Pages

Sunday, December 21, 2014

Wasiat Perlumbaan

AKU dapat melihat kesungguhan Hazwan untuk menamatkan lariannya. Hanya tinggal lebih kurang 25 meter sahaja untuk dia menjuarai acara 400 meter. Namun begitu dua orang pelari yang berada tidak jauh di belakangnya iaitu Firdaus dan Fairuz terus memecut dan merapatkan jarak mereka dengan Hazwan.

Hazwan semakin menguatkan lariannya dan dengan sokongan padu daripada ahli-ahli rumah Tariq Ibn Ziyad, kulihat Hazwan begitu sukar dikalahkan. Dia semakin dekat dengan garis penamat. Tetapi, kira-kira satu dua langkah lagi untuk tiba di garisan penamat dia tersungkur!

Aku lihat dia berguling-guling jatuh seperti nangka busuk. Aku berasa amat panik dan takut. Aku tahu sekarang keadaan masih genting dan memerlukan bantuan kecemasan daripada ahli PBSM dan St John.

Para penonton yang menyaksikan acara sukan itu seperti dirasuk hantu kerana terkejut dengan peristiwa itu. Mereka menjerit-jerit meminta Firdaus dan Fairuz menolong Hazwan. Firdaus dan Fairuz pula bagaikan terpukau dengan adegan tersebut, tapi mereka dengan bersungguh-sungguh dan ghairah terus berlari untuk merebut tempat johan dalam acara itu. Semasa mereka bersaing untuk merampas takhta itu daripada Hazwan, tiba-tiba kaki Fairuz bersilang dan jatuh menimpa Firdaus bagaikan nangka busuk.

Seluruh stadium menjadi gempar. Pihak atasan sekolah telah menangguhkan acara itu atas sebab ketiga-tiga atlit olahraga itu pengsan di atas balapan. Kemudian acara itu diganti dengan acara yang lain.

Aku lihat Hazwan, Fairuz dan Firdaus dirawat. Namun Hazwan kelihatan mengalami sakit yang teruk lalu dikejarkan ke hospiltal. Sebagai rakan karibnya, aku turut berkejar ke hospital. Setiba di hospital, aku lihat ramai orang lain turut datang untuk menziarahi Hazwan.

Ketika melangkah masuk ke bilik Hazwan, aku terdengar namaku dipanggil. Dengan perasaan berdebar-debar, aku segera mendapatkan kawanku yang sedang terlantar sakit itu. Aku lihat keadaan sekeliling Hazwan yang amat memilukan. Ada banyak alat pernafasan yang bergantungan ke mukanya.

Dalam hati terdetik persoalan mungkin ada sesuatu yang ingin disampaikan kepadaku. Semasa aku merapati tubuhnya, tiba-tiba Hazwan terbatuk kecil lantas mulutnya menyemburkan darah yang mengenai bajuku.

"Darah! Hazwan apakah penyakitmu? Beritahulah aku. Aku sanggup mendengarnya," tiba-tiba aku bersuara dalam keadaan panik.

Pada waktu itu, hanya aku dan Allah sahaja yang mengetahui betapa sedih dan pilunya perasaan aku terhadap kesihatan Hazwan. Kalau boleh, mahu rasanya aku menjerit sekuat-kuat hatiku pada ketika itu. Tetapi apakah dayaku. Aku masih lagi berfikiran waras. Cepat-cepat aku mengucap.

Aku lihat Hazwan dengan bersusah payah berusaha untuk memberikan sesuatu yang berwarna merah kepadaku. Apabila benda itu sampai di tanganku, baru aku tahu benda itu ialah surat yang berwarna merah. Aku pernah diberitahu oleh Hazwan jika dia memberikanku surat berwarna merah, itu tandanya ada berita sedih daripadanya. Dengan tidak semena-mena air mataku mengalir dengan deras. Aku meraung sekuat hati.

"Erwan, awak bacalah surat yang berwarna merah itu. Dengan membaca surat itu, awak boleh mengetahui wasiat saya kepada awak. Saya harap awak jangan bersedih," Hazwan berkata dengan suara yang tersekat-sekat. Selepas itu, Hazwan menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat penyakit jantung berlubang yang dihidapinya.

Wad yang menempatkan mayat Hazwan itu tiba-tiba gamat dengan tangisan ahli keluarganya.

"Hazwan sampai hati awak merahsiakan penyakit awak itu daripada saya. Tidakkah awak ketahui bahawa saya sanggup membantu awak dalam semua hal. Kalaulah diizinkan Tuhan ingin saya merasai segala keperitan yang dihadapi oleh mu. Oh kawan," kataku di dalam hati.

Dalam perjalananku kembali ke stadium, aku terkenang saat-saat indahku dengan Hazwan. Detik-detik yang bersejarah itu bergilir-gilir mengambil tempat dalam ingatanku. Tanpa kusedari destinasiku telahpun sampai. Aku tersenyum sendirian mengingatkan kenangan manis itu. Ini kerana kenangan itu memberikan kelucuan kepada diriku bersama Hazwan.

Tapi tanpa aku sedari, kedua-dua belah tanganku yang gatal itu telah mengoyakkan sampul surat kepunyaan Allahyarham Hazwan. Surat itu sekejap sahaja kubaca. Cuma aku begitu terkejut dengan permintaannya yang menyuruh aku menggantikannya dalam acara larian 400 meter itu.

Aku akur dengan permintaan itu. Lalu dengan segera aku mendaftarkan diriku kepada setiausaha sukan. Acara larian itu hanya tinggal lima minit lagi. Para peserta diingatkan supaya bersedia. Bagiku acara larian ini adalah acara kemuncak. Dadaku tiba-tiba berdebar-debar.

Dengan kekuatan kuasa kuda, aku memecut dengan lajunya meninggalkan peserta lain. Semua peserta itu terpinga-pinga. Mereka tidak lemah semangat malah semakin berusaha untuk memintasku.

Aku dengan segera menarik nafas dalam-dalam, dan segera menguatkan larianku. Aku semakin dekat dengan garisan penamat. Tetapi, kira-kira 2 meter kakiku kejang. Aku dengan segera melompat sejauh yang mungkin untuk melepasi garisan penamat. Akhirnya aku berjaya menjadi johan dalam acara larian itu.

Cikgu rumah sukanku tidak habis-habis memujiku. Aku akur kemenangan itu adalah milik Hazwan dan ia ketentuan daripada Allah untuk menguji hamba-Nya, sesuai dengan maksud hadis: Sesungguhnya amalan yang paling berat di atas timbangan ialah akhlak yang baik.

ARDI SHAH ERWAN ABDUL RAHIM
SMKA Kuala Selangor

No comments: