Pages

Tuesday, December 02, 2014

Kasihmu tidak ternilai

"PERHATIAN kepada semua pelajar, anda diminta beratur di tapak perhimpunan sekarang juga." Aku yang sedang membelek buku teks Sejarah tersentak dengan pengumuman tersebut. Rakan-rakanku yang lain telah mula bergerak meninggalkan meja masing-masing menuju ke tapak perhimpunan.

Memang tidak dinafikan, pada hari itu perjalanan perhimpunan agak terganggu. Hatiku tidak begitu tenang kerana memikirkan masalah kewangan yang menimpa diriku. Aku seperti mahu tak mahu sahaja mendengar ucapan yang disampaikan pengetua.

"Terdapat beberapa pengumuman untuk para pelajar. Pengumuman yang pertama, perhatian kepada pelajar yang bernama Khairol Amri, anda diminta tunggu selepas perhimpunan untuk berjumpa dengan Puan Azliza."

Farez yang melihat aku termenung telah mencuit bahuku.

"Nama kau dipanggil tadi. Kau perlu berjumpa dengan Puan Azliza selepas ini," katanya.

Kenapa Puan Azliza ingin berjumpa dengan aku? Pelbagai persoalan bermain di fikiranku dan aku mula bertanya kepada diriku sendiri kalau-kalau aku ada melakukan kesalahan disiplin sebelum ini. Puan Azliza memang cukup dikenali dengan sifatnya yang tegas di sekolah. Aku mengambil keputusan untuk tidak berjumpa dengannya selepas perhimpunan.

Proses pembelajaran berjalan seperti biasa dan aku telah pun melupakan perkara tadi. Loceng sekolah berbunyi menandakan waktu rehat. Aku mengajak Sani ke kantin. Tiba-tiba seorang pelajar junior menyapaku dari belakang.

"Abang Amri, Puan Azliza hendak berjumpa dengan abang dalam biliknya sekarang juga." Suara pelajar yang berbadan besar itu sedikit tersekat-sekat kerana berlari mendapatkanku.

Aku mengorak langkah menuju ke bilik Puan Azliza. Kotak fikiranku dihujani seribu persoalan. Apakah reaksi Puan Azliza nanti? Kakiku seperti tidak mampu lagi meneruskan langkah. Pintu bilik Puan Azliza kuketuk dengan perlahan.

"Awak datang juga ya Amri. Kamu tahu kenapa cikgu ingin berjumpa dengan kamu?" Satu persoalan yang secara tiba-tiba diajukan kepadaku.

Aku yang terpinga-pinga hanya menggelengkan kepala.

"Cikgu tahu kamu ada masalah.

Cikgu akan cuba tolong kamu selesaikan masalah kamu setakat yang cikgu mampu. Cikgu tak mahu lihat pelajaran kamu terjejas kerana memikirkan masalah kamu..." Perasaanku seperti disentap dengan kuat. Bagaimana cikgu tahu akan hal ini? Tiba-tiba aku teringat kepada Cikgu Azmi.

Pintu ditutup dan mataku meliar di segenap penjuru bilik kaunseling Cikgu Azmi. Aku melihat Cikgu Azmi agak sibuk menaip sesuatu pada papan kekunci komputernya.

"Cikgu, bolehkah saya mengambil sedikit masa cikgu?" kataku.

"Boleh, perkara apa yang Amri mahu bincangkan dengan cikgu?" Tanya Cikgu Azmi.

Aku menceritakan masalah kewangan yang telah menimpa diriku. Cikgu Azmi seakan memahami perasaanku lalu dia berjanji akan membantuku. Walaupun aku menerima biasiswa, tetapi masih tidak mencukupi untuk diriku. Sekolah berasrama penuh memang menelan kos pembelajaran yang banyak di samping itu bapaku hanyalah bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Aku tidak mahu menambahkan lagi beban bapa yang berulang-alik ke tempat kerja semata-mata untuk menyara hidup kami sekeluarga. Sekeping not lima puluh ringgit dimasukkan ke dalam poket bajuku oleh Puan Azliza.

"Apa ni cikgu?" Aku seperti tidak mengerti dengan tindakan Puan Azliza.

"Cikgu sudah mendengar segala-galanya daripada Cikgu Azmi. Cikgu hendak mengambil Amri sebagai anak angkat cikgu di sekolah ini. Kalau Amri ada masalah, janganlah segan untuk datang berjumpa dengan cikgu sama ada masalah akademik atau kewangan."

Manik-manik putih jernih mengalir. Aku terlalu sebak mengenangkan peristiwa kematian ibuku lima tahun lalu. Cara Puan Azliza melayanku saling tak tumpah seperti belaian seorang ibu yang amat kurindui. Pintu tibatiba diketuk. Cikgu Azmi masuk lalu membisikkan sesuatu ke telinga Puan Azliza. Aku diminta bertenang sebelum cikgu menyatakan sesuatu kepadaku.

"Amri, cikgu harap Amri tabah menerima kenyataan ini..."

Aku seperti budak kecil yang masih merangkak hanya mendiamkan diri.

"Bapa Amri sekarang berada di hospital kerana kemalangan jalan raya. Dia masih lagi dalam keadaan koma."

Langkahku semakin cepat meninggalkan Cikgu Azliza dan Cikgu Azmi di belakang. Aku seperti manusia yang hilang punca, pantas berlari dan tidak menghiraukan orang lain yang berada di hadapanku. Seorang jururawat memberitahuku bahawa keadaan bapaku tiba-tiba menjadi serius dan nadinya semakin perlahan. Aku melihat dua orang adikku serta beberapa orang saudaraku mengelilingi bapaku yang terlantar di atas katil.

Tiba-tiba nadi bapaku terhenti. Doktor menekan dada bapaku beberapa kali namun keadaan tetap sama.

"Kami telah cuba sedaya upaya, tetapi Tuhan lebih menyayanginya."

Aku yang mendengar kata-kata doktor menjadi kaku dan merasakan seluruh badanku seperti tidak dapat bergerak. Cikgu Azmi yang muncul dari belakang telah memapahku ke kerusi berdekatan setelah melihatku hampir jatuh menyembah bumi.

Tidak ada apa-apa yang dapat aku luahkan lagi, melainkan tangisan sebagai seorang anak yang baru sahaja menjadi yatim piatu di hadapan Cikgu Azmi dan Cikgu Azliza.

MOHD HAMIMI

SM Sains Alam Shah,

Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur

No comments: