Pages

Monday, November 17, 2014

Azam Tuming

Oleh Siti Zulaihah Abd Karim

TUMING adalah seorang pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di perkampungan nelayan. Kemiskinan hidup menyebabkan Tuming terpaksa belajar sambil bekerja. Tuming sekeluarga terpaksa tinggal di sebuah pondok buruk peninggalan arwah ayahnya kerana tidak mempunyai tempat lain untuk berteduh. Mereka pasrah. Bagi mereka, hidup perlu diteruskan selagi jasad masih bernyawa.

Setiap hari seperti biasa, ayah Tuming akan turun ke laut pada awal pagi. Mujurlah pagi itu Tuming bangun awal. Sempat juga dia mengucup tangan ayahnya. Namun entah mengapa, hatinya kurang senang dengan pemergian ayahnya hari itu. Tuming sempat berpesan kepada ayahnya." Ayah, pulang cepat ya nanti." Ayahnya hanya tersenyum dan berlalu pergi. Tuming tidak menyangka bahawa itulah kali terakhir dia bercakap dengan ayahnya. Tuming tidak menangis sebaliknya dia menanam azam yang kuat untuk memberikan yang terbaik kepada keluarganya selepas pemergian ayahnya.

Tuming telah berusaha menjadi seorang abang dan anak yang baik kepada keluarganya. Setiap pagi, ibu Tuming akan merebus ubi kayu sebagai bekalannya ke sekolah. Selepas pulang dari sekolah, Tuming akan menolong ibunya di sawah hingga lewat petang. Pada waktu malam pula, Tuming bekerja secara sambilan di sebuah restoran dengan mencuci pinggan. Selepas pulang bekerja, dia akan menyiapkan kerja-kerja sekolahnya yang tertangguh.

Pada hujung minggu pula, Tuming akan ke hutan mencari kayu api untuk dijual kepada Tok Penghulu, Pak Agus. Hasilnya tidaklah seberapa, iaitu RM1.00 seikat. Duit itu biarpun sedikit. Tuming tetap bersyukur dan menyimpannya untuk kegunaan pada masa depan. Tuming terpaksa membahagikan masanya dengan bijak. Tuming tidak mahu kepenatan bekerja dijadikan alasan untuk tidak menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas. Sebab itulah Tuming selalu mendapat keputusan yang cemerlang dalam setiap ujian.

Suatu petang, Tumimi, adik Tuming menangis teresak-esak.

"Mimi, apa kena kamu ini?" tanya Tuming kerisauan.

"Cikgu Mimi suruh bayar yuran kelas tambahan. Katanya, kalau Mimi tak bayar esok, tak boleh pergi lagi kelasnya. Mimi tahu abang tak cukup duit."

"Tak apalah Mimi, jangan risau. Abang akan bagi sama kamu duit itu. Abang janji. Minggu depan, kamu bayar ya!" ujar Tuming.

Kebetulan pula, ibu Tuming terpaksa dimasukkan ke hospital ekoran penyakit kencing manisnya. Tuming perlu membeli ubat-ubatan untuk ibunya. Saban hari, Tuming terpaksa bekerja kuat untuk mengumpul duit bagi membayar yuran adiknya dan membeli ubat-ubatan yang diperlukan.

Tuming terpaksa ponteng kelas pagi selama beberapa hari untuk mengumpul wang yang secukupnya. Tuming menggunakan segala kudrat yang dimilikinya dan bekerja dengan tekun. Tuming tidak mengenal erti penat dan lelah.

Kini semuanya telah selesai. Tuming terpaksa belajar dengan bersungguh-sungguh untuk menggantikan kembali pelajaran yang tertinggal. Menggunakan wang lebihan bekerja, Tuming mengikuti kelas tambahan pada waktu malam dan perbincangan dengan rakan-rakan sekelasnya pada waktu petang. Tuming juga berjumpa dengan guru-guru untuk bertanya tentang pelajaran. Tuming tidak lagi perlu bekerja sambilan kerana dia telah ditawarkan biasiswa oleh pihak sekolah kerana keputusannya yang cemerlang dalam peperiksaan.

Hati Tuming gembira sekali. Sungguh tidak disangka, Tuming telah dianugerahkan pelajar terbaik SPM peringkat sekolah. Ibu dan adiknya turut hadir untuk menyaksikan dia menerima hadiah. Tuming memeluk ibunya erat-erat. Ibunya menangis kegembiraan. Tuming tahu, arwah ayahnya juga turut gembira dengan kejayaannya. Tidak lama kemudian, Tuming menerima banyak tawaran ke universiti termasuklah di dalam dan luar negara.

Setelah tamat pengajian di Universiti Malaysia Sabah dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan, Tuming ditawarkan bekerja di sebuah syarikat besar milik Dato' Kamal di Kuala Lumpur. Hampir sebulan bekerja, Tuming membawa ibu dan adik-adiknya ke Kuala Lumpur. Mereka tinggal di rumah yang disediakan oleh syarikat Dato' Kamal. Kehidupan Tuming kini jauh berbeza dengan kehidupannya dahulu.

"Ini anak saya, Erina. Papa kenalkan inilah bakal suami Erina, Tuming." Dato' Kamal sengaja mengusik anaknya. Erina terkejut.

"Tak adalah, papa gurau je. Tapi kalau betul pun, apa salahnya, kan Tuming?" Dato' Kamal mengusik lagi. Tuming malu.

"Ada-ada aje papa ni. Tuming, nice to meet you. From now, we're friends, ok?" Tuming mengangguk.

"Ok, Erina, papa ada meeting, kamu berdua bersembanglah ye." Sejak hari itu, hubungan mereka semakin rapat.

Tuming dan Erina akhirnya disatukan. Tuming teringat kembali kata-kata ayahnya, setiap perkara buruk yang berlaku, pasti ada yang baik menunggu kita. Tuming bersyukur kepada Allah. Allah memang adil. Kini, Tuming mampu memberi kehidupan yang selesa kepada keluarganya. Tuming cukup bahagia.

No comments: