Pages

Thursday, December 04, 2014

Pengorbanan dan perjuangan

ENCIK Syukor tersenyum puas. Matanya penuh dengan sinar kegembiraan. Buat julung-julung kalinya sejak menjadi jurulatih kadet polis sekolah. Mereka sama-sama meraih kejayaan. Apatah lagi pasukan Kadet Polis Sekolah Menengah Air Tawar baru sahaja dua tahun ditubuhkan. Dalam masa dua tahun itu pasukan mereka sudah mampu mencipta sejarah kejayaan dan kemenangan. Encik Syukor terus tersenyum hasil kejayaan itu, melihat kegembiraan anak-anak buahnya.

"Johan bagi pertandingan kawad kaki kategori tajaan agensi kerajaan dimenangi oleh pasukan Kadet Polis Sekolah Menengah Air Tawar."

Semua tersenyum. Hati masing-masing telah lama kembang. Pastinya mereka gembira sekali. Mata mereka mencari-cari. Akhirnya terlihat di satu sudut sana... Encik Syukor dan Cikgu Shamsul tersenyum riang. Menampakkan barisan gigi yang putih.

"Encik, kita menang!" Suara Oya penuh kegembiraan. Wajahnya tergambar kepuasan. Tak rugi suaranya terjerit-jerit sehingga terkeluar suara itik serati. Hasilnya, kemenangan menjadi kenyataan.

"Tahniah. Saya tiada nak cakap apa-apa. Cuma sekarang ni, dah nampak hasilnya." Encik Syukor menyembunyikan senyumannya. Hakikatnya semua tahu, hati lelaki ini telahpun kembang semacam belon.

"Lepas ni kita ada perjuangan yang lebih besar, lebih mencabar. Teruskan dan kekalkan semangat ini sehingga kita berjaya lagi." Masing-masing mengangguk. Selepas ni, sekolah mereka akan mewakili daerah Kota Tinggi untuk bertanding di peringkat negeri. Dada mereka berdebar semula, seperti mula-mula masuk padang kawad untuk pertandingan tadi.

Mereka bertemu lagi, seperti yang telah dijanjikan. Kembali berlatih untuk menghadapi cabaran lebih besar di peringkat negeri. Mereka bermula dengan permulaan pertama yang amat mengecewakan.

"Kamu nampaknya masih dilambung-lambung oleh kejuaraan kamu. Masih bermimpi, masih perasan boleh menewaskan lawan dengan menutup mata. Itu dulu... masa di peringkat rendah! Sekarang, kita bukan lagi di peringkat itu. Sekarang kita dah melangkah jauh. Bertanding dengan pasukan-pasukan yang lebih mencabar! Okey, kita mula semula. Cepat, pantas!" Semua bertempiaran membentuk barisan memulakan latihan hingga akhir. Tetapi nampaknya mereka masih begitu lemah dan lemah.

"Kenapa lemah sangat ni? Dah tak larat nak berlatih? Kamu tau tak, kawad kamu hari ni langsung tak bermakna. Berapa penilaian yang boleh dibuat? Berapa kamu nak bagi? Kalau saya, saya bagi 0%. Sifar!" Encik Syukor bersuara garang, meluahkan kekecewaannya.

Encik Syukor memandang jauh. Matanya menggambarkan kekecewaan yang sarat. Kecewa dengan persembahan anak-anak buahnya. Suatu persembahan yang amat mengecewakan.

"Baiklah, dah pukul enam. Kamu semua boleh balik." Tiada siapa yang berganjak. Masing-masing membatu, beku dan bisu. Encik Syukor bangun, berbual seketika dengan Cikgu Shamsul sebelum beredar ke arah keretanya.

Semua memandang sayu. Melihat pemergian Encik Syukor yang penuh kecewa. Masing-masing menanam azam dan semangat tidak mahu membiarkan hasil penat lelah Encik Syukor terbazir. Mereka mahu melihat mata merah kurang tidur itu bersinar kembali. Itu janji mereka...

"Bagus...!" Hari itu mereka mendapat pujian melambung. Tinggi, lebih tinggi daripada tujuh petala langit.

"Kalau kami dapat teruskan semangat ini sampai hari pertandingan, saya tidak hairan kita boleh jadi juara lagi." Mereka senyum, Encik Syukor memandang wajah-wajah di hadapannya, satu persatu. Tersenyum. Semuanya gembira untuk hari ini.

"Encik Syukor demam, tak dapat datang." Semua tampak kecewa. Hari ini hari terakhir latihan sebelum pertandingan Sabtu ini. Masing-masing kempunan untuk mendengar kata-kata akhir Encik Syukor, untuk dijadikan azimat pada hari pertandingan nanti.

Orang ramai mulai memenuhi Stadium Terbuka Kluang untuk melihat pertandingan kawad kaki peringkat negeri.

Hati semua ahli pasukan kadet mula berdebar-debar. Namun semangat mereka tetap kental untuk merebut gelaran juara. Mereka berjalan segak, banyak mata memerhati, berkumpul di padang kawad untuk pemeriksaan aksesori.

Penantian yang lama menyebabkan Mariana pengsan. Pasukan PBSM bingkas memberikan pertolongan. Masing-masing mula merasa resah. Rasa pertandingan kali ini tidak menjanjikan apa-apa kemenangn. Semangat semakin pudar, jiwa kental terasa luntur...

"Tak mengapa, jangan takut. Kita dah sampai di sini, teruskan perjuangan." Encik Syukor cuba memberikan kata-kata perangsang. Mereka semua terasa kemenangan berada di paras hidung. Sedikit lagi boleh lemas.

"Peserta kelapan, pasukan Kadet Polis dari daerah Kota Tinggi." Pengerusi majlis memanggil. Mereka semua bersedia untuk masuk ke padang kawad.

"Buat yang terbaik," Encik Syukor sempat berpesan. Mereka berjalan masuk, terasa diri mereka yang paling segak, paling cun dan paling bagus.

"Tunjukkan keegoan kamu," pesanan Encik Syukor terus terngiang-ngiang di ruang ingatan. Kepala didongak, tidak menghiraukan pancaran matahari terik. Mereka mengambil tempat, di tengah padang kawad; menjadi perhatian berpasang-pasang mata. Hati mereka berdebar-debar.

Arahan daripada sarjan disambut baik. Setiap pergerakan diiringi rasa debaran. Formasi bermula, terasa berterabur. Gerakan menjadi kelam-kabut, namun langkah tetap diteruskan. Persembahan kawad mereka berakhir. Mereka tidak lagi menaruh harapan.

Namun begitu, mereka melangkah yakin keluar dari padang kawad. Cuba tampil sesegak mungkin. Walau hakikatnya mereka merasakan kemenangan tidak berpihak kepada mereka lagi...

"Johan bagi pertandingan kawad kaki kategori agensi kerajaan di menangi oleh daerah ..." Mereka tidak lagi mendengar. Namun mereka masih mampu tersenyum.

"Terima kasih, walaupun tak dapat berada di mana-mana tempat kamu semua tetap menang, menang semangat ..." Cikgu Shamsul bersuara, sekadar menyedapkan hati mereka. Hari itu mereka pulang tanpa apa-apa kemenangan.

Walau bagaimanapun kepuasan terpancar jelas. Perjuangan masih belum berakhir. Tahun akan datang mereka ada tugas lebih penting. Mereka akan berjuang lagi, dan perjuangan itu memerlukan pengorbanan. Korban wang ringgit, masa, tenaga dan perasaan.

Mereka akan buktikan menjadi yang terbaik antara yang terbaik.

RADIAH BAHARIN

Air Tawar 2, Kota Tinggi, Johor

No comments: