Pages

Saturday, September 27, 2014

Monolog temuduga

Oleh Naziah Naziri; Sarikei

AKU sedaya-upaya melengkapkan diri dengan apa saja persoalan yang akan timbul pada jam 2.00 petang nanti. Pukul 2.00 nanti aku akan gunakan baju berwarna biru, agar lembut mata memandang. Segala surat-surat sudah disusun rapi dalam sampul besar berwarna kuning.

Sejak semalam, aku sudah memastikan bahawa semua surat-surat penting itu aku bawa, tidak tertinggal biar satu pun. Dan pagi tadi, bangun saja daripada tidur, sampul kuning aku buka lagi dan aku tersenyum puas, surat- surat penting itu nanti bakal membantu aku.

Dari awal tadi, aku sudah kemaskan segala kerja, kain sudah dicuci dan disidai. Aku masak nasi, siapkan ulam dan tumbuk sambal untuk bapa. Aku rebus sayur rebung bersama ikan lumek untuk emak. Setelah selesai semuanya aku duduk dalam bilik, dan mataku sering benar memandang jam dinding. Ada ketikanya aku terasa akan jarum jam malas benar bergerak.

Benar, menanti itu memang menyeksakan. Aku sejak semalam, sejak pagi semalam sudah menunggu-nunggu hari ini, istimewa menantikan pukul 2 petang.

Hari ini merupakan hari penting dalam hidupku. Hari ini merupakan hari yang bakal menentukan masa depanku. Sebab itu aku bersedia sejak semalam. Sekarang aku sebenarnya sudah bersedia.

"Gayah, tadi Hamid datang...katanya penting. Soal kerja..."

Dari situlah ia bermula. Sebaik saja balik dari kebun (dua hari yang lepas) sebelum sempat aku melabuhkan punggungku di anak tangga, emak seperti tidak sabar hendak mengkhabarkan berita yang dimakluminya. Bapa yang mengesat peluh di dahi turut merenung wajahku. Emak tersenyum.

Pada malamnya Hamid datang ke rumah. Dia bercerita berjela-jela mengenai jawatan kosong yang didengarnya daripada kawannya. Gajinya lumayan katanya; dan aku tidak perlu isi borang cuma datang saja ke pejabat tersebut.

"Kau layak Gayah...daripada kau duduk rumah, baik kau kerja..."

"Tapi, kau kena temankan aku..."

Azan yang berkumandang masuk dari tingkap yang terbuka menyebabkan matinya segera ingatanku pada peristiwa beberapa hari yang lalu. Aku akan memohon pada tuhan agar aku mendapat kerja itu. Aku benar-benar berharap.

Terbayang-bayang di mataku, bagaimana nanti, aku tidak perlu lagi ke kebun bersama bapa atau sesekali menolong emak menganyam tikar kerana aku sudah bekerja. Pasti aku akan ke pejabat sebelum jam lapan pagi, dan balik lewat petang. Mana mungkin aku punya masa lagi. Bapa kena faham, emak juga.

Bapa tidak boleh marahkan aku kalau aku malas ke kebun pada hari Sabtu atau hari Ahad (hari aku tidak bekerja). Emak juga tidak boleh paksa-paksa aku menolong menganyam tikar pada sebelah malam kerana aku letih. Maklumlah kerja pejabat.

Eh, tentu aku kena pakai kasut tumit tinggi, seperti Kak Siti jiran sebelah rumah. Aku tidak tahu dia kerja apa dan di mana pejabatnya, tetapi Kak Siti memang nampak anggun cuma kadang-kadang bajunya terlalu singkat; make-up di mukanya aduh...bapa selalu benar `mengucap' dan mak pula akan berkhutbah panjang di depanku.

"Tak boleh begitu...haram!"

Kalau sudah lama kerja dan dapat kumpul duit, pasti nanti aku boleh beli kereta seperti Kak Siti.

Rupa-rupanya aku masih di atas katil, belum lagi berwuduk untuk sembahyang zuhur. Bapa geleng-geleng kepala. Sebentar nanti kami akan sembahyang berjemaah. Bapa imam dan aku bersama emak makmum.

Selesai sembahyang, aku segera ke bilik. Seperti yang dirancangkan semalam, aku kenakan baju kurung biru. Baju ini aku kira adalah baju yang paling sesuai di antara bajuku yang lain. Aku berbedak ala kadar, bila aku kerja nanti, pasti aku mampu juga beli gincu bibir yang mahal-mahal. Tetapi aku berjanji dengan diriku, aku tidak akan keterlaluan memakai make-up. Aku berjanji.

Di kampung sekarang, ramai anak-anak muda sudah berhijrah ke bandar. Kononnya di bandar banyak pekerjaan menunggu. Di bandar sama ada kau ada ijazah atau tidak, sama ada kau ada kemahiran atau tidak, kerja tetap ada, yang penting mesti bersedia untuk bekerja rajin.

Yang tinggal di kampung hanyalah generasi tua atau orang yang seperti aku dan Hamid. Dua tahun lalu, ketika selesai saja SPM dan mendapat gred 2, macam-macam pekerjaan sudah aku minta dan kerap kali juga aku hadir temu duga tetapi semuanya tidak melekat. Rosni yang gagal SPM lagi dapat mengajar sebagai pembantu guru di tadika kampung. Pian yang dapat pangkat 3 yang keputusannya lebih baik daripada aku, sekarang dia bekerja sebagai kerani di pejabat yang berhawa dingin.

Aku tidak tahu apa malangnya nasibku tetapi antara faktor lain ialah, kerana keluarga aku tidak ada orang yang berpangkat `besar'; keluarga aku tidak ada yang berpengaruh. Kalau ada `orang dalam', pasti dapat. Adilkah begitu?. tetapi itulah yang berlaku. Malangnya yang menemuduga itu bapa saudara Pian, kalau bapa saudara aku, pasti aku yang dapat.

Semoga dengan temuduga kali ini aku berjaya. Itulah doaku. Rosni pasti tidak mengejek lagi, dan Pian pasti ingin berbaik semula denganku.

Dengarnya, perempuan yang bekerja lebih rajin dan diminati sekarang ini. Orang lelaki juga mahu perempuan yang ada kerjaya untuk dijadikan isteri. Betul tidak betul aku tidak tahu, tetapi banyak juga masalah kalau suami isteri bekerja. Masalah anak, masalah untuk menjaga anak dan bermacam- macam lagi. Sekarang untuk mendapatkan orang gaji amat payah, ramai yang lebih sanggup kerja di kilang daripada menjadi pembantu rumah. Ah, lupakan! Yang penting aku mesti menjawab dengan tenang dan bijak apabila ditanya oleh yang menemuduga nanti.

Hamid datang pada pukul tepat 1.30 petang. Mendengar bunyi enjin motosikalnya saja aku sudah dapat membayangkan senyum yang tidak lekang di bibirnya. Dialah satu-satunya anak muda yang masih betah tinggal di kampung. Kebun pisangnya sebagai tanaman komersil, tercapai juga cita- citanya apabila pihak bank sanggup memberi pinjaman. Dia gigih.

"Wah!, cantik benar kau hari ini, Gayah."

"Maafkah Gayah, kerana menyusahkan kau Mid..."

"Kalau sudah bekerja nanti, kau jangan lupa pada aku."

Hamid anak tunggal. Ayahnya meninggal ketika Hamid dalam tingkatan tiga. Sejak hari itu, Hamid menjadi petani sepenuh masa. Hendak ke sekolah, tiada siapa membiayainya. Kami menjadi sahabat sejak kecil lagi sehingga sekarang ini. Walaupun sekolahnya tidak sampai ke mana, tetapi dia bijak. Dia tahu apa yang perlu dilakukan. Sekarang, dia merupakan pemuda kampung yang berjaya. Tentang perasaannya, aku tidak tahu. Yang penting, sikapnya sungguh menyenangkan.

Mak dan bapa menghantar kami pergi sampai ke anak tangga. Jarak bandar dengan kampung bukan jauh sangat. Dengan bas perjalanan mengambil masa setengah jam. Kalau menggunakan motosikal lagi cepat. Nanti, kalau aku ada kereta, pasti boleh aku bawa emak dan bapa pergi ke kampung keluarga sebelah bapa di Bintulu dengan menggunakan jalan darat.

Hamid terus memacu motosikalnya dengan cermat. Hamid sendiri yang beli motosikal ini, dengan duit hasil daripada projek ikan air tawarnya.

"Kau belum kerja lagikah Gayah?"

"Belum kak,..."

Petang itu ketika balik dari kedai, terserempak dengan Kak Siti yang kebetulan hendak ke kedai belikan sabun katanya. Kak Siti merenungku, aku rasa gelisah dan seperti ada yang tidak betul bila dilihatnya aku dari atas sampai ke kaki kemudian dari bawah sampai ke kepala. Cacatkah aku? Itulah persoalan yang bermain di fikiranku pada petang itu. Renungan matanya yang bertahi lalat besar di sebelah kiri matanya, masih jelas dalam ingatanku.

"Kau masih muda, takkan hendak duduk di rumah...membebankan orang tua."

"Saya bantu bapa di kebun kak."

"Itu lain..."

Hina sangatkah bekerja di kebun? Bibirnya yang tebil mencebik dan menyakitkan hatiku. Kak Siti tentu terperanjat nanti apabila mendengar aku pergi temuduga. Kak Siti mesti terlopong, tak percaya kalau mendengar aku mendapat pekerjaan.

Bekerja di kebun, pekerjaan juga. Emak, bapa dan aku hidup juga dengan hasil kebun. Duit daripada jualan padi, jualan jagung dan sayur-mayur itu, bukan pendapatankah itu? Kenapa bila bekerja makan gaji, baru dianggap sebagai pekerja dan kalau jadi pekebun atau petani seperti tiada apa-apa sumbangan.

Aku tidak tahu apa anggapan kedua-dua orang tuaku terhadapku. Benarkah aku ini membebankan semata-mata kerana aku tidak bekerja makan gaji? Tetapi emak dan bapa tidak pernah pun mempunyai apa-apa reaksi, membuat aku tidak faham. Adakah aku anak perempuannya yang tunggal, maka emak dan bapa keberatan melepaskan aku bekerja jauh-jauh, atau mereka juga mengharapkan aku bekerja seperti orang lain di kampung. Entahlah!

Bagi aku tidaklah perlu pergi temuduga hari ini, kalau aku yakin betul dengan mengusahakan kebun bapa. Memang aku masih boleh hidup, masih boleh beli baju seperti orang lain. Apakah ini kesan daripada dasar penjajah yang mengasing-asingkan struktur kehidupan masyarakat di Tanah Melayu, dan secara tidak sedar, kalau bekerja sendiri itu dikatakan tidak bekerja dan kalau bekerja makan gaji itu, barulah dikatakan bekerja? Jadi, tauke-tauke yang punya bangunan tinggi melangit itu pun tidak bekerjakah?

Kalau aku tekun mengusahakan kebun bapa seperti Hamid, mungkin lima atau enam tahun akan datang aku mampu juga belikan kereta. Emak dan bapa tentu boleh berbangga juga. Kenapa harus dicemburui Pian atau Rosni, belum tentu gaji yang mereka terima bulan-bulan itu mencukupi. Kalau cukup sudah tentu pada sebelah malam, Pian tidak perlu berjual sate di Kubah Ria, seperti sekarang ini. Tetapi aku tidak menghina pekerjaannya. Sungguh, aku tidak menghina usaha Pian. Dia elok belajar berniaga.

"Eh, Gayah, kita sudah sampai, aku doakan kau berjaya kali ini."

"Mid, aku sudah buat keputusan."

"Keputusan?"

"Aku mahu terus berkebun, selama ini pun kita boleh hidup dengan bercucuk tanam..."

"Tapi, kita sudah berjanji dengan Kak Siti."

"Kak Siti?"

Rupa-rupanya Kak Siti yang memberitahu Hamid akan jawatan kosong ini. Dan aku silap juga kenapa tidak tanya jawatan apa yang kosong itu. Aku dalam keadaan serba-salah. Antara hendak pergi dengan tidak. Bukan kerana malukan Kak Siti, atau apa-apa, cuma aku sudah nekad untuk teruskan saja bekerja di kebun bapa. Hidup di kampung, membantu emak menganyam tikar. Selama ini pun emak dan bapa tidak pernah merungut aku tidak bekerja dengan kerajaan atau bekerja makan gaji. Emak dan bapa faham, bukan tidak pernah dilihatnya aku turun-naik pejabat minta kerja, mengisi borang yang sampai tiga empat muka, tidak juga mendapat kerja.

"Hamid, aku nak balik."

"Kau sudah fikir habis-habis, Gayah. Selama ini aku ingat kau tidak suka bekerja di kebun."

"Itu dulu, sekarang lain."

Hamid memandang tepat ke wajahku. Mungkin Hamid sendiri kurang percaya dengan apa yang aku ucapkan sebentar tadi. Memang, aku bukan rela sangat berpanas dan bercucuk tanam, kerjanya kasar, banyak menggunakan tulang empat kerat. Tetapi aku puas. Melihat sayur-mayur segar-bugar dan hasilnya aku juga yang merasa.

"Kau perempuan, kau tidak akan larat!"

"Kau boleh bantu aku..."

"Ha!, sudah sampaipun. Kak Siti lama dah menunggu. Mari masuk."

Kak Siti yang beriya-iya sangat itu akhirnya membawa aku dan Hamid masuk ke sebuah pejabat yang cukup cantik dan selesa. Semasa kami masuk semua mata tertumpu ke arah kami. Aku hairan, Hamid pun kelihatan hairan. Pejabat yang seperti aku gambarkan selama ini tidak seperti ini.

"Sebagai orang kampung, Gayah tentu pandai mengurut...kalau mahu pendapatan lebih Gayah boleh beri perkhidmatan extra..."

Aku dan Hamid berpandangan. Hamid menarik tanganku dan kami meluru keluar. Kak Siti mengekori kami dari belakang. Pelanggan yang masih berbaring di tempat mengurut itu juga turut tercengang-cengang.

"Orang seperti Kak Siti inilah perosak anak bangsa sendiri!"

Hamid yang naik radang dan tertipu dengan jawatan kosong yang dimaksudkan oleh Kak Siti tempoh hari lalu menumbuk muka Kak Siti. Aku tergamam seketika.

"Gayah, mari kita balik!"

Hamid menggenggam erat tanganku. Sepanjang jalan pulang, Hamid tidak bercakap sepatah perkataan pun.

No comments: