Pages

Wednesday, September 03, 2014

Orkid

Oleh Nazri Hussein

ANEH, sejak akhir-akhir ini dia begitu merindui wajah isterinya yang tercinta. Bau rambut dan lembut tangan isterinya bagaikan masih menguasai seluruh perasaannya yang kian dilanda kesepian. Dia ingin mengembalikan semula kasih sayang yang terlerai setelah terpisah sekian lama. Sebenarnya, cinta dan kerinduan masih berputik dan mekar seperti kemboja putih yang menebarkan keharuman di persekitaran sepi itu.

Telah hampir lima tahun dia berkongsi hidup dengan Tiffa yang dikahwininya ketika usianya mencecah awal dua puluhan. Dia yakin tali kasih sayang yang pernah melingkari kehidupan mereka begitu kejab dan tersimpul kemas. Kesetiaan dan kasih sayang yang padu inilah yang membawanya mengunjungi isterinya.

Dia akan duduk berteleku sambil bertafakur menghala ke wajah Tiffa yang dikasihi. Sebagai menandakan kesetiaan yang tidak berbelah bagi terhadap isterinya dia akan membawa beberapa kuntum orkid sebagai cenderamata. Tiffa tentu akan gembira menyambut kehadirannya, apatah lagi dapat menatap kuntum orkid, kegemarannya sejak zaman remaja lagi.

Bermula daripada perkenalan, dan seterusnya mendirikan rumahtangga, kegemaran Tiffa terhadap kuntum orkid tetap tidak berubah. Malah, kecintaannya terhadap orkid begitu aneh sekali, sehingga sanggup menghabiskan masa berjam-jam hanya untuk mengusap dan mencium keharuman orkid.

Dia mula mengenali Tiffa yang bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai orkid berhampiran lorong tua di tengah kota. Dia mengunjungi kedai orkid itu untuk mendapatkan tempahan beberapa jambangan bunga orkid bagi hiasan ruang pejabatnya. Keramahan dan layanan istimewa Tiffa yang mula dikenalinya membuatkan hatinya bagaikan didesak untuk terus mengunjungi kedai itu.

Sejak itu dia mula mengenali Tiffa dari dekat, yang kemudian sentiasa saja bertakhta di singgahsana sukmanya. Ternyata, dia tidak mampu membohongi perasaannya bahawa gadis penjual bunga itu telah benar-benar menambat tangkai hati dan perasaannya.

Dan dia pun melakukan apa yang terdaya untuk memenangi hati Tiffa yang berwajah kacukan Cina itu. Ternyata dia tidak bertepuk sebelah tangan!

Hasrat sucinya itu disampaikan kepada keluarganya, malangnya mendapat tentangan, terutama daripada ibunya. Keluarganya lebih memandang status dan kedudukan mereka yang sememangnya datang dari golongan elit kota.

"Kamu hendak cemarkan nama baik keluarga dengan kahwin perempuan penjual bunga itu?" Ibunya dengan penuh ego mencabar hasrat murninya.

"Cinta yang suci itu tidak akan diracuni desakan orang lain." Demikian diluahkannya prinsip hidupnya. Ah, mengapa aku harus memenuhi permintaan orang lain setelah keinginanku sendiri tercabar? Aku tidak akan membiarkan niat suciku terhalang. Lebih daripada itu, aku tidak ingin mensia-siakan kesetiaan dan kasih sayang Tiffa selama ini. Dia mula nekad.

"Kehidupan sebenarnya tidak pernah mengasingkan di antara manusia dengan manusia yang lain. Hanya manusia sendiri yang merasakan diri mereka lebih tinggi, dan memandang orang lain lebih rendah dan hina..." Dia meluahkan perasaan. Suasana di dalam rumah banglo mewah di kawasan perumahan eksklusif itu mula tidak tenteram.

"Kita dan orang lain sama saja. Tidak ada apa yang dapat memisahkan jurang kehidupan kita. Apa terjadi pun, saya tetap akan kahwin dengan Tiffa!" Dia membuat keputusan nekad.

Dia tahu, keputusannya itulah yang menyebabkan dia diasing dan terpisah daripada kemewahan kehidupan keluarga. Lebih daripada itu, dia tidak lagi diberikan sebarang kepentingan di dalam syarikat milik keluarganya. Namanya sudah tidak tersenarai lagi sebagai salah seorang ahli lembaga pengarah.

Dia kehilangan segala-galanya, hanya kerana keputusannya mengahwini gadis penjual bunga. Tetapi dia yakin, langit tidak selalunya mendung.

Akhirnya, setelah selesai segala urusan, dia mengahwini Tiffa dalam suatu majlis ringkas yang hanya dihadiri beberapa teman rapat. Beberapa bulan kemudian dia membawa isterinya pindah ke sebuah rumah sederhana di pinggir kota.

Dengan sedikit pengalaman sewaktu bertugas di syarikat milik keluarganya dulu, serta bantuan pinjaman daripada sebuah institusi kewangan tempatan, dia membuka sebuah syarikat kecil yang menjalankan urusan pengangkutan barang yang dibawa dari luar kota. Berkat kegigihannya, perniagaannya mula menampakkan kemajuan. Kegembiraan dan kebahagiaan hidup bersama isterinya tidak mampu diucapkan.

Dia sesungguhnya bersyukur kerana dikurniakan seorang isteri yang penyayang dan memahami dirinya. Kerana kecintaan Tiffa terhadap orkid masih menebal, dan untuk menghilangkan rasa bosan dan sunyi isterinya itu setiap kali dia menjalankan urusan di luar kota, dia membina sebuah taman mini orkid di halaman rumah.

Dia tahu isterinya akan gembira dan terhibur dengan kuntum orkid yang pelbagai warna dengan keharuman yang memenuhi taman kecil itu. Sudah tentulah orkid yang menguntum di persekitaran akan mengembalikan kenangan dan nostalgia awal pertemuan mereka.

"Aku sangat cintakan kau. Sebab itulah kubina taman orkid ini sebagai menandakan rasa kecintaanku yang mendalam terhadapmu." Dia meluahkan kalimah syahdu itu sambil asyik menyaksikan Tiffa memetik beberapa kuntum orkid yang sudah mula mekar. Serentak dengan itu keharuman orkid menusuk ke seluruh pancainderanya.

Kuntum orkid yang pelbagai warna itu begitu cepat membesar dan mula menjadi bagaikan sebuah padang rumput yang dihiasi warna yang beraneka. Setiap kali sinar matahari menebarkan cahaya ke atas kembangan orkid yang kemerah-merahan bagaikan satu panorama yang begitu menarik menghiasi pandangannya.

Barangkali orkid itulah yang telah membina cinta dan menyunting rindu terhadap isteri yang dikasihinya. Pandangannya masih diarah ke tubuh isterinya yang mengumpul orkid yang berguguran di tanah.

"Bagaimana kalau kita jadikan orkid ini punca pendapatan dan kita pasarkannya?" Isterinya mencadangkan sewaktu mereka menyusun dan mengatur sekitar taman orkid itu pada suatu hari. Memang dia sedar taman orkidnya telah mula mendapat perhatian dan sebutan teman dan jirannya. Malah, taman orkid milik mereka itu pernah juga memenangi hadiah pertama pertandingan taman bunga yang dianjurkan oleh Majlis Kota Raya.

"Abang serahkan segala-galanya pada Tiffa. Tiffa yang memiliki taman orkid ini, Tiffalah yang akan membuat keputusan. Abang akan sentiasa bersetuju segala-galanya." Dengan jujur dia telah menyatakan apa yang tersirat di dalam hatinya.

Isterinya kembali tersenyum. Dia mula dapat merasakan senyuman isterinya lebih indah dan menarik daripada keharuman orkid-orkid di taman itu.

Begitulah, taman orkid mereka mula menjadi tumpuan peminat orkid dari sekitar kota itu. Setiap hari taman orkidnya sentiasa dikunjungi pelanggan, sama ada untuk membeli kuntum orkid yang segar mahupun hanya sekadar menatap keindahan orkid yang meruntunkan perasaan dan mendamaikan emosi.

Dan isterinya sentiasa melayan dengan sepenuh kemesraan setiap pengunjung taman orkid mereka. Barangkali kemesraan itulah yang telah menjadikan taman orkid mereka terkenal di segenap pelosok kota kecil itu.

Semakin hari perniagaan orkid mereka semakin bertambah maju. Pasaran orkid mula mendapat perhatian bukan saja daripada peminat orkid di kota itu, tetapi juga dari luar kota. Untuk melancarkan lagi perjalanan perniagaan orkid mereka, isterinya telah mendapatkan seorang pemuda desa untuk membantu menguruskan segala yang berkaitan dengan tempahan di sekitar kota dan pinggir kota. Dia sendiri tidak mempunyai masa untuk membantu perniagaan orkid isterinya kerana tugas-tugas pejabat yang banyak.

Namun, benarlah, kebahagiaan itu bermusim. Dia dapat merasakan kesetiaan dan kasih sayang yang dinobatkan sekian lama sudah mula berkurang. Ah, seperti orkid di taman, dia dapat merasakan bunga kasih sayang isterinya yang selama ini mekar sudah mula tawar.

Tidak ada lagi layanan mesra mahupun ciuman rindu setiap kali dia pulang dari pejabat. Barangkali isterinya terlalu sibuk menguruskan perniagaan orkid yang semakin maju sehingga mengabaikan kasih sayang dan tanggungjawab sebagai isteri.

Cemburu? Ah, bagaimana dia harus berasa cemburu dengan kerjaya isterinya sedangkan dia sendiri yang membenarkan isterinya menguruskan perniagaan orkidnya itu?

Dia cuba memujuk perasaannya yang berkecamuk tetapi makin dipujuknya makin membarah emosinya. Malah dia cuba menahan perasaan apabila melihat layanan mesra isterinya terhadap pelanggan taman orkidnya tidak sama seperti layanan yang diterima olehnya.

Suatu hari dia bertengkar hebat dengan isterinya. Sepanjang perkahwinan mereka, itulah kali pertama mereka bertengkar.

"Abang mahu kita hentikan saja perniagaan orkid itu!" Dia meluahkan perasaan yang terbuku sejak sekian lama.

Isterinya yang sedang menyusun pasu bunga di taman kecil itu, tersentak lantas memandang wajahnya dengan pandangan yang aneh.

"Abang faham apa yang abang ucapkan? Abang mahu memisahkan saya dengan orkid itu, yang telah menjadi sebahagian daripada hidup saya?"

"Tapi, Tiffa sudah melampau sekarang. Tiffa lebih pentingkan orkid daripada diri abang sendiri. Tiffa lupakan tanggungjawab sebagai seorang isteri hanya kerana perniagaan orkid."

Hubungan mereka mula menghadapi musim dingin. Kesetiaan dan sumpah setia pada awal pertemuan, hanya sekadar menjadi catatan silam di lipatan waktu. Dia dapat merasakan hubungan mereka menjadi begitu kosong, dan tidak bermakna.

Kini masing-masing mula hidup sendirian. Dia dengan tugas di pejabatnya, manakala isterinya dengan perniagaan orkidnya. Kadang-kadang dia berasa kesal. Kerana kecintaan isterinya yang menebal terhadap orkid itulah yang menjadi punca hubungan mereka retak.

Jiwanya sentiasa tidak keruan memikirkan masalah yang melanda rumahtangganya. Keadaan ini ditambah lagi dengan masalah rumit yang menimpa syarikatnya. Dia sedar, kewangan syarikat yang dimilikinya kini berada di tahap amat kritikal. Beberapa projek usahasama dengan syarikat asing mula menghadapi pelbagai masalah.

Malah, tender yang diterima oleh syarikatnya untuk menyiapkan kondominium mewah di pinggir bandaraya telah gagal, apabila pihak bank enggan meluluskan pinjamannya berjumlah berjuta ringgit. Keadaan ini diburukkan lagi dengan pasaran saham yang tidak menentu di bursa saham tempatan, menyebabkan saham syarikatnya menghadapi keadaan tidak stabil.

Kini dia mula tidak nyenyak tidur. Fikiran dan emosinya diganggu dengan pelbagai perasaan yang sukar dimengertikan.

Untuk melupakan sejenak segala masalah yang bertimpa-timpa datang menerjah ke dalam hidupnya kini, akhirnya dia mengambil keputusan keluar kota beberapa hari. Dia memilih sebuah desa terpencil bagi menenangkan fikiran, sebelum dia mencari penyelesaian bagi menangani segala kekusutan yang menimpa hidupnya.

Ah, barangkali percutianku beberapa hari di desa yang tenteram, jauh dari kesibukan kota akan melahirkan idea baru bagi melancarkan kembali perjalanan syarikat. Aku ingin melupakan pertelingkahan kecil dengan Tiffa.

Tanpa meninggalkan pesan kepada sesiapapun, malah kepada isterinya sendiri, dia berangkat meninggalkan kota yang serba maju itu menuju ke sebuah desa kecil yang berpuluh-puluh batu jauhnya.

Beberapa hari berada di desa itu dia dapat merasakan ketenteraman dan keharmonian yang sukar diucapkan. Kesegaran angin laut yang lembut, dan deruan ombak di pinggiran pantai bagaikan memberikannya semangat baru untuk menghadapi suasana yang menimpa kehidupannya. Wajah Tiffa yang dihiasi kalungan orkid sedikit demi sedikit mulai hilang dari ingatan.

Tetapi, beberapa hari sebelum dia sepatutnya menghabiskan percutian di desa terpencil itu tiba-tiba runtunan hatinya bagaikan mendesaknya untuk segera pulang. Dia seperti merasakan ada sesuatu yang mengocak perasaannya untuk kembali menemui isterinya. Aneh. Wajah isterinya kembali bermain di ruang mata.

Apakah dia telah benar-benar rindukan Tiffa? Apakah cinta telah kembali berputik setelah terpisah sekian lama? Apa pun, dia berharap kepulangannya nanti akan menjernihkan kembali ikatan kasih sayang seperti pada awal perkahwinan mereka dulu. Begitulah yang didoakan setiap kali selepas selesai solat.

Petang itu juga, selepas mengemaskan semua pakaian dia bergegas pulang. Dia sudah tidak sabar lagi menatap mata jernih isterinya. Dia akan mencium tangan Tiffa sambil memohon maaf di atas pertelingkahan yang berlaku. Begitu gambaran yang muncul di mindanya.

Kereta sport putihnya meluncur deras di permukaan jalan raya. Di dalam hatinya hanya ada wajah Tiffa. Dia berharap kepulangannya secara tiba-tiba tidak akan mengejutkan isterinya.

Sebaik saja sampai di rumah dia mendapati keadaan begitu sepi sekali. Bunga orkid banyak yang berguguran di bumi. Barangkali sudah lama tidak dipungut. Dia tidak mendengar suara isterinya. Mungkin isterinya sibuk dengan urusan tempahan orkid, fikirnya.

Segera daun pintu dibuka perlahan. Tiba-tiba langkahnya menjadi mati serta-merta. Dadanya diserbu pelbagai persoalan yang mendesak. Dia menatap kalungan orkid yang memenuhi segenap ruang dinding rumah. Lebih aneh lagi, potret perkahwinannya yang tergantung di sudut ruang tetamu sudah tiada lagi di tempatnya. Malahan, dua buah tembikar antik yang dibeli semasa berkunjung ke Sarawak beberapa tahun lalu juga sudah tiada. Siapakah yang mengaturkan ini semua? Mindanya diburu seribu pertanyaan yang meresahkan.

Belum sempat dia memikirkan semuanya itu tiba-tiba cuping telinganya menangkap suara bisikan bercampur gurauan di dalam kamarnya di tingkat atas. Seluruh perasaannya dibakar curiga. Dia kaget dan impiannya terasa

"Kau menduakan aku, Tiffa! Kau gadai kesetiaan yang kuberikan selama ini!"

Pada saat itulah dia telah hilang pertimbangan. Apabila emosi dan perasaannya sudah berbaur dengan api kemarahan, dia tidak mampu lagi menggunakan kewarasan akal. Namun, segala-galanya sudah terlambat. Dia mengerah seluruh tenaga menghadapi keadaan yang pincang itu. Sesungguhnya itulah keputusan yang difikirkan wajar.

"Ya, aku telah membunuh Tiffa, isteriku. Dia mensia-siakan kesetiaanku selama ini. Dia telah berlaku curang dengan pembantunya sendiri. Dia harus menerima pembalasan dari perbuatannya sendiri ..."

Dia seolah-olah mendengar pengakuannya di hadapan tuan hakim dan manusia yang memenuhi kamar perbicaraan itu. Dia telah diberi peluang untuk membela diri namun keputusannya sudah bulat dan nekad. Dia tidak akan menarik kembali pengakuannya meskipun dia harus menerima risiko di atas keputusannya itu.

Kini dia sedar dia tidak ada tempat lain lagi untuk kembali selain penjara. Hidup sudah tidak bererti lagi baginya. Dia tidak akan dapat menatap keharuman orkid yang menjadi kecintaan isterinya sejak remaja lagi.

Segalanya telah hilang dari hidupnya dan dia kini hanya menanti saat-saat akhir untuk dibawa ke kamar gantung. Meski tidak pernah terduga akan begini penghujung perjalanan hidupnya namun dia telah benar-benar bersedia menghadapi kenyataan yang begitu pahit.

Menanti hari kematian yang kian hampir inilah dia ingin melupakan sejarah hidupnya. Dia hanya memerlukan ketenangan sebelum berangkat menemui Tuhan. Sesungguhnya dia kini sudah pasrah. Beberapa hari sebelum tempoh dia dihantar ke kamar gantung dia memohon menziarahi pusara Tiffa di pinggir kota.

Dia ingin berteleku dan bertafakur sejenak di kuburan isterinya sambil menadah doa memohon rahmat dan keampunan. Hanya itulah permintaannya yang terakhir. Sepohon bunga orkid putih tumbuh segar di antara dua batu nisan yang sudah hampir berlumut. Dia tidak pasti siapakah yang menanam pohon cinta itu.

Malam terakhir itu dia mimpikan isterinya memanggil-manggil namanya berulang kali di sebuah taman indah yang dipenuhi bunga orkid yang menarik yang belum pernah dilihatnya.

Dan saat itu dia sudah benar-benar bersedia untuk menemui Tiffa.

No comments: