Oleh Nor Asyikin Basran
AGAK lewat juga aku tiba di rumah. Mengayuh basikal sejauh lima kilometer memang amat memenatkan. Sebaik sahaja aku menyimpan basikal di bawah rumah, terdengar azan Maghrib dari surau desa meratah senja.
Dengan pantas aku naik ke rumah, menyimpan buku dan alat tulis. Ketika melewati ruang dapur untuk keluar ke perigi belakang rumah, aku sedikit hairan melihat ibu yang masih berdiri di tubir tingkap. Matanya merenung kosong ke arah luar.
"Bu, kenapa bu?" aku menegur. "Tak baik termenung waktu Maghrib begini, nanti ditegur jin kepala gondol," usikku lagi. Ibu terpinga-pinga, kemudian melempar senyuman. Aku terus halakan langkah, menuruni tangga dapur. Nyalaan mentol dapur, menyerlahkan jalan ke bilik air.
Mengenangkan sikap ibu, ketenanganku sedikit berkocak bagi air perigi disentuh timba. Apakah yang mengganggu fikiran ibu? Apakah ibu sedang memikul masalah yang amat berat? Atau apakah ibu teringat akan ayah yang telah empat tahun menyahut panggilan Ilahi?
Aku dapat merasakan bahawa ada sesuatu yang mengusik ketabahan ibu yang tak pernah merungut penat itu. Ada resah yang berlegar difikiran ibu.
"Suria, ada sesuatu yang hendak ibu katakan kepadamu." Ibu menghampiriku sebaik sahaja aku selesai menelaah nota-nota STPMku. Adik-adik telah lama dilayan mimpi. Jam di dinding menunjukkan hampir pukul sebelas setengah. Di luar cengkerik rancak melontar gemersik bunyi menyaingi unggas-unggas malam yang lain.
Aku mengalihkan wajah ke arah ibu. Kupasti tentunya ada perkara yang sangat penting hendak diperkatakan kepadaku. Tidak pernah ibu bersikap sedemikian. Perlahan-lahan ibu meletakkan sebuah kotak kecil di hadapanku. Aku jadi semakin resah. Apakah maknanya ini. Sebuah kotak kecil bertutup lut sinar itu menyerlahkan sebentuk cincin emas dihiasi sebutir permata.
"Lepas Asar tadi Tok Penghulu Hamid dan isterinya datang," berhati-hati sekali ibu mengeluarkan kata-kata. Aku semakin resah.
"Mereka datang melamar Suria untuk Zaim anak lelaki tunggal mereka. Cincin ini sebagai tanda merisik," jelas ibu tanpa menanti pertanyaanku. Aku terkedu. Terasa seluruh tubuh gementar. Lidahku kelu. Terasa apa yang kudengar umpama dalam mimpi.
Dalam kesuraman itu, ketenung wajah ibu dalam-dalam. Meminta kepastian. Ibu mengangguk lantas menghulurkan kotak kecil berwarna merah itu kepadaku. Aku menyambutnya dengan perasaan yang bersimpang-siur. Cincin emas bertatahkan permata itu kurenung dalam-dalam, mencari keikhlasan si pemberinya.
"Suria... ibu sesekali tidak memaksamu." Terasa ada suatu kehalusan menyelusup ke hatiku mendengar kata-kata ibu. "Kebahagiaan Suria adalah kebahagiaan ibu juga."
Seraut wajah tampan dan lembut Abang Zaim datang berlegar-legar di ruang fikirku. Mengheret sekali aku ke zaman kanak-kanak kami. Dia satu-satunya teman yang paling rapat denganku. Sebagai anak yang serba kekurangan, rasa rendah diri begitu menebal untuk aku bergaul dengan rakan-rakan lain. Siapalah aku untuk dibandingkan dengan mereka.
Mujurlah ada Abang Zaim yang sudi menjadi kawanku. Dari alam kanak-kanak, kami bersama-sama menempuh alam remaja. Dia yang dua tahun lebih usianya daripadaku sentiasa menggembirakanku. Ketika berada di sekolah menengah hubungan rapat itu telah mewujudkan satu perasaan yang amat lain antara kami berdua. Satu perasaan yang nikmatnya sukar aku ceritakan. Perbezaan darjat antara kami bukan tembok penghalang kemesraan.
Kejayaan cemerlangnya dalam SPM, telah membawa Abang Zaim ke United Kingdom, melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan. Hubungan kami terputus. Selama dia di sana, aku tidak lagi mendengar khabar berita tentangnya. Tahun demi tahun namanya dan wajah mula kabur daripada ingatan. Aku pula semakin sibuk dengan urusan pelajaranku.
Tangisan adik Imran yang berusia empat tahun itu tiba-tiba mengembalikan aku ke dalam kesuraman rumah pusaka tinggalan ayah ini. Kulihat ibu segera menghampiri adik Imran sambil menepuk-nepuknya. Imran, adik bongsuku belum mengenal erti penderitaan. Kehadirannya ke alam ini tidak sempat disambut oleh ayah yang diragut keganasan lori pasir ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.
Aku mengalihkan pandanganku ke arah Suhaila yang tidur mengiring menghadap ke arahku. Kami sekeluarga lebih betah tidur di ruang tengah. Bilik yang satu-satunya itu hanya tempat kami sekeluarga menyimpan dan menyalin pakaian. Aku mengalih pandangan ke arah ibu.
Di sebalik bening matanya yang sayu itu, ada lingkaran derita yang disembunyikan. Kedut-kedut yang bergaris di wajahnya tua itu menjelaskan betapa banyaknya keperitan yang terpaksa ibu harungi dalam membesarkan kami tiga beradik.
Mungkinkah lamaran ini mampu mengubah nasib kami sekeluarga? Apakah ibu begitu mengharapkan lamaran itu aku terima demi masa depanku? Apakah ini satu-satu cara bagiku menggembirakan hati ibu dan sekali gus membalas segala penat lelah ibu? Mungkinkah...
Aku bermonolog. Bingung bercampur berbelah bagi. Aku renung kembali cincin yang masih teguh di dalam kotak lut sinar itu.
Aku bangun perlahan-lahan lalu memasukkan kotak tersebut ke dalam laci lama di sudut rumah. Aku menarik nafas dalam-dalam.
Aku menyatakan keputusanku selepas dua minggu berfikir. Keputusan itu aku buat demi kegembiraan ibu dan adik-adik. Ibu kulihat ceria dengan keputusanku. Aku lega, apabila ibu menyatakan majlis penyatuan aku dengan Abang Zaim hanya dilakukan setelah dia pulang dari luar negara. Ini bermakna aku masih punya masa lebih setahun unuk membuat persiapan, di samping membantu ibu membuat kuih jualan.
Ah... dalam diam-diam, kasihku terhadap Abang Zaim kembali berbunga. Namun aku bimbang akan kemampuanku untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai isteri yang baik. Isteri seorang doktor. Kegusaranku lenyap apabila Abang Zaim mula menghubungiku kembali lewat surat-suratnya.
Sebulan sebelum majlis pertunangan berlangsung, ibu tiba-tiba diserang sakit jantung. Dua hari ibu terlantar di wad ICU, ibu semakin tenat. Pelbagai andaian buruk mula mengganggu.
Pelbagai usaha telah aku lakukan dengan bantuan Tok Penghulu Hamid suami isteri.
Jodoh pertemuan ajal maut telah termaktub dalam ketentuan Allah SWT.
Setelah hampir seminggu berhempas pulas bertarung nyawa, akhirnya ibu dijemput Tuhan dengan akhiran kata dua kalimah syahadah. Seluruh hidupku bagai direntap. Dunia hidupku bagai turut terhenti. Langit kebahagiaan yang menampakkan cerah lagi terang itu kembali dilitupi gelap mendung.
Dengan ihsan Penghulu Hamid dan seluruh penduduk desa, ibu selamat dikebumikan. Aku dan adik-adik masih terpinga-pinga untuk menerima kenyataan bahawa ibu, yang amat kami sayangi sudah tiada. Hatiku semakin sayu mengenangkan nasib adik-adikku.
Wajah Suhaila sugul dan masih bergenang air mata di tubir matanya. Hatiku luluh tatkala terpandangkan adik Imran yang menyisih diri di sudut rumah sambil memeluk erat kain batik milik ibu. Ada esakan halus kedengaran. Apakah ada pintu bahagia untuk mereka?
Ya Tuhan... apakah hikmahnya Kau pisahkan dia daripada ibu dalam usianya yang masih hijau? Bagaimanakah dia dapat menempuh arus hidup tanpa ibu di sisi? Aku amat kasihan akan adik Imran. Kalaulah nyawa boleh ditukar ganti, pasti aku rela bertukar nyawa dengan ibu. Tapi... hatiku memujuk, Allah Maha Mengetahui akan apa yang dilakukan-Nya.
Meskipun kami tiga beradik masih dirundung kepiluan atas pemergian ibu, majlis pertunanganku dengan Abang Zaim tetap dilangsungkan seperti mana yang dirancang. Mulanya aku cuba minta tangguh namun setelah mendengar nasihat dan pandangan jiran-jiran serta bakal mentuaku sendiri, aku menerima dengan rela hati. Jiran-jiran sekampungnya begitu simpati terhadap kami adik beradik. Merekalah yang bertungkus lumus menguruskan majlis bagi pihak aku yang masih terkesima dengan pemergian ibu. Aku amat terharu, apabila majlis didahului tahlil khusus untuk ibu. Aku bersyukur ke hadrat Ilahi, sekurang-kurangnya aku dapat menunaikan harapan ibu. Kunjungan Abang Zaim ke rumahku dua hari selepas majlis tersebut menyuntik sedikit semangatku agar terus tabah menangani rasa sedih yang masih bersarang.
Sebelum pulang, Abang Zaim melafazkan janjinya, "Suria, abang berjanji tidak akan mempersia-siakan hidup Suria dan adik-adik. Jangan jadikan ikatan pertunangan kita sebagai penghalang semangat Suria untuk terus belajar." Aku sedikit keliru. Sukar untuk memahami kata-kata Abang Zaim.
"Abang sudah berbincang dengan keluarga abang. Mereka bersetuju agar Suria teruskan pengajian hingga ke puncak jaya. Urusan penyatuan kita itu akan dibuat selepas Suria tamat pengajian. Abang akan menunggu biar berapa lama sekalipun. Segala perbelajaran Suria dan adik-adik usahlah dibimbangkan. Segalanya dalam urusan keluarga abang."
Aku tidak dapat berkata apa-apa. Insaflah aku betapa jujurnya hati keluarga Abang Zaim terhadap diriku.
Petang itu, aku memimpin tangan Suhaila, dan adik Imran menuju ke pusara ibu. Di situ akan berteleku lama. Setelah lebih dua bulan pemergian ibu, pusaranya masih merah dan basah.
"Ya Allah, Kau kembalikanlah sinar kebahagiaanku, dan adik-adiku..."

No comments:
Post a Comment