Pages

Saturday, November 08, 2014

Malam hitam di Miawaddi

Oleh Pradon Sakda

SEPANJANG perjalanan itu dia begitu berhati-hati menjauhkan dirinya daripada dikenali orang. Pernah sekali di puncak bukit tinggi yang strategik, menjadi sebahagian perbatasan, sebuah bas tergelincir dan terhumban ke dalam gaung yang ditebali hutan pokok pain. Bola mentari yang berlegar di hutan itu memancarkan sinarnya menembusi celah-celah ranting dan menyilaukan mata penumpang.

Kadang-kadang bas itu membelok mengikut jalan yang belum siap, yang apabila siap nanti dijangka menjadi Lebuh Raya Asia yang menghubungkan Negeri Thai dan Burma dan kemudian bas itu akan masuk kembali ke jalan lama meninggalkan gumpalan debu menyelubungi kehijauan daun di situ.

Akhirnya bas itu pun tiba di kawasan luar pergunungan dan menuju ke Mae Sod. Mae Sod, bagi mereka yang ada kaitan dengannya, maklum ia seperti desa lain yang sederhana besarnya, dan adalah sekelompok perkampungan yang bertebaran. Tetapi pasarnya amat sibuk sekali. Kedainya disesaki manusia dan menjadi satu kegiatan yang tidak disangka-sangka. Ia bukan sebuah pekan kecil di perbatasan terpencil seperti mula-mula dilihat seimbas.

Bas itu berhenti di pasar. Korn menghela nafas lega. Perjalanan yang membosankan itu selesai juga akhirnya. Sewaktu di dalam bas dia berasa khuatir, bukan takut sangat kerana bila-bila masa saja bas itu boleh tergelincir dan terhumban ke dalam gaung. Di pusat pemeriksaan terakhir sebelum masuk ke Mae Sod, Korn hampir panik apabila bas itu diarahkan berhenti untuk pemeriksaan sekali pun pihak polis ingin periksa cuma barang yang mereka bawa dan melemparkan jelingan menyampah kepada kargo manusianya.

Sebelum Korn turun dari bas dia bertanya kepada pemandu arah ke Hotel Mae Mei. Di situlah dia berjanji hendak menemui Ong Tone, orang kontaknya berbangsa Burma. Sambil menggalas begnya dia memanggil samlor. Dalam lima minit dia pun tiba di hotel.

Dibayarnya tambang samlor, masuk ke hotel dan meletakkan begnya di atas meja. Lelaki separuh umur yang duduk di belakang kaunter dan sibuk dengan buku akaunnya, bangun dan keluar.

"Ya, tuan mahu bilik?" Korn tidak menjawab, sebaliknya dia pula yang bertanya.

"Ada tidak orang bernama Ong Tone, orang Burma dari seberang sana datang bertanyakan sesuatu?"

"Oh, ya, ada, dua hari yang lepas. Dia ada meninggalkan pesan. Katanya, kalau ada sesiapa yang datang bertanyakan dirinya, katakan dia akan menunggu di tempat biasa." Dia menoleh sekali lagi kepada Korn. "Tentu tuan yang dimaksudkan?"

Lelaki muda itu mengangguk.

"Terima kasih. Saya ingin menempah sebuah bilik. Bilik satu katil saja..."

"Baik, tuan. Sila ikut tangga ini ke atas". Korn diberikan bilik di sebelah kanan. Biliknya sama saja seperti bilik lain di hotel wilayah itu, bilik air dan katilnya tidak satu pun yang bersih. Beberapa percubaan telah dibuat untuk menjaga kebersihan tetapi habuk dan kotoran tetap bermaharajalela.

"Lama tuan hendak tinggal di sini?" tanya pengurus itu.

"Saya belum tahu lagi," jawab Korn. "Akan saya beritahu kemudian."

"Sila telefon jika tuan memerlukan apa-apa. Kami sedia berkhidmat," kata pengurus sebelum dia turun.

Korn menutup pintu, menanggalkan pakaiannya, mencedok air dari kolam batu di bilik air dan menjirus ke badannya. Dia segera bersiap dan meninggalkan hotel itu.

Korn terus ke Sungai Mei yang menjadi sempadan semula jadi di antara Thai dan Burma. Apabila Korn tiba di situ, malam sudah pun menjenguk. Dia berjalan dengan selamba di jalan melewati kem Polis Kawalan Sempadan dan lapangan terbang. Malam itu diserlahi bulan merah yang terbit di ufuk kanopi pohonan dengan sinarnya yang amat menarik. Korn dapat menentukan duduknya pusat kawalan Miawaddi Burma samar-samar dalam gelap di seberang sungai sebelah sana. Di belakang pusat kawalan itu berbalam-balam candi yang memantulkan cahaya perak dari bulan yang baru mengambang itu.

Sejak pihak berkuasa Burma menutup sempadan itu, perhubungan antara penduduk di kedua-dua belah tebing sungai itu sentisa berada dalam kewaspadaan. Keadaan lengang sepi menyelubungi masyarakat yang menghuni di tebing bertentangan itu.

Korn memilih tempat yang paling cangkat dan mengharung ke seberang sana Miawaddi. Sungai Mei ganjil. Ia tidak mengalir ke Selatan seperti sungai lain, sebaliknya ke Utara. Ini mungkin kerana dataran tinggi di situ. Pada musim kering sewaktu airnya cangkat, tebingnya yang berpasir itu melandai sampai hampir ke tengah sungai. Tetapi di bahagian Thai, sungai itu semakin dalam pula. Di tengah-tengah sungai Korn tergamam kaku. Sesuatu, ada kemungkinan juga manusia, kelihatan bergerak di tebing di hadapannya. Dia mematikan dirinya buat seketika. Kemudian dia melihat satu lembaga turun ke sungai.

Apabila lembaga itu mendekat, Korn dapati yang datang itu rupanya seorang wanita muda. Wanita itu berhenti, menjeling kepada Korn dan terus mengharung air. Dia seorang wanita Burma dan cantik pula. Korn juga mengerling sedikit kepadanya apabila dia dapati wanita itu bukan Ong Tone, orang Burma yang berjanji untuk membantunya lari masuk ke Burma. Apabila dia tiba di tebing Miawaddi, Korn menunggu dengan penuh cemas dan harap.

Dia telah menunggu di situ lebih sejam lamanya. Namun masih tiada kelibat pun si Ong Tone itu. Untuk mengatasi kejemuan, dia memerhatikan wanita Burma itu dengan penuh asyik. Wanita itu mundar-mandir di sekeliling bangunan usang yang ditinggalkan, bangunan yang pada satu ketika dulu sebuah kedai minum tepi sungai, tetapi terpaksa ditutup kerana kawasan sempadan itu ditutup dan dikawal rapi.

Korn melihat jam tangannya. Hampir pukul sembilan. Ong Tone bukan orangnya yang suka mungkir janji. Tentu ada sesuatu yang menghalangnya. Setengah jam berlalu. Korn akhirnya membuat keputusan menyeberang balik ke tebing di sebelah Thai. Sekali lagi dia berselisih wanita Burma itu di tengah sungai. Dia dalam perjalanannya pulang ke Miawaddi.

Korn berhenti sebentar di tebing berpasir itu, kemudian perlahan berundur ke kedai minum yang sudah tutup dan pusat kawalan sempadan. Apabila dia menghampiri pusat kawalan itu, tiba-tiba keindahan sinaran bulan di situ terjejas. Satu suara dari belukar di hadapan memanggil namanya.

"Nai Korn! Berhenti di situ. Ini polis. Lebih baik kamu menyerah diri. Usah cuba melawan." Suara itu sudah cukup membuat Korn terpaku di situ. Dia tiba-tiba dikepung oleh dua atau tiga orang anggota polis beruniform yang melompat dari arah belukar. Korn merasakan tubuhnya seram-sejuk: fikirannya ligat memikirkan sesuatu. Segera terlekat di dalam kepalanya tindakan yang perlu diambil. Dia pun tidak membuang masa lagi.

Korn terus meluru ke tebing sungai dan melompat ke kawasan berlalang dan berguling-guling di situ. Fikirnya cuma satu: lari menyelamatkan diri.

Sedang dia berlari di tebing sungai itu kedengaran rentetan bunyi senjata api dilepaskan di belakangnya. Dia membelok pada satu penjuru dan tiba di sebuah belukar tebal, bergegas memanjat tebing dan terus berlari, mengharapkan pokok saja melindunginya. Dirasakan pula tembakan itu seperti datang dari arah tebing sebelah Miawaddi. Mungkinkah pihak polis Burma telah diberitahu untuk bekerjasama dengan pihak Thai? Dengan tidak menghiraukan duri dan ranting yang membidas tubuhnya, Korn terus berlari dan berlari dengan perasaan panik. Dia terus berlari sehingga tidak kedengaran lagi bunyi tembakan. Setelah berasakankeadaan tidak lagi membahayakan, mungkin buat sementara, Korn pun berhenti dan bernafas keras. Dia kini sudah sampai di pinggir hutan kecil berhampiran sungai.

Korn tidak menyangka keganasan wujud di kawasan sempadan itu. Tentu ada orang yang telah memberikan maklumat kepada polis supaya dirinya dapat disergap.

"Tentu aku tidak akan dapat bertemu dengan Ong Tone sekarang," fikirnya, masih termengah-mengah. Dia sungguh berasa letih, dan tidak lagi dapat menepati janji untuk bertemu. Harapannya untuk bersama konconya di Burma, untuk membantu mereka menyusun satu gerakan yang efektif kini kian tipis. Tepat di sini, di tebing Sungai Mei ini, segala yang telah diusahakan tidak menghasilkan apa-apa pun. Dia terdengar satu bunyi di belakangnya, dan lantas dia bertinggung cemas di sebalik perdu pokok. Satu lembaga muncul dari belukar sebelah sana dan berjalan ke arah dia sedang menyembunyikan diri itu.

Sambil berlari orang itu mengerang seolah-olah dalam kesakitan dan salah satu tangannya menyokong tangannya yang satu lagi. Korn memerhatikan sehingga orang itu rebah. Kemudian barulah dia bergegas melihatnya.

Rupa-rupanya seorang wanita muda, tercungap-cungap seperti Korn juga.

"Saya kena tembak," bahasa Thainya begitu pelat dan ganjil sekali bunyinya.

"Kena?"

"Polis Burma. Pelurunya mengenai lengan saya, tapi tidak teruk cederanya." Darah hitam menompoki seluruh pakaiannya.

"Terukkah sakitnya?" Tanya Korn. Dia tidak berani menyentuh wanita itu. Cuma diperhatikan saja.

Wanita itu tersenyum. Korn berasakan wanita itu memang ayu. Tetapi sekarang bukan masanya. Yang penting sekarang ialah untuk merawat lukanya.

"Tak apa-apa. Saya dapat menahannya," kata wanita muda itu. Kemudian bertanya kepada Korn."Apa kamu buat di sini?"

"Saya juga sedang melarikan diri daripada polis," keluh parau Korn.

"Lari daripada polis?" Wanita itu ulang tanya. Matanya dibeliakkan.

"Oh, tembakan yang satu lagi tu! Saya mendengarnya, tapi tak terfikir sama ada saya atau kamu yang diburu itu". Wanita itu duduk tegak.

"Saya seorang pelajar dari Rangoon. Panggil saja Mayin Nu."

"Mayin Nu," Korn menyebut ulang namanya.

"Saya Korn Pakdithai. Pelajar dari Bangkok." Wanita Burma merenung pada lelaki Thai itu.

"Ganjil sekali," kata wanita itu.

"Rasa saya tentu ada sesuatu yang sama pada diri kita."

"Saya juga berasakan begitu," angguk Korn, dan melihat cemas pada mata Mayin Nu. Korn mahu bertanya lebih banyak lagi tetapi dirasakan tidak perlu membuang masa dengan pertanyaan yang bersifat peribadi. Tentu pihak polis sedang menyongsong jejak mereka ke arah tempat mereka sedang bersembunyi itu.

"Mari kita lari saja dari sini," Korn mendesak. "Bahaya tinggal lama di sini. Mampukah kamu untuk meneruskan perjalanan, Mayin Nu?" Buat pertama kali Korn memanggil namanya.

"Ya, Korn, saya mampu." Mata mereka bertentang. Korn Pakdithai mencarikkan bajunya dan dengan carikan kain itu dia membalut luka di lengan wanita dari Burma itu. Kemudian mereka sama menyusur pinggir sungai. Sepi hening malam menyebabkan derap jejak mereka jelas kedengaran.

Malam dan kesepian semakin mendalam. Bunyi titisan embun pada daun menyelang-nyeli getaran sayap serangga halus yang berpanjangan itu. Kedua- dua orang yang diburu itu terus berjalan hati-hati apabila bulan tepat di atas kepala mereka sehingga bulan itu mula menyungkur di ufuk Barat. Akhirnya bulan itu terselindung di kanopi pohonan, tenggelam dan tidak kelihatan lagi meninggalkan hutan itu dengan ketakutan dan kegelapan.

Lelaki muda dan wanita yang melarikan diri untuk mendapatkan kebebasan seperti burung yang berkeinginan untuk terus terbang di bawah langit yang tinggi, luas dan bersih itu kemudian berhenti sebentar untuk bernafas.

"Sakit lagi tak luka tu?" Tanya Korn, sambil membantu wanita itu untuk bersandar pada perdu sebatang pohon. Dia kelihatan letih tidak bermaya, sedang Korn penuh dengan perasaan belas kasihan. Korn juga berasa terlalu letih dan tidak bermaya lagi untuk melangkah, walhal dia seorang muda yang gagah, sedang Mayin Nu cuma seorang wanita dan cedera pula. Mayin Nu tersenyum pada pemuda itu.

"Usahlah dikhuatirkan. Lukanya tidak dalam. Kita mesti lari, bukan begitu?" Direnungnya dalam-dalam ke mata Korn. Dia berasa syukur kerana perhatian yang diberikan oleh pemuda dari Negeri Thai yang ditemui secara kebetulan itu. Kalaulah pemuda itu tiada di situ untuk membantunya, pasti dia tidak dapat menyelamatkan dirinya.

"Bagaimana dengan dirimu, Korn, tak letihkah kamu?" Korn tersenyum padanya.

"Usah khuatirkan diri saya. Saya lelaki." Dia memerhati ke sekeliling. "Kita sudah jauh. Saya rasa sekarang kita selamat."

"Terima kasih atas pertolonganmu," kata Mayin Nu.

"Kita insan biasa yang ditakdir menanggung seksa, jadi kita perlu saling membantu bila kita berupaya," jawabnya dan melemparkan senyum pada wajah Mayin Nu yang pucat dari bawah bayangan pohon.

"Apa kesalahanmu sehingga diburu polis begini?" Wanita Burma itu mengeluh.

"Hmm, politik."

"Politik," Korn mengulanginya, tidak percaya. Matanya terus tertumpu pada muka wanita itu.

"Benar," Mayin Nu mengangguk.

"Saya terkenal sebagai penyokong pihak di sebelah sana."

"Jadi kamu bersimpati kepada doktrin demokrat?"

"Ya, saya menentang regim sosialis. Sosialisme menekan rakyat untuk berkuasa. Kuasa mutlak dipegang cuma oleh segelintir pentadbir. Kami mahukan demokrasi, dengan mengiktiraf hak dan kebebasan rakyat. Saya berharap sangat untuk menyeberangi sempadan dan menyusun sebuah kumpulan yang kuat di Negeri Thai. Saya telah menghubungi Voramit, seorang Thai yang telah berjanji untuk menunggu di sempadan. Tapi polis yang menemui saya." Mayin Nu terjeda sebentar. "Kemudian saya ditembak dan saya terpaksa berundur." Korn bangun, tergamam mendengarkan kata-kata wanita itu. Dia kebingungan, fikirannya kacau. Apa yang sebelumnya kelihatanbenar dan cantik semua itu sudah mula hilang kegemilangannya. Mayin Nu terus berbicara.

"Dulu negara saya terseksa di bawah belenggu kuasa penjajah. Hari ini kami di keduk kolonialis baru pula. Sungguh malang sekali nasib kami. Sahabat saya dan saya juga menolak sebarang bentuk penjajahan anjing pemburu mereka. Kami mahu hidup bebas di bawah pemerintahan demokratis."

"Jadi? Tapi saya kerap mendengar pihak sosialis melabelkan semua pemerintahan demokratis itu sebagai kolonialisme. Oh, itu pada zaman pancaroba sewaktu kuasa Besar sibuk mencakup negara asing untuk dijajah," Mayin Nu menerangkan. "Saya lari dari kolonialisme yang berbentuk kolonialisme-baru yang mencakup negara asing untuk diindoktrinasi ideologi mereka."

Hutan itu digemai kokokan ayam. Langit mula mencerah. Pelajar wanita dari Rangoon itu merengkot di perdu pohon. Tubuhnya diselimuti dengan baju Korn.Dia bergerak-gerak kecil, membuka matanya, duduk tegak dan memandang ke sekelilingnya. Dia tersenyum apabila terpandangkan Korn yang sedang bertenggek di atas sebatang kayu mati yang tidak jauh darinya sambil menikmati rokoknya. Dia cuma memakai anak bajunya saja. Bajunya ditanggalkan lewat subuh tadi untuk menyelimutkan Mayin Nu yang sedang nyenyak tidur itu.

"Dah lama kamu bangun?" Mayin Nu bertanya. Sakit di lengan membuatnya tergernyit sedikit, tetapi lukanya itu tidak berdarah lagi.

"Sepicing pun saya tak tidur," jawabnya, berjalan ke arah Mayin Nu.

"Mengapa tak tidur?" Tanya Mayin Nu lagi, terangkat bulu keningnya.

"Saya tak boleh tidur, jadi saya ke sana dan duduk di situ." Dia menunjuk ke arah kayu mati dan mencapai bajunya serta memakainya. "Bagaimana dengan luka tu?" Dia bertanya, membongkok melihat balutan di lengan Mayin Nu.

"Lega sedikit, terima kasih," katanya. "Berhampiran ada beberapa buah kampung. Boleh nanti saya cuba mendapatkan ubat untuk lukamu ini," dia menyambung.

"Tak berapa sangat lukanya," Korn bersetuju sambil membuka balutan untuk melihatnya.

"Malam tadi dalam gelap sangka saya teruk sangat," sambung Korn.

"Ah, lukanya tak seberapa," ujar Mayin Nu. Kemudian dia menukar tajuk.

"Ke mana kita hendak tuju hari ini. Kita terpaksa melarikan diri, rasa saya." Pelajar dari Bangkok itu tercegat kaku seketika dan kemudian berkata, "Tidak ada faedahnya terus melarikan diri. Semalaman saya memikirkannya. Saya mengambil keputusan untuk tidak terus melarikan diri." Wanita Burma itu merenungi muka Korn seolah-olah tidak percaya apa yang dia dengar.

"Apa maksudmu?" Korn menggeleng-gelengkan kepalanya.

"Di dunia ini di mana-mana sama saja," katanya. "Di mana saja mesti ada lebih daripada satu cara pemikiran. Lebih daripada satu golongan politik. Sekalipun kamu benar-benar yakin kepada perkara yang kamu percaya, kamu tidak dapat lari daripada bertembung dengan kepercayaan yang bertentangan dengan fahamanmu. Golongan pembangkang juga adalah golongan yang tidak mahu menuruti fahamanmu. Saya melihat segalanya seperti saya melihat kamu sekarang. Tidak ubah seperti melihat poskad dan menikmati keindahan gambar pemandangannya saja. Dalam realiti, setiap sesuatu ada buruk dan ada baiknya. Jadi apa yang baik bagi seseorang, ia juga boleh jadi baik bagi orang lain."

Mayin Nu kelihatan bingung dengan keterangan itu.

"Apa yang ingin kamu katakan itu?"

"Saya mahu memberitahumu sesuatu yang penting. Batalkan saja untuk mendapatkan sesuatu yang kamu hajatkan itu, kerana setelah kamu memperolehinya nanti ada pula yang lain yang kamu hajatkan dan cuba mendapatkannya. Ia tidak berkesudahan." Mayin Nu kebisuan.

"Percayalah pada saya. Usah teruskan cita-citamu itu," pujuk Korn, sungguh-sungguh. "Manusia ini memang ganjil. Apabila beroleh yang baik dia mula pula ingin mendapatkan yang lebih baik. Kita sentiasa percaya rumput itu lebih hijau tumbuhnya di padang ragut orang lain. Kita selalu mahukan sesuatu itu berbeza daripada sepatutnya, Mayin Nu. Batalkan saja rancanganmu untuk lari ke negeri saya. Apabila kamu berada di negeri Thai nanti kamu akan berhadapan dengan masalah yang sama juga, yakni masalah yang mendesak kamu untuk lari meninggalkan Burma. Saya juga mempunyai rancangan hendak lari ke negerimu, seperti kamu hendak lari ke negeri saya."

"Korn, benarkah kamu menyokong sosialisme?" Bertanya Mayin Nu, terbeliak matanya.

"Saya tidak tahu apa sebenarnya yang menggelengkan kepalanya, "Sehinggalah saya bertemu dengan kamu. Sekarang saya sudah tahu. Saya mahu terus tinggal di negara saya sendiri, bukan hidup di tengah-tengah masyarakat asing."

Langit mencerah dan pagi pun menjenguk. Dua pelarian yang berlainan bangsa, tetapi mempunyai cita-cita yang tidak berbeza itu berjalan kembali ke sungai.

"Tidak ada tempat lain sebaik tempat sendiri," kata Korn, memandang ke sungai dan kabus halus yang berpintal malas berapung ke atas.

"Pulanglah dan hidup gembira di samping bangsamu sendiri di negaramu!" "Saya akan pulang," kata Mayin Nu, menyerah kalah.

"Kiranya apa yang saya inginkan itu benar-benar tidak wujud di mana- mana, rasanya saya perlu pulang saja."

Korn menghirup dalam-dalam udara nyaman pagi hari itu. Pertama kali buat sekian lama dia merasakan begitu damai.

"Kita telah terselamat daripada malam kita yang hitam itu. Marilah kita sama berharap agar kita tidak akan menempuh malam serupa itu sekali lagi."

Pagi semakin cerah dan cerah dan akhirnya terserlah bola mentari, sinarnya menggerayangi permukaan air yang tenang kaku di antara dua tebingnya yang tinggi diselimuti belantara. Burung sudah mula meninggalkan sarang dan sibuk berkicauan sesama mereka. Belantara yang gelap di belakang Sungai Mei tiba-tiba digerakkan daripada tidurnya. Di sungai yang menjadi sempadan semula jadi antara Negara Thai dan Burma, pemuda Thai dan wanita dari Burma itu pun berpisah untuk menuju jalan masing-masing.

"Selamat tinggal, Mayin Nu."

"Selamat tinggal, sahabat. Diharap kita tidak bertemu lagi dalam keadaan begini." Mata mereka bertentang, merasakan persahabatan yang terjalin hasil perkongsian sengsara dan berjanji tidak akan melupakan malam hitam di Miwaddi itu. Kemudian mereka berpaling, masing-masing mengikut lorong yang akan membawa mereka ke negeri yang masing-masing cuba tinggalkan.

BIODATA PENGARANG

Paradon Sakda bekerja sebagai Penolong Editor mingguan popular Mae Sri Ruen, di mana kebanyakan karyanya dimuatkan. Malam Hitam Di Miawaddi adalah sebuah komen terhadap masyarakat, pertama kali disiarkan dalam majalah Sakul Thai.

* Judul Inggeris: Black Night at Miawaddy, dipetik daripada Taw and Other Thai Stories, 1975.

Terjemahan Nazel Hashim Mohamad

No comments: