Pages

Tuesday, September 02, 2014

Apabila bulan terkesima

Oleh Abang Median Abang Said

"CELAKA! Dunia ini sudah edan agaknya. Dunia ini adalah dunia gila. Dunia jentaka! Mengapakah hukum telah menobatkan diriku untuk menjadi seorang pembunuh. Bukankah membunuh itu merupakan dosa segala dosa. Dosa besar!"

Agitasi itu berkembang di dalam dada sehingga meruap ke kepala dan bernanah di minda. Ira dihanyuti buat seketika oleh perasaan aneh yang mendalam. Fikirannya berputar-putar dan berpintal-pintal sehingga sukar untuk dileraikan. Ira tidak pasti akan kewajarannya untuk membunuh saudaranya. Suri? Semua ini terasa sulit. Akalnya menggelabah, fikirannya berserabut. Ira tercari-cari kepastian di dalam diri.

"Aku lebih rela menjadi seorang yang kurang ajar...seorang penderhaka terhadap tuntutan yang menyalahi hukum alam. Aku tidak mahu seperti Tuah yang terpaksa membunuh rakannya Jebat demi kesetiaannya kepada sultan. Biarpun tanpa rasa takut tapi tetap melutut, walhal titah harus disanggah kerana Jebat tidak bersalah. Aku tidak mahu menjadi bodoh seperti Sisipus, yang terpaksa menolak batu hingga ke puncak Olympus sebelum ditendang oleh Zeus. Biarpun Sisipus melakukannya kerana dosa."

Ira melantam di dalam dirinya sendiri. Sorotan dalaman yang semakin memberat menyula fikirannya.

"Ah! Aku tidak mahu membunuh dirimu Suri. Dikau saudaraku, kerana kau dan aku manusia. Cintaku pada kebebasan adalah cintaku yang utama. Kita sedarjat dan diciptakan dari tanah yang sama. Darah yang mengalir adalah darah yang merah. Darah seorang pahlawan yang hanyir dan tengi, tapi aku telah dinobatkan untuk mencempung nafasmu. Satu pernobatan hukum sedangkan kau akan hanya terbentur mengalah, membiarkan panahan takdir menghunjam dadamu. Jangan bersikap seperti Jebat, Suri! Jebat membiarkan Tuah merampas Taming Sari dari tangannya sehingga Taming Sari itulah yang menancap ke dadanya. Adalah lebih wajar jika kau cabutkan saja keris Parung Sari dari sarungnya yang telah kau langir selama tujuh malam Jumaat berturut-turut. Biar keris itu menginginkan kelazatan darah. Darah diriku Suri, saudaramu."

Ira tersentak dipalu oleh benturan suaranya sendiri. Ledakan suara parau itu hanya bergemuruh di dalam dada dan tersekat di hujung kerongkong.

"Jika kau melakukan perkara yang telah dinobatkan oleh hukum ke atas dirimu, jika kau memikirkan itu benar-benar hukum yakni mencempung nafas saudaramu sendiri, bermaknalah kau juga seperti Tuah, Ira. Kesetiaanmu membabi buta. Tuli! Perbuatanmu itu umpama menyiram air di gurun yang tandus hingga akhirnya kau mati kekeringan. Ini bukan paradigma kesetiaan tapi lambang ketololan. Sekarang, kau berada pada dua konklusi; jadi pembunuh atau penderhaka terhadap tanggungjawab. Tanggungjawab untuk membunuh. Jika amanat Betara Guru Sang Aria Putera dan titah Sultan Mansor Syah menggalaukan pemikiran Tuah, apakah yang meruwetkan pemikiranmu sehingga sanggup hendak membunuh saudaramu sendiri? Berfikirlah dahulu Ira, sebelum kerismu berbau darah."

Ira melongo - daerah mindanya seperti melayang menjangkau ufuk. Jiwanya menjadi kalut. Kewarasan fikirannya menjadi genting.

"Siapa kau?"

"Aku adalah suara yang menumpang jasadmu. Suara yang parasit!"

Ira bungkam sejenak, matanya merah. Dia berfikir untuk menemukan makna di sebalik kata-kata yang terlontar daripada suara yang menumpang di dalam jasadnya itu.

Matahari tiba-tiba menjadi zulmat dalam kesuraman bola api yang bertelau-telau. Ia diselaputi oleh awan tebal yang merungkaikan pijaran. Angin bertiup kencang, dedaunan berpencaran menghujani mayapada. Sinar indigo dan magenta yang tampak telah sirna - bertukar menjadi cahaya ungu jingga dan mungkin kerana tidak mampu memecah tembok awan hitam. Keunguan yang disepuh dengan cahaya jingga seolah-olah melumuri setanggi duka, yang melanda dan merentap lubuk hatinya.

"Adakah Suri telah berjaya menjaring matahari seperti yang diperintahkan, ataupun Suri hanya mampu merangkul bulan untuk dipersembahkan kepada diriku?" Ira bergumam kepada dirinya sendiri.

Deru angin semilir yang bergerak pantas melintasi pertentangan dalam dada memberitakan akan datangnya badai.

"Turunlah kau wahai matahari. Biar manusia dapat merasakan kepanasan yang tersimpan di dadamu. Biar jasad mereka lumer, luluh. Hah! Manusia tidak akan bebas dari melakukan dosa. Demikianlah! Dosa dan manusia tidak boleh dipisahkan. Di manakah hendak disimpan dosa-dosa itu, kalau tidak dicampakkan ke dalam api neraka."

Ira menjadi semakin kalut. Kekalutan itu semakin mengembang, terus berdahan dan beranting bahkan dengan subur menunjang dalam sanubarinya. Pandangannya kini sering melukiskan kerumitan yang terkadang merupakan lambang melankolik. Dunia ini seolah-olah telah terbalik.

"Bulan! Mengapakah kau hanya mengambang di malam hari. Adakah kau ingin menyelimuti wajahmu yang sendat dengan deru kesamaran hingga berselindung di sebalik kegelapan malam. Jejakkanlah kakimu di atas mayapada ini. Biarkan pungguk yang wilangon di atas pohon ara melepaskan rindu dendam kepada kecantikan wajahmu."

"Hentikan! Hentikan lakonanmu itu Ira. Kau bercakap seolah-olah orang yang dijerat sasau. Apalah ertinya itu semua kalau ia tidak menghasilkan keuntungan yang menyeluruh. Perintahmu berupa hukuman yang kejam. Mengapa tidak kau campungkan saja nafas Suri? Biar hatimu puas. Biar semua manusia bersorak, bersorak sepuas-puasnya. Selepas itu lakonanmu pun tamat. Aku sudah muak mendengar lakonanmu, Ira. Tidak ada kemanisan yang dapat kucicip dari ketegaran tubuhmu. Ya! Akulah si parasit yang malang."

Sukma Ira terasa melambung bagai digodam bayangan petaka dari suara yang menyelinap dari sisinya. Gerak mindanya terasa lumpuh sehingga sukar untuk membuat tebakan dari makna yang sukar dijangkau oleh gerak fikirnya.

"Apa yang kau menungkan lagi Ira? Bukankah kematian Suri merupakan titik klimaks. Titik akhir! Semua orang ternanti-nanti akan kematiannya. Lakukan sajalah pembunuhan itu. Biar penantian berakhir dan penyeksaan mereka tamat sekaligus. Bukankah penantian itu satu seksaan?"

"Jangan Ira! Jangan kesasar sehingga kau kuraukan kelamkari hatimu. Jangan secara semberono kau lakukan pembunuhan. Berfikirlah dengan akalmu yang waras. Segalanya berada di hujung fikiranmu!"

"Semua orang sudah tahu akan kematian Suri, Ira. Oleh itu, jangan kau jadi pengkhianat terhadap tanggungjawab kerana pengkhianatan itu akan menguncupkan bunga hati yang kekar untuk melihat kematiannya dan pasti mereka akan kecewa. Nihil! Jika Suri tidak rebah di tanganmu, semua ini akan menjadi tunggang-langgang...berserabut tanpa klimaks dan susunan plot yang hambar. Tuntaskan tekadmu supaya kau boleh melakukan pembunuhan itu."

Suara itu menggerutup, bersipongang menujah ke dalam dada dan mencalarkan perasaannya. Hatinya umpama disiat-siat dengan sembilu. Bisanya menusuk ke dalam kalbu.

"Jangan kau pukul gong kematian itu, Ira!"

"Pukul!"

"Jangan!"

"Bunuh!"

"Jangan!"

"Diaammm!"

Serta merta perasaan marah yang luar biasa menyeruak di dalam batinnya. Bayangkanlah betapa gemuruh darah berderau di buyung dadanya. Kepala Ira menjadi berat dengan pelbagai agitasi yang berkembang di dalam dadanya. Mindanya digumpali oleh pelbagai persoalan.

Sesungguhnya persoalan ini semakin kerap mengetuk pintu fikiran. Ketukan ini dari sehari ke sehari semakin kasar dan memukul hingga ke sudut-sudut fikiran. Dalam diri Ira sendiri kegelisahan meronta-ronta dengan kekalutan, bagaikan masing-masing cuba hendak mencari kejelasan, tetapi semakin mengabur.

Ira benar-benar gelisah dengan persoalan yang berkelintau di cepu kepalanya; lebih gelisah dari segala kegelisahan yang dialaminya selama ini. Ira merenungi kedua-dua belah tangannya, seolah-olah tangan itu sedang menampung segala rasa bersalahnya. Haruskah dia menjadi seorang pengkhianat terhadap tanggungjawab, ataupun wajarkah dia menjadi seorang pembunuh?

Yah! Ira membuka kedua-dua belah tangannya sambil melompat seperti burung Kutilang yang mahu terbang. Ira ingin melupakan segala bebanan yang pahit dan rawan. Dia ingin menjejakkan kakinya ke ruang katarsis. Dia ingin melayarkan bahtera kehidupannya ke pulau Zenana. Tetapi, Ira tetap Ira yang sentiasa membawa rawan dan melankolisnya ke mana-mana.

Sejenak kemudian, Ira terdengar alunan muzik yang terlalu azamat bunyinya. Bunyi yang bukan kepalang, bunyi serunai dengan nafiri, bunyi gendang dengan gong, bunyi candi dengan muri, bunyi kopak dan kecapi bersipongang hingga ke hujung padang. Yang muda memetik perirana. Yang tua kerepot bermain samisen hingga menimbulkan kegawatan.

Kesenian bertukar menjadi rapsodi. Sumbang! Ada yang sedang berdikir dan berlagu-lagu. Tidak kurang pula yang berpencak, bersilat. Gadis-gadis manis yang berkebaya sempit dan jarang sehingga menampakkan lurah-lurah yang memberahikan sambil mengepit dulang di pinggang mereka yang ramping. Semuanya menari-nari seperti wujudnya pesta pora.

"Wahai sekalian manusia, janganlah kamu bersuka-ria amat, kerana kata orang tua-tua dahulukala: tiaptiap suka itu duka kesudahannya. Oleh itu bersederhanalah dalam segala hal."

Ira seolah-olah mengulangi nasihat tuan Puteri Enam akan kelakuan saudaranya, tuan Puteri Bongsu yang bermain ketipung sehingga tidak sedarkan diri seperti yang diriwayatkan dalam Hikayat Malim  Deman.

Dengung suara mereka semakin bergema. Yang muda masih lagi memetik perirananya. Begitu juga dengan yang lain. Mereka tertawa terpingkel- pingkel sehingga terbit suara sumbang dalam nyanyian yang mereka persembahkan:

...dan sedarkah kau, apa yang kau lakukan itu?

Satu hukuman yang tidak adil

kau guratkan di atas hamparan perasaan

jangan kau bakar kitab-kitab hukum

cabutlah akarnya yang tegak di hatimu.

Bagaimanakah seorang zalim dapat memerintah

orang bebas yang berharga diri

menodai kebebasan yang kau junjung tinggi

mencorengkan arang pada harkat martabat

kemanusiaan peribadi.

Ingat! Beban itu menjadi pilihanmu

satu paksaan di atas pundakmu...

"Suri, ketahuilah bahawa takdir tidak dapat dipinta, oleh itu kau jangan melata-lata. Takdir tidak dapat dimungkiri, sebab itu kematianmu semakin hampir. Kau pula jangan terlalu memikir, jangan pula terlalu khuatir, itu sudah suratan takdir. Maafkan diriku Suri, tidak dapatku melawan takdir yang dinobatkan ke atas dirimu."

Benturan suara itu lahir dari kata batin, terangsang dari lubuk perasaan, yang mendalam dari gumpalan rasa hati yang suci, lagi lestari.

Ira terkesima mendengar benturan suaranya yang menyeruak di dalam dirinya sendiri. Jiwanya terpukul. Suaranya tertampan sehingga ke relung- relung fikiran yang mengocak hati dan perasaan. Dia teringatkan cerita di dalam Hikayat  Gul Bakawali. Ah! Bukankah di dalam hikayat ini, Zainal Muluk telah buta matanya tatkala terpandang paduka anakandanya Tajul Muluk, membuat baginda bertitah kepada Perdana Menteri supaya menghalaukan saja anakandanya yang pada anggapannya bedebah itu.

"Ini pertalian di antara anak dan ayah, Suri. Apatah pula kita yang hanya bersaudara anjing. Seayah, tapi ibu lain-lain."

Iraaa!

"Lakukan saja pembunuhan itu!"

"Ira! Cabutkan saja kerismu dari sarungnya, biarkan ia mabuk darah."

"Ira! Kematiannya adalah tilik klimaks, akhiran dari sebuah penantian."

"Iraa! Jangaaannn!!!"

Ira merasakan intuisinya diragut dan dikoyak oleh segala rasa hampa tidak bertempa. Daerah mindanya sendat oleh bauran mimpi semalam. Dalam mimpinya, dia terlihat seekor burung bulbul menyenandungkan kidung di tepi kawah mengepul sebuah gunung berapi. Dan dia melihat sekuntum bunga lili menguncupkan rangginya di atas timbunan salju, lalu seorang wanita tanpa busana menari-nari di tengah perkuburan sedangkan seorang bayi tertawa riang gembira bermain dengan tengkorak manusia.

Bulan gerhana dalam cahaya ungu-jingga mengambang di langit yang merekah dan koyak-rabak - menampakkan lapisannya yang ketujuh. Matahari terbelah sehingga mengelilingi bumi seolah-olah bayangan petaka yang celaka. Maut!

"Tiddaakkk!!!"

Ira merasa batinnya terseret ke satu alam pidana. Mindanya terasa semakin terluka. Sayup-sayup kedengaran denak yang ditambang berkokok. Kokokan ini dibalas oleh kinantan suci.

Pantang seekor ayam laga membiarkan kokoknya tidak bersambut, seperti ayam yang pengecut. Kecut! Ketitir jantan bertutu disambut oleh bunyi balam tembaga dengan berbagai nada yang mengundang petaka hingga bergendang ke ruang angkasa.

Teja kegawung masih lagi berbaris di kaki langit. Matahari masih lagi tergantung di dadanya. Bulan masih lagi mengitari bumi. Pungguk masih lagi wilangon merindukan bulan. Angin Sakarat berhembus tiba-tiba; pawana yang mengundang petaka.

"Akhirnya kau datang juga Suri. Kedatangan yang disambut dengan tabela. Semua orang ternanti-nanti akan kehadiranmu untuk menghampiri puncak penantian. Aku pasti, bahkan sudah terlalu yakin bahawa kau tidak akan dapat menjaring matahari; dan kau juga tidak akan mampu merangkul bulan. Bukankah itu telah dirancangkan. Tidakkah kau lihat helang kangar yang terbang ke ruang angkasa mengkhabarkan kematianmu." Suara Ira bergema lagi di dalam relung sukma.

Sayup-sayup kedengaran suara sumbang menyanyikan lagu tanpa nada.

Suri

kedatanganmu bersama obor hitam

arahan yang membeban adalah hukuman maut

yang tak pernah lena

hadirmu tanpa cendera

yang hanya menumpang cahaya.

Lagu ini digubah oleh kenangan, dikumandangkan oleh kepasrahan yang menyingkirkan kebenaran. Ia dilipat rapat oleh hikayat, diulangulang oleh mimpi yang tersembunyi; disembunyikan oleh kesedaran siang. Ira terasa dirinya turut sama menyanyi. Suara di dalam relung sukmanya menggemakan nyanyian tanpa seni kata; sebuah lagu yang bernafas dalam benih hati.

"Kau gagal Suri! Kau gagal melaksanakan perintah...amanah yang telah diberikan."

"Ira Kendana, telah Suri jelajahi hingga ke hujung padang untuk mengejar matahari dan bulan. Telah sedarsawarsa lamanya Suri menanti namun matahari tak pernah lena. Kukejar siang, malam yang datang. Kukejar malam, fajar yang menyingsing. Ah! Apakah maknanya semua ini, jika cahaya bulan itu hanya palsu, dan jaring yang kutebarkan hangus dimamah mentari."

"Tidak ada yang mustahil di dunia ini, Suri. Adakah kau tidak mempercayai bahawa Rasulullah telah menaiki buraq untuk sampai ke bulan dengan sepantas kilat. Tidakkah kau percaya bahawa Nabi Musa telah menjadikan lautan seperti hamparan padang. Tidakkah suatu hari nanti Dajal laknatullah akan mempersembahkan matahari di tangan kirinya dan tasik al- Kausar di tangan kanannya kepada umat manusia. Kewajarannya tetap saut, Suri!"

"Berantakan amat. Kau bercakap seperti orang yang dipanah kelinglungan, bang Ira. Berbelit-belit sehingga sukar untuk dimengertikan. Sebagai seorang manusia, sememangnya kita mempunyai banyak kelemahan dan kenyataan ini wajib kita telan. Jika abang merasakan diri abang kuat, hebat, mengapa tidak abang saja yang pergi menjaring matahari, dan merangkul bulan untuk dipersembahkan kepada diriku."

"Jangan bersikap kurang ajar, Suri! Nanti buruk padahnya."

Ira mencabut keris tujuh luk yang tersisip dipinggangnya. Sudah lama keris itu tidak mabukkan darah. Ira membuka langkah pencak silat sentrum, yang telah lama bersemayam di batinnya. Ira merasakan dirinya macam belun dan mahu terbang tinggi; ada benda yang bergulung di dalam dadanya.

Fikirannya pada waktu itu terlempar pada cerita Hikayat Amir  Hamzah yang menyemarakkan lagi watak pendekar di benih hatinya yang dipekup kekalutan. Bukankah dia merupakan lagenda moden. Penuh dengan metos. Kehebatannya digambarkan mengatasi ketangkasan Panglima Salleh Salempang Merah. Tetapi, Ira merasakan dirinya sebagai pendekar yang hipokrit. Penuh dengan kebodohan dan kegilaan.

Ira sedar, dia lebih hipokrit daripada Raden Inu Kartapati yang sentiasa saja menyamar, seperti yang digambarkan di dalam Hikayat Panji Semirang. Dia lebih bodoh daripada Salina yang membuka selubung harga dirinya, sanggup telanjang demi kecintaannya kepada Abdul Fakar. Ira merasakan imannya bertunjangkan kemunafikan, yang menelurkan kepalsuan. Seluruh jiwanya kosong. Itulah sifir-sifir kehidupan. Ah! Bukankah kematian itu satu kenikmatan bagi kaum penderita; kaum yang sering dikejar kepikunan dari tangan sang waktu.

"Maafkan diriku, Suri. Tangan batinku terasa berat amat untuk mencempung nafasmu. Ah! Berantakan...keris ini pasti akan menancap tepat ke iga kirimu dari tangan zahirku yang musakat ini."

Ira ingin bertempik sepuaspuasnya, namun suaranya tersekat di hujung kerongkong. Suaranya hanya terbit di dalam minda rasanya.

"Ira!""

"Jangan kau palu gong kematian."

"Pukul!"

"Bunuh!"

"Suri, bersiap sedialah kau menanggulangi tusukan keris dari tangan zahirku ini."

Bong...bong...bong...

"Nah! Atas dasar tanggungjawabku kepada dirimu!"

"Kau pembunuh Ira! Kau pembunuh!"

Ira merenung kerisnya yang dilumuri darah hanyir. Maung amat.

"Kau manusia yang bodoh! Dungu! Pendekar ahmak! Kau biarkan mereka melenyek-lenyekkan martabat, menginjak-injak maruah yang kau miliki hingga kau bisa menjadi pembunuh. Kau insan yang bercucuk hidung!"

"Bang Ira, sedarilah cahaya mentari cuma sementara, em...cahaya bu..lan itu...palsu!"

Tatkala Suri rebah ke tanah, lampu dipadamkan. Tirai dilabuh dengan perlahan. Tepuk, tempik sorak bersipongang hingga ke segenap ruang dewan. Sememangnya lakonan mereka amat mengesankan hingga menyihirkan atma yang bercahaya - nyaris tampak dari luar.

Ira ingin menangis; hatinya yang diruntun kepiluan benar-benar terhiris. Jiwanya seperti disongsong angin dari perut yang mengocak hati dan perasaan. Kesayuan menikam jiwanya yang sudah lama dibawa oleh bayangan keresahan. Segala rasa kesayuan tertumpah pada jasad Suri yang berlumuran darah.

Sekonyong-konyong, minda rasa Ira sendat berbaur dengan kata-kata Kahlil Gibran. Di dalam tamsilnya The Prophet yang dialunkan dalam ritma puisi lirik prosa.

...Si durhaka sering kali jadi korban daripada korbannya

dan lebih sering lagi si terkutuk menjadi kuda

si penanggung beban...

...Tidak dapat kita pisahkan antara yang adil

dengan yang zalim.

Antara yang baik dengan yang jahat

keduanya, tergelar di hadapan wajah sang matahari...

"Tiddaakkk!"

Ira meluru ke hadapan pentas lantas merentap tirai yang seolah-olah menyelubungi dosanya. Penonton masih lagi terpaku di tempat duduk mereka masing-masing sambil bersorak seperti opera ini belum lagi usai.

"Kain tirai ini tidak akan dapat menyelubungi dosa dan harga diriku. Ah! Mengapakah aku harus mengoyakkan dada, hingga orang boleh mengukur nilai dan martabatku yang telanjang, tidak terhalang?"

Penonton masih lagi bersorak. Mereka seolah-olah terpukau, sehingga tidak sedar apa yang mereka lakukan.

"Hah! Orang yang membunuh tidak akan bebas dari tanggungjawab atas pembunuhannya. Kehidupan ini adalah satu tekad keputusan. Yang membunuh wajib kena bunuh. Ini bukan satu kewajaran, tapi satu kemestian. Ira menjulang keris yang tergenggam erat di tangannya. Bagi dirinya, mati adalah satu kenikmatan bagi kaum penderita. Semangatnya telah mati sebelum jasadnya mati.  Kematian sering membayangi dirinya. Ira sudah nekad sekarang. Kematian adalah titik akhir sebuah kekalutan yang sering bergentayangan di ruang minda.  Kerisnya pasti memuakkan darah."

"Hentikan! Hentikan semua ini!"

Ira tersentak. Tepukan penonton semakin bergemuruh dan bergemerincing mengasak bumi.

"Pengarah?"

"Ira! Mengucap Ira, bertenang! Kelakuanmu seperti orang yang hilang akal."

"Kau yang menyantaukan pemikiranku, sehingga aku boleh menjadi seorang pembunuh."

"Apa yang kau lakukan itu hanya opera, Ira. Lakonan semata-mata. Apa yang kupentaskan ini adalah simbolik dari sebuah kehidupan."

"Tidak pengarah! Pengarah tidak akan bebas dari tanggungjawab atas arahannya, dan diriku...tidak akan bebas atas pembunuhan yang telah aku lakukan."

Ira menghayun kerisnya ke kiri, ke kanan. Tepukan penonton semakin bergema. Kelakuan Ira pada waktu itu seperti orang kerasukan isim, seperti orang yang kena pukau. Dia benar-benar gila sekarang.

"Jangan Ira! Jangaannn!"

"Irraaaa!"

Di atas pentas, kelihatan Suri bertelut menyembamkan mukanya ke jasad Ira yang berlumuran darah. Keris masih lagi tergenggam erat di tangan kanannya. Sementara itu, pengarah terperenyak di hujung pentas, seolah- olah tidak percaya dengan apa yang telah berlaku. Inilah akhiran dari sebuah lakonan. Tepukan tidak lagi kedengaran. Penonton melongo sambil berkata: "Tuhan, apakah maknanya semua ini!"

Dalam pada itu terdengar suara Ira bergetar dalam kesayuan:

Nun di sana tempatnya

teja dilabuh senja

bulan terkesima

apabila matahari tak bercahaya

menyepuh kirana

ke puncak wijaya...

No comments: