Oleh Buang Omar
ADA bayangan lembaga hitam di celah-celah pokok, membongkok, mencari sesuatu. Ranting-ranting yang mati melintang jalan habis ranap tertenyeh oleh lembaga yang berpakaian gelap. Lembaga itu terapit oleh dua batang pokok sebesar pemeluk.
Kedengaran bunyi cengkerik agak perlahan mungkin kerana penat memekik dan terlolong-melolong semalaman. Kabus Subuh mulai cerah sedikit. Cahaya matahari menembusi celahan pokok. Sang matahari pun belum sudi benar menyerlahkan wajahnya.
Angin dingin pada pagi itu merayap-rayap menyentuh tubuh Setapa. Setapa kedinginan. Dia menarik rapat baju yang tergangga di dadanya. Tiba-tiba Setapa tersedar oleh bunyi tuuuup! Pelepaaaap, bunyi benda jatuh.
Setapa menoleh ke arah bunyi benda yang jatuh itu. Tiba-tiba lembaga yang disyaki tadi bergegas ke arah itu juga.
"Siapa gerangan berani sangat?" Dengus Setapa dalam hati.
"Anjang Andak, Usu Leman, atau Ngah Itom? Ah, tak mungkin Anjang Andak? Tak mungkin Usu Leman? Atau Ngah Itom?
Anjang Andak sudah memberitahu kepadanya kelmarin: "Pagi esok giliran kau Setapa!".
Usu Leman? Mana Usu Leman berani...bukan haknya kali ini. Haknya dua tiga hari lepas.
Barangkali Ngah Itom? Ngah Itom mana larat bangun awal Subuh begini...sudah tua, lagipun sakit sengal-sengal tulang!
Setapa meneka-neka gerangan lembaga yang dilihatnya Subuh itu? Anjang Andak bukan. Usu Leman pun bukan. Ngah Itom jauh sekali.
Siapa ya? Siapa yang pendekar sangat?
Setapa melangkah ke depan, mengintai-intai di celah-celah daun. Tambuk rotan saga badak yang didokongnya diletaknya ke tanah. Matanya menancap ke arah lembaga hitam. Lembaga itu kelihatan mengangkat benda bulat yang berduri; diciumnya kemudian dimuatkan ke dalam tambuk.
Sial! Pengkhianat!
Setapa tidak puas hati. Tanah yang diinjaknya sekarang ini ialah tanah pusaka. Apa-apa hak pun yang berada dalam tanah itu, hak pusaka. Tanah itu, tanah poyangmoyangnya, Penghulu Mudin; bekas penghulu Kampung Pasir Pandak.
Sudah lima belasan tahun hasil tanah pusaka dimakan oleh Anjang Andak, kerana Anjang Andak diamanahkan untuk menjaga tanah pusaka.
Seluruh keluarga termasuk bapa Setapa bersetuju Anjang Andak diberi kuasa menjaga tanah tersebut. Siapa pun tidak berhak mengambil apa-apa dari tanah pusaka, kecuali dengan izin Anjang Andak. Bapa Setapa tidak boleh bagi izin pasal dia jauh di Kuching. Udak Munah, adik bapa Setapa langsung tidak berkuasa kerana dia perempuan.
Sekarang yang berkuasa, Anjang Andaklah. Sebab itu kelmarin dia mengizinkan Setapa mengaut hasil untuk sepagi itu. Tetapi sekarang nampaknya ada tupai menebuk rezekinya awal-awal pagi. Itu di hadapannya, musuhnya! Lembaga itu harus ditentang, harus ditangkap dan diberkas. Kalau boleh diserahkan pada polis. Begitulah niat Setapa kalau lembaga itu dapat diberkasnya nanti.
Setapa menghampiri lembaga hitam itu. Dia melangkah perlahanlahan. Ketika Setapa berada di jarak semeter dari lembaga itu, lembaga itu tidak lari. Barangkali kehadiran Setapa di situ tidak dirasai.
"Hei, siapa kamu ha?" Tanya Setapa dengan nada keras. Lembaga itu tidak menjawab, tetapi kelihatan dalam keadaan ketakutan.
"Hei, siapa kamu?" Sepantas itu juga, Setapa meragut kain yang menutupi muka lembaga itu. Kain penutup muka terlepas dari simpulan.
"Anjang Andak?" Setapa terperanjat. Matanya terbelalak. Mengapa Anjang Andak? Bukankah dia sendiri yang membenarkan kelmarin? Anjang Andak sendiri juga yang datang ke rumah tempat Setapa menumpang bermalam, iaitu rumah Udak Munah, memberitahu bahawa gilirannya pagi itu.
"Mengapa Anjang Andak datang pagi ini? Bukankah giliran aku?" Ujar Setapa.
"Aku...aku...tengah cari sapi aku yang hilang sejak kelmarin petang, Setapa," Anjang Andak memberi alasan. Setapa tahu Anjang Andak bercakap bohong. Buah durian yang melambak di dalam tambuknya membuktikan bahawa Anjang Andak sengaja melakukan perkara itu.
Anjang Andak memang tidak amanah. Anjang Andak gagal melakukan tanggungjawab yang diamanahkan kepadanya. Benarlah Penghulu Mudin, poyangnya itu membenarkan anak sulung yang menjaga kebun buah-buahan. Tetapi, bukanlah bermakna Anjang Andak boleh berbuat sesuka hati.
Ketika membuat undian dahulu untuk menentukan siapa yang berhak ke atas tanah pusaka, semua tidak setuju Anjang Andak jadi pemiliknya. Semua adik- beradiknya termasuk bapa Setapa, bersetuju tanah pusaka dijadikan tanah hak bersama saja. Dan Anjang Andak sekadar diamanahkan saja menjaga tanah tersebut kerana dia menetap di Kampung Pasir Pandak ini.
Dan dulu pun, Anjang Andak pernah bertegang urat dengan Usu Leman dan Ngah Itom, kerana rezeki itulah, sehingga hampir mencabut parang. Tetapi bapa Setapalah yang menenangkan, kalau tidak malulah kaum keluarga.
"Anjang Andak cari sapi ke, atau...?" Sindir Setapa.
"Apa kau tak percaya dengan aku, Setapa? Kau tak percaya dengan alasan aku?"
"Bukan tak percaya Anjang Andak...buah durian yang melambak dalam tambuk tu...bagaimana?" Anjang Andak serba salah. Kata-kata Setapa mematah hatinya. Malu juga rasa hati Anjang Andak, walaupun Setapa anak buahnya.
"Nampaknya Anjang Andak tak amanah. Anjang Andak mungkir akan janji yang Anjang Andak buat sendiri," keras suara Setapa mengeluar kata-kata tersebut.
"Ah, janji apa? Janji boleh diubah, Setapa!"
"Kita orang Islam, Anjang Andak! Saya nak tanya pada Anjang Andak...mana perginya pegangan Anjang Andak semasa kuasa diberi kepada Anjang Andak dulu?"
"Ah, kau jangan nak ajar aku, Setapa. Aku yang berkuasa atas tanah pusaka ini! Kau mana tahu?" Marah Anjang Andak.
"Saya tahu Anjang diberi kuasa...tapi kuasa yang Anjang Andak berikan kepada saya kelmarin nak taruh ke mana, Anjang Andak?" Berdesing telinga Anjang Andak tertampar dengan jawapan Setapa begitu. Anjang Andak mula panas darah tuanya. Setapa seolah-olah pengacau baginya di situ. Kalau Setapa sudah membencinya, bencilah. Kalau Setapa sudah tidak suka lagi kepadanya, suka hati dialah. Tetapi alang-alang malu sudah terpalit di mukanya, biarlah...
"Setapa! Kau jangan nak kurang ajar!"
"Saya tak kurang ajar Anjang Andak...tapi Anjang sendiri yang kurang ajar!" Setapa juga naik darah, sekejap itu darah mudanya bergelora, gila. Kedua-dua makluk sudah dirasuki syaitan dalam darah mereka. Bapa saudara dengan anak buah, bertegang urat saraf kerana tanah pusaka, kerana janji.
"Sudahlah...aku tak kuasa nak bertekak dengan kau, Setapa!" Anjang Andak meninggalkan Setapa seorang diri di situ.
"Anjang Andak! Terima kasih di atas janji Anjang Andak kelmarin!" Teriak Setapa menyindir dengan nada keras dan pejal. Biarlah Anjang Andak terasa hatinya. Siapa yang makan cabai, rasanya ditanggung sendiri.
Setapa memandang Anjang Andak yang berjalan terhinggut-hinggut membawa buah durian dalam tambuknya dalam keadaan marah yang cukup menggelodak. Berkocak. Sehinggalah kelibat Anjang Andak pupus di matanya.
Orang tua pembohong! Orang tua penipu! Tahulah nanti..., dengus Setapa dalam hati.
Setapa berpatah balik. Dalam perjalanan, dia sempat singgah ke kawasan air terjun. Setapa membasuh mukanya. Air terjun yang tidak sebagus mana itulah tempat Setapa mandi waktu panas terik bersinar. Huh, kalau terkena air terjun waktu badan panas, alangkah segarnya! Dan di dalam sungai kecil itu juga, ada anak-anak ikan seluang, seperti seluang jaau berenang- renang, riang. Kadang-kadang anak-anak ikan itu bersembunyi di celah dedaunan mati.
Setapa kemudian kembali semula ke dangau.
Sang matahari sudah berani menyelak wajahnya pagi itu dengan secara total dan menyeluruh, menerobosi mana-mana bahagian alam.
Hati Setapa tidak seriang tetupai dan beburung pada pagi itu. Dia tidak selesa menghirup udara pagi yang segar, seperti flora dan fauna. Nafasnya sesak. Bersemak.
Mana patut dia diperbodohkan oleh Anjang Andak! Anjang Andak sebagai orang tua, sepatutnya memberi teladan yang baik kepada orang muda. Tidak berbohong. Tepat pada janji, mana janji? Setapa tahu sekarang memang musim durian. Tahun ini buah durian di tanah pusaka mengeluarkan hasil yang banyak, tidak seperti pada tahun lepas.
Bunga durian pada tahun lepas habis jatuh, kerana hujan lebat. Bayangkan sepohon boleh menghasilkan seratus biji saja! Tetapi seingat Setapa, setahu Setapa, seperti mana kata bapanya, pokok durian di tanah poyangnya itu sebanyak lima puluh pokok. Kalau seratus biji sepohon, maknanya lima ribu biji boleh dihasilkan tahun ini. Huh, macam mana Anjang Andak tidak gila dibuatnya! Bukan saja di tanah pusaka berbuah lebat tahun ini, tetapi seluruh kebun orang kampung.
Bagi orang Kampung Pasir Pandak kalau laut bergelora, maka kebunlah tempat mata pencarian. Dalam kebun tanah pusaka ada bermacam pokok buah- buahan: langsat, rambai, manggis dan terap.
Namun, kebuncahan hati Setapa menggelodak, kini. Tidak patut! Memang tidak patut Anjang Andak mungkir janji. Lelah Setapa datang dari jauh, dari Kuching pakai bot panjang (masa itu belum ada jalan raya), kemudian kena ambil cuti pula. Tidakkah Anjang Andak tahu itu semua? Tidak adakah perasaan belas di hatinya?
Tahun lepas hanya lima biji buah durian dikirimkan untuk keluarga Setapa. Selama lima belas tahun Anjang Andak makan duit jual buah durian, tidakkah sekali ini dia - Setapa - tidak boleh kutip sebiji dua untuk keluarga.
Anjang Andak tidak berhati perut!
Anjang Andak tidak amanah!
Anjang Andak mungkir janji - mana janji?
Bagaimana harus diterangkan pada ibunya, bahawa tempoyak yang dipesan tidak ada? Bagaimana harus diberitahu pada bapanya, bahawa lempuk durian tidak dapat dibuat, buah durian tidak ada?
"Setapa, tolong buat tempoyak untuk emak ya...kalau kau bertemu dengan buah yang tak elok," pinta emaknya pagi itu; dua hari lepas.
"Insya-Allah emak...Setapa cuba buat," kata Setapa sebelum berangkat.
"Dan kirim salam kepada Usu Leman, Ngah Itom dan Udak Munah nanti, ya Setapa?" Pesan bapanya pula. Setapa mengangguk.
Perjalanan dari Kuching dengan bot panjang mengambil masa tiga jam. Kiri kanan perjalanan itu kelihatan pokok bakau berjejeran di tebing sungai. Bot panjang yang dinaiki terasa lambat sekali. Namun, kerana keenakan raja buah, hatinya menyejuk untuk terus ke Kampung Pasir Pandak.
Peleppaaaaaap! Lettuppuuuuup! Seekor tupai perang bulu melompat. Bunyi buah durian yang jatuh mengejut Setapa dari dilamun khayalan. Angin kencang pagi itu memudahkan buah durian yang masak gugur. Buah durian biji (maksudnya ditanam melalui biji; bukan cangkuk) terlalu sukar untuk didaki pokoknya, tinggi, sampai dua puluh lima meter tingginya.
Setapa tidak sanggup berputih mata. Janji Anjang Andak kelmarin, tinggal janji. Mana patut orang Islam mungkir janji?
Wajah Anjang Andak yang pembohong itu, menyentuh hati Setapa, menggelodak geram. Setapa harus berbuat sesuatu. Biarlah, dia tidak merasa enaknya raja buah itu pun, tidak mengapa.
Raja buah memang enak dimakan begitu saja, tetapi enak juga dibuat bubur. Menurut setengah petua, kalau makan buah durian terlampau banyak badan jadi panas. Tetapi dengan petua minum air dalam kulit durian kepanasannya akan menurun. Biarlah dia tidak merasa tempoyak dan lempuk raja buah. Biarlah...kalau perlu sangat, boleh dibeli di pasar. Melambak. Biarlah Anjang Andak tahu bahawa Setapa akan berbuat sesuatu. Siapa tahu, Setapa mungkin mengamok seperti Jebat!
Tiba-tiba Setapa terpandang pokok langsat. Buahnya mengguning, berjuntaian seperti buah anggur. Hatinya tersedik. Tidak dapat buah durian, buah langsat pun jadi juga. Setapa yang dari tadi duduk di atas anak tangga dangau, bergegas mencari kapak. Kapak yang terdendeng di dinding dangau dicabutnya, lalu berlari ke arah pokok langsat.
Biarlah Anjang Andak rasa kali ini! Biarlah Anjang Andak tahu betapa sakitnya hatinya itu.
"Setapa bukan bodoh," dengus hati kecilnya. Dengan gagah perkasa, Setapa menghayun kapak yang berkilau tajam itu ke pokok langsat. Kepanasan hatinya dihumbannya bersama ketukan kapak ke arah batang langsat itu. Kelantangan bunyi kapak melantun, bernaung-naung di dalam kebun tanah pusaka. Setapa seolah-olah sudah dikudai syaitan!
Sinaran matahari yang perit itu tidak sedikitpun dirasanya. Setiap detik berlalu, torehan kapak itu semakin dalam. Dalam. Dalam lagi. Keringat membasah dahi dan seluruh bajunya. Nampak benar usianya tiga puluhan itu cepat letih. Dan akhirnya pokok langsat bergoyang-goyang, kemudian tumbang. Setapa ketawa sepuas hati, sambil menahan perut dia berkata: "Rasakanlah Anjang Andak!...Rasakanlah! Hah..hah..haha...rasakan Anjang Andak kedekut! Cokot! Penipu!"
Pokok langsat yang sebesar dua kali pahanya itu mencium bumi. Pokok langsat yang sudah belasan tahun usianya, bergelimpangan rerantingnya - patah, daunnya berhamburan. Berderai-derai buah langsat yang menguning jatuh. Kecil besar bertaburan di atas tanah. Biarlah sama-sama putih mata. Biarlah sama-sama kempunan.
Setapa tahu tindakannya itu - di luar kesedarannya, tetapi asalkan hatinya puas. Itu penting! Biarlah esok tidak membawa sebiji pun buah durian bila balik nanti, tidak apa. Asalkan dendamnya berbalas juga.
Setapa balik ke rumah Udak Munah. Udak Munah hairan melihat muka Setapa yang merah padam itu. Ditolehnya dalam tambuk, tidak ada sebiji pun buah durian.
"Mana buah durian yang kau perolehi hari ini, Setapa?" Tanya Udak Munah. Setapa bungkam.
"Kenapa dengan kau Setapa?"
"Balik Kuching? Bukankah kau kata tiga hari lagi?" Setapa memandang muka Udak Munah.
"Benar Udak Munah...tapi, apalah gunanya saya di sini kalau begini layanannya," kata Setapa agak pilu.
"Layanan bagaimana? Tidak cukupkah apa yang ada di rumah Udak ini?"
"Bukan begitu Udak Munah...janganlah Udak Munah salah anggap," terang Setapa. Udak Munah bungkam. Udak Munah berfikir, kenapa tiba-tiba Setapa bercakap begitu.
"Nanti Udak Munah akan tahu juga," terang Setapa.
Udak Munah rasa tentu Setapa ada hal dengan Anjang Andak. Tentu mereka bertekak. Tentu.
"Anjang Andak?" Duga Udak Munah. Setapa membisu, tunduk. Tahulah Udak Munah, sahlah Anjang Andak punya angkara. Siapa tidak kenal Anjang Andak yang kedekut itu?
Setapa masuk ke bilik, mengemaskan pakaiannya. Apabila siap Setapa memohon izin dari Udak Munah untuk pulang. Tiba-tiba ada suara di luar.
"Setapa! Keluar kau!" Setapa tidak peduli.
"Setapa! Aku kata keluar!"
Udak Munah meluru keluar. "Anjang Andak! Apa kau mahu?" Kata Udak Munah.
"Mana Setapa? Aku nak ajar budak keparat itu!"
"Setapa ada...kau nak apa-apakan budak itu?"
Setapa keluar. "Ada apa Anjang Andak? Nak cari sapi yang hilang lagi? Di sini mana ada sapi Anjang Andak!" Sindir Setapa.
"Kurang ajar punya budak! Hei, apa kau sudah buat dengan pokok langsat aku!" Marah Anjang Andak.
"Pokok langsat? Kenapa dengan pokok langsat Anjang Andak?"
"Hei, Setapa! Jangan kau nak main-main dengan aku! Aku lebih dulu makan garam...kau tahu? Kau tebang pokok langsat itu, kau fikir kau senang hati?"
Mereka terus bertekak. Bercekcok. Bising!
"Anjang Andak yang bersalah...saya nak tanya...mana janji, Anjang Andak?" Pintas Setapa mematahkan hujah Anjang Andak.
"Sudahlah! Sudahhhhhhh! Kenapa dengan kamu berdua ini...tak tahu mana bapa saudara...mana anak saudara...malu sikit dengan jiran sebelah!" Udak Munah meleraikan pertengkaran Setapa dengan Anjang Andak.
Kedua-duanya bungkam. Anjang Andak tunduk, malu. Setapa juga begitu.
"Udak Munah!" Nada Setapa menandakan kesedihan. "Kalau begini...biarlah saya balik dulu," Setapa mencium tangan Udak Munah. Setapa melangkah meninggalkan Anjang Andak dan Udak Munah. Setelah Setapa melangkah beberapa meter, Udak Munah bersuara: "Setapa!...kirim salam dengan ayahmu!"
Setapa mengangguk. Dia menoleh ke arah Anjang Andak. Anjang Andak menoleh mukanya ke arah lain.
Setapa menuju ke arah bot panjang yang sudah sedia untuk berangkat ke Kuching.
Selepas tiga hari peristiwa itu berlalu, Anjang Andak datang ke Kuching membawa lima belas biji buah durian, tempoyak dan lempok.

No comments:
Post a Comment