaling hendak bertanya, mereka dapati yang bernama Junus tidak ada lagi. Jauh di tempat teksi, mereka nampak pemuda yang bernama Junus menyelit-nyelit di celah kereta menghilangkan diri.

Mereka senyum sama sendiri bila melihat telefon mudah alih itu terapung- apung hanyut di bawa air yang keruh.

Sunday, April 19, 2015

Rastafarian

Oleh Zainal Rashid Ahmad

PLUP!

Barangkali itu bunyi buntalan sepi yang jatuh di gigi air, atau percikan sisa cahaya matahari yang menerpa lewat liang-liang kecil yang tercipta dari kejarangan daun-daun pohon semarak. Bunga-bunga lalang mengerbang sayu diseksa angin, dan sesekali geraknya seperti mengirim kilasan makna yang cuba memperlihatkan sesuatu - tujahan kengerian yang meronto-ronta di sebalik kesunyian waktu.

Inilah keajaiban daerah separa asing yang selama ini membelah kesatuan hidupnya. Dia seorang pemuda yang memilih keterasingan di tengah-tengah keriuhan duniawi. Di kepalanya yang kusut itu selalu saja menyala sebutir lampu kepercayaan tentang betapa indera rahsiawi akan sentiasa akrab untuk menggerakkan sahsiah kewujudan manusia.

Sepanjang tujuh tahun lamanya, kesedaran yang aneh itu tersimpan kukuh di dalam jiwanya, dan selama itulah juga dia tekun belajar bagaimana untuk menterjemah bunyi yang mengalir di sekitar dirinya. Baginya, bunyi angin tak perlu lagi dihafal lewat pendengaran, tapi cukup melalui gegaran bulu- bulu roma; galak dan galau cahaya perlu diraba arah dan warnanya dengan kehalusan jari-jari, bagi menemukan erti sinarnya.

Nama lelaki yang serba asing ini ialah Rans. Suatu bibit penggilan yang dia sendiri kurang mengerti akan maknanya. Tapi kerana dia sentiasa percaya bahawa nama bukanlah satu hakikat yang khusus bagi mengandaikan erti kewujudan manusia, maka kekeliruan persoalan itu tak diperdulikannya. Malah disingkirkannya jauh-jauh dari petak fikirnya.

Rans pencinta sepi - lelaki yang menyebatikan hidupnya secara tekun dan wajar pada apa yang selama ini dibahasakan manusia sebagai kehambaran dan keterbuangan dari kehidupan yang sejati. Tapi dia tak peduli, kerana tiap yang berdenyut di dalam sepi sentiasa dihitungnya sebagai nafas dan nadi syurgawi.

Plup! Titik air jatuh lagi, kali ini melalui lubang-lubang kecil yang ternganga di celah atap nipah pondok buruknya. Di luar, hujan mulai renyai-renyai. Geselan titisnya yang mencumbui daun-daun jambu kedengaran sayu dan ngilu.

Bunyi itu seakan-akan sedang menghantar nada bisikan dari keluhan jantung seribu warna sunyi yang berdenting di hujung jalan yang entah di mana. Rans percaya, kelentingan itu adalah suara yang tercipta dari keriutan tulang-tulang hayat yang wujud di sekitar dunia keterasingannya.

"Hei! Dengarkah kau akan suara sayu yang dikirim oleh sunyimu?" Kata suatu suara di dalam kepalanya.

Rans tersenyum, antara rasa lucu dan berhiba.

Epilog I DUA puluh tujuh ekor gagak putih terbang di halaman dengan decitan yang aneh. Suara mereka kedengaran garau dengan dengungan yang panjang dan dalam. Di kaki langit, matahari bersembunyi di balik mega tebal yang kemerahmerahan. Terjahan cahayanya yang kekuning-kuningan itu nampak berbalam-balam dilitupi awan larat yang berarak lelah.

Epilog II MALAM turun perlahan sambil melebarkan warna gelapnya. Bulan memancarkan sinar suramnya dan bintang-bintang berkenyitan dari balik kehitaman cuaca. Rans masih tenggelam sendirian di dalam belenggu kesendiriannya sambil sesekali memandang ke langit untuk melihat wajah malam.

Dia seakan-akan cuba mencari kelapisan maksud yang ditemuinya dari kehadiran dua puluh tujuh ekor gagak putih itu, tapi segalanya masih samar-samar dan saling bersimpang-siur dengan pelbagai jelmaan tafsiran.

Di dada bulan yang murung dia melihat semula gambaran peristiwa yang aneh itu. Bagaimana daun-daun jatuh berguguran di setiap kawasan yang dilintasi kawanan gagak putih itu.

Bunga-bunga lalang merunduk gementar bagaikan dipanah ketajaman mata burung-burung itu. Dan dia sendiri merasa seperti dibawa terbang pergi bersama-sama kawanan unggas-unggas aneh.

"Alangkah.... betapa sulitnya rahsia yang dibawanya kali ini," rungut Rans sendirian.

Bau bunga-bunga kenanga terasa menusuk masuk ke rongga nafasnya; harum dan dingin. Jauh di dalam sukmanya, Rans dapat merasakan akan adanya sejenis rasa keterharuan yang amat memilukan. Dunia terasa beransur menghilang sedetik demi sedetik dari matanya, dari jangkauan langkahnya dan kemudian perlahan-lahan luput dari sentuhan kewujudannya.

Angin yang bertiup bersama gerimis senja kala itu dinikmatinya bagaikan aliran tempiasan salju dari syurga. Dirinya kini bagi melayang-layang melintasi sebuah padang permainan yang subur menghijau, dan di hujung tempat itu dapat dilihatnya sebaris pohon kemboja yang segar menghijau dengan kelebatan bunga-bunganya yang putih mengharum.

Rans tersenyum sendirian dan beberapa detik kemudian di sudut matanya mengalir beberapa titis air. Malam semakin sepi dan kegelapan menghanyutkan segalanya ke lubuk malam yang paling jauh.

Plup...

Bunyi lantunan air yang jatuh dari celahan atap yang bocor bergema lagi. Ruang kamar yang sentiasa dibaluti kesunyian itu kini terjaga dari tidurnya.

"Ah! Terkadang bunyimu bagai bisik malaikat dari syurga," bisik hati kecil Rans lagi.

Epilog III

ARUS sungai mengalir laju. Dalam kelebatan hujan, limpahan air yang keras dan deras itu menghanyutkan tebing sungai, dan lama kelamaan, rahang dan dada sungai semakin luas. Di tengah sungai, aliran airnya yang laju itu memukul-mukul jejeran batu-batu yang bersusun panjang merentasi sungai. Deburnya mengapung tinggi, buih-buih liar yang bagaikan apungan kapas kelihatan menggelepar; lapar dan marah.

Rans masih berdiri kaku di bawah pohon kemboja yang tumbuh subur tak jauh dari tebing sungai. Dalam kelebatan hujan dia memandang kaku pada bedalan air yang mengamuk di tengah sungai. Matanya yang kecil dan bening itu kelihatan kaku dan membeku, seolah-olah sedang menyaksikan sesuatu yang selama ini tak pernah dialaminya. Pemandangan yang ngeri tapi kesannya amat indah sekali.

Tiba-tiba nafasnya tersentak; bibirnya yang sejak tadi kelu dibalut kedinginan hujan kini terkiut-kiut bagaikan sedang membisikkan sesuatu. Di tengah amukan arus sungai, dia terlihat tubuh seorang lelaki yang terkonyong-konyong kelemasan. Nafas tersentap dan dia merasa seperti dia sendiri pula yang sedang hanyut kelemasan.

Rans berlari sepantas mungkin menuju ke tebing sungai, tapi dia terperanjat kerana semakin dihampirinya tebing sungai itu, dirasakannya sungai itu semakin menjauh. Tapi rasa simpati terhadap lelaki yang sedang kelemasan itu membuatkan dia terus mencuba. Lama kelamaan dalam serba tersiksa dia berjaya menghampiri tebing sungai itu lalu dengan payah matanya liar mencari lelaki yang dilihatnya terkapai-kapai tadi.

Setelah berulang-alik beberapa kali di sepanjang tebing sungai itu, akhirnya ditemui lelaki tersebut sedang meronta-ronta di muka air. Segera dia  menghulurkan tangannya dan penuh seksa dia cuba menarik pergelangan tangan lelaki tersebut. Setelah hampir kelemasan ditimpa percikan arus akhirnya tangan lelaki itu berjaya disambarnya.

Rans menarik lelaki itu ke atas tebing dan mula menekan-nekan perutnya yang digelembungi air. Ketika lelaki itu tersedar dan membuka kelopak matanya barulah Rans sedar bahawa dia dan lelaki itu mempunyai raut muka yang serupa. Epilog IV "SEPI sedang mengalir di dalam darahmu!" Seru satu suara dari dalam dadanya.

"Ya... sepi sedang membuntingkan dukanya di mana-mana," jawab Rans, hiba.

"Kalau begitu, bawalah sepimu ke syurga," tegas suara itu lagi.

Rans tersenyum, dan tak lama kemudian dia tertidur di atas tanah yang selama ini menjadi lantai pondoknya. Sepanjang malam dia tersedu-sedan di dalam mimpinya. Di sana, dia bertemu lagi dengan kumpulan dua puluh tujuh ekor gagak putih yang berdecit garau itu. Hingga ke pagi dia menangis tanpa henti-henti. Epilog  V APABILA dia terjaga dari lena panjangnya, mata hari sudah lama tegak melurus di dada langit. Bahasanya merebak masuk bersama silau cahaya yang berpinar-pinar. Rans bangun lalu berjalan ke tingkap sambil mengibas- ngibas lekatan selut di bahagian punggung seluarnya. Setelah menanggalkan debu-debu tanah yang melekat di rambutnya, Rans mula membacakan sebaris demi sebaris puisi yang diterjemahkannya dari nyanyi burung-burung gagak putih yang ditemui dalam tidurnya:

Katak melompat dari sebuah kolam  yang keruh

lalu bersatu dengan keharuman bunga  lalang

kepakku adalah genta angin dari padang saujana

suaraku adalah bisik yang meratip  demi rindunya

tidurku sebentar lagi akan lena...tidurku....

aaa......aaa....aaahhh!

Plup! titik air jatuh lagi, kali ini dari sudut matanya.

Epilog VI "KETERASINGAN adalah jalan pertama untuk belajar mencari erti rahsia," bisik suara hatinya.

Rans masih berdiri kaku melihat gumpalan mendung hitam yang berarak lelah dari ufuk langit barat. Bulan menghilang entah ke sudut barat mana. Barangkali dilemparkan angin ke hujung kaki langit. Bunyi kiutan ranting- ranting jambu yang tumbuh berhampiran pondoknya kini kedengaran jelas; bagaikan meratibkan sesuatu yang barangkali akan turun bersama deru hujan malam. Dari dalam kegelapan kedengaran suara guruh menderam bagaikan anak singa yang sedang kelaparan.

"Betapa aneh kau wahai sang guruh. Suaramu selalu keras dan angkuh, namun tetap memperdengarkan segala yang bernama kejujuran," detak hatinya lagi.

Rans terus bermenung lesu menatap gambaran langit yang gelap membeku. Dan terkadang tunak matanya kelihatan dalam dan tajam seakan-akan sedang digoda oleh bayangan-bayangan yang aneh.

Jauh di dalam jiwanya terbetik segala macam kerinduan yang selama ini tak pernah dibayangkannya. Dia rindukan sepasang sutera putih dan di sisinya menyala dua puluh tujuh butir lantera purba yang bersinar pudar. Dia merasa seperti akan berangkat pergi ke suatu dunia fatamorgana yang jauh tapi sudah sekian lama akrab di dalam rohnya. Dia mimpikan sebuah rumah kecil yang indah dan tenang. Di sana, diketemuinya makna sunyi yang paling berharga.

Hujan mulai turun berhamburan. Titiknya melebat dan angin menyerapkan wap dinginnya yang menikam kehijauan daun-daun. Petir menyintak di dada langit; merah menyilau menyilang kegelapan malam. Bintang-bintang lenyap tanpa kerdipnya lagi. Segalanya hampir memaknakan sesuatu, dan Rans dapat menanggapi akan semua ini.

"Alangkah... inikah gemamu yang paling abadi?" Tanya Rans antara sedar dan tidak.

Setelah simpang-siur fikirannya melayang jauh dari suatu sudut ke suatu sudut yang bertindih-tindih, Rans merasa lelah sendirian. Kelopak matanya yang tegang dan lelah itu mulai digayuti rasa kantuk yang amat sangat. Setelah beberapa kali menguap, dia pun membaringkan tubuhnya yang kurus melidi itu di atas permukaan tanah yang mulai berair digenangi limpahan hujan. Dalam tidurnya dia tersenyum panjang.

Epilog VII DENGAN sepasang sutera putih dia terbang di langit dengan diiringi sekumpulan dua puluh tujuh ekor gagak putih. Dia sedang menuju ke sebuah negeri jauh yang paling sunyi sekali.

Friday, April 17, 2015

Episod lain sidang Rio

Oleh Mohd Kasim Mahmud

"ANDA dari mana?" Dia menyoal sebaik-baik saja melabuhkan punggung nya di hadapanku di restoran itu.

"Dari Malaysia," balasku pendek.

"Malaysia?" Suaranya tinggi semacam terkejut.

Aku mengangguk.

"Ah, perwakilan negara anda di sidang ini amat lantang. Penuh emosi. Tidak banyak pandangan dari negara kami yang dapat mereka terima."

"Err, sebelum saya buat sebarang komen, boleh saya tahu anda dari mana?" Aku menyoal. Mata birunya kutenung tajam.

"Dari Amerika. Macam anda, saya juga orang surat khabar," dia menjelaskan.

"Ooooo, dari Amerika. Jadi saya tidak hairan kalau anda berpandangan begitu terhadap kami dari negara-negara Selatan. Bukankah antara Utara dan Selatan saling bercakaran di sini?"

Dia terkejut. Dahinya berkerut. Mungkin dia tidak menduga aku akan berkata demikian. Kemudian dia cuba tersenyum walaupun dapat kukesani senyuman itu sengaja dibuat-buat.

"Benar kata anda. Antara Utara dan Selatan saling bertelagah dan bercakaran. Bukan saja dalam soal alam sekitar seperti di Rio de Janerio ini, malah dalam soal ekonomi juga. Kami negara-negara Utara sebenarnya mempunyai peranan dan tanggungjawab besar terhadap negara-negara Selatan khasnya, dunia umumnya," dia bersuara penuh yakin.

"Ha ha ha," ketawaku meledak. Semua yang ada dalam restoran itu melemparkan pandangan tajam ke arah kami.

Lelaki Eropah itu merenung wajahku dengan penuh minat sehingga aku tidak dapat mentafsirkan apakah kerana dia tersinggung atau berasa anih dengan gelagatku.

"Mengapa anda ketawa? Macam ada yang melucukuan," nada suaranya seakan memprotes.

"Ya. Memang lucu," balasku.

"Tentang apa?"

"Tentang peranan dan tanggungjawab yang anda katakan itu," aku menjelaskan sambil menyudahkan saki baki ketawaku.

Perbualan kami terhenti seketika. Seorang pelayan datang bertanyakan minuman yang kami mahu. Aku memesan segelas fresh orange. Lelaki itu memesan bir.

"Teruskan," pintanya, merenung mukaku penuh minat. Aku tidak segera mengeluarkan suara. Di fikiranku berperang dua pertimbangan sama ada mahu meneruskan perdebatan yang baru bermula itu atau tidak.

"Begini," ujarku setelah membuat keputusan sedia melayani segala gelagat orang Eropah di hadapanku.

"Maaf kalau saya katakan bahawa Utara hanya berminat memenuhi kepentingan mereka saja. Mereka tak akan berbuat sesuatu yang hanya menguntungkan orang lain sedangkan mereka sediri tidak dapat sebarang faedah. Lebih-lebih lagi jika jelas tindakan itu merugikan mereka. Oleh itu soal peranan dan tanggungjawab tidak timbul sama sekali. Bagaimana?"

"Cukup!" Tiba-tiba dia mencelah. Nada suaranya keras.

Aku diam, tetapi belum dapat mengawal diri. Aku menyedut minuman yang baru diletakkan oleh pelayan cantik sambil merenung ke dalam mata biru lelaki itu. Aku dapat melihat ada api mulai menyala dalam matanya.

"Ah, nampaknya anda tidak dapat menerima hujahku. Atau apakah anda sengaja menyembunyikan kebenaran?" Soalku pula, selamba.

Lelaki Eropah itu tersentak sekali lagi sehingga bir yang berbusa dalam mulutnya hampir tersembur keluar. Dia segera meletakkan semula gelas bir itu.

"Itu bukan persoalannya. Bukan. Yang menyinggung perasaan saya ialah anda menuduh tanpa bukti."

"Tanpa bukti?" Aku sengaja meninggikan sedikit suara. Aku sedar kelopak mataku juga terbuka agak luas.

"Ya."

"Okey, kalau begitu saya akan buktikan. Cuba anda lihat semasa persidangan di Rio ini. Negara-negara maju termasuk negara anda lebih banyak menyalahkan kami tentang kemusnahan hutan. Kononnya kami tidak menguruskan hutan kami dengan baik. Kami dituduh...."

Tiba-tiba dia memotong: "Tidakkah anda tahu betapa pentingnya hutan dalam menyerap gas karbondioksida yang semakin meningkat peratusnya di atmosfera? Tidakkah anda tahu bahawa gas itu bersama-sama dengan gas-gas rumah hijau yang lain telah meningkatkan suhu dunia? Dan jika ini tidak dikawal, ia akan menyebabkan gangguan kepada ekologi, perubahan cuaca yang melampau, menjejaskan kesihatan manusia dan manusia akhirnya akan terpanggang oleh bara kesengsaraan. Tidakkah awak tahu itu semua?"

Sekali lagi aku cuba bertenang dan mengumpul kekuatan. Aku tidak mahu berhujah terburu-buru tanpa pertimbangan dan penuh emosi. Aku menyedut minuman dan kemudian kembali menatap wajah lelaki itu. Bibirnya yang nipis terletak di antara hidungnya yang panjang. Dagunya yang tirus itu mengukir senyuman puas. Barangkali dia sedang diulit rasa kemenangan.

"Baiklah, saya akui segala hujah anda itu. Pemanasan atmosfera telah menyebabkan berbagai gangguan kepada ekologi. Di sesetengah negara seperti Bangladesh, banjir luar biasa melanda dan di sesetengah negara lain seperti negara-negara Afrika, kemarau berterusan. Langit mereka kosong dan penduduknya sentiasa rindukan tompok-tompok awan kerana ia menonjolkan bayang-bayang hujan. Hal itu semua orang tahu, tak usahlah nak kita besar- besarkan.

"Persoalannya sekarang ialah siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab melepaskan sedemikian banyak gas-gas rumah hijau itu ke angkasa? Cuba anda jelaskan. Adakah dilakukan oleh negara-negara selatan yang rata-ratanya negara pertanian atau negara-negara utara yang ekonominya berorientasikan perindustrian?"

"Ah, anda terlalu beremosi," kata lelaki Eropah itu lagi. "Tapi saya tidak hairan. Perwakilan-perwakilan selatan lebih banyak bermain emosi di sini. Lagipun anda keturunan Melayu bukan? Saya pernah terbaca tentang sifat bangsa anda yang hidup penuh emosi. Kadangkala emosi itu menjadi tidak terkawal sehingga menyebabkan mereka melakukan amuk".

Aku menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatiku berdetik kata-kata bahawa orang Eropah di hadapanku ini tidak akan mahu mengakui kebenaran. Nampaknya dia hanya ingin bermain-main dengan fakta yang sengaja diputar- belitkan. Dan paling menyinggung perasaanku sewaktu dia menuduh kononnya bangsa Melayu suka bermain dengan emosi dan melakukan amuk.

Lelaki Eropah itu masih juga merenungku sambil mengukur senyuman kemenangan. Barangkali dia sedang menunggu-nunggu jawapan selanjutnya atau barangkali seribu hujah baru sedang meronta-ronta dalam kepalanya menunggu masa untuk memerangkapku.

"Saya berani katakan bahawa anda sebenarnya tidak jujur dalam perbincangan ini," suaraku perlahan.

"Maksud anda?" Dia meminta penjelasan.

"Persoalan utama di sini bukan soal bangsa Melayu atau soal amuk kerana sifat itu adalah universal. Adakah bangsa-bangsa lain di alam ini terlepas dari sifat-sifat itu? Cuba anda katakan".

"Er, maafkan saya. Mungkin saya terkasar," ujarnya tanpa dapat kupastikan sama ada ikhlas atau tidak. "Anda perlu rokok?" Sambungnya sambil menghulurkan sebatang rokok kepadaku.

"Oh, tidak. Saya tidak perlu rokok saat ini. Nampaknya anda masih juga kekal dengan sifat orang Eropah yang suka menghulurkan umpan bagi menjerat lawan. Apabila lawan terjerat, mereka akan membuat pukulan maut. Tapi jangan anda fikir saya mudah diperdayakan begitu."

Sekali lagi lelaki Eropah itu terkejut. Dia mengisar punggungnya. Kegelisahan mulai terbayang pada wajahnya. Kemudian dia bersuara antara kedengaran dengan tidak, "Anda juga seperti pemimpin Malaysia. Lantang dan berani. Adakah orang Malaysia kini sudah diasuh sedemikian?"

Perkataan terakhir yang keluar dari mulutnya kurasakan sebagai satu kesempatan yang tak harus kulepaskan. Dia seolah-olah secara tidak sengaja tergelecek bola di kakiku di hadapan pintu golnya yang ternganga. Dan amat bodohlah aku jika tidak mencecahkan bola itu ke jaring.

"Ah, nampaknya anda masih lagi bermimpi. Kami ini adalah satu bangsa Malaysia yang progresif dan dinamik. Kami sedang bangkit dari runtuhan masa silam dan sedang bergerak pantas menuju era kejayaan. Malah kami yakin, kami akan memintas bangsa Eropah pada satu titik kerana kami melangkah ke hadapan tanpa meninggalkan nilai-nilai moral dan etika," aku membidas keras.

"Maksud anda?" Dia meminta kepastian.

"Kami ingin mencapai kemajuan dengan mental yang sihat, bukannya meraih kemajuan dengan menyisih nilai-nilai kehidupan dan budaya yang murni. Kami tidak mahu menjadi seperti bangsa Eropah yang maju tetapi sakit."

"Ha ha ha," gilirannya pula tertawa. Semua mata di ruang itu memandang ke arahnya dengan kehairanan. Ketawanya lama dan berleret-leret. Aku tetap memerhatikan gelagatnya itu.

"Kata-kata anda sungguh melucukan," getusnya setelah tawanya reda.

"Melucukan?"

Dia mengangguk.

"Kenapa?"

"Bagaimana satu bangsa yang kononnya mementingkan moral dan nilai budaya yang murni, melakukan pembunuhan?"

"Pembunuhan?" Aku benar-benar terkejut dan tidak mengerti.

"Maksud anda?"

"Undang-undang anda menetapkan pengedar dadah digantung. Tidakkah itu tindakan gila dan tidak bertamadun?" Bidasnya sambil mengukir senyuman sinis.

"Jadi, anda mahu kami biarkan orang yang tidak bermoral itu hidup? Apa anda fikir kami harus membiarkan mereka sewenang-wenangnya menjahanamkan belia-belia kami sehingga setiap ruang dipenuhi oleh bangkai-bangkai bernyawa? Apakah anda fikir kami akan biarkan mereka akhirnya menjadi satu tenaga yang kuat sehingga boleh melumpuhkan jentera pentadbiran negara? Kami tidak mahu menjadi seperti negara Colombia suatu waktu dulu".

Lelaki Eropah itu terperangkap. Ada kelainan pada warna di wajahnya. Dia terdiam seketika. "Negara anda juga membunuh orang-orang Penan."

Hujahnya yang terakhir itu sedikit pun tidak mengocak kolam hatiku. Soal pembunuhan yang kononnya dilakukan ke atas orang Penan itu memang menjadi bualan hangat di sidang Rio.

"Sayang sekali, orang dari negara maju begitu mudah diperbodohkan. Boleh saya tahu, dari sumber mana anda menyaksikan gambar pembunuhan itu?" Aku cuba memerangkapnya.

"Gambar? Mana ada gambar pembunuhan itu."

"Habis, kalau tidak ada gambar, bermakna tidak ada bukti. Sudah saya katakan, ternyata orang Eropah telah diperdayakan," kali ini giliranku pula tersenyum sinis.

Sekali lagi lelaki Eropah itu terperangkap. Dia terdiam beberapa ketika. Tak lama kemudian dia bersuara, "Anda tentu kenal Bruno Manser, bukan?"

"Lelaki tidak itu bermoral dan tidak beradab itu?" aku menyampuk segera. "Wajarkah anda mempercayai laporan seorang yang menceroboh masuk ke negara lain secara paling tidak bermaruah?" Kali ini aku sengaja menguatkan suaraku sambil menjongkokkan sedikit kepala ke arahnya.

"Okey. Cukup, cukup. Kita kembali kepada soal hutan. Malaysia sebuah negara yang ganas kerana memperkosa hutan tropika semahu-mahunya."

"Sekali lagi anda tersilap. Kami juga tahu kepentingan hutan dalam pelbagai aspek. Memang kami menebang hutan untuk pembalakan. Tapi kami juga mengamalkan silviculture dengan menanam pokok-pokok baru. Kami juga memelihara kawasan hutan simpan."

"Tetapi negara anda juga tidak mementingkan flora dan fauna," dia memintas.

"Ah, apalah gunanya kita bercakap soal flora dan fauna. Tentang soal kepelbagaian tumbuhan dan haiwan sedangkan negara anda dari awal-awal lagi menolak perjanjian biodiversity. Saya rasa negara anda perlu betulkan dulu hal ini, baru anda layak bercakap soal kepelbagaian tumbuhan dan haiwan," bidasku lagi.

Aku tahu, ada bunga-bunga kemenangan berkembang dalam dadaku.

Lelaki Eropah di hadapanku diam. Wajahnya kemerahan, barangkali menahan marah. Kesempatan itu ku ambil untuk terus mengasaknya.

"Kami negara-negara selatan perlukan pembangunan untuk survival. Kalau tidak bagaimana kami mahu hidup? Tapi itu bukan bermakna kami tidak hiraukan soal lapisan ozon yang terkoyak atau..."

"Cukup!" Tiba-tiba dia memekik, sekaligus menghentak meja dengan penumbuknya. Hentakan itu begitu kuat. Gelas-gelas atas meja bergoyang. Dia terus menepis gelas bir di atas meja di hadapanya. Gelas itu terpelanting jauh dan jatuh berkecai di lantai.

Suasana menjadi gempar. Semua mata melempar pandangan ke arah kami. Dan sewaktu lelaki Eropah itu kelihatan semakin liar, beberapa lelaki menerpa ke arahnya dan memegang kedua-belah tangannya. Dia meronta-ronta ingin melepaskan diri.

Aku tetap tenang. Kesabaranku bulat. Aku merenung tepat ke dalam matanya. Kemudian aku menjongkok sambil bersuara perlahan kepadanya, "Sayang sekali, bangsa Eropah kini semakin hanyut dalam emosi. Dan apakah anda mahu melakukan amuk?"

"Diam!" Dia membentak keras sambil terus meronta-ronta.

Tiba-tiba di celah-celah keributan itu, muncul seorang lelaki yang amat kukenali sebagai salah seorang perwakilan dari sebuah negara maju di sidang Rio. Dia menepuk-nepuk bahu lelaki yang cuba mengamuk itu sambil bersuara lembut, "Kau silap. Dia orang Malaysia. Orang Malaysia kini bukan saja lantang di Kuala Lumpur tetapi juga di mana-mana sidang dunia. Mereka sentiasa menyatakan kebenaran."

Aku berpaling dan kemudian beredar perlahan dari situ. Puas.

Wednesday, April 15, 2015

Confidente

Oleh A R Kamaludin

TAN Sri Alimansor letak tangan kanannya ke bahu kiri abah, seolah-olah melarangnya daripada bangun, tapi abah mengagah-agah juga bangun, sambil tersenyum.

"You rehatlah, Datuk," kata Tan Sri, lembut. Abah cuba lebarkan senyumannya.

Aku memerhatikan Puan Sri Khalila keluar dari ruang dalam bersama emak. Sesekali emak mengangguk apabila Puan Sri berkata sesuatu sambil mengepit tas tangan hitamnya buatan Peranchis. Abah melambai lemah ke arah Puan Sri yang berjalan menuju ke arah suaminya di muka pintu.

Ketika Mercedes 350 hitam membawa Tan Sri dan Puan Sri keluar meninggalkan pekarangan kediaman kami, sebuah Mercedes 350 merah masuk, diikuti sebuah lagi Mercedes 300 biru air laut.

Aku menerpa ke ruang dalam bila mendengar telefon berdering. Seperti ku duga, Sofia yang menelefon.

"Betul," kataku menjawab pertanyaan Sofia. "Tapi sekarang, shukurlah, dia dah okey. Abah pun tak apa-apa."

"High bloodnya tak apa-apa?"

"Nampak tak apa-apa. Cuma macam shocked, terkejut sikit."

"Tugas belum beres lagi. Subuh nanti ke Dublin, fasal daging lembu itulah," kata Sofia. Suaranya macam tidak bermaya. "Tak apa ke kalau Fia tak balik?"

"Tak apa. Nanti abang beritahu emak. Elok habiskan kerja dulu."

Sofia sebenarnya sebelum itu sudah bercakap dengan abah dan emak sebelum aku sampai. Kata emak, abah sudah beritahu dia jangan balik sehingga semua kerja selesai. Abah tidak mahu urusan di sana terganggu. Kata abah, kalau terganggu nanti susah. Kecoh. Abah tidak suka begitu. Nanti kepercayaan orang terjejas.

Emak juga sudah beritahu Sofia keadaan abah. Dia selamat dan tidak perlu tinggal di pusat rawatan. Di rumah saja memadai. Dr Fadzil kata, lebam di rusuk kiri abah akan hilang dalam masa tiga atau empat hari.

"Abang bagi tahulah adik beradik di kampung. Pak Uteh, Anjang, Ucu Doyah," Sofia mengingatkan.

"Okey, semuanya sudah," aku berbohong. Abah tidak mahu siapa pun tahu. Pesannya pada emak, jangan hebohkan hal itu. Nanti banyak soal pula mereka nanti. Bila ada masa nanti, beritahulah. Dari kampung sehari suntuk baru sampai. Lagi pun, tidak ada apa yang patut dihebohkan. Dia selamat.

"Kirim salam pada Dr Fadzil," kata Sofia mengakhiri bualan. Aku senyum.

Pada ketika-ketika begini timbul rasa belasku terhadap abah. Dia lelaki yang tidak pernah kenal erti kalah dalam apa juga cabaran walaupun usianya sudah menjangkau 72 tahun.

Aku sedar, abah tentunya masih amat tersinggung dengan sikapku dulu. Aku masih ingat, suaranya yang tinggi dan mengejutkan itu cukup jelas mencernakan kemarahannya. Dan ketika dia mencampakkan cermin matanya ke meja, aku sudah tahu dia cukup marah.

"Kalau you sudah tidak ada kerja, tak ada apa-apa lagi nak cakap, tak ada apa lagi nak buat di rumah ini, baliklah. Jangan ganggu abah." Suaranya tinggi.

Ketika berjalan meninggalkan aku sendirian di bilik studinya, abah sempat menyepak daun pintu almari kecil di situ yang ternganga. Kuat bunyinya. Dia menghilang entah ke mana kerana selepas itu aku tidak mahu mengambil tahu. Perasaanku juga sebenarnya sedang membungkam.

Mengingat semua itu aku perlahan-lahan meletakkan gagang telefon, sambil mendoakan adikku selamat di perantauan. Serentak itu suara kawan-kawan abah, kebanyakannya tokoh-tokoh korporat dan pemimpin-pemimpin pelapis yang semakin ramai di ruang depan.

Dari jauh aku melihat Datuk Bidin, Datuk Sobri, Datuk Seri Chua, Datuk Seri Wahab, Megat Anjang Dewa, Tan Sri Thilli, Puan Sri Bedah, Datin Hanizam, Dr Maznah, Dr Azizah dan beberapa lagi yang aku tidak kenal. Tan Sri Jalil bercekak pinggang sambil membetulkan talilehernya.

Mereka semua berdiri mengadap abah yang berkain pelikat dengan baju teluk belanga terhenyak di kerusi empuk. Abah sesekali menggeleng- gelengkan kepala.

Sebentar kemudian sebuah kereta ronda polis masuk ke pekarangan kediaman kami. Seorang pegawai tinggi polis keluar dan segera menapak perlahan ke arah anjung banglo kami. Sesekali dia melihat ke arah kereta-kereta mewah di halaman.

Di luar cuaca sudah mulai gelap. Tirai senja semakin cepat berlabuh manakala mulut malam mula terbuka. Dari banglo RM7 juta kami di atas Bukit Cemara ini aku melihat kegemerlapan lampu-lampu neon ibu kota rancak melukis keindahan Kuala Lumpur. Angin lembab hujung November yang bergerak malas turut membawa bersamanya debu-debu dan kelodak kimia. Suara kudus azan dari Masjid Negara dan surau berhampiran kawasan ini begitu mencuit peraasaan.

Dan aku tinggalkan perhatian terhadap abah serta rakan-rakannya untuk masuk ke bilik sembahyang yang lengkap dengan paip air untuk berwuduk.

Aku sebenarnya tidak menduga abah akan menghadapi nasib yang menimpanya pagi tadi. Abah dan emak pun, aku kira, tidak menduganya. Namun, aku tidak terkejut apabila emak menelefon aku memberitahu kejadian itu.

Bagiku, orang macam abah, pasti kena. Kalau tidak hari ini, esok. Kalau tidak di sini, mungkin di tempat lain - Ipoh, Pulau Pinang, Johor Bahru atau di mana saja. Mungkin di tengah jalan.

Bukan mustahil juga dia kena di luar negara - London, New York, Tokyo, Seoul, Bangkok, Paris, Singapura, Jakarta, Washington dan di merata kota lain. Bukan mustahil. Dan abah mesti bersedia menerimanya. Demikian hakikatnya.

Betul, abah ada bodyguard. Tapi, kejadian pagi tadi membuktikan kehadiran pengawal peribadi, walau macam mana besar, kuat dan sasa sekalipun tubuhnya, tidak bermakna apa-apa.

Namun, Maniam yang sudah enam tahun bekerja sebagai bodyguard  abah teruk kena belasah - di pipi, pinggang, lengan, dahi dan kaki kirinya. Dia terpaksa dirawat di klinik swasta. Pakcik Botok, pemandu kereta yang abah naiki pagi itu, juga cedera dan dirawat di klinik yang sama.

Bagaimanapun, aku bersyukur kehadzrat Ilahi kerana abah selamat. Tuhan masih sayangkannya dan kami semua. Nasib abah cukup baik kerana ketika kejadian berhampiran jalan utama Subang-Sungai Buluh itu secara kebetulan trak tentera lalu. Ketika tiga lelaki itu bergelut dengan Maniam setelah salah seorang daripada mereka memukul kepala Pakcik Botok, abah yang dalam keadaan terkejut, gagah keluar dari kereta dan cuba lari.

Trak tentera berhenti ketika seorang daripada lelaki itu mengejar abah yang terus memekik sambil melambai-lambaikan tangan ke arah trak. Melihat keadaan itu ketiga-tiga lelaki itu melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Saga putih sebelum melepaskan sedas tembakan ke udara.

Menurut polis, ketiga-tiga lelaki itu mungkin bertujuan mencolek abah dan kemudian menuntut wang tebusan. Walaupun kali ini gagal, ini tidak bermakna mereka tidak akan berusaha lagi. Abah kena hati-hati.

Kata polis lagi, Proton  Saga yang diguna penjenayah-penjenayah itu dilaporkan dicuri di tempat letak kereta sebuah pasaraya mewah Bukit Bintang beberapa jam sebelum kejadian. Nombor platnya juga dipalsukan.

Seperkara yang membimbangkan aku ketika keluar dari bilik sembahyang maghrib itu ialah kemungkinan kejadian yang menimpa abah hari itu akan menjadi bahan utama akhbar, radio dan telivisyen esok, sedang abah sendiri tidak mahu perkara itu dihebohkan.

"Memang pihak akhbar sudah tahu. Radio tahu, talivisyen juga tahu. Mereka cepat tahu. Tapi, tak apa. Usah bimbang," kata DSP Roslan apabila aku menghampirinya, memperkenal diri dan bertanya kepadanya mengenai kemungkinan itu.

"Kami sudah minta kerjasama semua press supaya tidak menyiarkan perihal kejadian dengan alasan ia boleh menganggu operasi polis memburu penjenayah-penjenayah itu," sambungnya.

Aku berasa lega. Emak berasa lega. Dan abah apatah lagi.

Telefon terus juga berdering. Semuanya bertanyakan perihal abah. Dan sepupuku, Leha, yang bergegas datang sebaik emak memberitahunya, kini melayani setiap panggilan itu. Sesiapa yang dia tidak kenal dia akan panggil emak untuk menjawabnya.

Sehingga ketika itu pun sebenarnya aku masih takut untuk berbual dengan abah. Apatah lagi bertanya mengenai kejadian itu. Aku tahu apa yang berlaku hanyalah daripada perbualannya dengan kawan-kawannya yang aku dengar sejak aku sampai.

Aku masih gerun melihat wajah abah. Tapi abah tahu kehadiranku, dan sebentar tadi ada di sampingnya. Bagiku, itu pun sudah memadai.

Peristiwa dua minggu dulu itu memang tidak aku duga sama sekali. Ia meledak secara tiba-tiba saja. Dan abah sendiri semacam tidak dapat melawan perasaannya. Tapi aku tidak ada pilihan. Aku terpaksa mempertahankan diri. Aku berasa bertanggungjawab berbuat begitu. Tuhan tahu niat aku baik. Ikhlas. Abah saja yang mungkin berfikir sebaliknya.

"Tak guna jadi pandai. Rupa-rupanya bodoh," kata abah. Suaranya tinggi menengking aku. "Abah tak sangka you jadi begini."

"Abah jangan salah sangka. Sham cuma nak nasihatkan abah saja."

"Nasihat? Apa nasihat? Nonsense!"

"Cuba abah ingat sendiri. Abah jadi executive  chairman kepada sebelas syarikat besar - empat daripadanya macam milik abah sendiri. Abah juga jadi director kepada 24 syarikat lain. Sudahlah begitu, abah pegang jawatan managing director tujuh syarikat. Apa ni?" kataku.

"Habis, mengapa? You fikir aku tak layak. Tak boleh buat kerja?"

"Bukan begitu abah. Abah layak. Lebih daripada layak. Itu Sham tahu. Cuma umur abah saja. Abah bukan macam dulu. Kalau 60 tak apalah. Ini, abah seventy-two."

"Kalau seratus tahun pun, aku boleh kerja kerana aku sihat."

"Bukan itu saja abah. Kehadiran abah dalam semua syarikat itu menyekat peluang orang lain, orang yang lebih muda, lebih bertenaga..."

"Dengar sini Sham. You dengar sini. Abah jadi executive chairman pada tujuh syarikat besar yang pemerintah ada kepentingan di dalamnya bukan kehendak abah, tahu. Abah tidak mintak. Abah tidak merayu. Abah tidak menyembah. Dia orang yang bagi...those people up  there yang suruh abah. Ini amanah namanya..."

"Tapi...abah boleh tolak. Abah ada alasan untuk tolak. Jangan pakai terima saja. Lagi pun, people up there pun bukan orang yang sama," aku cuba memperli abah. Rupa-rupanya abah tahu.

"You are talking  nonsense," suara abah tinggi.

"Cuba abah fikir. Dengan tujuh syarikat yang abah jadi MD itu pun abah tidak cukup masa, sedangkan jawatan itu penting untuk pembangunan syarikat."

"Abah ada cukup pengurus. My managers  semuanya capable. Layak."

"Betul abah. Tapi Sham dah dengar, ada yang bersungut susah nak cari abah. Di sana tak ada di sini tak ada. Kalau abah attend meeting sebulan sekali saja pun untuk satu syarikat, kerja abah tak ada apa. Mesyuarat saja. Ini tak adil abah. Tak adil. Abah kena bagi tahu people up there."

"You... you sendiri bagi tahulah. Bukan jenis abah buat begitu. People up there percayakan abah. Lagi pun bukan sedikit ganjaran abah dapat. You pun tahu. Semua itu untuk siapa?"

"Betul, abah dapat banyak. Almost seratus duapuluh ribu ringgit sebulan memang cukup banyak abah. Tapi abah nak buat apa dengan duit banyak begitu abah. Abah sudah 72. Last month abah 72. Kalau jawatan yang abah pegang itu dapat pada orang lain, rezeki itu berbahagi abah."

Marah abah semakin ketara. Tapi aku tidak mahu mengalah. Peluru aku masih belum habis semuanya aku gunakan. Lagi pun, aku tahu, emak bersetuju dengan semua alasan aku. Sofia juga begitu. Mereka setuju aku cakapkan semuanya kepada abah.

"Kadang-kadang abah, ganjaran sebegitu besar, boleh jadi tidak berkat kalau pun tidak haram apabila tugas yang kita berikan tidak setimpal dengan upah, abah..."

"Diammmmmm!" Wajah singa abah semakin jelas. Matanya seperti mahu tersembul, menerjah cermin tebal di bingkai nipis diperbuat daripada emas saduran buatan Jerman.

Aku tidak mahu mengalah. "Betul cakap Sham abah. Abah ingat lagi tak ada dua kali, abah terlupa nak bagi tahu sekretari abah di sebelas syarikat yang abah ada appointment dengan Dr Fadzil. Sebelas Mercedes datang serentak ke rumah ini pagi itu. Abah ingat tak?"

Abah diam. Mukanya merah padam.

"Sham bangga dengan abah. You are a good and responsible father, you are a good and responsible  husband. Kami semua sayangkan abah. Abah tidak joli. Abah bukan kaki perempuan macam kawan-kawan abah yang Sham tahu. Abah malah tidak minum. Tidak merokok. Semuanya bagus abah. Tapi itu saja tidak cukup."

Abah terus membungkam. Aku tidak tahu sama ada dia mendengar kata-kata aku atau tidak. Matanya melekat ke dada akhbar ekonomi luar negara. Perhatiannya tertumpu ke ruangan saham.

"Abah sudah kumpul banyak duit. Banyak harta. Rumah di sana-sini, termasuk di London dan di Paris. Duit berjuta-juta dalam bank. Saham abah juga banyak. Dalam negeri, luar negeri. Sudah lebih daripada cukup..."

"Untuk siapa semua itu, you tahu tidak?" suara abah kendur sedikit, berbaur kemegahan. Matanya masih ke dada akhbar.

"Sham tahu abah. Semuanya itu untuk emak, untuk Sofia dan untuk Sham juga. Abah sudah bagi tahu semua ini dulu. Sham bangga. Tapi, that's  not the only point... macam Sham kata tadi. Abah patut give up. Sejak pencen jawatan pengarah di jabatan kerajaan dulu abah sudah okey. Sekarang sudah hampir 20 tahun. Sudah lama, abah. Bagilah peluang pada orang lain pula..."

"People up there. You go  and tell them, convince  them if you can...." abah bersahaja. Ada sedikit senyum mengejek pada bibirnya. Ini jelas. "You pun somebody sekarang. Sofia juga."

Geramku tiba-tiba membukit. Memang betul, aku dan adikku sekarang masing-masing jadi pengarah urusan di syarikat milik abah. Tetapi ini bukan maksudku. Yang menjadi persoalan sekarang tentang syarikat-syarikat besar lain, termasuk dua bank yang abah berkuasa besar, sedangkan abah tidak ada masa untuk melaksanakan tugasnya dengan sempurna.

Bagi aku, amanah kepada abah cukup besar. Namun yang cukup jelas abah tidak mampu lakukannya. Abah mungkin kaya dengan idea. Tetapi, abah miskin Selain tidak cukup masa dalam negeri, abah malah tidak cukup masa untuk lakukannya di luar negara.

Selain itu, abah juga miskin dengan masa untuk menyembah Tuhan walaupun sudah tiga kali mengerjakan haji. Bilik sembahyang di banglo kami ini pun kadang-kadang seperti hiasan saja. Emak pun kadang-kadang takut dengan sikap abah sehingga dia juga kerap melupakan tanggungjawabnya terhadap Allah, terlalu jarang memanfaatkan bilik sembahayang itu. Balik kampung apatah lagi. Sudah lima tahun aku melihat semua ini.

Aku tersentak daripada mengelamun. Tanpa disedari aku berasa bahu kiriku dipegang. Aku menoleh. Mataku bertembung dengan mata abah. Emak di sisinya. Kami tidak berkata apa-apa. Ada perasaan sayu menjalar di segenap pembuluh darah di seluruh tubuhku. Jantungku juga. Ada air tergenang dalam kolam mata abah yang semakin mengecil.

Kami serentak berpeluk. Aku dakap abah erat-erat seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Jasa lelaki ini dalam hidupku sepanjang 30 tahun ini begitu besar. Dua abang dan tiga kakakku yang lebih dulu meninggalkan kami ketika masih kecil tidak sempat merasakan apa yang aku dan Sofia nikmati sekarang.

"Nanti kita bincang semula apa yang you cakap dulu pada abah. Kita atur elok-elok. Sekarang mari kita sembahyang Isyak dulu. Sham jadi imam pada abah, pada emak juga, okey!"

Aku bertambah sayu, tetapi jauh dalam hatiku, aku mengucap syukur kepada-Nya.