Pages

Monday, September 15, 2014

Ibu tiri

Oleh Jali Kenoi

APABILA disebut `ibu tiri' umum barangkali menganggap ia watak yang tidak baik - sentiasa bersikap garang terhadap anak tiri. Malah ibu tiri dilabel sebagai perempuan yang telah merampas kasih sayang anak terhadap ayah.

Tetapi tidak bagiku. Aku berani bersumpah menjunjung kitab suci, kalau masih ada orang menuduh aku bersikap demikian - menganiaya dan berlaku tidak adil terhadap anak tiriku. Tidak pernah aku memarahi mereka kerana sengaja hendak marah; marah tanpa sebab tertentu atau iri hati kerana mereka bukan anak kandungku. Tegasnya, tiada pertalian darah dengan aku.

"Apakah kau sanggup menjadi ibu tiri kepada kedua-dua orang anakku?"

Pernah dia bertanya kepada aku. Ya. Pada ketika itu kami sedang rancak memadu kasih. Pada musim segala-galanya baik dan manis. Barangkali dia hendak menduga isi hatiku. Dia sangat menyayangi kedua-dua orang anaknya.

Aku tidak terus menjawab. Soalannya aku bawa balik ke rumah. Terus terang aku katakan, aku tidak mahu berpura-pura. Tidak mahu dituduh hipokrit. Lantaran hatiku berasa agak...entah tidak tahu bagaimana hendak menyebutnya - semacam ragu-ragu, bercelaru...

Lalu aku memohon buah fikiran saudara lelakiku, iaitu abangku. Dia dua tahun lebih tua daripada aku.

"Kalau kau memang suka dan sudah mencintai Rosman, kau harus menerima anak-anaknya kerana kau sudah tahu dia seorang duda."

"Tapi. Apa pula orang kata nanti? Tak ada lelaki lainkah di dunia ni? Maklumlah manusia..." keraguan menghantui fikiranku. Aku sungguh yakin abangku dapat memberi nasihat yang baik dan berguna. Baik dan berguna untuk diriku dan baik dan berguna juga untuk seorang pemuda yang aku cintai.

"Apakah kau benar-benar menyintainya, Mal?"

"Ya. Kenapa? Abang tidak bersetuju?"

"Bersetuju tidak, tidak bersetuju pun tidak?"

"Apa ni? Apa makna kata-kata abang ni? Mal tidak mengerti..."

"Terserah kepada kau, Mal."

Tetapi muka abang tidak menggambarkan ketidaksetujuannya. Sesungguhnya dia kelihatan gembira dengan sikap terus terangku. Agaknya dia bermegah dengan sikap adiknya yang tidak mahu membelakangkan keluarga untuk memutuskan satu-satu keputusan yang nekad. Keputusan yang nantinya akan menentukan nasib masa depanku.

"Pesananku, kerana kau sanggup menjadi isterinya, kau jagalah anak- anaknya seperti kau menjaga anak kau sendiri kelak. Walaupun mereka bukan daripada darah daging kau tapi jangan sekali-kali kau menganiaya mereka. Mereka juga ada hak untuk hidup gembira. Ingat, bakal suami kau itu adalah bapa mereka. Kau harus menyukai mereka seperti juga kau menyayangi bakal suami kau itu, Maliah."

Nasihatnya aku patuhi - menganggap anak-anak tiriku seperti anak sendiri.

Walaupun sudah dipisah oleh jarak waktu, namun hubungan keluarga kami masih erat. Malah lebih mesra daripada dulu. Aku selalu menghubungi keluarganya. Aku sungguh mengkagumi kemeriahannya. Tambahan pula, kesopanan yang tinggi yang terbentuk pada anak-anaknya. Salehah, anak sulungnya sudah menjadi guru di sekolah menengah. Peramah dan cantik. Aku sangat menyayangi anak buahku itu. Kesempurnaannya, memang wajar menjadi pendidik.

Adik lelakinya bernama Mirhad - masih menuntut di dalam tingkatan lima. Rajin belajar. Menurut ayahnya dia selalu mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Dan bercita-cita hendak menjadi doktor.

Cuma dua orang itu anak abang. Walaupun dia masih mahu mendapatkan anak, tetapi isterinya tidak mampu. Kesihatan isterinya menjadi penghalang. Dia hampir menempah maut semasa hendak melahirkan Mirhad.

Tahniah dan syabas kepada abang dan kakak iparku kerana berjaya membina sebuah keluarga yang bahagia, persis sebuah syurga.

Tetapi tidak keluargaku...

"Mustahil! Mustahil! Mustahil!"

"Apa abang masih tidak percaya lagi kepada aku? Tidak percaya pada ceritaku?"

"Dusta. Fitnah. Tidak mungkin Rasdi nak melakukannya. Dia terpelajar. Tahulah dia menilai, yang mana baik dan yang mana buruk." Suamiku menyanggah. Hatinya keras seperti batu. Dia tidak mudah mendengar buah fikiran orang, khususnya tentang hal ini. Dia dengan hatinya. Sangat menyayangi kedua-dua orang anaknya. Dan juga `menatang' Hasni, satu-satu anak perempuan kami. Anak tunggal hasil daripada perkongsian hidup kami.

"Tapi, bang...aku tidak mahu Jasmi bekerja lagi dengan kita," aku meninggikan suara. "Kita cari saja orang lain," cadangku.

"Tidak. Dia tidak harus dilepaskan. Dia tidak bersalah," abang membelanya. Kerana pada pandangannya perempuan itu baik semuanya. Sebenarnya aku menyetujuinya tetapi hanya satu perkara yang aku sangat membenci. Dan inilah yang tidak disenangi oleh suamiku. Lalu aku dituduh sengaja membina cerita. Ah ...susah.

"Sebelum apa-apa berlaku, lebih baik kita cepat bertindak, bang. Jangan, apabila sudah terlanjur baru nak terngadah."

Tetapi nasihatku seperti mencurahkan air ke daun keladi.

Lalu aku menjadi mangsa. Dimusuhi oleh anak-anak tiriku. Dibenci oleh orang gaji, yang pada tanggapanku telah merampas kasih sayangku terhadap Rasdi dan Rosli. Rosli memang mudah terpengaruh dan cepat menelan kata- kata abangnya. Sifatnya berlainan sekali daripada sifat ayahnya.

Dan kini suamiku meragui kejujuranku. Oleh itu, aku tidak ada tempat lagi hendak mengadu; bukan kepada anak perempuanku yang baru berusia dua belas tahun itu. Dia tidak tahu apa-apa. Masih mentah lagi tentang hidup. Kerana itu, aku tidak mahu dia tersepit di antara pokok perbalahan kami.

"Kau perampas? Kau perempuan jalanan! Tak sedar diri!" Aku tidak dapat lagi mengawal perasaan. Jasmi, orang gaji kami, aku tolak ke dinding. Hampir-hampir hendak aku tarik rambutnya; hendak aku cakar mukanya dan hendak aku pecah-pecahkan hidungnya. Kerana kecantikannya, membuat anak tiriku mabuk. Ya, mabuk cinta.

Tetapi perempuan itu tidak mahu bertindak balas. Cuma bersikap bodoh saja pada masa itu. Dia tahu, dia yang bersalah, kata hati kecilku.

Walau bagaimanapun, kemenangan masih berpihak kepadanya.

Berita itu cepat merebak seperti penyakit yang mudah berjangkit. Semua jiran kami tahu apa yang telah aku lakukan terhadap Jasmi. Maka timbullah tuduhan bahawa aku seorang perempuan yang jahat - tidak bertanggungjawab dan berbagai-bagai lagi tuduhan, menyebabkan aku tersisih daripada mereka.

Hubungan aku dengan suamiku retak dan hampir putus. "Aku tidak ada tempat lagi di dalam rumah ini, bang. Tak siapa nak mendengar kata-kataku. Biarlah aku dan Rosni membawa diri, pulang ke rumah abangku," putusku.

"Eh. Apakah kau sudah gila, Maliah? Kerana isu kecil seperti ini, kau sanggup berpisah dengan kami."

"Ini bukan perkara kecil, bang." Aku tersedak kerana sangat terharu mengenang nasibku yang malang. Lebih-lebih lagi apabila mengenang betapa susahnya aku membesarkan Rasdi dan Rosli. Mengasuh dan mendidik mereka. Yang sebenarnya, mereka itu aku anggap seperti anak-anak kandungku sendiri. Sejak kecil lagi aku menjadi ibu mereka - sejak aku mendirikan rumah tangga dengan ayah mereka. Malah aku sangat marah apabila orang menyebut mereka `anak tiriku'.

"Mereka itu anak kita, bang. Aku ibu mereka. Percayalah. Tidak terniat di hati ini hendak memfitnahkan mereka. Apalah untungnya kepada aku?"

"Kalau ya pun, kau tidak harus menuduh yang bukan-bukan, tanpa bukti." Suamiku cuba berlembut, tetapi kesinisan kata-kata dan suaranya amat terasa. Maklum pada ketika itu jiwaku amat sensitif.

"Inilah akibatnya abang tidak peka terhadap apa yang sedang berlaku. Abang nama saja ayah, tapi tidak mahu tahu pergerakan mereka. Abang hanya sibuk dengan urusan abang. Sibuk dengan kerja sampingan, kononnya hendak menyediakan kerja untuk persaraan."

"Aku tahu perangai dan jiwa mereka, Maliah. Mereka budak baik. Tidaklah seburuk yang kau tuduh. Kalaulah Rasdi jahat, tidaklah Rosli terbabit sama. Semuanya buruk. Semuanya jahat."

"Rosli menyebelahi abangnya!"

"Bukankah kau sudah tahu, mereka itu adik-beradik."

"Jadi, kalau aku memarahi abangnya, Rosli juga mesti memusuhi aku? Begitu?" Aku melepaskan geram. "Dan abang juga menuduh aku bersikap tidak adil terhadap mereka." Hampir aku menyebut, `anak tiriku', untuk ganti nama mereka, yang sejak dulu lagi aku tidak pernah menyebutnya, kerana hatiku tidak pernah menganggap mereka sedemikian.

"Tidak juga begitu. Barangkali ini hanya anggapan kau saja. Boleh jadi kerana kau terlampau menyayangi mereka, dan sebarang perubahan pada mereka, maka kau anggap tidak kena - tidak berlandas pada kehendak kau."

"Aku menjaga mereka seperti menatang minyak yang penuh, bang."

"Hah. Betullah sangkaanku tadi. Bahawa kau sedang berperang di dalam diri kau sendiri kerana ada perubahan berlaku dalam perkembangan anak-anak kita."

"Entahlah...barangkali..." Sebenarnya aku tidak faham apa yang dia kata. Dan mungkin abang sendiri tidak memahami apa yang telah dia sebut.

Begitulah sikap sesetengah lelaki, tidak mahu mengalah. Tidak mahu menerima realiti dan tidak mahu mengakui kelemahan sendiri, sengaja hendak menegakkan benang basah, asalkan kesedapan hatinya terjaga.

Pagi itu muram. Hujung minggu. Jasmi hilang dari rumah. Lalu aku dituduh menganiaya perempuan itu.

"Aku tidak menghalaunya, walaupun memang sudah lama kami tidak bertegur sapa," tegasku.

"Mustahil. Kalau dia hendak keluar, biasanya dia memberitahu kita," jelasnya.

"Jadi abang masih menuduh aku menghalaunya?"

"Ya. Memanglah kau tidak berhati perut. Tidak berperikemanusiaan. Tidak tahu menghargai jasa dan khidmat seorang perempuan yang baik," tuduh abangku.

"Demi Allah, aku berani bersumpah, aku tidak menghalau bakal menantu abang tu," dia kelihatan sangat marah apabila mendengar perliku. "Percayalah. Tuhan menjadi saksi, bang," tambahku.

Sesungguhnya aku tidak tertahan lagi menerima cacian dan tuduhannya - hanya menyebelahi satu pihak. Menyebelahi anak dan orang gaji kami. Dalam pada itu, aku berasa bersyukur kepada Tuhan kerana orang gaji kami telah pergi atas kerelaan hatinya. Maka terbayang wajah Salehah menggantikan tempatnya. Salehah, anak buahku, yang aku berharap dapat menjadi permaisuri di dalam rumah kami.

Kehadiran Salehah kelak bukanlah sebagai orang gaji kami, tetapi sebagai `ratu'. Dia ada kerja. Seorang pendidik. Kalaulah niat aku tercapai, biarlah aku sendiri mengurus rumah tangga kami. Biarlah aku memohon persaraan lebih awal dari perkhidmatan awam - berhenti menjadi pegawai di Jabatan Pendidikan.

Sebenarnya aku bukan pemilih. Bukan memilih perempuan untuk menjadi menantu kami. Sekadar hendak membuat tanda - istilah yang aku reka sendiri. Lantaran menurut tanggapan kasar, Rasdi masih muda, belum matang untuk mendirikan rumah tangga. Lebih-lebih lagi dia masih menuntut di sebuah institusi pengajian tinggi. Kerana itu dia belum melengkapkan diri untuk menjadi seorang bapa.

Aku mahu dia lulus pengajiannya dulu - tamat dengan diploma, dan menurut aspirasiku, biarlah dia memberoleh ijazah sekali. Sesungguhnya aku akan menjadi seorang ibu yang paling gembira sekiranya dia mahu dijodohkan dengan Salehah.

Salehah, anak buahku. Anak abangku. Mudah-mudahan dengan penjodohan ini kelak akan mengeratkan lagi tali silaturahim antara keluarga kami. Lebih dari itu jenama `anak tiri' tentu tidak akan ketara sangat. Dan pentingnya tindakan ini adalah untuk rancangan jangka masa panjang. Untuk masa depan aku dan suamiku kelak. Itulah harapanku. Demi keutuhan keluarga kami.

Tetapi harapan aku dan abangku hancur apabila menerima sepucuk surat pos laju daripada Rasdi beberapa hari kemudian. Buat beberapa ketika kami hanya membisu seribu bahasa.

Dengan kehadiran surat itu juga maka terhapuslah salah sangkaan abang terhadap diriku. Rosli juga menyesali sikapnya selama ini, kerana terikut- ikut oleh kata-kata hasutan abangnya.

"Anak tak masuk dek ajar." Abangku mengeluh. Kecewa.

"Sekarang kau baru tahu. Kerana aku tidak pernah mengajarnya," kata hati kecilku, sangat hampa. Tetapi tidak berani aku hendak meluahkan sebarang komen terhadap kata-katanya. Aku tahu dia sedang dilanda penyesalan yang amat sangat.

"Bagaimana dengan pengajian abang Rasdi, ayah?" Tanya Rosli.

"Bagaimana?" Nadanya merajuk dan hampa. "Dia akan dibuang dari pusat pengajian itu. Dia bukan di universiti." Abang merenung tajam ke muka Rosli. "Kau juga hendak mengikut jejaknya?" Suaranya menyentak.

Rosli cepat-cepat beredar dari situ kerana takut melihat mata ayahnya. Baru kali itu dia pernah melihat ayahnya benar-benar marah.

"Kalaulah dia hendak mengahwini perempuan itu, biarlah tamatkan pengajiannya dulu," kataku. "Aku tidak menghalang niatnya, walaupun pada hakikatnya aku ingin hendak menjodohkan Rasdi dengan anak buahku."

Suamiku terbelalak.

"Aku juga berkenan dengan Salehah."

"Tapi nasi sudah menjadi bubur, bang. Takdir dan suratan di tangan Tuhan. Kita hanya pandai merencana, Tuhanlah yang menentukannya." Aku cuba memujuk hati abang, dan berusaha menyedapkan hati sendiri supaya tidak terbawa-bawa oleh hati yang hampa atas perbuatan Rasdi yang membawa Jasmi kahwin lari. Mereka telah diijabkabulkan di pejabat Tok kadi.

Petang itu, aku cuba menyelami hati Rosli.

"Kasihan Rasdi, ya bu," kata Rosli bersedih.

"Ya. Tapi dia masih ada masa depan. Aku sungguh yakin dia akan menghadapi hari muka dengan penuh tabah. Berdoalah, semoga dia dan Jasmi akan kembali ke pangkuan keluarga pada suatu hari nanti. Dan semoga ayah kau akan memaafkan mereka."

Hanya kepada Rosli aku menggantungkan harapan. Dia masih dalam tingkatan lima. Masih muda. Tetapi dia masih teragak-agak, tidak pasti. "Dengan siapa..?"

No comments: