Oleh Shahir Zamir
"AKU tidak faham kenapa paras rupa dan kecantikan boleh mengaburi mata manusia? Kenapakah kepintaran dan kecerdikan tidak langsung dipandang ataupun jatuh di tangga kedua apabila mereka membuat penilaian peribadi seseorang?" Aku merengus geram.
Jazrina yang berjerawat halus itu tersengih-sengih. Dia yang tergolong dalam kumpulan pelajar genius itu bagaikan tidak tersentuh oleh kata-kataku tadi. Seketika kemudian terhambur ketawanya.
"Hidup ini mesti fokus, macam kita hendak memanah ke sasaran, hilang fokus tersasarlah anak panah kita," dia menjuih ke arah sasaran anak panah yang jauh di hadapan kami. Seketika dia beralih pandang ke arahku dan mengenyit mata.
"Itu aku tahu tapi kadang-kadang aku tak puas hati jugalah. Keadilan tu bagaikan tidak berpihak kepada kita," aku meluahkan apa yang terbuku dengan nada yang sarat.
"Habis kenapa kau bimbang? Biarlah mereka menilai kita begitu, hanya kita sendiri yang tahu tahap kecerdikan yang kita ada. Biarlah luncai terjun dengan labu-labunya, kalau dia terjun dan tenggelam lalu labunya timbul kita ambil dan kita masak lemak!" dia mengusik lagi kemudian menjerit apabila tamparanku mengena di bahunya. Aku yang tidak tahan mendengar gurauannya itu turut ketawa.
Jazrina bagi aku seorang yang sangat santai, dia tidak peduli apa orang sekeliling fikir tentang dirinya, yang dia tahu belajar dan terus belajar. Cita-citanya untuk menjadi ahli kimia itu semakin kukuh tersemat di dada. Wajahnya yang sedia berminyak itu semakin merah nampaknya disinar matahari petang ketika kami berehat di tepi padang sekolah selepas latihan memanah. Aku bungkam, bosan dengan kenyataan yang adakalanya terasa menghina kredibiliti aku.
"Macam inilah Sephia, biar aku teka. Kau marah-marah ni kerana Suhaila lagikan? Aku dah kata dulu lagi tapi kau nak juga berkawan dengan dia. Selama ini pun aku merasakan dia hanya mempergunakan kau, kecerdikan kau..." Jazrina berhujah, aku hanya terdiam. Ada benarnya kata-katanya itu biarpun berdesing telinga menahannya.
Suhaila sememangnya bagaikan menggunakan kecerdikan aku dan aku pula bagaikan merelakannya atas nama sahabat. Sering sahaja latihan Matematik aku disalinnya, malahan mata pelajaran lain juga sama. Apa yang lebih menyakitkan hati apabila keputusan peperiksaan percubaan SPM keluar dia dikerumuni oleh pelajar lelaki di pusat tusyen yang tidak sabar hendak tahu keputusan yang diperolehi si cantik manis itu. Dia tersipu-sipu kerana malu disebabkan keputusannya tidak sebaik mana. Namun semakin dia menyembunyikan semakin galak pula pelajar-pelajar lelaki mendesaknya.
"Alah... keputusan tak elok sangat. Sekadar cukup makan saja," katanya dengan muka yang merah. Aku yang berdiri bersebelahannya langsung tak diendahkan mereka, malahan mungkin aku ini tidak wujud langsung di mata pelajar-pelajar lelaki itu.
"Tipulah... mesti dapat bagus ni," mereka mengerumuninya dan aku menyisih ke tepi, biarlah mereka itu bagaikan semut yang menghurungi madu. Tiba-tiba ada seorang pelajar lelaki yang mungkin sekadar berbasa-basi menyapa aku.
"Hah, awak dapat apa? Berapa A?" Dia menyoal acuh tak acuh. Aku merenung dirinya, entah apa harus aku katakan? Percayakah dia jika aku mengatakan semua A? Aku menggeleng, dan perlahan-lahan aku berkata.
"Teruk... satu A pun tak ada," aku menunggu reaksinya dan seperti yang aku jangka tiada siapa yang mendesak. Semua orang percaya yang aku mendapat keputusan yang teruk hanya kerana aku tidak secantik Suhaila. Adilkah orang yang cantik sahaja dianggap cerdik?
"Hah! Berangan lagi!" Jazrina menepuk bahuku, aku terpinga. Ingatan kisah petang semalam hilang entah ke mana.
"Jadi apa masalahnya pula sekarang?" Dia menyiku rusukku. Aku terkerisin, lucu pun ada keliru pun sama.
"Kau tahukan selama ini Suhaila rapat dengan aku, mungkin benar-benar berkawan atau ada motif sebagaimana yang kau katakan cuma menumpang kecerdikan aku..." luah aku satu persatu.
"Ya betul," dia mengangguk-angguk kemudian mencapai botol air mineral yang di sisinya. Diteguknya sekali lalu, mungkin bahang petang ini mengeringkan tekaknya.
"Aku dan dia dah jadi renggang sebenarnya, pagi tadi dia bermasam muka dengan aku, katanya aku hendak merampas Hazril darinya. Entahlah aku tidak tahu pun bagaimana rupa si Hazril itu, tiba-tiba angin cemburunya muncul cuma setahu aku, mak si Hazril itu teman rapat ibu aku. Dan kononnya juga mak si Hazril tu suka dengan aku... entahlah," aku menguis-nguis tanah yang melekat di hujung kasut sekolah.
"Wah ini cinta pilihan ibundalah nampaknya!" Jazrina mengusik lagi dan aku mengacukan penumbuk ke arahnya.
"Macam inilah Sephia, bagi aku kau hilang seorang kawan yang seperti Suhaila itu tidaklah mendatangkan apa-apa kerugian dan kau sepatutnya berbangga menjadi diri sendiri. Kita harus yakin, satu hari nanti orang akan menilai kita sebagaimana diri kita yang sebenarnya. Dan aku lebih suka kita menjadi!" Dia menggenggam tanganku dan bagai ada perjanjian termeteri di situ dan kami sama-sama tersenyum. Ya, aku tidak perlukan sesiapa yang hanya mengambil kesempatan ke atas diriku. Biar aku menjadi aku dan kita menjadi kita!
Shahir Zamir
Sungai Petani, Kedah

No comments:
Post a Comment