Pages

Friday, November 07, 2014

Saudagar minyak

Oleh Zakaria Tamer

`ANTARAH Al-Absie - ahli peniagaan terkemuka - bersendirian di villanya yang terletak di May Fair, di pinggir kota London. Tampangnya tampak moyok, resah, dan agak tegang. Tanpa sedikit pun rasa jemu, dia sentiasa melemparkan pandangannya ke arah telefon dengan perasaan kurang enak tetapi penuh harap.

Dia sedang menunggu panggilan daripada pengurus cawangannya di Paris. Panggilan yang akan memberitahu natijah usaha pembeliannya yang dilihat sebagai pembelian paling utama dalam sejarah hidupnya. Kiranya pembelian itu gagal, berkecailah cita-citanya untuk menjadi hartawan paling kaya di kalangan hartawan yang ada.

Tiba-tiba, telefon berdering. Antarah gesit bergegas menyambutnya dengan rasa tidak sabar. Lalu dia mengangkat gagang, disuakan ke mulut dan telinganya. "Hello!"

"Siapa yang bercakap?" tanya suara itu.

Dia sedikit terpempan. Bukan suara pengurus pejabatnya yang dinanti sejak tadi yang kedengaran, tetapi suara seorang wanita!

`Antarah: Apa yang awak mahu?

Wanita: Saya mahu bercakap dengan Tuan `Antarah.

Antarah: Saya 'Antarah.

Wanita: Awak Antarah? Pelik! Bagaimana saya boleh tidak cam suara awak? Suara awak banyak berubah. Dulu garau, sekarang bertukar menjadi lembut macam suara budak perempuan.

`Antarah: Siapa awak?

Wanita: Awak tidak kenal saya? Oh, tidak. Sayalah orang yang sedang menghina awak.

`Antarah: Siapa awak?

Wanita: Saya `Ablah.

`Antarah: `Ablah al-Khurie si wartawan itukah?

`Ablah: Saya `Ablah ... `Ablah. Sepupu awak yang pernah awak cintai; yang pernah awak karang puisi untuknya; yang pernah membuatkan awak berjuang dalam peperangan semata-mata kerananya.

`Antarah: Tak masuk akal! Saya sangka awak sudah mati.

`Ablah: Awak jelas tidak banyak berubah. Masih kasar. Beginikah caranya seorang kekasih berbicara dengan bekas kekasihnya?

`Antarah: Awak tiada hak untuk marah, kerana saya sudah berapa tahun lamanya tidak mendengar sebarang khabar mengenai awak. Dari mana awak bercakap?

`Ablah: Dari Mareby. Saya dan suami setiap tahun menghabiskan musim panas kami di sini.

`Antarah: Apa yang membuatkan awak mengingati saya selepas beberapa tahun lamanya. Adakah awak tiba-tiba rindukan saya?

`Ablah: Ini bukan soal rindu dan kenangan silam. Tapi soal suami saya yang terlalu cemburu.

`Antarah: Dia lelaki yang sebenarnya. Dan setiap lelaki yang punya kehormatan pasti berasa cemburu.

`Ablah: Tapi dia cemburu terhadap awak!

`Antarah: Apa awak kata? Suami awak memang gila. Apakah dia fikir kita ada bertemu tanpa pengetahuannya hingga membuatkan dia cemburu?

`Ablah: Tidak. Bukan itu. Dia masih lagi siuman dan mempercayai saya dan kejujuran saya. Cuma, dia cemburu disebabkan buku picisan yang menceritakan kisah cinta kita - sedangkan ia tidak benar.

`Antarah: Tolonglah! Saya harap awak cakap, apa yang awak mahu seringkas mungkin. Saya sedang menunggu panggilan yang sangat mustahak ni.

`Ablah: Saya silap rupanya. Saya sangka awak akan terjerit kegilaan apabila mendengar suara saya.

`Antarah: Sangkaan awak tepat. Saya akan lebih gila jika awak tidak ringkaskan kalam awak. Saya tiada masa untuk melayan cakap perempuan. Masa saya khusus untuk perniagaan saja. Saya bersedia memberi khidmat kalau awak berhajat menjual atau membeli sesuatu. Yang selain itu, minta maaf, saya tidak mahu dengar.

`Ablah: Saya dengar awak sudah jadi jutawan sekarang.

`Antarah: Silap tu. Saya bukan sekadar jutawan, tapi lebih kaya daripada itu.

`Ablah: Dan saya dengar awak memiliki bank.

`Antarah: Itu pun silap. Saya ada empat bank, bukan hanya sebuah.

`Ablah: Malah saya dengar heboh orang menyata awak mengumpul kekayaan hasil penyeludupan senjata dan awak menjualnya di pasaran gelap.

`Antarah: Usah percaya apa-apa yang awak dengar. Kekayaan saya bukan hasil penyeludupan senjata dan jualannya, tapi hasil penyeludupan dadah. Ia menjangkau beribu-ribu dolar.

`Ablah: Apa ini? Nampaknya awak tidak lagi bercakap mengenai dinar, dirham, dan rial; tapi bercakap mengenai dolar. Adakah awak juga mahu menafikan awak seorang Arab?

`Antarah: Jangan lekas membuat tuduhan. Majulah sikit wahai perempuan! Sampai bila pemikiran awak harus kolot dan terkebelakang? Mana layak tokoh korporat tersohor seperti saya mempunyai cuma satu jenis warga negara, kelak dikatakan taasub, berfikiran sempit, dan kurang cerdik. Dalam laci meja di pejabat saya, ada banyak lagi pasport. Setiap pasport memperakukan saya dilahirkan di negara maju.

Saya tidak silap kerana pasport warga Arab masih diragui sekalipun di lapangan terbang negara Arab. Sedangkan pasport negara luar lebih terhormat dan diyakini.

`Ablah: Saya dengar awak berjaya dalam perniagaan awak dan beroleh laba besar disebabkan awak mengamalkan rasuah.

`Antarah: Itu kata-kata seteru yang dengki dengan saya. Aku berlindung dengan Tuhan. Saya tidak memberi sebarang rasuah pun. Cuma, kadang-kadang, saya menghulurkan hadiah dan ia tentu tidak wajar ditolak, kerana itulah lambang keimanan kita. Sebabnya, manusia tidak dijadikan melainkan untuk menolong sesama manusia.

`Ablah: Saya sering melihat gambar awak terpampang dalam majalah.

`Antarah: Apa yang gharibnya? Memang saya terkenal kerana membuat kebajikan. Majalah tentu menyiarkan gambar orang terkenal macam saya.

`Ablah: Tapi, pada gambar yang tersiar, tiada langsung mirip awak - seorang lelaki berwajah cerah, bermata biru, berambut perang. Sedangkan awak, sebagaimana yang saya tahu, berkulit gelap, berbibir tebal. Takkan awak lupa, saya pernah menyindir rambut awak yang macam duri tu?

`Antarah: Awak sedarkah yang dunia ini sudah berubah? Siapa yang punya harta, akan beroleh apa-apa yang dikahendakinya.

`Ablah: Awak masih simpan pedang yang awak banggakan dulu - pedang yang awak gunakan untuk mempertahankan kabilah kita - semata-mata untuk membuatkan saya tersenyum?

`Antarah: Untuk apa saya menyimpannya? Saya sudah jual kepada lelaki asing yang berminat mengumpul barang antik. Malah saya gembira kerana tidak lagi memilikinya. Saya sudah tiada kaitan dengan perang lagi. Siapa yang mahu berperang, berperanglah sampai musnah. Namun saya mahu kekal hidup dan menikmati harta yang ada.

`Ablah: Kalau itu yang awak mahu, awak mesti berbuat sesuatu untuk memperbetulkan hikayat cinta kita.

`Antarah: Apa yang awak mahu saya buat? Apakah saya mesti melarang mereka daripada menulis?

`Ablah: Katakan saja hakikat yang sebenar. Bukankah awak orang kaya? Berapa ramai penulis yang sanggup menulis apa saja asalkan awak sanggup membayarnya. Katakan pada mereka, apa-apa yang terjadi sebenarnya di antara kita. Katakan pada mereka, perpisahan kita tiada kaitan langsung dengan faktor keluarga, kabilah, mahupun darjat.

`Antarah: Awak mahu saya menjemput media antarabangsa dan menceritakan soal cinta yang remeh ini?

`Ablah: Awak anggap ia remeh?

`Antarah: Memang ia lebih daripada remeh pun. Sekadar cinta dua remaja yang berakhir dengan krisis dan perpisahan.

`Ablah: Siapa lagi yang punya angkara, kalau bukan awak? Setiap kali kita bertemu, awak kan selalu mengutuk-ngutuk seniman besar Farid al- Attrash.

`Antarah: Awak pun begitu. Sering menghina Suad Husni, Nadiah al-Jundie, dan Syadiah (artis Arab sezaman penulis), setiap kali awak berpeluang tanpa langsung mempedulikan perasaan saya.

`Ablah: Saya bebas menyatakan apa-apa yang saya suka. Syukurlah, saya tidak mengahwini awak.

`Antarah: Kalau saya mengahwini awak, saya terpaksa menggantung diri selepas dua hari.

`Ablah: Kalaulah saya dapat mengahwini awak, secara percuma saya akan berikan tali untuk awak menggantung diri.

`Antarah: Jika saya mengahwini awak, tidak sudah-sudahlah saya akan menerima kunjungan mereka yang simpati dengan nasib saya, hinggalah hari kematian awak.

`Ablah: Jika awak mengahwini saya, alamat cemburulah semua pemuda dalam dunia ni.

`Antarah: Awak masih lagi seperti yang saya kenal - angkuh, sombong, dan tongong.

`Ablah: Awak pun kekal macam dulu - bangang, hodoh, kasar, dan buruk.

`Antarah: Diam kau!

Spontan tangannya meletakkan gagang kembali ke tempatnya. Lantas `Antarah mula memikirkan cara untuk melepaskan dendamnya terhadap `Ablah yang tidak tahu malu itu. Dia bercadang mengedarkan kepada media gambar `Ablah dalam keadaan yang memalukan.

Tetapi deringan telefon menghapuskan segala lamunannya.

Dari Paris, pengurus pejabatnya mengkhabarkan perancangannya untuk membeli sebuah negara republik tercapai. Jeneral junta tenteranya bersetuju untuk mencetuskan revolusi tentera, sebelum mengangkat dirinya sendiri menjadi ketua negara, bahkan mendapat sokongan daripada raja.

`Antarah tertawa.

"Beritahu jeneral itu, aku pengamal demokrasi. Aku mahu selepas rampasan kuasa itu diadakan pilihan raya memilih presiden."

"Berapa jumlah calon pilihan rayanya yang tuan mahu? Maksud saya, jumlah penyokong dan pembangkangnya?" soal pengurusnya.

"Itu hal sampingan yang akan aku fikirkan selepas ini," jawab `Antarah.

Lantas dia mula membayangkan planet bumi yang diperintah oleh jeneral yang menurut telunjuk dan kehendaknya yang maha besar. Segala yang dihajatinya akan terlaksana. Setiap jeneral dan negara punya harga turun naiknya bergantung pada penawaran dan permintaan di pasaran dunia.

Profil Penulis

Zakaria Tamer (lahir di Damsyik, Syria pada 1931), antara cerpenis terkemuka Arab yang kini menetap di London. Beliau menulis cerpen dan kritikan sosial sejak 1957, sebelum menulis cereka kanak-kanak pada 1968. Pernah bekerja di Kementerian Kebudayaan dan Kementerian Penerangan Syria, selain menjadi ketua editor majalah Al-Mauqif Al-Adabi, Usamah, dan Al- Makrifah. Karyanya banyak terpengaruh dengan Kafka. Beberapa antologi cerpennya diterjemahkan ke bahasa Inggeris, Perancis, Sepanyol, Itali, Bulgaria, Russia, dan Jerman. Saudagar Minyak (judul asalnya Antarah An- Nafthie) dipetik daripada kumpulan cerpennya Nida Noh (Noahs Summons) yang diterbitkan oleh Riad El- Rayyes Books Ltd., London, pada 1994.

(Terjemahan daripada bahasa Arab oleh Zaid Akhtar)

No comments: