Pages

Monday, December 08, 2014

Menggapai impian

"ABAH, emak berikan Zai peluang untuk menebus kesilapan yang telah Zai lakukan selama ini," Dia bersuara sedih. Terasa berat untuk dia meneruskan kata-katanya lagi, tapi dikuatkan juga semangatnya.

"Zai tahu Zai dah banyak melukakan hati emak dan abah. Zai janji Zai akan pulang dengan seribu kejayaan yang boleh membuatkan emak dan abah gembira," katanya sambil memeluk ayah dan ibunya dengan erat sekali.

Makcik Yah tidak dapat menahan hiba di hati lalu menitiskan airmatanya.

"Sudahlah tu, awak tak payah hendak menangis lagi. Dia sudah besar, pandai-pandailah dia menjaga diri. Kita tengok, dia boleh kotakan janjinya ataupun tidak," Pakcik Jo menenangkan perasaan isterinya sambil melihat kelibat Zai sehingga hilang daripada pandangan mereka.

Zairul Hisham yang lebih dikenali dengan panggilan Zai anak tunggal Makcik Yah dan Pakcik Jo. Mereka tinggal di sebuah kampung di daerah pedalaman. Mereka keluarga yang susah. Pakcik Jo bekerja sebagai penoreh getah di ladang kepunyaan penghulu dan Makcik Yah suri rumah sepenuh masa. Zai pula seorang pelajar yang malas di sekolah.

Zai hanya mendapat 8E8 dan 1G9 dalam peperiksaan SPM yang lalu. Ayah dan ibunya amat kecewa. Mereka berharap Zai dapat mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Dengan berbekalkan wang seratus ringgit, Zairul Hisham mengikut kehendak hatinya untuk merantau ke Kuala Lumpur. Zai ingin mencari pekerjaan di Kuala Lumpur. Dia mendengar Kuala Lumpur lubuk emas yang hanya menunggu diterokai. Orang yang rajin dan bekerja keras di Kuala Lumpur menjadi kaya. Orang malas dan cepat berputus asa akan menjadi penagih dadah dan akan hidup merempat.

Beberapa ketika Zai hanya tercegat di stesen bas Kuala Lumpur. Dia tidak tahu apa dia harus buat. Kemudian dia berjalan mengikut kehendak kakinya.

"Bagaimana aku hendak hidup di bandar besar ni dengan duit sebanyak ni," keluh Zai sendirian sambil berjalan. Dia mulai berasa takut. Tapi semangatnya untuk berjaya mematikan rasa takut itu.

Zai meneruskan langkahnya yang tiada hala tuju. Zai terasa mengantuk. Setibanya di sebuah perhentian bas di Jalan Pudu Raya, Zai pun melelapkan matanya dengan berbantalkan beg yang berisi beberapa helai baju.

"Bang! Bang! Bang!," tegur seorang budak sambil menggoyang-goyangkan kakinya.

Zai terjaga dari tidur. Matahari sudah pun memancarkan sinarnya ke bumi. Zai melihat jam menunjukkan pukul 9.30 pagi. Zai mengeliat dengan sepuas-puasnya.

"Kenapa abang tidur di sini?" tanya budak tadi yang berusia dalam lingkungan dua belas tahun.

"Sebenarnya abang baru sampai dari kampung pada malam tadi. Abang tiada tempat tinggal lagi di Kuala Lumpur ni," terang Zai dengan jujur.

"Saya Abu." Budak itu memperkenalkan dirinya.

"Nama abang Zairul Hisham, panggil sahaja abang Zai," giliran Zai pula memperkenalkan dirinya.

"Abang Zai tak ada kawan kat sini?" tanya Abu.

"Tak," jawab Zai ringkas.

"Buat apa abang datang ke Kuala Lumpur ni?" tanya Abu lagi.

"Sebenarnya abang Zai hendak mencari kerja. Di kampung tiada pekerjaan yang sesuai untuk abang Zai. Abang gagal mendapat keputusan yang cemerlang pada peperiksaan SPM yang lepas. Jadi abang mengambil keputusan untuk mencari kerja di sini," terang Zai.

"Oh, begitu. Kalau begitu saya boleh tolong abang," kata Abu.

"Apakah pertolongan yang boleh Abu berikan kepada abang?" tanya Zai.

"Begini, ayah saya pemilik sebuah gerai makan di Jalan Hang Tuah. Kebetulan ayah sedang mencari pembantu gerai," jelas Abu kepada Zai.

"Abang setuju," balas Zai tanpa berfikir panjang.

Zai dibawa oleh Abu ke gerai ayahnya. Zai diberikan tempat tinggal serta gaji sebanyak tiga puluh ringgit sehari. Dia dapat menyimpan sebanyak enam ratus ringgit dalam sebulan. Di samping itu, Zai juga dapat mengirimkan wang sebanyak dua ratus ringgit sebulan untuk menambahkan pendapatan ayah dan ibunya di kampung.

Zai tahu hidup di Kuala Lumpur tidak mudah. Semangat mesti kuat. Kerja mesti rajin. Itulah yang menjadi pegangan Zai. Walaupun dia hanya bekerja sebagai pembantu gerai, Zai tidak kisah. Yang penting, dia mesti bekerja dengan rajin dan bersungguh-sungguh.Setiap apa yang disuruh Pak Din, pemilik gerai itu, dia tidak membantah. Malah dia rajin bertanya mengenai banyak perkara, terutama cara-cara menjalankan perniagaan makanan. Dia mahu mengumpul sebanyak mungkin ilmu kerana dia berhasrat untuk membuka gerainya sendiri.

Diam tak diam Zai sudah bekerja di gerai Pak Din selama dua tahun. Dengan bermodalkan sepuluh ribu ringgit hasil dari titik peluhnya, Zai membuka sebuah gerai di Jalan Chow Kit. Gerainya laris kerana Zai pandai mempelbagaikan hidangan yang sesuai dengan cita rasa dan kemampuan pelanggannya.

Sedikit demi sedikit dia membesarkan perniagaannya kerana pelanggannya terus meningkat. Namun Zai tidak alpa. Dia terus bekerja dengan lebih keras untuk berjaya. Berkat kesungguhan dan pandai menguruskan kewangan dan mengintai peluang, Zai menambah cawangan kedai makannya, dan dia mampu meningkatkan jumlah pendapatan bulanannya.

Kini Zai hanya tersenyum puas melihat kejayaan yang telah dicapainya. Dia tahu dia tidak akan mencapai keadaannya sekarang sekiranya dia tidak bekerja keras dan sanggup mengutip ilmu daripada orang yang mahir dalam bidang mereka. Dia bersyukur kerana dia dapatmenebus kesilapannya yang lalu danmengubat kekecewaan ayah dan ibunya dahulu.

"Ya Allah! Aku bersyukur kepada-Mu." Itulah kata-kata ayah dan ibu apabila melihat anaknya Zairul telah berjaya dalam hidupnya.

KHAIRUL AZHAR WAHYUDI
Simpang Renggam, Johor.

No comments: