Pages

Sunday, September 14, 2014

Harapan ayah

Oleh Kartina Dollah

TIGA mahasiswa dibuang dari universiti kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah!

"Huh, lagi-lagi dadah, muak aku." Mulok mendengus perlahan. Air liurnya terasa pahit. Tekaknya kering sekering lipatan kulitnya yang sudah mulai kendur itu.

Perlahan-lahan dia capai cawan teh yang telah disediakan oleh isterinya.

"Pui..." Mulok meludah ke tanah.

Celaka, teh tanpa gula. Argh...pasti gula juga habis.

Semalam beras habis, bawang habis. Begitu juga dengan minyak masak. Pasti perut anak beranak berkeroncong lagi malam ini.

Sejak akhir-akhir ini, kenapa pintu rezekiku tidak begitu murah. Seakan- akan berturut-turut pula bala menimpa. Mulok mendengus.

"Milah!"

"Ya, bang."

"Ambilkan sirih atas para," Mulok memerintah.

Entah kenapa, tekak asyik rasa loya sejak dua tiga hari ini. Terpaksa selalu minum banyak air suam. Kata doktor air suam baik untuk tubuh, tiada kandungan gula. Kata doktor lagi, gula yang berlebihan dalam badan boleh bawa kencing manis.

Dia segera teringat YB Malik. Wakil rakyat itu menderita penyakit itu. Tetapi, mujurlah belum melarat. Namun, dia kena pasang `alat' khas pada tubuhnya - dibawa ke sana ke mari.

Argh...orang kaya kalau sakit tidak mengapalah. Senang dapat ubat.

Tetapi, kalau orang melarat macam aku, sakit setengah matipun terpaksa kena cari ubat sendiri, Mulok mendengus terus.

"Nah, ini dia sirih yang abang mintak," Milah mengujukkan dua helai daun sirih yang sedia tercalit dengan kapur.

Tanpa berkata apa-apa, Milah terus menghayunkan lenggangnya ke dapur lalu menghenyakkan punggungnya yang berlemak itu ke atas tikar mengkuang.

Mata Mulok sempat menjeling nakal ke arah tubuh gempal montok isterinya. Ingatannya segera menjalar ke zaman silam. Siapa tidak kenal Jamilah, satu-satunya anak dara Haji Seman. Kerlingan mata Jamilah dengan alis lentiknya yang menawan bisa membuat pemuda tidak tidur malam. Rambut Jamilah yang ikal mayang bisa membuat pemuda makan tidak kenyang. Dan senyuman Jamilah sudah cukup membuat pemuda gila bayang.

Mulok ingat lagi. Pernah anak-anak muda sebayanya dikejar Haji Seman kerana mengintai Jamilah mandi di sungai.

Dan sepantas kilat, Mulok disambar rasa megah. Antara banyak pemuda, dialah yang telah berjaya memenangi hati Jamilah.

Mulok yakin, Jamilah terpikat dengan ketampanannya.

Mulok tersentak dari dunia fantasinya. Kalaulah Jamilah yang 30 tahun dulu di depan mataku ini, sudah pasti aku tidak akan menghabiskan masaku hanya dengan menyental sirih pahit ini.

Dia sudah tidak mahu melayan khayalannya lagi. Dia bingkas bangun dan menuju ke para baju. Diselak-selaknya bawah baju itu. Sekeping surat bersampul putih dibelek-beleknya.

Sejak surat itu sampai, tidak pernah senang duduk Mulok dibuatnya. Sudah buntu fikirannya mencari jalan memenuhi kehendak anaknya itu.

Terlintas juga di hatinya untuk meminjam saja wang daripada Pak Dan. Tetapi daripada apa yang didengarnya, sudah ramai yang cuba meminjam tetapi semuanya tidak pernah berhasil. Gagal.

Khabarnya, kalau dapat pun sudah pasti ada cagaran yang diminta. Pak Dan tidak mahu bagi pinjam secara percuma saja.

Mulok hairan mengapa manusia macam Pak Dan terlalu berkira dalam memberi pertolongan. Padahal hartanya bertimbun. Tanahnya saja berpuluh ekar. Belum lagi ditambah kebun kelapa dan bot nelayan yang disewakan kepada orang kampung.

Hati Mulok membungkam campur geram. Bukan seutas dua rantai Milah sudah ditelan Pak Dan. Memang dia maklum semua itu. Begitu juga dengan tanah yang tiga ekar di hujung kampung. Satu-satunya tanah pusaka tinggalan bapa Milah.

Dia ingat lagi. Kata Pak Dan, kalau dalam tempoh tiga minggu lagi tanah itu belum ditebus, alamatnya sudah pasti akan menjadi habuan Pak Dan. Tidak ada soal jawab lagi. Memang begitu perjanjian yang dibuat.

Mulok sedar, dia benar-benar terhimpit kini.

Perlahgan-lahan dia alih pandangan ke luar. Dua ekor murai hinggap di atas papan buruk tempat Milah menjemur ikan kering. Tanpa dirancang, kehadiran burung murai itu mengingatkan Mulok kepada Sanah - Sanah Murai.

"Mulok, laki tak guna, suka makan hasil bini. Jantan pemalas. Dua puluh empat jam duduk di rumah." Demikian tohmahan yang dijaja satu kampung oleh Sanah Murai.

Siapa tidak kenal Sanah Murai? Mulutnya memang becok. Dia suka jaga tepi kain orang. Suka jaja keburukan dan kesusahan orang lain. Pantang dia melihat orang lain senang. Ada saja fitnahnya.

Ah! Persetankan cakap Sanah Murai itu. Mulok memaksa hatinya. Hanya yang tidak siuman akan mendengar cerita Sanah Murai, dia meyakinkan dirinya terus.

Kalau Jeman sudah bekerja nanti, baru padan muka Sanah. Mulok melepas geram.

Kini Sanah Murai sana-sini menjaja kebaikan dan kekayaan anaknya, Ismail. Ismail lulusan universiti. Kini pegang jawatan Ketua Pengurus di sebuah syarikat swasta di ibu kota.

Mulok yakin Jeman juga boleh jadi kaya macam Ismail. Bukan mustahil kalau dia nanti lebih kaya daripada Ismail.

Kalau Ismail naik kereta Proton Saga, Mulok akan suruh Jeman beli kereta yang lebih mewah daripada itu. Ketika itu, pasti terbeliak mata Sanah Murai. Dan ketika itu juga, Mulok akan ketawa kuat-kuat depan muka Sanah. Baru puas hati.

Sebenarnya, Mulok bukan berat tulang. Mulok juga bukan suka makan hasil isteri. Kayap di muka dan badannya tambah menjadi-jadi. Bila tiba cuaca panas begini rasa terbakar seluruh muka dan badannya.

Milah cukup maklum dengan keadaan suaminya. Kalau Mulok sihat, Mulok tidak bagi langsung Milah bekerja. Tetapi, sekarang Mulok terpaksa. Milah sedar ini. Sudah hampir sebulan Milah mengambil upah mencuci kain di rumah orang. Jadi, genap sebulan jugalah Mulok tidak pergi uruskan kebun YB Malik.

Mulok yakin YB Malik juga maklum akan kesihatannya sekarang yang tidak mengizinkan dia bekerja sebulan ini. Malah atas dasar kemanusiaan jugalah YB Malik tidak memberhentikannya.

Hanya Tuhan sajalah yang dapat membalas budi dan segala kebaikan YB Malik.

Lamunan Mulok tiba-tiba diganggu oleh bayangan Ah Meng, tauke kedai runcit yang boroi perutnya. Mulok cuba mengimbau kembali perbualan mereka.

"Mulok, bukannya aku tak mau kasi kau pinjam. Ini bulan perniagaan ada kurang sikit," kata Ah Meng.

Mulok memerhatikan saja tauke itu mengipas perutnya. Kipas kertas itu dibeleknya seketika. Ah Meng kembali menatap wajah Mulok yang seakan-akan minta simpati darinya.

"Ah Meng...tolonglah. Aku janji akan bayar balik," rayu Mulok. Nada suaranya amat rendah. Ekor matanya mengikut kelibat Sanah Murai. Mulok tahu yang Sanah pura-pura tidak mendengar. Mahu saja dihalaunya Sanah agar perbualannya dengan Ah Meng tidak diganggu.

"Baiklah, ini kali aku tolong. Tetapi bukan untuk kau, tapi untuk pelajaran anak kau, Jeman."

"Terima kasih, terima kasih, Ah Meng," Mulok tersenyum lebar.

Mulok yakin Ah Meng pasti mahu menolongnya. Kalau bukan kerana Mulok, masakan Ah Meng dapat berniaga di kampung itu yang sebelumnya tidak pernah dimasuki kaum lain selain orang Melayu.

Muloklah yang berusaha menyakinkan orang kampung tentang faedah serta kebaikan yang diperolehi jika Ah Meng membuka kedainya di kampung itu. Orang kampung tidak payah lagi ke pekan semata-mata untuk mendapatkan barangan dapur.

Tambahan pula, Ah Meng memang baik hati. Dia telah banyak membantu dan memberi tunjuk ajar pada mereka yang berminat hendak berniaga.

Mulok tahu dan yakin benar, Ah Meng ikhlas dalam memberi pertolongan.

Kini Mulok bertambah yakin kesengsaraan yang dialami oleh keluarganya nanti pasti berakhir juga, bila Jeman, satu-satu harapannya, tamat pengajian dan bekerja. Dia gambarkan betapa segaknya Jeman bertali leher, berkemeja, dan duduk di kerusi empuk dalam bilik berhawa dingin.

Malah Mulok telah sedia merekareka dalam kepalanya akan panggilan- panggilan baru untuk Jeman. Tuan Azman bin Mulok...YB Azman bin Mulok...ataupun Tuan Pengarah Azman bin Mulok.

Hah, pada saat itu barulah terbeliak mata Pak Dan lintah darat dan Mulok tambah yakin akan terjuihlah mulut Sanah Murai. Baru mereka tahu siapa sebenarnya insan yang bernama Mulok.

Mulok terus mengukir senyum.

Matanya kemudian menyorot pula bumbung rumahnya.

Dapat dirasakan bahang matahari yang telus dan jatuh tepat pada kulit tuanya. Lubang-lubang itu masih belum dibaikinya. Mungkin sesudah dia sembuh nanti, bisik hatinya.

Air sirih yang pahit itu terasa sendat ditekak. Peluh Mulok mula membasahi bajunya yang sedia berbau hamis.

"Pak...Yot nak duit, beli sugi."

Mulok tersentak oleh suara Yot yang dia sendiri berdiri di balik pintu.

"Nak suruh siapa beli?"

"Yot pergi sendiri."

Mulok menyeluk sakunya, dirasanya ada beberapa keping syiling sepuluh sen.

"Nah, empat puluh sen."

"Yot pergi dulu, Pak." Yot tersengih riang. Giginya jelas menguning.

Mulok simpati mengenangkan nasib Yot yang tidak seperti gadis yang sebayanya. Bukannya tidak pernah diubati, malah sudah banyak wangnya habis, belasan dukun sudah dicubanya. Namun Yot tetap juga begitu. Tersengih bila dimarahi. Berbau hamis kalau tidak dimandikan.

Masa Yot mula diserang penyakit ganjil itu, hampir setiap malam selama sebulan, Yot akan merayap menuju ke kawasan perkuburan menjelang malam. Kata Yot, rumahnya di sana.

Banyak cerita yang Mulok dengar dari orang kampung. Ada yang mengatakan Yot terkena buatan orang, Yot terlanggar busut jantan, Yot mengalami tekanan jiwa dan entah macam-macam lagi.

Sudah sarat telinga Mulok dan Milah mendengar semua itu.

Ah, persetankan mereka yang hanya tahu mengata saja. Tetapi aku dan Milah yang teruk menanggungnya, bentak hati Mulok.

Jam di dinding sudah menunjukkan pukul empat.

Ah...kenapa waktu yang menentukan pertemuannya dengan Ah Meng nanti terasa lambat sekali tiba. Mulok seperti sudah mengirangira wang yang diberi Ah Meng nanti. Esok, pagi-pagi lagi, Mulok mesti ke pejabat pos. Wang itu mesti diposkan kepada Jeman. Biar Jeman senang hati.

Mulok melemparkan pandangannya ke luar. Semak-samun semakin menjadi. Begitu menyesakkan pandangan. Air yang bertakung di bawah rumah mula membuahkan bau yang sungguh merimaskan.

Beberapa ekor ibu ayam dan anak-anaknya mematuk-matuk santapan petang dalam air yang bertakung itu. Sisa-sisa nasi yang terkumpul itu mungkin amat menyelerakan agaknya. Anak-anak ayam berebut-rebut untuk mematuk juadah hamis yang bertakung itu.

Bau hamis air bertakung di bawah teratak buruknya mengganggu khayalan Mulok. Mulok tersentak. Pedulikan itu semua. Empat bulan lagi, Jeman akan menjawat jawatan besar.

Dan aku, Milah dan Yot akan turut tinggal bersama-sama Jeman. Dan rumah buruk ini...aku takkan kembali lagi ke rumah buruk ini, merimaskan, detik hati kecil Mulok.

Masih jelas di ingatan Mulok ketika detik-detik bersejarah sewaktu Jeman diterima masuk ke pusat pengajian tinggi. Jeman melonjaklonjak gembira. Milah menangis gembira. Begitu juga Mulok.

Cuti yang lepas Jeman ada balik bercuti. Mulok perasan akan perubahan pada fizikal Jeman. Tubuhnya bertambah kurus. Matanya cengkung. Selera Jeman juga berkurangan.

Sudah kering air liurnya menasihatkan Jeman, agar jangan terlalu kuat belajar. Kesihatan pun penting juga. Kalau badan tidak sihat, fikiranpun akan terjejas.

Tetapi nasihat itu bagaikan mencurah air ke daun keladi saja.

Jeman pernah meluahkan yang dia bermasalah. Mungkin masalah itulah yang membuatkan Jeman suka mengasingkan diri, bersendirian, tidak banyak berbual dan tidak seriang zaman kanak-kanaknya.

Tetapi kenapa pula Mulok sering lupa menanyakan masalah Jeman. Ah...biarlah, asalkan kehendak Jeman dipenuhi sudahlah. Tugasku hanyalah mengusahakan duit setiap kali Jeman memintanya.

Mulok sering juga tertanya-tanya kenapa sejak kebelakangan ini Jeman asyik minta duit. Nak beli bukulah, bayar yuranlah, dan seribu satu macam lagi alasannya.

Bagi Mulok, Jeman sudah besar panjang. Tahu berfikir sendiri. Lagipun Mulok yakin untuk bersenang-senang kemudian kenalah bersusah-susah dahulu.

Kokokan ayam jantan mematikan mimpi Mulok yang teramat indah. Mulok bingkas bangun. Entah mengapa, hatinya berdebar-debar lagaknya. Mulok gelisah sekali. Debaran itu tidak enak sekali bagi Mulok.

Dari celah-celah tingkap, Mulok ternampak kelibat Sanah Murai. Sial...sumpah Mulok. Apa yang dimahunya pagi-pagi begini. Mengacau saja, gerutu hati Mulok.

"Assalamualaikum..."

"Hah, apa yang kau mahu, Sanah?" jerkah Mulok.

"Eh, abang Mulok ni. Sanah bukannya nakkan apa-apa. Ni hah, kangkung buat Milah. Dia yang mintak semalam. Belakang rumah aku tu banyak kangkung." Sanah nampak merajuk.

Milah terdengar suara Sanah. Cepat-cepat dia ke muka pintu.

"Eh, Sanah, naiklah," pelawa Milah.

"Tak payahlah Milah, aku minta diri dulu."

Enjin motosikal menuju ke halaman rumah Mulok mematikan perbualan mereka.

"Ya, saya. Apa hal encik?" pintas Mulok.

"Ini, telegram dari universiti."

Mulok menyambut telegram itu, lantas matanya meniti baris demi baris perkataan yang tertera di atas kertas itu.

Sepantas kilat dan bagai disambar halilintar, Mulok ketika itu. Seluruh urat sarafnya tidak berfungsi, denyutan jantungnya seakan terhenti. Suara Milah dan Sanah sudah tidak didengarnya lagi.

Sekarang barulah Mulok faham kenapa Jeman selalu minta duit. Kenapa Jeman akhir-akhir ini tidak seriang dulu dan kenapa Jeman mengatakan yang dia bermasalah.

Mulok kesal akan kejahilannya. Tidak pernah mahu menanyakan masalah Jeman. Dibutakan dan dipekakkan dengan berita yang dibaca dan didengarnya tentang mahasiswa yang dibuang dari universiti kerana terlibat dalam kancah penagihan dadah.

Mulok sungguh menyesal. Selama ini hanya dibuai angan-angan yang kini telah musnah. Kertas itu beralih ke tangan Sanah. Dalam kekelutan jiwanya seakan jelas bagaimana Sanah mengukir senyuman. Dan mulok yakin senyuman Sanah itu ditujukan kepadanya, memaklumkan ketewasan Mulok.

Di belakangnya, Mulok menoleh ke arah Yot.

Yot tetap tersengih, seakan tiada apa yang berlaku.

Dan hati Mulok bertambah pedih. Berdarah.

No comments: