Oleh Mohamad Muda
AKU yakin. Pagi ini aku sungguh-sungguh berasa yakin. Aku yakin benar Tikas tidak akan beralah, apatah lagi akan mengecewakan harapanku. Tikas tidak akan seperti Kurip, Balung, Kumbang atau pun Bintik yang semuanya bacul. Lagak saja lebih, tetapi sebenarnya penakut. Mengecewakan!
Pagi ini, aku tidak mungkin kecewa lagi seperti pada minggu lalu, atau pada minggu-minggu terdahulu. Keyakinanku itu bukan kerana malam tadi aku bermimpi bagus, tetapi kerana Tikas yang bukan saja berbaka baik, malah memiliki sifat-sifat kejaguhan.
Aku percaya, sekalipun belum pernah bertarung dan belum pernah mencatat sebarang kemenangan, Tikas pasti galak dan pandai mengakali, sekaligus membunuh atau setidak-tidaknya membuat lawan yang gagah macam mana sekalipun menjadi bacul seperti Kurip, Balung, Kumbang mahu pun Bintik sebelum ini.
Aku bukan cakap besar. Aku tidak kata kalau tidak benar. Aku sudah cuba.
Sebenarnya, aku sudah curi-curi acukan Tikas dengan jaguh kesayangan Apai Ayung, iaitu Sumbing. Aku adukan Tikas dengan Sumbing ketika orang tua tidak sedar diri itu ke huma pagi semalam.
Belum pun apa-apa, bulu tengkok Tikas sudah meremang. Nampak benar kejantanannya. Cuma aku saja yang tidak mahu main kotor. Kalau tidak nahas Sumbing dikerjakannya. Kalau ikutkan hatiku yang marah, mahu saja aku lepaskan dan biarkan Tikas belasah Sumbing secukup-cukupnya.
Tetapi apabila difikirkan kemenangan cara itu tidak bermaruah, aku pendamkan saja niat buruk itu.
Sungguh pun Sumbing juara di daerah Pasir Nangka ini, aku tidak risau. Aku tidak bimbang, apatah lagi hairan. Aku juga tidak takut. Kalau Apai Ayung cabar aku lagi pagi ini macam hujung minggu lalu, Apai Ayung tersilap langkah.
Aku akan sahut cabarannya dan adukan Tikas dengan Sumbing kebanggaannya itu.
Biar Tikas kerjakan Sumbing sebagaimana Sumbing kerjakan Bintik sehingga mampus berlumuran darah hujung minggu lalu. Hah! Ketika itu barulah orang tua tidak guna itu tahu siapa Tikas sebenarnya.
Bila sudah menang, bukan Tikas saja yang harus berbangga kerana muncul sebagai juara baru Pasir Nangka, malah aku juga. Aku yang menjaganya. Aku yang melatihnya sehingga menjadi juara.
Pendek kata, akulah orang yang bertanggungjawab menyarungkan mahkota kejuaraan di kepala Tikas.
Mustahil Tikas akan kalah seperti Kurip, Balung, Kumbang dan Bintik. Tikas bukan jenis yang mudah bacul. Tambahan pula sudah sebulan aku melatih Tikas secara intensif, tidak kira siang, tidak kira malam.
Seiring fajar menyingsing, ketika embun jantan galak menitis aku sudah mengacah-acahkan Tikas di tengah laman rumah panjang. Bermandikan embun jantan begitu sesuai untuk menguatkan otot-otot badan, apatah lagi untuk jaguh atau juara.
Tidak cukup dengan itu, setiap pagi, tengah hari, dan petang, aku juga selam Tikas lama-lama dalam air Sungai Genang sehingga Tikas menggelepar hendak lemas. Aku buat begitu bukan untuk menyeksanya tetapi sebagai latihan tahan nafas.
Semua ini perlu agar Tikas tidak mudah semput ketika bertarung.
Setiap hari juga aku melatih Tikas makan sambil melompat dengan menggantungkan makanannya di tempat tinggi. Latihan ini juga perlu agar Tikas berasa badannya ringan dan senang melompat ke sana, melompat ke sini ketika berlawan.
Apakah dengan pelbagai latihan itu belum cukup untuk menjadikan Tikas juara baru? Hah! Aku yakin, alang-alang lawan lebih baik tidak usah, buat menghabiskan beras saja.
Kalau dulu, kalau macam Kurip, Balung, Kumbang dan Bintik yang hanya galak ketika jauh dari lawan itu, ia mungkin belum cukup. Tetapi ini Tikas yang nyata lain daripada yang lain.
Selain itu, hampir setiap ketika, asal saja ada peluang aku juga akan membelek-belek badan Tikas untuk memastikan tidak ada seekor pun suku- sakat kutu atau hama mengganggu kesihatannya. Pendek kata, Tikas aku jaga sungguh-sungguh.
Sekejap lagi Tikas akan beraksi, setidak-tidaknya membuat sesiapa saja yang berani mencabar kejantanannya menjadi bacul lalu lari menyembunyikan diri. Ha, ha, ha...Kalau nasib malang itu menimpa Sumbing, alangkah malunya Apai Ayung. Selama ini dia bukan main sombong lagi.
Tetapi pagi ini, dia akan dapat merasai erti kekecewaan sebagaimana yang sering aku rasai selama ini. Kejantanan Sumbing akan dibetinakan oleh Tikas, lalu teragut mahkota kejuaraannya. Dan aku, aku, aku akan menang besar.
Ketika itu Apai Ayung bukan saja malu, tetapi tidak akan berani mempermainkan aku lagi seperti selalu.
"Sudahlah Ngalak, kalau setakat ayam kampung lembik macam itu, lembik macam tuannya, tak usahlah kau galak gatal nak bersabung dengan ayam aku. Lebih baik kau sembelih dan beri makan anak bini di rumah," katanya satu masa dulu.
Kalau ikutkan hati marahku, mahu saja aku lemparkan bangkai Bintik yang berlumuran darah ke muka Apai Ayng petang itu. Tetapi aku masih mampu bersabar.
Tidak mengapa. Kau boleh permainkan aku sesuka hati kau, tetapi kau barangkali lupa bahawa aku bukan manusia pelupa. Aku ingat kata-kata kau itu, Apai Ayung.
Mungkin hari-hari yang berlalu itu adalah hari kau, tetapi hari ini adalah hari aku. Kau lupa bahawa tidak selamanya kau akan bertakhta sebagai raja di gelanggang sabung tu. Sampai masanya kau akan kecundang juga, Apai Ayung. Kecundang!
Masanya pun sudah hampir tiba. Pagi ini kau akan tahu siapa aku. Cuba kau lihat siapa yang berdiri gagah bagai pahlawan di haluan bot panjangku ini. Kau kenal? Barangkali belum!
Baiklah, aku perkenalkan...Inilah Tikas yang akan membelasah Sumbing. Tikas yang akan membuat kau tidak keruan sewaktu Sumbing rebah, menggelupur lalu mampus.
Sabar. Tidak ke mana gunung dikejar. Hilang kabus nampaklah ia. Sekejap lagi kau akan tahu dan merasai semuanya.
Itu pun, aku kira kau masih bernasib baik kerana kalau tidak arus Sungai Genang pagi ini deras dan banyak sampah, ranting, dan batang balak hanyut akibat hujan malam tadi, aku rasa awal-awal tadi lagi kau akan balik tersengih-sengih malu, Apai Ayung.
Aku bukan takut memecut bot panjangku ini laju-laju seperti selalu. Tetapi memandangkan pagi ini aku berhajat besar, biarlah aku berhati-hati sedikit. Kalau laju juga, aku mungkin akan terlanggar batang balak hanyut, atau setidaktidaknya pin enjin botku patah tersangkut ranting.
Kalau terjadi begitu lagi lambatlah aku sampai. Eloklah sekali ini aku ikut pepatah orang tua - biar lambat asalkan aku selamat.
Biarlah Apai Ayung tunjuk terror dengan yang lain-lain dulu. Biarlah dia pungut duit kemenangannya banyak-banyak.
Bukan untuk orang lain, untuk aku juga. Ya! Bila aku sampai nanti, aku adukan Tikas dengan Sumbing kau dan, dan, dan bolot semua duit kemenangan yang menggelembung dalam kocek kau itu.
Apai Ayung tentu tidak hairan untuk bertaruh besar kerana yakin Tikas juga bacul seperti ayam sabungku terdahulu. Tetapi selepas itu...Hah! Barulah dia tahu siapa yang bacul siapa yang tidak.
Ha...ha...ha...Kenalah kau kali ini, Apai Ayung!
Kalau aku menang sampai dua tiga ribu ringgit pagi ini, aku akan borong gerai Indai Tuai tu. Aku akan belanja kawan-kawan makan paha ayam goreng sekalipun harganya lima ringgit satu.
Apai Ayung pun aku akan belanja juga. Aku tidak rela dia pulang ke rumah panjang dengan perut kosong seperti aku sebelum ini.
Selepas membayar hutang-hutangku, semua baki duit kemenangan sabung ayam yang julung kali aku kecapi itu akan aku serahkan kepada Ayuk agar mulut murainya yang membising tidak kira waktu itu tertutup rapat. Dengan cara itu, mungkin hari-hari berikutnya, dia tidak lagi membising tidak tentu fasal seperti selalu, seperti semasa aku hendak turun tadi.
"Cubalah sedar diri sikit. Sabung ayam tu tak akan membuat kita hidup senang. Sudah berapa tahun awak asyik menyabung saja, kalau menang tu tak apa, ini tidak. Balikbalik termenung di ceruk dinding tu juga."
"Betul aku tak pernah menang, tapi pagi ini aku yakin aku akan menang. Ini...Ini Tikas...Tikas, Ayuk!"
"Tikaskah! Belekaskah! Semuanya sama. Semuanya tidak guna, tidak boleh diharap macam tuannya juga."
"Hah! Awak perempuan. Perempuan mana tahu."
"Habis, kalau awak tahu sangat, kenapa awak tak cari rezeki dengan cara yang baik? Kenapa tidak kerja di kem balak Tauke Gemuk macam orang lain atau setidak-tidaknya mengerjakan tanah kebun tu?"
"Ala...awak ni. Pagi-pagi lagi sudah membising."
"Macam mana tak bising kalau laki asyik dengan ayam saja siang dan malam. Heh! Awak tahu tak? Awaklah antara orang yang bertanggungjawab mencemar adat masyarakat kita."
"Apa yang telah aku lakukan? Aku tidak kacau sesiapa. Aku tidak kacau orang!"
"Betul! Awak tidak kacau sesiapa. Tidak kacau orang. Tetapi awak mesti ingat bahawa sabung ayam yang diadakan sejak turun-temurun bukan untuk berjudi, tetapi sebagai simbol perdamaian antara dua pihak yang berkelahi pada zaman nenek moyang kita dulu."
"Bukan aku saja yang berjudi. Ramai lagi orang rumah panjang ini yang turut serta, apatah lagi Apai Ayung tu. Sekarang ni, orang Melayu di kuala dan orang Cina di pekan itu pun turut sama."
"Orang lain awak jangan babitkan. Awak sendiri yang patut sedar. Tambahan pula, sabung ayam yang awak ikut itu bukan ada kebenaran, tapi secara haram. Kena tangkap polis, baru padan muka awak."
"Mana awak tahu semua ini? Awak jangan pandai-pandai nak buat cerita."
"Apa pulak pandai-pandai. Acara sabung ayam hanya dibenarkan pada Hari Gawai. Itu pun kerana adat. Awak lain, awak jadikannya sebagai judi. Tidak ada duit, gadai tanah kebun tu kepada Tauke Gemuk."
"Siapa kata aku gadai? Aku hanya pajakkan saja pada dia. Nanti bila ada duit, aku tebuslah."
"Cakap memang senang! Bila awak pernah ada duit? Hah! Duit buah engkabang yang saya suruh awak jual kepada Tauke Gemuk petang semalam, mana?"
"Err...err...err duit tu aku pinjam dulu. Nanti aku akan bayar balik."
"Pinjam untuk apa? Untuk menyabung lagi? Awak tahu tak, duit tu untuk bayar yuran peperiksaan SPM anak kita, Naja. Bukannya untuk awak menyabung!"
"Aku kata aku pinjam, aku pinjamlah! Awak ni tak faham-faham juga. Hah! Sudahlah, aku pergi dulu."
"Bapak, hari Isnin ini hari terakhir bayar yuran peperiksaan SPM tu."
"Aku tahulah! Hari ni baru hari Sabtu. Esok baru kau balik ke asrama, Naja. Sempatlah aku gantikan duit periksa kau tu, petang ini. Sudahlahhh!"
Apa pun keadaannya, kau mesti menangkan aku pagi ini, Tikas. Aku perlukan kemenangan untuk menebus maruahku, menggantikan yuran periksa Naja, menutup mulut Ayuk dan membayar hutang-hutangku dengan Tauke Gemuk, termasuk yang aku pinjam petang semalam.
"Banyak ini saja mana cukup, tauke?"
"Habis, awak punya engkabang sikit, sikitlah duitnya."
"Macam inilah. Boleh tauke bagi pinjam sikit, nanti ada duit saya bayarlah."
"Pinjam lagi? Bukankah duit lebih seratus ringgit hasil jualan engkabang ini sudah cukup untuk belanja makan minum awak sekeluarga sebulan ini?"
"Betul, tapi duit ini saya mahu bagi anak saya bayar yuran periksa. Tolonglah tauke, bagilah pinjam sikit."
"Emmm...baiklah. Tapi awak mesti ingat kalau tidak dapat bayar, saya ambil tanah..."
"Baik tauke...baik..."
"Berapa banyak awak mahu?"
"Seribnu ringgit, bolehkah tauke?"
"Seribu ringgit? Kenapa banyak sangat? Minggu lepas sudah pinjam tiga ratus ringgit, minggu sebelum itu dua ratus. Itu tidak termasuk hutang lama."
"Alaa...kalau tauke mahu kasi...kasi sajalah."
Emmm... sudah sampai kita, Tikas.
Wah! Ramai orang datang menyabung pagi ini.
Tengok jelatung tu, tiada ruang lagi untuk kita menambat bot. Semuanya sudah penuh. Tidak apalah, kita tempel di mana-mana. Apa yang penting impian kita tercapai.
Kau dengar tu, Tikas.
Kau dengar pekik sorak mereka tu!
Mereka sedang ghairah bertaruh. Cepat Tikas, kita mesti akhiri kegembiraan mereka.
..............................
Kau mesti menangkan aku, Tikas.
Kau mesti, Tikas...mesti...mesti...
"Sumbing! Lawan Tikas, Sumbing! Lawannn!"
"Tikas! Lawan Sumbing, Tikas! Lawannnn!"
"Sumbing! Lawan! Lawan, Sumbing!"
"Tikas! Lawan! Lawan, Tikas! Lawannn!"
"Lompat, Sumbing!"
"Lompat, Tikas!"
"Sumbingggg!"
"Tikasss!"
"Sumbing!"
"Tikas!"
"Bunuh Tikas, Sumbing! Bunuh!"
"Yaahh! Sumbing menangggg! Sumbing menaaannngggg!"

No comments:
Post a Comment