Pages

Tuesday, November 11, 2014

`Kisah Kejayaanku'

Oleh Affeefah Amanee Che Ahamed

TIK! Tik! Bunyi jam di atas mejaku sama kuat dengan kokokan ayam di luar. Jam itu patut mengejutkan aku tepat 6.00 pagi.

Aku bangun dan terus mencapai tuala menuju ke dapur untuk mandi. Nampaknya adik-adikku, Fazlina dan Farid sedang sibuk bersiap untuk ke sekolah. Tetapi si kecil adik bongsuku Farhan, masih nyenyak tidur beralaskan tilam usang.

Selepas mandi, aku ke bilik untuk bersiap. Aku ambil seluar jeans yang koyak di lutut tersangkut pada dinding dan sehelai baju. Aku mencapai sikat buruk yang patah lalu menyikat rambutku. Itulah rutin harianku sebagai seorang buruh kasar.

Aku menuju ke dapur dan menjamah sedikit pisang goreng dan teh yang masih panas di atas meja. Ibuku masih sibuk membahagikan duit kepada adikku yang hendak ke sekolah. Aku menghulurkan tangan dan mencium tangan ibu serta meminta izin untuk mencari rezeki.

Motosikal burukku `Honda' masih setia membawa tuannya. Aku menaiki motosikal dan perlahan-lahan meninggalkan rumah pusaka sejak peninggalan arwah nenek lagi. Setelah sampai di tempat kerja aku memulakan kerja sebagai buruh kasar.

Tanpa menghiraukan penat lelah aku tetap teruskan kerja untuk mencari sesuap nasi bagi keluargaku dan meneruskan persekolahan adik-adikku. Hanya kudrat penjualan kuih ibuku tidak cukup untuk belanja sekolah adik-adikku. Sebab itulah aku berhenti sekolah untuk menambah pendapatan keluargaku.

Lagipun, aku bukannya bodoh sangat. Malah aku juga pelajar kedua terbaik di sekolahku. Aku masih ingat lagi nasib malangku bermula sejak berita buruk itu berlaku.

"Assalamualaikum".

Kedengaran suara kerani sekolah memberi salam. Cikgu Nasir yang mengajar mata pelajaran Fizik pada ketika itu menjawab salam tersebut.

"Saya hendak berjumpa dengan Farizan," kata kerani itu yang lebih dikenali dengan nama Abang Adi.

Aku terkejut apabila namaku disebut. Hatiku tidak henti-henti bertanya apakah yang telah berlaku? Aku bangun dari kerusi dan keluar menuju kepada Abang Adi. Tiba-tiba kaki dan seluruh tubuhku lemah longlai apabila mendengar berita sedih itu. Rupa-rupanya Abang Adi mengatakan ayah aku telah meninggal dunia akibat sakit jantung. Aku terus mengambil beg dan pulang ke rumah.

Memang sudah lama ayahku menghidap penyakit tersebut tetapi tidaklah serius. Walaupun begitu, aku selalu menasihatkan ayahku supaya berjumpa doktor. Tetapi tiada siapa yang dapat melembutkan keras kepala ayahku itu. Ibu sendiri akur dengan sikap keras kepala ayah.

Ayah selalu kerja berat untuk menanggung keluarga. Mungkin itulah sebabnya penyakit ayah semakin serius. Setelah sampai di rumah aku melihat muka ibuku begitu sayu sekali. Adik-adikku kebingungan dan masih mentah untuk mengetahui apa yang sedang berlaku.

Hatiku sebak. Aku tetap menahan perasaan untuk meneruskan hidup sebagai anak lelaki. Aku menenangkan hati ibuku yang sedih itu. Jenazah arwah ayahku selamat dikebumikan. Dahulunya kedengaran suara garau ayah kini semuanya menjadi senyap sunyi. Aku mendekati ibuku yang masih merasai pemergian ayahku.

"Adik-adik mana bu?" Aku bertanya apabila tidak terdengar suara mereka bermain.

"Tidur," jawab ibu ringkas.

Aku faham perasaan ibu yang kehilangan suami setelah berkongsi hidup selama 17 tahun dan mendapat empat orang cahaya ma-ta. Aku tahu ibu juga bimbang dengan mata pencarian kami yang hanya bergantung pada ayah sahaja. Kini ayah sudah tiada, jadi siapalah yang akan mengganti tempat ayah. Aku berkata pada ibu tujuan aku yang sebenarnya.

"Apa? kamu hendak berhenti sekolah. Suara ibu tinggi ketika itu. Ibu berdegil tidak mahu aku berhenti sekolah.

"Ibu masih boleh menyara kamu lagi," kata ibu marah.

Aku tetap meyakinkan ibu bahawa dengan menjual kuih tidak berupaya untuk menyara kami sekeluarga. Akhirnya ibu mengalah dan akur dengan keputusanku. Aku telah mengambil surat berhenti sekolah dan sejak itulah aku menjadi seorang buruh kasar.

Hari semakin panas. Bahang kepanasan kian terasa membakar diriku. Aku melihat jam di tangan. Ia menunjukkan pukul 1.00 tengah hari. Aku berhenti membuat kerja dan pulang ke rumah untuk makan tengah hari.

Baru sesuap nasi masuk ke mulutku, ibu menghulurkan sepucuk surat.

"Surat apa bu?" Tanya aku kebingungan.

"Entah", jawab ibu selamba.

Tanpa ragu-ragu aku terus membuka surat tersebut. Tergamam aku seketika apabila membaca isi surat yang tertulis, "Anda diterima menyambung pelajaran semula".

Aku amat gembira dan terus memeluk ibuku. Ibu seperti kebingungan. Aku memberitahu perkara yang sebenarnya. Ibu tersenyum lebar dan mengangkat tangan tanda syukur terhadap Allah s.w.t.

"Inilah berkat kesabaranmu anakku," kata ibu lalu menitiskan air mata.

"Ya, bu, mungkin ini rezeki kita sekeluarga".

Aku ditawarkan menyambung pelajaran dengan bantuan penuh kerajaan. Keluargaku juga mendapat bantuan daripada kerajaan.

Beberapa hari kemudian aku perlu mendaftarkan diri di Universiti Malaya. Terasa berat hatiku untuk meninggalkan ibu dan adik-adik. Apakan daya aku perlu berjuang untuk mengubah nasib dan kemiskinan yang menimpa keluargaku.

"Farizan, jom makan." Tiba-tiba aku tersentak dari lamunan.

Syazwan, rakan sekerja mengajak aku keluar makan. Di depanku terdapat meja penuh dengan fail-fail mustahak, bilik berhawa dingin dan berpakaian kot. Di atas meja terpacak tanda `Tuan Pengurus'.

Sekarang aku telah berjaya dan menjadi seorang pengurus di salah sebuah syarikat ternama di ibu negara. Ibuku juga tinggal bersama di sini. Adik- adikku juga semuanya sudah berjaya. Kemiskinan sudah lenyap dalam fikiranku. Aku melangkah keluar dari bilik sambil hati kecilku berkata, "aku telah berjaya".

Affeefah Amanee Che Ahamed SMK Jeram, Pasir Puteh, Kelantan.

No comments: