Oleh Horacio Pea
MEREKA menghabiskan seluruh hidup mengumpul wang untuk membeli rumah. Seluruh anggota keluarga itu sentiasa memikirkan untuk membeli rumah. Tiada siapa yang bercakap berkenaan hendak membeli rumah; sebaliknya mereka mengatakan `rumah', seolah-olah seorang manusia, seorang yang amat dikasihi dan hidup pula.
Dalam waktu semalam rumah itu berjaya dibina di dalam hati kami dan setiap kami memulakannya dengan tidak mempunyai modal sekecil apa pun. Sen demi sen dindingnya dibina sedikit demi sedikit, batu-bata, pintu dan jendela dipasangkan, berhari-hari, bertahun-tahun, rumah itu pun terdiri dan mula menjadi hak kami sedikit demi sedikit dan di situ ia, sekali pun kami tidak dapat melihatnya tidak siapa pula yang menghuninya, sesuatu yang halimunan memenuhi waktu, ruang, ingatan, kehidupan dan kematian.
Setiap dua atau tiga bulan apabila wang yang dapat dikumpulkan dalam kotak kayu usang itu dikira, seluruh keluarga berhimpun untuk menyediakan akaun. Nenek pula akan mengambil anak kunci kecil membuka harta itu dan di dalamnya kelihatan beberapa keping syiling berselerak.
Wang itu dikeluarkan, disusun mengikut nilai dan saiznya kerana dengan cara ini memudahkan untuk dikira dan tambah pula, sewaktu syiling itu dikumpulkan begitu ia kelihatan seperti tiang kecil, tiang yang akan diletakkan bumbung dan mungkin apa yang diidamkan akan tercapai.
Semua itu dilakukan dalam suasana. Sejak malam kelmarin kami bercakap hendak membuka kotak itu, bagaimana kami akan melihat jumlah yang tersimpan di dalamnya. Dan aku bermimpi kisah yang biasa diceritakan nenekku.
Dalam kisah itu nenekku menceritakan mengenai seorang budak lelaki terjumpa sebuah peti di tengah belantara dipenuhi harta yang banyak seperti duit syiling, piala, jag emas, harta yang menggembirakan keluarganya kerana si ayah tidak lagi perlu ke hutan untuk menebang pokok dan si ibu juga tidak perlu lagi bangun sebelum matahari terbit untuk membasuh dan menseterika kain baju dan semua akan dapat makan dengan kenyang, meja akan dipenuhi buah-buahan, sup, makanan yang enak, dan melimpah-ruah, beraneka benda: Beowulf di dalam gua, menewaskan Grendel buat selama-lamanya, begitulah.
Pada keesokan paginya, awal lagi, anak kunci itu dibawakan, kotak itu pula dikeluarkan dan dibawa ke bilik kecil tempat kami sudah berkumpul dalam satu bulatan. Nenek kemudian memasukkan anak kunci dan mengangkat penutupnya dan segera itu kami dapat melihat beberapa keping syiling kecil di dalamnya.
Setelah menghitungnya, sambil membuat perkiraan jumlah wang yang ada itu dan berapa banyak lagi yang kami perlukan, kami pun menutup semula kotak kecil itu dan meletaknya kembali pada tempat asalnya, kosong, sementara wang yang tersimpan itu kami pindahkan ke tempat lain pula.
Begitulah keadaannya dilakukan dari sebulan ke sebulan, dari setahun ke setahun, sehingga setiap kami beransur tua, tetapi tetap dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu yang boleh dibanggakan sebagai hak sendiri.
Rambut nenek sudah memutih dan mukanya mula dipenuhi kedut. Sedikit demi sedikit kepantasannya berkurangan dan tubuhnya semakin lemah, namun matanya tetap bersinar, mata yang memberikan kehidupan kepada seluruh tubuhnya dan dapat juga ku katakan, kepada impian seluruh keluarga, kerana di belakang matanya membara azam agung, tegas dan kuat, azam waja yang tidak akan luntur walaupun buat seketika, yang telah menyediakan untuk anak perempuan dan cucunya dengan kehidupan yang memuaskan dan penuh sopan walaupun berada dalam kemiskinan. Mata itu adalah tiangnya, asas rumah itu, sementara nenek sendiri sebagai Batu Penjurunya. Ibu dan Mak Cik pula berasakan betapa peritnya waktu itu dan impiannya yang tampak seperti tidak kunjung tiba itu.
Mereka berjimat di mana-mana yang boleh dan dengan apa saja yang terdaya. Mereka dapati semakin sukar untuk membeli pakaian baru, makanan pula terpaksa dicatu dan dirancang dengan teliti agar tidak membazirkan walau sesen pun. Sudah tentu kami langsung tidak membabitkan diri dalam kegiatan orang berada seperti pergi melancong, bertemu dan berpesta sesama, mengadakan jamuan, baik sebelum ataupun selepas rumah itu memasuki setiap hati seluruh keluarga. Kehidupan semakin menyukarkan bagi nenek, ibu dan mak cik yang telah berkorban demi memastikan impian indah itu terlaksana.
Mereka tidak lagi mahu berjalan dari satu tempat ke satu tempat dengan mengendong bungkusan kecil pakaian mereka, membawanya dengan kereta sorong atau kereta tarik apabila kami berpindah dari sebuah rumah ke sebuah rumah yang lain atau lebih tepat lagi, dari sebuah bilik ke sebuah bilik yang lain apabila tuan rumah berura-ura hendak menaikkan sewa yang di luar kemampuan sumber pendapatan keluarga, di luar kemampuan kami untuk membayarnya; apabila tuan rumah, dengan kerakusan dan haloba yang semakin meluap dari hari ke hari (lebih-lebih lagi ada kaitannya dengan apa yang sedang berlaku kebelakangan ini, yakni pemusnahan bandar raya), akan mengatakan kepada kami bahawa sewa bilik itu sememangnya murah dan ramai lagi bersedia menyewanya dengan bayaran yang lebih daripada yang kami bayar.
Sekalipun kami memujuk dan merayu mengatakan kami tidak berupaya membayar sewa setinggi itu dan mungkin kami dapat membayar kurang sedikit, dia akan berteriak lantang tanpa belas kasihan, "Takat itu saja!"
Pada zaman itu, mak cik, nenek dan ibu bekerja menjual kain di sebuah kedai yang diuruskan oleh beberapa orang Yahudi. Setiap petang mereka keluar bersamaku meninjau kawasan termiskin yang letaknya paling jauh dari bandar raya, mencari sebuah bilik untuk menempatkan barang kami yang tidak seberapa itu.
Kunjungan itu akan bermula pada pukul satu atau pukul dua petang, untuk bertanyakan kalau-kalau ada rumah atau bilik yang lebih murah sewanya kerana kami tidak mampu menyewa yang lebih mahal. Cuma kami berempat, tiga orang perempuan dan aku sendiri, yang masih budak pada waktu itu, seorang anak yang sudah merasakan pahit-maung kehidupan, dilahirkan tua, dipenuhi dengan rasa benci, yang dari sehari ke sehari bertambah kebenciannya, yang tidak henti-henti bertambah, dan bermegah pula dengan rasa benci yang membara terhadap segala yang dihasilkan oleh kesengsaraan dan ketidakadilan, benci kepada negeri yang aku harap tidak menjadi tempat matiku.
Nenek atau mungkin juga mak cik ku mengatakan bahawa mereka tidak akan membawa sebarang masalah, malah kami tidak akan membuat bising, sementara wang sewanya sudah pun diperuntukkan, dan sungguhpun kami miskin, perkara paling utama buat kami ialah berjimat untuk menyediakan wang bagi rumah itu.
Perjalanan sungguh jauh menerusi beberapa kawasan jijik meninjau pondok berlantai kotor, yang terpaksa menyiramkan air untuk memastikan habuknya tidak diterbangkan namun habuknya tetap juga berapungan: habuk yang amat halus, yang hampir bersifat halimunan, yang masuk ke mata, kerongkong, semua lubang roma, yang melemaskan anak kecil dan mengakibatkan mereka batuk, sakit dan akhirnya membunuh mereka.
Kawasan begini masih dapat dilihat baik di dalam atau pun di luar bandar raya: kawasan melarat dan sesak. Hari ini ada lebih banyak kematian dan kesengsaraan daripada sebelumnya.
Setelah ke hulu dan ke hilir di setiap jalan akhirnya kami menjumpai sebuah bilik yang mampu kami bayar sewanya dan menguruskan beberapa perkara dengan tuan rumah, tetapi sentiasa khuatir hari esok atau mungkin hari itu juga ada orang lain datang mencari bilik dan sanggup membayar lebih daripada yang kami sanggup dan tuan rumah pula akan memberikan bilik itu kepadanya sekalipun dia sudah menjanjikannya untuk kami, sekalipun kami telah menjelaskan sewa pendahuluannya, kerana apabila kami tiba setelah menyorong kereta sorong yang memuatkan bungkusan barang kami, dia akan katakan kepada kami bahawa dia telahpun menyewakan bilik itu kepada orang lain dan sekarang masalahnya menjadi semakin besar kerana kami terpaksa pulang dengan kereta sorong usang kami ke tempat lama dan berhadapan pula dengan tuan rumah di situ dengan herdik dan tuntutannya, menggawang-gawangkan penumbuknya, berkonfrontasi dengan air mata nenek, mengizinkan kami seperti laku dewata dengan memberi `tempoh sehari' untuk membolehkan kami mencari bilik lain.
Tetapi segala penderitaan ini akan berakhir apabila kami mendapat rumah sendiri, sekalipun rumah itu kecil dan amat sederhana, kerana yang penting ialah mendapatkannnya, sesuatu yang menjadi hak seseorang, yang anda tahu menjadi hak anda, dan dengan masa keadaannya akan beransur baik, akan dicat mengikut pilihan hati sendiri tanpa khuatir tuan rumah datang menghalau dengan mengatakan bilik itu terlalu murah dan ingin menaikkan sewanya, dan jika kami sanggup membayarnya kami boleh terus tinggal di situ dan jika tidak kami perlu keluar tanpa perasaan khuatir dan terketar- ketar di hadapan haloba orang kaya, tuan tanah yang mengaut keuntungan besar dari sebuah bilik yang tidak punya sebarang kemudahan, sebuah bilik kecil yang tidak punya ruang untuk bernafas, sebiji `telur kecil', seperti kata nenek dan dia terus berkata begitu, tetapi bahasa itu adalah asing bagi mereka, sungguhpun mereka sememangnya mengerti dengan keadaan kehidupan manusia di dalam bilik sebegitu dan mengeksploitasi mereka.
Segala penderitaan ini akan berakhir dengan adanya rumah sendiri. Mungkin rumah ini kecil tetapi aku tahu ibu, nenek dan mak cik akan sentiasa memastikannya bersinar, bersih dan menyelesakan. Aku tidak pernah memasuki rumah agam orang kaya, sungguhpun aku dapat membayangkan bagaimana keadaan di dalamnya, setiap penghuninya ada bilik sendiri dan tidak perlu berdiri berbaris untuk mandi atau untuk menguruskan keperluan diri dan memutar saja tombol untuk ke tandas tanpa perlu ke tandas luar rumah dan juga tidak perlu berdiri berbaris untuk mendapatkan air di telaga dan rumah itu pastinya sebuah rumah yang besar, tanpa tikus muncul dari rekahan pada waktu malam, dari setiap lubang, tanpa serangga atau lipas keluar dari tiap penjuru dan mengganggu tidur setiap orang, terbang di sekeliling, mendengung melewati muka, menyanyi di sisi sepanjang malam sehingga menyebabkan muncul harapan agar siang segera muncul untuk bebas daripada mimpi buruk yang akan berulang lagi malam esoknya. Setiap malam.
Dari sehari ke sehari rumah ini beransur berubah menjadi sesuatu yang tidak mengizinkan kami berehat. Kami sentiasa memperkatakannya, bagaimana susunan di dalamnya, di mana harus diletakkan kerusi usang, dan juga meja tunggal itu.
Pengorbanan pula, lebih daripada sebelumnya, bekerja lebih keras daripada sebelumnya, segalanya demi rumah yang sudah pun bernama dan punya sejarah itu. Aku melihat bagaimana ibuku, nenekku dan mak cikku menjimatkan sen demi sen, bagaimana mereka menjauhkan diri daripada ribuan kenikmatan, namun tidak pernah pula mereka mengenepikan aku, tidak sekali- kali, kerana aku tetap dapat meneruskan hidupku seperti biasa: malah dengan sesuatu yang baru untuk dipakai pada Minggu Suci, beberapa barang mainan pada hari Krismas. Tetapi aku juga menyumbangkan sesuatu tanpa pengetahuan mereka pastinya, kepada rumah yang memenuhi setiap hati; aku mengenepikan gula-gula dan beberapa benda lain yang mereka akan hadiahkan untukku dan menolaknya dengan senang hati dengan alasan bahawa aku tidak menggemarinya, bahawa gula-gula tidak sesuai dengan perutku yang pasti sakit kalau aku memakannya; dan mereka percaya dengan helah itu dan tidak lagi membeli gula-gula dan karamel buat selama-lamanya.
Kami juga tidak lagi kepingin minum syerbet di luar. Bagi tempat seperti `Verdis' atau `Semut Emas' yang menjadi `fesyen' pada zaman itu, yakni tempat yang kerap dikunjungi anak orang kaya bersama ibu bapa mereka pada setiap petang Sabtu dan Ahad, atau pada hari cuti; tempat itu seolah sebuah taman yang mempesonakan, sebuah istana yang dipenuhi ahli sihir, magic, sebuah tempat yang amat hebat dihidangkan dengan mangkuk berisi syerbet beraneka warna dan saiz; merah jambu, perang, kuning, dan oren. Anda akan duduk di meja kecil anda, bertepuk tangan sedikit untuk mendapatkan layanan di samping perhatian orang lain berkenaan kehadiran anda di situ.
Selalunya memang ramai budak-budak yang lebih daif daripada kami akan muncul di situ, membaham mangkuk syerbet itu dengan mata mereka, syerbet yang ditompoki kuih seperti bendera yang berkibar tinggi di atas kastil yang mempesonakan, mendekati meja tempat aku sedang duduk, beransur bertukar menjadi budak kecil yang beruntung di hadapan mangkuk besar syerbetku itu.
Tetapi tidak lama kemudian, apabila idea mendapatkan rumah sendiri itu semakin jauh daripada hanya sebagai mimpi dan derita, aku tidak lagi pergi ke tempat seperti itu kerana aku tahu setiap kami berkorban untuk membeli rumah dan aku juga harus memberikan sumbanganku untuk rumah itu yang kini menjadi semacam obsesi bagi ibu, nenek dan mak cik yang akan berkumpul setiap dua atau tiga bulan sekali untuk mengira wang yang dijimatkan pada waktu itu dan aku berasa gembira dan megah melihat mereka berbuat begitu kerana aku tahu gula-gula dan karamel adalah juga di antara duit yang dapat mereka kumpulkan itu, juga syerbet yang aku tidak sentuh di tempat itu yang kini sudah tidak lagi menjadi keinginanku, sungguhpun budak-budak yang sentiasa kelaparan itu masih punya keinginan, malah semakin ramai pula mereka kini, dan aku sendiri sudah lama tidak menjadi seperti mereka dan aku melihat lagi kepada mereka dengan wajah lebih lapar, aku melihat mereka berkerumun di tempat seperti itu yang semakin bercambah setelah pemusnahan bandar raya, tempat yang lebih anggun, lengkap dengan pendingin hawa, permaidani, kerana sekarang negara punya lebih wang daripada sebelumnya, sungguhpun kesengsaraan dan kelaparan adalah lebih buruk daripada sebelumnya, dan rumah untuk dihuni atau bilik untuk berhadapan dengan mati adalah sesuatu yang mustahil untuk didapatkan sekalipun sekian banyak wang yang masuk ke negara ini, negara di mana binatang kesayangan orang kaya hidup lebih baik daripada orang miskin: wanita dara anggun memberi makan fox-terrier berbulu lembut dengan plum, kismis, aiskrim da di situ pelayannya, seperti biasa, menghalau mereka keluar supaya tidak menjadi masalah dengan kelaparan dan tangan mereka yang sentiasa dihulurkan meminta sesuatu untuk dimakan, supaya mereka tidak merayu kepada kami yang sedang duduk, tetapi dengan senyap-senyap mereka akan datang semula apabila tiada siapa lagi di meja, mereka datang semula untuk mengutip sisa makanan dan dibungkus dengan kertas surat khabar atau kertas kesat tangan, seperti pencuri lakunya, wajah lapar, mata kosong yang sayu, anak-anak melihat pada pencuci mulut epal gantian, vanila dan syerbet coklat wajah lapar yang mengutip sekeping roti, segenggam nasi, yang suatu hari pada tangan itulah akan tumbuh duri penuh dengan amarah kejahilan mereka, duri yang nanti akan menjadi seperti cambuk, seperti segenggam batu dilempar oleh malaikat dengan wajah kotor.
Kerap juga ibu dan nenek berputus asa. Ada kalanya apabila wajah mereka muram saja selepas mengira wang dan kekalahan jelas kelihatan pada wajah mereka kerana wang, syiling, didapati tidak mencukupi dan fikir mereka adalah lebih baik melupakan saja idea membina rumah itu sebaliknya dibelikan saja makanan dan pakaian tetapi selalunya mereka akan kembali berfikiran waras, memberi perhatian kepada kata-kata Nenek: di situ dia, mengangkat tangannya, menggerak-gerakkannya, menentang dan tidak bersetuju, memberikan perangsang seperti seorang jeneral memberikan ucapan yang berapi kepada askarnya yang sekali-sekala lemah semangat. Itulah cara nenek, malah lebih daripada itu: lurus dan tegas, yang sejak dulu lagi menjadi tiang tempat rumah itu bertapak, asas kepada segala apa yang kami impikan.
Di situ dia, berpeluk tubuh, membungkus dirinya, berkhutbah kepada kami semua, sementara aku terus memerhatinya dari penjuru tempat dudukku, dengan hati tercubit dan bibir kering, mulut pula terasa tegang seluruh tubuhku tegang terbuku dalam kerongkongku dan mataku digenangi air dengan sebak ingin terluah tetapi tersekat, sedu-sedan seperti bunyi buih ombak lautan yang hampir meletus, hampir meledak, namun tidak pula titis air mata, tanpa memberikan tanda kehadiranku di situ, berusaha sedaya-upayaku untuk mengawal air mataku daripada menitis supaya mereka tidak tahu aku ada di situ, sebaliknya mendengar dan melihat pada nenekku dan kemudian pada ibuku dan pada mak cikku yang sedang mengutip wang itu, meletakkannya di tempat lain, dan dengan keyakinan yang lebih kini memberitahu nenek bahawa mereka akan terus berbuat begitu.
Apabila aku mula bekerja, dalam pelbagai pekerjaan yang aneh-aneh, perkerjaan yang luar biasa, yang tidak disukai dan masih tidak digemari sesiapa pun itu aku menjadi penjual buku jalanan impian untuk membeli sebuah rumah kini menjadi semakin hampir. Kami berjaya mengumpulkan sedikit lagi wang, tetapi sekarang nenek sudah semakin uzur. Sekembalinya daripada menjaja sesuatu atau membeli sedikit-sebanyak keperluan harian, dia akan kelihatan tidak begitu sihat, malah terlalu letih. Pada ketika itulah dia akan duduk pada bangku kayunya yang besar untuk memikirkan bahawa mungkin sekarang inilah impian indahnya itu akan menjadi kenyataan. Ibu dan mak cik juga kini sudah tua, kurang bertenaga setelah dirampas oleh waktu dan penderitaan serta keazaban tahun yang berlalu, namun akhirnya dapat juga mereka melihat bahawa impian mereka sejak sekian lama itu kini semakin hampir, malah dirasakan seperti sudah dapat disentuh, yakni rumah itu akhirnya! tempat ditinggalkan zaman muda dan kebahagiaan masa lampau, tempat yang akan kami huni dengan kenangan segala pengorbanan yang telah kami lakukan.
Ibu pernah melihat rumah yang menjadi idamannya, yang disukai oleh semua, dan yang mampu kami beli, `turunkan saja cengkeramnya' seperti kata mereka dan selepas itu kami boleh membayarnya setiap bulan selama setahun atau dua; yakni sebuah rumah yang pernah diduduki orang lain, sudah agak usang, tetapi sebuah rumah yang aku pasti dapat diberi nafas baru di bawah penjagaan dan kasih sayang kami. Jadi kami pun beli rumah itu dan selepas itu kami terus membayar ansurannya buat beberapa bulan sehingga ia akhirnya menjadi hak kami. Kemudian barulah kami berpindah ke situ dengan semua barang kami dan menghabiskan beberapa hari pula untuk membersihkannya, mencucinya, mengemasnya, menyusun-atur kerusi meja sesuai mungkin seperti dihajatkan agar ia kelihatan dalam keadaan terbaik.
Nenek tidak lagi bergerak sehebat dan seanggun dulu, sebaliknya terus duduk di atas kerusi kayunya yang besar itu, dia akan memberitahu kami cara mana paling baik duduk susun-atur itu, sungguhpun dari semasa ke semasa dia akan bangun dan mundar mandir di bilik tamu, menyentuh lembut pada kerusi goyang, membelai pada permukaan meja dengan senyuman yang memberi cahaya sehingga ke penjuru terjauh di rumah itu, yang mengisi seluruh hidupku.
Impian yang telah dilahirkan pada suatu pagi atau mungkin pada beberapa petang di sebatang jalan berhabuk, dengan seluruh jiran berteriak, dalam suasana kelam-kabut, di tengah zaman remajaku yang penuh kepahitan itu, sungguhpun terkadang dipenuhi rasa seronok yang amat sangat rasa sedih dan gembira terhadap perkara yang tidak difahami orang lain, segalanya terus hidup, dirasakan: rasa gembira dan sedih yang tidak sekali-kali akan aku tukarkan untuk sesuatu dengan sesiapa pun.
Aku masih ingat malam pertama aku tidur di rumah itu. Kami menghabiskan masa berjam lamanya berbual mengenai masa lampau, mengenai setiap derita yang telah kami lalui dan apabila menjelangnya malam dan apabila hampir lewat tengah malam, nenek memadamkan lampu dan kami pun tidur setelah merasa teruja dan gembira serta keletihan, tetapi aku sendiri terus berada di bilik rehat, duduk pada kerusi nenek dan tertidur di situ.
Nenek tidak lama menikmati kebahagian di rumah itu kerana dia meninggal tiga atau empat tahun kemudian. Aku tidak sempat memberinya segala yang aku ingin berikan kepadanya, untuk menyalutnya dengan emas permata dari kepala hingga ke kaki, untuk memberinya dengan segala yang indah yang tidak pernah dia nikmati, untuk merehatkannya daripada terus melaksanakan kerja yang lazim dilakukan sehingga beberapa hari sebelum dia menjadi terlalu uzur, kerana dalam apa hal pun dia tetap bangun sebelum terbitnya matahari dan mula untuk menjalankan tugas hariannya, hari yang panjang tidak berkesudahan itu. Aku tidak sempat memberinya apa yang orang tua seperti dirinya pernah ada, orang tua yang menjadi nenek di rumah orang kaya, pakaian baik-baik, bersiar-siar, keselamatan dan kewujudan yang tenteram, tetapi aku berjaya sedayaku untuk mengurangkan beban kemiskinannya, sentiasa membenci orang lain, membenci negeri, rakyatnya, sistem yang aku terpaksa patuhi untuk meneruskan hidupku.
Dan beberapa tahun selepas kematian nenek aku tidak berkesempatan berada di sisinya sewaktu dia mati, kerana, seperti Ulysses sewaktu disumpah, aku sedang berkelana dari pulau ke pulau malapetaka menimpa bandar raya. Setelah dilanda gempa bumi terjadi pula kelaparan dan penjarahan. Kami, seperti yang lain juga, terpaksa melarikan diri daripada malapetaka itu.
Tetapi seminggu kemudian kami mula kembali ke rumah itu setiap hari untuk melihat bagaimana keadaannya atau melihat apa yang masih tinggal. Tiada apa pun yang tinggal, atau hampir segalanya sudah tiada. Rumah itu tetap ada di situ, tetapi sudah kosong, cuma dipenuhi habuk, sudah musnah, di tengah sebatang jalan yang lengang sepi, di bandar raya yang seluruhnya diapungi kesepian. Apa yang tidak sempat kami bawa bersama kerana keadaan yang tergesa-gesa dan ketakutan semuanya termusnah, atau dicuri, dan yang tinggal cuma rumah itu sajalah.
Kami akan ke sana setiap hari untuk melihatnya, untuk melihat kalau- kalau rumah itu masih tegak di situ, untuk melihat kalau-kalau pintunya, atau jendelanya, atau besen pencuci, atau batu-batanya dicuri orang. Kami keluar awal menuju ke bandar raya yang sudah musnah itu dan apabila tiba di suatu selekoh kami dapat melihat keadaan sebenar bandar raya itu. Kadang-kadang kami masuk ke bandar raya, menguis batu-batu, papan, genting yang jatuh, dan kadang-kadang kami hanya berada di jalan merenungkan betapa singkat berakhirnya impian itu. Pada mulanya terselamat daripada serangan, daripada angkara, tetapi kemudian sedikit demi sedikit ia hilang daripada apa yang pernah wujud, kerana bagi kami rumah itu bukannya sesuatu yang tidak bernyawa, sesuatu yang mati; ia adalah sebahagian daripada hidup kami, hidup dan mati nenek dan kami membicarakan mengenai rumah itu, mengenai nenek, seolah rumah itu suatu makhluk yang kami kasihi.
Pada suatu pagi seperti biasa kami pergi melihat rumah itu. Malah sebelum kami tiba di selekoh sesuatu memberitahu ibuku bahawa kematian rumah itu sudah pun bermula. Rumah itu kini sudah tinggal rangka saja. Semua pintunya sudah terpelahang; begitulah bermula kematiannya. Banda itulah yang mula-mula mereka ambil daripada rumah itu, barang pertama mereka rampas daripadanya; mereka telah menanggalkan pintunya, menarik lekang sehingga engselnya sekali, meninggalkan jenambangnya pecah merekah dan terluka.
Lama ibu menangis di situ dan mengatakan bahawa sudah tamatlah kini riwayat rumah itu, juga bandar raya. Dan apabila kami datang sekali lagi ibu terus menangis lagi, tetapi mengatakan mungkin dapat mereka ambil saja jenambang-jenambang pintunya, atau mungkin ditinggalkan saja selebihnya di situ.
Pada keesokan harinya jendelanya pula hilang, jenambang tingkap yang telah dicat dengan warna hijau, hijau muda dan begitulah keadaannya dari sehari ke sehari, setiap kali kami kembali, kami melihat semakin sedikit yang tinggal pada rumah itu dan yang ada cuma reruntuhan puing di mana- mana; batu-batanya semakin banyak yang hilang dengan cara begini, kepala paip, besen pencuci, pemidang kayu bilik, ampaian, kunci, apa saja semuanya sudah tiada lagi, menunggu mati, sehingga pada suatu hari apabila kami ke situ tidak ada apa lagi yang tinggal.
Kematiannya mengazabkan dan tiada siapa yang dapat menghalangnya. Paku dan apa saja telah ditanggalkan dari rumah itu seolah menjadi musuh. Batu- bata di bilik dapur, satu-satunya benda yang masih terselamat, bersama- sama skrin kecil tingkap, akhirnya hilang juga dan apa yang tinggal cumalah dinding-dinding yang memenjarakan kesepian dan kenangan serta rintihan ibuku. Dan cuma sekali saja lagi kami pergi melihatnya, mungkin untuk mengenangnya; sebenarnya kami tidak bermaksud untuk ke situ tetapi ke tempat lain berdekatan di situ dan ibu mengajak kami ke situ. Dan sebelum kami membelok di selekoh kami dapat mendengar bunyi traktor. Kami kebetulan sempat melihat dinding terakhirnya runtuh di tengah kepulan habuk dan serpihan papan, dan sekarang tiada apa lagi yang tegak di situ melainkan tanah datar, seperti tanah datar yang terbakar membakar bersama kenangan, hidup dan mati nenekku, sebuah rumah yang terbina di sepanjang keazaban kami, kini diratakan, sebuah rumah yang hilang dalam zaman kanak- kanakku dan kehidupan kami semua. Tiada apa lagi yang tinggal.
Biodata Pengarang:
Horacio Pea dilahirkan di Managua, Nicaragua pada 1936. Kini Pea bermastautin di Austin, Texas, Amerika Syarikat. Karya-karyanya yang pernah terbit termasuk cerpen: Diario de un jven que sevolvi loco, 1962; Enemigo de los poetas y otras cuentos, 1976; dan Las memorias de Beowulf, 1978; dan puisi: Ars moriendi y otros poemas, 1976; La soledad yel desierto, 1970; dan Poema a un hombre llamado Roberto Clemente, 1973.
Dari Nicaragua oleh Nazel Hashim Mohamad

No comments:
Post a Comment