Pages

Friday, December 12, 2014

Penantian

KAK, mana ayah? Rengek Aiman.

Sejak kematian ayah, soalan itulah yang sering ditanya oleh Aiman.

"Man, ayah sudah tiada Man! Ayah sudah meninggal," jawab Za sayu.

Tiada kata yang mampu Za ucapkan kepada adiknya, kecuali sebingkis lafaz yang dia sendiri tidak dapat menerimanya.

"Man rindu ayah!" kata-kata adiknya itu benar-benar menusuk jiwa Za.

"Man tidur ya! Nanti kakak belikan aiskrim, nak?" pujuk Za.

Lekas-lekas Aiman tidur setelah mendengar janji Za.

"Munah, jika abang tiada lagi, jagalah anak kita baik-baik," teringat Za akan kata-kata bapanya, Pak Din sebelum ke pekan untuk bekerja.

"Za dan Ika, belajar bersungguh-sungguh! Nanti, tolong ibu kamu di kebun," sambung Pak Din lagi.

Mak Munah hanya membatu mendengar kata-kata suaminya.

Dia tidak berasa curiga di atas sikap suaminya pada hari itu.

"Munah! Munah!"

"Kenapa Mah?" soal Mak Munah yang sedang menyapu di anjung rumah.

"Nah, Din maut dilanggar lori! Jenazahnya sekarang berada di hospital," kata Mak Timah.

"Ya Allah, suami aku!" Mak Munah begitu terkejut mendengar berita daripada Mak Timah lalu terjelepot di tangga.

Sejak kematian Pak Din, Za terpaksa berhenti dari sekolah untuk menyara keluarga. Sejak kematian suami, Mak Munah sudah tidak siuman. Dia selalu sahaja melarikan diri dari rumah untuk `mencari' suaminya. Za dan Ikalah yang terpaksa menggunakan kudrat mereka mencari ibu mereka. Disebabkan terpaksa, mereka mengambil keputusan untuk mengikat ibu mereka di dalam rumah.

"Za, Ika, sampai hati kau buat aku macam ni. Kau berdua anak derhaka. Lepaskan aku, nak. Aku nak cari laki aku." Mendengar kata-kata Mak Munah, hati Za dan Ika tersentuh.

"Ibu, marilah makan, bu. Sudah sehari suntuk ibu tidak makan. Nanti ibu sakit," rayu Ika.

"Aku tak mahu! Lepaskan aku! Aku nak cari laki aku," sergah Mak Munah.

"Ibu, tadi masa Ika ke sekolah, Ika jumpa ayah! Ayah suruh ibu makan. Kata ayah, kalau ibu tidak mahu makan, dia tidak mahu pulang ke rumah." Ika terpaksa mencari helah kerana tiada cara yang boleh dilakukannya lagi untuk menyuruh ibunya makan.

"Betul ke Ika? Suami aku akan pulang? Leganya hati aku!" Mak Munah gembira sambil mulutnya disuap nasi oleh Ika yang pipinya sudah dibasahi oleh manik berkaca.

"Ika, Za, Mak Timah bersimpati dengan keluarga kamu. Sebenarnya, Mak Timah tidak mahu masuk campur dalam urusan keluarga kamu. Cuma Mak Timah ingin memberi pandangan kepada kamu berdua."

Terkesima Za dan Ika memikirkan pandangan yang bakal diutarakan oleh Mak Timah, satu-satunya jiran yang mengambil berat tentang keadaan mereka sekeluarga.

"Mak Timah berpendapat, lebih baik ibu kamu dihantar ke hospital sakit jiwa. Insya-Allah, ibu kamu akan sembuh kerana di sana terdapat ramai doktor pakar."

"Mak Timah, Za tidak mahu berpisah dengan ibu. Lagipun, gaji Za di kilang berserta bantuan Jabatan Kebajikan mampu untuk menanggung ibu dan kami sekeluarga," kata Za seakan-akan membantah pandangan Mak Timah.

"Bukan soal mampu atau tidak, Za. Ini soal kebaikan kamu sekeluarga. Tidakkah kamu kasihan melihat Aiman? Dia perlukan belaian seorang ibu yang normal. Dia masih kecil untuk mengerti kehidupan ini," jawab Mak Timah.

"Itu betul Mak Timah. Tetapi, Aiman masih tidak dapat menerima kematian ayah, inikan pula terpaksa merelai pemergian ibu," terpacul kata-kata dari mulut Ika yang sekian lama mendiamkan diri.

"Sebelum kematian ayahmu, Man telah dijaga oleh Mak Timah apabila ibumu ke kebun dan ayahmu ke pekan. Biarlah Mak Timah mengasuhnya.

Mak Timah sudah anggap Aiman seperti cucu sendiri. Mak Timah akan cuba membantu Aiman melupakan segala kepahitan yang dialami dalam hidupnya," tegas Mak Timah.

"Mak Timah, terima kasih atas segalanya. Mak Timahlah yang banyak membantu kami sekeluarga selama ini," sebak di dada Za dan Ika tidak dapat dibendung lagi. Setelah berbincang, akhirnya Za dan Ika bersetuju dengan pandangan Mak Timah.

Sejak Mak Munah dihantar ke hospital sakit jiwa, Aiman dijaga oleh Mak Timah apabila Za bekerja dan Ika ke sekolah. Keadaan Aiman semakin hari semakin baik. Za dan Ika cuba menerima takdir yang menimpa diri mereka. Harapan mereka, menunggu ibu mereka pulih, dan bersama-sama mengharungi kehidupan yang penuh dengan onak duri. Mereka pasti ibu mereka akan pulih, tetapi tidak pasti waktunya. Apa yang dilakukan mereka sekarang adalah menanti. Menanti seperti ibu mereka menanti `kepulangan' ayah mereka. Suatu penantian yang belum pasti akan berkunjung tiba.

MOHD SHAZMEER
Sek. Men. King Edward VII
Taiping, Perak

No comments: