Pages

Wednesday, September 03, 2014

Pantun Seribu Liku

Oleh Aini Shahrizan

Burung merpati terbang seribu

Hinggap seekor di tengah laman

Hendak mati di hujung kuku

Hendak berkubur di tapak tangan.

SUARA nyanyian itu begitu merdu. Aria tidak pernah mendengar suara merdu seperti itu. Ianya gemersik, mendayu-dayu dibawa angin yang lalu. Sayup- sayup tetapi jelas kedengaran meruntun hati dan jiwa yang mendengar. Suara itu seperti suara penyanyi kesayangan ramai, Siti Nurhaliza...tetapi tidak... tidak... mungkin seperti suara Anis Salwa juara bintang klasik RTM 2007, tapi... juga tidak, mungkin suara Rafeah Buang, lemak, manis dan merdu....

Oh!... Aria mengeluh, mungkin juga kombinasi ketiga-tiga penyanyi kegemaran ayahnya itu. Aria bingung memikirkan kemerduan suara yang melampau yang telah menyiat-nyiat perasaan dan jiwa raganya kini.

Suara itu berulang lagi dengan lagu yang sama. Sungguh pelik sekali bisik Aria. Kebiasaannya burung merpati akan hinggap beramai-ramai di satu tempat, tetapi lagu itu menyatakan hanya seekor yang hinggap di tengah laman.

Kemudian rangkap `hendak mati di hujung kuku', "Ini lagi aneh. Bagaimana? Apakah maksudnya?" Aria tidak dapat memberikan jawapan kepada soalannya.

`Hendak berkubur di tapak tangan', "Ini lagi gawat." Aria menggeleng- gelengkan kepalanya. Tidak mampu menterjemahkan seni kata dalam nyanyian itu.

Selama ini Aria hanya bermain dengan komputer. Sebut saja istilah komputer di dunia ini, Aria akan dapat menterjemahkannya. Sebagai Juru Analisis Sistem di sebuah syarikat telekomunikasi terkemuka, Aria seorang bijak dan berbakat. Beberapa sistem yang memudahkan pekerjaan sudah diciptanya di dalam syarikat itu. Beberapa kali juga dia mendapat anugerah pekerja terbaik pada peringkat unit dan seterusnya pada peringkat nasional. Siapa tidak kenal Aria Mahusin. Setiap kali juga Aria mendapat bonus cemerlang yang berjumlah tiga kali gaji bulanan. Aria amat bangga dengan pencapaiannya.

Kebanggaan itu kemudian berubah menjadi sombong. Aria sering kali menyakitkan hati ramai orang di sekelilingnya. Hanya bosnya yang tidak diperbodohkannya.

Orang lain telah lali dengan perangainya yang suka memaki dan menyifatkan orang lain bodoh dan dia seorang saja yang pandai.

Salah seorang yang sering menjadi bahan bulinya ialah Nur Tejawati yang juga pegawai komputer di pejabatnya. Aria jatuh hati kepada gadis itu sejak hari pertama dia melaporkan diri untuk bertugas. Namun perhatiannya tidak dibalas. Nur Tejawati amat marah dengan sikap Aria yang suka memperbodohkan orang lain.

Walaupun agak kaget dengan ketampanan Aria, Nur Tejawati tidak bersedia menerima calon kekasih yang suka membanggakan diri dan sombong. Baginya sikap baik berasal dari hati yang baik.  Hati yang ikhlas dan baik akan mendapat keredaan Allah SWT. Nur Tejawati tidak mahu dilabel sebagai kekasih si sombong dan bongkak.

Burung merpati terbang seribu

Hinggap seekor di tengah laman

Hendak mati di hujung kuku

Hendak berkubur di tapak tangan.

Kembali suara itu menerjah anak telinga Aria. Aria tidak dapat menahan gelodak jiwanya. Dia mesti tahu siapakah yang empunya suara teramat merdu itu.

Aria melihat sekeliling. Yang ada hanyalah kehijauan belantara.  Pohon- pohon tinggi menjulang meredupkan suasana.  Di mana-mana adalah pepohonan hutan belaka.  Aria tidak tahu bagaimana dia boleh berada di situ. Suasana hening. Bunyi unggas pun tidak kedengaran.

Angin berhembus lembut membawa semerbak wangian yang tidak dapat ditafsir baunya. Aria terkesima dengan bauan itu. Tubuhnya seolaholah dibuai oleh hembusan angin itu menyebabkannya berasa terawang-awangan. Dengan tiba-tiba sesusuk tubuh berdiri di hadapannya.  Tubuh itu disaluti pakaian beraneka warna yang sungguh indah. Tubuh itu milik seorang wanita yang amat cantik. Matanya berkilau di balik sinaran mentari yang masuk mencelah melalui pepohonan di sekeliling kawasan itu.

Rambutnya ditutupi selendang panjang berwarna jingga. Di kepalanya terlekat sekuntum bunga mawar merah. Tubuhnya disaluti pakaian keemasan daripada broked. Kakinya memakai gelang emas bergelung. Di pergelangan tangannya dia memakai gelang emas yang sama seperti di kakinya. Jari jemarinya dipenuhi cincin emas berbagai jenis.

Memerhatikan wanita itu dari hujung rambut ke hujung kaki, Aria amat terpegun.  Mulutnya ternganga tidak dapat menyebut sepatah perkataan pun. Dia tidak dapat untuk memuji atau menegur kehebatan wajah dan cara pakaian wanita itu yang amat asing baginya.

Beri sauh kepada si dagang

Jamu mereka beringin sakti

Dari jauh adinda datang

Bertemu kanda ingin sekali.

Tiba-tiba wanita itu menjual pantun kepada Aria. Tuturnya begitu sopan dan lembut sekali. Aria teringat artis Nasha Aziz menuturkan kata-kata dalam cerita Arjuna di TV3.

Namun Aria tidak tahu hendak memulakan bicara. Lenggok pertuturan wanita itu melemahkan seluruh tubuhnya, seolah-olah ada sepah sakti yang telah dihembuskan ke tubuhnya.

Namun tidak semena-mena Aria bersuara juga.

"Cik adik, siapakah cik adik ini? Mengapa cik adik ada di sini? Mengapa cik adik berpakaian begini? Adakah cik adik sedang berlakon teater?" Aria mengeluarkan pertanyaan bertalu-talu. Perasaan ingin tahu begitu membuak sekali.

"Tuan hamba, nama hamba adalah Tun Teja. Bukankah tuan hamba yang teringin benar bertemu hamba? Jika tidak tuan hamba menyeru hamba tidaklah hamba sampai ke mari." Wanita cantik menjawab dengan lembut.

"Bila pulak aku menyeru dia ni?" Aria berbisik di dalam hatinya

"Tuan hamba, hambalah yang menyanyikan lagu burung merpati itu. Hamba menyanyikannya untuk kekasih hamba Hang Tuah. Tetapi tiba-tiba saja hamba mendengar tuan hamba menyeru hamba berulang kali. Sebab itu hamba datang. Mungkin tuan hamba inginkan pertolongan?"

"Oh .. . kalau begitu saya ingin memberitahu cik adik yang suara cik adik teramatlah merdu. Saya tidak pernah mendengar suara semerdu ini. "Aria berhenti sebentar mengambil nafas sebelum berkata semula, "Lagi satu saya tidak faham apa yang cik adik maksudkan dalam nyanyian itu." Aria menjawab dengan panjang lebar.

"Terima kasih kerana memuji hamba. Rasanya ada ramai lagi manusia yang mempunyai suara yang lebih merdu daripada hamba. Cuma mungkin tuan hamba tidak pernah ambil peduli." Tun Teja berhenti sebentar mengambil nafas.

"Nyanyian hamba itu adalah daripada pantun empat kerat. Pantun adalah milik orang Melayu turun-temurun yang tidak lapuk dek hujan dan tidak lekang dek panas.

"Melalui pantun, sesiapa pun boleh melepaskan segala yang terbuku di hatinya tanpa menyakit hati orang lain.  Bahasanya yang indah dan mempunyai bahasa kiasan yang unik."

Tun Teja tersenyum. Senyuman yang paling cantik di dunia maya. Aria hampir terjatuh dari tempat dia berdiri.

"Atau kalau tuan hamba inginkan penjelasan lanjut, tuan hamba boleh buka internet dan carilah maksud pantun itu. Sudah tentu tuan hamba akan berjumpa dengan maksudnya."

Tun Teja cuba memberi solusi.

Tiba-tiba angin lembut berhembus entah dari mana arahnya. Aria kembali menjadi terawang-awangan.Wanita cantik itu hilang dari pandangan.

"Tun Teja, Tun Teja, ... jangan pergi. Tun Teja ... " Aria menjerit memanggil wanita cantik itu. Ada banyak persoalan lagi yang ingin ditanyai.

"Aria, Aria, bangunlah. Kau tidurlah! Kau bermimpi pada siang hari ni." Satu tangan kasar menggoncang tubuh Aria.

Aria terjaga, memandang sekeliling. Beberapa orang kawan sekerja tersengih memandang ke arahnya.

Aria tersenyum malu. Baru dia sedar dia tertidur di meja kerja.

Jam menunjukkan satu suku tengah hari. Waktu Zuhur akan masuk sebentar lagi. Aria meninggalkan meja kerjanya. Perutnya berasa lapar.

Malam itu di rumah bujangnya, Aria menghadap skrin komputer. Melayari internet mencari maksud pantun di dalam mimpinya. Lebih dua jam mencari tiada satu pun laman web yang boleh memberi jawapan kepada persoalan itu. Aria menjadi hampa.

Selama ini tidak pernah dia merasai kesukaran menyelesaikan masalah di dalam tugasannya. Dia pakar komputer, dia pekerja terbaik, malahan di universiti pun dia pelajar terbaik di bidangnya. Dia tidak percaya dia boleh dikalahkan hanya oleh sebuah pantun.

Pencariannya diteruskan lagi. Pantun Melayu Lama. Dia menaip di butang carian.

Ada banyak juga blog mengenai pantun Melayu.  Akan tetapi bila diklik yang terpapar adalah iklan-iklan yang tidak berkenaan.

Akhirnya Aria menemui Blog Dr Buih-Buih. Satu pantun yang indah disalinnya ke dalam buku nota.

Tegak rumah kerana sendi

Rosak sendi rumah binasa

Tegak bangsa kerana budi

Rosak budi bangsa binasa.

Walaupun kurang arif mengenai pantun itu, bunyi yang dihasilkan menimbulkan irama yang puitis.

Aria menemui pula blog Resensi Klasik dengan tajuk Pantun Melayu Hebat. Beberapa pantun yang menarik hatinya dicatat ke dalam buku nota.

Apa guna orang bertenun

Untuk membuat pakaian adat

Untuk apa orang berpantun

Untuk memberi petua amanat.

Apa guna daun kayu

Untuk tempat orang berteduh

Apa guna pantun Melayu

Untuk tempat mencari suluh.

Walaupun Aria tidak dapat mencari tafsiran pantun dalam lagu merpati, sekurangkurangnya dia kini telah mulai memahami pantun Melayu.  Pada pemahamannya untuk mengenali orang Melayu, fahamilah pantun mereka.

Pagi itu Aria ke pejabat dalam keadaan tidak cukup tidur. Pencariannya akan pantun sangat mengasyikkan hingga dia tidak sedar telah melayari internet hampir sepanjang malam.

Ketika melalui meja kerja Nur Tejawati, Aria tersenyum memandang gadis itu. Dia memberi salam. Nur Tejawati hairan kerana tidak pernah ketuanya itu memberi salam dan tersenyum manis kepadanya. Sesungguhnya sebuah senyuman boleh mencairkan sekeping hati. Tidak seperti hari-hari sebelumnya, Nur Tejawati dapat melihat keikhlasan dan rasa hormat kepadanya dalam senyuman itu...

Nur Tejawati tersenyum lebar melihat skrin komputernya. E-mel yang baru masuk datang daripada Aria Mahusin berbunyi,

Burung merpati terbang

seribu

Hinggap seekor di tengah

laman

Hendak mati di hujung kuku

Hendak berkubur di tapak

tangan ...

Info

NOORINI Kadir, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkarya sejak dari sekolah menengah dan pernah berkhidmat dengan syarikat telekomunikasi tempatan sebelum memilih untuk bersara awal.

No comments: