Pages

Monday, December 22, 2014

Sayang Selasih

EMPAT belas tahun telah berlalu. Ayu kini boleh berbangga dengan kejayaan anak-anaknya. Puteri Noorlizshazlina atau nama manjanya Lin, pelajar tahun akhir jurusan perundangan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Puteri Norazliza, anak keduanya berada dalam tahun pertama Universiti Malaya (UM), Puteri Nur Shiha pula sedang belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Balik Pulau dan yang bongsu, Puteri Noor Shafina sedang belajar di Sekolah Menengah Raja Tun Azlan Shah di tingkatan dua.

Anak-anak Ayu boleh dikatakan berjaya di dalam pelajaran. Lin, tidak lama lagi bakal bergelar seorang peguam. Liza pula sedang mengejar cita-citanya sebagai seorang akauntan. Shiha pula pernah membuktikan kepintarannya di dalam Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dengan mendapat 8A dan telah dianugerahkan Tokoh Pelajar Terbaik pada tahun itu. Tapi, yang amat merisaukan hatinya sekarang ialah Fina. Walaupun bersekolah di sekolah yang agak ternama, tetapi Fina masih tetap dengan perangai lamanya. Amat payah sekali untuk melihat Fina melekat di rumah apatah melihat dia membaca buku. Hati Ayu runsing. Kalau boleh, Ayu mahu melihat Fina seperti kakak-kakaknya yang mementingkan pelajaran daripada dunia luar. Tambahan status Ayu sebagai ibu tunggal yang sentiasa diperhatikan oleh masyarakat sekeliling. Ini kerana kejayaannya dalam membentuk sahsiah anak-anak akan menjadi perbualan buah mulut orang ramai.

Namun, ada perkara lain yang lebih merunsingkan Ayu. Azwan, bekas suaminya kini telah kembali menuntut keempat-empat permata hatinya. Ayu takut, takut kehilangan Lin, Liza, Shiha dan Fina. Kenangan lama terimbau kembali. Ayu dan Azwan merupakan pasangan kekasih yang paling ideal pada masa itu. Dicemburui oleh ramai kawan dan lawan. Ayu seorang perawan yang cantik paras rupa dapat dimiliki oleh Azwan yang menjadi kegilaan ramai gadis. Perkenalan daripada sebuah parti hari jadi Hannan, rakan mereka telah membuahkan bibit-bibit cinta. Namun, percintaan mereka telah dihalang oleh ibu bapa pihak lelaki dengan alasan, Azwan terlalu muda untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami dan paling memedihkan hati apabila mereka menyatakan Ayu tidak setaraf dengan Azwan, anak tunggal mereka!

Kerana cinta mereka turutkan, akhirnya Azwan dan Ayu nekad untuk berkahwin di sempadan Siam. Keluarga kedua-dua belah pihak menerima tamparan yang hebat akibat perbuatan mereka. Pak Rusdi, bapa Ayu telah meninggal dunia diserang sakit jantung dek kerana terkejut dan malu kepada orang kampung. Tinggallah Mak Kiah keseorangan.

Pada awal perkahwinan mereka semuanya indah belaka. Ayu ditatang bagai minyak yang penuh. Azwan memenuhi kriteria sebagai suami mithali. Tambahan pula kelahiran anak sulung mereka, Lin, menjadi penyeri. Hidup mereka bertambah bahagia.

Pada masa yang sama, mereka cuba menjernihkan kembali keadaan yang telah keruh. Ayu sedaya upaya cuba menawan hati Datuk Megat Syahil dan Datin Asma. Namun segalanya hampa. Layanan kedua-dua mentuanya terhadap Ayu dan anaknya hambar. Mereka hanya mahukan Ardiana, anak Datuk Aizat sebagai menantu. Walau bagaimanapun, mereka tetap menerima Azwan seperti biasa.

Ayu mengandung lagi. Azwan mengharapkan cahaya mata kali ini seorang anak lelaki. Azwan berangan-angan ingin memberi nama anaknya Megat Aznir. Selepas sembilan bulan sepuluh hari kemudiannya, Liza dilahirkan. Azwan hampa. Pada masa yang sama, Datuk Megat Syahil dan Datin Asma sedaya upaya cuba memisahkan mereka. Pelbagai fitnah ditabur, bermacam cara dilakukan. Tetapi cinta Azwan terhadap Ayu tetap utuh.

Selang tiga tahun kemudian, Shiha dilahirkan. Azwan mulai bosan. Tambahan pula dengan leteran ibunya yang inginkan cucu lelaki. Sebenarnya Datin Asma mahu Azwan bernikah dengan Ardiana dan menjadikan cucu lelaki sebagai alasan.

Keadaan semakin genting apabila Fina dilahirkan. Sikap buruk Azwan semakin terserlah. Tanpa menatap wajah anak kecil itu, Ayu diceraikan. Azwan menuduh Ayu berlaku curang kerana menurut ibunya Ayu sering pulang ke kampung sendirian semasa ketiadaannya walaupun Azwan sememangnya tahu Ayu hanya melawat mentuanya yang sedang sakit. Tambahan pula kulit Fina yang agak gelap mengukuhkan lagi dakwaan ibunya. Yang pastinya, berita penceraian mereka disambut baik oleh Datuk Megat Syahil dan Datin Asma. Akhirnya Azwan dan Ardiana disatukan di dalam majlis yang gilang-gemilang. Tinggallah Ayu terkontang-kanting bersendirian memelihara empat orang anaknya yang masih kecil.

Ayu menerima kenyataan itu dengan tabah dan mengambil keputusan membawa anak-anaknya tinggal bersama-sama ibunya, Mak Kiah, di Perak. Azwan pula bersenang-lenang dengan isteri barunya di rumah banglo besar yang dihadiahkan oleh Datuk Aizat sebagai hadiah perkahwinan.

Selama empat belas tahun Ayu keseorangan menyara ibu dan anak-anaknya. Azwan tidak pula mahu menjenguk muka melihat anak-anak yang kian membesar malah nafkah wajib bagi seorang bapa terhadap anak-anak pun tidak ditunaikan. Ayu mati akal apabila Fina selalu bertanyakan tentang bapanya. Fina cemburu melihat rakan-rakannya yang mempunyai bapa. Pernah sekali Fina menangis dan merajuk tidak mahu makan disebabkan guru memarahinya kerana tidak menyiapkan karangan yang bertajuk `Bapa Saya'. Kasihan Fina, sudahlah tidak pernah dibelai dengan kasih sayang daripada seorang bapa malah dianggap sebagai anak haram oleh masyarakat sekeliling khususnya rakan-rakannya. Disebabkan itulah Fina berubah sikap menjadi lebih agresif dan semakin membenci bapanya.

Kini lelaki yang tidak bertanggungjawab itu telah kembali, menuntut hak yang bukan sepatutnya menjadi miliknya. Azwan mahukan anak-anaknya kembali dan mengugut akan membawa kes ini ke mahkamah jikalau Ayu enggan menyerahkan keempat-empat permata hatinya. Ayu enggan berbuat demikian. Bukan niatnya untuk memisahkan Azwan dengan anak-anaknya tetapi Azwan sendiri yang membina jurang pemisah di antara mereka. Ayu berusaha sedaya upaya agar anak-anaknya tidak terlepas ke tangan bekas suaminya itu.

Azwan dan Ardiana telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang meragut nyawa anak tunggal mereka, Puteri Fatrika, tidak lama dahulu. Keadaan menjadi lebih buruk apabila Azwan disahkan mandul oleh doktor pakar. Dunianya bagaikan gelap gelita.

Rentetan daripada peristiwa itu, Azwan cuba mendapatkan kembali anak-anaknya hasil hubungannya dengan isteri pertama. Dia seakan-akan lupa tentang kesalahannya yang mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak suatu ketika dahulu.

Fina mengamuk Azwan mencarinya di sekolah pagi tadi. Habis merah padam mukanya menahan marah apabila Azwan memperkenalkan dirinya sebagai bapa Fina. Fina benci lelaki itu kerana cuba mengumpannya dengan wang ringgit. Kini, rakan-rakannya pastinya mempunyai cerita terbaru untuk mengumpatnya. Sebagai seorang ibu, Ayu cuba meredakan kemarahan anak bongsunya. Ayu mengerti, Fina mengalami kesukaran menerima hakikat bahawa bapanya telah kembali setelah menerima pelbagai tohmahan daripada masyarakat. Lin, Liza dan Shiha tetap menerima Azwan sebagai bapa mereka. Namun untuk tinggal bersamanya, tidak sama sekali!.

Sekali lagi Azwan mencarinya di rumah, kali ini bertemankan ibu tirinya. Ayu membenarkan mereka masuk ke rumah memandangkan mereka datang secara baik. Kali ini marahnya tidak dapat ditahan lagi. Fina terus keluar dari rumah tanpa mempedulikan jeritan ibunya. Fina gamam apabila sebuah lori memecut laju datang dari arah bertentangan dan.....

Hanya surah Yasin sahaja kedengaran diselangi dengan tangisan. Allahyarham Puteri Noor Shafina binti Megat Azwan selamat dikebumikan. Azwan menyesal dengan sikap tidak bertanggungjawabnya dahulu. Manakala Ayu ditenteramkan oleh anak-anaknya. Sukar baginya menerima dugaan yang maha hebat ini.

Ketika kakinya melangkah keluar dari tanah perkuburan, Ayu menoleh ke kubur anaknya. Sempat memandang ke arah yang Azwan berteluku di tepi nisan dengan sekilas pandang.

AIDA ZULIYANA HJ AHMAD ANUAR
SM Teknik Kerian, Jalan Siakap, 34000 Bagan Serai Perak.

No comments: