Pages

Saturday, November 15, 2014

Demi kasihku kepada ibu

Oleh Azami Taib

SUDAH seminggu ayahku kembali ke Rahmatullah dan sudah seminggu ibuku berstatus janda.

Pagi-pagi lagi, kedua-dua abang dan kakak iparku mahu pulang ke rumah mereka di ibu kota. Begitu tergesa-gesa sekali mereka mahu pulang. Ibuku turut menahan kepulangan mereka. Ibuku merayu agar dapat diluangkan masa sehari dua lagi kerana ibuku masih dalam kedukaan. Segala pujukan ibuku tidak dilayan oleh abang-abangku. Mereka tetap dengan keputusan yang muktamad. Alasan yang diberi kononnya ada tugas-tugas penting yang belum selesai. Kakak-kakak iparku turut menyokong dan mengiyakan segala apa yang dikatakan oleh suami mereka.

Akhirnya ibuku mengalah. Ibuku tidak berdaya untuk menahan mereka agar menunggu sehari dua lagi di kampung. Mereka segera berlepas dengan menaiki kereta masing-masing ke ibu kota.

Aku tahu kedudukan sebenarnya, kenapa abang-abangku begitu tergesa-gesa mahu pulang. Mereka berasa kecewa dan cukup hampa dengan keengganan ibuku untuk diajak berbincang dan mahu segera membahagi-bahagikan harta arwah ayahku. Ibuku menjelaskan bahawa ia terlalu awal. Ibu menambah, bahawa tanah kubur arwah ayahku masih lagi merah. Kenapalah kami anak-beranak terlalu cepat mahu menghitung segala harta arwah ayah.

Ibu dalam lingkungan kemurungan berikutan pemergian ayah. Jadi sudah tentulah kematian ayah sangat mengejutkan ibuku. Justeru itulah ibu mahu mendapatkan ketenangan dahulu. Menurut ibu, selepas keadaan sudah pulih nanti barulah kita memikir dan mendapatkan persetujuan semua. Kami akan duduk sepakat dan mencari formula, bagaimana mahu mengagih-agihkan tanah-tanah tersebut. Siapa yang berhak mendapatkannya. Begitu juga dengan rumah peninggalan ayahku ini.

Aku memujuk ibu yang sedang sayu. Aku membisikkan ke cuping telinga ibuku; tidak apalah ibu. Usahlah ditahan dan dihalang niat mereka untuk pulang. Biarlah abang-abangku pulang sebelum hati ibuku berguris luka dan membengkak.

Dalam situasi ini aku cukup faham. Ibuku dengan tegas menolak apa-apa sahaja perihal tentang tanah-tanah arwah ayahku. Dalam pemerhatian aku, aku yakin bahawa abang-abangku mempunyai niat di sebalik desakan untuk segera membahagi-bahagikan tanah arwah ayahku. Jelaslah aku yang menjadi penghalangnya. Aku yang menggagalkan hasrat dan permainan licik mereka itu.

Aku juga memaklumkan kepada ibu, tidak ada salahnya adik dan ibuku memakan hasil daripada kebun arwah ayahku itu. Adikku Azimah dan ibuku berhak untuk menikmati hasil tuaiannya.

Bagi diri ku, usahlah ibu bimbangkan.

Walaupun aku hanya lepasan SPM sahaja, aku mampu untuk menyara hidup aku di ibu kota. Walaupun sebagai seorang kerani bank. Aku tidak tamak dengan segala harta arwah ayahku. Bagi aku, selagi kudrat aku masih ada, aku mampu untuk mencari rezeki halal untuk menyara hidupku sendiri.

Tidak mengapalah ibu, hatiku menegaskan. Sebenarnya ketika abang long dan abang ngahku berbincang pagi semalam, aku macam tidak punya hak langsung untuk bersuara dan memberi pendapat. Aku tidak diajak berbincang dan menjadi sebahagian daripada ahli `mesyuarat' tidak rasmi mereka. Apatah lagi dengan adikku Azimah dan ibuku turut tidak diajak berbincang. Seolah-olah mereka berempat menentukan semuanya. Mereka seolah-olah ada rancangan tersendiri.

Kakak-kakak iparku seperti penentu dan menjadi kata pemutus. Abang-abangku hanya menuruti sahaja. Inilah yang berdesis hatiku dan membuatkan aku membantah.

Petang itu aku duduk bersandar di beranda. Aku mengeluh lesu. Sebenarnya aku kecewa dan benci dengan sikap abang-abangku yang tamakkan harta arwah ayahku. Aku sakit hati dengan rancangan penentu kakak-kakak iparku. Seolah-olah mahu membolot segala harta arwah ayahku.

Hatiku terus diulit rasa gundah dan kepiluan. Aku memikirkan sendiri, siapakah orang yang mahu mengurus dan menjaga kebun-kebun arwah ayahku? Selama ini pun arwah ayahku yang mengurusnya sendiri dengan beban badannya yang dimamah usia. Arwah ayahku terus mengabaikan dirinya; menuai hasilnya untuk perbelanjaan keluarga. Sesekali ibu turut ke kebun membantu arwah ayahku, jika arwah ayahku tidak berdaya melakukan kerja seorang diri.

Wajah adik perempuanku Azimah dan ibuku menerpa datang di dalam tempurung kepalaku. Apakah adik dan ibuku akan meneruskan pekerjaan arwah ayahku nanti? Kuatkah mereka membanting tulang dan mengurus kebun arwah ayahku? Apakah adik dan ibuku mampu untuk menggalas kerja itu? Membersihkan kebun arwah ayah kebun pisang dan kebun getah. Kebun getah ini, mampukah adik dan ibuku menorehnya?

Apakah aku sanggup membiarkan mereka bekerja keras begitu? Ah! Sudah pasti aku tidak sanggup. Batin aku mengatakan seolah-olah aku tidak punya perasaan dan hati perut membiarkan mereka membanting tulang empat kerat demi untuk menampung hidup mereka berdua di kampung. Kepalaku bingung memikirkan semuanya itu.

Semasa menghadap makan malam, aku bertekad untuk memberitahu kepada ibu tentang niatku. Aku mengambil kata putus untuk berhenti kerja di ibu kota dan pulang ke kampung untuk menjaga adik dan ibuku.

"Adam ingat hendak berhenti kerja la mak," ujarku kepada ibu.

Ibuku terhenti menyuap nasi. Aku memandang muka ibuku agak lama. Ternyata ibuku terkejut dengan keputusan yang aku buat secara tiba-tiba itu. Mungkin pada ibuku, satu keputusan yang dibuat tanpa berunding terlebih dahulu.

"Adam dah aboutkir masak-masak hasrat Adam itu," usul ibuku.

"Ya," balasku dengan tegas. Ibuku menyorot mukaku untuk mencari kepastian. Adikku Azimah turut memandang sama.

"Sebenarnya Adam kesian melihat mak dan adik tinggal di kampung. Siapa yang hendak menjaganya." Ujarku jujur untuk menjadi warga kampung semula. Aku bersungguh di dalam hal ini.

"Segala urusan kebun-kebun Adam akan mengusahakannya. Pagi, Adam akan menoreh getah dan waktu petang Adam akan membersihkan kebun-kebun pisang arwah ayah," kataku untuk memberi seribu keyakinan kepada ibu.

"Mak ingat tidak usahlah Adam berhenti kerja. Tentang mak dan adik Azimah, tahulah emak menjaga diri kami sendiri." Tukas ibuku yang masih mahu menolak hasrataku itu.

"Tentang kebun getah itu, biarlah orang lain yang menorehnya. Kebun pisang, boleh Pak Andak yang tolong tengokkan." Ibuku bersuara perlahan. Aku terdiam buat beberapa minit. Sebenarnya aku mahu mencari kata-kata yang terbaik dan menyatakan kesungguhan hasrat murniku ini.

"Begini mak... bukannya Adam tidak percaya dengan orang lain menoreh getah arwah ayah nanti. Kalau orang yang menorehnya, main lanyak aje mak," tegasku kepada ibu.

"Bukanlah hasrat Adam untuk membolot semua harta arwah ayah. Janganlah abang long dan abang ngah salah faham pulak. Adam tidak tamak macam mereka.." Aku menerangkan hal yang sebenarnya. Aku mahu menjelaskan kepada ibu, dengan kepulangan aku nanti tidak disalah tafsir oleh abang-abangku dan menuduh aku yang bukan-bukan.

Aku tidak mahu mengundang konfik antara kami adik-beradik. Aku juga takut keputusan yang aku ambil akan mengundang permusuhan antara kami adik-beradik. Itulah yang aku tidak mahu berlaku. Lebih baik aku perjelaskan kepada ibuku akan situasi yang sebenarnya.

"Ikut suka hati Adamlah. Emak tidak memaksa Adam tau," sela ibuku. Agak lama juga kami terdiam dan seolah-olah kehilangan kata-kata.

"Bila Adam hendak balik ke Kuala Lumpur?" Ibuku bertanya.

"Esok emak, Adam akan balik ke Kuala Lumpur. Adam juga akan menghantar notis berhenti kerja." Aku menerangkan kepada ibuku.

Dan buat hari esok, semoga membawa sinar baru dalam perjalanan hidupku. Sesungguhnya dengan keputusan yang aku buat ini, aku tidak menyesal. Semuanya demi seorang ibu.

No comments: