Pages

Thursday, November 27, 2014

Sekeras Zul, setabah Hana

"ZUL bangun, dah pukul 7.30 ni! Engkau tak nak ke sekolah ke?" Laung Mak Nah dari tingkat bawah.

"Ah, terlewat lagi! matilah aku."

Dengan keadaan tergesa-gesa aku mencapai tuala lalu menuju ke bilik air.

"Sarapan dulu Zul."

"Tak apalah mak, Zul dah lewat ni."

Sampai di pintu pagar sekolah Menengah Kebangsaan Dr Burhanuddin, aku ditahan pengawas yang bertugas di situ.

"Hai, Ana! Apa alasan awak kali ini. Bas terlepas ke? Tayar basikal pancit? Motor awak kehabisan minyak atau helikopter awak rosak?"

Sindiran yang dilemparkan oleh pengawas yang bernama Hakimi itu betul-betul memanaskan telinga dan mendidihkan hati aku. Nak sahaja aku menjawab LRT aku terkandas. Namun perasaan sabar itu masih lagi mengawal emosi aku.

"Macam biasa Ana, jalan terus belok kiri. Tunggu di depan pintu bilik itu."

Panggilan yang paling aku benci dengan, "Ana" dan tempat yang selalu aku lawati, bilik PK HEM. Macam bisa denda mengutip sampah satu waktu pembelajaran menjadi hadiah kepadaku.

"Zul, takkan engkau hendak bersikap begini. SPM makin hampir tiba, bilakah engkau hendak berubah?" Kata sahabat baikku Hani suatu hari.

"Ala, nanti aku berubahlah..."

****

"Kenapa Zul? Sejak akhir-akhir ni aku tengok engkau tak sihat. Engkau ada apa-apa ke?"

"Tak ada la, aku biasa saja," akui aku dengan lemah namun sebaliknya hanya tuhan sahaja yang tahu.

Memang aku akui, sejak dua tiga minggu ini aku tidak berapa sihat. Selalu sahaja pening kepala. Kadang-kadang aku terpaksa menelan panadol sebanyak tiga biji sekali gus kerana aku tidak sanggup menghadapi kehidupan sebegini.

Sudah tiga hari Zul tidak hadir ke sekolah kerana dimasukkan ke hospital. Zul disahkan menghidap barah otak oleh Doktor Khairi. Sejak tiga hari itu jugalah Zul tidak sedarkan diri.

"Macam mana Zul boleh berada di sini mak?"

"Zul pengsan, dah tiga hari pun." Emak dan doktor Khairi menceritakan segala-galanya kepadaku. Oh, tuhan sungguh berat ujianmu kali ini kepada hambamu yang daif ini! Aku menerimanya dengan seribu keperitan. Aku tahu emak bersedih. Bagaimana hendak menjalani pembedahan sedangkan gaji emak hanya cukup untuk kami dua beranak. Aku terkesima berat mata memandang berat lagi bahu memikul.

Rakan-rakan dan guru-guru di sekolah aku tidak putus-putus mengunjungiku termasuklah pengawas sekolah, Hakimi.

"Aku harap engkau cepat sembuh, aku juga nak minta maaf atas kekasaran aku selama ini. Aku harap engkau maafkan aku, Nur Zulhana."

"Ah, aku dah lupakannya! Aku juga nak minta maaf sebab selalu menyakitkan hati kau dan menyebabkan kau pulang lewat tempoh hari kerana aku pancitkan tayar motor engkau. Aku harap engkau tidak marah."

"Aku maafkan engkau dengan syarat jangan datang lewat lagi ke sekolah. Aku tak nak penuhi buku rekod aku dengan nama Nur Zulhana."

"Baiklah, aku janji."

Setelah dua minggu aku berada di hospital aku dibenarkan pulang.

Namun hidupku bergantung dengan ubat-ubatan yang dibekalkan. Menurut doktor Khairi enam bulan dari sekarang jika aku tidak menjalani pembedahan mungkin penyakit aku semakin parah. Aku pasrah.

"Selamat kembali ke sekolah Zul," kata ketua darjahku Lokman.

"Bukan Zul tapi Nur Zulhana, Ana" kataku.

"Alhamdulillah," sindir sahabatku Hani.

Kini aku benar-benar berubah Zul bukan lagi Zul yang kasar dan seakan-akan perwatakan lelaki. Zul kini Ana, gadis yang cuba menyesuaikan diri dengan cara hidup yang baru. Aku bertungkus-tumus mengulang kaji pelajaran. Aku tahu tiada siapa yang dapat mengubah kehidupan keluargaku selain aku. Aku mengulang kaji pelajaran bersama Hani dan musuhku Hakimi, namun kini sudah menjadi teman baik.

Aku tidak sanggup melihat keperitan ibu mencari nafkah untuk menyara hidup kami dua beranak dan juga kos untuk pembedahanku. Aku perlu tabah dengan segalanya. Aku juga turut membantu ibu dengan menjual kuih pada waktu petang. Walaupun dilarang oleh ibu tetapi aku berkeras juga. Aku lakukan kerana ingin membantu ibu untuk mendapatkan wang rawatan pembedahanku.

SPM semakin hampir, aku tidak jemu mengulang kaji pelajaran dan membantu ibu. Di samping ibu, kesihatanku juga tidak diabaikan bagi memastikan aku tidak menghadapi sebarang masalah sewaktu peperiksaan.

Setelah menghadapi peperiksaan SPM dengan tenang dan yakin, aku dimasukkan ke Hospital Universiti di Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan otak. Dengan wang simpanan emak dan hasil jualan serta bantuan daripada orang ramai aku selamat menjalani pembedahan otak.

Kini, aku yakin tanpa kegigihan dan kecekalan, aku mungkin tidak mampu untuk mengubah nasib diri dan keluarga.

ROHAYU RADZLIE
Sek. Men. Keb. Dr Burhanuddin, Taiping, Perak.

No comments: