Oleh Nadiatul Saadah Kamaruddin
DIA insaf setelah alpa semasa menduduki peperiksaan PMR dahulu dan ingin menebus kembali kekecewaannya itu dengan merangkul kejayaan yang cemerlang dalam SPM.
Ibu dan abah sememangnya cuba memberi sokongan dan dorongan untuk dia berjaya. Namun sering kali, mereka terjerat dengan tuntutan mengejar kekayaan duniawi dan kesuntukan masa untuk bersama-sama dengannya. Justeru, dia hanya ada Bibi Dewi, pembantu rumah yang dianggapnya sebagai ibu angkat untuk meluahkan isi hatinya yang sering dibalut kekalutan, jiwa remajanya yang memberontak dan untuk mencari ar-rahmah dalam cahaya yang malap.
Setiap kali dia pulang bercuti hanya pembantu rumah itulah tempat Daniya menceritakan liku hidupnya di sekolah. Sehinggakan rahsia penyakit barah mata yang ditanggungnya hanya dikongsi penderitaan dengan Bibi Dewi. Ibu dan abah tidak dikhabarkan tentang penyakit itu kerana Daniya tidak mahu urusan perniagaan mereka terjejas demi menguruskan dirinya yang tiada lagi harapan untuk hidup lama kerana penyakit itu ditanggungnya sejak di tingkatan dua lagi. Hanya SPM menjadi alasan utamanya untuk hidup lebih bersemangat.
Hari berganti minggu, minggu bersilih bulan dan kini sudah setengah tahun Daniya menempuh hidup di sekolah baru. Tatkala bersendirian di kamar beradu, sering dia bermuhasabah diri bagi mengimbas kesilapan dan kesalahannya terhadap rakan yang bersikap dingin sehinggakan kerja sekolah yang berlambak-lambak tidak dihiraukan. "Apakah hanya aku yang ditimpa musibah jahanam ini," bisik benaknya.
Hanya Aqma dan Sueria menjadi tempat dia meluahkan isi hatinya. Sehinggakan dia terpaksa memberitahu penyakit barah mata yang ditanggungnya. Sebenarnya, tidak terdetik di hatinya untuk memberitahu mereka, namun keadaan dirinya yang sering pening-pening, matanya sering merah dan kadang-kala tanpa disedari ada cecair kekuningan yang mengalir dari matanya menyebabkan dia tidak dapat berselindung lagi.
Seperti kebiasaan pada waktu rehat mereka bertiga sering menghabiskan masa di perpustakaan. Daniya dan Aqma duduk bertentangan manakala Sueria di sebelah Daniya. Sedang khusyuk mereka menelaah buku, datang Syazuan dan Izham duduk sebaris Daniya. Pada mulanya, Daniya tidak mengendahkan kehadiran mereka kerana lali dengan sikap mereka yang suka mengganggu orang, tetapi suara mereka yang melampaui peraturan perpustakaan menyebabkan Daniya berasa bertanggungjawab menegur mereka.
"Apa yang kau sibuk hal aku. Jangan cuba nak mengajar aku nahas kau nanti aku kerjakan!" herdik Syazuan dengan rasa bongkak sambil menunjukkan buku limanya. Selepas menjeling ke arah Daniya, Syazuan dan Izham melulu keluar.
Terkebil mata tiga sahabat itu. Daniya seorang yang sensitif. Kelihatan berkaca-kaca matanya, cuba menahan air matanya keluar. Usaha Aqma dan Sueria menenangkan hati Daniya yang terguris tidak berjaya.
Semakin hari, senyuman Daniya kian sukar untuk diukir. Sementara Syazuan dan Izham terus ceria tanpa mempedulikan hati kecil Daniya yang kerap terguris oleh sikap mereka terhadapnya. Bagi Daniya, sejak bersekolah di sini tiada saat manis dapat dipahat sebagai kenangan. Malah, kepahitan yang sering menyelubungi sisa hidupnya. Setiap kali difikirkan sikap mereka, semakin sakit kepalanya yang juga sarat memikirkan perihal SPM. Setiap kali hasratnya ingin menghurai kebingungan terhadap mereka ada sahaja penghalang iaitu perasaan serik diherdik dan takut menyelubungi kotak fikiran. Dirasakan kudratnya tidak mampu melawan orang yang sangat menyakitkan hatinya. Biarlah balasan Allah sahaja yang setimpal dengan perbuatan mereka.
Masa dirasakan begitu singkat. Minggu hadapan penentu masa depannya. Setelah sebulan memerah otak di kertas keramat, akhirnya Daniya berjaya menyelesaikan misi utamanya. Namun misi untuk sembuh tidak kesampaian.
Meskipun SPM sudah diperjuangkan namun Syazuan dan Izham masih tetap dengan fanatik egonya. Pada hari-hari terakhir, Daniya sempat meminta maaf jika ada khilaf yang dilakukan agar dia dapat bersemadi dengan tenang. Namun mereka persendakan usaha ikhlasnya.
Seminggu kemudian, seperti biasa Bibi Dewi mengejutkan Daniya untuk mengerjakan solat Subuh. Setelah berulang kali dikejutkan tetapi Daniya tetap tidak memberikan sebarang tindak balas. Bibi menjadi cemas lalu bingkas memanggil ibu dan abah Daniya. Mereka bagai tersentak jantung dan tanpa membuang masa membawa sekujur tubuh Daniya ke hospital. Namun setibanya di sana doktor mendapati nadi Daniya sudah tiada lagi dan jantungnya berhenti berdenyut. Barah matanya telah membengkak dan merebak ke sel otak.
Setelah mengetahui pemergian Daniya untuk selama-lamanya, Sueria dan Aqma memberitahu berita menyayat hati itu kepada rakan-rakan mereka yang lain. Seluruh warga sekolah gempar mendengar berita sedih itu. Yang paling terkejut Syazuan dan Izham. Mereka tidak menyangka pertemuan Daniya meminta maaf tempoh hari adalah saat terakhir pertemuan mereka. Mereka kesal dengan sikap membabi buta mereka yang sering melukai hati Daniya. Pada saat itu tiada kemaafan yang dapat diukir melainkan penyesalan yang tiada berkesudahan.
NADIATUL SAADAH KAMARUDDIN
SMK Buyong Adil, Tapah, Perak.

No comments:
Post a Comment