Pages

Tuesday, December 16, 2014

Pesanan

Oleh Mohamad Nordin Abdullah

JAMAL masih ingat segala-galanya. Cikgu Kamil amat baik ke atas dirinya selama ini.

"Cikgu harap kamu akan terus belajar dengan lebih rajin. Buktikan yang kamu boleh jadi pelajar yang terbaik dalam bidang akademik," ujar Cikgu Kamil, satu peringatan yang terus diingati oleh Jamal.

Hari ini Cikgu Kamil telah berpindah sekolah setelah sekian lama mengajar di sekolah tempat Jamal belajar hari ini.

Hubungan Jamal dengan Cikgu Kamil terjalin sejak dia menuntut dalam tingkatan 1 lagi. Satu jalinan kemesraan yang bagi dirinya teramat indah untuk dibayangkan. Baginya, Cikgu Kamil seorang guru yang baik hati nuraninya.

Yang pasti, selama Jamal berhubung mesra dengan Cikgu Kamil, dia selalu mendapat bantuan daripada Cikgu yang datang dari Semenanjung tanah air itu.

"Bantuan cikgu ini tak seberapa. Terimalah untuk meringankan kehidupan kamu," Cikgu Kamil melontarkan kata-kata sewaktu menghulurkan bantuan wang persekolahan pada awal tahun, tak berapa lama dulu.

"Cikgu tak mengharapkan apa-apa balasan daripada kamu. Sekadar cikgu harapkan kamu dapat meneruskan persekolahan dengan lebih tekun lagi untuk kejayaan hidup kamu pada masa depan," ujar Cikgu Kamil, menuturkan satu pengharapan buat Jamal.

Kebaikan yang dihulurkan oleh Cikgu Kamil memang Jamal tak mampu nafikan. Malah, dia amat bersyukur dengan pemberian sedemikian rupa. Yang pasti, dia akan melunasi amanah daripada cikgu yang mengajar pelajaran Bahasa Melayu ini.

"Cikgu, aku berjanji dalam diri ini untuk terus tekun belajar demi kelangsungan hidupku pada masa depan," detik hati kecil Jamal.

Sungguh, kebaikan Cikgu Kamil akan terus Jamal ingat hingga sampai bila sekali pun. Susah untuk dia melupakan kebaikan Cikgu Kamil.

Yang jelas, Cikgu Kamil seorang guru yang telah menunjukkan Jamal hakikat kehidupan yang sebenar.

"Kehidupan ini amanah Allah. Ekoran itu, kita perlu melunasi amanah ini untuk menjadi hamba-Nya yang mantap iman dan cekal semangat juang," ujar Cikgu Kamil, dalam satu pertemuan.

"Susah senang kehidupan adalah lumrah. Mahu tidak mahu, kita mesti terus menghadapinya dengan hati yang cekal dan penuh ketabahan," Cikgu Kamil memberi tip untuk Jamal ikuti.

Nyatanya begitulah Cikgu Kamil telah membuktikan segala yang diucapkan selama ini. Cikgu Kamil datang daripada keluarga susah. Ayahnya telah meninggal dunia sejak dia kecil lagi. Dengan situasi keluarga yang besar, Cikgu Kamil belajar untuk hidup dengan kehidupan yang lebih bermakna.

"Sejak mula menjejakkan kaki ke sekolah menengah lagi, cikgu telah belajar untuk hidup berdikari, tutur Cikgu Kamil memulakan cerita pengalaman hidupnya.

"Semuanya cikgu lakukan, untuk tidak menyusahkan ibu cikgu yang terpaksa menanggung kehidupan adik-beradik Cikgu masih kecil lagi," cerita Cikgu Kamil pada masa itu yang membuatkan Jamal cukup terharu.

Namun jelas sekali semangat juang yang telah ditunjukkan oleh Cikgu Kamil telah menghasilkan buah. Hari ini, Cikgu Kamil mengecapi kesenangan. Demikian juga adik-adik Cikgu Kamil. Cikgu Kamil bilang, semua adik-beradik telah berjaya dalam kerjaya mereka masing-masing.

"Kesusahan telah mengajar kami erti perjuangan sebenar," kata Cikgu Kamil "ibu cikgu merupakan seorang ibu yang cukup prihatin. Setiap hari, ibu cikgu akan pastikan kami tidak membuang masa. Buku-buku pelajaran mesti diberi perhatian," cerita Cikgu Kamil menjelaskan kedudukan yang sebenarnya.

Mengingati apa yang Cikgu Kamil ceritakan selama ini, membuatkan semangat Jamal untuk belajar dan membaiki kehidupannya kian membara. Yang pasti, dia akan ikut semangat juang yang telah ditunjukkan oleh Cikgu Kamil.

Jamal pun lahir daripada keluarga yang susah. Ayahnya sekadar buruh kampung dengan pendapatan yang tak seberapa. Ibunya pula tak bekerja kerana terpaksa melunasi tugasan di rumah, apatah lagi ada dua lagi adik kecil yang perlukan perhatian khusus daripada ibunya.

Oleh itu, Jamal bertekad untuk ikut perjuangan yang telah dirintis oleh Cikgu Kamil. Pengalaman cikgu Kamil akan dijadikan sandaran untuk dirinya meneruskan jejak kehidupan ini lebih bermakna lagi.

Kesusahan hidup yang diharungi kini, akan Jamal jadikan pendorong untuk dirinya lebih cekal hati dalam mengharungi segala-galanya. Baginya, dia mahu menjadi anak yang baik dan melunasi harapan ayah dan ibunya.

Sebagai anak sulung daripada lima orang adik-beradik, Jamal akan jadikan diri perintis dalam membuka pintu kejayaan di kehidupan yang akan datang. Kejayaan yang bakal ditempa, terutamanya dalam bidang akademik, supaya menjadi pendorong kepada adik-beradiknya untuk sama-sama belajar, menjadi manusia yang berjaya dan berguna kepada orang lain.

Jamal tahu, bukan senang untuk menempa kejayaan. Banyak halangan yang terpaksa dilalui. Selain kesusahan hidup, gangguan daripada seorang dua teman-teman sekelasnya, kadang-kadang membebankan. Namun, dia seboleh mungkin bersikap tenang dan tabah dalam melalui situasi yang sedemikian rupa.

Jamal tak menoleh ke belakang lagi. Jejak perjuangannya terus diperkemas. Tahun ini, dia akan menghadapi peperiksaan penting. Dia mahu menempa kejayaan dalam peperiksaan itu nanti.

Hari ini, Jamal mempersiapkan diri. Bermula dari awal, dikira paling bijaksana, sebelum benar-benar menduduki peperiksaan penting itu. Dia tak mahu mengambil sikap bertangguh. Dia takut, akan mengalami kesukaran kelak.

Segala-galanya dilakukan dengan tulus. Kelangsungan hidup mesti diteruskan. Ada usaha ada kejayaan. Itulah kata-kata hikmat yang pernah Cikgu Kamil tutur satu ketika dulu.

Petang tadi, Jamal terima surat daripada Cikgu Kamil. Selain menceritakan pengalaman mengajar di sekolah baru, Cikgu Kamil turut menitipkan pesanan.

Selain itu, yang membuatkan Jamal cukup terharu, dalam surat itu Cikgu Kamil turut mengirimkan wang pos.

"Untuk kegunaan kamu dalam pembelajaran. Cikgu harap kamu akan lebih bersemangat dalam menempa kejayaan dalam kehidupan," kata Cikgu Kamil dalam surat yang dikirimkan.

Surat yang Cikgu Kamil kirimkan, Jamal simpan baik-baik. Dia tak akan lupa kebaikan dan bakti Cikgu Kamil berikan ke atas dirinya selama ini. Apatah lagi kata-kata nasihat daripada Cikgu Kamil, akan dijadikan azimat untuk dia meneruskan kehidupan yang sememangnya mencabar ini.

Petang itu, selepas menghabiskan kerja-kerja sekolah Jamal turun ke halaman rumah. Dia bermain badminton bersama adiknya, Enal.

Jamal mahu menikmati segalanya. Suasana petang yang menyamankan. Pada waktu yang sama, dengan bermain badminton, dia akan dapat mengeluarkan peluh. Baik untuk kesihatan, itu yang dia pelajari daripada guru jasmani.

Menjelang Maghrib, Jamal mengemas diri untuk menunaikan solat. Selepas itu, dia akan mentelaah buku-buku pelajaran. Iltizamnya membara, demi kejayaan hidup pada hari muka.

No comments: