Oleh Shiga Naoya (Jepun)
YOSHISABURO, dari Tatsudoko di Azabu-Roppongi, lelaki yang tidak pernah sakit, tiba-tiba saja terbaring di katil diserang selesema teruk. Pesta Ekuinoks Musim Gugur sudah hampir dan pasti kedai guntingnya akan sibuk. Sambil berbaring di katilnya, Yoshisaburo menyesali perbuatannya membuang dua pembantunya, Genko dan Jidako, dua bulan lalu.
Sebelum itu, sungguhpun dia lebih tua daripada mereka, Yoshisaburo juga menjadi pembantu kedai bersama mereka. Tuan dulu, yang mahir dengan apa saja yang ada kaitan dengan pisau cukur, telah mengahwinkan anak perempuan tunggalnya dengan Yoshisaburo. Tidak berapa lama selepas itu dia pun bersara daripada menjadi tukang cukur dan menyerahkan kedai itu kepada menantunya.
Genko, yang dalam diam menaruh hati pada anak gadis tuannya, segera melepaskan pekerjaannya. Tetapi Jidako yang baik hati, mula menukar cara hormatnya daripada Yoshi-san kepada Tuan, bekerja keras seperti sebelumnya. Tuan terdulu meninggal dunia enam bulan kemudian, dituruti isterinya lebih kurang enam bulan berikutnya.
Yoshisaburo memang pakar dengan pisau cukur. Malah dia seorang pemarah: jika dia membelai kulit dan masih juga kasar, dia tidak berpuas hati sehingga dia memicit keluar tunggul yang dicukur, satu persatu hingga licin.
Sewaktu melakukannya tidak sedikit kulitpun melelaskan. Pelanggannya akui setelah dicukuri Yoshisaburo, kepantasan pertumbuhan tidak lagi serupa. Dia amat berbangga kerana dalam sepuluh tahun dia mencukur, tidak pernah dia secara tidak sengaja mencalarkan kulit pelanggannya.
Selepas dua tahun Genko meninggalkan kerjanya, dia kembali menagih kerja lamanya. Yoshisaburo yang berasakan belas terhadap teman lamanya, menerima kembali Genko yang sentiasa memohon kemaafan untuk bekerja di kedainya. Tetapi sepanjang dua tahun itu, semakin buruk pula perangai Genko. Dia kerap mengabaikan tugasnya. Dengan mempengaruhi Jidako untuk bersamanya, dia berfoya-foya dengan wanita rendah akhlak di Kasumicho yang didapati mengenali setiap anggota tentera.
Akhirnya, dengan menggesa Jidako yang bodoh itu, dia berjaya mengajaknya mencuri wang daripada kedai. Yoshisaburo berasa kesal terhadap Jidako dan kerap memarahinya. Tetapi apabila terbabit dengan mencuri, tidak ada yang dapat dilakukan. Dua bulan lalu, dia membuang mereka.
Sekarang dia menggaji seorang lelaki berusia dua puluh tahun yang lesu dan berwajah pucat bernama Kanejiro dan seorang budak lelaki berusia dua belas atau tiga belas tahun yang berambut panjang. Pada waktu sibuk sebelum menyambut hari cuti, mereka berdua langsung tidak boleh diharapkan. Sambil menggelatuk demam di atas katilnya, Yoshisaburo berasa kecewa sendirian.
Sewaktu hampir tengah hari, pelanggan mula ramai ke kedainya. Keletak- keletuk pintu kaca yang di buka dan tutup, bunyi terompah bertumit tinggi diseret ke sana sini oleh Kinko menggelegakkan saraf Yoshisaburo yang jengkel itu. Pintu kaca itu dilongsor buka lagi.
"Ini daripada Ramada dari Ryudo. Malam esok tuannya hendak berpergian, dia meminta mengasahkan pisau ini. Saya akan datang petang ini mengambilnya," suara seorang wanita.
"Kami agak sibuk hari ini. Apa kata ambil saja esok pagi," jelas Kanejiro.
Wanita itu agak ragu-ragu seketika.
"Baiklah, saya setuju dan jangan tangguh lagi." Lantas, dia menutup pintu kaca, kemudian segera pula membukanya dan berkata: "Maaf kerana mengganggumu, apakah boleh minta tuan sendiri mengasahnya?" Yoshisaburo menyampuk dari katilnya: "Kane, akan saya lakukan." Suaranya serak menikam. Tanpa melayani seruan tuannya, Kanejiro menjawab harapan wanita itu. "Baiklah." Sambil menutup pintu, wanita itu pergi.
"Celaka," rungut Yoshisaburo sambil mengeluarkan tangannya yang pucat dan agak kotor kerana dilekati pewarna biru dan merenungnya. Tetapi tubuhnya yang demam terasa berat olehnya. Dengan mengantuk, dia memerhati anjing papier-mache dan lalat menggugusi anjing itu.
Dia tidak memasang telinga, tetapi mendengar perbualan di ruang kedai. Dua atau tiga askar membualkan mengenai mutu restoran kecil di kawasan itu dan makanan askar yang tak enak, bersetuju bahawa sekalipun sejuk namun tidak teruk sangat rasanya. Mendengar perbualan itu, Yoshisaburo rasa sedikit lega. Beberapa waktu kemudian, dengan bersuah payah dia mengalih iringnya.
Dalam sinar petang keputih-putihan yang kabur menjenguki pintu bilik dapur di hujung kamar tiga - tikar, isterinya O-Ume, dengan bayi di belakangnya, menyediakan makan malam. Dengan tenang Yoshisaburo memerhatikan isterinya.
"Aku akan melakukannya sekarang." Dia berfikir begitu dan mengangkat tubuhnya tetapi rasa pening memaksanya menyembamkan mukanya pada bantal seketika.
"Apakah kamu perlu bangun?" O-Ume bertanya dengan suara lembut.
Yoshisaburo hendak mengatakan tidak, tetapi suaranya tidak terbit.
Sambil menarik semula selimut, O-Ume mengalihkan botol ubat dan bekas ludah ke sebelah. Yoshisaburo mencuba lagi.
"Bukan begitu," katanya. Tetapi suara seraknya tidak didengari O-Ume. Angin yang beransur baik, panas kembali.
"Perlukah saya mengampumu dari belakang?"
"Bawakan jalur kulit dan pisau cukur Yamada-san tu." Kata Yoshisaburo menyebabkan O-Ume terjeda seketika.
"Apakah kamu boleh melakukannya?"
"Tak apa-apa. Bawakan saja benda tu."
"... Jika kamu berdiri, kamu terpaksa mengenakan kain pelindung berlengan."
"Dah saya katakan tak apa-apa, bawakan saja benda tu. Awak nak bawakannya atau tidak?" Nada suaranya agak rendah, tetapi penuh marah.
Pura-pura tidak mendengar katanya, O-Ume mengeluarkan kain pelindung berlengan dan menyarungkannya dari belakang sementara suaminya duduk seperti tukang jahit di atas katil. Sambil mengangkat sebelah tangannya ke atas bahunya, Yoshisaburo mencekak kain pelindung di tengkuk dan membukanya sendiri.
Secara diam-diam O-Ume membuka pintu kamar yang terbahagi dua itu, melangkah masuk dan mengambil jalur kulit dan pisau cukur yang dipinta suaminya. Dia memasang paku yang sudah bengkok pada tiang rumah di sisi bantal Yoshisaburo.
Malah pada waktu biasa, apabila anginnya tidak baik Yoshisaburo tidak mampu menajamkan pisau cukur, inikan pula waktu diserang demam, pastinya dia tidak mampu menajamkannya seperti yang diharapnya.
"Mengapa tidak suruh Kane mengasahnya?" Ucap O-Ume, tetapi tiada jawapan. Akhirnya, mahu tidak mahu, daya ketahanannya mengalah. Keazaman dan tenaganya hilang, dia kembali terperosok di katilnya semula lantas tertidur.
O-Ume menyediakan sedikit bubur nasi untuk Yoshisaburo sebelum bubur itu sejuk, tetapi khuatir mengejutkannya daripada lena yang meletihkan itu, akan menaikkan anginnya semula, dia pun menunggu.
Berlanjutan hingga pukul lapan, jika dia menunggu lebih lama lagi, waktu makan ubatnya akan terlajak. Dengan memaksa dirinya, dia pun menggerakkan suaminya. Yoshisaburo, tidak pula menampakkan rasa marahnya, duduk tegak dan menikmati bubur. Kemudian, berbaring, dan terus tertidur semula.
Hampir jam sepuluh, sekali lagi Yoshisaburo digerakkan untuk ubatnya. Kali ini, dia bangun dalam keadaan mamun, tidak memikirkan sesuatu yang khusus.
Nafas panas demamnya yang terperangkap pada tepi kulit yang selama ini ditarik sampai ke matanya, secara tidak menyenangkan menutupi seluruh mukanya.
Di dalam kedai keadaan juga sepi. Tanpa memikirkan apa-apa, dia melihat sekeliling. Pada tiang rumah, kulit hitam berkilat tergantung damai disuluh sinar lampu malap dikotori kuning kemerah-merahan selut yang tidak secocok. Pada satu sudut, O-Ume menyusu anaknya di katil, berbaring dengan balakangnya yang telanjang dimandi sinar pelita. Yoshisaburo berasakan seolah-olah kamar itu sendiri sedang berdenyut dengan demam.
"Tuan ... tuan ..." suara Kinko dari ambang jalan masuk.
"Ya?" jawab Yoshisaburo dengan mulutnya tersembam pada bucu kulit. Kinko terus memanggil: "Tuan ..."
"Apa bendanya tu?" Kali ini suaranya tajam dan jelas.
"Yamada-san mengirim lagi pisau cukurnya."
"Pisau cukur yang lain pulakah?"
"Tidak, pisau cukur yang sama. Dia terus mencubanya tadi, tetapi tidak cukup tajam. Katanya dia akan ambil semula petang esok. Dia mahu tuan mencubanya sebelum diambil."
"Apa, pembantu rumahnya ada bersama?"
"Tidak, dia sudah pulang."
"Serahkan kepada saya." Mengeluarkan tangannya dari sarungnya yang dipegang oleh Kinko yang membongkok penuh hormat itu.
"Tangan kamu nampaknya tidak mantap kerana demam. Alangkah baiknya jika kita berikan saja pisau itu kepada Yoshikawa-san di Kasumicho?"
Sambil berkata itu O-Ume mengenakan kimono pada dadanya yang telanjang dan kemudian bangun. Yoshisaburo, perlahan-lahan mengangkat tangannya, meninggikan sumbu pelita dan mengambil pisau itu daripada sarungnya sambil membalik-balikkannya. Sambil duduk di sisi bantal suaminya, dengan lembut O-Ome meletak kan tangannya pada dahi Yoshisaburo. Dengan tangannya yang bebas, Yoshisaburo melibasnya seolah-olah ia seekor lalat.
"Kinko!"
"Ya." Tepat di sisi katil, Kinko menjawab.
"Bawakan batu asah ke sini."
Apabila batu asah sudah tersedia, Yoshisaburo duduk dan dengan sebelah kakinya dilipatkan dia mula mengasah pisau itu. Jam sepuluh berbunyi perlahan.
O-Ume memikirkan tidak ada gunanya berkata apa-apa, duduk diam saja di sisi. Sejenak kemudian, setelah mengasah pisau itu, Yoshisaburo menyandar pada jalur kulit. Dia berasa suasana tenang kamar itu mula menggetar sedikit dengan bunyi usapan padu. Sambil mengawal tangannya yang menggeletar, secara berirama Yoshisabura mengasah pisau itu, namun tetap tidak memuaskan. Belum pun lama dia mengasah, paku bengkok yang dipasang O-Ume sebagai cangkuk tercabut. Jalur kulit itu melenting ke arahnya dan melilit pisau cukur itu.
"Ah! Bahaya!" Kata O-Ume. Setelah merongkai belitan pada jalur kulit itu Yoshisaburo melemparnya ke lantai. Dengan pisau cukur di tangan, dia bangun berdiri, dan dengan hanya pakaian tidurnya, dia mula menapak ke jalan masuk.
"Kamu tidak harus melakukanya ..." Suara teriakannya meninggi, O-Ume menghalang suaminya. Tetapi tidak diendahkan. Tanpa berkata apa-apa, dia terus menapak ke jalan masuk. O-Ume menyongsongnya.Tidak ada pelanggan dikedai ketika itu. Kinko termenung di kerusi di hadapan cermin.
"Mana dia Kane-san?" Tanya O-Ume
"Dia keluar mencari Tokiko," jawab Kinko dengan wajah serius.
"Apa? Dia keluar mencari apa?" O-Ume tergelak besar. Yoshisaburo tetap sugul, sesugul sebelumnya.Tokiko, wanita aneh. Keluarganya tinggal lima atau enam pintu ke arah baruh dan di hadapan rumah mereka terdapat papan tanda tertulis "Keperluan barang runcit tentera."
Khabarnya dia pelajar di sekolah perempuan. Di kedai itu, sentiasa terdapat seorang atau dua askar, beberapa orang pelajar, atau anak muda melepak di situ.
"Kita dah nak tutup kedai, bolehlah kamu pulang," kata O-Ume kepada Kinko.
"Masih awal lagi," Yoshisaburo membantah. O-Ume diam. Yoshisaburo mula mengasah pisau itu. Duduknya betul dan asahannya pun lebih baik dirasakan.
O-Ume memujuk Yoshisaburo menyarungkan lengannya ke dalam jaket berkedap kapas. Kemudian duduk di bendul memerhatikan Yoshisaburo sedang mengasah sepenuh tenaganya. Kinko duduk pada kerusi pelanggan di sisi tingkap, dengan lututnya dirapatkan ke dada, mencukur dagunya yang tidak berbulu.
Pada tika itulah, dengan kasar pintu kaca dibuka. Seorang remaja pendek berusia dalam lingkungan 22 atau 23 tahun melangkah masuk. Dia memakai kimono baru berklim futako dengan ikatan pinggang dan terompah rendah dengan tali kulitnya amat ketat sekali.
"Saya perlukan cukuran sekali lalu saja. Saya perlu cepat. Boleh kamu mencukur saya?" Dia berhenti di hadapan cermin.
Bahasa yang digunakan pemuda itu bahasa jalanan dengan lagakya seperti lagak anak muda kampung. Jarinya yang berbonjol dan wajahnya yang kasar serta berkulit gelap, jelaslah dia bekerja sebagai buruh kasar.
"Pergi panggil Kan-san. Cepat." O-Ume mengarahkan Kinko.
"Saya akan mencukurnya."
"Tanganmu masih belum mantap. Jadi ..."
"Saya akan mencukurnya," dengan pantas Yoshisaburo memotongnya.
"Kamu belum pulih seperti dirimu yang sebenar," keluh O-Ume rendah.
"Baju kerja saya!"
"Cuma cukuran, tak lebih. Tak ada bulunya. Mengapa tidak melakukannya dengan keadaanmu sedia ada?" O-Ume tidak mahu dia menanggalkan jaketnya.
Sambil melihat dari wajah ke wajah yang aneh itu, anak muda itu berkata:
"Tuan sakitkah?" Matanya yang terbenam terkebil-kebil, seolah sedang menjeling gadis.
"Ya, dia diserang selesema sedikit ..."
"Kata orang selesema buruk sedang menular. Tuan kenalah berhati-hati."
"Terima kasih," kata Yoshisaburo penuh hormat.
Apabila Yoshisaburo selesai menyimpulkan bucu kain putih pada tengkuknya, anak muda itu menyambung kata: "Saya cuma mahukan cukura sekali lalu saja."
Kemudian, menambah, "Saya perlu cepat. Tentu tuan tahu apa yang saya maksudkan?" Dia melemparkan sejemput senyum sinis. Dalam diam-diam, Yoshisaburo mengilir pisau yang baru diasah itu pada belakang lengannya yang tebal.
"Saya perlu berada di sana pukul 10.00 atau 11.30," anak muda itu meneruskan. Dia mahu Yoshisaburo mengatakan sesuatu.
Segera terbayang di mata Yoshisaburo seorang wanita tidak bermaruah di rumah pelacuran yang kotor, dengan suara yang sukar dikenali sama ada perempuan atau lelaki. Apabila dia memikirkan bahawa anak muda yang lucah ini sedang dalam perjalanan ke tempat seperti itu, senario yang membuatnya meloya terarca berlalu satu demi satu menerusi fikirannya yang semakin lemah itu. Dicelupnya sabun pada air panas yang sudah cukup suamnya, kemudian dengan kasar ditonyohkan pada rahang hingga ke pelipis anak muda. Hingga waktu ini pun, anak muda itu cuba melemparkan jelingannya yang menggoda pada cermin. Yoshisaburo berasakan seperti mahu saja dia mencemuhnya.
Sekali lagi menghentikan pisau cukurnya kemudian mula mencukur dari leher ke atas, tetapi mata pisau itu tidak bertindak seperti yang diharapkan. Dan tangannya pula menggeletar. Anehnya, sewaktu dia berbaring, tidak pula seteruk ini demamnya. Sekarang, sedang berdiri dengan kepalanya ditundukkan, hingus menitis dari hidungnya. Dari semasa ke semasa, dia berhenti mencukur dan melelasnya dengan belakang tangannya, tetapi tidak lama, berkumpul pula menjadi titisan yang mentitis.
Dari dalam kamar terdengar suara tangis anak kecil. O-Ume melihat anaknya. Malah sewaktu dicukur dengan pisau yang agak majal, anak muda itu melihat tenang wajahnya di cermin. Tidak sedikit sakit atau menggelikan. Sikapnya yang tidak memperlihatkan sebarang emosi, menggugat kesabaran Yoshisaburo. Marahnya membara.
Sungguhpun salah satu pisau cukurnya sendiri mungkin dapat mencukurnya dengan licin, tidak pula dia menukarnya. Dia tidak lagi mempedulikan perasaannya.
Namun, pada tika tertentu dia kembali berhati-hati pula. Jika didapati ada bahagian yang agak kasar, dia mengulangi cukurannya. Lebih kerap dia melakukannya, semakin marah dia dibuatnya.
Tubuhnya beransur lemah. Fikirannya juga turut lemah. Demamnya semakin kuat. Anak muda yang pada mulanya menceceh itu dan ini, kini berasa takut terhadap jenaka buruk Yoshisaburo, lantas diam. Apabila mata pisau meniti di pelipisnya, dia mula terlayang kerana keletihan setelah bekerja keras pada sebelah siangnya. Kinko, yang bersandar pada jendela, juga terlayang. Malah suara O-Ume, mendodoikan anaknya kedengaran lagi. Suasana sepi sesepi-sepinya. Malam, di dalam dan di luar rumah, segalanya kaku seperti di kubur. Yang terdengar cumalah bunyi kerukan mata pisau cukur itu.
Angin marah dan perengusnya bertukar menjadi perasaan ingin meluahkan air mata pula. Jasad dan fikirannya sudah keletihan. Dia berasakan seolah matanya kini mencair dari dalam bersama-sama demam itu.
Selesai mencukur dari arah leher ke pipi, rahang, dan pelipis, terdapat pula satu bahagian lembut di leher yang tidak dapat diuruskan. Setelah melakukan semua kepandaiannya, dia berasakan mahu saja mengelar, kulitnya dan segalanya. Sambil melihat muka yang berkulit kasar, dengan minyak menepu pada setiap liangnya, dia berasakan sesuatu jauh di dalam benaknya. Anak muda itu sudah lama tertidur. Kepalanya terkulai ke belakang, mulutnya ternganga luas.
Dan terserlahlah giginya yang kuning dan tidak sama itu. Yoshisaburo yang keletihan itu tidak berupaya berdiri mahupun duduk. Dia berasakan setiap sendinya dicurahi racun. Dia mahu melemparkan semua itu, duduk dan bergulingan. Cukup! dia berfikir sendirian beberapa kali. Tetapi secara paksaan atau mungkin kerana tabiatnya, dia terus berkeadaan begitu.
Tiba-tiba saja mata pisau itu tersangkut. Leher anak muda itu menggerenyet. Sesuatu menular pantas seluruh tubuh Yoshisaburo dari kepala hingga ke hujung ibu jari kakinya. Tularan itu membawa bersama seluruh rasa letih dan meluatnya.
Lukanya sedikit cuma. Dia tercegat di situ, memandang kosong pada luka itu. Pada mulanya, di antara dua lapisan kulit nipis, kelihatan warna putih susu; kemudian merah lembayung yang samar-samar, perlahan-lahan mewarnai luka itu. Kemudian, dengan tiba-tiba saja darah menakung. Dia merenung darah itu. Darah itu menghitam dan mengembang menjadi lebih besar. Setelah tiba pada tahap maksimum kembungnya, titik itu pun mendatar dan melelehi lehernya. Emosi semacam marah dan gasar membuak dalam diri Yoshisaburo.
Sepanjang hayatnya Yoshisaburo tidak pernah melukai pelanggannya. Pernafasannya semakin lemah dan pantas. Dia berasakan seolah jasad dan rohnya sedang ditarik ke dalam luka itu. Sekarang tidak ada apa yang dapat dilakukan untuk menghalang perasaan itu. Diterbalikkan mata pisau itu menghala ke bawah, dan kemudian terus membenamkannya jauh ke dalam leher anak muda. Seluruh mata pisau itu terbenam. Anak muda itu sedikit pun tidak bergerak.
Seketika kemudian, darah memancut keluar. Muka anak muda itu bertukar menjadi warna tanah liat. Dalam keadaan hampir pengsan dan berasakan seolah hendak rebah, Yoshisaburo duduk di kerusi. Rasa tertekan segera hilang diganti rasa letih yang amat sangat. Dengan perasaan yang teramat letih dan menutup matanya, dia kelihatan seperti mayat. Malam juga kaku seperti mayat. Semua pergerakan dalam keadaan terbiar. Segalanya tenggelam dalam tidur yang nyenyak. Cuma cermin dari tiga sisi, secara dingin memberikan perhatian kepada adegan ini.
Terjemahan Nazel Hashim Mohamad

No comments:
Post a Comment