Pages

Sunday, November 30, 2014

Secebis Kasih Sayang

Oleh Emily a/p Vivikumar

"PEMENTASAN drama akan diadakan minggu depan, semua ibu bapa hadir. Jadi, aku mesti beritahu papa dan mama hal ini. Kebetulan, aku adalah watak utama dalam pementasan itu nanti," bisik hati kecil Zarina.

Semasa Zarina sedang duduk di ruang tamu tiba-tiba mama dan papanya pulang daripada kerja.

"Awal pulak mama dan papa balik hari ini," kata Zarina.

Apabila mulut Zarina hendak memulakan bicara, tiba-tiba telefon bimbit mamanya berdering..."

"Kejap sayang, ada hal penting ni," kata mamanya.

Zarina faham tanggungjawab mamanya selaku Datin Azizah merangkap bos di syarikat ZAF Holdings.

"Mama sibuk tapi mungkin papa boleh tolong," detik hati kecil Zarina.

Apabila dia baru sahaja hendak menyuarakan hasratnya, tiba-tiba...

"Rina kejap lagi kita borak ye, papa ada hal penting dengan client ni," kata Datuk Faizal.

"Mama sibuk, papa pun sibuk. Inilah hidupku, ditunaikan segala permintaanku, diberikan segala yang dipinta tapi satu-satunya harta yang berharga tetapi tidak ada pada diriku, iaitu KASIH SAYANG.

"Di sekolah, kawan-kawanku mencemburuiku kerana aku kaya, hidup mewah, dan segala permintaanku sering dipenuhi tetapi tiada siapa dapat membaca jeritan hati kecilku ini." Zarina berfikir sendiri.

Setelah selesai papa dan mamanya menjawab panggilan, Zarina ingin menggunakan peluang itu untuk memberitahu mereka tentang pementasan itu.

"Papa, mama..."

"Eh, Zarina papa laparlah... kita cakap nanti jelah," kata papanya.

Selepas makan tengah hari Zarina terus ke bilik dan menangis sekuat hatinya. Dia melepaskan apa yang terpendam dalam hatinya. Dia tahu kalau dia menjerit sekuat manapun mama dan papa tetap tidak akan mendengar, kerana masing-masing sibuk dengan hal mereka.

Tiba-tiba kedengaran papanya bercakap dalam telefon di hadapan biliknya.

"Kamal, kalau kita tangguhkan projek ni, kita akan rugi besar. Kita tidak boleh membazir walaupun seminit kerana dalam masa seminit kita boleh mendapat RM500."

Lalu, Zarina mendapat idea. Selepas hari itu, Zarina telah berazam akan mengumpul RM500 sebelum tarikh pementasan itu. Jadi, wang sakunya selama lima hari yang diberikan oleh mama dan papanya tidak digunakan. Setelah seminggu Zarina hanya dapat mengumpulkan RM200.

Hari pementasan semakin hampir dan dia kesuntukan masa. Tiba-tiba, dia terfikir satu idea.

"Aku tiada cara lain, hanya ini sahaja yang dapat menolongku. Tetapi, cara ini bahaya. Aku mungkin akan dipecat daripada jawatan pengawasku ataupun dibuang sekolah," kata Zarina sendirian.

Pada waktu rehat, sehari sebelum pementasan, Zarina telah ke koperasi sekolah.

"Eh, macam mana ni ramai orang pulak? Tak dapat aku nak mencuri duit dari mesin itu," detik hati kecil Zarina.

Apabila keadaan beransur pulih dan orang ramai semakin berkurangan, Zarina dengan pantas mencapai RM300. Bagai dirasuk syaitan, Zarina dengan senang hati membawa duit itu ke kelas dan menyimpannya di dalam beg.

"Dapatlah aku mengajak mama dan papa ke pementasan itu nanti," fikir Zarina.

Sedang Zarina asyik termenung, tiba-tiba pengumuman berbunyi.

"Perhatian kepada Siti Zarina Haliza, pelajar Tingkat 4 Cekal, sila datang ke pejabat sekarang juga."

"Eh, tadi ada pengumuman memanggil... ke pejabat, tapi kenapa? Mungkin ada kaitan dengan pementasan atau ada pelajar yang nampak aku..." fikir Zarina sendirian.

Dengan langkah yang tenang, dia melangkah ke pejabat. Tiba-tiba dia terkejut besar apabila melihat mama dan papanya turut berada di situ.

"Datuk, seperti yang saya katakan tadi, anak Datuk dan Datin telah ditangkap mencuri di koperasi tadi." kata Guru Besar.

"Ya, rancangan aku berjaya. Akhirnya aku berjaya membawa mama dan papa ke sekolah walaupun dalam keadaan yang memalukan. Tiba-tiba Datuk Faizal bersuara dengan garang dan tegas.

"Zarina, kenapa buat macam ni? Kalau Zarina nak duit RM300, Zarina boleh minta daripada papa bila-bila masa. Tetapi, sekarang Zarina dah menconteng arang ke muka papa dan mama. Mana papa nak letak muka lepas ni? Zarina tak fikir ke sebab dan akibat perbuatan Zarina ni?"

"Papa, Zarina tahu akibatnya pada diri Zarina dan keluarga, tapi inilah satu-satunya cara yang Zarina boleh fikirkan untuk memastikan papa dan mama akan hadir semasa pementasan drama sekolah nanti."

Datin Azizah pula menyambung, "Pementasan drama? Kenapa Zarina tidak beritahu kami tentang pementasan drama ini? Kalau Zarina beritahu, pasti kami akan datang. Tetapi, sekarang apa dah jadi?"

"Zarina cuba beritahu tapi mama dan papa sentiasa sibuk dengan kerja masing-masing. Jadi Zarina tiada cara lain. Lagipun, Zarina terdengar papa berkata, kita tidak boleh membazir masa walaupun seminit kerana dalam masa seminit papa boleh dapat RM500."

"Jadi, Zarina telah mendapatkan RM500 untuk membeli satu minit daripada masa papa untuk papa hadir ke pementasan itu." Zarina sedar sudah banyak air matanya yang mengalir mengenangkan nasib dirinya.

Datuk Faizal dan Datin Azizah turut mengalirkan air mata. Baru kini mereka sedar, anak kesayangan mereka tidak pernah rasa bahagia walaupun segala hajat dan permintaannya ditunaikan. Bukan harta atau wang ringgit yang diperlukan, tetapi hanya kasih sayang yang dipinta.

Emily a/p Vivikumar

SM Sains Tg Abdullah

Raub, Pahang

No comments: