Pages

Thursday, September 04, 2014

Senja Sang Kumang

Oleh Monir Sajili

TABIR kenangannya tersingkap. Elegi masa silam terungkap. Sejarah masa lalunya terimbas. Semua kenangan itu kembali terbayang satu persatu. Kembali menjelma dan bermain-main di benak fikiran tuanya. Layang tersenyum, mengenang zaman silam yang tertunda ke zaman kini.

"Kalaulah aku macam dulu, masih kanak-kanak, alangkah bahagianya," bisik hatinya. Bola matanya menjejak saujana. Dia cuba mencari arah. Akhirnya pandangannya terhalang lalu bergayut pada mega senja di ufuk barat.

Sebentar lagi, malam menjelma. Siang akan terbenam di perdu malam. Sehari lagi akan berlalu. Dan esok tak ketentuan hadirnya. Lalu Layang menjejaki riwayat siang, persis hidupnya. Entah-entah, esok adalah kematian. Mati memang amat menakutkan. Semua orang yang sealiran dengannya takut akan mati kerana kehidupan telah dilewati dengan nikmat yang diragut dengan rakus tanpa memikirkan kematian.

Layang selalu sedar dia memang cantik, tercantik antara gadis-gadis di Ulu Balui. Justeru itu dia bergelar kumang - Ratu Orang Ulu. Kecantikannya memang jauh meninggalkan ramai saingan yang sebaya dengannya.

Remajanya lincah, selincah lipas kudung. Kecantikan dan kejelitaannya juga membuatkan ramai jejaka yang mengenalinya menjadi panasaran, tergoda dan mabuk oleh kejelitaan seorang ratu. Kejelitaan semulajadi gadis timur. Kenyataan ini bukanlah menidakkan kejelitaan gadis lain. Tapi kecantikan mereka tidaklah dapat membayangi kejelitaan kumang gawai yang seorang ini.

Nama Layang sentiasa jadi tajuk perbualan. Pemuda di Ulu Balui mengkagumi kejelitaannya. Kata mereka, langkah ngajat dan tarian datun julut Layang amat mengasyikkan. Malah memabukkan. Keistimewaan ini ditambah lagi dengan kelunakan suaranya yang merdu mendayu. Di setiap persembahan sebelum dan selepas menuai, keramaian atau apa sahaja perayaan adat atau perayaan kebudayaan di ruai rumahnya, keistimewaan Layang tetap mempesonakan orang ramai.

Suasana harmonis yang menjadi idaman golongan tua untuk memupuk budaya, melahirkan waris seni kaum bertukar menjadi pertelingkahan, menjadi pergaduhan sedikit sebanyak berpunca daripada Layang. Keadaan ini berlaku selepas tamatnya pesta atau upacara. Perlakuan ini terjadi akibat ketololan anak-anak muda yang cuba memikat tetapi takut akan kehilangan Layang.

Mereka takut gagal untuk memiliki Layang. Layang bagi mereka adalah ratu yang mesti bermastautain di Long Malam. Mesti.

Surang menginginkan Layang menjadi miliknya. Ulai pun berfikiran demikian. Joseph juga bertekad untuk memperisterikan Layang. Ajang pun ingin. Langie juga ingin. Kalau dapat, mereka rela menjadi `madu' kepada Layang. Mereka tidak rela kehilangan Layang.  Mereka tidak rela berputih mata.

Sesiapa saja yang memperkatakan kehebatan Layang di hadapan mereka bermakna ingin merampas Layang. Berbicara tentang Layang pun bererti memperkatakan kehebatan Layang. Memperkatakan isi hati secara terbuka. Dengan perkataan lain mereka terpikat dengan keistimewaan Layang. Ingin memiliki Layang. Ini menambahkan lagi persaingan yang sedia ada.

Dulu Surang pernah bergaduh dengan Ulai. Sudah bertarik ilang. Langie pernah diserang oleh Joseph semasa balik ngabang dari rumah Layang. Joseph pula, hampir menjadi mangsa senapang Surang. Mujur semuanya dapat dileraikan, dibicarakan secara adat di ruai tuai rumah. Sudah banyak ringgit Malaysia terkorban untuk menebus kesialan, kesialan yang sengaja ditempah. Sudah banyak kali perbicaraan secara adat diselesaikan khusus untuk kes Layang dan menjadikan Layang ratu paling mahal nilainya.

Itu hanya yang dilaporkan. Yang digembar-gemburkan. Bagaimana yang didiamkan saja. Yang dipendam menjadi dendam. Kesemua ini berlaku setelah fikiran anak muda tadi dipengaruhi oleh nafsu keghairahan terhadap Layang. Keserakahan terhadap Layang dilalikan pula dengan arak dan pelbagai minuman keras yang memabukkan.

Sebenarnya, kesemua ini disedari oleh Layang. Difahaminya dari akar hinggalah ke umbinya. Tapi sengaja dibiarkannya bertunas dan terus membesar menjadi pokok perbualan. Menjadi warna yang mencorak sekitar kehidupannya, seorang ratu yang terus meniti dari mulut ke mulut sehingga menenggelamkan kisah keayuan Puteri Diana yang dipuja oleh seorang putera raja.

Pun jauh di sudut hati Layang, sedapatnya biarlah cerita yang bakal dipertontonkan itu dilakoninya sendiri, diberi peluang baginya untuk memilih heronya sendiri. Sudah ada sebenarnya. Hero yang menjadi pilihan Layang bukannya Surang. Bukan juga Ulai, Langie ataupun Joseph tetapi Salim, cikgu Melayu yang pertama berkhidmat di desanya.

Bagi Layang, Cikgu Salim tampan, bersopan-santun. Peramah, lembah- lembut, merendah diri, sabar. Paling menarik, segak dan bergaya, sesuai untuk memegang watak hero yang dipilih sendiri oleh Layang. Cita-cita Layang ini amat dibenci oleh Surang, Joseph, Ulai, oleh Ajang, mahupun Langie. Cita-cita ini juga amat ditakuti oleh beberapa orang golongan tua yang mengakuri adat. Malah cita-cita Layang ini tidak dapat dimengerti oleh Cikgu Salim - orang baru di Long Malam..

Sebagai guru yang didatangkan khas untuk mendidik anak-anak yang ditempatkan di Sekolah Rendah Kerajaan Long Malam, komitmen Cikgu Salim ialah supaya bertugas dengan penuh tanggungjawab, dan berpegang teguh kepada etika kerja. Dia tidak mahu ambil kesempatan daripada sebarang peluang untuk kesenangan dirinya. Dia tahu, Layang cuba memikatnya. Dia juga sedar Layang cuba menarik perhatiannya. Semua itu tercerna dalam gerak-geri Layang.

Cikgu Salim tahu Layang semakin jinak, berusaha sungguh-sungguh untuk mendekatinya. Ini disedari sejak mula lagi - sejak pertama kali dia mendaratkan tapak kakinya ke bumi Long Malam. Mulanya, dia akui akan jelita Layang: Anggun, lebih dalam segala-segalanya, mengatasi gadis bayanya dan menjadi penyeri malam sambutan meraikan pengunjung yang bertandang. Layang bagai sebutir bintang yang berkelip, sambil menggerakkan lenggoknya merentakkan tari datun julutnya.

Dan pengamatan tajam mata Cikgu Salim mengiringi langkah Layang secara tidak semena-mena menjadi perangsang bagi Layang mendekatinya. Lalu bermulalah detik itu, lantas Layang menjinakkan diri untuk hinggap di pohon hatinya. Cikgu Salim melayani Layang macam biasa. Dia layan Layang selaku pelawat yang ingin tahu keadaan desa yang bakal dimukimi selama tempoh dia diperlukan di situ.

Satu petang, Cikgu Salim duduk di bangku kayu menghadap Sungai Rajang yang tidak jauh dari rumahnya. Itulah rutin setiap petang selepas penat bermain sepak takraw. Biasanya dia di situ dengan Cikgu Laweng, Guru Besar, Cikgu Angat dan guru lain sehingga masuk Maghrib. Di situlah juga mereka berbual tentang persekitaran, pengalaman dan pengamatan terhadap pendidikan.

Bagaimanapun keadaan biasa tidak terjadi. Dia sendirian di bangku rehat itu. Namun, seolah-olah dirancang, Layang bagai mengintip, menapak ke situ perlahan. Ketika itu, Cikgu Salim sedang asyik termenung.

"Hai, ingat orang jauh ke?" Tiba-tiba Layang menyapa. Khayalannya mati.

"Ah, Layang rupanya. Terkejut saya," Cikgu Salim kaget. Bola matanya membulat tajam memaku wajah Layang. Gadis itu tersenyum lalu meletakkan punggungnya di sebuah bangku berhadapan dengannya.

"Apa yang Cikgu menungkan tadi?" Layang mengulangi pertanyaan.

Cikgu Salim masih diam. Kalau tadi, seluruh fikirannya terpusat menjejaki nostalgia, kini ia tajam berfikir mengenai gadis ulu yang hadir di depan matanya. "Milik siapakah gadis secantik ini? Kalaulah aku dilahirkan dalam kaum yang sama, kukira nasib akan menyebelahiku," bisik hatinya.

"Cikgu, jawablah soalan saya!" Kerakusan Layang membuat dia diselimut malu. Dia turut malu dengan sikap terburu-burunya. Mata mereka bertentangan, lalu terukirlah senyuman kedua-duanya. Lalu pecahlah ketawa. Dan kemesraan itu terus berputik.

"Tiba-tiba suara Guru Besar menerpa ingatan Cikgu Salim. "Saya sudah beritahu cikgu, Layang ini pujaan orang. Lagi pula, kaum tua di sini amat membantah perhubungan anak dara mereka dengan teruna luar."

Memang. Kaum tua amat tidak mempersetujui tingkah Layang. Mereka tidak mahu Layang ikut jejak Adu yang berkahwin dengan Sarjan Hasan yang ditemuinya di Kapit. Sehingga sekarang pun Adu tak pernah menjengukkan mukanya ke Long Malam. Begitu jua Agot, Suling dan Mariam. Semuanya kahwin dengan orang luar lalu lupai asal-usul mereka.

Yang kahwin dengan orang Melayu, peluk Islam. Alasan mereka, takut bercampur dengan keadaan yang haram di segi agama. Yang kahwin dengan orang Cina, alasannya ialah terlalu susah menyesuaikan diri dengan keadaan. Mereka tinggal di bandar. Kalau dibawa sekali-sekala ke Long Malam sukaran akan timbul. Ada juga bekas ratu yang terdahulu daripada Layang tertipu sanggup secara paksa bermadu. Jadi isteri yang kedua atau ketiga.

Inilah yang sering diperkirakan oleh golongan tua. Kalau ada perayaan adat, puji dan puja atau sebagainya, larangan dibuat supaya jangan pilih lelaki luar sebagai pasangan. Ada juga sanggup berkata secara terbuka dalam bahasa mereka apabila memberikan nasihat.

"Kita tak lama di sini, cikgu. Cikgu kahwin kontraklah saja dengan Layang tu, habis cerita," kata pula Cikgu Angat. Ini memberi perangsang kepada Cikgu Salim. Cikgu Angat juga orang luar, suku kaum Kayan. Orang Ulu juga. Tetapi dia faham keadaan setempat dan masalah Cikgu Salim.

Layang bangun daripada tempat duduknya. Kusyen bekas tempat duduknya kelihatan terhenyak oleh kegelisahannya. Dia melangkah ke jendela. Di bawah, beberapa anak jiran Tionghua asyik bermain, berkejar-kejaran. Suara mereka bising benar. Dan begitulah keadaan setiap hari menjelang petang. Riuh-rendah persekitaran kadangkala membingitkan. Memekakkan telinganya. Dengan jerit pekik anak-anak dan kebisingan bunyi enjin kereta yang lalu- lalang.

Kalau tidak kerana kemewahan yang cukup disediakan oleh suaminya sekarang, sudah lama Layang tinggalkan tempat itu. Tetapi, apa boleh buat. Nasibnya tidak secerah masa mudanya. Tidak seindah zaman ratunya.

Layang memenungi nasibnya. Mata tuanya liar mencari arah. Pandangannya terpaku kepada gambar usang yang tergantung di dinding rumah batunya itu. Potret persandingannya dengan Ah Fatt atau nama penuhnya Wong Yee Fatt, atau kadang-kadang dipanggil `Manager Wong' oleh pekerja-pekerjanya.

Manager Wong sering bertandang ke Long Malam. Ini memang sepatutnya. Dia ke sana kerana kawasan balak yang dikerjakannya terletak dalam kawasan Long Malam termasuk kawasan pinggir pribumi Long Malam. Dan seperti biasa, syarikat balak yang beroperasi di kawasan itu atau kawasan-kawasan Ulu Rajang yang lain mesti membayar pampasan atau sagu hati kepada penduduk setempat mengikut bilangan pintu di rumah panjang mereka sebagai syarat beroperasi di kawasan itu. Kalau tidak pasti menempuh masalah.

Pampasan dan sagu hati mesti diuruskan terlebih dahulu di tanah atau di persekitaran tanah adat. Sering juga berlaku persengketaan apabila urusan itu tidak dilaksanakan. Ditambah pula dengan sikap dan perangai sesetengah pekerja yang didatangkan ke situ seperti melanggar etika, adat dan pantang larang pribumi. Sering terjadi sekatan dan benteng manusia menghalang kerja apabila syarikat balak tidak mengikut kuota yang ditetapkan oleh penduduk.

Manager Wong membawa beberapa orang kanannya untuk menemui tuai rumah Long Malam pada suatu petang minggu untuk membincangkan beberapa perkara berkaitan dengan kerja syarikatnya. Persetujuan dicapai. Kata disepakati. Syarikat balak Manager Wong dibenarkan beroperasi tanpa sebarang gangguan. Pihak syarikat pula harus membenarkan sebahagian daripada pekerjanya diambil daripada pendudul Long Malam. Sagu hati bagi setiap pintu rumah panjang juga dijelaskan. Dengan itu, rasmilah perjanjian setelah mengambil kira keistimewaan dan kekurangan kedua-dua pihak.

Pada malamnya diadakan keramaian untuk meraikan Manager Wong dan rombongan. Malam itu juga diadakan pertandingan ngajat dan datun julut. Meskipun hadiahnya tidak seberapa, namun cukup untuk menarik perhatian masyarakat Long Malam. Dan, kepada pemenang, Manager Wong secara sukarela menghadiahkan sekotak besar sabun mandi.

Seperti biasa, Layang adalah bintang utama malam itu. Dia mesti hadir. Mesti turut memperagakan lenggok ghairahnya bagi menarik perhatian seramai mungkin penonton dengan memperjudikan kejelitaannya. Beberapa gadis lain juga turut sama. Turut mempertontonkan persembahan sebaik mungkin, tanpa memikirkan bahawa semua aturcara yang diatur itu bertentangan dengan kehendak kaum tua.

Anehnya, kaum tua sendiri semacam tidak pernah menghadapi keadaan serba- salah. Seolah-olah keramaian itu memang dinanti-nantikan untuk bersekang mata sepanjang malam. Dan di sebalik rasa rendah hati dan sikap pemurah Manager Wong, terselit suatu niat yang tidak disedari oleh sesiapa. Niat untuk memilih bakal isteri keempatnya. Malam itu akan dipergunakan sepenuhnya. Mesti.

Dan, Manager Wong dapat menjangka anggota lain dalam rombongannya juga pasti mempunyai niat yang sama. Setidak-tidaknya mereka akan membanding- bandingkan setiap gadis Long Malam yang mempertunjukkan persembahan. Mereka akan mencari peluang untuk berkenalan sebelum diatur pertemuan dengan cara yang terancang.

Manager Wong sebetulnya persis seorang badut. Masih miang. Meski sudah melepasi usia empat puluh tahun, namun dia masih kelihatan muda. Masih bertenaga. Nafsunya kuat. Kalau tidak, masakan dia sudah mempunyai tiga orang isteri yang masih muda!

Layang masih ingat. Malam itu suasana di ruai terang-benderang dengan cahaya dari generator yang telah disediakan hasil daripada pilihanraya. Tentunya sebagai hadiah pilihanraya. Manager Wong duduk bersebelahan dengan tuai rumah di bahagian tengah dan paling hadapan.

Sementara menanti persembahan dimulakan, kedua-dua mereka berbual. Mengenai pengalaman, mengenai pembalakan dan mengenai perkara lain yang berkaitan dengan rumah panjang Long Malam. Persembahan pun dimulakan. Seorang demi seorang peserta mempersembahkan tarian. Bermula dari datun julut hinggalah ngajat. Berselang-seli. Mata Manager Wong tajam memerhati setiap seorang demi seorang yang mempertunjukkan persembahan. Begitu jua dengan penonton yang lain. Masing-masing semacam khusyuk memerhati tarian tradisi sambil mendengar alunan sape.

Tibalah giliran Layang. Dia sedar semua mata terpaku ke arahnya. Dia tahu langkahnya begitu anggun. Tariannya lembut, menawan. Dan kemurahan Wong tak lepas-lepas menatap keseluruhan bentuk tubuhnya. Bermula dari wajah, terus meniti hingga ke kaki. Mata Manager Wong terpaku terus. Kadang-kala bergerak menuruti langkahnya. Sesekali, Manager Wong berbisik dengan salah seorang pekerjanya yang duduk di sebelah. Penuh makna.

Suatu ketika, Layang secara tak sengaja mengerling ke arah Manager Wong. Dan secara tidak sengaja juga mata mereka bertentang. Layang tertunduk malu. Entah mengapa, kali ini pandangannya tewas oleh ketajaman mata lelaki itu. Dalam pertunjukan sebelumnya dia tidak pernah tewas macam malam itu.

Di akhir pertandingan, Manager Wong menyampaikan hadiah. Dan, seperti yang telah diduga, Layang diumumkan sebagai pemenang kategori datun julut.

Kali ini, Manager Wong berkesempatan memegang tangan lembut Layang. Digenggamnya seerat yang boleh sambil bola matanya tajam menusuki ke bola mata Layang. Layang tersenyum malu. Malu oleh tenungan mata seorang badut yang masih mengancam.

"Amai mau, Layang terimalah pinangan Manager Wong," kata Luhat, ayah Layang dengan nada perintah. "Amai rasa, Layang pasti bahagia bersuamikan seorang yang kaya. Layang akan hidup senang."

"Layang tak mau, amai. Layang belum sedia untuk bernikah dengannya," Layang cuba memujuk.

"Jadi, kau nak kahwin dengan Surang, dengan Ulai?" tanya Amai Layang.

"Dengan mereka juga saya tak sanggup, amai. Dulu pun saya tak sanggup pilih mereka. Kalau terjadi juga, bunuhlah saya."

Gadis sejelita Layang, setidak-tidaknya bersuamikan lelaki kaya. Sekurang-kurangnya bergaji dengan kerajaan macam Cikgu Salim. Apa yang ada pada Surang? Dia cuma pemandu lori balak, kuat minum minuman keras pula. Ulai juga begitu. Gajinya cuma berasaskan tan balak yang ditebang. Banyak balak yang ditebang banyaklah gajinya. Joseph dan Langie pun dua kali lima. Langie cuma penjaga stor kompeni, mana mungkin dapat melayani kehendak atau keinginan seorang ratu.

Lain halnya dengan Manager Wong. Dia tidak kurang apa-apa. Dia kaya. Kalau dihimpunkan seluruh kekayaan penduduk di Long Malam pun, tidak mungkin dapat menandingi kekayaannya.

Amai Layang terperangkap oleh tindakannya sendiri. Dulu, dialah yang menghalang Layang mendekati Cikgu Salim. Alasannya dia orang luar. Malah guru itu pernah diugut supaya tidak mendekati Layang, walaupun niat itu sememangnya tidak ada dalam lubuk hatinya. Tidak pernah terniat di lubuk hati Cikgu Salim untuk menjinakkan diri berdampingan dengan Layang, sebaliknya Layanglah yang mengada-ngada.

Dan yang ketara, amai Layang sememangnya materialistik. Dia pentingkan kekayaan, dan kekayaan ini boleh tercipta dengan perebutan terhadap Layang. Kalau tidak kerana itu, Surang atau siapa saja jejaka Long Malam pasti sudah menjadi raja yang berdampingan di sisi kumang yang menjadi rebutan. Semuanya itu boleh berlaku demi alasan menyisih orang luar daripada persaingan. Dan, si ayah yang mabuk oleh harta ini secara tidak disedari oleh Layang sendiri telah menerima budi yang minta dibalas daripada Manager Wong.

Akibatnya, Layang patuh pada ajakan mengikuti Manager Wong. Dia tidak segan silu lagi untuk menginap bersamanya di beberapa hotel mewah di Sibu.

Tiba-tiba ingatan Layang tersentak.

Wajah Manager Wong di dinding bertukar menjadi wajah bengis persis seekor singa lapar yang mahu membaham mangsanya dan sekaligus meminta Layang menghentikan imbasan masa lalu yang telah dilewati bersamanya.

Layang mula merasa pilu mengenang nasibnya yang tidak seindah nasib Ratu Universe yang hidup bahagia di banglo mewah atau di pangsapuri yang tersergam indah. Malah, kalau hendak dibandingkan, kehidupan Layang bagai seorang perempuan simpanan yang sudah hilang manisnya. Bezanya, nasibnya masih baik sedikit berbanding dengan objek khayalannya. Dia masih bergelar isteri walaupun sebagai isteri keempat kepada lelaki botak dan gendut perutnya - Manager Wong yang mempunyai enam isteri.

Layang cuba mencari-cari akan kemanisan yang dimiliki seorang isteri. Ke manakah manisnya? Apakah kenikmatannya? Semuanya menjadi persoalan yang masih belum terjawab hingga kini. Dan, paling menambahkan lagi masalah dalam mencari jawapan itu ialah ke manakah perginya gelaran `ratu orang ulu' yang pernah dimahkotakan kepadanya? Ke manakah hilangnya zaman yang penuh `glamour' bagi seorang kumang? Ke manakah? Di manakah semua itu sekarang?  Semua ini memeningkan kepala yang sudah mulai menampakkan uban.

Namun, semuanya sudah berlalu tanpa disedari. Segala-galanya sudah diragut oleh keegoannya sendiri. Diragut oleh kegilaan seorang ayah yang terlalu ghairah terhadap kekayaan. Diragut oleh seorang pengurus syarikat balak yang bijak mempergunakan segala kepakaran dan pengalaman hidup. Seorang kapitalis yang mahir mencuri segala kesempatan.

Seingat Layang, dia cuma dapat mengecapi kebahagiaan kira-kira empat belas bulan sahaja. Itupun setelah dimajmukkan dengan masa sebelum bernikah. Dimajmukkan dengan musim penyesuaian. Dan di musim-musim indah itu Layang memperolehi segalanya yang tidak pernah dimilikinya. Apa yang pernah diidamkannya daripada Cikgu Salim.

Dan, yang paling beruntung ialah Manager Wong. Dia berjaya memancing ayah Layang dengan berumpankan harta. Hasilnya, dia berjaya menjamah lauk yang dihidangkan sendiri oleh seorang ratu. Dengan menyingkirkan Surang, Ulai, Joseph dan Langie yang terpaksa mengaku kalah.

Musim-musim bersama Manager Wong cuma dikecapi dalam tempoh amat singkat setelah suaminya itu gagal untuk melahirkan beberapa ratu yang boleh menghiasi kehidupan berkeluarga. Dan, Layang terus dibiarkan meniti hidupnya tanpa `glamour' apabila Manager Wong beristeri seterusnya walaupun dia masih berjaya bergelar Puan Wong, isteri manager kayu balak yang kaya-raya.

"Untuk apakah hidup ini?" Persoalan ini sering terucap di kepala Layang.

"Untuk Manager Wongkah aku dicipta, lalu menikmati segala kepahitan yang tak sampai secara terus kepada si botak miang itu," luah suara hati Layang seterusnya.

Cikgu Salim, pasti kau berbahagia sekarang. Layang masih menggilai cikgu. Layang masih menanti jawapan daripada cikgu, bisik hati Layang. Di bawah sedar seorang tua yang mula memutih dan kusut rambutnya.

Tersenyum sendiri. Senyum puas yang penuh makna.

"Siapa kata aku cinta Surang? Siapa kata aku cinta Ulai? Siapa kata aku sayang Joseph? Siapa kata Layang mencintai Langie? Siapa? Siapa? Siapa?" Secara tiba-tiba teriakan soalan terlontar dari mulut Layang lalu menyepikan keadaan senja yang pernah riuh dengan suara anak-anak jiran Tionghua.

Dan senja terus berlabuh tanpa memberi kesempatan kepada seorang ratu untuk beredar menuju ke tempat peraduannya.

No comments: