Pages

Tuesday, December 23, 2014

Hubungan kita

KEHANGATAN mentari pagi ditambahkan lagi dengan desiran air sungai menjadikan cuti hujung minggu itu ceria sungguh.

"Apakah yang awak buat dengan dia, Liya?" jerit Aidid kepada aku. Buat kali pertama Aidid terpaksa meninggikan suara sedemikian melawan bunyi desiran sungai kuat.

"Buat apa dan siapa yang awak maksudkan itu, Aidid?" tanya aku dengan nada yang kaget.

"Pura-pura tak tahu atau awak sengaja mencabar kesabaran saya? Awak fikir saya tak tahu apa yang dia dan awak buat semalam," kata amarah yang dilontarkan dari mulut Aidid kepada aku, tanpa menghiraukan orang di sekeliling yang sejak dari tadi memandang telatah Aidid dan aku.

"Aidid!...."

"Wah! Termenung jauh nampak," pintas Zana yang menyedarkan aku daripada lamunan kerana Aidid.

Zana, sahabat yang sentiasa menemani aku tidak kira dalam apa jua keadaan yang aku alami. Zanalah yang sentiasa menasihati aku agar terus bersabar dengan jejaka yang bernama Aidid... Aidid! Seorang jejaka yang berjaya menawan hati gadis lembut dan sopan yang kononnya diminati ramai orang.

"Teringatkan orang tersayang ya?" tegur Zana sambil mengukir senyuman, meneka hati kawan karibnya itu.

"Tak adalah Zana, ada-ada saja awak ni," jawab Liya membalas senyuman, kerana memahami telatah sahabatnya.

Aidid sudah berubah, adakah dia masih menyimpan perasaan sayang kepada aku lagi atau....Ah! Perasaan aku mulai tergugat dek kepercayaan yang Aidid berikan selama ini. Entah kenapa sejak dua bulan yang lalu Aidid mula bersikap dingin terhadap aku. Entah apa yang difikirkan sehingga menyebabkan kepercayaan aku ditaksirkan semula. Kami tidak semesra dulu, bagai ada tembok yang menghalang untuk aku dan Aidid terus bersama.

Aku rasa kecewa apabila berdepan dengan jejaka yang mulai sangsi akan kejujuran yang aku berikan. Rinduku pada saat pertama kali Aidid mencanangkan rasa cintanya kepada aku, disaksikan desiran air sungai, dua tahun yang lalu.

Jejaka yang sabar akan kerenah aku, sentiasa berjenaka semata-mata membuatkan aku mampu mengukir senyuman walaupun pada saat hiba. Di satu sudut bacaan perpustakaan sekolah.

"Assalamualaikum Liya?" sapa Zainal membuatkan aku tersedar. Buku biologi yang aku pegang tadi bagaikan terlucut dari tanganku.

"Awak sihat?"

"Sihat."

"Kenapa moody saja sejak akhir-akhir ini. Ada masalah peribadi?"

"Tak adalah, saya o.k."

"Saya sudi mendengar masalah awak, jika awak tidak kisah. Percayalah...."

Loceng tamat persekolahan berbunyi. Suasana sekolah menjadi gamat apabila pelajar berpusu-pusu keluar untuk pulang ke rumah. Bagaikan kambing keluar kandang. Dalam suasana keriuhan itu terdapat pandangan yang mencuit ramai pelajar. Satu sekolah tahu hubungan mereka, ada yang suka dan ada yang sebaliknya. Tapi hakikatnya, lebih ramai yang suka melihat mereka berpisah terutama sekali Sha, teman Liya dari kecil lagi. Pada awalnya Sha meminati Aidid, tapi sebaliknya Aidid lebih tertarik kepada Liya. Pandangan liar Sha terhadap Liya mengeruhkan lagi keadaan hubungan yang utuh terjalin selama ini. Sha sanggup bermusuhan dengan Liya, semata-mata Aidid.

"Zana tahu kenapa Aidid marah Liya tempoh hari."

"Kenapa?"

"Cemburu...."

"Cemburu! Dengan siapa?"

"Dengan Zainal. Bukankah Zainal menyimpan hati pada Liya selama ini. Tambahan pula Zainal sekelas dengan Liya, dan yang utama sekali Liya digandingkan dengan Zainal dalam teater sekolah. Jadi...ulat bulu naik daunlah," Zana cuba bersenda.

"Zainal simpan perasaan pada Liya!" aku menjadi terkedu. Rasa bagai nak ketawa, kelakar tu....

"Aidid ada bagi amaran pada Zainal jangan cuba dekat Liya tapi.... faham-faham sajalah bila hati dah suka."

"Tak logik langsung. Bukankah Zainal tu kawan kita? Lagipun Liya tak pernah rapat dengan Zainal kalau tidak kerana pelajaran. Tak lebih dari itu."

"Zana tahu, tapi Aidid tidak...."

"Dengar cerita Sha cuba rapat dengan Aidid sejak belakangan ini. Tak malu betul perempuan tu, yang kasihannya Aidid tak layan.... ha, ha, ha." tangkas Zana cuba untuk mengamatkan lagi keadaan.

"Liya rindu...." (suasana sepi)

"Zana, Aidid minta kami ambil haluan masing-masing. Kenapa? Kenapa? Kalau betul pun Aidid cemburu dengarlah dulu penjelasan Liya...Aidid seperti mahu Liya belayar sendirian di tengah lautan tanpa dia sebagai kemudinya."

"Mungkin Aidid tak mahu Liya tahu apa yang terjadi kepadanya," kata-kata Zana membuat Liya tersentak. Apakah yang terjadi kepada Aidid?

"Aidid tidak mahu Liya gagal dalam peperiksaan SPM nanti. Buat pengetahuan Liya, Aidid akan berpindah sekolah mulai minggu depan. Aidid mahu Liya kuat dan mampu untuk berdepan dengan cabaran tanpanya. Aidid beritahu dia tidak suka Liya rapat dengan Zainal sebab Aidid seorang lelaki. Aidid juga minta maaf kerana gelagatnya tempoh hari."

Sebulan berlalu tanpa berita setelah Aidid bertukar sekolah. Aku terasa bagai kehilangan permata yang disayangi. Sukar untuk aku melalui kehidupan ini bersendirian tanpa dia membantuku, baik dalam pelajaran mahupun dalam hal-hal lain. Namun aku akan berusaha untuk mengatasi semua kesukaran dan kesusahan ini. Barangkali, berjauhan dengannya adalah perkara terbaik untuk semua orang.

"Tahniah Liya, awak mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan percubaan. Insya-Allah, SPM nanti awak pasti dapat keputusan yang lagi cemerlang," Zana memberi semangat.

Sebentar kemudian, aku mendapat sekeping kad entah daripada siapa. Di dalam kad itu tertulis....

Liya yang kuingati,

Hubungan kita tetap menjadi

kenangan untuk selamanya

Dan untuk sekian kalinya

saya percaya kita pasti akan

bersua....

SITI ROHAYAH NGALIMI
FELCRA Seberang Perak,
Teluk Intan, Perak.

No comments: