Oleh Jais Sahok
"MENGAPA kamu mengkhianati bangsamu?" Angkiu menyinga dengan mata dan mukanya yang merah. Nyalaan dan bakaran langkau itu benar-benar meranapkan seluruh diri dan kemanusiaannya. Dia melihat alam sekelilingnya kabur, berpinar dan lantai semakin bergayut bagai duduknya di atas lanang sahaja. Gaya duduknya pun sudah agak longlai, sesekali tertolak ke kiri dan sesekali tertolak ke kanan, kadang-kadang ke belakang.
"Siapa kata?" Langkau tidak mahu meletakkan dirinya terlalu rendah. Dia mesti menyahut. Biar orang tahu maksudnya dan mengapa dia menentangnya. Dia tahu, perjuangannya memang sukar diterima orang.
Dia sebenarnya bukan menentang Angkiu, dan secara kebetulan pula Angkiu yang menentangnya. Dia mesti bertahan walau apa pun terjadi. Keputusan itu sudah bulat di kepalanya. Apa jadi pun jadilah. Dia tidak kisah.
Dia mengerling makanan di hadapannya di ruang tamu rumah Encik Rabe yang besar itu. Kalau apa-apa berlaku dia akan mengatur langkahnya sedemikian rupa. Dia mencari-cari dan meneliti celah-celah pinggan mangkuk yang berisi pelbagai hidangan yang dapat dilaluinya kalau dia perlu mengelak pukulan Angkiu.
Dia perlu mengelak serangan Angkiu. Dia tidak kisah kalau semangkuk dua hidangan terbalik dan tumpah. Yang penting, tidak terlalu banyak makanan yang akan musnah disebabkan dia atau pun Angkiu.
Tetapi yang dia pasti, kalau Angkiu menyerangnya, dia tidak akan membiarkannya begitu saja. Namun, sedapat-dapatnya dia mahu menampakkan kepada semua orang yang berada dalam majlis itu bahawa dia sedang bertentangan dengan sesuatu, bukan dengan Angkiu. Dia membantah sesuatu. Baginya tentangan itu baik. Dia bertekad meneruskannya.
"Aku yang kata!" Angkiu begitu megah dan bangga. Sombong. Begitu angkuh lagaknya. Suaranya tinggi - disengajakan. Dia mencabar dan mengacah.
"Mengapa?" Langkau terpinga-pinga antara berani dengan tidak untuk terus berdepan dengan Angkiu. Angkiu semakin panas dan mabuk. Bebola matanya merah membiji saga. Langkau bukan takut kalah tetapi takut kepada perasaannya sendiri.
"Kamu memang sudah kurang ajar." Kata-kata Angkiu menyerang lagi walaupun dia tunduk saja. Kali ini kata-kata Angkiu lebih pedas. Terpancul juga liurnya bersekali dengan kata-katanya itu. Langkau berasa begitu tercabar, terlalu tercabar.
"Mana boleh, itu cuma tuduhan." Langkau cuba membantah. Terlonjak semangat dan naluri juangnya.
"Memang kamu sudah lupa daratan. Kamu sudah berlagak sombong. Mentang-mentanglah kamu orang bekerja dengan pemerintah, mampu memberi arah kuning atau hitam warnanya, sombong bagai langit ini sudah rendah bagi kamu." Angkiu menyerang lagi. Dia mengepal tinjunya seolah-olah bergocoh ialah jalan penyelesaian yang sudah dibayangkannya terhadap tuduhannya.
"Mulut kamu jaga sikit," kata Langkau lembut mesra, cuba mengelak sebarang pertembungan fizikal antara mereka.
"Kamu tu mabuk." Dia cuba menggali ingatan dan kesedaran Angkiu - cuba untuk mengembalikannya kepada dirinya.
Tetapi Angkiu menafikannya dengan selamba dan garang kemudiannya. Dia hilang pertimbangan kemanusiaannya.
"Siapa kata aku mabuk? Aku tidak kata aku mabuk." Badannya terhayun ke kanan. Goyah ke kiri. Langkau cuma mengerlingnya.
"Aku yang kata?" Bentak Langkau agak kuat supaya Angkiu sedar akan maksud dan tujuannya.
Angkiu merenungnya dengan renungan singa sedang melepaskan tahi kerasnya yang sendat. "Celaka kamu?" Sergahnya dengan kuat.
Berdesing telinga Langkau mendengar kata-kata yang tidak pernah disergahkan kepadanya itu. "Kamu yang celaka." Dia mengangkat semangatnya sendiri. "Tidak pandai menjaga lidah kamu sendiri. Memberi malu bangsa sendiri. Sudah sejak tadi kukatakan, kamu memang pemberi malu bangsamu sendiri." Langkau memekik dengan kuat.
Seisi pengunjung majlis gawai itu menumpukan pandangan kepada adegan mereka berdua.
"Siapa kata?" Angkiu masih marah, semakin marah.
"Aku kata! Kamu mahu apa?" Langkau mahu menampakkan kewajaran tuduhannya.
"Ehhhhhhhh..., berani betul!" Angkiu berdiri dan mengacah untuk menerkamnya. "Ayuhlah!" Angkiu menerkamnya dengan melompati hidangan yang terletak antara mereka berdua. Banir dan Lonjang yang duduk bersebelahannya tidak dapat menyekatnya atau menerkam kakinya.
Angkiu terjatuh ke atas makanan itu dan kepalanya terkena pada lutut Langkau. Botol langkau yang dihentakkannya tadi bergolek menumpahkan kandungannya yang memabukkan itu.
Petang itu Langkau berjalan pulang penuh dengan perasaan yang bercabang ranting. Segugus rasa kesal menerjah kuat dinding perasaannya. Kalau dia tidak berkenang, fikirnya, sudah diterkamnya Angkiu dalam pesta gawai ngarantika itu tadi. Tindakan Angkiu terlalu menyakitkan hatinya. Terlalu mencabar keimanannya.
Bukan Langkau tidak pernah bertumbuk atau bergocoh sebenarnya. Pernah. Malah kalau semasa mudanya, kalau hendak dibilang, tidak terhitung banyak kalinya dia bergocoh dengan sesiapa saja yang menentangnya. Bukan orang tidak kenal siapa dia. Dia tahu menilai dirinya. Dia pun ada akal fikiran juga. Begitu dia menetapkan sikapnya selepas peristiwa itu.
Tetapi kalau Angkiu benar-benar mahu, datanglah orang tua itu ke rumahnya. Langkau memberi cabaran itu cuma dalam hatinya saja. Dia tidak tergamak mengatakannya kerana takut didengar orang. Kalau orang sudah mendengarnya tetapi perkelahian itu tidak jadi, dia akan menanggung malunya.
Kalau Angkiu datang di rumahnya memberi cabaran itu dia akan lawan sehabis nyawanya. Dia akan melawannya bukan kerana dia berada di rumahnya tetapi tidak banyak orang yang nampak. Berkelahi dalam pesta gawai ngarantika begitu, macam tengah hari tadi, cuma tunjuk bodoh sendiri saja. Dia tidak gemar berkelahi begitu.
Kalau Angkiu datang di rumahnya, dia akan lawan, bukan kerana dia ada senapang patah yang bergantung di dinding tetapi lebih kerana kesukaannya. Orang tidak melihat dan tidak akan meleraikan pergaduhan itu.
Dia tahu siapa dirinya. Dia juga tahu akan kelebihan dirinya. Dia bukan orang yang suka mengada-ngada. Bukan orang yang suka tunjuk lagak. Dia hendak berlagak kerana apa? Tidak ada apa-apa yang dapat dilagakkannya!
Jawapan itu sudah lama bertapak dalam perasaannya dan turut membentuk sikapnya. Sebab pertapakan jawapan itu dalam perasaannyalah dia tidak mahu menerima cabaran sesiapa saja untuk bergocoh dalam gawai begitu.
Dia tidak mahu dituduh orang berlagak besar kerana dia kakitangan kerajaan dan bergaji bulan. Dia tahu menilai siapa dirinya. Dia bukan budak-budak lagi. Usianya sudah mencecah angka empat puluh tahun. Dan dia sudah pandai menilai baik dan buruk. Sebuah pergaduhan cuma akan memburuk- burukkan namanya.
Langkau tidak mahu minum langkau itu berlebihan kerana beberapa sebab. Bukan kerana namanya sama dengan minuman cair macam spirit yang disuling daripada tapai basi itu. Bukan! Jauh sama sekali. Malah dia juga tidak menghalang sesiapa saja di kampungnya itu yang mahu terus meminum minuman keras yang terlalu keras itu. Malah kalau ada orang kampungnya yang mahu mati kerana minum minuman itu terlalu banyak dan berlebihan pun dia tidak kisah. Malah dia akan biarkan saja. Dia tidak akan peduli.
Yang dia tahu, minuman itu berbahaya. Kalau diminumnya sampai mabuk, dia akan terkedang bagai mayat di sudut bilik, bukan sehari dua tetapi mungkin empat lima hari. Perbuatan itu bodoh. Tidak ada untungnya.
Petang tadi pun sebelum dia meninggalkan rumah Taipui, sudah ada beberapa orang yang tumbang. Cuma Angkiu yang tahan sedikit kerana nalurinya belum padam. Dia bersemangat hendak bergocoh walaupun cabarannya tidak dilayan.
Kalau dia minum sedikit, telinganya sudah berdesing atau hangat, dia akan meracaukan perkara yang bukan-bukan seperti Angkiu juga. Dia akan berkelahi dengan sesiapa saja yang bertengkar dengannya.
Sebagai orang kerajaan, orang perintah, dia tidak mahu berkelakuan begitu walaupun budaya bangsanya menggalakkan perlakuan itu. Bertumbuk kerana mabuk, kata kebanyakan orang, adalah bertumbuk kerana tidak sedar, bukan perkelahian atau pergaduhan. Bukan juga kejahatan.
Bertumbuk kerana mabuk minum langkau dianggap bertumbuk yang dibolehkan. Tetapi dia...! Pendiriannya...! Ah...!
Memang sudah lama dia memikirkan sebab bangsanya membenarkan kejadian seperti itu. Mereka tidak suka mabuk-mabuk begitu, dia pasti. Sejak dari awal keturunannya dulu lagi. Baginya mabuk atau tidak mabuk, minum langkau atau tidak minum langkau, kalau sudah bertumbuk, bertumbuk juga namanya. Tidak ada perkelahian yang dibolehkan. Semua perkelahian dilarang orang.
Kalau sudah berkelahi memang berkelahi juga namanya. Dan baginya kalau Angkiu benar-benar berdendam dengannya, dia lebih rela berkelahi atau bergocoh dalam keadaan tidak mabuk. Kalau kedua-duanya bergocoh dalam keadaan begitu, tahulah siapa yang akan kalah atau menang. Sedarlah perbuatan itu perbuatan yang selama ini dipandang oleh orang lain sebagai perbuatan yang salah. Jangan kerana mabuk hendak bergocoh.
Huh! Angkiu, Angkiu! Sejak kecil tabiatnya pemabuk itu tidak berubah!
Dan kalau dia minum juga, sekalipun dia tidak berkelahi, tetapi cukuplah kalau dia sudah mabuk. Dia akan terkedang tidak bermaya dua atau tiga hari menahan sakitnya. Malah dalam keadaan yang lebih teruk, tidak dapat bangun walaupun hendak ke dapur untuk membuang air.
Begitu teruknya dia kalau sudah terkena langkau jernih itu. Kalau mabuk stout atau bir dia masih dapat bertahan. Tetapi tidak dapat bertahan kalau mabuk langkau.
Kadang-kadang berfikir juga dia tentang namanya sendiri. Mengapa bapanya memberinya nama itu? Dia tidak pernah tanya. Asalkan namanya itu tidak menyakitkan hati orang, tetapi kalau cuma menjadi ejekan orang, dia tidak kisah. Dia kira orang bergurau saja kalau ada yang mengatakan hendak meminum dia dalam pesta gawai ngarantika. Dia berasa pemberian nama itu satu dorongan untuknya menentang perbuatan orang yang terlalu gemar minum langkau.
Yang dia tahu dan tidak suka cumalah kesakitan setelah mabuk itu membuang terlalu banyak masanya. Sekalipun dia tidak bekerja kerana cuti atau apa-apa, lebih baik dia ke kebun ladanya daripada terkedang tidak bermaya kerana mabuk begitu. Itulah sebabnya dia menentang gawai mabuk- mabukan begitu.
Orang lain pun kalau sudah mabuk langkau akan menderita begitu juga. Dan dia harus menentang kebiasaan itu agar hapus daripada budaya mereka. Biarlah namanya menjadi sejarah bangsanya. Dan biarlah Angkiu menjadi lambang dan alat perjuangannya.
Perlahan-lahan fikirannya melukiskan wajah-wajah hina pada perbuatan dan kebiasaan minum langkau itu. Bukanlah semata-mata dia tidak menyukainya kerana masalah peribadi tetapi manfaat daripada minum minuman keras itu memang tidak nampak langsung. Memang tidak ada ertinya langsung orang mabuk-mabuk begitu. Lebih banyak kerugian daripada kemanfaatannya.
Teringat dia kepada kata-kata Nek Jebot ketika dia masih kecil dulu. Kini bomoh kampung yang amat handal itu sudah lama mati. Dalam hayatnya dulu dia amat kagum dengan bomoh handalan itu. Malah setiap patah katanya dipercayai orang, termasuklah dirinya. Kini pendiriannya sudah berlainan. Sikapnya sudah bertukar.
"Masuk syurga buat sebentar orang kalau sedang mabuk." Begitu dia menerangkan kebiasaan yang amat lumrah pada musim orang bergawai itu. Kata-kata Nek Jebot yang tidak masuk akal itu sering dipercayai orang.
"Lepas itu?" Langkau masih ingat juga akan peristiwa itu, dia sendiri yang bertanya begitu. Dia sendiri yang berminat walaupun ada beberapa orang anak muda kampung mereka yang ada bersama-samanya.
"Kalau dia sudah tidak mabuk lagi, kembali ke dunialah." Selamba saja dan sambil ketawa besar Nek Jebot menjawabnya seolah-olah dakwaan itu memang benar dan ada fakta yang nyata dan dapat dipercayai.
Lonjak rasa ingin masuk syurga itu pun bermaharajalela dalam dirinya. Ketika itu, mungkin empat atau lima tahun yang lalu, sebelum dia bekerja sebagai orang perintah, dia amat ingin merasakan masuk syurga itu.
Dalam satu pesta gawai selepas menuai di kampungnya dia memaksa dirinya meneguk langkau semahu-mahunya. Dituang segelas, sekali teguk sudah langsai. Dituang setengah gelas, terasa tidak mencukupi. Kemudian badannya terasa ringan dan terapung-apung di satu-satu tempat yang tidak dapat dinyatakannya.
Langkau masih ingat akan semuanya. Perasaannya goyah tidak menentu. Halanya kaku. Kepalanya semakin berat. Dia semakin tunduk sama ada berjalan atau duduk. Semakin dia tunduk semakin landai dan rumah orang itu, dia masih ingat juga, rumah A'en, bergoyang dan bergayut. Dia berasa seolaholah berada di atas pokok ara yang tinggi dan digayut oleh angin yang sedang menggila puputannya.
Akhirnya dia tumbang! Tumbang dalam kemabukan. Kesedarannya ternoktah bagai dunia ini sudah padam untuk kehidupannya. Entah berapa lama dia tidur dalam keadaan tidak sedar akan apa-apa di sekelilingnya, sukar ditekanya. Tentulah lama juga, fikirnya.
Itulah perasaan mabuk yang paling dahsyat pernah dialaminya dan selepas peristiwa ingin melihat syurga dalam kemabukan itu dia mengatakan pada dirinya, walau disembelih orang pun dia tidak akan meneguk lagi air yang bening jernih itu. Dia nekad dalam azam kuatnya. Dan dia mahu menyedarkan orang lain yang sebangsa dengannya juga bahawa kebiasaan mabuk langkau itu merugikan saja.
Dan dia juga rela berkelahi dengan sesiapa yang memaksanya melakukan perbuatan yang tidak suka dilakukannya.
"Kalau kamu ke rumah orang Iban, kalau tidak mahu minum, habis kepalamu dicurahi minuman itu," beritahu seseorang kepadanya dalam satu pesta gawai juga, tetapi dia tidak begitu ingat siapa dan di rumah siapa ataupun waktunya juga - dia tidak ingat.
Yang dia ingat cumalah kata-katanya. Dan dia sampai ke hari ini, sampai ke hari dia diajak bergaduh oleh Angkiu, dia tidak pernah ke rumah panjang bangsa lain dengan kebudayaan mereka tetapi dia berasa ngeri kerana cerita orang begitu.
Mahu rasanya alasan yang sebenarnya itu dikatakannya kepada kawan Ibannya tetapi soal menjaga hati kawan adalah perkara nombor satu dalam dirinya, juga yang dipentingkannya. Dia tidak mahu kawan atau rakannya berasa tersinggung kerana perkataannya. Kalaulah perkara yang dinyatakan itu kelak benar, dapatlah kawannya menerimanya. Tetapi kalau orang cuma berbohong kepadanya, dia teraniaya, lebih baik dia menutup mulut saja. Begitulah dia membuat keputusan ketika itu.
Dan dia menanti, kerana sebelum Angkiu tumbang di atas lantai rumah itu, dia berpesan kepadanya. Dia masih ingat lagi akan perbualan yang baru berlaku dua hari yang lalu itu. Peristiwa itu berlaku belum lama.
"Kalau kamu benar-benar mahu berlengan, datanglah ke rumah aku." Dia mahu Angkiu menyedari satu perkara yang sudah lama disedarinya tetapi dia tidak dapat meyakinkannya. Angkiu sedang mabuk. Orang mabuk tidak dapat diajak berbincang. Orang mabuk tidak berada di dalam dirinya.
Dan Angkiu menyahut cabarannya itu ketika itu. Beriya-iya dia mengajaknya bergocoh di khalayak gawai yang besar itu. Tetapi dia menolak. Dia menolak bukan kerana takut tetapi kerana menyedari Angkiu bukan lawannya dalam keadaan mabuk begitu. Lagipun orang mabuk tidak guna diajak berlengan. Orang mabuk cuma layak disuruh tidur. Itulah keputusannya ketika itu.
Tetapi harapannya untuk melihat Angkiu datang mengajaknya berlengan di halaman rumahnya sendiri masih tetap ada. Kalaulah Angkiu datang, dia tidak akan menggunakan apa-apa kalau Angkiu datang dengan kosong tangan juga. Kalau Angkiu membawa parang atau candung, goloknya akan bertelanjang dan menemui sasarannya juga. Dia nekad untuk melakukannya. Malah kalau Angkiu datang bersenapang pun dia akan menurunkan senapang patahnya juga.
Dia berasa yakin bahawa apa-apa yang ada pada Angkiu ada juga padanya. Dan dia tidak akan menyerah kalah kalau cabaran itu semata-mata cabaran. Yang dia tidak mahu ialah berkelahi dengan orang yang sedang mabuk atau sedang berada di syurga, syurga mabuk, seperti yang dikatakan oleh bomoh tua yang sudah mati di kampungnya itu.
"Hoi Langkau," tiba-tiba terterjah gegendang telinganya oleh satu suara yang amat biasa dirasakannya. Dia kenal akan suara orang itu.
Angkiu!
Hah, datang juga dia akhirnya. Langkau menggengam tinjunya mengumpul keyakinan bahawa sebentar lagi dia akan bertarung dan berjual nyawa. Dia tidak kisah kalau dia mati. Bininya sudah diberitahu, kalau ada apa-apa pertolongan yang diperlukannya dia akan meneriak. Dia akan meminta tolong kalaulah Angkiu tiba-tiba menampakkan kejaguhannya yang tidak tertewaskan.
Tetapi dia masih yakin. Dia menunggu dan kemudian menghampiri pintu rumahnya yang sedia ternganga.
"Hoi, datanglah. Aku sudah bersedia," sahutnya penuh yakin.
"Aku datang dengan baik," beritahu Angkiu dengan suara kasar dari jauh. Kelibatnya masih belum kelihatan di balik selekoh jalan. Langkau menunggu Angkiu muncul untuk membuat kepastian sama ada kedatangannya untuk kebaikan atau sebaliknya - untuk menipunya.
"Aku datang mahu minta maaf," beritahunya secara bersahaja seolah-olah mesra. Angkiu cuba senyum kepadanya dari jauh. Langkau belum dapat membuat keputusan. Azamnya perlu berubah sebelum dia mengambil tindakan.
"Hendak minta maaf tentang apa?" Dia mendepangkan tangan di muka pintu tanpa niat untuk menampakkan halangan kepada kedatangan Angkiu.
"Kita hampir bergocoh kelmarin dulu." Angkiu mengingatkannya kepada peristiwa pada gawai ngarantika itu.
"Itulah, sejahat-jahat namaku, aku tahu namaku Langkau dan kau mengejek aku, tapi lihat dulu tempatnya." Langkau tidak mahu menerima pernyataan maaf itu dengan jiwa yang kosong.
"Yalah, aku tahu aku memang silap." Dia merayu. Ada bayangan kesal bergayut pada suaranya. Langkau faham akan maksudnya.
"Jangan cakap di mulut saja." Dia mempersilakan Angkiu naik setelah dia berada di kaki tangga rumahnya yang tidak begitu tinggi itu.
"Kelak kalau sudah mabuk, bukan kamu sedar apa-apa." Dia masih kesal terhadap tindakan Angkiu di rumah orang bergawai ngarantika itu.
"Tidak, aku berjanji," rayu Angkiu bersungguh-sungguh. Dia menyesal. Langkau faham akan maksudnya.
"Berjanji apa?" Sergahnya.
"Janji tidak akan mabuk lagi." Tunduk saja Angkiu ketika menuturkan rasa kesalnya. Langkau berpaling ke dalam rumah.
"Huh, begitulah kalau langkau sudah tidak menguasai perasaanmu. Tapi kalau sudah mabuk?" Dia mahu Angkiu benar-benar sedar akan kesalahannya.
Angkiu mengangkat mukanya tetapi Langkau sudah berpaling ke dalam rumah.
"Tidak, kali ini tidak," katanya lebih kuat daripada kata-katanya yang tadi.
"Buktinya?" Tuntut Langkau.
Angkiu memandang hala ke tepian mandi mereka di kampung itu.
"Kau tahu, kawah dan perdapuran menyuling langkau di tepian utama itu..." Terangkat muka Langkau kerana rujukan itu. Dapat dibayangkannya sesuatu sudah dilakukan oleh Angkiu sebelum datang menemuinya.
"Hah, mengapa? Semakin besar?" Dia mencabar Angkiu, sambil menyindirnya.
"Sudah kuranapkan. Langkaunya hampir membawa celaka dalam hidup aku." Dia mengulas dengan suara yang tersangkut-sangkut.
Langkau tersentak. Sungguh tidak disangka-sangkanya Angkiu akan melakukan tindakan begitu.
"Betul?" Tanyanya untuk kepastian - bukanlah kerana dia kurang percaya. Angkiu memandangnya sambil menagih pengertian.
"Kawahnya kupecahkan di buntut. Musnah harapan Dak Ancik hendak memproses langkau itu lagi. Aku bersedia menghadapi risikonya." Angkiu tunduk lagi. Kali ini tunduk kepalanya lebih rendah.
"Bagus! Pulanglah kamu. Aku akan melihat perkembangannya kelak." Langkau masih berasa kesal kerana peristiwa yang berlaku kerana penglibatannya merugikan orang lain pula.
"Maafkan aku ya?" Angkiu berlalu pergi.
"Hmmm!" Langkau memandang pemergiannya dengan hati yang sayu.

No comments:
Post a Comment