Pages

Monday, December 15, 2014

Kalaulah kusedar

BIDIN terduduk di hujung sudut rumahnya sambil termenung mengenangkan kisah silam dan kesalahan-kesalahan yang telah dilakukannya. Dia seorang perokok yang aktif sejak berusia 15 tahun lagi kerana dipengaruhi rakan-rakan sekolahnya.

Keluarganya hanya tahu dia anak tunggal mereka yang baik dan bijak dalam pelajaran. Namun ketika berusia 17 tahun, Bidin telah ditangkap ketika merokok bersama rakan-rakannya di kawasan asrama sekolah.

Ibu bapanya amat marah dan kesal di atas sikapnya itu. Bidin menyesal dan berjanji untuk tidak merokok lagi. Akhirnya Bidin berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Selatan Malaysia dalam jurusan Pengurusan Perniagaan.

Di universiti, Bidin merokok semula di atas nasihat rakan-rakannya yang tidak berguna. Di sana juga dia telah berkenalan dan bercinta dengan seorang penuntut perempuan, Tipah yang sama jurusan dengannya. Sepanjang percintaan mereka tidak ada masalah yang berlaku. Ini kerana, pada mulanya Tipah tidak tahu Bidin seorang perokok.

Rupa-rupanya Tipah tertipu... Tambahan pula, perkara yang paling Tipah benci ialah rokok. Puas Bidin memujuk supaya Tipah kembali kepadanya malah dia juga berjanji tidak akan merokok lagi. Tipah akhirnya mempercayainya Bidin akan berubah dan menerimanya semula. Hubungan mereka juga bertambah intim.

Apabila mereka keluar universiti dan masing-masing telah bekerja, Bidin kembali kepada tabiat lamanya iaitu merokok. Tipah tertipu lagi dengan janji-janji manis Bidin. Tipah mengugut akan meninggalkan Bidin dan tidak mahu menjadi isterinya.

Bidin berjanji buat kali kedua di hadapan kekasihnya itu untuk tidak merokok lagi. Setelah mereka bernikah, mereka dikurniakan dua cahaya mata kembar. Seorang namanya Isnin, seorang lain namanya Khamis. Kehidupan mereka berempat bahagia sekali. Lebih-lebih lagi apabila Bidin telah berjaya membuka syarikat perniagaannya sendiri.

Lima tahun selepas itu, syarikat Bidin bankrap. Bidin termenung jauh. Banyak masalah bermain di kepalanya. Akhirnya dia kembali merokok untuk mencari ketenangan. Itulah yang akan dilakukannya jika ingin mencari ketenangan walaupun dia tahu merokok boleh membahayakan kesihatannya.

Bidin kemudian kembali bekerja di syarikat lamanya. Namun, tabiat merokoknya tidak dapat dihentikan biarpun banyak kali dinasihat oleh isterinya. Bahkan dalam sehari dia boleh menghabiskan sehingga seratus batang rokok.

Isnin dan Khamis sudah menjangkau ke alam dewasa. Mereka hanya bekerja di kilang. Mereka juga menjadi perokok yang aktif sama seperti Bidin. Bak kata pepatah, bapa borek anak rintik. Mereka mula merokok sejak remaja lagi. Tabiat mereka tidak pernah ditegah oleh Bidin. Bagi Bidin, biasalah, orang lelaki. Baru nampak macho dengan menghisap rokok. Yang menjadi mangsa ialah isterinya, Tipah.

Kini sudah hampir tiga puluh tahun Tipah hidup bersam-sama dengan Bidin. Tipah sering jatuh sakit. Doktor menyatakan bahawa Tipah menghidap penyakit paru-paru berair.

Rumah mereka yang kecil menjadi tidak terurus. Bidin dan anak-anak jantannya pula selalu merokok di ruang tamu sambil menonton televisyen. Walaupun sakit, Tipah terpaksa melayan kerenah mereka dengan menyediakan makan dan minum untuk mereka.

Asap rokok terus berkepul-kepul di ruang udara rumah kecil mereka. Bagi Bidin dan anak-anaknya, itulah udara yang nyaman sekali. Tapi bagi Tipah itulah gas beracun yang akan membunuhnya secara perlahan-lahan. Namun malang bagi Tipah, Bidin dan anak-anak jantannya tidak pernah ambil peduli tentang kesihatannya.

Dulu sebelum bernikah, Bidinlah yang membelikan panadol kalau Tipah sakit kepala. Bidin jugalah yang akan menghantar Tipah ke klinik setiap kali Tipah sakit. Lakonan semua tu! Tipah sering tertipu... Kasihan Tipah... Asyik dia je yang kena tipu...

Sudah beberapa kali Tipah memberitahu Bidin dan anak-anaknya bahawa doktor yang merawatnya telah berpesan agar tidak membenarkan ahli keluarganya menghisap rokok di dalam rumah. Doktor juga menasihatinya agar menjauhkan diri daripada asap rokok tapi Tipah terpaksa melayan suaminya.

"Kau degil ke ha! Kau nak jadi isteri derhaka ke! Aku penat-penat cari duit untuk bagi kau makan! Kau nak lawan cakap aku lagi!" Bidin akan berkata apabila Tipah cuba menasihatinya.

Anak-anaknya pula selalu merungut dan membantah setiap kali ibunya menasihati mereka tentang merokok. "Apa la mak ni! Tak sporting langsung! Orang penat la mak! Cuba mak jangan membebel! Diam sikit boleh tak!".

Kata-kata itu membuatkan Tipah tidak sampai hati untuk menjadikan suaminya seorang yang zalim dan juga menjadikan anak-anaknya sebagai anak yang derhaka. Kerana itulah Tipah sering terlantar sakit di atas katil.

Bukan semua suami yang merokok sikapnya macam Bidin dan juga bukan semua anak yang merokok, sama sikapnya macam anak-anak jantan Bidin. Inilah hakikatnya jika kita hanya mementingkan diri sendiri. Kalau nak mati! Matilah seorang-seorang! Jangan paksa orang lain ikut sekali! Ingatlah yang tersayang...

Kini, Tipah yang Bidin cintai sudah lama pergi kerana kesalahan yang Bidin lakukan. Segala memori manis yang mereke cipta ketika di alam percintaan terimbas kembali di kepala Bidin.

Bidin pula dilaporkan oleh doktor menghidap sakit jantung yang kronik. Hanya menunggu masa sahaja. Rumah kata pergi kubur kata mari. Dia telah kehilangan isteri yang sangat disayangi sewaktu muda dahulu. Dia juga telah kehilangan anak-anak yang telah pergi meninggalkannya setahun selepas isterinya pergi sekaligus menutup waris keturunannya. Anak-anaknya menjadi penagih dadah dan mati akibat HIV positif.

Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Kepalanya dihantuk berkali-kali ke dinding rumahnya. Kalau lah aku sedar sebelum itu...

HUZAIFAH BIN ALI
ANJUNG BATU, MELAKA

No comments: