Pages

Thursday, November 13, 2014

Maafkan Saya, Pak Cik...

Oleh Mohd Iqbal Hadzir

Yasir berumur enam tahun. Dia tinggal Ydi sebuah rumah yang sederhana besarnya dalam bandar. Dia tinggal bersama ibu dan ayahnya.

Yasir mempunyai seorang adik perempuan yang masih kecil bernama Yasmin. Yasmin baru saja berumur dua tahun. Setiap hari Yasmin minum susu lembu yang dihantar oleh seorang petani. Petani ini mempunyai seekor lembu.

Pada hujung minggu, ayah Yasir yang bernama Saadan membawa Yasir dan keluarga ke sebuah taman permainan yang terdapat di hujung bandar tersebut. Mereka membawa bekalan makanan. Mereka pergi menaiki kereta. Ayah Yasir memandu kereta tersebut.

"Hari ini, hari cuti, mari kita pergi ke taman permainan. Kita bersiar-siar," kata ayah Yasir.

Yasir dan adiknya Yasmin amat gembira. Mereka berpakaian serba baru dan cantik.

Sepanjang perjalanan, Yasir dan adiknya Yasmin

bernyanyi-nyanyi. Mereka berdua duduk di tempat duduk belakang. Ibu mereka duduk di hadapan bersama ayah.

Setelah sampai ke taman, ibu Yasir membentangkan tikar di bawah pokok yang rendang. Yasir lihat ramai orang telah tiba bersama keluarga masing-masing.

Yasir bermain bola bersama kanak-kanak lain yang hanya dikenalinya pada hari itu. Yasmin tertidur di atas pangkuan ibunya. Ayah Yasir hanya bersandar di perdu pokok sambil memerhatikan Yasir bermain.

Setelah penat, Yasir mengajak kawan-kawannya makan bekalan yang dibawa oleh ibunya. Yasir membaca doa makan setelah disuruh oleh ayahnya.

"Yasir! kamu bacakan doa makan," kata ayah Yasir.

Selepas makan Yasir meminta izin ayahnya untuk bermain di tempat yang agak jauh dari tempat mereka berteduh tadi.

"Tak apa Yasir, ayah izinkan. Tetapi jangan terlalu jauh," ayah Yasir mengizinkan anaknya pergi.

Ketika bermain Yasir ternampak seekor lembu tertambat di sebatang pokok berdekatan dengan padang. Yasir mengambil batu lalu melontarkan ke arah lembu itu. Kawan-kawan Yasir juga melontar batu ke arah lembu tersebut. Lembu itu telah tercedera. Kakinya berdarah. Yasir dan kawan-kawannya ketawa.

Yasir kembali semula kepada ibu dan ayahnya. Apabila menjelang petang, mereka pulang ke rumah dengan gembira sekali.

Pada malam itu, Yasir tidur dengan nyenyaknya. Begitu juga adiknya, Yasmin.

Keesokan harinya, Yasmin menangis kerana dahagakan susu lembu. Petani yang selalu datang menjual susu tidak datang pada hari ini. Hanya petani itu sahaja yang menjual susu lembu pada setiap hari.

"Mengapa petani itu tidak datang?" Tanya Saadan kepada isterinya.

Emak Yasir hanya menggelengkan kepalanya.

Ayah Yasir terus menemui petani yang menjual susu lembu untuk mengetahui mengapa dia tidak datang menjual susu pada hari itu.

"Lembu saya sakit! Saya tidak boleh memerah susunya pada hari ini," jelas petani itu.

"Kenapa tiba-tiba saja lembu kamu sakit?" Tanya ayah Yasir lagi kepada petani tersebut.

"Entahlah, kelmarin saya tambatkan di luar sana. Tiba-tiba kaki lembu saya berdarah. Mungkin kanak-kanak nakal yang melakukannya," jelas petani.

Ayah Yasir pulang semula ke rumah memberitahu isterinya. Yasmin masih menangis kerana dahagakan susu lembu. Yasir kelihatan termenung saja.

"Kenapa kamu termenung Yasir?" Tanya ayah Yasir kepadanya.

Yasir menjelaskan bahawa dia dan kawan-kawannya yang mencederakan lembu petani itu. Dia tidak tahu lembu itu yang susunya dijual setiap hari.

"Yasir meminta maaf kerana kawan-kawannya telah mencederakan lembu petani itu," Yasir mengakui kesilapannya dan memohon maaf daripada ayahnya.

"Ayah boleh maafkan, tetapi Yasir mesti meminta maaf kepada petani itu juga," ayah Yasir menasihati anaknya.

Dia terus membawa Yasir mememui petani itu dan memberitahu segalagalanya.

"Maafkan saya Pak cik," kata Yasir.

"Pak cik maafkan kamu, tetapi lain kali jangan lagi kamu menyeksa binatang!!" kata petani itu.

Yasir menganggukkan kepalanya.

Ayah Yasir memberitahu petani itu anaknya Yasmin dahagakan susu lembu. Petani itu amat kasihan apabila mendengar berita itu.

Petani itu terus mengambil susu yang disimpan di dalam peti sejuk dan diberikan kepada ayah Yasir untuk dibawa pulang.

Yasmin tidak lagi menangis apabila telah dapat minum susu lembu pada hari itu. Ayah dan ibu Yasir berasa lega dan senang hati.

Setelah beberapa hari, lembu petani itu telah sembuh. Dia dapat memerah susu lembu setiap hari dan menjualkannya kepada ayah Yasir dan orang lain.

Sejak peristiwa itu, Yasir telah menjadi kanak-kanak yang baik. Dia tidak lagi mahu menyeksa binatang. Hiduplah Yasir dengan keluarganya dengan aman selama-lamanya.

No comments: