Pages

Sunday, November 16, 2014

Sebuah pertemuan

Oleh Nurul Izyan Rahmat

HATI mana tidak gembira hendak bertemu keluarga tercinta dan hati mana tidak gembira hendak berhari raya bersama sanak saudara. Lebih kurang lima tahun, aku tidak menyambut hari mulia bersama mereka. Selama lima tahun ini juga aku menggunakan kad sebagai pengganti diri. Perasaan rindu terhadap suasana raya di kampung menggunung tinggi. Terlalu rindu hendak berjaga malam, berborak kosong bersama sepupu-sepupuku. Yang paling penting, aku amat merindui masakan atuk, tempe goreng serta ayam sumurnya.

Ring!

Bunyi loceng menandakan waktu persekolahan telah tamat. Aku segera mencapai basikal BMX di garaj dan terus mengayuh pantas pulang ke rumah. Waktu persekolahan di sekolahku bermula pada jam 7.30 pagi dan berakhir pada jam 2.20 petang. Isy... lama betul aku berada di sekolah. Waktu yang paling aku gemar ialah jam 2.20 petang kerana pada masa itulah waktu persekolahan tamat. Aku bukan suka sangat belajar di sekolah. Apa taknya, setiap hari pasti dimarahi oleh guru dan juga pengawas. Walaupun aku tahu, pada hakikatnya ini semua salahku. Apa taknya dari hari Isnin hingga hari Jumaat tidak sah kalau aku hadir awal ke sekolah dan boleh dikatakan hari-hari aku tidak menyiapkan kerja sekolah.

"Atuk, kereta besar siapa dekat luar rumah tu?"

"Kereta anak angkat atuk, Uncle Zack. Dia datang dari Kuala Lumpur dan ini anak dia, Muhd Michaeal Farizhie. Micheal akan tinggal dengan kita sepanjang Uncle Zack pergi luar negara."

Hari ini hari pertama persekolahan Michaeal yang dipanggil Jord. Semua rakanku agak terkejut kerana aku awal hadir ke sekolah hari ini bersama seorang jejaka yang agak tampan. Aku membawanya berjumpa pengetua. Ah, dia rakan semejaku rupanya. Jadi, sudah pasti setiap gerak-geriku akan diperhatikan olehnya. Cikgu pula tidak habis-habis mengenakan aku. Jord hanya mampu tersenyum.

"Riz kenapa panggil saya Jord?"

"Saja. Kenapa tak boleh ke?"

Aku tidak mahu beritahu perkara sebenar. Aku pasti jika dia tahu aku panggil dia Jord sempena nama Michael Jordan mesti dia akan marah.

"Saya tak berapa suka dengan nama tu. Kalau Riz tak suka panggil saya Micheal, Riz boleh panggil Farizhie."

"Yelah Encik Farizhie."

"Tadi saya tengok, Riz asyik bermain saja dalam kelas. Riz ni tak ada cita-cita ke?

"Saya nak tanya awak, ada ke orang dekat dunia ni tak ada cita-cita?"

"Penagih dadah sekalipun ada impian dan cita-cita tau,"

"Em, tau tak apa. Riz tak nak berusaha ke untuk mencapai cita-cita tu?

"Saya dah berusahalah tu."

"Awak rasa cukup ke usaha awak selama ini? Apa pun cita-cita Riz? Saya nak tahu juga"

"Aku nak jadi seorang pakar yang arif mengenai darah"

"Oh, Haematologist. Bagus juga cita-cita budak ni. Saya nak jadi Gynaecologist, doktor pakar sakit puan."

"Saya cuma nak bagi tahu. Riz ni, ganas sangatlah. Cubalah jadi perempuan yang ayu sikit macam perempuan Melayu terakhir. Janganlah berkasar sangat. After this, please throw your cap and change it to tudung."

"Eh, ni cara aku! Yang kau sibuk tu kenapa?"

"I just want to give and advice. Saya sukalah tengok budak-budak perempuan kampung yang lain. Bertudung, lemah-lembut, lady-likelah kesimpulannya. Sampai bila Riz nak jadi macam ni. Hei, Cik Iman Nur Farizhein just remember that, think for your future. Saya tak nak panggil awak Riz but I want call you Iman. Em... Sedap juga nama tu, tak nampak ganas sangat."

"Jangan nak memandai tukar nama orang ya! Riz tetap Riz."

"Suka hatilah, Iman. Jom kita lumba siapa sampai rumah atuk dulu."

Hari demi hari, aku mula memahami dirinya. Bagi diri Jord dia akan bersalah seumur hidup sekiranya dia tidak berjaya. Dia sentiasa bersalah terhadap ayahnya yang sering mengharap kejayaan daripadanya. Segala usaha yang dia lakukan semata-mata untuk memperoleh kejayaan. Pernah suatu pagi, aku ternampak dia sedang menunaikan Solat Tahajud dan berdoa. Selepas itu dia terus mengambil buku untuk mengulang kaji pelajaran. Aku terpaku melihat kegigihan Farizhie. Ya Allah, beginikah caranya untuk berjaya? Aku sedar dan insaf. Aku tidak akan berjaya sekiranya aku tidak keluar dari takuk yang lama. Kehadiran Jord benar-benar membawa sinar gemilang dalam hidupku. Jord telah mengubah persepsi hidupku. Buku-buku menjadi temanku yang kedua selepas Jord. Rakan-rakanku naik hairan dengan perubahanku yang drastik ini. Aku bukan lagi Riz yang dahulu. Riz sekarang merupakan insan yang mempunyai matlamat, cita-cita serta impian. Setiap petang kami akan mengadakan perbincangan. Pada mulanya, aku berasa amat kekok kerana sebelum ini aku menghabiskan waktu petangku dengan menonton televisyen tak pun aku akan pergi memancing di sungai.

Cepat sungguh masa berlalu. Setahun bagaikan sebulan, sebulan bagaikan seminggu, seminggu umpama sehari dan sehari seperti seminit. Ayah Jord kembali ke tanah air. Rasanya baru semalam aku mengenali Jord, kini kami akan berpisah. Air mata jernih jatuh berlinangan umpama rantai mutiara yang terputus talinya. Jord meninggalkan kampung dan aku akan meneruskan perjuangan tanpa insan yang paling dibenci suatu ketika dahulu. Siapa sangka, insan yang kuanggap racun sebelum ini, sebenarnya madu yang menyinari hidup. Aku akan ingat pesannya sehingga akhir hayat.

KEJAYAAN TAK AKAN DATANG BERGOLEK TANPA USAHA YANG GIGIH

TERUSKAN USAHA SEHINGGA BERJAYA

USAHA + DOA + TAWAKAL = KEJAYAAN

Semenjak itu aku tidak lagi bertemu dengan Jord. Hubungan kami terputus begitu sahaja. Memori antara aku dan Jord sentiasa bermain di bayangan mata. Benarlah bait-bait puisi pujangga terkenal, Khalil Gibran, Sahabat sejati sukar dicari, ditinggalkan inikan lagi dilupakan. Jord sentiasa bertakhta di lubuk sanubariku, amat sukar hendak dilupakan. Peperiksaan SPM bermula. Aku lakukan yang terbaik demi atuk, keluarga dan semua insan yang mengharapkan kejayaan daripada diriku terutamanya Jord. Kejayaan ini sebenarnya bukan kejayaanku tetapi kejayaan seorang sahabat bernama Farizhine. Tanpa Farizhie tidak mungkin aku boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Royal College of Surgeon, Ireland. Jika dahulu Jord tidak menasihatku sudah pasti ini bukan kesudahannya. Sudah tentu aku akan menjadi Mat Jenin yang hanya berangan kosong. Impianku untuk menjadi seorang Haematologi menjadi realiti.

Lamunanku terhenti. Ah, ada orang datang beraya rupanya. Aku segera mencapai kain tudung. Aku terpaku. Adakah ini mimpi ataupun khayalan? Benarkah dia tetamuku? Dia tidak seperti dahulu, sangat tampan, kacak dan segak sekali. Sungguh bergaya.

"Dr Iman Nur Farizhein!"

"Ya, kamu..."

Dia menganggukkan kepalanya dan tersenyum...

No comments: