Pages

Monday, November 03, 2014

Sejalur harapan

Oleh Nazri Hussein

MUSIM luruh di Kota Cambridge yang tenang itu tidak ubah sebuah taman bunga yang menghamburkan kewangian tanah dan kuntum bunga yang gugur memancarkan seribu aneka warna di persekitaran. Jejeran pohon rimbun yang tersusun menghadap ke pinggir jalan di kota yang sentiasa dikerumuni manusia itu, seperti mengingatkan aku kepada barisan pohon hijau yang meminggiri sepanjang Jalan Tun Abang Haji Openg berhampiran Akuarium Negeri di tanahair.

Masuk bulan kedua di pinggir kota Inggeris yang berjelaga ini aku seperti orang asing yang kerap kehilangan arah. Meskipun ada teman pelajar yang dapat diajak berbual tentang tanahair yang jauh, atau sesekali mengunjungi pustaka umum bersebelahan bangunan yang menempatkan kampus utama, namun aku lebih senang bersendirian mengelilingi kota Cambridge yang dingin sambil menikmati udang rebus atau sandwitch salad yang dijaja di sepanjang pinggir jalan menuju ke kampus induk.

MUSIM luruh di Kota Cambridge yang tenang itu tidak ubah sebuah taman bunga yang menghamburkan kewangian tanah dan kuntum bunga yang gugur memancarkan seribu aneka warna di persekitaran. Jejeran pohon rimbun yang tersusun menghadap ke pinggir jalan di kota yang sentiasa dikerumuni manusia itu, seperti mengingatkan aku kepada barisan pohon hijau yang meminggiri sepanjang Jalan Tun Abang Haji Openg berhampiran Akuarium Negeri di tanahair.

Masuk bulan kedua di pinggir kota Inggeris yang berjelaga ini aku seperti orang asing yang kerap kehilangan arah. Meskipun ada teman pelajar yang dapat diajak berbual tentang tanahair yang jauh, atau sesekali mengunjungi pustaka umum bersebelahan bangunan yang menempatkan kampus utama, namun aku lebih senang bersendirian mengelilingi kota Cambridge yang dingin sambil menikmati udang rebus atau sandwitch salad yang dijaja di sepanjang pinggir jalan menuju ke kampus induk.

Hampir setiap hari minggu aku menghabiskan sepanjang malam dengan menonton teater terbuka, yang dipentaskan di bangunan muzium lama yang diubah menjadi panggung terbuka. Memang, kota kecil yang terletak di pinggir utara London ini adalah pusat pementasan teater yang agak terkenal di Eropah. Betapa kota Cambridge yang tenang dengan musim luruh yang sesekali berada di penghujungnya sesekali bagaikan menghulur salam kemesraan terhadap perantau sepertiku yang berjauhan dari tanahair sendiri.

Sejak mula menjejaki tanah Inggeris ini aku masih diselubungi kehangatan rindu kepada keriuhan bandaraya Kuching yang hampir dua puluh tahun membesarkan aku. Ingatan kepada Ummi, Kak Hanum dan kedua-dua anak saudaraku yang comel - Shasha dan Zizi, tidak mampu dipadamkan begitu sahaja. Sesungguhnya merekalah yang kerap singgah di dalam mimpi-mimpi lenaku. Semenjak aku bersama-sama arwah abah membuat umrah di Mekah hampir sepuluh tahun yang lalu inilah pertama kalinya aku meninggalkan tanahair, sekaligus kota Kuching, yang sudah bersebati dengan hidupku untuk meneruskan pengajianku di dalam bidang Undang-Undang.

Kalaulah tidak kerana desakan Kak Hanum, kakak sulungku, sudah pasti aku terlebih awal mendaftarkan diri di sebuah pusat pengajian tinggi di tanahair. Tetapi aku akur kepada desakan keluarga meskipun naluriku kerap memberontak. Itulah kelemahanku yang masih gagal kuatasi sendiri.

Sebetulnya aku begitu rapat dan akrab dengan Ummi sejak arwah abah kembali ke Rahmatullah beberapa tahun lalu kerana mengidap penyakit barah paru-paru yang dideritainya begitu lama.

Ummi kerap menceritakan rahsia hidup abah kepadaku sehinggakan aku seperti dapat merasakan abahlah manusia tulen yang banyak mengajarku erti pengorbanan hidup sebenar. Dari situlah aku dapat mengetahui serba sedikit perjalanan hidup abah yang terpaksa melalui pelbagai rintangan dan duri ranjau sebelum berjaya mencipta nama besar di kota ini.

Melalui Ummi, aku belajar memahami kegigihan abah, bermula daripada seorang buruh kasar di pedalaman terpencil hinggalah berjaya menjadi pengarah beberapa syarikat bertaraf antarabangsa.

Abahlah bumiputera terawal yang berjaya merintih nama sebagai usahawan yang mampu meneroka bidang yang begitu mencabar yang jarang-jarang diceburi oleh kaumnya. Kejayaan abah menjadi sanjungan masyarakat. Buah fikiran dan idea abah amat berharga, malah dijadikan panduan mencapai kejayaan. Barangkali akulah yang paling bertuah mempunyai abah yang serba menakjubkan.

Ketabahan dan kecekalan abah terus tersemat di dalam jiwa ragaku sebagai satu-satu anak lelaki tunggalnya.

Namun Ummi, ahhh. Ummi kerap kesepian tanpa abah. Apalagi aku yang selalu menjadi tempat Ummi mencurahkan rasa sunyinya. Meskipun abah meninggalkan segala-galanya untuk Ummi - kemewahan, rumah kediaman, ekuiti saham di syarikat abah serta sebuah kilang pakaian berjenama unggul namun Ummi tidak mampu membendung perasaan sepinya semenjak abah tiada.

Lambaian Ummi, Kak Hanum, Shasha dan Zizi sewaktu aku melangkah menaiki pesawat kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching seperti terbayang di ruang ingatanku.

"Hati-hati di negeri orang. Jaga budi bahasa, adat resam kita sebagai orang Timur. Jangan sekali-kali jadi macam kehidupan Pak Usumu dulu..."

Suara Ummi mendatar dan ringkas. Aku teringat kata-kata Ummi di dalam isi suratnya, yang dikirimkan kepadaku berserta sekeping poskad yang berlatarkan pemandangan pantai Santubong yang memutih, serta laut yang kebiru-biruan. Segera wajah Pak Usu yang sudah lama hilang itu muncul mendadak di ruang ingatanku.

Wajah adik bongsu kesayangan abah itu tiba-tiba melontarkan rasa sebak yang menguasai naluriku. Memang Ummi patut merasa kecewa terhadap Pak Usu. Penat lelah abah mencagarkan beberapa hektar tanah sawah pusaka nenek di kampung semata-mata untuk menghantarkan Pak Usu melanjutkan pelajaran ke luar negeri langsung tidak berbalas apabila Pak Usu pulang tanpa membawa segulung ijazah yang diharap-harapkan oleh keluarga.

Malah, apa yang lebih mengecewakan abah, Pak Usu kembali dari luar negeri bersama-sama seorang wanita Inggeris yang berambut perang dan bermata biru itu. Sesuatu yang tidak dapat diterima oleh abah ialah Pak Usu mula terikut-ikut dengan cara kehidupan orang barat yang pernah mengokong dirinya selama beberapa tahun di luar negeri. Tingkah laku, cara berpakaian, tutur bicara sehinggalah kepada falsafah hidup Barat ditiru bulat-bulat!

Hinggalah umurku meningkat remaja abah kerap bercerita tentang Pak Usu, adik lelakinya. Tentang Pak Usu yang sangat akrab dengan abah sewaktu kecil. Tentang Pak Usu yang sewaktu remajanya fasih menghafaz dan membaca al-Quran serta taat mengerjakan sembahyang. Malah, suara Pak Usu yang lunak merdu itu kerap menjadi perhatian banyak gadis di kampung. Abah yang seringkali cemburu dengan kelebihan yang ada pada Pak Usu akan menggunakan segala kesempatan untuk menindas adik lelakinya.

"Pernah sekali itu abah memukul Pak Usu sehingga lebam kerana seorang gadis yang secara diam-diam abah suka rupanya meminati Pak Usu. Nasib baik nenek kau datang lalu mengejar abah hingga abah terpaksa lari bersembunyi di pondok sawah di tengah sawah..."

Abah menunjukkan gambar lama bersama Pak Usu di kampung. Sehinggalah aku berangkat ke luar negeri gambar-gambar tersebut masih di dalam simpananku. Memang arwah abah sendiri yang meminta aku menyimpan gambar-gambar lamanya.

"Apabila Pak Usumu pulang dari luar negeri dia mula berubah. Dia tidak seperti adik abah yang rajin mengerjakan sembahyang dan taat menunaikan ibadah. Dia bukan seperti yang abah kenali dulu. Dia sudah banyak berubah. Barangkali isterinya yang berbangsa Inggeris itu telah mempengaruhi kehidupannya. Abah telah cuba menasihatinya supaya menjalani hidup sebagai seorang muslim yang sempurna setiap kali itulah abah gagal. Malah, kadang- kadang abah dituduh hendak mengganggu keharmonian hidupnya. Memang abah benar-benar kecewa..."

Abah akan menelekup kedua-dua tangannya ke muka sambil melepaskan satu keluhan yang panjang. Itulah yang sering abah lakukan setiap kali bercerita tentang adik lelakinya.

"Sayang...kemalangan jalan raya yang menimpa Pak Usu sewaktu pulang dari menghadiri parti di sebuah hotel telah meragut nyawanya bersama isteri kesayangannya. Sewaktu mayatnya baru ditemui mulutnya masih berbau alkohol..."

Dan abah akan mengakhiri ceritanya dengan perasaan kesal yang teramat sangat, yang bergelumang di jiwanya. Barangkali abah kecewa kerana gagal membetulkan kehidupan Pak Usu sebelum hari kematiannya. Itulah yang kerap mengganggu ingatan abah sehinggalah abah menghembuskan nafasnya yang terakhir beberapa tahun kemudiannya.

"Kalaulah abah kamu masih ada, tentu sahaja dia akan gembira melihat kejayaan anak lelaki tunggalnya. Setidak-tidaknya kekecewaan abah terhadap Pak Usu tentu akan dapat ditebus. Ketika Pak Usu berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negeri abahmulah orang yang paling riang.

"Apa tidaknya, Pak Usu adalah orang pertama dari kampung abah yang berjaya ke luar negeri. Habis serata kampung dicanangnya berita gembira itu. Abahmulah yang sanggup menumbangkan seekor kerbau jantan untuk mengadakan kenduri meraikan kejayaan ini. Tapi, bila Pak Usu gagal, abahmu menjadi orang yang paling kecewa. Apalagi dalam keadaan Pak Usu ketika itu. Sebab itulah, abah mengambil keputusan meninggalkan kampung halaman untuk membina hidup baru di kota ini."

Suara Ummi masih jelas kedengaran di corong telefon bersama-sama titis salji yang meluruh dari langit memenuhi hampir sebahagian kawasan rendah di pinggir kota Cambridge yang mula dilanda musim sejuk.

Memang, sejak akhir-akhir ini aku kerap menelefon Ummi di tanahair tercinta. Rasa rindu pada suara Ummi akan terubat selepas mendengar cerita dan celoteh Ummi yang panjang itu. Ummi akan kerap bercerita tentang keadaan bandaraya Kuching yang dipenuhi manusia kerana menyambut berbagai pesta meraikan Tahun Melawat Malaysia.

Bandaraya yang banyak menyimpan cerita sejarah itu tentu sahaja menerima kunjungan berbagai rupa pelancong dari seluruh pelusuk dunia yang ingin menikmati keindahannya. Tentu sekali mereka akan terkejut menyaksikan rimba hijau yang banyak menyimpan spesis flaura dan fauna yang menakjubkan. Keramahan dan sopan santun yang ditunjukkan oleh anak bangsaku pasti menawan hati mereka. Memang semenjak dahulu lagi resam ketimuran dan adat tradisi begitu menebal dalam jiwa bangsaku.

Juga Ummi menceritakan musibah dan tragedi yang menimpa tanahairku. Banjir besar yang melanda sebelah timur tanahair, kemalangan jalan raya yang semakin meningkat, peristiwa tanah runtuh yang mengorbankan nyawa termasuklah juga tragedi pangsa puri tumbang di pinggir Kuala Lumpur yang menggemparkan seluruh negara, semuanya menjadi bahan perbualan Ummi.

Dan sesuatu yang tidak dapat Ummi lupakan setiap kali menghubungiku ialah nasihatnya supaya aku lebih berhati-hati dan menjaga diri di rantau orang. Ummi akan berpesan kepadaku supaya sentiasa berwaspada memilih teman apa lagi teman perempuan. Barangkali Ummi takut dan bimbang aku akan terpikat dengan wanita Inggeris seperti Pak Usu, fikirku.

Mulanya aku tersenyum panjang apabila Ummi meminta supaya aku pulang ke tanahair sepanjang cuti musim luruh akan datang. Barangkali Ummi hanya memberi cadangan sedangkan aku telah membuat perkiraan untuk berkunjung ke rumah Jane, rakan sekampusku yang terletak jauh di selatan kota London itu.

"Sebuah perkampungan yang masih mengekalkan ciri-ciri tradisionalnya. Kau pastinya akan terhibur nanti. Aku akan perkenalkan kepada keluargaku...," kata Jane yang berwajah lembut yang secara tiba-tiba menjadi rakan akrabku sewaktu tuisyen atau sesekali membantuku mendapatkan buku rujukan di perpustakaan pusat. Gadis Inggeris yang peramah itu tidak pernah merasa asing meski bertemankan seorang pemuda Asia.

"Aku kagum dengan negaramu yang unik dan menarik. Pantainya yang putih serta hutan menghijau mendamaikan perasaan berbanding di sini. Apalagi masyarakat yang penyayang serta hormat-menghormati," terang Jane jujur setiap kali menatap gambar-gambar pemandangan tanah air yang dikirimkan oleh Ummi kepadaku.

"Suatu hari nanti aku akan mengunjungi negaramu yang terkenal itu. Aku ingin menyaksikan sendiri pemandangannya yang cantik serta pohon-pohon kelapa yang melambai di pinggir pantai. Keramahan masyarakatnya tentu sahaja menyajikan kemesraan. Tentu sahaja semua itu tidak ada di negaraku ini. Sungguh, aku rindui keindahan negaramu...juga tanah kelahiranku sendiri."

Kata-kata terakhir Jane membuatkan aku tersentak beberapa kali. Apakah aku yang tersilap mendengar atau Jane yang cuba bermain teka-teki? Beberapa hari persoalan itu tidak berjawab sehinggalah Jane memberi penjelasan yang lebih lengkap dan aku bagaikan tidak percaya mendengarnya.

"Kau tahu, ayahku pernah bertugas di tanahairmu hampir tiga puluh tahun yang lalu. Sebagai ketua platun tentera yang berpangkat sarjan ayahku ditugaskan untuk mengawal pemberontakan penduduk tanahairmu yang menentang pentadbiran Inggeris.

"Apabila tanahairmu merdeka ayah masih menyambung tugasnya di negaramu. Beberapa tahun kemudian ayah bertemu jodoh dengan orang tempatan. Selepas kontrak ayah tamat ayah dan ibu berangkat pulang ke sini, iaitu selepas beberapa tahun aku dilahirkan. Begitulah ceritanya, dan salahkah aku merindui tanah kelahiranku sendiri?" sambung Jane dengan wajah penuh ceria menyelubungi gelodak keinginan yang bersarang di nubarinya.

Aku amat senang dengan ceritanya itu. Sekaligus Jane yang berfikiran terbuka dan berterus terang dalam semua perkara menjadikan persahabatan kami sentiasa segar dan intim.

Namun sesekali teori kebaratannya kerap meracuni pemikirannya sewaktu kami berhujah pendapat. Bunga-bunga pertelagahan akan timbul selepas dididik oleh abah dengan falsafah mantiknya tidak mudah melatah dengan rumusan dan idea-idea Jane yang lebih berunsurkan kaedah logika dan akal sempit semata.

Suatu pagi yang dingin ketika aku bersiap-siap menemani Jane ke perpustakaan pusat aku agak tersentak apabila menerima surat dari Ummi yang bersertakan sebuah potret seorang wanita yang tidak kukenali. Tulisan tangan Ummi yang kurang tersusun masih dapat kubaca dengan jelas berulangkali.

...Ummi tahu kau akan terkejut bila menatap gambar wanita yang Ummi sertakan ini. Tentu kau masih ingat sewaktu kau masih kecil dulu. Abah dan Ummi pernah membawa kau pulang ke desa kelahiran abah yang jauh di pedalaman. Kita singgah dan bermalam di sebuah rumah kayu yang berdekatan bendang padi yang menguning. Waktu itu kau sungguh gembira dapat berlari- lari mengejar burung-burung yang memakan padi sambil bertemankan seorang gadis kecil yang bertoncang dua. Anak kecil itulah yang selalu mengajar kau membaca al-Quran setiap kali selepas waktu maghrib. Dialah Atikah...anak Pak Ngah kau yang telah dewasa dan sekarang berada di tahun dua pusat pengajian tinggi di tanahair.

...Ummi sudah berkira dengan keluarganya untuk menjodohkan kau apabila kau pulang bercuti di tanahair nanti. Ummi pasti kau akan bersetuju dan gembira dengan pilihan Ummi...

Aku melepaskan satu keluhan yang panjang yang kurasakan menjadi beban yang memberat di dalam jiwaku kini. Sememangnya aku tidak pernah lupa pada peristiwa yang menjelahi hidupku di zaman kanak-kanak. Memang aku kerap mengingati wanita kecil itu yang pernah membantuku apabila aku digigit lintah ketika mengharung air paya separas pinggang. Kalau tidak kerana Atikah, gadis yang Ummi maksudkan tidak dapat aku pastikan apa yang bakal menimpaku ketika itu.

Setelah aku berjaya menyambung pelajaran ke sekolah berasrama penuh, hubunganku dengan desa kelahiran abah terputus terus. Kesibukanku pada pelajaran melupakan aku pada Atikah dan sawah bendangnya. Apatah lagi abah yang jarang-jarang pulang selepas berjinak-jinak dalam bidang politik. Menurut Ummi, abah telah menjualkan seluruh tanah bendang pusaka nenek kepada rakan kongsi di dalam syarikatnya.

Sebab itulah abah mula melupakan kampung halamannya. Sehinggalah aku meningkat dewasa aku tidak pernah lagi menjejakkan kaki di tanah kelahiran abah itu, apalagi mengunjungi sanak-saudara abah yang masih ada. Cuma yang aku tahu, kampung tersebut sudah mula mengalami perubahan. Jalan tanah merah menuju ke situ telah berganti dengan jalan yang diturap tar. Sawah padi yang terbentang sudah terbiar ditumbuhi lalang dan rumput.

Sungguh, aku bagaikan terdesak dengan permintaan Ummi yang berat itu. Sejauh ini aku belum pernah mengecewakan hati Ummi apa lagi melukakan hatinya. Ummi adalah segala-galanya bagiku. Menentang keinginan Ummi bermakna aku seolah-olah membelakangkan Ummi dalam semua perkara.

Tetapi aku harus lebih jujur pada diriku sendiri. Selama ini aku kerap terkongkong dengan pengaruh Ummi dalam membuat sesuatu keputusan. Aku tidak harus membohongi Ummi lagi. Suatu ketika nanti, Ummi harus menerima kenyataan ini dan aku perlu menyatakan isi hatiku dengan sejujur-jujurnya. Ummi perlu faham yang anak lelakinya telah dewasa untuk mencorakkan kehidupan sendiri.

Cadangan Ummi hendak menjodohkan aku dengan saudara sepupuku tentulah sebahagian daripada cita-cita Ummi hendak menyatukan kembali hubungan kekeluargaan dengan saudara mara abah di kampung. Barangkali Ummi mahu menyambung semula ikatan yang sekian lama terputus itu. Namun itulah yang tak mampu kupenuhi kerana aku sebenarnya sudah terpikat dengan Jane. Apalagi setelah mendengar keinginannya untuk mengembalikan warisan hidupnya yang telah lama hilang.

Gadis kacukan kelahiran Malaysia itu akan gembira setiap kali aku memberitahunya yang aku akan membawanya pulang ke tanahairnya sendiri. Ternyata Jane masih berdarah Malaysia dan semangat patriotiknya masih membara terhadap tanah kelahirannya sendiri meskipun hampir sebahagian usianya dihabiskan di tanah Inggeris itu.

Sudah pasti aku akan membawa Jane mengelilingi seluruh tanahair yang dirindui bertahun-tahun, bermula dari pulau peranginan Langkawi di utara hinggalah ke tanah Labuan yang tenang dan mengkagumkan. Paling tidak lupa, aku akan membawa Jane ke perkampungan nelayan di pinggir Laut China Selatan yang pernah membesarkannya hampir dua puluh tahun yang lalu.

Dan yang lebih penting dari itu, Jane akan menjadi seorang rakyat Malaysia yang setia dan telah bersedia menjadi sebahagian dari hidupku. Itulah yang telah kami persetujui sewaktu melawat keluarganya di selatan kota London sewaktu cuti musim luruh yang lalu.

Pagi yang cerah itu, ketika tetompok salji masih memutih di beberapa kawasan rendah pinggir tanah Inggeris yang tenang itu, iaitu setelah hampir dua bulan surat Ummi terbiar tanpa jawapan, aku telah bersedia untuk mengirim sekeping poskad kecil berlatarkan pemandangan musim sejuk yang cantik kepada Ummi dengan isi yang agak ringkas tetapi penuh makna.

...Saya harap Ummi janganlah risau tentang diri saya di rantau orang ini. Sebetulnya, saya akan kembali ke tanah air beberapa minggu dari sekarang. Dan Ummi, janganlah terkejut kerana saya akan pulang bersama- sama seorang sahabat yang setia, teman yang sealiran, sekaligus isteri yang solehah, Nur Hana Jane Abdullah.

... Moga-moga Ummi gembira menerimanya sebagai sebahagian dari anggota keluarga kita.

No comments: