Pages

Wednesday, December 24, 2014

Di pihakmu, Palestin

HATIKU berdegup kencang sejak tadi. Mungkin kerana bimbang untuk menghadapi hari pertama di universiti. Maklumlah, universiti ini bertaraf antarabangsa, dan sudah semestinya akan memilih pelajar yang berkualiti dan berkredibiliti dalam usaha untuk menjaga reputasi dan prestijnya di mata dunia. Universiti Teknologi Petronas sememangnya destinasiku sejak awal persekolahanku di peringkat menengah.

Mataku asyik memerhatikan gelagat pelajar baru di sini. Pelbagai kerenah aku perhatikan. Walau bagaimanapun, aku bersyukur ke hadrat Ilahi kerana telah memberi peluang kepadaku untuk melanjutkan pelajaran di sini.

"Syed Hassan Hasbullah!"

Aku terhenti dari lamunan. Terkejut aku, suara itu bergema dengan kuat dan menggegarkan gegendang telingaku. Aku berpaling.

"Syed Hassan Hasbullah! Maza tafa'al?Kaifa haluka ya sodiqi? Wa ana filkhair..." Terasa hangat tubuhku tatkala memeluk sahabatku itu. Terubat rasanya rinduku padanya. Kami sememangnya rapat sejak kecil.

Masih segar di kotak ingatanku kenangan ketika kami masih di tadika. Lazimnya, piala untuk tempat pertama akan digondol oleh Hamzah. Manakala aku, semestinya di tempat yang kedua. Walaupun demikian, kami tidak pernah iri hati terhadap pencapaian masing-masing, bahkan kami sating membantu untuk berjaya. Setelah hampir sepuluh tahun berpisah, akhirnya kami telah dipertemukan di Malaysia.

Kelas Kimia kami telahpun bermula. Begitu khusyuk nampaknya Hamzah menekuni pembelajaran Puan Alyssa Sharmila yang berdarah kacukan Inggeris-Belanda itu. Pada minggu ini, kami mempelajari tentang pelbagai bahan kimia yang digunakan dalam proses pembentukan senjata nuklear.

Aku dan Hamzah amat berminat untuk mendalami ilmu persenjataan sejak kecil lagi. Lebih-lebih lagi, sehingga kini tiada lagi negara Islam melainkan Iran yang telah memiliki senjata nuklear, kerana faktor kewangan dan kekurangan tenaga pakar. Sungguhpun demikian, aku masih menyimpan hasrat untuk mencipta senjata nuklear suatu hari kelak.

Sejak kebelakangan ini, Hamzah agak berbeza. Seringkali aku menghantar pesanan ringkas kepadanya, tetapi tidak dibalasnya. Aku berasa sungguh bimbang dengan perubahan yang mendadak itu. Lebih-lebih lagi, kami adalah antara sepuluh pelajar terbaik dari Mesir yang bertuah kerana berkesempatan melanjutkan pelajaran di sini. Perasaanku bercampur-baur. Bimbang dan pelik rasanya. Segala tanggapan negatif terhadapnya aku lontarkan sejauh yang mungkin.

Televisyen di ruang tamu aku hidupkan. Aku tergamam melihat kehancuran yang berlaku di Palestin. Bandar Gaza telahpun ditawan tentera Israel yang telah mengepung bumi Palestin itu dengan ketat.

Setitis demi setitis air mata mengalir di pipiku. Pilu, sedih dan benci mula menguasai diriku. Hujan lebat yang mencurah-curah mula bertukar warna. Tiada lagi titisan hujan yang jernih lagi menenangkan. Hanya kotoran dan bau hanyir yang menyesakkan hidung menggantikan hujan jernih itu. Dunia ini seolah-olah sudah hilang keamanan.

Tiada lagi kasih sayang di bumi Palestin. Sememangnya telah hancur musnah. Serangan pihak tentera Zionis ini telahpun dijangka sejak awal lagi, memandangkan Perdana Menteri Israel pernah membuat ancaman untuk menakluki bumi Palestin sehari sebelum serangan itu dilancarkan. Kulihat kanak-kanak dan wanita lari bertempiaran untuk menyelamatkan diri masing-masing.

Walaupun bukan kampungku yang dihancurkan, bukan ahli keluargaku yang menanggung derita itu dan bukan aku yang merasai keperitan dan derita yang dilemparkan oleh tentera Zionis itu, aku sebagai saudara seagama turut merasai kesengsaraan tersebut. Bahkan, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, bahawa setiap umat Islam itu bersaudara dan apabila salah satu anggota itu berada dalam kesakitan maka seluruh tubuh akan merasai keperitannya.

Sesungguhnya, aku berada di pihakmu, Palestin... Ketahuilah, suatu hari nanti, kebenaran pasti terbongkar. Walaupun hampir seluruh dunia mengecam tindakan Israel yang tidak berperikemanusiaan, tetapi pihak tentera Zionis langsung tidak mempedulikannya.

Tanpa membuang masa, aku bergegas berlari ke bilik Hamzah. Aku cuba menghubunginya tetapi gagal. Sebaik sahaja kakiku melangkah masuk ke biliknya, "Helo, Hassan..." kami bersalaman.

"Anda mencari Hamzah ke?" seorang pelajar berkulit putih yang tinggal sebilik dengan Hamzah menyoalku.

Aku mengangguk perlahan. Katil Hamzah kosong.

"Dia telah mengemaskan semua barang-barangnya selepas menonton berita di TV tadi. Katanya, dia ingin kembali ke tanah air, dan surat ini untuk anda." Pemuda itu menghulurkan sepucuk surat kepadaku. Aku membuka sampul surat itu lantas terus membaca kandungannya.

Ke hadapan sahabatku Hassan Hasbullah,

Sebenarnya, telah lama kupendam perasaan ini. Tahukah kau sahabatku, tujuan kedatanganku di sini bukanlah atas kemahuanku. Hanya kerana desakan ibu bapaku, barulah aku bersetuju ke mafi. Sejak dahulu lagi, aku memang berminat untuk menyertai tentera, tetapi dihalang oleh ibu bapaku. Aku ingin menegakkan semula kekuatan tentera Islam seperti yang pernah berlaku semasa zaman Khalifah Umar dahulu. Dunia kita berbeza, sahabatku. Kejarlah cita-cita kau, dan realisasikanlah impianmu. Setelah kau tamat pengajian nanti, pulanglah dan berjuanglah bersama-samaku mempertahankan hak kita. Sekali lagi, aku mohon maaf. Percayalah, sahabatku bahawa diri ini terlalu menyayangimu.

Salam Sayang,

Hamzah Nasrullah

Aku mengesat air mata. Tergamak kau tinggalkanku, Hamzah. Sedangkan aku juga saudara Islam sepertimu. Namun, aku menyokong tindakannya. Aku tahu, Hamzah seorang yang degil. Dia tidak akan melepaskan apa yang dihajatinya dengan mudah.

Tetapi, bagaimana pula dengan aku? Aku masih di sini... Masih setia mendengar dan mempelajari ilmu-ilmu baru di sini demi mencapai matlamatku sebelum berjuang bersamamu. Percayalah, di sini aku akan lakukan yang terbaik dan aku yakin bahawa suatu hari nanti, cita-citaku untuk mencipta senjata nuklear yang cukup ditakuti pasti akan termakbul... Salam perjuangan, sahabatku!

NURASYIKIN BT MOHD NON
SMKA Sultan Azlan Shah, Bota, Perak

No comments: