Oleh Osman Dol
MALAM tadi hujan turun begitu lebat. Pak Uteh tidak dapat menoreh. Seperti biasa, kalau tidak menoreh dia akan ke pekan untuk sarapan pagi. Memang begitulah cara hidup Pak Uteh sejak dulu lagi.
Pagi ini Pak Uteh masuk ke kedai kopi Mat Ujang. Sudah lebih dari seminggu rasanya dia tidak menjamu seleranya dengan roti canai. Roti canai Mat Ujang.
Roti canai Mat Ujang istimewa sedikit. Rotinya lembut. Rasanya lemak. Kalau dimakan dengan kuah kari, tentu bertambah lazatnya. Sekurang- kurangnya pun dua keping di makannya. Kalau ada kawan yang menemankannya berbual sambil makan, mahu sampai tiga keping disuapkan ke mulutnya.
Tetapi pagi itu tidak ada sesiapa di meja Pak Uteh. Hanya dia seorang saja. Dikunyahnya roti canai itu perlahan-lahan sambil menghirup teh pekat yang digemarinya.
"Pak Uteh," satu suara garau menerjah ke telinga Pak Uteh dari luar kedai. Pak Uteh yang sedang asyik mengunyah itu menegakkan kepalanya sedikit. Orang yang memanggilnya terus masuk ke dalam kedai dan berdiri di hadapannya.
"Jemput minum, Sin," pelawa Pak Uteh.
"Saya ada hal dengan Pak Uteh," kata Husin.
Muka Husin yang banyak bekas jerawat batu itu nampak begitu garang sekali. Kedua tangannya sudah menggumpal penumbuk bagaikan sudah bersedia untuk bertinju.
Semua orang yang berada di dalam kedai kopi itu kehairanan melihat keadaan Husin yang nampak bengis dan garang. Entah apa sebabnya tidak siapa yang dapat menduga.
Tetapi Pak Uteh tersenyum saja sambil terus mengunyah roti canai. Dia sudah tahu kenapa Husin naik angin. Dia sudah duga Husin pasti datang menemuinya. Husin pasti akan mencabar dan mengujinya. Kini dugaannya sudah menjadi kenyataan.
"Hal apa?" Tanya Pak Uteh sambil menghirup teh pekat di dalam gelas besar. Dia sengaja bertanya walaupun dia sudah mengetahui sebabnya.
"Jangan pura-pura tak tahu," tekan Husin. "Saya bukan bodoh, Pak Uteh. Saya bukan budak lagi. Zaman darurat dulu Pak Uteh boleh tunjuk kuat. Tunjuk handal. Pak Uteh boleh bodoh-bodohkan komunis masa itu. Tapi ini Husin, bukan macam komunis bodoh itu."
"Sabar, Sin," balas Pak Uteh dengan wajah yang masih bujang. "Aku tahu kau orang muda. Orang muda cepat panas. Aku rasa ada baiknya perkara ini kita selesaikan dengan baik. Dan perkara lampau itu janganlah pula disebut lagi."
"Tidak..!" Tempik Husin dengan suara yang nyaring.
Setiap orang yang berada di kedai Mat Ujang terus dilambung kehairanan. Mereka masih mencari apakah puncanya. Namun begitu mereka berasa bimbang kalau si Husin bertindak kasar terhadap Pak Uteh.
Husin bukan sebarangan orang di Kampung Binjai Manis itu. Dia garang. Pembengis. Kaki bertumbuk. Sesiapa saja yang berani mengganggu ketenteramannya pasti akan menerima padahnya. Tidak kira muda atau tua. Sesiapa saja menyakiti hatinya pastilah akan menerima akibatnya.
Dan kalau Husin mengamuk barang-barang di kedainya akan rosak. Akan binasa. Ini yang membimbangkan Mat Ujang. Apakah dia perlu laporkan kepada polis segera, fikir Mat Ujang.
"Aku orang tua, kerana itu aku nak ajak berunding. Lagipun aku malu dengan anak dan cucu aku," ujar Pak Uteh yang sudah pun berumur lebih dari enam puluh lima tahun. Dia mempunyai lapan orang cucu dari empat orang anaknya.
"Kalau dah sedar diri itu tua, kenapa nak buat khianat dengan orang? Kenapa nak buat jahat lagi?" Tekan Husin.
"Aku tidak khianati sesiapa. Yang aku buat itu bukan untuk diri aku saja, tapi untuk seluruh rakyat di kampung ini," terang Pak Uteh.
"Karutttt!!..." Husin menjerit.
"Sabar Sin," kata Pak Uteh dan dia mula bangun dari duduknya di ruang tengah kedai itu.
Husin yang baru berusia hampir tiga puluh lima tahun itu menggeleng- gelengkan kepalanya. Dia cuba menghampiri Pak Uteh yang sudah berundur ke belakang sedikit.
"Sabar, Sin" kata Pak Uteh lagi. "Masa aku muda-muda dulu, aku pun garang juga. Aku fikir, aku lagi jahat dari kau. Tapi aku jahat dengan pengganas komunis yang nak merosakkan keamanan negara."
Sambil terbatuk-batuk kecil, Pak Uteh meneruskan kata-katanya: "Aku juga tak pernah bagi muka dengan penjajah Inggeris. Tapi aku tak pernah tunjuk jahat sesama sendiri. Aku tak pernah tunjuk kuat dengan orang tua atau orang lemah apalagi dari kalangan sebangsa kita. Kita mesti menjaga maruah diri dan maruah bangsa kita."
Sedikit sebanyak Husin memang tahu mengenai Pak Uteh pada zaman mudanya. Pak Uteh berani, kuat dan tangkas. Pak Uteh hebat. Semasa zaman darurat dulu Pak Uteh dikatakan pernah membantu kerajaan Inggeris menangkap hidup- hidup beberapa orang pengganas komunis yang mengacau keamanan negara.
Ketika pemimpin negara sedang berunding untuk menuntut kemerdekaan, Pak Uteh sendiri pula membuat kacau dengan menurunkan bendera Inggeris. Pengurus Ladang Bukit Lampam yang berbangsa Inggeris ditumbuknya hingga tertiarap. Husin tahu dan faham sejarah hidup Pak Uteh itu.
Dan Husin juga tahu Pak Uteh pernah menampar ayahnya, Mat Tebos. Kononnya, arwah ayahnya yang menjadi ketua kampung itu adalah tali barut Inggeris.
"Kau pernah tampar arwah ayahku dulu, bukan?" Kata Husin yang merenung tepat ke muka Pak Uteh.
"Perkara itu dah selesai, dah lama berlalu," sahut Pak Uteh.
"Selepas negara mencapai kemerdekaan, aku telah minta maaf dengannya. Ayah kau pun telah memaafkan aku. Hal itu sudah selesai."
Husin yang berbadan tinggi dan gempal makin mara ke arah Pak Uteh. Dan Pak Uteh kian berundur.
"Sabar, Sin..."
"Sabar..."
"Sabar..."
"Sabar, kasihan orang tua Sin," rayu Pak Uteh.
Setiap orang dalam kedai itu cuba menyabarkan Husin. Mat Ujang sendiri sudah pun berdiri di tengah-tengah antara Husin dan Pak Uteh. Dan Pak Uteh nampaknya makin berundur ke belakang hingga ke kaki lima kedai.
"Tungguuuu!" Tempik Husin. Dia menolak Mat Ujang yang cuba menghalangnya. Mat Ujang terlentang di kaki lima kedai.
Pak Uteh tidak bergerak lagi di kaki lima kedai itu. Dia menunggu Husin menyerang.
"Baiklah," kata Husin dengan nada suara yang agak kendur sedikit. "Kalau Pak Uteh hendak selesai perkara ini, saya cuma minta Pak Uteh jangan lalu lagi di kebun saya. Saya minta Pak Uteh betulkan semula pagar kebun saya yang Pak Uteh robohkan itu."
"Husin," balas Pak Uteh. "Kebun aku jauh sedikit di sebelah dalam. Aku terpaksa lalu di kebun kau untuk masuk ke kebun aku. Bila kau pagar kebun kau itu, aku dah tak dapat jalan. Bukan aku saja, banyak orang lain lagi yang ada kebun di sebelah dalam tidak dapat jalan."
"Pak Uteh boleh masuk ke kebun dari sebelah hulu, bukan?" Tanya Husin.
"Jauh, Sin. Jalan sebelah hulu itu semak. Hutan. Motosikal pun tak boleh lalu. Itulah sebabnya aku ikut kebun kau."
"Lagipun," kata Pak Uteh lagi. "Orang kampung yang hendak ke tanah perkuburan itupun terpaksa melalui kebun kau. Apabila kau pagar kebun kau itu, semua orang kampung susah," terang Pak Uteh.
"Aku tetap tak benarkan," ujar Husin.
"Kalau tidak, buat pintu," Pak Uteh memberikan cadangannya. "Bila-bila masa aku boleh tolong kau buat pintu di sempadan kebun kita itu."
"Tidak," kata Husin lagi. "Aku tak izinkan sesiapa pun lalu di kebun aku."
"Apa salahnya aku dan orang kampung tumpang lalu, kau pun dapat pahala," balas Pak Uteh.
"Pahala?" Tekan Husin. "Habis pokok pisang dan pokok ubi aku dibaham babi. Kadang yang lalu lalang itupun cabut pokok buah yang aku tanam."
"Kalau begitu, kita tak dapat cari penyelesaian. Aku akan lalu juga di kebun kau itu. Kalau kau pagar lagi tempat aku lalu itu, aku akan robohkan semula," ujar Pak Uteh.
Husin sudah seperti singa lapar nampaknya. Matanya yang bulat dan lebar itu makin dibeliakkan ke arah Pak Uteh. Pak Uteh memang degil. Pak Uteh jahat. Pak Uteh pasti akan kena penangannya. Panasnya membuak-buak membakar hati dan perasaannya.
Dan Pak Uteh juga tetap dengan pendiriannya. Dan mujur juga sehari dua ini tidak ada orang yang meninggal. Kalau ada orang yang meninggal sudah tentulah mayat si mati itu diusung mengikut jalan jauh dan terpaksa meredah hutan.
"Pak Uteh mesti betulkan pagar itu semula..."
"Tidak," balas Pak Uteh.
"Celaka..."
Dan serentak itu Husin yang berbadan besar dan tegap menerkam ke arah Pak Uteh. Terkaman Husin itu berserta dengan sekepal penumbuk yang padu.
Pak Uteh yang sudah bersedia itu hanya mengelak sedikit saja dari dihinggapi penumbuk Husin. Penumbuk itu tidak mengena sasarannya. Di samping itu sempat juga Pak Uteh menolak dengan kakinya agar Husin terlangsung ke hadapan. Husin makin marah. Makin geram. Dengan pantas dia berpaling ke belakang dan sekali lagi dia menerkam. Kali ini Pak Uteh bertindak keras sedikit. Dia mengelak dan menunda dengan satu sepakan kacang. Husin tersungkur dan tertiarap ke bumi.
Husin cuba bangun. Tetapi dia berasakan bahagian belakang badannya bagaikan di himpit batu besar. Dia tidak berupaya bergerak.
"Aku dah cakap," kata Pak Uteh sambil memijak belakang Husin dengan kaki kanannya. "Aku tak mahu bergaduh sesama sendiri. Melayu sama Melayu. Tak mahu. Malu. Lagipun negara kita dah aman. Buat apa kita bergaduh hanya berpuncakan dari perkara kecil saja."
"Celaka! Nanti aku bunuh kau. Aku bunuh kau!" Jerit Husin dalam keadaan yang tertekan begitu.
"Sabar Pak Uteh..."
"Sabarlah..."
"Cukuplah tu..."
Rata-rata orang yang melihat kejadian itu menyabarkan Pak Uteh pula. Wajah Pak Uteh masih kelihatan tenang. Dia hanya tersenyum memandang Husin yang tidak berupaya bergerak.
"Aku tak buat apa-apa dengan kau pun dah nasib baik," kata Pak Uteh lalu mengangkat kakinya dari belakang Husin yang sudah tersungkur itu.
Husin berasa badannya ringan semula. Dia segera bangun. Kali ini dia tidak menerkam lagi.
"Aku akan ajar kau. Tak dapat diri kau, pokok getah kau aku binasakan," kata Husin lalu beredar dari situ.
Pak Uteh hanya menggelengkan kepala memandang Husin yang sudah melangkah meninggalkannya di hadapan kedai kopi itu. Setiap orang yang berada dalam kedai itu menghulurkan tangannya kepada Pak Uteh bagi mengucapkan tahniah.
Sesungguhnya Husin bukanlah sebarangan orang. Tidak ada sesiapa yang berani menentangnya. Kini Husin sudah tumbang. Dia ditumbangkan oleh seorang orang tua yang telah banyak berjasa kepada negara di zaman darurat.
Pak Uteh masuk ke dalam kedai semula. Dia duduk semula di tempat duduk asalnya tadi. Kemudian dia meminta Mat Ujang membuatkan segelas lagi teh pekat untuknya.
"Bagaimana kalau Husin beritahu polis?" Mat Ujang bertanya ketika meletakkan teh pekat di hadapan Pak Uteh.
"Biarlah," jawab Pak Uteh. "Dia yang mencabar aku."
Pak Uteh meneguk teh pekat yang telah terhidang itu hanya dengan beberapa kali teguk saja. Setiap orang dalam kedai itu masih memandang ke arahnya. Dia bangun melangkah ke arah motosikal buruknya yang diletakkan di hadapan kedai. Enjin motosikal dihidupkan. Serta-serta Pak Uteh bergerak meninggalkan kedai kopi Mat Ujang.
Pak Uteh tidak balik ke rumahnya. Sebaliknya dia ingin melihat kebun getahnya yang seluas hampir dua ekar di Solok Beringin. Entah kenapa hatinya berasa tidak sedap. Dia bimbang si Husin akan mengamuk dan memusnahkan pokok getahnya yang sedang mengeluarkan hasil itu.
Kira-kira sepuluh minit Pak Uteh sudah sampai ke Solok Beringin. Dia membelok ke sebelah kiri mengikut sebatang jalan tanah merah yang muat untuk dilalui oleh sebuah kereta. Kemudian dia masuk arah ke kebun Husin. Pagar kebun Husin yang dirobohkan petang kelmarin masih belum diperbaiki.
Sedap rasa hati Pak Uteh. Husin tidak ada nampaknya. Pokok getahnya selamat. Segera dia menongkatkan motosikalnya. Dia ingin pergi ke sebelah hulu dan sebelah hilir untuk melihat pokok getahnya.
Tetapi baharu saja beberapa tapak Pak Uteh melangkah, tiba-tiba satu suara melangsing memanggilnya dari belakang. Dia melihat Husin datang. Husin datang dengan parang panjang yang tergenggam erat di tangannya.
"Nasib baik kau ada," kata Husin yang semakin menghampiri Pak Uteh. "Kalau kau tak ada, tentulah pokok getah kau yang menjadi mangsa."
"Kau masih tak puas, Sin."
"Tadi kau sudah memalukan aku di kedai Mat Ujang."
"Tapi kau yang mulakan dulu..."
"Bukan aku, tapi kau yang mulakan. Kau robohkan pagar kebun aku. Kau tampar arwah ayah aku dulu. Dendam aku tak pernah padam."
"Jangan Sin. Sabar," kata Pak Uteh sambil mencapai sebatang kayu getah mati berhampiran dengannya.
"Parang panjang ini akan menceraikan antara kepala dan badan kau," ujar Husin.
Dan dia makin menghampiri Pak Uteh. Sudah berjarak kira-kira lima belas ke dua puluh meter saja. Dia makin maju ke hadapan.
"Sabar Sin, sabar..."
Husin makin dekat. Makin hampir. Dia mahu memancung leher Pak Uteh. Dia mahu memauk kepala Pak Uteh hingga hancur. Hingga menjadi debu.
Apabila benar-benar sudah dekat, Husin mula menghayun parangnya. PakUteh sempat mengelak. Husin menghayun lagi. Pak Uteh sempat juga mengelak. Dan ketika Husin hendak menghayun buat kali ketiganya, tiba-tiba...
"Berhentiiii..."
Tangan Husin kaku sejenak. Dia menoleh ke belakang. Dilihatnya Encik Bakar, Ketua Polis Balai Binjai Manis dan dua orang anggota polis sedang memerhatikannya. Mereka sudah bersedia mengacukan pistol ke arahnya. Parang panjang di tangan Husin tiba-tiba jatuh ke bumi. Seluruh anggotanya terasa lemah.
"Awak sudah melakukan kesalahan besar. Awak cuba membunuh orang," kata Encik Bakar. Kedua-dua tangan Husin digari dari belakang.
"Maafkan saya, Cik Bakar," Husin merayu.
"Sebenarnya pihak polis memang hendakkan awak," terang Encik Bakar. "Ada empat kes lagi menunggu awak. Semuanya kes pukul orang."
"Tolonglah saya," rayu Husin lagi.
"Maafkan saya," balas Encik Bakar. "Saya hanya menjalankan perintah."
Husin diam. Dia tunduk. Menangis. Dua orang anggota polis yang menemani Encik Bakar segera membawa Husin keluar dari kebun getah itu.
"Dari mana Cik Bakar tahu Husin hendak menyerang saya?" Tanya Pak Uteh dengan rasa hairan.
"Secara kebetulan saja," balas Encik Bakar. "Saya datang nak bagi tahu Pak Uteh supaya lapor diri di Pejabat Daerah Kawasan Selatan esok pagi jam lapan."
"Daftar diri untuk apa?" Pak Uteh kehairanan.
"Saya pun tak tahu dengan jelas," ujar Encik Bakar. "Saya cuma diarahkan untuk memberitahu Pak Uteh untuk daftar diri. Khabarnya, Pak Uteh terpilih untuk menerima ganjaran dari kerajaan, sebagai mengenangkan jasa Pak Uteh semasa darurat dan semasa penjajah Inggeris."
"Kalau tak silap, dua hari lepas ada keluar berita ini dalam surat khabar," kata Pak Uteh.
"Betul, potong Encik Bakar. "Surat khabar cakap kerajaan akan bagi ganjaran pada orang yang berjasa kepada negara."
Encik Bakar bergerak meninggalkan Pak Uteh sendirian. Dan perlahan-lahan Pak Uteh menjatuhkan punggungnya ke bumi. Dia menarik nafas panjang sambil menyandarkan badannya ke pangkal sebatang pokok getah.
Selama ini dia tidak pernah minta agar jasanya dikenang. Dia tidak pernah meminta supaya baktinya pada zaman darurat dan baktinya menentang Inggeris dulu dibalas. Segala yang dilakukannya adalah untuk kepentingan rakyat.
Dia menunduk dan mengalahkan Husin sebentar tadi pun adalah semata-mata untuk rakyat.
Dan Pak Uteh terus bersendirian di pangkal pokok getah itu. Entah kenapa, hatinya terasa berat hendak menerima penghormatan itu.

No comments:
Post a Comment