Pages

Thursday, December 11, 2014

Mimpi indah

"AYAH, ibu jangan tinggalkan Dura," Aidura Sofia melaung-laung dengan kuat. Keadaan sekeliling sangat kelam dan suram. Sesuram hati Aidura Sofia. Dia termangu-mangu seorang diri.

"Tunggu Dura, tunggu!" laung Aidura Sofia lagi. Buukkk!!! "Aduh, sakitnya," jerit Aidura Sofia kesakitan. Ah, mimpi lagi aku rupanya. Asyik berulang-ulang mimpi yang sama. Ayah, ibu kenapa tinggalkan Dura?

"Bang, bawa kereta tu perlahan-lahanlah sikit. Hujan lebat ni," komen ibuku. Ayahku tidak memberikan sebarang reaksi. Mungkin malas agaknya. Biasalah orang perempuan, ada saja yang tak kena. Tiba-tiba sebuah lori memotong laju dari arah belakang. Keadaan yang gelap menyukarkan ayahku untuk memandu dengan cermat. Kelihatan lori yang memotong kereta ayahku tadi terhuyung-hayang. Lalu, ia terbalik dan bergesel dengan kereta kami. Ayahku hilang kawalan. Aku dan ibuku sangat cemas. Praannggg!!! Pandanganku berpinar. Gelap.

"Dura, Dura bangun," kedengaran suara memanggilku. Pintu bilikku diketuk. Lamunanku terputus. Aku bingkas bangun, mencapai tuala dan bergegas ke bilik mandi. Selesai, aku menunaikan solat Subuh. Aku berdoa semoga roh ayah dan ibuku ditempatkan dalam kalangan golongan yang beriman. Kemudian, aku segera bersiap untuk ke sekolah.

Sudah dua bulan aku menetap di rumah yang serba mewah ini. Setelah kematian ayah dan ibuku, aku mulanya dihantar ke rumah anak-anak yatim kerana aku tidak mempunyai saudara-mara yang terdekat. Sebulan kemudian, sepasang suami isteri mengambilku sebagai anak angkat. Kujangkakan mereka tiada seorang anak pun. Ternyata sangkaanku meleset apabila kelihatan seorang remaja perempuan sedang membaca buku sewaktu aku dibawa pulang ke rumah baruku ini.

"Inilah rumah baru Dura. Dura sekarang menetap di sini," kata ibu angkatku dengan mesra. Rumah baruku ini besar, cantik dan mewah.

"Tina, mari sini, sayang," kelihatan remaja perempuan yang aku lihat tadi menghampiri kami. "Inilah kakak angkat Tina. Sebenarnya. Tina hanya muda dua bulan sahaja. Walaupun begitu. Tina hendaklah menghormatinya seperti kakak kandung Tina sendiri," ujar ibu angkatku.

"Apa khabar, Tina," kataku sambil menghulurkan tangan. Tina menarik muka masam lantas pergi. Aku memandang muka ibu angkatku dengan hairan. Berkerut dahiku.

"Oh, tak apalah. Mungkin Tina tak ada `mood' hari ini. Dia penat agaknya," kata ibu angkatku dengan tenang.

Sejak dari saat itu, aku sedar bahawa kedatanganku tidak diterima baik oleh Tina.

"Dura, Dura cepatlah bersiap," kedengaran suara keras ibu angkatku. Lamunanku terputus. Aku sering mengelamun seorang diri. Sepatutnya kuhindarkan semua ini kerana, pada tahun ini aku akan menduduki peperiksaan SPM. Aku perlu membuktikan kemampuanku di dalam peperiksaan kali ini.

Selesai bersarapan, ayah angkatku menghantar aku dan Tina ke sekolah. Kebetulan aku dan Tina ditempatkan di dalam kelas yang sama. Tetapi sejak dulu lagi, hatiku tidak tenang dan sentiasa resah belajar di kelas ini. Tina sering memburuk-burukkan aku di hadapan kawanku yang lain.

`Anak menumpang!' jerit Tina dengan kuat. Kawan-kawannya gelak sinis. Aku tetap sabar, sabar dan sabar.

"Dura, takkanlah engkau hendak bersabar lagi. Walaupun, dia tidak menghormati engkau sebagai kakaknya, seharusnya dia menghormati engkau sebagai golongan yang lebih tua." sungut Mei Lin sahabat karibku.

"Tak apalah, Mei Lin, Lama-lama lembutlah hatinya itu. Aku tahulah apa yang patut dibuat," kataku dengan tenang.

Pada malam itu, setelah menjamu selera, aku mengorak langkah ke bilikku untuk menyelesaikan kerja sekolah yang disuruh oleh guru. Mataku merasa berat, mengantuk. Aku merebahkan badan ke tilam yang empuk. Fikiranku buntu memikirkan masalah yang kuhadapi. Tiba-tiba ku rasakan kepalaku sangat sakit, berdenyut-denyut. Tepat jam 12.00 malam aku cuba untuk melelapkan mata. Semoga mimpi-mimpi yang indah menerjah tiba.

"Kakak, kakak boleh tolong, Tina. Tina hendak cepat ni. Tolonglah," kata Tina. Aku tersenyum keseorangan. Tina memintaku untuk menyelesaikan kerja sekolahnya.

"Boleh, nantilah kakak tolong," kataku dengan mesra. Krinnggg!!! jam locengku berbunyi menandakan pukul 6.00 pagi. Ah, bermimpi lagi aku rupanya. Asyik-asyik mimpi indah, mimpi indah. Sakit di kepalaku berkurangan. Setakat pening-pening sahaja. Lantas, aku bangun untuk membuat rutin harianku.

"Dura, Dura bangunlah sayang," kedengaran suara seorang perempuan. Ibu angkatku. Oh, Tuhanku tidak terdaya aku hendak membuka mata. Kedengaran pintu bilik terbuka. Bunyi tapak kaki. Suara. Yang aku pasti suara ayah angkatku, tetapi, siapa yang seorang lagi itu. Tina, tak mungkin.

"Puan Aini, Encik Zulkifli diharap anda berdua bersabar. Kecederaan di kepala anak tuan dan puan sudah sampai ke tahap kritikal. Mungkin dia pernah mengalami kemalangan sebelum ini. Dia semestinya tidak boleh menerima sebarang tekanan perasaan. Ini akan menjejaskan lagi kesihatannya. Kami, pihak di hospital ini sudah tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Semuanya, terserah kepada Yang Maha Esa. Berdoalah kata seorang lelaki dengan tenang, doktor agaknya.

Kedengaran suara tangisan ibu angkatku. Ibu janganlah bersedih, ajal dan maut di tangan Tuhan. Tiba-tiba...

"Kakak, maafkan Tina kak, maafkan Tina. Tina berdosa kak. Tina menyusahkan kakak selama ini. Sebenarnya, Tina cemburu dengan kakak. Tetapi barulah sekarang Tina sedar yang kakak adalah insan yang paling istimewa. Sepatutnya, Tina bersyukur mendapat kakak yang baik hati," rintih Tina di tepiku.

Tina, kalaulah boleh kakak bercakap. Kakak sudah tidak terdaya lagi. Semoga kamu hidup bahagia bersama ayah dan ibu. Kakak meninggalkan pesan kepada kamu supaya menjaga dengan baik ayah dan ibumu.

Sesak, aku berasa sesak nafas. Oh, Tuhanku, ampunilah dosa-dosaku. Semoga aku ditempatkan ke dalam golongan yang beriman.

Tit! Tit! Tiiiiiiiit kedengaran mesin sokongan hayat berbunyi. Satu garisan lurus berwarna hijau terbentuk. Tina, kakak maafkan kamu. Kakak maafkan kamu. Selamat tinggal Tinaku sayang...

DIYANA IZYAN MAZLAN
SMK Bandar Baru Bangi

No comments: