Pages

Thursday, December 18, 2014

Apa Ada Pada Dia?

MUHAMMAD Adib Mukhriz telah diumumkan sebagai Pembahas Terbaik Kebangsaan. Perasaan Aisyah ketika itu tidak dapat digambarkan. Betapa bencinya dia pada pemuda itu.

Adib berjalan melintasi Aisyah, kebetulan pada masa itu Aisyah membelakanginya. Tiba-tiba sahaja Aisyah berpaling lalu berlaku satu kejadian yang tidak disengajakan.

"Oops, maaf," ucap Adib.

"Apa maaf maaf," marah Aisyah tidak tentu pasal.

"Saya minta maaf dengan baik janganlah macam ni," balas Adib tenang.

Aisyah hanya mendiamkan diri. Dia masih tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut.

"Allah telah menetapkan rezeki untuk hamba-Nya. Kita sebagai hamba-Nya tak boleh nak pertikaikan soal rezeki ni. Itu urusan Allah. Anggaplah hari ini hari saya, dan awak perlu ada azam yang hari esok adalah milik awak pulak. Jangan layan sangat perasaan awak yang kecewa tu," nasihatnya tenang.

Aisyah masih seperti tadi, memikirkan kata-kata lelaki yang berada di hadapannya.

"Ini alamat emel saya, kalau ada apa-apa, boleh hantar emel kepada saya. Tak pun kita boleh bertukar-tukar info pasal dunia bahas ni," seraya itu dia menghulurkan secebis kertas yang tertulis alamat emelnya.

Aisyah mengambilnya dengan perasaan berbelah bagi. Tadi bergaduh, sekarang baik pula. Ajaib betul. Biar betul aku ni!

Malam itu juga Aisyah menghantar emel mem`belasah' Adib. Begitu pedas kritikan yang Aisyah tulis. Hatinya begitu puas.

"Tercapai jugak hasrat aku," ujar Aisyah perlahan di depan komputer.

Aisyah tidak sabar menunggu hari esok. Hari yang bakal merubah hidup baginya. Sebaik sahaja pulang dari sekolah, Aisyah terus menghadap komputer. Takut-takut ada emel daripada Adib.

"Dia balas," ucap Aisyah dalam hati. Aisyah membacanya dengan penuh debaran di hati.

Salam,

Alhamdulillah, sudi jugak awak hantar emel kepada saya. Terima kasih atas pujian yang berguna itu. Saya menghargainya. Cuma saya ingin mengatakan sesuatu tentang diri kita yang bergelar insan. Kita sama-sama hamba Allah. Saya tahu awak masih berdendam terhadap saya tapi apa gunanya? Kalaupun dendam awak terlunas, adakah awak akan berpuas hati? Kita sentiasa tidak puas selagi kita bernama manusia. Aisyah, satu nama yang begitu indah. Nama insan yang amat dicintai Rasulullah S.A.W. Perwatakannya yang lemah-lembut lagi sopan. Saya tahu, sedikit sebanyak ciri-ciri itu wujud dalam diri awak.

Hidup yang hanya memikirkan kecantikan diri, adalah falsafah hidup burung merak. Cantiknya lebih, manfaatnya tidak setara. Daging tidak dimakan, burung lain enggan berkawan. Terbang tak setinggi mana, lagaknya mendabik dada. Merak hanya ada kecantikan yang dimodal untuk dibanggakan.... jika harga diri merak adalah pada cantiknya sentiasa, apakah harga diri seorang insan juga bergantung kepada paras rupanya? Insan lebih mulia daripada itu..."

- Muhammad Adib Mukhriz

Setitis demi setitis air mata keluar dari tubir matanya. Teresak-esak Aisyah membaca emel tersebut. Aisyah benar-benar tidak menyangka yang Adib boleh menulis sehingga begitu. Dia terasa dirinya amat kerdil.

Bermula saat itu Aisyah banyak bertanya tentang soal agama, Adib pula sedaya-upaya membantu Aisyah. Adib juga membantu Aisyah dalam pembelajaran, terutamanya di dalam mata pelajaran Bahasa Arab Tinggi (BAT).

Selama ini Aisyah langsung tidak berminat dengan BAT tetapi sejak Adib memberi galakan, dia semakin berminat untuk mendalaminya.

"Seronok betul kat dalam tu," ujar Aisyah keriangan sambil keluar dari sebuah tempat bersama Ita.

Tiba-tiba matanya tertancap pada seseorang yang dia amat kenali. Lelaki itu menyedari dirinya diperhatikan terus berpaling. Mata mereka bertaut. Lelaki itu ternyata terkejut melihat Aisyah keluar dari tempat itu. Dia tidak menyangka yang Aisyah akan menjejakkan kaki ke situ.

"Adib," pantas mulut Aisyah menyebut nama itu.

Adib yang masih terkejut tersedar dengan panggilan itu. Adib merenung Aisyah. Aisyah yang menyedari tindakan Adib itu menjadi tidak keruan.

"Kenapa renung saya macam tu?" akhirnya Aisyah bersuara.

"Awak tahu itu tempat apa?" soal Adib tidak berpuas hati.

"Pub," jawab Aisyah selamba.

"Awak tahukan yang itu lubuk maksiat?"

Aisyah terkedu. Ita yang turut serta juga memandang Aisyah.

"Kenapa tak jawab?" soal Adib serius.

"Memang lubuk maksiat, tapi tidak semua yang ada di situ buat maksiat," Aisyah masih mahu mempertahankan dirinya.

"Tapi bila kita pergi ke tempat maksiat, dosa kita pun sama macam buat maksiat," terang Adib menahan sabar.

"Habis tu?" Aisyah menyoal seolah mencabar Adib.

"Suka hati awaklah. Saya nak balik. Assalamualaikum," balas Adib sambil berlalu pergi.

Aisyah tergamam. Niat dihati untuk berbahas dengan Adib terkubur begitu saja.

Aisyah termenung jauh di balkoni rumahnya. Hatinya tatkala ini gundah gulana memikirkan kata-kata Adib.

Sekali lagi kumpulan bahas yang diketuai Aisyah menyertai satu pertandingan. Aisyah dan pasukannya berdebar-debar menantikan giliran mereka.

Tiba-tiba Aisyah terpandang salah seorang peserta yang amat dia kenali. Baru sahaja dia hendak menegur Adib, tetapi Adib sudah berlalu pergi. Sikap Adib benar-benar membuatkan Aisyah terkilan.

Masa yang ditunggu-tunggu akhirnya tiba. Hujah yang disampaikan Aisyah kadangkala sedikit terganggu jika dibandingkan dengan hujah-hujah Aisyah sebelum ini. Dia menyuarakannya dengan begitu lantang dan penuh keyakinan. Tetapi tidak pada kali ini, Aisyah kelihatan tidak yakin dan tidak bersemangat.

Akhirnya, kumpulan Aisyah tersingkir pada peringkat suku akhir lagi. Aisyah nampak begitu tenang dan menerima keputusan itu. Tetapi Aisyah sebenarnya teramat kecewa dengan dirinya sendiri.

Kesungguhan lelaki itu amat dia kagumi. Kematangan yang ada padanya membuatkan Aisyah benar-benar terpaut hati padanya. Nasihatnya yang tulus merubah diri Aisyah. Tetapi mengapa setelah kejadian tempoh hari dia berkelakuan dingin sekali? Tak dapat digambarkan bagaimana perasaan Aisyah sekarang.

"Aisyah," satu panggilan menyapa ke telinganya. Aisyah berpaling lemah. Adib kini berada di hadapannya. Mungkin baru sahaja selesai sesi perdebatan.

"Apa awak nak sebenarnya?" soal Aisyah.

"Saya nak tanya pasal hal tempoh hari," Adib bersuara.

"Pasal apa pulak?" Aisyah mula bengang.

"Selalu pergi tempat macam tu?" soal Adib tenang.

"Selalu jugak," balas Aisyah selamba. Adib terkejut.

"Saya hairan, macam mana awak boleh jejakkan kaki ke tempat macam tu?" Adib menyoal setelah lama mereka mendiamkan diri.

"Menari untuk panaskan badan," ujar Aisyah.

"Hentikanlah buat maksiat. Saya tak nak kawan saya terjerumus ke lembah maksiat," nasihat Adib.

"Kenapa? Saya punya pasallah," balas Aisyah sedikit geram. Mukanya kemerahan menahan marah. Sibuk betul mamat ni!"

"Tapi apa gunanya ada kawan hanya semata-mata nak rosakkan diri kita? Apa gunanya kawan kalau tak boleh nak bimbing kita ke jalan yang benar? Apa gunanya kawan yang hanya nak lihat kita lalai.... Alpa? Apa gunanya semua itu?" soal Adib bertalu-talu.

Terkasima Aisyah dibuatnya. Adib sudah mengangkat kaki menuju ke dewan utama semula. Aisyah keliru. Apa yang harus dia lakukan sekarang? Lalu Aisyah berlari anak mengejar Adib.

"Adib, I'm so sorry," Aisyah separuh menjerit. Langkahnya terhenti. Aisyah segera mendekati Adib.

"Hidup awak, awak yang tentukan," Adib bersuara tenang tanpa berpaling ke arah Aisyah.

"Kalau awak nak tahu, saya tak kuat untuk hadapi semua ini," Aisyah sudah teresak-esak menangis.

Adib memandang sayu ke arah sahabatnya itu. Dia tahu Aisyah hanya berlagak hebat di hadapan orang lain. Tetapi sebenarnya dia tidak seperti itu.

"Sebab itu pentingnya sahabat. Sahabat yang bisa membawa kita ke jalan yang benar. Sahabat yang boleh membetulkan kita tatkala kita salah. Sahabat yang setia bersama kita tatkala susah dan senang," nasihat Adib.

Kata-kata Adib itu menambah lagi esakan Aisyah. Aisyah sedar, Aisyah tahu yang dia serba kekurangan. Aisyah mahu berubah.

"Tak guna awak menangis. Keadaan tetap takkan berubah selagi awak tak berubah. Buatlah semuanya kerana Allah. Allah akan pelihara kita. Jangan putus asa memohon pada Dia," sambung Adib lagi.

"Adib, terima kasih kerana banyak menyedarkan saya. Terima kasih juga sebab sudi terima saya sebagai kawan awak. Saya harap persahabatan ini tidak berakhir di sini sahaja," ujar Aisyah bersungguh-sungguh.

"Sama-sama. Semua ini takkan terjadi jika Dia tidak mentakdirkannya. Segala yang baik datangnya dari Allah. Pencipta yang maha agung dan yang buruk itu adalah kelemahan saya sendiri," balasnya.

Dia memanjatkan kesyukuran kepada Allah kerana dipertemukan dengan sahabat yang jujur seperti Adib. Aisyah amat berharap hari-hari yang bakal dilalui diisi dengan ketenangan dan keberkatan dari-Nya. Itulah yang Aisyah inginkan sebenarnya.

SITI HANISAH ABDULLAH SANI
SMKA Naim Libanat, Kelantan

No comments: